Selasa, 29 September 2009

Agama bukan untuk tawar-menawar

PERBICARAAN tentang agama bukanlah boleh sewenang-wenangnya seperti membicarakan persoalan lain yang lebih berbentuk peribadi. Seorang profesor melalui e-mel memberitahu bahawa dalam kuliah-kuliahnya, beliau kerap menegaskan kebebasan beragama bukan sahaja bermakna kebebasan untuk keluar dari agama yang merupakan salah satu makna kecil dari prinsip ini.

"Makna teras daripada prinsip kebebasan beragama ialah kebebasan untuk mengamalkan sesuatu agama yang ditafsir oleh mereka yang dianggap berwibawa dalam agama tersebut dalam sesuatu masyarakat. Aspek kedua dari makna ini telah diamalkan sepanjang sejarah perkembangan Islam di seluruh dunia termasuk di Malaysia,'' kata profesor itu.

Saya bersetuju dengan pandangan ini kerana agama adalah satu pegangan hidup. Ia bukan seperti baju dan seluar yang dapat ditukar ganti.

Atas dasar inilah, agama seharusnya dipelajari dengan penuh ilmu dan hikmah. Kitab dan hikmah inilah yang membawa manusia menjadi makhluk bertamadun dan berperadaban. Maka agama yang dipelajari dengan ilmu akan mampu menusuk ke sanubari seseorang penganut agama itu.

Sebab itulah, agama haruslah dipelajari dari para guru yang berwibawa, yang mampu mentafsirkan agama berdasarkan kepelbagaian ilmu di dalam agama tersebut. Agama bukanlah sesuatu yang dipelajari di tepi-tepi jalan seperti membeli ubat dari penjaja.

Profesor itu juga menyebut bahawa akidah dan syariah Islam tidak harus dilihat dari kaca mata orang lain. Malah juga bukan dari kaca mata orang Islam sendiri yang tidak terlatih dalam bidang berkenaan.

Namun begitu pintu perbincangan umum tetap terbuka dengan seluas-luasnya untuk memberikan pentafsiran di luar bidang akidah dan syariah yang menjadi dasar dan prinsip asasi agama.

Islam sendiri sentiasa membuka pintu ijtihad tetapi ia bukanlah terbuka untuk sesiapa sahaja yang merasakan dirinya mampu berijtihad. Berijtihad di dalam agama, terutamanya mengenai akidah dan syariah bukan seperti yang dilakukan oleh tukang ramal dan ahli nujum.

Berijtihad di dalam agama mempunyai syarat-syarat dan rukun yang ketat bertujuan supaya agama tidak akan menjadi satu komoditi yang boleh dijual beli menurut kemahuan individu.

Dalam mengamalkan agama, kebebasan mutlak dalam berhujah atau bersuara, malah dalam melaksanakan hukuman syariah dan prinsipnya bukanlah merupakan satu kebebasan mutlak mengikut tafsiran sesetengah individu.

Seseorang individu atau kumpulan yang tertentu juga tidak mempunyai hak mutlak untuk mempertikaikan urusan akidah dan amal ibadat agama lain.

Dalam konteks ini benarlah pandangan bahawa sekiranya diberikan kebebasan mutlak kepada segolongan penganut sesuatu agama untuk mempersoalkan akidah dan amalan penganut agama yang lain, maka hal ini bererti seperti memberikan lesen untuk membuka gelanggang pergaduhan yang boleh membawa huru-hara.

Tradisi ini perlu menjadi pegangan majoriti rakyat Malaysia dan harus dipertahankan dengan penuh kejujuran dan keikhlasan.

Kita seharusnya mencari titik pertemuan dan persamaan, bukan mencari titik perbezaan dan perselisihan.

Perbincangan mengenai agama bukanlah seperti membicarakan tajuk rukun tetangga atau dewan orang ramai. Siapakah yang harus mengambil giliran meronda, atau siapa yang harus menggunakan dewan tersebut.

Saya bersetuju dengan pendapat bahawa: "Orang yang membincangkan hal-hal agama di Malaysia amat terikat dengan majikannya, partinya, ketuanya, penyokongnya, medianya, jirannya, saudara maranya dan sebagainya."

Hal inilah yang cuba diatasi oleh pihak berkuasa agama Islam di negara ini. Kita cuba membanteras perbicaraan agama berasaskan parti politik dan penyokongnya. Atau mazhab yang menanamkan rasa fanatik dan taksub melulu, agama yang bercampur-aduk dengan sentimen perkauman dan kelompok serta sebagainya.

Dalam konteks Islam, mimbar masjid dilarang digunakan oleh pihak tertentu untuk mempromosikan agama ala parti politik atau aliran kefahaman berasaskan taksub melulu.

Perbincangan tentang agama tidak seharusnya diwarnai dengan rasa taksub dan fanatik. Namun keterbukaan dalam perbincangan tersebut juga haruslah dihadkan.

Kita melihat banyak contoh di negara-negara tertentu yang memanifestasikan ketaksuban ini sehingga rumah-rumah ibadat menjadi sasaran kemusnahan dan pencabulan. Penganut agama lain dianggap musuh dan dibunuh. Harta benda mereka dimusnahkan. Akhirnya ia melibatkan keruntuhan nilai moral, kehancuran pembangunan ekonomi dan kecelaruan peraturan sosial dan pendidikan.

Lebih menyedihkan, terdapat negara yang mengamalkan dasar demokrasi dan rakyat yang taksub memilih parti politik yang taksub sebagai pemerintah. Parti radikal, yang mengamalkan diskriminasi agama dan kaum mendapat sokongan majoriti.

Akibatnya rakyat menjadi korban kezaliman dan ketidakadilan. Rakyat yang taksub akan diberi perlindungan. Mereka bebas menindas dan melakukan kekejaman.

Tetapi hal ini tidak berlaku di negara kita. Majoriti rakyat Malaysia menolak fahaman pelampau dan fanatik. Maka kita tidak terancam dengan pergaduhan agama dan kaum dan boleh menumpukan kepada pembangunan ekonomi, teknologi, pendidikan, dan sosial untuk semua.

Bagaimanapun hal ini tidak seharusnya membuatkan kita merasa selesa dan leka. Mutakhir ini, aliran pemikiran dan tindakan sesetengah pihak yang taksub agama mula muncul.

Negara-negara yang mengalami kekacauan kaum atau agama sering terbantut pembangunannya. Anak-anak keciciran dalam pelajaran. Rakyat mengalami kebuluran dan penyakit merebak. Ekonomi merudum.

Oleh kerana agama bukan merupakan soal peribadi yang boleh ditawar-menawar, maka para penganut agama yang berbeza haruslah mempunyai rasa hormat kepada agama lain.

Kalau dalam urusan peribadi pun, kita masih dapat menghormati peribadi orang lain, maka apatah lagi dalam isu agama.

Maka diharap kita akan terus mempertahankan kerukunan ini selama-lamanya sesuai dengan falsafah negara kita tentang konsep dan gagasan Satu Malaysia.

PENULIS ialah Pemegang Amanah Yayasan Satu Malaysia, Penyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim, UKM.

sumber: Utusan Malaysia

Sakit badan lama memandu


faktor reka bentuk dan posisi kerusi kenderaan semasa memandu amat penting bagi mengelakkan kepenatan.


Kegembiraan memang dapat digambarkan dalam diri kita apabila tibanya Syawal. Malah ada yang sanggup memandu berjam-jam lamanya tanpa henti untuk segera sampai ke kampung.

Namun sedarkah kita akan bahaya yang mungkin boleh menimpa jika tidak memberi peluang tubuh badan dan minda kembali segar sepanjang pemanduan tersebut.

Kemalangan sering berlaku apabila kita pulang semula ke rumah untuk berkerja selepas menghabiskan cuti di kampung. Minda yang kurang semangat untuk balik bekerja semula serta ciri-ciri pemanduan yang tidak ergonomik juga merupakan faktor penyebab kemalangan ini.

