Rabu, 7 Oktober 2009

Bersedia mendepani bencana

"GEGARAN kali ini lebih kuat, lagi dahsyat dari 2004," demikian teks sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima daripada seorang rakan lewat petang Khamis lalu. Dengan pantas penulis dapat menelah SMS itu pastinya reaksi daripada kejadian gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter berpusat di Sumatera Barat, Indonesia yang baru beberapa minit berlaku sebelum itu.

Gempa bumi itu sehingga kini mengorbankan tidak kurang 3,000 nyawa dengan ramai dilaporkan masih terperangkap di bawah timbunan rumah dan bangunan yang ranap.

Sejak rakan ini berpindah dan tinggal di apartmen berbelas-belas tingkat di pinggir ibu kota itu, dia tidak pernah terlepas daripada merasai gegaran akibat gempa bumi kuat terutamanya yang berpusat di Sumatera.

Pada ingatan penulis, ini merupakan pengalaman gempa bumi mencemaskan yang keempat dialami rakan itu yang menyaksikan penduduk di apartmennya bergegas mengosongkan rumah masing-masing. Malah, rakan ini turut mempunyai kenangan dalam sejarah gempa bumi paling dahsyat pernah direkodkan sepanjang empat dekad yang berpusat di Sumatera Barat, Indonesia pada 2004.

Gempa bumi berukuran 9.4 pada skala Richter itu mengorbankan hampir 400,000 nyawa di negara pinggir Lautan Hindi dengan hampir separuh daripadanya merupakan penduduk Indonesia. Itu merupakan pengalaman gempa bumi pertamanya yang membuatkan beliau masih lagi merasakan traumanya sehingga kini.

SMS rakan itu membuatkan penulis terfikir adakah Malaysia yang selama ini bebas daripada malapetaka gempa bumi semakin terdedah kepada ancaman bencana alam itu?

Perkara ini sebenarnya sudah seringkali dibangkitkan setiap kali berlakunya gempa bumi kuat terutamanya yang berpusat di negara jiran yang gegarannya turut dirasakan di negara ini.

Namun, memandangkan gegaran itu tidaklah sampai meranapkan bangunan dan mengorbankan nyawa, kebanyakan kita berasa selesa dengan anggapan bahawa Malaysia masih lagi bebas daripada bencana gempa bumi yang dahsyat.

Hakikat itu juga disokong dari sudut rekod kajian seismologi yang menunjukkan Malaysia sejak 100 tahun lalu atau mungkin lebih lama tidak mengenal pasti adanya kawasan yang akan mengalami gempa bumi besar.

Ini kerana Malaysia terletak di luar kawasan Lingkaran Api Pasifik yang kerap dilanda bencana tersebut. Namun sejauh mana pengetahuan seismologi itu mampu menandingi rencana perubahan kuasa alam?

Adakah berbaloi untuk kita bergantung sepenuhnya kepada rekod-rekod ini dalam mengukur tahap ketahanan negara terhadap malapetaka alam terutamanya gempa bumi?

Pakar-pakar seismologi turut mengingatkan bahawa sebahagian gelinciran yang berlaku pada 2004 mengalami tekanan yang semakin meningkat dan boleh berganjak pada masa depan. Ia termasuk kemungkinan untuk menghampiri Malaysia sekali gus menjadikan risiko gempa bumi yang lebih dahsyat di negara ini bukan sesuatu yang mustahil.

Gelinciran yang terbentuk di pesisiran pantai barat Sumatera sepanjang kira-kira 200 kilometer itu juga menjadi titik pertembungan kerangka tektonik Eropah-Asia dan Pasifik.

Keadaan tektonik yang saling menolak sejak bertahun-tahun lamanya itu turut meningkatkan tekanan ke atas gelinciran.

Dalam jangka masa panjang menurut saintis lagi, gelinciran yang semakin ketara itu mampu mencetus kepada ombak tsunami yang lebih dahsyat berbanding 2004 serta mampu menenggelamkan keseluruhan wilayah Sumatera. Ketika itu, apakah jaminan Malaysia mampu terlepas daripada kuasa bencana alam yang dahsyat tersebut?

