Rabu, 21 Disember 2011

Impak hubungan penyakit tak berjangkit

Oleh Liow Tiong Lai
bhnews@bharian.com.my
2011/12/21

sumber: Berita Harian


Gaya hidup sihat sebagai amalan hidup seharian bantu mencegah NCD

SETIAP kali saya melawat Institut Jantung Negara (IJN) atau hospital lain di mana pesakit yang menghidap penyakit kronik dirawat, saya berasa terharu melihat wajah sedih dan cemas ahli keluarga pesakit yang datang berkunjung.
Mereka kelihatan sentiasa berada tidak jauh di sisi katil pesakit, reda dan setia memikul tanggungjawab menemani dan menjaga orang yang dikasihi.
Walaupun hati tersentuh melihat hubungan keluarga kekal utuh pada saat menghadapi cabaran, saya terfikir mengenai kesan sebenar terhadap ahli keluarga pesakit yang menghidap penyakit kronik seperti sakit jantung, strok, diabetes dan kanser.

Penyakit ini yang juga dikenali sebagai penyakit tidak berjangkit (NCD), sekali menyerang, ia kekal sepanjang hayat dan memerlukan disiplin pengurusan ketat yang membabitkan ubat-ubatan dan perubahan gaya hidup.

Contohnya, sekali diserang sakit jantung atau kencing manis, anda akan mengalaminya sepanjang hayat dan perlu berusaha keras mengurangkan risiko komplikasi seperti serangan jantung, sakit buah pinggang atau dipotong kaki.

Secara keseluruhan, semua penyakit tidak berjangkit membunuh paling ramai mangsa di seluruh dunia. Lebih kurang 60 peratus kematian tahunan di seluruh dunia berpunca daripada NCD, dan suku daripada jumlah kematian ini sebenarnya boleh dicegah.
Kita sering bercakap mengenai impak NCD ke atas pesakit, contohnya, risiko kematian dan komplikasi yang disebut di atas, beban kewangan membabitkan rawatan sepanjang hayat membeli ubat dan menjalani prosedur perubatan.

Permohonan pinjaman ketika Anwar Menteri Kewangan

sumber: Utusan Malaysia



KUALA LUMPUR 20 Dis. - Tun Dr. Mahathir Mohamad (gambar) berkata, semua permohonan pinjaman yang diluluskan Bank Dunia kepada Malaysia pada tahun 1999 bukan dibuat oleh beliau, sebaliknya permohonan itu dibuat lebih awal iaitu pada 1997 ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menjadi Menteri Kewangan.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, rundingan terakhir mengenai permohonan tersebut membabitkan tiga projek iaitu pinjaman untuk sektor pendidikan (AS$244 juta), sektor sosial (AS$60 juta) dan sektor teknikal (AS$100 juta) juga dibuat pada tahun 1997 (Anwar dipecat pada 1999).

Malah, beliau berkata, pinjaman AS$300 juta untuk program makanan, pendidikan tinggi serta mikro kredit yang ditandatangani pada Jun 1998 antara Bank Dunia dan Malaysia, beberapa bulan sebelum ringgit ditambat juga ketika Ketua Pembangkang itu masih lagi bergelar Menteri Kewangan.

Sehubungan itu, Dr. Mahathir sekali lagi mengulangi kesediaan untuk bersumpah dan mencabar Anwar mengambil tindakan sama jika ketua pembangkang itu gagal mengemukakan bukti yang beliau pernah memohon pinjaman daripada Bank Dunia serta Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

“Krisis mata wang berlaku pada 1997. Secara semula jadi setiap pinjaman tidak akan diluluskan sehingga 1999 bila krisis sudah berakhir. Setiap permohonan pinjaman yang dibuat harus diikuti dengan rundingan dan kelulusan hanya akan diberi selepas segala urutan itu dilalui.

“Semua pinjaman yang dibuat pada 1997 oleh Kementerian Kewangan pada masa itu akhirnya diluluskan pada Mac 1999 tetapi kerajaan telah membuat keputusan untuk menghentikan segala pinjaman tersebut,” kata beliau dalam blognya, http://chedet.cc, hari ini.

Menurut Dr. Mahathir, pada 31 Mac 1999, pinjaman yang dibuat semasa era Anwar menjadi Menteri Kewangan bagi menangani masalah Y2K, projek pendidikan dan sektor sosial telah dihentikan selepas sebahagian daripada dana pinjaman tersebut diserahkan kepada kerajaan Malaysia.

