Ahad, 24 April 2011

Hukum rakaman video sebagai bukti sabit zina

Hukum-hakam agama di Malaysia selalu berhadapan dengan masalah kerana banyak sebab, salah satu yang paling ketara ialah kerap dicemari dengan manipulasi politik pelbagai pihak. Ramai orang Muslim di Malaysia pula menjadi keliru kerana isu agama atau berkaitan agama yang dibangkitkan telah dimanipulasi dan dipolitikkan secara halus atas nama hukum-hakam agama.

Maklumlah bila orang yang main peranan dalam mengeluarkan hukum agama secara manipulasi politik bukan calang-calang orang. Tetapi mereka adalah orang yang berpendidikan agama tinggi yang bergelar ustaz dan ulama. Justeru ramai kalangan orang awam terpedaya dan percaya tanpa menyedari mereka itu bermain politik dan melaksanakan manipulasi politik ketika mengeluarkan hukum agama.
Dalam perkembangan terbaru adalah contoh manipulasi politik dalam hukum agama yang dikeluarkan oleh pihak yang membela seorang pemimpin kanan pembangkang yang didakwa pelaku aksi seks dalam rakaman video.

Golongan agama itu menerusi hukum agama yang bersifat selektif dan tidak lengkap mendakwa bahawa pertuduhan zina hanya wajib dibuktikan dengan empat saksi sahaja. Perkara ini tidak tepat kerana ada pandangan kedua daripada ulama-ulama lain mengatakan pertuduhan zina boleh dibuktikan melalui qarinah, iaitu bukti bandingan yang kuat boleh digunakan bila tidak mempunyai empat saksi.

Malah jika ditolak qarinah sebagai bukti sekali pun seseorang pelaku seks jika disabit kesalahannya tidak akan terlepas daripada hukuman kerana mesti dilaksanakan ke atasnya juga hukuman takzir yang terserah kepada pertimbangan hakim atau mahkamah.

Selain itu tidak tepat juga golongan agama tersebut menggambarkan ajaran Islam menuntut orang Muslim supaya menutup aib orang Muslim yang lain tanpa pengecualian. Mereka membuat gambaran begitu kerana membawa sebahagian sahaja ajaran Islam dengan menyembunyikan sebahagian yang lain bagi membela pemimpin pembangkang berkenaan.

ajaran

Memang benar ajaran Islam menuntut orang Muslim menutup aib orang Muslim yang lain. Tetapi tidak secara mutlak. Kerana penutupan aib orang Muslim itu adalah bersyarat seperti dijelaskan dalam kitab-kitab fiqah, iaitu mesti orang Muslim yang wajib ditutup aibnya itu bukan yang terkenal sebagai zalim, jahat, rosak, fasik, rasuah, tidak bermaruah, tidak bermoral dan sebagainya.

Sedangkan jika orang Muslim terkenal sebagai zalim, jahat, rosak, fasik, rasuah, tidak bermaruah, tidak bermoral dan sebagainya, maka wajib atau harus didedahkan kejahatan serta hukuman pula perlu dilaksanakan ke atasnya.

Jika begitulah ajaran Islam memperlakukan ke atas orang Muslim di kalangan orang awam yang terlibat dalam kejahatan dan jenayah, maka sudah tentu lebih serius lagi tuntutan pendedahan dan hukuman yang perlu diperlakukan kepada para pemimpin yang terlibat dan kejahatan dan jenayah yang sama.

Begitu juga tidak tepat menganggap orang yang mendedahkan kejahatan dan jenayah orang lain tanpa saksi yang memadai seperti empat saksi dalam kes zina wajib dikenakan hukuman qazaf secara mutlak, iaitu hukuman 80 sebatan. Ini kerana hakikatnya hukuman qazaf dikenakan hanya ke atas pendedah atau penuduh yang tidak mengemukakan sebarang bukti.

Sebaliknya jika pendedah atau penuduh itu mengemukakan bukti yang kukuh walaupun tanpa empat saksi, iaitu bukti berupa qarinah, dia tidak dikenakan hukuman qazaf. Sebaliknya orang yang didedah dan dituduh pula yang dikenakan hukuman menurut prosedur takzir.

