Khamis, 9 April 2009

adakah maklumat ini memberi apa-apa makna kepada anda????

Sokongan Melayu kepada BN meningkat

TAIPING 8 April - Jumlah pengundi Melayu yang menyokong Pas merosot kepada 43 peratus pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang semalam berbanding 47 peratus dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12).
Pengarah Operasi Jentera Pilihan Raya Kecil Pas, Asmuni Awi bagaimanapun berkata, parti itu gembira dengan undi masyarakat Cina yang meningkat kepada 75 peratus berbanding 65 peratus pada PRU-12.
Beliau berkata, peratusan pengundi India pula tidak banyak berubah apabila Pas memperoleh kira-kira 60 peratus sokongan berbanding antara 62 hingga 64 peratus pada PRU-12.
''Analisis kami menunjukkan kemenangan Pas juga berpunca daripada peratusan keluar mengundi yang tinggi.
''Sokongan pengundi Cina meningkat kerana Pas lebih bersifat terbuka dan tidak mengamalkan diskriminasi kaum dan agama berbanding parti lawan," katanya pada sidang akhbar di Markas Tarbiyyah Pas Air Kuning dekat sini hari ini.
Asmuni yang juga Timbalan Pesuruhjaya III Pas Perak berkata, sokongan pengundi Melayu di kawasan bandar meningkat manakala di kampung dan pedalaman merosot dengan alasan pengundi di bandar memperoleh lebih banyak maklumat.
Menurut beliau, Pas juga mencapai kemenangan di dua kawasan iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sepetang (Pas 8,648 - BN 6,259 undi) dan di DUN Changkat Jering (Pas 9,896 - BN 8,206 undi).
Katanya, BN terus menguasai DUN Trong apabila memperoleh 4,174 undi berbanding Pas, 3,367 undi.
Kata Asmuni lagi, Pas memenangi enam daripada 13 daerah mengundi di DUN Kuala Sepetang iaitu pertambahan satu daerah mengundi berbanding PRU-12.
Bagaimanapun, katanya, kemenangan daerah mengundi Pas di DUN Changkat Jering dalam tempoh sama kurang satu apabila hanya menguasai tujuh daripada 11 daerah mengundi.
''Di DUN Trong, walaupun tewas tetapi Pas menang tujuh daripada 14 daerah mengundi iaitu bertambah dua daerah mengundi berbanding PRU-12 manakala satu daerah mengundi iaitu di Pulau Pasir Hitam mencatatkan keputusan seri," katanya

- sumber Utusan Malaysian Online 9 April 2009

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...