Tambahnya, walaupun Malaysia tidak meminjam daripada IMF, tetapi Anwar semasa menjadi Menteri Kewangan melaksanakan dasar IMF apabila menaikkan kadar faedah dan mengurangkan tempoh pengisytiharan pinjaman tidak berbayar daripada enam bulan kepada tiga bulan.

“Seluruh dunia tahu mengenai perkara ini dan walaupun Anwar tidak menentang langkah kawalan mata wang, tetapi Gabenor Bank Negara dan timbalannya (orang kanan Anwar) enggan melaksanakan dasar tersebut dan meletak jawatan,” katanya.

Pakatan punca PAS berubah

Oleh Nazura Ngah
nazura@bharian.com.my
2011/12/21

sumber: Berita Harian

DATUK Dr Hassan Ali ketika mengadakan sidang media di rumahnya, di sini, semalam.
DATUK Dr Hassan Ali ketika mengadakan sidang media di rumahnya, di sini, semalam.

Hassan Ali dedah sokongan merosot akibat parti singkir perjuangan negara Islam

KUALA LUMPUR: EXCO Kerajaan Selangor, Datuk Dr Hassan Ali mendedahkan, pakatan PAS dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP antara punca perubahan prinsip perjuangan PAS yang tidak lagi menegakkan negara Islam hingga menyebabkan kemerosotan sokongan ahli.

Beliau berkata, penyokong mula mempersoal dan mahu menarik diri daripada menyokong PAS berikutan perubahan dasar daripada negara Islam kepada kerajaan perpaduan yang kemudian diganti negara berkebajikan.

“Saya minta PAS kembali ke perjuangan asal, ini bukan saya saja yang minta, orang lain pun minta... cuba kita buat undian, tetapi undian terbaik adalah Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti,” katanya.

Hassan menyifatkan pemimpin tertinggi DAP, terutama pengerusinya, Karpal Singh sebagai ‘stumbling block’ (penghalang) untuk PAS mempertahankan prinsip perjuangan.

“Pengerusi DAP kata langkah mayat dia dulu, ini jelas menandakan pintu rundingan mengenainya tertutup dan terkunci buat selama-lamanya selagi dia hidup,” katanya.

Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu tidak yakin parti itu mampu mengekalkan dasar perjuangan asal jika pembangkang berjaya menawan Putrajaya disebabkan kegagalannya mempertahankan prinsip itu ketika ini.

Beliau mengadakan sidang media di rumahnya, di sini, semalam, sebagai reaksi kepada kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali baru-baru ini selain menggesa pucuk pimpinan mengambil tindakan disiplin terhadap Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungip yang didakwa menyemai bibit perpecahan di kalangan ahli dan penyokong parti.

Pengerusi Jawatankuasa Hal-Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor itu turut mempersoalkan konsep negara berkebajikan yang diperincikan Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerusi 10 agenda baru-baru ini yang katanya tidak wajar dilaksanakan PAS.

Katanya, matlamat memartabatkan Islam, bangsa Melayu dan institusi Raja-Raja Melayu perlu dimasukkan kembali dalam konteks perjuangan parti.

Sementara itu, Hassan menyerahkan kepada pucuk pimpinan sama ada wajar Mahfuz dan Mustafa dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin kerana kenyataan negatif dan berniat jahat, berbeza dengan kenyataan beberapa pemimpin tinggi parti termasuk Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Abdul Hadi.

Dalam kenyataan tiga muka surat, beliau menyifatkan Mustafa sebagai pemimpin yang bongkak dan sombong kerana menggunakan jawatan untuk membidas beliau hingga sanggup memfitnahnya.

Beliau turut menempelak Mahfuz yang disifatkan bankrap pemikiran dan tidak mengikuti perkembangan semasa kerana mengalu-alukannya untuk keluar parti dan menyertai UMNO.

Ditanya mengenai dakwaan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Osman pada sidang media semalam bahawa tindakan beliau memberi kenyataan kepada media merosakkan imej parti itu, Hassan mempersoalkan kenyataan itu dengan membandingkan tindakan Saari yang membuat pengumuman pra-matang mengenai pencalonannya.

