Sabtu, 18 April 2009

kekecohan Politik Perak

Notis sidang DUN dikeluar tanpa pengetahuan saya - Sivakumar

18/04/2009 3:32pm
IPOH, 18 April — Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V. Sivakumar hari ini mendakwa notis untuk DUN Perak bersidang pada 7 Mei ini telah dikeluarkan Setiausaha DUN Perak Abdullah Antong Sabri tanpa pengetahuan dan persetujuan beliau (Sivakumar) terlebih dahulu.
Sehubungan itu, Sivakumar berkata beliau telah menggantung tugas Abdullah sebagai Setiausaha DUN kerana mengeluarkan notis tersebut yang dianggap sebagai satu tindakan ketidakpatuhan.
“Saya dengan ini bersetuju melantik Mohd Misbahul Munir Marduki untuk menggantikan beliau sebagai Setiausaha DUN sehingga saya mengeluarkan keputusan selanjutnya,” katanya pada sidang akhbar di Wisma DAP di sini hari ini.
Sivakumar berkata akan menulis surat untuk mendapatkan pengesahan dan penjelasan daripada pihak Istana berhubung perkara itu kerana sebarang notis untuk memanggil DUN bersidang mestilah dilakukan dengan pengetahuan dan persetujuan Speaker.
“Sementara itu, persidangan DUN yang dikatakan akan berlangsung pada 7 Mei tidak boleh diteruskan sementara menunggu untuk mendapatkan penjelasan.
Persidangan DUN berkenaan terpaksa ditangguhkan ke suatu tarikh lain berikutan keperluan untuk memberikan notis 14 hari kepada Anggota DUN,” katanya.
Semalam Abdullah mengesahkan bahawa beliau telah mengeluarkan notis untuk bersidang pada 7 Mei kepada semua anggota DUN mulai semalam.
Abdullah juga berkata pihaknya telah mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah berhubung persidangan DUN itu semalam dan baginda berkenan menandatangani surat pengisytiharan berhubung persidangan itu.
Kali terakhir DUN Perak bersidang adalah pada 13 Nov 2008 dan sekiranya dewan berkenaan tidak bersidang dalam tempoh enam bulan dari tarikh akhir itu maka DUN Perak akan bubar secara automatik dan pilihan raya bagi DUN perlu diadakan.

mengulas berita tersebut. SUK Negeri Perak mengulas seperti berikut

Tindakan gantung tugas Setiausaha DUN tidak sah
18/04/2009 8:18pm
IPOH 18 April — Tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V. Sivakumar menggantung tugas Abdullah Antong Sabri sebagai Setiausaha DUN Perak seperti yang dilaporkan media hari ini adalah tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan, kata Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri Perak Datuk Dr Abdul Rahman Hashim.
Beliau berkata jawatan Setiausaha DUN Perak adalah jawatan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) Gred M52 yang diluluskan oleh pihak berkuasa negeri melalui waran perjawatan yang ditandatangani oleh Menteri Besar Perak.
“Proses pelantikan dan pengisian jawatan itu memerlukan kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Selepas itu selaku SUK kerajaan negeri Perak dan bagi pihak kerajaan negeri, saya akan mengeluarkan surat rasmi pelantikan Setiausaha DUN Perak.
“Dengan ini dimaklumkan bahawa pihak JPA mahupun kerajaan negeri atau saya tidak ada mengambil sebarang tindakan ke atas Abdullah,” katanya di sini hari ini. - Bernama

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...