Ahad, 19 April 2009

Antara fakta dan interpretasi

Ku Seman Ku Hussain
Utusan Malaysia Online

Tidak adil sekiranya silibus buku teks sekolah ditentukan oleh interpretasi politik pihak tertentu dan membelakangkan kalangan profesional. Interpretasi adalah berbagai-bagai, berubah mengikut keadaan tetapi yang ditekankan oleh profesional dalam dunia akademik adalah fakta sejarah.
Fakta sejarah tidak akan berubah. Ini kerana sejarah sesebuah negara berdiri di atas fakta, bukan interpretasi yang sesetengahnya mempunyai helah lain untuk tujuan yang tersendiri. Tanpa mengongkong sejarah daripada diberikan pelbagai interpretasi, tetapi haruslah menjurus kepada kebaikan bukannya meruntuhkan kerangka hubungan kaum yang telah sedia ada.
Selepas setengah abad negara mencapai kemerdekaan, selepas setengah abad juga sejarah negara tertulis, tiba-tiba ada semacam satu gerakan terhormat mahu menulis semula sejarah negara. Prihatin kepada soal sejarah adalah suatu yang baik. Ini kerana sejarah adalah cermin masa lampau untuk melihat wajah masa kini.
Realitinya rakyat hampir terputus dengan semangat dan akar sejarah dalam menongkah masa depan. Sejarah adalah "benda mati" kata sesetengah orang yakni tidak ada keperluan untuk merujuk perencanaan masa depan. Tetapi tiba-tiba pula ada pihak yang kelihatan sangat prihatin dengan sejarah negara dan mendakwa perlu "ditulis" semula mengikut hukum politik semasa. Mereka mendakwa sejarah yang diajar kepada pelajar-pelajar di sekolah tidak menyebut sumbangan kaum Cina dan India dalam gerakan memperjuangkan kemerdekaan dan membangunkan negara.
Walaupun isu ini bergerak di atas premis silibus buku teks sekolah, isu sebenar ialah membuat interpretasi ke atas fakta sejarah. Jadi, isunya bukan buku teks di sekolah tetapi wujudnya satu gerakan yang mengambil landasan terhormat melalui silibus buku teks sejarah. Ada dua perkara penting tentang sejarah yang kita mesti memahami dan melihat dalam konteks yang betul.
Sejarah adalah fakta dan interpretasi. Fakta adalah suatu yang tidak berubah. Sejarah dalam buku teks sejarah di sekolah- sekolah adalah fakta yang memenuhi keperluan Dasar Pelajaran Negara yang melihat sejarah negara dalam konteks Malaysia. Orang politik boleh membuat segala macam interpretasi tetapi jangan sampai menganggu kefahaman pelajar-pelajar.
Apa helah MCA yang membuat "bedah siasat" ke atas silibus buku teks sejarah yang kononnya meminggirkan kaum Cina dan India dalam perjuangan menuntut kemerdekaan? Apa helah MCA yang begitu prihatin kepada ketepatan sejarah yang didakwa mereka tidak tepat atau dalam kata lain sejarah itu ditulis oleh orang Melayu sahaja? MCA seharusnya berterima kasih kepada kalangan profesional yang merangka silibus buku teks sejarah yang tidak menekankan penglibatan orang-orang Cina dalam pergerakan komunis.
Ini menunjukkan menyekutukan orang Cina dengan komunis pada era memperjuangkan kemerdekaan adalah suatu yang tidak adil. Sekalipun ini satu fakta dengan majoriti anggota Parti Komunis Malaya (PKM) misalnya adalah Cina, tetapi fakta itu diabaikan seolah-olah komunis mempunyai anggota sama banyak Melayu dan Cina. Tetapi faktanya majoriti anggota PKM adalah orang Cina. Orang Melayu tidak mempertikaikan satu fakta penting dari sejarah negara yang diabaikan itu. Sebabnya pada masa ini bukanlah untuk mencari siapa juara memperjuangkan kemerdekaan atau siapa yang menjadi pengacau dalam proses mendapatkan kemerdekaan.
Pertentangan
