Selasa, 16 Februari 2010

Dunia hilang minat terhadap minyak?


Peningkatan bilangan kenderaan yang lebih efisien, seperti kereta hibrid, dapat mengurangkan penggunaan minyak. – AP


LONDON 15 Feb. – Dunia mungkin akan hilang minat terhadap minyak mentah sebelum kehabisan sumber tersebut, sekiranya trend di barat menjadi trend global.

Permintaan minyak mentah mungkin telah sampai ke kemuncak di negara-negara maju, kata Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), mengurangkan lagi sebarang tekanan bekalan.

Namun negara-negara membangun masih memerlukan minyak mentah, kata IEA.

Lebih banyak kenderaan efisien dan peningkatan penggunaan tenaga elektrik dan gas berbanding minyak bagi segmen selain pengangkutan seperti pemanasan telah membantu mengurangkan permintaan minyak mentah di barat.

Kemelesetan ekonomi juga memainkan peranan dalam pengurangan permintaan minyak mentah.

Sebelum krisis ekonomi, Eropah Barat dan Jepun telah menunjukkan pengurangan dalam permintaan minyak mentah, tetapi Amerika Syarikat (AS) mengekalkan pertumbuhan kukuh ekoran perkembangan ekonomi dan fokus yang kurang kepada penyimpanan.

Kemelesetan ekonomi dan penggunaan sumber alternatif seperti gas asli dan arang batu mengurangkan penggunaan minyak mentah dan lebih banyak kenderaan efisien dijual.

‘‘Risiko pemulihan dengan pengurangan minyak mentah, berpotensi menyokong teori permintaan Pertubuhan Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi (OECD) telah berada di puncak,’’ kata IEA dalam laporan bulanannya.

Ahli-ahli OECD yang dipantau IEA, mewakili 53 peratus permintaan minyak mentah dunia pada tahun ini berbanding 54 peratus pada tahun lalu.

Sementara penggunaan minyak mentah di negara-negara ekonomi baru muncul selain permintaan mendatar OECD mengganggu pertumbuhan tersebut.

Pengeluar minyak mentah melakukan apa sahaja pada 2008, apabila harga minyak mentah mencecah paras tertinggi menghampiri AS$150 (RM514.50) setong.

‘‘Dengan permintaan minyak mentah memuncak di OECD, kita akan menunda kapasiti produktif semula seperti yang berlaku pada 2008,’’ kata Harry Tchilinguirian penganalisis BNP Paribas.

Permintaan minyak mentah dunia dijangka terus tumbuh pada tahun ini dan dalam masa terdekat, diketuai oleh China dan India.

Ini bermakna kekangan terhadap bekalan tidak akan tertangguh lama.

‘‘Kita hanya menunda untuk beberapa tahun, tetapi dalam masa yang sama adalah ketidaktentuan terhadap perkembangan polisi di negara-negara bukan OECD.

‘‘Di sini, kebergantungan terhadap reformasi harga, kecekapan tenaga terhadap kenderaan dan polisi kerajaan,’’ katanya.

Permintaan minyak mentah di OECD telah menjadi kurang sensitif kepada pertumbuhan ekonomi berbanding sebelum ini dan pertukaran penggunaan bahan api bermakna kesan yang kecil terhadap penggunaan minyak untuk tujuan pemanasan pada musim sejuk.

Permintaan OECD terhadap minyak untuk tujuan pemanasan akan jatuh pada suku pertama, walaupun berhadapan dengan cuaca sejuk melampau, menurut IEA yang mengatakan sumber seperti gas, tenaga boleh diperbaharui dan tenaga nuklear menjadi pilihan.

Trend mendatar permintaan OECD dan penggunaan tinggi di pasaran membangun juga mencadangkan permintaan minyak mentah bermusim pada masa hadapan.

‘‘Secara tradisi permintaan bermusim adalah pada musim panas dan sejuk,’’ kata penganalisis Societe Generale, Mike Wittner.