Perancangan dan persediaan pemanduan ini amat penting bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini seperti kemalangan dan kesakitan seluruh badan kita daripada berlaku.

Sistem tubuh badan utama yang mungkin akan berlaku kepenatan dan gangguan akibat pemanduan yang jauh i adalah Sistem otot dan tulang (musculoskeletal system); Sistem jantung dan pengaliran darah (cardivascular system); Minda atau psikologi (psychology) dan sistem-sistem lain badan

Kesemua sistem badan ini saling berkaitan dan memberikan tanda dan aduan akibat pemanduan yang jauh. Kepenatan sistem otot dan tulang banyak bergantung kepada sejauh mana keselesaan kita semasa memandu dimana faktor reka bentuk dan posisi kerusi kenderaan semasa memandu amat penting bagi mengelakkan kepenatan ini.

Reka bentuk kerusi pada kenderaan mestilah mampu memberikan ciri-ciri ergonomik yang baik kepada tubuh badan. Kerusi kenderaan anda mestilah mempunyai penyokong di bahagian leher dan tulang belakang bahagian pinggang (waist/lumbar) dan di bahagian leher (cervical). Ciri ini perlu ada pada setiap apa jua jenis kenderaan sama ada kenderaan mahal atau murah, kenderaan persendirian atau syarikat.

Lumbar roll atau cervical roll boleh dibeli di farmasi atau pusat membeli-belah untuk diletakkan di kerusi pemanduan anda jika sekiranya kenderaan anda tidak mempunyai ciri ergonomik ini.

Posisi kerusi pemanduan anda mestilah membenarkan sendi-sendi berada pada kedudukan berfungsi dengan selesa (functional position) dimana pergelangan kaki dalam kedudukan 90 darjah, lutut dalam kedudukan bengkok 45 darjah ke 60 darjah manakala sendi pinggul dan badan berada di kedudukan tegak 80darjah ke 90 darjah.

Kedudukan ini akan menyebabkan otot tubuh badan kita bertindak secara seimbang dan akan menggunakan tenaga yang minimum sepanjang perjalanan kita.

Otot-otot tubuh badan kita akan menggunakan tenaga yang lebih bagi menampung daya luaran yang ditanggung disebabkan oleh ketidakseimbangan sistem tulang apabila duduk di kerusi yang jauh ke belakang atau jauh ke depan.

Posisi kerusi yang betul, selain mengelakkan kepenatan otot ini juga memberikan ruang pandangan yang luas dan membolehkan kita bertindak balas dengan cepat apabila sesuatu perkara tidak diingini berlaku seperti memperlahankan atau memberhentikan kenderaan dengan serta-merta.

Ia juga mengelakkan otot-otot mata kita daripada mengalami kepenatan akibat terlalu fokus terhadap jarak pandangan dan kenderaan di hadapan kita.

Pemanduan tidak ergonomik

Tanda-tanda dan aduan berikut mungkin akan anda alami akibat pemanduan yang jauh dan keadaan tidak ergonomik semasa memandu:

* Keletihan serta mengantuk akibat kepenatan otot-otot bahagian mata

* Psikologi kurang fokus dan kurang sabar semasa memandu akibat gangguan bekalan darah ke otak

* Sengal atau sakit otot (muscular aching) di bahagian leher, bahu, belikat, tulang belakang serta kaki

* Bengkak di bahagian kaki atau kesekatan saluran peredaran darah (thrombosis) akibat gangguan bekalan darah balik dari kaki dan lain-lain aduan.

Apa yang anda boleh lakukan bagi mengelakkan keadaan seperti di atas daripada berlaku ialah dengan mengamalkan langkah-langkah berikut:

* Rancang perjalanan dan waktu pemanduan yang betul

* Cukup rehat sebelum melakukan pemanduan dan berehat sebentar pada setiap 1 ke 2 jam pemanduan

* Tentukan kerusi kenderaan anda mempunyai ciri ergonomik dan memberikan sokongan pada badan

* Melakukan senaman regangan di bahagian leher, bahu, siku, tangan, tulang belakang serta kaki sebelum, semasa dan selepas pemanduan. Lakukan regangan 5 - 10 regangan dengan menahan 8 - 10 saat pada setiap regangan pada bahagian-bahagian tersebut

* Lakukan senaman pengaliran darah (circulatory exercise) di kaki seperti membengkok dan meluruskan sendi lutut dan pinggul, mengerakkan sendi pergelangan kaki mengikut arah/lawan jam atau dengan mengetatkan (contraction) dan mengendurkan (release) otot kaki semasa pemanduan 10 - 15 kali.

* Digalakkan memakai stokin pencegah pembekuan darah atau travel stockings bagi mengelakkan bengkak atau deep vein thrombosis (DVT) jika anda mempunyai sejarah penyakit jantung dan salur darah, paru-paru, renal, diabetes atau anda sedang mengandung

* Lakukan senaman otot-otot mata dengan melihat pokok-pokok yang berwarna hijau, memandang pemandangan yang jauh serta dekat atau membuka mata dengan luas dan rehat beberapa kali bagi mengekalkan perjalanan darah ke bahagian otot-otot mata

* Niat atau set minda anda tentang gambaran yang menggembirakan untuk anda balik semula bekerja selepas cuti hari raya anda. Minda yang positif akan memberi semangat untuk anda pulang dengan selamat kerumah atau tempat kerja selepas bercuti raya.

sumber: Utusan Malaysia

Ahad, 27 September 2009

Bahaya musang berbulu ayam

PEPATAH Melayu ada berkata, siapa makan cili dialah yang terasa pedasnya. Seperti yang telah dijangka, sememangnya sudah ada orang yang terasa pedasnya. Golongan yang tidak bertamadun ini terus menyerang peribadi. Fakta yang saya kemukakan tidak dibahas. Saya dituduh sebagai munafik.

Tulisan saya dituduh seperti racun, sehingga merosakkan kemuliaan sambutan Aidilfitri. Apakah mereka yang menuduh saya itu tidak munafik? Tidakkah menjadi musang berbulu ayam itu lebih munafik daripada munafik? Jika saya dituduh munafik, setidak-tidaknya saya berterus-terang. Berbanding mereka yang pepat di luar, rencong di dalam, ibarat gunting dalam lipatan.

Pepatah Cina ada berkata, kalau berani makan ikan masin, maka beranilah menahan dahaganya. Sebagai seorang ahli akademik dan penulis, saya bertanggungjawab terhadap apa jua yang ditulis. Hanya si pengecut sahaja yang menyerang peribadi. Kepada orang Melayu yang menyertai parti ultra kiasu ini, saya menyeru keluarlah sebelum terlambat. Musang berbulu ayam ini amat licik. Mereka akan mempergunakan kita bagi menghalalkan matlamat yang ingin dicapai.

Perlu diingatkan, golongan ini bijak membaca psikologi dan memainkan sentimen orang Melayu. Sekarang ini mereka sibuk berkempen untuk mendapatkan dan menambah keahlian orang Melayu. Tujuannya tidak lain, untuk memenangi hati orang Melayu, selain memenuhi agenda tersembunyi. Kumpulan ultra kiasu ini mendakwa bahawa mereka ini adalah parti untuk semua kaum, sedangkan semua sedia maklum bahawa parti ini adalah dominasi satu kaum. Bukan Melayu adalah sekadar hiasan sahaja. Amat malang jika ada golongan yang bergelar ‘ustaz’ turut menyertai mereka suatu hari nanti.

Kemunculan beberapa tokoh Melayu sejak akhir-akhir ini dalam parti mereka ditonjolkan secara berlebihan, bagi membuktikan bahawa mereka bukanlah parti cauvinis seperti yang dituduh selama ini.