Hakikatnya isu video seks yang didakwa melibatkan pemimpin kanan pembangkang itu bukan sahaja mendapat perhatian di Malaysia, tetapi turut mendapat perhatian juga di tempat saya di selatan Thailand dan seluruh negara Islam. Ini kerana pemimpin kanan pembangkang itu terkenal di seluruh negara Islam sebagai pemimpin pergerakan Islam berwibawa sebelum beliau didakwa terlibat dalam liwat kali pertama dan kedua.

Ramai di kalangan orang Muslim di Thailand dan seluruh dunia melihat pemimpin kanan pembangkang berkenaan sebagai mangsa politik dalam kes liwatnya. Bagaimana pun pandangan masyarakat Muslim sedikit berubah kebelakangan ini dengan pendedahan media berbanding masa lalu terutama selepas muncul pendedahan Wikileaks. Mungkin lebih ramai masyarakat Muslim akan berubah pandangan pula selepas video seks yang didakwa melibatkan pemimpin kanan pembangkang berkenaan dimuat naik ke Youtube.

Berdasarkan perbincangan dengan beberapa orang guru agama di selatan Thailand yang menonton mukadimah zina dalam video seks itu, saya mendapati ada di kalangan mereka berkata, ini tidak perlu lagi kepada empat saksi.

Malah ada juga yang berkata, ini lebih kuat daripada empat saksi, bukan dalam konteks hukum hudud yang tidak pernah dilaksana pada zaman awal Islam kecuali melalui pengakuan itu, tetapi dalam konteks hukum sains dan teknologi yang meyakinkan.

pemimpin

Sesetengah guru agama berhujah, sukar untuk percaya jika ada lebih empat orang hamba Allah mendedah tentang skandal seks seorang pemimpin termasuk mereka yang menjadi objek pemimpin berkenaan, sama ada wanita mahupun lelaki (yang kena liwat). Tetapi sebaliknya bila menonton rakaman video yang mengandungi adegan-adegan seks perzinaan sesuatu pasangan kerana meyakinkan.

Pandangan beberapa guru agama selatan Thailand ini tepat dan sejajar dengan beberapa pandangan ulama yang menganggap qarinah boleh meyakinkan dan boleh mensabitkan hukuman sekurang-kurangnya hukuman takzir. Rakaman video, rakaman audia, rakaman gambar, asid deoksiribonukleik (DNA) dan sebagainya adalah qarinah belaka.

Dalam pada itu meneliti reaksi para pembaca di pelbagai laman web dan blog Arab yang turut menyiarkan videoa mukadimah zina pemimpin kanan pembangang itu tidak berbeza dengan pandangan para ustaz di selatan Thailand itu. Kerana ramai yang percaya. Ini amat berbeza sekali dengan pendedahan dibuat dalam kes liwat pertama dan kedua kerana ramai yang menganggap itu konspirasi politik. Belum pasti apa pandangan terbaru Dr. Yusuf al-Qaradawi, Dr. Jabilr al-Ulwani dan lain-lain ulama Arab yang sebelum ini pernah mengeluarkan fatwa menyokong pemimpin kanan pembangkang berkenaan dalam kes liwat pertama dan kedua. Mungkin mereka atau pembantu-pembantu mereka sudah menonton video berkenaan di Youtube, tetapi terpaksa diam dan membisu. Mungkin juga mereka belum lagi menonton.

Paling malang ada cerdik pandai agama dan ulama golongan lain turut terikut-ikut dan terperangkap dengan manipulasi politik pihak itu. Dengan itu mereka turut membuat kenyataan bahawa rakaman video tidak boleh dijadikan bahan pembuktian dalam kes zina.

Ingin dijelaskan di sini sebagai sambungan kepada penjelasan bahawa zina dan lain-lain jenayah hudud boleh disabitkan dengan qarinah, bagi sesetengah ulama seperti dalam kes wanita hamil dan kes wanita kena rogol. Dalam kes wanita hamil kerana perzinaan, lelaki dan wanita yang melakukan perbuatan keji itu boleh dikena hukuman jika tidak segera berkahwin untuk mengesah kedudukan mereka dan menutup aid mereka. Dalam kes rogol atau hamil kerana rogol pula, pesalah lelaki boleh disabitkan kesalahan dan dikenakan hukuman, manakala mangsa wanita terlepas dan wajib disembunyi identitinya.

