Rabu, 22 April 2009

Penjenayah bantu lanun

Sindiket di Teluk pengedar wang tebusan rampasan kapalNAIROBI: Sindiket terancang yang beroperasi di Dubai dan negara Teluk lain menjadi pengedar wang tebusan diperoleh daripada pemilik kapal ditawan di perairan Afrika Timur dengan laporan terbaru menyatakan sebuah kapal tangki membawa bahan kimia milik Filipina dan 23 krewnya dibebaskan, semalam. Pembebasan itu menyusuli pembebasan kapal Lubnan, MV Sea Horse selepas lanun menerima wang tebusan AS$100,000 (RM350,000).
Penyiasat yang diupah industri perkapalan memberitahu akhbar The Independent, kira-kira AS$80 juta (RM288 juta) dibayar tahun lalu – jauh lebih besar daripada yang diakui. Namun, ketika sesetengah wang itu berada di syurga lanun di Somalia, berjuta-juta lagi disalur secara haram menerusi bank di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan beberapa negara Asia Barat lain. Golongan yang digelar 'godfather' operasi haram itu, menurut penyiasat, termasuk ahli perniagaan Somalia dan Asia Barat, selain individu benua kecil India. Ada juga laporan sebahagian wang itu diserahkan kepada militan Islam.
Syarikat keselamatan Idarat Maritime, yang pakar pada perlindungan maritim, bekerjasama dengan firma insuran terkenal, Lloyd's, untuk merumus keselamatan bagi kapal dan krew. Bekas pegawai Marin dan pengarah firma itu, Christopher Ledger, berkata: "Ada bukti menunjukkan sindiket itu yang berpangkalan di Teluk – sesetengahnya di Dubai – memainkan peranan penting dalam jenayah lanun yang semakin menjadi-jadi di pantai Afrika. "Ia membabitkan wang besar dan ini memberikan sindiket itu capaian untuk meningkatkan cara canggih memindahkan wang, selain capaian kepada teknologi moden dalam melancarkan rampasan. Ini adalah masalah antarabangsa dan syarikat perkapalan perlu memastikan krew mereka belajar cara menanganinya." Penyiasat mendapati kumpulan lanun mengeksploitasi maklumat diberikan kepada industri perkapalan untuk merancang serangan.
Segelintir sindiket lanun yang dibiaya melakukan uji kaji cat 'halimunan' seperti AR 1, dihasilkan saintis Jerman yang tinggal di UAE, menjadikan bot sukar dikesan menggunakan radar jarak jauh kargo. – Agensi

- sumber Berita Harian Online

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...