Sabtu, 25 April 2009

Lumut kini Bandar Tentera Laut, Pelancongan dan Maritim

Bandar Tentera Laut
25/04/09
- sumber Utusan Malaysia Online

LUMUT 24 April - Sultan Perak, Sultan Azlan Shah hari ini berkenan menyempurnakan pengisytiharan Lumut sebagai Bandar Tentera Laut, Pelancongan dan Maritim.
Detik-detik pengisytiharan bersejarah tersebut turut disaksikan oleh kira-kira 10,000 pengunjung yang datang bersama keluarga masing-masing sejak awal lagi.
Pengisytiharan itu dibuat sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Perak Ke-81 dan 25 tahun pemerintahan baginda serta Jubli Intan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Turut berangkat menyaksikan acara tersebut ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan isteri serta kerabat diraja yang lain.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Kong Cho Ha.
Sebagai gimik pengisytiharan, Sultan Azlan berkenaan menekan suis khas sebelum menarik kain penutup replika sebuah sauh kapal yang ditempatkan di depan pentas.
Terdahulu, baginda berkenan memeriksa perbarisan kehormat sepasukan anggota TLDM sebelum menyaksikan lintas hormat lapan buah helikopter dari pangkalan TLDM di sini.
Tetamu diraja dan pengunjung kemudian disajikan dengan demonstrasi oleh Pasukan Khas Laut (Paskal) melibatkan ketangkasan pasukan bot tempur, bot laju dan helikopter dalam misi menyelamat tebusan daripada tahanan lanun di atas sebuah kapal dagang.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...