Ternyata, lakonan mereka cukup hebat. Bantuan mereka kepada sekolah-sekolah agama dan kehadiran mereka dalam majlis berbuka puasa dan bantuan moreh semasa bulan Ramadan baru-baru ini, sengaja diperbesar-besarkan agar orang Melayu ‘cair’ dengan sandiwara ini.

Wal hal perkara yang ditonjolkan adalah kerja rutin seorang wakil rakyat. Bukannya suatu yang luar biasa. Memang tugas wakil rakyat menjaga kebajikan rakyat. Apa guna istilah ‘wakil rakyat’ jika tidak berkhidmat untuk rakyat. Rakyat yang memilih mereka. Justeru, adalah wajar mereka menjaga kebajikan rakyat. Cuma mereka ini agak licik. Pandai mengaburi mata rakyat. Tampil membantu ketika rakyat ditimpa musibah. Menawarkan khidmat ketika seseorang dalam kesempitan. Adakah mereka sebenarnya ikhlas?

Bantuan mereka ini menyebabkan orang Melayu mudah terhutang budi. Kedudukan sebegini menjadikan Melayu menjadi serba salah, ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapak. Peluang ini digunakan oleh parti kiasu ini untuk menangguh di air yang keruh.

Perpecahan

Apatah lagi perpecahan politik di kalangan Melayu Islam hari ini telah digunakan kesempatan sepenuhnya oleh kumpulan ultra kiasu ini. Mereka cuba mendapatkan semaksima mileage politik dan mengecam peribadi seseorang yang dianggap mengancam kedudukan mereka.

Kali ini, golongan ultra kiasu ini menyerang peribadi saya dengan mengecam kerjaya saya dan mempertikaikan gaji yang saya terima hasil wang rakyat. Gaji yang saya terima dikatakan hanya membazirkan wang rakyat yang diperolehi daripada pembayar-pembayar cukai.

Untuk makluman, gaji saya tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan gaji wakil rakyat yang mana turut diambil daripada sumber yang sama? Gaji mereka berlipat kali ganda gaji saya. Apakah wakil rakyat itu merasakan bahawa kerja-kerja dan lakonan yang ditunjukkan itu berbaloi dengan gaji yang dibayar? Cerminlah muka sedikit. Jika mereka benar-benar mahu mencontohi peribadi Umar Abdul Aziz, saya akan bersetuju. Tetapi adakah ia berlaku? Janganlah menjadi paku dulang paku serpih, mengata orang, sendiri yang lebih.

Apakah kerja wakil rakyat hanya cukup sekadar membantu dan menghadiri majlis berbuka puasa, memberikan bantuan moreh, merasmikan seminar itu dan ini, projek ini dan projek itu? Kerja wakil rakyat sudah semestinya lebih daripada itu atau lebih daripada orang lain. Bukannya berlagak tak tentu pasal.

Kerja-kerja asasi saya sebagai ahli akademik tidak pernah tergendala di samping memberikan sedikit buah fikiran untuk menyedarkan umat Islam. Kenapa marahnya wakil rakyat itu begitu membuak-buak? Hanya disebabkan oleh akhbar yang menyiarkan artikel ini tidak sehaluan dengan mereka. Saya tidak fikir, saya akan dikecam jika ditakdirkan saya seorang Melayu. Hanya kerana saya sebangsa dengan mereka, dan tidak sehaluan, watak saya cuba dimatikan.

Jika ditakdirkan artikel saya ini disiarkan dalam akhbar mereka dan lantang mengkritik kerajaan, maka sayalah idola mereka. Inilah pemikiran yang ultra kiasu.

Saya ingin sarankan kepada wakil rakyat kiasu ini, jika mahu mengikut pemerintahan Umar Abdul Aziz, kajilah sifat-sifat mulia yang dibawanya. Umar seorang pemimpin yang amat low profile atau tawaduk dan bersikap terbuka, termasuk menerima kritikan rakyat. Rakyat adalah segala- galanya kepada Umar, kerana ia adalah amanah Allah SWT. Kata-kata ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’, adalah antara prinsip Umar Abdul Aziz. Persoalannya, kenapa golongan kiasu ini begitu hebat mengkritik gagasan ini?

Umar membantu mereka yang miskin tanpa mengharapkan nama dan publisiti. Umar mengambil pendekatan tangan kanan memberi, sorokkan tangan kiri. Sebahagian harta Umar hampir habis digunakan untuk rakyat. Kejujuran dan ketelusannya luar biasa. Bukannya dengan memaparkan gambar-gambar kosmetik untuk menunjukkan bahawa kita pemimpin untuk semua kaum seperti yang dilakukan oleh wakil rakyat kiasu berkenaan.

Mencanangkan kerja-kerja baik ke seluruh pelosok dan ceruk rantau untuk memenangi hati orang Melayu bukanlah kerja Umar Abdul Aziz. Umat Islam perlu ingat, wakil rakyat tersebut pernah menuduh orang Islam sebagai pelampau atau ekstremis dan mahu menghalalkan arak serta lain-lain yang diharamkan Islam. Pernahkah beliau meminta maaf, walaupun telah didesak melakukannya? Jawapannya, tidak, kerana mereka sama sekali tidak akan bersetuju dengan Islam, malah cuba sedaya upaya untuk mencabut identiti ini dari orang Melayu.

Mencari publisiti murahan adalah budaya pandir atau minda orang kelas ketiga. Golongan ini pandai menggunakan kesempatan di kala orang lain sedang lemah. Sebenarnya mereka tidak membuat apa-apa perubahan pun. Tetapi mereka pandai meniru resmi ayam, bertelur sebiji riuh sekampung. Malangnya, segelintir orang Melayu mudah percaya dengan mendakwa parti ultra kiasu ini yang dapat menyelamatkan mereka.

Bersekongkol

Tidak ketinggalan, golongan yang bersekongkol dengan mereka turut mengecam saya, dengan mengatakan bahawa tulisan saya telah menjauhkan orang bukan Islam daripada Islam. Persoalan saya, apakah selama ini orang bukan Islam semakin dekat dengan Islam sebelum tulisan saya disiarkan? Cuba kita renungi sebentar apakah Islam semakin didekati atau dijauhi selepas peristiwa 11 September? Apa yang saya tahu semakin kuat barat menentang Islam, semakin Islam mendapat sambutan. Justeru, apakah makna dakwah yang sebenar? Saya fikir rakan sekutu parti ultra kiasu yang boleh memberikan jawapan.

Dakwah hendaklah dilihat dalam perspektif yang luas, bukan bertujuan untuk mematikan watak seseorang yang dilihat sebagai ancaman. Bidang kajian saya ialah pengajian strategi, politik dan kerajaan. Saya menulis berasaskan bidang saya dan juga kerjaya saya selaku ahli akademik.

Berdakwah itu bermakna, berkata benar walaupun ia pahit. Bukan setakat berceramah. Jika berdakwah itu sekadar berceramah, saya tidak fikir Umar Abdul Aziz akan menerima jawatan sebagai seorang pentadbir negara atau negarawan. Kenapa Umar Abdul Aziz menerima jawatan politik sebagai negarawan? Sebab, politik itu adalah alat untuk berdakwah. Kuasa digunakan untuk kepentingan rakyat bukan untuk kepentingan peribadi.

Malang sungguh golongan ultra kiasu ini. Mahu mengikut Umar Abdul Aziz, tetapi hanya mengambil secebis cara pemerintahan Umar Abdul Aziz untuk mengaburi mata rakyat.

Saya dinasihati supaya tidak campur tangan dalam urusan mereka, sebab ia bukan urusan saya. Apakah selama ini mereka tidak pernah mencampuri urusan kita? Saya terpaksa campur tangan sebab saya orang Islam. Kerja orang Islam ialah membetulkan kekusutan, bertindak atas dasar amar makruf nahi mungkar bagi menyelamatkan umat Islam.