‘‘Dengan peningkatan berterusan di negara-negara bukan OECD, permintaan bermusim akan berkurang,’’ katanya. – Reuters

sumber: Utusan Malaysia

Isnin, 8 Februari 2010

Krisis lelaki pertengahan usia

Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my




Perubahan fizikal, seksual mula dirasai pada usia 40 tahun

LELAKI dalam lingkungan usia 40 ke 60 tahun kerap dikaitkan dengan krisis pertengahan usia. Walaupun mungkin ada yang memandangnya dari sudut negatif, ia sebenarnya sebahagian proses kematangan normal.

Semua orang akan melalui detik perubahan emosi dalam hidup. Namun, bagaimana anda menangani perubahan itu yang akan mempengaruhi hidup. Ada lelaki yang berjaya mengharunginya dengan baik.

Bagaimanapun, tidak dinafikan bagi sesetengah lelaki, krisis pertengahan usia sangat merumitkan hingga membawa kepada tekanan perasaan atau mungkin perceraian.


Pakar Perunding Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Muhamad Muhsin Ahmad Zahari, berkata jika wanita mengalami putus haid, lelaki pula kerap tersepit dalam permasalahan di usia pertengahan.

Ada penyelidik yang melihatnya sebagai andropaus, namun bagi Dr Muhsin ia sebenarnya lebih kepada keupayaan seseorang lelaki itu untuk menangani masalah yang dihadapinya.

Dr Muhamad Muhsin

“Perkara paling asas ialah menjaga pemakanan dan bersenam, selain berada dalam persekitaran yang positif,” katanya.

Kata Dr Muhsin, lelaki dengan emosi yang tidak stabil mula berfikiran negatif, membandingkan kejayaan dirinya dengan rakan, sekali gus memberi tekanan dan mula berasakan kehidupannya akan berakhir tanpa sebarang pencapaian.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan perubahan hormon yang mempengaruhi bukan saja fizikal tetapi keinginan seksual dan dihimpit permasalahan peribadi dengan pasangan.

“Hormon testosteron bukan saja mempengaruhi keinginan seksual, tetapi apabila parasnya menurun ia juga menjejaskan pemikiran dan tubuh badan,” katanya.

Dr Muhsin berkata, krisis pertengahan umur di kalangan lelaki juga boleh dilihat pada perubahan fisiologi. Menghampiri usia 40 tahun hormon testosteron menyebabkan perubahan fizikal yang boleh dilihat, antaranya jika dulu tegap tetapi sekarang sudah gemuk dan buncit. Fungsi seksual juga berkurangan sekali gus mempengaruhi sosiologi.

Perubahan biologi dilalui oleh semua orang lelaki dan wanita tetapi perubahan itu tidak sama. Ia berkait dengan isu paling asas, menjaga pemakanan dan mengawal berat badan dan berada dalam suasana persekitaran yang kondusif.

Ada kala tekanan perasaan pada pekerjaan ditambah dengan masalah kesihatan akan menyebabkan lelaki hilang kawalan dalam hidupnya. Ada juga lelaki yang berkeinginan memulakan hubungan baru kerana melihat kehidupan sosialnya yang semakin stabil dan anak-anak juga sudah meningkat dewasa.

Dr Muhsin berkata, lelaki yang berdepan dengan krisis pertengahan umur kerap tidak menyedari masalah sebenar. Isteri atau ahli keluarga yang rapat boleh membantunya. Perubahan sikap dan mood boleh memberi petunjuk masalah sebenar dialami.

Jika ia dikaitkan dengan masalah andropaus, ia perlu dirujuk kepada doktor. Mengambil terapi gantian hormon antara rawatan yang ditawarkan perubatan Barat. Namun, keupayaan mengawal diri, bersenam dan menjaga kesihatan adalah antara langkah paling asas dan utama.

INFO: Simptom lelaki alami krisis pertengahan usia

  • Berasakan tidak bahagia dengan hidupnya atau gaya hidupnya

  • Bosan dengan mereka yang berada di sekelilingnya dan bidang yang dulu menarik minatnya.