Perkara yang sama turut ditekankan oleh Ketua Pusat Penyelidikan Alam Sekitar, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Ku Halim Ku Hamid. Menurut beliau impak gegaran akibat gempa bumi yang turut dirasai di Malaysia tidak lagi boleh dianggap terlalu kecil.

Ini kerana perubahan yang berlaku kepada fenomena alam itu kebelakangan ini memperlihatkan tanda-tanda gegaran semakin menghampiri negara ini.

''Kerana itu juga bencana alam ini terutamanya yang berpusat Sumatera sedikit sebanyak akan turut dirasai oleh Malaysia. Begitu juga dengan ancaman yang dicetuskan olehnya seperti tsunami," katanya.

Tidak dinafikan, dari aspek amaran awal bencana alam, Malaysia agak ke hadapan berbanding negara-negara lain di rantau ini. Selepas peristiwa tsunami pada 2004, Malaysia telah memasang pelampung amaran awal tsunami atau boya di perairan Indonesia, Pulau Layang-Layang dan di bahagian perairan Filipina.

Sistem ini menawarkan data serta capaian maklumat bencana tsunami kepada negara-negara termasuk Vietnam dan China sebagai langkah persediaan menghadapi bencana itu. Sistem itu juga akan menghubungkan ASEAN dengan negara-negara lain seperti India dan Jepun untuk melengkapi jaringan rangkaian maklumatnya.

Pemasangan sistem itu sudah pun diuji keberkesanannya apabila setiap gempa bumi yang berpusat di Laut Sulu, Laut China Selatan dan Lautan Hindi mampu diukur sama ada turut membawa ancaman tsunami atau sebaliknya.

Malah sistem amaran awal tsunami ini juga akan diperluas dari semasa ke semasa meliputi amaran pelbagai bencana alam lain. Ia termasuk kemampuan mengesan gempa, perubahan cuaca serta kenaikan paras air laut.

Penubuhan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Kebangsaan juga di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) merupakan langkah persediaan negara menghadapi sebarang bentuk krisis bencana dan kesihatan secara berterusan.

Pusat ini akan beroperasi sepanjang masa dan menyelaras bentuk tindakan dengan matlamat mengurangkan kematian sebelum, semasa dan selepas berlakunya bencana.

Bagaimanapun sistem amaran awal tidak memberi apa-apa manfaat sekiranya maklumat mengenai ancaman bencana itu gagal disalurkan dengan tepat dan cepat kepada orang ramai. Ini juga menjelaskan mengapa angka korban bencana alam di sesetengah negara sangat tinggi. Ia kerana kegagalan kerajaan memberi amaran awal kepada penduduk untuk menyelamatkan diri.

Dalam kejadian tsunami misalnya, tempoh kira-kira 15 minit selepas gempa bumi melanda dasar laut diambil untuk mencetuskan ombak besar. Tempoh yang sangat kritikal inilah sebenarnya yang seharusnya digunakan oleh kerajaan untuk memberi amaran sepantas mungkin bagi mengelak jumlah korban yang besar.

Bagi Malaysia, tempoh itu boleh diatasi dengan kecanggihan teknologi telekomunikasi dan Internet ketika ini. Apa yang menjadi kebimbangan ialah kebanyakan bangunan di negara ini terutamanya yang dibina pada dekad-dekad awal pembangunan negara tidak mengambil kira ketahanan terhadap gempa bumi.

Ini kerana pada ketika itu, tiada siapa yang menjangka Malaysia satu hari nanti akan turut terdedah kepada bencana alam. Justeru, sistem amaran awal bencana perlu turut memberi perhatian kepada kumpulan-kumpulan yang berisiko ini.

Ia termasuk pendedahan kepada prosedur atau protokol keselamatan menghadapi bencana yang membolehkan mereka dipindahkan ke kawasan yang selamat dengan lancar.