Jika saya tidak berhak mencampuri urusan mereka, mereka juga tidak berhak mencampuri urusan orang Islam. Persoalannya, cuba kita hitung betapa banyak perkara berkaitan orang Islam yang telah dicampuri oleh golongan ultra kiasu ini. Berapa banyak hati orang Islam yang terguris akibat perbuatan mereka? Pernahkah mereka meminta maaf? Contoh isu-isu berkaitan murtad, mualaf, perebutan jenazah mualaf, isu negara Islam, isu Mahkamah Syariah dan banyak isu lain yang tidak perlu saya sebut lagi. Adakah golongan ultra kiasu ini tidak campur tangan?

sumber: Utusan Malaysia

Sabtu, 26 September 2009

Alat jerat pemandu laju

Oleh Mohd Hamizar Hamid
mizar@bharian.com.my


SOLAH melihat peralatan pengesan kelajuan yang akan digantikan dengan AES sambil diperhatikan Peng arah Penguat Kuasa JPJ, Salim Parlan (kanan) di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA: Pemandu tegar yang sering memandu

melebihi had laju dijangka tidak dapat mengelakkan diri daripada dikenakan tindakan apabila kerajaan memasang Sistem Penguatkuasaan Automat

ik (AES) di jalan raya yang mampu mengesan kelajuan secara automatik tanpa perlu meletakkan anggota polis trafik.

Alat pengesan kelajuan, iaitu 'piezo' akan dipasang di 831 lokasi di seluruh negara bagi mengesan dan merekodkan kelajuan, nombor pendaftaran serta merakam gambar pemandu menerusi kamera automatik jika kenderaan dipandu melebihi had laju.


AES mampu beroperasi 24 jam sehari sepanjang 365 hari setahun serta kalis panas dan hujan akan menggantikan sistem manual sedia ada untuk mengesan mereka yang sering memandu melebihi had laju.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan, berkata sistem yang bertujuan mengurangkan kadar kemalangan, terutama pada musim perayaan sudah diuji dan masih menunggu kelulusan kerajaan untuk dilaksanakan di lokasi tertentu di seluruh negara.


Beliau berkata, menerusi sistem itu, maklumat kesalahan akan dihantar terus kepada pusat kawalan bagi mengenal pasti pemandu atau pemilik kenderaan berdasarkan maklumat dalam pangkalan data JPJ.

Katanya, ia kemudian akan mengeluarkan saman secara automatik untuk dihantar melalui pos kepada pesalah.

Solah berkata, maklumat yang direkodkan boleh digunakan sebagai bukti dalam perbicaraan mahkamah kerana ia menyimpan maklumat lengkap termasuk gambar pemandu, selain lokasi dan masa kesalahan serta nombor pendaftaran kenderaan.


"Selain berfungsi mengesan kesalahan lalu lintas, sistem itu juga berupaya mengesan dengan mudah penjenayah yang menggunakan kenderaan," katanya.

Solah berkata, pihaknya sudah menjalankan ujian di Putrajaya dan di Lebuh Raya Guthrie bagi menguji tahap kecekapan sistem berkenaan.


Beliau berkata, pelaksanaan sistem itu dijangka dapat merealisasikan pelan jangka panjang kerajaan mencapai sasaran dua kematian bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar menjelang tahun 2010.

Idea melaksanakan sistem itu timbul selepas JPJ dan beberapa pihak berkuasa lain diarah oleh Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan Jalan Raya untuk mengenal pasti inisiatif terbaik mengurangkan kadar kemalangan terutama kemalangan maut.

Penggunaannya juga hasil kajian di 12 negara yang mengguna pakai AES, termasuk Australia, United Kingdom, Kuwait, Amerika Syarikat, Korea Selatan, Sweden dan Jerman.

sumber: Berita harian

Iklan sayu, lebuh raya dan Bujang Lapok

Oleh Mior Kamarul Shahid : Gambaran balik kampung ketika Aidilfitri harus diubah

SETIAP kali hari raya, 'mood' yang cuba ditonjolkan adalah sama. Dalam satu iklan di televisyen, dipaparkan wajah seorang ibu Melayu menangis kerana anak lelakinya pulang menyambut hari raya di kampung mungkin tangisan kegembiraan. Ibu menunggu di tangga ketika anak muda yang ketinggalan bas tiba di rumah kampung ibunya dengan lori barang. Mereka bersalaman dan berpelukan serta mengucapkan kata-kata yang beremosi. Begitulah lebih kurang jalan ceritanya.

Ada juga iklan hari raya mengisahkan seorang anak muda balik kampung, tiba-tiba wajahnya menjadi sedih sebaik melihat ibunya yang buta. Dalam bas, dia duduk di sebelah lelaki buta yang bertanya kepadanya sama ada dia balik kampung ke? Ini adalah antara iklan sedih atau mesej untuk menyedarkan orang Melayu dan umat Islam mengenai pentingnya hubungan kekeluargaan.

Fenomena balik kampung ini agak mengelirukan, seolah-olah orang Melayu balik kampung setahun sekali pada hari raya saja. Gambaran masyarakat tidak pulang ke kampung halaman seperti dipaparkan itu seolah-olah Malaysia ini sebuah negara yang teramat luas yang memerlukan perjalanan tujuh hari tujuh malam, merentas sungai dan gunung, untuk sampai ke sesuatu destinasi.

Atau, Malaysia seolah-olah sebuah negara miskin hinggakan tambang untuk balik kampung di luar kemampuan rakyatnya. Negara miskin biasanya tidak mempunyai kemudahan komunikasi dan pengangkutan untuk keselesaan rakyatnya. Ini bukanlah gambaran yang wujud di Malaysia sejak negara ini mencapai kemerdekaan.

Hakikatnya, ada antara rakyat di negara ini pulang ke kampung hampir setiap minggu, dua minggu sekali atau setiap bulan. Anak yang bekerja di Kuala Lumpur, umpamanya, mungkin pulang ke kampungnya di Kuala Pilah, setiap minggu. Bukanlah keterlaluan pula dikatakan ramai mereka yang bekerja di Kuala Lumpur berulang-alik ke Negeri Sembilan atau Melaka setiap hari sama ada memandu atau menaiki bas. Mereka yang bekerja di Georgetown, Pulau Pinang, mungkin pulang ke kampungnya di Perak, setiap minggu, dua kali seminggu atau setiap bulan. Jika kereta api laju beroperasi sepenuhnya, perjalanan dari Seberang Prai ke Kuala Lumpur mengambil masa hanya tiga atau empat empat jam berbanding berbelas jam sebelum ini. Mereka yang tinggal di Ipoh, umpamanya boleh berulang alik ke Kuala Lumpur atau ke Pulau Pinang setiap hari dengan kereta api laju. Begitu juga mereka yang tinggal di Melaka untuk berulang alik ke Johor Bahru atau Kuala Lumpur.

Menangis kerana balik kampung tidak menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai kemudahan infrastruktur komunikasi kelas dunia. Malaysia bukan negara padang pasir atau terpaksa menaiki kereta kuda seperti zaman koboi untuk pergi dari satu tempat ke satu tempat. Lebuh raya di negara ini merentasi dari utara ke selatan dan dari timur ke barat. Bagi pengurusan syarikat konsesi lebuh raya, mereka mungkin berasa terhina dengan pandangan serong yang cuba ditonjolkan setiap kali musim perayaan, seolah-olah lebuh raya yang dibina di hampir seluruh negara dengan kos ratusan juta ringgit, tidak memberi kesan kepada pergerakan rakyat. Dengan adanya lebuh raya, seseorang boleh bersarapan jam 9 pagi di Johor Bahru dan makan tengah hari pada jam 12 di Kuala Lumpur. Jika pada jam 10 di Kuala Terengganu, sejam kemudian mungkin sudah berada di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA), Sepang. Mesyuarat jam 10 pagi di Pulau Pinang, jam 6 pagi masih berada di Kuala Lumpur. Perkhidmatan kereta api juga digunakan secara meluas untuk kemudahan pengangkutan rakyat bergerak dari sebuah negeri ke sebuah negeri selain bas dan teksi. Kira-kira 40 atau 50 tahun lalu, untuk pergi rombongan dari Ipoh ke Pulau Pinang, terpaksa bertolak jam 12 malam untuk sampai jam 8 pagi selepas melalui jalan raya yang bengkang-bengkok terutama di Bukit Berapit. Hari ini dari Ipoh ke Prai hanya memerlukan perjalanan sejam setengah.