Kemerdekaan yang dinikmati lebih setengah abad perlu terus diisi dan dibangunkan dengan menyingkirkan segala macam rasa tidak puas hati yang barangkali sekadar pertentangan persepsi. Tidak ada salahnya menjadi pengagum sejarah dan menegur sesuatu yang boleh memporakperandakan kestabilan negara. Tetapi cara MCA menimbulkan seolah-olah sejarah negara ditulis oleh orang Melayu atau UMNO adalah sikap yang sangat tidak baik. Isu yang dibangkitkan oleh MCA bukanlah fakta sebaliknya hanya interpretasi ke atas sejarah.
Apa muslihat MCA yang kurang senang dengan fokus yang diberikan kepada Tamadun Islam? Jadi, isu yang mengatakan fakta sejarah perlu ditulis semula kerana "memadamkan" penglibatan orang Cina sebagai pejuang kemerdekaan perlu dilihat melampaui isu sejarah. Ini adalah isu yang dipolitikkan dengan membawa sentimen kaum selepas memberikan interpretasi baru kepada satu fragmen sejarah negara. Ini samalah dengan menyusupi elemen kaum dalam sistem pendidikan apabila Ketuanan Melayu juga dibangkitkan sebagai penghalang kepada usaha membina perpaduan. Orang Melayu juga boleh bertanya berapa banyak pejuang daripada kalangan Cina yang menderita di rumah pasung penjajah semasa menuntut kemerdekaan?
Tetapi orang Melayu berjuang untuk negara, bukan kerana nama. Selepas negara mencapai kemerdekaan, berhasillah perjuangan mereka tanpa perlu mendakwa orang lain tidak turut mempertaruh nyawa menyelamatkan tanah pusaka orang-orang Melayu. Sejarah telah mencatatkan orang-orang Cina majoritinya menjadi pelombong bijih timah dan orang India menjadi pekerja di estet-estet milik penjajah British. Orang Melayu menjadi petani dan nelayan kerana itu adalah bidang yang diterokai oleh generasi sebelumnya.
Apabila MCA mempersoalkan bahawa sejarah kemerdekaan negara meminggirkan perjuangan orang Cina, ini juga satu pengajaran yang berguna kepada UMNO dan kerajaan. Isu yang dibangkitkan oleh MCA barangkali boleh membawa kita melihat semula dalam konteks lebih luas tentang nasionalis-nasionalis Melayu yang dipadamkan dari lipatan sejarah kemerdekaan. Kita mesti menerima hakikat bahawa nasionalis Melayu di luar UMNO dipadamkan dari pengetahuan generasi muda masa kini.
Setiap kali ulang tahun kemerdekaan pada 31 Ogos, nama-nama nasionalis Melayu berhaluan kiri seperti Dr. Burhanuddin Helmy, Ahmad Boestamam, Dr. Ishak Mohamad (Pak Sako), Ibrahim Yaacob, Tan Sri Samad Ismail dan banyak lagi seolah-olah tidak menyumbangkan apa-apa kepada kemerdekaan negara. Padahal mereka inilah yang menjadi penghuni rumah pasung British. Memang benar nasionalis ini berhaluan kiri tetapi mereka turut memperjuangkan kemerdekaan. Tetapi bagi sejarah dalam konteks Melaysia wajarkah kita memadam nama mereka sedangkan mereka juga berjuang?
Kalau kita memberi masa atau membuang masa melayan isu yang dibangkitkan oleh MCA, kita juga kena memberikan ruang yang sama untuk melihat semula kedudukan nasionalis Melayu yang disebutkan di atas tadi.
Malangnya orang Melayu tidak menggunakan sentimen kaum untuk mempersoalkan apabila nama-nama nasionalis Melayu digugurkan seperti MCA prihatin terhadap orang-orang Cina. Barangkali MCA kena belajar daripada orang Melayu bagaimana menilai dan memberi harga kepada kemerdekaan tanpa mengungkit siapa yang memperjuangkannya. Orang Melayu tidak pernah menulis surat kepada kerajaan mempersoalkan kenapa ada nasionalis Melayu yang dipadamkan nama mereka.
Orang Cina tidak perlu terlalu terperangkap dengan emosi mengenai sumbangan mereka dalam kemerdekaan. Sebaliknya mereka perlu melipatgandakan sumbangan untuk mengisi kemerdekaan dengan membina sekian banyak jerejak perpaduan dan persefahaman dengan kaum lain khususnya Melayu. Mempersoalkan kesahihan fakta sejarah orang Cina bukanlah menegakkan jerejak perpaduan tetapi menggoyahkan yang telah ada.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...