“Mana yang merosakkan imej parti, tindakan Saari atau tindakan saya? Bahkan apa yang timbul sekarang adalah hasil daripada tindakannya dan sehingga hari ini, saya tidak nampak sebarang tindakan PAS Pusat... Saari menikus jatuh di labu mana pun saya tidak tahu.

“Jadi pada saya, Rani kena tengok sekeliling, kena bijak dan ‘multi linear’,” katanya yang turut menegaskan tiada masalah untuk berbincang dengan PAS Selangor.

Rabu, 7 Disember 2011

Kedaulatan Sultan Selangor dan faktor Dr. Hasan

Oleh Zaini Hassan
sumber: Utusan Malaysia


MENGIKUT kalendar, minggu depan ialah Hari Keputeraan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Saya difahamkan satu peristiwa yang cukup signifikan akan berlaku.

Datuk Dr. Hasan Ali akan menjadi satu-satunya, saya ulang satu-satunya, Exco dalam Kerajaan Negeri Selangor yang akan dianugerahkan pingat kebesaran negeri Selangor oleh baginda Al-Sultan. Difahamkan beliau akan dianugerahkan darjah kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor.

Jika itu benar, banyak signifikan yang dapat dirungkaikan. Mengapa hanya Dr. Hasan seorang sahaja yang menerimanya? Ramai lagi Exco dari PKR dan tentunya dari DAP yang menguasai sistem kerajaan itu juga patut menerimanya.

Mengapa tidak YB Cik Teresa Kok, YB Encik Ronnie Liu dan lain-lain? Mengapa pula Dr. Hasan, yang sudah pun menerima banyak gelaran?

Taksub melulu bahaya kepada Islam, umatnya

OLEH TOKI
sumber: Utusan Malaysia

AL-QURAN memberikan pedoman yang sangat jelas terhadap ketaatan kepada Allah, kepada Rasulullah dan kepada pihak Penguasa.

Asas taat ini penting kerana dari ketaatan akan lahir rasa kepatuhan, keakuran dan ketundukkan yang tinggi terhadap suruhan dan larangan Allah.

Inilah asas membangun jiwa ibadullah dan ibadur rahman iaitu asas kehambaan yang tinggi terhadap Allah. Ia senafas dengan maksud dijadikan jin dan manusia untuk beribadah kepadaNya.

Rakyat wajar fahami pengertian sebenar ketuanan Melayu

Oleh Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri
2011/12/07
sumber: Berita Harian

PERLEMBAGAAN adalah undang-undang tertinggi sesebuah negara. Perlembagaan wujud untuk mengendalikan perjalanan dan pentadbiran sesebuah negara dengan licin dan saksama. Ia juga punca kepada segala perundangan lain yang wujud dalam sesebuah negara. Secara amnya, perlembagaan mengandungi satu set hak, kuasa dan prosedur yang mengawal hubungan antara autoriti awam dalam sesebuah negara dan antara autoriti awam dengan rakyat.

Akhir-akhir ini isu yang berkaitan dengan ketuanan Melayu, yang mencorak perlembagaan negara kita, mula dinyatakan semula oleh pejuang kaum tertentu. Lihat saja pada Perhimpunan Agung UMNO yang baru berakhir, rata-rata isu ini sering kali ditonjolkan.

Mungkin tujuan mereka kerana ingin meraih populariti murahan ataupun sekadar ingin melonjak nama. Ironinya mereka yang mengutarakan perkara ini mungkin secara alpa atau kerana kejahilan tidak mengetahui bahawa ketuanan Melayu itu bukanlah satu dokumen yang wujud secara nyata. Bahkan ia sekadar manifesto persetujuan secara bersama antara pimpinan kaum. Untuk memahami fenomena ini kita hendaklah mengimbau kembali sejarah, terutama pada zaman di ambang prakemerdekaan. Jika dikaji dokumen yang membawa kepada kemerdekaan, antara prasyarat utama yang diletakkan British dalam membebaskan negara ini daripada cengkaman mereka ialah kesemua kaum yang ingin berbumbungkan negara tanah Melayu, sebagai tanah tumpah negara mereka hendaklah boleh duduk secara aman dan harmoni. Melahirkan suasana simbiosis penuh tolak ansur. Maka bertitik tolak daripada ingin mencapai matlamat memerdekakan negara satu kompromi antara kaum perlu dilaksanakan segera.