Anak yang menuntut di Ireland tidak perlu menangis kerana tidak dapat berhari raya di kampung. Setiap hari, dia berbual secara bersemuka dengan keluarganya di Kuala Lumpur melalui skrin komputer menggunakan kemudahan internet. Mereka ketawa pada hari raya melihat wajah masing-masing, walaupun jarak mereka puluhan ribu kilometer.

Bagi mereka yang tidak mempunyai kemudahan seperti itu, mereka boleh membuat panggilan telefon selular pada setiap masa atau setidak-tidaknya menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS). Apakah mereka perlu menangis sedangkan kemudahan komunikasi sudah merapatkan hubungan sesama manusia.

Kebetulan pada hari raya ini, sebuah filem lama, Bujang Lapok disiarkan oleh sebuah stesen televisyen. Dalam filem itu, Sudin (S Shamsudin) mengetuk botol sebagai isyarat untuk bertemu kekasihnya Eton (Zaiton). Begitu juta Eton akan mengetuk botol bila ada hal penting untuk bertemu Sudin. Hari ini, sudah tidak ada orang memberi isyarat seperti itu lagi. Hanya dengan menghantar SMS atau bercakap melalui telefon, mereka sudah berkomunikasi untuk menyelesaikan masalah yang timbul.

Suasana dalam Bujang Lapok itu sudah tidak lagi praktikal hari ini. Jika ada orang yang masih mengetuk botol untuk bertemu kekasih, mereka adalah warisan 1950-an. Tetapi, pada waktu itu, pertemuan antara Sudin dan Eton di bawah pokok secara rahsia, mungkin menggamatkan suasana panggung wayang. Bila Sudin memegang tangan Eton, mungkin satu panggung menjadi sunyi sepi dan menarik nafas.

Bukan tidak boleh bersedih langsung pada hari yang mulia ini, tetapi cara dan suasananya perlulah melambangkan keadaan semasa. Adalah tidak wajar menyamakan keadaan 30 atau 40 tahun lalu dengan keadaan hari ini. Dulu perantau sukar pulang ke kampung kerana masalah komunikasi, jalan raya yang tidak sempurna atau tidak ada kenderaan sendiri. Hari ini, pelbagai kemudahan disediakan. Jika pun tidak dapat pulang berhari raya, ia mungkin disebabkan masalah tugas. Biasanya, selepas seminggu, giliran mereka pula pulang ke kampung, Walaupun hari raya sebenar sudah berlalu tetapi matlamat utama ialah untuk bertemu keluarga dipenuhi. Orang Melayu tidak boleh menjadi masyarakat yang terlalu emosional.

Isu hari ini ialah penyalahgunaan kemudahan pengangkutan untuk pulang berhari raya di kampung. Ramai antara orang yang terbunuh pada musim perayaan akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya. Jika pulang ke kampung boleh dilakukan setiap masa, mengapa perlu ghairah dan memandu hingga lupa daratan.

sumber: Berita Harian

Isu Selcat dedahkan Pakatan Rakyat Selangor tak serasi

Minda Pengarang: Berita Harian

ADA yang tersurat dan tersirat di sebalik perkembangan terbaru perhubungan serta kesepakatan antara pemimpin Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor. Bibit tidak serasi semakin ketara dalam perhubungan yang baru terjalin 18 bulan itu. PKR menguasai 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan berasakan dirinya sudah cukup besar dan tidak boleh ditegur. DAP yang mengisi 13 kerusi DUN pula beranggapan tanpa sokongannya kerajaan PR tidak menjadi realiti. Selaku minoriti dalam kerajaan PR, Pas dengan lapan kerusi DUN pula sentiasa menjana 'isu' supaya kehadirannya dirasakan dan berkesan. PR yang ditubuh tanpa 'hitam putih' menyebabkan komitmen parti komponen sangat longgar dan rapuh. DAP membelasah Pas dalam isu penjualan arak selain membidas pemimpin Pas tanpa berselindung. Pemimpin tertinggi Pas pula tidak sepatah pun memberi ulasan membela atau membidas isu itu. Cuma akhirnya pemimpin tertinggi PR mengisytiharkan pertelagahan Pas dan DAP di Selangor berhubung isu berkenaan sudah selesai. Selepas itu timbul pula isu Exco Pas memberi kuasa menahan tanpa waran berkuat kuasa serta-merta akhir Ogos lalu kepada pegawai masjid membabitkan orang Islam yang melakukan kesalahan jenayah syariah. Akibatnya, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, 'panas' menerima tekanan daripada pelbagai sudut. Ibarat 'lembu punya susu, sapi dapat nama', Khalid tentu tidak selesa dengan keadaan yang dilaluinya sedangkan isu itu dicetuskan oleh pemimpin Pas.

Kelmarin, Exco Pas yang sama membidas Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) dan mahu ia dirombak. Pemimpin Pas itu sekali lagi bertelagah dengan seorang pemimpin DAP lain yang mencabar beliau meninggalkan PR jika tidak lagi mampu bekerjasama secara berkumpulan dalam kerajaan campuran itu. Ternyata, tiada pemimpin tertinggi PR sanggup tampil memberi komen terhadap ketiga-tiga isu ini. Mengandaikan pemimpin Pas, DAP dan PR di Selangor sebagai anak, maka pemimpin tertinggi PR pula bapa yang sengaja membiarkan anak masing-masing bercakaran. Jika andaian itu tidak tepat maka pemimpin tertinggi PR terbukti tidak upaya mengawal gelagat anak-anaknya di Selangor. Jika andaian itu tohmahan, maka mereka sebenarnya mahu keadaan itu bertambah buruk dan masing-masing dengan mudah membuat alasan untuk menamatkan kesepakatan dalam PR dan berdiri atas kaki masing-masing dalam Pilihan Raya Umum Ke-13. PR sebenarnya menyapu sampah ke bawah tikar. Kelemahan dan pertelagahan ditutup serta disembunyikan sebaik mungkin. Bagaimana Pas, DAP dan PKR boleh ada keserasian jika perbezaan ideologi politik masing-masing ibarat langit dan bumi. Kalangan sesama pemimpin Pas di Selangor pun sering berbalah kerana ada pemimpin rasa bertaraf senior tetapi dipinggirkan, manakala yang junior dijulang-julang. Sudah menjadi resam manusia, rasa tidak puas hati akhirnya terpacul dan isu Selcat membuktikannya. Mungkinkah perbalahan PR di Selangor akan merebak ke Negeri Sembilan dan persoalan ini akan terjawab ketika kempen pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang pada 3 hingga 11 Oktober ini.

sumber: Berita Harian

Khamis, 24 September 2009

Feudal wujud dalam budaya politik

Oleh NOOR SULASTRY YURNI AHMAD

PERBINCANGAN tentang budaya politik Melayu di Malaysia banyak melibatkan kajian-kajian oleh para sarjana tempatan mahupun Barat.

Kajian-kajian itu bukan sahaja membincangkan peranan oleh institusi pemerintah malah turut melihat aspek-aspek luaran yang menyumbang kepada struktur budaya politik Melayu kini.

Persoalan tentang hegemoni dalam budaya politik Melayu sudah mula menjadi topik perbincangan hangat selepas melalui transformasi budaya politik bermula dengan institusi Kesultanan Melayu hingga kepada usaha untuk mencapai masyarakat yang lebih sivil.