  • Mempersoalkan pilihan yang tidak dibuat dalam hidup dan mengapa mereka tidak memilih sebaliknya

  • Marah pada pasangan dan rasa terikat dengannya

  • Tidak berupaya membuat keputusan hala tuju hidup mereka

  • Keinginan menjalin perhubungan baru.
  • Sabtu, 6 Februari 2010

    Zambry melepasi ujian awal

    JIKA boleh diukur berdasarkan carta, Perak tentunya mengungguli kedudukan sepanjang tahun lalu apabila berlaku peristiwa-peristiwa menggemparkan membabitkan tindakan-tindakan politik luar biasa.

    Kekecohan perjalanan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menyaksikan pelbagai 'drama' dimainkan oleh parti pembangkang, adalah peristiwa besar yang berterusan mewarnai suasana tersebut.

    Ada yang melihat tindakan pembangkang itu sedikit sebanyak berjaya mempengaruhi sentimen rakyat apabila di peringkat awalnya, mereka turut terheret untuk melakukan tunjuk perasaan. Namun ramai yang berpendapat, usaha pihak terbabit hanya sebagai 'membuka pekung di dada' di mana akhirnya rakyat sendiri dapat menilai sikap dan perwatakan sebenar pembangkang.

    Hari ini, genap setahun Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mengharungi segala cabaran dan dugaan sebagai Menteri Besar Perak. Apa yang pasti, tiada lagi berlaku tunjuk perasaan membabitkan rakyat menolak pentadbirannya.

    Malah, setiap kali turun padang untuk menyertai aktiviti kemasyarakatan, kehadiran Zambry disambut baik. Pelbagai perancangan ekonomi dan sosial dirancang sebaik mungkin demi memastikan janji-janji memenuhi kesejahteraan rakyat dicapai. Hakikatnya, walaupun diasak dengan pelbagai tuduhan serta tohmahan, Zambry tetap dengan sikapnya yang tenang dan sederhana.

    ''Tak kisah apa mereka nak cakap. Kalau layan, tak habis-habis. Saya nak buat kerja," antara kata-kata biasa yang diucapkan setiap kali diajukan pertanyaan tentang dakwaan-dakwaan pembangkang.

    Pun begitu, kesederhanaan Zambry bukan bermakna beliau menerima apa sahaja keadaan yang dilaluinya. Jika ia berkaitan dengan soal kerja, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor ini cukup tegas.

    ''Tempoh setahun sebenarnya sangat singkat untuk kita menilai kemampuan seseorang itu, apa pun Zambry berjaya meletakkan dirinya sebagai pemimpin masa depan," kata pakar politik, Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak ketika dihubungi baru-baru ini.

    Kemampuan Zambry berdepan dan menerap segala tekanan politik di sekelilingnya, disifatkan sebagai suatu kemampuan yang luar biasa.

    ''Ini adalah krisis paling hebat dalam konteks Perak. Zambry telah buktikan tampil dengan gaya kepimpinan tersendiri. Nampak kebijaksanaan beliau yang bertenang menghadapi krisis," katanya.

    Pun begitu, kata Mohamed Mustafa, sebagai individu yang diangkat menjadi ketua dalam suasana berlaku krisis, tentunya Zambry tidak terlepas daripada berhadapan dengan masalah dalaman parti sendiri.

    ''Maknanya little Napolean yang masih wujud di beberapa tempat di Perak terutama di kalangan ketua bahagian UMNO sendiri. Mereka patut sedar, masa 'bermaharajalela' di tempat masing-masing sudah berlalu. UMNO sekarang tidak kuat lagi seperti dulu. Mereka mesti ikut rentak politik semasa," katanya.

    Keadaan itu, jika dibiar berlarutan, bukan sahaja akan menjejaskan kepimpinan kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi oleh UMNO malah menyukarkan usaha untuk menarik keyakinan rakyat.

    ''Apa yang berlaku pada 2008 sepatutnya menyedarkan para pemimpin Perak akibat perpecahan sesama sendiri. Mereka ini harus tampil membantu Zambry memperbaiki setiap kelemahan dan menjayakan aspirasi pucuk pimpinan," katanya.

    Walaupun Zambry dilihat berjaya mengharungi ujian fasa pertama pentadbirannya, namun ia seharusnya menjadi suatu anjakan untuk mencapai kejayaan lebih besar.

    sumber: Utusan Malaysia

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...