Atas usaha inilah Bapa Kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman Al-Haj memulakan satu inisiatif perbincangan dengan teraju MCA yang ketika itu diterima ramai sebagai satu institusi yang mewakili kepentingan kaum Cina serta MIC yang dianggap pertubuhan mewakili kaum India telah duduk semeja dan berbincang mencari jalan keluar terhadap permasalahan ini.

Antara topik yang diperbincangkan ialah mengenai dengan hak kerakyatan bagi penduduk Tanah Melayu. Disebabkan kaum Cina dan India adalah kaum yang dibawa masuk oleh British untuk memajukan negara ini, mereka bukanlah penduduk asal Tanah Melayu berbanding dengan orang Melayu. Mereka perlu memohon untuk mendapat kerakyatan.

Berdasarkan sifat orang Melayu yang tinggi toleransi memudahkan bagi kaum lain untuk menjadi warga Tanah Melayu. Atas sifat ingin bersama inilah menyebabkan hampir kesemua mereka yang ingin kekal di sini diberi kerakyatan. Sebagai membalas jasa orang Melayu ini, kaum lain bersetuju untuk memberikan hak keistimewaan orang Melayu sebagai sesuatu yang termaktub dalam Perlembagaan. Kompromi inilah yang dikenali sebagai kontrak sosial, pakatan murni, kompromi merdeka, empat campur 1 (4+1) atau quid pro qou.

Empat (4) di sini merujuk kepada empat kelebihan yang diberikan oleh kaum lain kepada bangsa Melayu, iaitu Sistem Raja Perlembagaan, agama Islam sebagai agama rasmi, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta hak keistimewaan orang Melayu sebagai penduduk asal negara ini. Manakala 1 merujuk kepada kelonggaran yang tidak mungkin dapat diberikan oleh mana-mana negara di dunia ini dalam memberikan kerakyatan kepada orang asing. Kompromi inilah yang telah membawa kepada artikel 153 dalam perlembagaan Persekutuan.

Di samping itu empat perkara yang dinyatakan di atas, menjadi unsur tradisi yang dikekalkan secara sebulat suara dalam perlembagaan. Ia juga dianggap penting bagi melambangkan bahawa sistem dan nilai asal negara dikekalkan meskipun kemerdekaan bererti demokrasi dan kesamarataan antara kaum. Unsur-unsur ini penting kerana ia menjamin kestabilan politik dan sistem pemerintahan yang cekap lagi adil.

Orang Melayu menganggap unsur ini sebagai satu jalan yang penting untuk menjadikan mereka setanding dengan masyarakat lain dan untuk mendapat kembali kedudukan mereka yang telah hilang akibat penjajahan bangsa asing ke atas bumi mereka. Hak mentadbir negara sendiri, serta hak menjadi pengurus dalam kediaman yang dibina, tanpa wujudnya prejudis serta sikap berat sebelah terhadap mana-mana kaum yang berkongsi langit yang sama. Oleh kerana itu juga tidak wujud sebarang frasa dalam perlembagaan Malaysia yang mengecilkan mana-mana kaum. Semua diberi hak yang setara di bumi bertuah ini.

Pengorbanan orang Melayu dalam memberikan kerakyatan berdasarkan jus soli dan bukannya jus sanguinis haruslah dihargai. Janganlah disebabkan nila setitik habis susu sebelanga dan janganlah disebabkan santan, pulut binasa, janganlah meruntuhkan tebing yang menghalang ombak pantai, kelak tenggelam semua yang telah kita bina bersama.

Sejarah sudah membuktikan Artikel 153 bukanlah sesuatu yang diletakkan secara sewenang-wenangnya oleh orang Melayu. Ia terhasil daripada persetujuan bersama dalam menghasilkan keadaan sama-sama menang kepada semua orang. Sikap bertolak ansur pimpin dulu dalam menstabilkan negara janganlah diselewengkan faktanya oleh mereka yang jingoisme. Pengorbanan mereka yang terdahulu bukanlah untuk generasi mendatang mempertikaikannya, akan tetapi mereka harus terus mendukung resolusi ini agar keamanan negara dapat diteruskan.

Agar keharmonian yang kita layari kini terus berkekalan selama-lamanya. Kepada mereka yang masih lagi cuba bermain api perkauman, berhati-hatilah, jangan sampai nanti rumah yang kita diami terbakar. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...