Secara amnya, masyarakat sivil diertikan sebagai suatu set kesatuan sosial yang autonomi atau bebas daripada pengaruh pemerintah (the state) dan tidak bermatlamatkan politik.

Masyarakat sivil juga dilihat sebagai sebuah kesatuan yang bertindak sebagai pemerhati (watch dog) terhadap pemerintah dan dasar yang dilaksanakan.

Kini konsep masyarakat sivil muncul sebagai satu isu perbincangan sosial dan dinilai sebagai salah satu pertikaian ilmiah terpenting sejak tiga dekad lalu.

Penilaian semula terhadap idea pemikiran konsep masyarakat sivil sebenarnya berakar umbi daripada dua tradisi pemikiran sosial dominan.

Pertama, tradisi fahaman pluralis yang dipelopori oleh Adam Ferguson (1723-1816), Adam Smith (1723-1790) dan Francis Hutcheson (1694-1746) yang berfahaman Scottish Moralist pada abad ke-18.

Ia kemudiannya dikembangkan oleh Alexis de Tocqueville (1805) di Amerika Syarikat melalui karyanya Democracy in America (1840).

Namun, perbincangan hegemoni ini sudah dianggap tidak relevan lagi dibincangkan selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada 8 Mac 2008.

Transformasi budaya politik Malaysia sudah mengalami anjakan baru dengan kebangkitan parti-parti politik bukan lagi berasaskan perkauman.

Bagaimanapun perbincangan tentang kesetiaan, keakuran dan sifat submisif pada masa kini bukan sahaja telah membezakan situasi budaya politik yang diamalkan tetapi persekitaran etnik juga telah mengalami perubahan amat ketara.

Ternyata sejarah politik pemerintahan negara memperlihatkan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada sebuah populasi besar dan tergolong daripada golongan bukan bumiputera yang meletakkan kepercayaan kepada UMNO untuk mentadbir negara dengan dibantu oleh parti-parti komponen Barisan Nasional lain.

Kehadiran orang bukan Melayu adalah satu faktor yang bertanggungjawab menyumbang kepada pembentukan hubungan quid pro quo antara perlindungan dan taat setia.

Dalam masyarakat Melayu tradisional, konsep taat setia sering digunakan sepenuhnya demi menjaga kepentingan raja.

Pada ketika itu, kepentingan individu tidak diluahkan sepenuhnya bagi menjaga kepentingan golongan pemerintah.

Konsep taat setia ini lebih merujuk kepada kepentingan seluruh golongan kelas masyarakat. Kesetiaan yang tidak berbelah bagi itu bukannya untuk diri orang Melayu semata-mata tetapi berkaitan dengan matlamat yang lebih besar sehingga mencakupi keistimewaan golongan pemerintah.

Walaupun unsur-unsur feudal dalam budaya politik Melayu masih sukar untuk dihapuskan, sifat taat setia, akur, submisif yang ditunjukkan oleh rakyat sebagai balasan berterima kasih.

Budaya ini merupakan sebahagian daripada sikap politik dalam budaya kepimpinan UMNO.

Pada masa sama, nilai hubungan feudal atau antara yang memerintah dan yang diperintah masih mengandungi ciri-ciri yang terhasil daripada suatu hubungan yang baru terbentuk.

Budaya politik Melayu era neofeudal telah mengalami proses konstruksi budaya politik dari aspek bentuk dan amalannya jika dilihat dari segi hubungan antara penaung dan yang dinaung.

Bukan sahaja budaya ini telah dikonstruksikan dan telah berakar umbi dalam jiwa masyarakat Melayu, tetapi ia perlu dibina semula (reconstruct) bagi mewujudkan suatu budaya politik baru dan bersesuaian atau relevan dengan amalan negara Demokrasi Berparlimen di negara ini.

Mentaliti yang telah dibentuk sejak zaman lampau seolah-olah satu 'budaya' yang terkawal atas dasar nilai taat setia, akur, submisif yang terlalu tinggi.

Sebagai contoh, pemimpin politik Melayu tidak seharusnya dicabar seperti jawatan presiden dalam UMNO.

Inilah manifestasi dalam masyarakat neofeudalisme Melayu yang telah dikonstruksi dalamannya.

Perbincangan tentang konsep neofeudalisme ini banyak menjelaskan tentang penerusan amalan bercirikan feudal dalam sistem Demokrasi Berparlimen kini.

Namun, skop perbincangan ini tidak hanya terbatas kepada nilai ciri-ciri feudal yang diamalkan sahaja, malah turut mencakupi faktor agama dan peranan adat istiadat Melayu itu sendiri.

Sekiranya perbincangan ini hanya terhad kepada unsur-unsur feudal, ia lebih cenderung menunjukkan bahawa hegemoni memang terbentuk dalam budaya politik feudal mahupun neofeudal Melayu.

Bagaimanapun, perbincangan ini akan memperlihatkan bahawa nilai taat setia yang sangat tinggi di kalangan masyarakat Melayu yang ditonjolkan sejak terbentuknya perjanjian atau wa'adat yang dimeterai antara Demang Lebar Daun dan Seri Teri Buana tidak bercirikan seperti hegemoni Gramsci.

Senario ini merupakan nilai kepatuhan yang semulajadi dan istimewa sehingga terbentuk sebuah hubungan yang sangat "asli" antara kedua-dua golongan tersebut.

Namun, ternyata elemen-elemen feudal dalam era kini masih lagi diaplikasi dalam sistem pemerintahan demokrasi Malaysia yang menitikberatkan kepatuhan, kesetiaan dan sokongan rakyat terhadap kepimpinan negara.

PENULIS ialah Pensyarah di Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya (UM)


sumber: Utusan Malaysia

Sabtu, 19 September 2009

Panas dan Pedas kepada yang berkenaan

Budaya kerja universiti patut diubah

TERLEBIH dahulu saya mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari maaf zahir dan batin kepada semua pembaca. Maafkan saya sekiranya ada kata-kata saya yang terkasar, kurang sedap dibaca dan menyinggung perasaan sesiapa saja.

Berita dua orang pensyarah universiti kita, UPM, didapati melakukan ciplak tentang sebuah buku bertajuk "Writing an Effective Resume" sungguh mengecewakan. Tidak hairanlah kalau ramai pelajar universiti hari ini dikatakan gemar "potong dan tampal" apabila dikehendaki menyiapkan projek kuliah.

Sudahlah kedudukan kita di kalangan universiti di dunia semakin jatuh, berita penciplak di kalangan tenaga pengajar universiti kita akan memburukkan lagi keadaan yang sudah buruk. Saya difahamkan di sebuah universiti yang baru, tenaga pengajar yang menciplak bahan ini menjadi-jadi.

Seorang pengarang akhbar terkenal di Malaysia mengatakan terjumpa suatu surat dalam bahasa Inggeris daripada Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan berkenaan H1N1 yang penuh dengan ejaan yang salah dan nahu yang tidak betul.

Apabila disampaikan kepada pengetahuan Ketua Pengarah itu sendiri barulah diperbetulkan. Semua orang tahu penggunaan bahasa Inggeris Tan Sri Ismail Merican itu ditahap terbaik dan surat itu telah dirangka oleh pegawai beliau. Itulah contoh tentang penguasaan bahasa mereka yang lulus universiti dan berpangkat pegawai.

Pengarang itu seterusnya mengatakan bagaimana pelajar yang mengikuti jurusan kewartawanan diajar oleh mereka yang tidak ada pengalaman dalam bidang kewartawanan langsung. Beliau mengatakan dari segi kedudukan universiti-universiti kita di kalangan universiti di dunia tidak ke mana. Walaupun asas menentukan kedudukan ini boleh dibahaskan, hakikatnya sama ada kita mengakui ada kemerosotan atau tidak.