Prosedur mengelak situasi panik dan cemas di kalangan rakyat juga perlu diperluas bagi mengelak kesan bencana yang lebih besar. Ia penting kerana kita sebelum ini tidak pernah berdepan dengan bencana alam dahsyat dengan jumlah korban yang tinggi dan kemusnahan harta benda yang besar seperti yang menimpa Aceh misalnya.

Meskipun sistem amaran awal kita mungkin berjaya menyelamatkan banyak nyawa, namun kesan kemusnahan selepas bencana adalah sesuatu yang lebih sukar diterima.

Justeru aspek kesiapsiagaan dan ketahanan mental juga perlu diberi perhatian dalam kita berdepan dengan kemungkinan bencana.

sumber: Utusan Malaysia

Jumaat, 2 Oktober 2009

Hina Selcat juga patut dihukum

Oleh NOR SEDEK ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

JAWATANKUASA Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) ditubuhkan di bawah bidang kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Ekoran itu sebarang tindakan menegur cara jawatankuasa itu menjalankan tugas boleh dianggap turut menghina Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Namun Selcat tidak ada kuasa untuk menjatuhkan hukuman tetapi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Selangor boleh memainkan peranan dengan mengemukakan syor bentuk hukuman kepada individu yang didapati telah menghina Selcat dan DUN dengan membentangkannya pada sidang DUN.

Penubuhan Selcat dilihat secara umumnya sebagai inisiatif Kerajaan Negeri Selangor untuk memberi satu penambahbaikan kepada pentadbiran di negeri itu sekarang.
Sesuai dengan sifatnya maka Speaker DUN, Teng Chang Khim dilantik sebagai Pengerusi Selcat dan dianggotai beberapa orang wakil rakyat daripada pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN).

Chang Khim juga Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan tersebut.
Tugas pertama Selcat bermula dengan pendengaran awam berhubung penggunaan wang penajaan Badan Amal dan Kebajikan IsteriIsteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis) pada pertengahan Mac lalu.

Sejak itu juga barulah orang ramai mulai faham cara perjalanan jawatankuasa itu dan tujuan kewujudannya dengan lebih jelas.
Wartawan-wartawan yang membuat liputan bebas merakam sesi soal jawab antara ahli panel dan saksi-saksi yang dipanggil.
Jurugambar juga diberi peluang untuk mengambil gambar dalam dewan di Bangunan Annex di kawasan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Shah Alam itu yang turut diberi liputan secara langsung menerusi Internet.

Pendengaran awam itu selesai dengan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo enggan hadir sebagai saksi atas alasan isu yang dibicarakan ialah Balkis - sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) - dan ia tiada mengena dengan pentadbiran negeri ketika beliau menjadi Menteri Besar Selangor.
Selepas itu Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bersidang dan memanggil Mohamad Khir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu kerana tindakan beliau tidak hadir dan membuat kenyataan menerusi laman blog dan media telah menyentuh integriti Selcat dan DUN.
Empat lagi ADUN BN iaitu Datuk Marsum Paing (Dengkil), Datuk Warno Dogol (Sabak), Datuk Mohamed Idris Abu Bakar (Hulu Bernam) dan Mohd. Isa Abu Kassim (Batang Kali) turut dipanggil untuk membela diri kerana menyentuh hak dan kebebasan dalam kenyataan mereka di media.
Pada 19 Mei, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Negeri Selangor mendapati kelimalima ADUN itu bersalah terhadap dakwaan tersebut dan syor-syor bentuk hukuman dibentangkan semasa sidang DUN pada Julai.
Akhirnya pada sidang pertengahan Julai, sidang DUN meluluskan hukuman gantung ke atas Mohamad Khir yang menjadi Ketua Pembangkang ketika itu daripada menghadiri sidang DUN selama setahun dan empat lagi ADUN untuk tempoh enam bulan.
Sepanjang tempoh itu juga elaun dan kemudahan wakil rakyat ditarik balik.
Ekoran hukuman itu juga baru orang ramai sedar begitu kuat dan berpengaruh kuasa dan peruntukan yang boleh dimainkan oleh Selcat dan Jawatankuasa Hak Kebebasan Negeri Selangor kerana selama ini tidak pernah berlaku kes wakil rakyat dijatuhkan hukuman hasil cadangan pihak lain di luar dewan.

