Isnin, 6 April 2009

Tuah hujan lebat buat Heidfeld

PEMANDU BMW Sauber, Nick Heidfeld (kanan) dan pemandu McLaren, Lewis Hamilton terpaksa berhujan selepas perlumbaan ditamatkan pada lap ke-32 di Litar Antarabangsa Sepang semalam. – REUTERS
SEPANG - Walaupun bermula di petak ke-10, pelumba BMW Sauber, Nick Heidfeld akhirnya berjaya mengulangi pencapaian rakan sepasukannya, Rober Kubica dengan memenangi tempat kedua dalam perlumbaan Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semalam.
Hujan lebat yang membasah litar pada pusingan ke-30 memaksa perlumbaan dihentikan pada pusingan ke-32 tatkala Heidfeld ketika itu menduduki tempat ketiga.
Bagaimanapun peraturan perlumbaan yang mengambil kira keputusan muktamad pada kedudukan pusingan ke-31 memberi khabar gembira buat pelumba Jerman itu untuk memenangi tempat kedua.
"Jika kita berlumba dalam keadaan hujan apa-apa sahaja boleh berlaku dan kita tidak dapat menjangkakan siapa yang akan memenangi perlumbaan dan seterusnya berada di podium," katanya.
Jelasnya, strategi pasukannya yang segera menyuruhnya memasuki hentian pit untuk menukar tayar memberi kelebihan buatnya untuk berada di kelompok lima terbaik walaupun bermula di petak ke-10.
"Saya sangat gembira mendapat tempat kedua selepas bermula di petak ke-10, perlumbaan ini begitu ekstrem dan mencabar.
"Saya bermula dengan baik tetapi merasakan kereta saya masih lagi berat dan ini menandakan perlumbaan tidak akan menjadi mudah buat saya tetapi apabila keadaan cuaca menandakan mahu hujan, saya memasuki pit lebih awal untuk menukar tayar hujan sepenuhnya. Siapa tahu selepas hujan lebat saya menjadi bertambah pantas dan apabila ia bertambah lebat mereka telah melakukan keputusan yang tepat untuk memberhentikan perlumbaan.
"Saya hanya kekal di belakang kereta keselamatan dan sekarang kami boleh berasa gembira kerana sekurang-kurangnya berjaya membawa satu keputusan baik selepas dua perlumbaan musim ini," kata Heidfeld.
Sementara itu semalam, hari malang buat Kubica apabila tidak berjaya menamatkan selepas keretanya terbakar pada awal perlumbaan.
"Apabila saya memulakan pusingan formasi, saya sudah mendengar bunyi yang pelik di bahagian enjin. Saya bertanyakan kepada pasukan apa yang perlu saya lakukan tetapi sebelum jawapan diterima kereta saya sudah terbakar," katanya.

- sumber Utusan Malaysia Online

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...