Sekiranya diakui ada kemerosotan di universiti kita, sesuatu tindakan drastik perlu dilakukan. Suatu "overhaul" universiti-universiti kita perlu dilakukan. Pertama sekali dari segi kualiti tenaga pengajar.

Amalan sekarang ini ialah apa yang dikatakan amalan "inbreeding". Di kebanyakan universiti kita tenaga pengajar tiada pengalaman praktikal berbanding di negara-negara lain yang mana usaha dijalankan untuk menarik mereka yang berpengalaman walaupun secara separuh masa. Pelajar-pelajar pula dibebankan dengan jam kredit yang berat, dengan sendirinya meletakkan beban kepada tenaga pengajar.

Di salah sebuah universiti yang saya tahu secara purata tenaga pengajar mengajar sebanyak 15 sehingga 18 jam seminggu. Pada masa bilakah pensyarah-pensyarah ini mempunyai masa untuk melakukan penyelidikan dan kajian dan menerbitkan buku dan menulis artikel. Kata-kata hikmah di universiti-universiti terkenal di dunia ialah "Publish or Perish" (terbit atau disingkir) tetapi tidak di universiti-universiti kita.

Kenaikan pangkat lebih banyak bergantung kepada pertalian seseorang dengan seseorang, misalnya daripada Profesor Madya kepada Profesor. Banyak "ketakjuban organisasi" (organizational intrigue) berlaku di universiti-universiti sehinggakan orang yang layak tidak dapat kenaikan pangkat sebaliknya mereka yang "mengikut kata" yang untung. Cemburu dan dengki dan sikap perkauman sudah menjadi kelaziman.

Di salah sebuah universiti tempatan, seorang bekas ahli korporat yang banyak pengalaman industri pada mulanya dijanjikan jawatan Ketua Eksekutif sebuah syarikat induk milik universiti berkenaan. Disebabkan tentangan pegawai-pegawai atasan terhadap pelantikan beliau, perkara itu senyap begitu saja.

Ketua jabatan kepada sesuatu Fakulti di universiti lazimnya diketuai oleh Dekan yang dilantik - selalunya selama dua tahun. Apalah yang boleh seseorang itu lakukan dalam masa dua tahun? Kalau nasib dia baik jawatan dia akan disambung dua tahun lagi. Sambungan kali kedua itu akan meresahkan beberapa orang lagi yang juga tidak sabar menjawat jawatan tersebut.

Tetapi kalau naib canselor sampai tiga atau empat perbaharui kontrak pun tidak mengapa kerana dia bijak mengatur "strategi" dan mengambil hati orang-orang tertentu untuk kekal di jawatan itu. Apakah Indeks Prestasi Utama (KPI) yang digunakan untuk mewajarkan kenaikan pangkat atau penyambungan kontrak sesuatu jawatan?

Kita sudah sampai ke tahap terlalu banyak universiti. Banyak jurusan yang sama kecuali universiti khusus untuk sesuatu bidang seperti Multimedia, Telekom, Petronas. Disebabkan wujudnya universiti pengkhususan ini, mereka yang keluar daripada universiti lain yang bidangnya secucuk dengan bidang yang ditawarkan oleh universiti khusus, peluang mendapat kerja agak terhad.

Nampak macam ada ketidakpadanan antara permintaan dan bekalan. Universiti-universiti wajar mengamalkan konsep memenuhi keperluan industri dan negara, bukan kemampuan mengeluarkan lulusan apa jua bidang. Misalnya beribu-ribu siswazah dalam bidang Sumber Manusia yang keluar setiap tahun. Lepas lulus tak tahu hendak ke mana.

Perbincangan pemadanan antara keperluan industri dan kemampuan universiti-universiti ini perlu dilakukan supaya kurikulum boleh dibentuk mengikut kehendak industri. Mungkin sambutan daripada pihak swasta untuk berbincang agak dingin, pihak Kementerian berkenaan patut mengatur pertemuan dan perbincangan ini.

Saya pernah dijemput untuk menjadi ahli panel penasihat fakulti sebuah universiti bersama-sama beberapa orang tokoh korporat yang lain. Sekali saja kami bertemu iaitu untuk bergambar beramai-ramai selepas itu tidak ada langsung mesyuarat.

Begitu juga pelantikan selaku profesor adjung di dua universiti. Yang satu panggil dua kali yang satu lagi sekali. Langkah "hangat-hangat tahi ayam" ini memang merupakan suatu ciri kebiasaan terutama sekali kalau yang menjemput tidak lagi menjawat jawatan yang membolehkan beliau menjemput orang luar selaku ahli panel penasihat dan profesor jemputan.

Pengalaman peribadi saya selepas mula-mula berkhidmat diawal kerjaya saya selaku pensyarah dan dekan, kemudian menyertai sektor swasta hampir 30 tahun dan balik ke bidang akademik ialah pelajar-pelajar yang saya temui selepas 30 tahun, standard mereka lebih teruk daripada tahun-tahun 1970-an dulu. Ramai yang tidak mampu bertutur dan menulis dengan baik dalam bahasa Inggeris.

Dalam suatu ayat sepenuhnya atau apabila diberikan tugas dalam bahasa Inggeris dijawab dalam bahasa Melayu. Ada juga yang menggunakan bahasa SMS! Tidak kurang juga yang menciplak jawapan rakan mereka dan mengubah satu dua perkataan dengan sangkaan guru tidak tahu. Betapakah salah sangkaan mereka.

Saya tidak mahu mengatakan keadaan ini berlaku di semua universiti tetapi melihat daripada angka pengangguran di kalangan siswazah tentu kajian yang pernah dijalankan oleh Unit Perancang Ekonomi dalam tahun 2005 dulu tentang faktor-faktor yang menyebabkan ramai pelajar menganggur boleh dikaitkan.

DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

sumber: Utusan Malaysia

Khamis, 17 September 2009

F1 Malaysia ke tahap baru

BERMULA dengan penubuhan Proton pada 1985 dan Perodua pada 1993, sektor automotif negara terus melakar perkembangan yang membanggakan di peringkat antarabangsa.

Malaysia mencipta sejarah sebagai satu-satunya negara membangun yang mempunyai kemampuan kejuruteraan dan reka bentuk automotif sendiri.

Belum pun sedekad perkembangan industri itu di negara ini, iaitu dalam usia yang masih setahun jagung, Malaysia mencatat sejarah apabila terbabit secara langsung dalam sukan lumba kereta paling berprestij iaitu Perlumbaan Formula Satu (F1).

Ia dicapai hasil kerjasama dan penglibatan secara serius syarikat minyak dan gas negara iaitu Petronas dalam perlumbaan F1 dengan pasukan Sauber Engineering Switzerland (Sauber) pada 1995.

Sejak itu, perlumbaan F1 dan Malaysia bukan lagi sesuatu yang asing.

Malaysia menjadi negara ASEAN pertama yang memiliki litar F1 sendiri iaitu Litar Antarabangsa Sepang yang buat pertama kalinya menganjurkan Kejohanan Formula One Dunia bagi musim ke-50 pada Oktober 1999.

Malaysia juga pernah melahirkan pelumba F1 tempatan iaitu Alex Yoong yang berlumba untuk pasukan Minardi selain barisan pelumba pelapis seperti Fairoz Fauzi yang mencipta nama dalam sukan permotoran F3.

Penglibatan berterusan Malaysia dalam perlumbaan F1 pernah beberapa kali membawa kepada hasrat untuk menyaksikan sebuah pasukan F1 yang menggunakan kepakaran tempatan sepenuhnya.

Keyakinan itu juga berlandaskan kepada kejayaan kumpulan pertama jurutera tempatan Petronas menghasilkan enjin komersial prototaip Petronas E01.