Setelah selesai tugasan pertama itu, Selcat mengadakan pendengaran awam kedua.
Kali ini berhubung perbelanjaan wang peruntukan ADUN-ADUN bagi tempoh Januari hingga Mac untuk tahun 2008 dan 2009.
Bagi mendapatkan penjelasan itu kesemua sembilan Pegawai Daerah di Selangor telah diarah hadir sebagai saksi pada sesi yang berlangsung dari 8 hingga 14 September lalu di Bangunan Annex.
Ini kerana pegawai kanan kerajaan tersebut juga adalah pengawal kewangan peringkat daerah yang meluluskan sebarang wang peruntukan untuk ADUN melakukan aktiviti dan program sosial di kawasan masing-masing.
Bagaimanapun sehingga hari akhir sesi, tidak semua Pegawai Daerah sempat memberi keterangan.
Tetapi tindakan Pegawai Daerah Klang, Bakhtiar Hussin membuat sidang media untuk melahirkan rasa kesal dan kecewa kerana beliau telah diperlakukan seolah-olah telah melakukan jenayah semasa sesi pendengaran awam itu menjadikan Selcat kembali menjadi tumpuan umum.
Luahan rasa itu disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Adat- Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali. Beliau secara terbuka mengkritik Selcat kerana cara soalan ditanya dianggap telah mengaibkan Pegawai-Pegawai Daerah.
Malah Hassan mahu tata cara dan jawatankuasa Selcat dirombak dan ahli panel terdiri daripada golongan profesional dan bukannya ahli politik.
Kenyataan-kenyataan pedas itu tidak perlu penelitian rapi tetapi semua pihak dengan mudah faham bahawa beliau telah mencabar integriti Selcat dan DUN.

Maka Chang Khim tiada pilihan selain mengikut prosedur yang diamalkan dengan memanggil Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk membincangkan tindakan yang dilakukan oleh Hassan.
Jika gagal dilakukan dan memberi pelbagai alasan nescaya penubuhan Selcat yang berpaksikan ketelusan bakal dipandang remeh dan tidak dihormati masyarakat sekali gus mencalarkan imej pentadbiran kerajaan Selangor yang melaungkan slogan memperjuangkan keadilan.
Chang Khim perlu buktikan tindakan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan mengesyorkan hukuman ke atas wakil-wakil rakyat pada sidang DUN terdahulu bukan kerana ada niat jahat sebab mereka adalah ADUN BN.
Sebaliknya hukuman itu mengikut lunas undang-undang dan peraturan yang ditetapkan tanpa memilih bulu.

Sekiranya slogan itu menjadi nadi perjuangan dan tiada siapa terlepas daripada undang-undang, maka Hassan tidak boleh dibiarkan bebas tanpa melalui prosedur yang sama supaya integriti Selcat dan DUN terus terpelihara.
Rentetan tindakan inilah yang mahu dilihat oleh rakyat Selangor khasnya.
Jika Chang Khim mengambil sikap menutup sebelah mata, salahkan diri sendiri apabila ADUN-ADUN BN melabelkan Selcat sebagai platform untuk mengetatkan mereka bersuara di dewan.
Janganlah kerana Hassan daripada kem pakatan parti yang sama beliau boleh terlepas. Jawatankuasa Hak dan Kebebasan itu perlu bermesyuarat segera bagi membolehkan syor-syor bentuk hukumannya dapat dibentangkan pada sidang DUN yang dijadualkan bulan November ini.
Hassan mesti menerima hukuman seperti yang diambil terhadap wakil rakyat terdahulu. Malah hukuman ke atas beliau sepatutnya lebih berat atas kapasitinya seorang Exco kerajaan negeri yang mencabar kemuliaan DUN.

PENULIS ialah Ketua Biro Utusan Malaysia, di Shah Alam

sumber: Utusan Malaysia
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...