Sebenarnya qarinah merupakan bukti terkuat selepas empat saksi dan pengakuan dalam kes zina; dan dua saksi dalam kes-kes bukan zina. Bagaimanapun, qarinah hanya bukti adalah ijtihad. Dengan itu ulama berbeza pandangan mengenainya.

sumber: Utusan Malaysia

Khamis, 21 April 2011

UUM rayu kali keenam rebat cukai tanah

Oleh Nahar Tajri
nahar@bharian.com.my
2011/04/21


Permohon dihantar kepada MB

SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) semalam sekali lagi mengemukakan rayuan kepada kerajaan PAS Kedah, iaitu kali keenam bagi mendapatkan rebat cukai tanah yang dikenakan ke atas institusi itu.

Ini berikutan lima permohonan mereka sebelum ini yang dibuat sejak 2009 hingga tahun lalu tidak mendapat maklum balas yang baik daripada kerajaan negeri, termasuk selepas pertemuan Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak dengan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak pada 25 Julai tahun lalu.

Pada 2009, dua surat rayuan dihantar oleh UUM, iaitu pada 29 April kepada Pengarah Tanah dan Galian negeri dan pada 10 Jun secara terus kepada Menteri Besar, namun jawapan diterima adalah kerajaan negeri tidak dapat meluluskannya.

Tiga lagi surat rayuan dihantar tahun lalu iaitu kepada Menteri Besar pada 25 Julai, Pentadbir Tanah Kubang Pasu pada 19 September dan 22 Disember, namun tiada maklum balas diterima daripada pihak berkaitan.

Sehubungan itu, Mohamed Mustafa berkata, satu lagi surat rayuan sudah dikemukakan petang semalam terus kepada Menteri Besar dan berharap agar ia mendapat maklum balas yang positif daripada kerajaan negeri.

Katanya, UUM akan tetap membayar cukai itu jika tidak diberi rebat oleh kerajaan negeri kerana tidak mahu dikenakan tindakan, namun dalam masa sama mereka tidak akan jemu merayu bagi mendapatkan rebat berkenaan.
“Saya harap kerajaan negeri menerima rayuan kita kerana saya membandingkan nilai tanah di UUM ini jauh lebih rendah, berbanding nilai tanah sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang terletak di Gombak, Selangor, namun mereka hanya membayar RM300,000 setahun. Adakah nilai tanah di Sintok lebih tinggi berbanding Gombak.

“Di antara 2006 hingga 2008 kita hanya membayar RM100,000 setahun kepada kerajaan negeri dan mengapa hari ini tidak boleh sedangkan kita (UUM) masih di negeri sama dan yang berubah cuma kerajaan yang memerintah.

“Kerajaan negeri juga bercakap soal prihatin kepada semua pihak di negeri ini dan saya berharap berasaskan itu janganlah hal ini diabaikan kerana ia membabitkan kepentingan dunia pendidikan dan masa depan pelajar," katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Mohamed Mustafa juga meminta agar satu tindakan lebih berkesan diambil bagi menyelesaikan isu bekalan air di UUM yang berlarutan sejak lama.

“UUM boleh mohon supaya Kerajaan Pusat meningkatkan infrastruktur, namun jika bekalan air tidak cukup apa gunanya. Saya harap cari jalan penyelesaian sebaiknya dan tidak menyalahkan orang lain dalam hal ini.

“Saya juga berharap agar pegawai kerajaan negeri datang sendiri dan lihat situasi sebenar di sini. Jangan pandang dari jauh dan buat kesimpulan sendiri. Pada saya, isu ini bukan politik kerana yang penting bagi saya adalah UUM sebagai sebuah institusi pendidikan terkenal negara ini. Jika orang lain mahu mempolitikkannya, saya tiada kuasa menghalang,” katanya.

Semalam, akhbar ini memetik Azizan sebagai berkata, kerajaan negeri kekal dengan keputusan mengenakan cukai tanah sebanyak RM1.743 juta setahun kepada UUM selepas tempoh rebat selama dua tahun tamat pada 2009.

sumber: Berita Harian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...