Enjin ini dilahirkan melalui Sauber Petronas Engineering AG (SPE) yang ditubuhkan khusus untuk memajukan keupayaan teknikal dalam arena F1 dan kejuruteraan automotif komersial pasukan F1 Petronas-Sauber Red Bull pada 30 Mac 1996.

Ia dibangunkan dalam tempoh 16 bulan oleh sepasukan 15 jurutera Petronas daripada tiga kumpulan iaitu Reka Bentuk Bantuan Komputer (CAD), Kejuruteraan Bantuan Komputer (CAE) dan Pembangunan.

Itu adalah cerita 10 tahun yang lalu. Dengan perkembangan pesat teknologi kejuruteraan automotif negara, serta perpindahan teknologi hasil pelaburan Petronas, Malaysia hari ini mempunyai pasukan jurutera dan pereka automotif tempatan yang berkaliber. Malah, kita juga tidak kurang dengan pekerja-pekerja mahir yang setanding dengan syarikat pengeluar kenderaan terkemuka lain di dunia.

Justeru apabila Malaysia menerusi pasukan F1-1Malaysia menjadi pasukan ke-13 dalam F1, ia ibarat impian menjadi kenyataan.

Selepas kejayaan demi kejayaan dilakarkan oleh industri automotif negara, sewajarnya prestij sebagai pasukan F1 itu menjadi standard terbaru kepada keupayaan kejuruteraan dan reka bentuk automotif nasional.

Ia seolah-olah membawa industri automotif negara melangkah setapak lagi ke peringkat yang lebih tinggi dan semestinya disegani. Keyakinan itu sendiri membayangkan kepada dunia bahawa Malaysia mempunyai kemampuan dari segenap sudut untuk menjadi pesaing di litar lumba motor paling berprestij tersebut.

Dari satu sisi, ia membuka mata pemain di dalam industri automotif antarabangsa terhadap kepakaran kejuruteraan dan reka bentuk yang dimiliki negara.

Aspek pengembangan jenama seperti ini pastinya memberi banyak kelebihan kepada industri automotif negara termasuk membuka lebih banyak peluang pelaburan dalam bidang berkaitan.

Bagi pensyarah kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Hamdan Ahmad keputusan kerajaan itu merupakan langkah berani dalam melonjakkan industri automotif tempatan.

Sebagai pesaing baru dalam arena sukan tersebut, Malaysia menurut beliau, masih terlalu jauh untuk menandingi pasukan-pasukan F1 lain. Namun kesungguhan kerajaan menubuhkan pasukan F1 tempatan pertama itu menjadi langkah pertama untuk Malaysia turut muncul sebagai pasukan yang hebat satu hari nanti.

''Dari sudut kelengkapan seperti litar perlumbaan, kejuruteraan, kepakaran malah sehingga kepada pelumba, kita sudah ada. Jadi dengan sedikit masa, tidak mustahil pasukan F1 tempatan kita mampu mengharumkan nama negara," katanya.

Beliau menambah, pembabitan secara serius negara dalam sukan berprestij ini turut memberi peluang kepada syarikat tempatan mengembangkan jenama dengan lebih meluas. Kerjasama menerusi penajaan itu secara tidak langsung memberi pulangan yang besar kepada syarikat tersebut dalam jangka masa panjang.

Sesuatu yang pasti, keberanian kerajaan untuk menubuhkan pasukan F1 tempatan ini akan mencetus kepada lebih banyak revolusi dalam industri automotif negara pada masa-masa akan datang.

Tinggal sejauh mana lagi seluruh rakyat Malaysia memberi sokongan kepada usaha besar ini dalam mengangkat imej dan nama negara di persada dunia.

sumber: Utusan Malaysia

Promoter F1 1Malaysia tingkat pelaburan RM172 juta

KUALA LUMPUR 16 Sept. - Promoter pasukan F1 1Malaysia akan membuat pelaburan awal sebanyak 10 juta pound (RM57.62 juta) sebelum dipertingkatkan kepada 30 juta pound (RM172.86 juta) dalam persediaannya menghadapi perlumbaan Formula Satu pada tahun depan.

Salah seorang promoter pasukan itu, Datuk Kamarudin Meranun berkata, pelaburan tersebut membabitkan deposit untuk enjin yang akan siap pada Januari depan sebelum diuji sebulan selepas itu.

''Selain pelaburan digunakan untuk mendapatkan enjin, ia juga digunakan untuk rekaan badan kereta dan menjalankan ujian termasuk segala kos operasi,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan pasukan F1 1Malaysia yang merupakan usaha sama kerajaan dan swasta negara ini bagi menyertai perlumbaan F1 mulai tahun depan.

Selain Kamarudin, tokoh korporat Datuk Seri Tony Fernandes dan SM Nasarudin SM Nasimuddin turut terlibat dalam inisiatif tersebut.

Menurut Kamarudin, sebagai pemegang saham awal pasukan itu, pihaknya mengalu-alukan individu atau syarikat milik kerajaan atau swasta tempatan yang ingin menyertai pasukan tersebut.

''Dengan sokongan dan galakan Perdana Menteri serta pihak Proton, Lotus, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Persatuan Permotoran Malaysia (MAMS) dan lain-lain, kami berbangga mengenainya (F1 1Malaysia) dan ketika ini terdapat peluang yang amat luas dalam F1.

''Kami merupakan promoter awal dan ideanya adalah menjalinkan perkongsian pintar antara sektor swasta dan syarikat milik kerajaan,'' ujarnya sambil memberitahu ia merupakan pelaburan individu dan bukannya AirAsia Bhd.

Kamarudin merupakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia manakala Fernandes pula adalah Ketua Pegawai Eksekutif syarikat penerbangan tambang murah itu.

Ditanya mengenai pelaburan beliau dalam pasukan itu, Kamarudin berkata, sebagai pemilik pasukan, beliau melihat daripada aspek komersial seperti perkongsian liputan media, penajaan, penjualan barangan dan lain-lain lagi.

Tambah beliau, penyertaan swasta dalam pasukan F1 1Malaysia akan menyokong dan melengkap pelaburan yang dilakukan oleh kerajaan dalam industri automotif dan yang berkaitan dengannya pada masa lalu dan akan datang.

Katanya, Malaysia yang mempunyai kemudahan seperti Litar Antarabangsa Sepang selain mempunyai kereta nasional perlu mempunyai pelaburan sokongan dalam usaha memajukannya lagi dan dengan penyertaan dalam F1 akan dijadikan sebagai media pemasaran yang berkesan bagi negara dan Proton serta Lotus.

''Pelaburan yang dilakukan kerajaan sebelum ini adalah membina perkakasan (hardware), dan pembabitan kami pula merupakan platform bagi memajukannya lagi selain membina perisian (software) sokongan.

''Saya menaruh keyakinan terhadap perkara ini. Di AirAsia kami sentiasa berdepan berbagai cabaran tetapi dengan minat dan azam yang kuat berserta disiplin yang tinggi, insya-Allah kita dapat mengatasi cabaran yang datang.

Menurut beliau, selain itu, pembentukan pasukan tersebut juga akan menyediakan platform pembangunan insan seperti pemandu, jurutera dan universiti tempatan untuk meningkatkan kepakaran masing-masing dalam bidang yang diceburi.

Selasa, 15 September 2009

Lotus kembali beraksi di Formula 1

LONDON: Badan pentadbir Formula 1 hari ini menamakan Lotus sebagai pasukan ke-13 kejohanan tahun depan.

FIA berkata ia turut menerima permohonan pasukan BMW Sauber tetapi disebabkan BMW sudah mengumumkan penarikan sokongan pada 2010, wujud ketidaktentuan berhubung pemilikan pasukan itu.

Namun, BMW Sauber diberikan kedudukan ke-14 yang bermakna ia boleh mengisi sebarang kekosongan pada perlumbaan tahun depan.

Pasukan baru yang akan dikenali sebagai Lotus F1 Team itu adalah usaha sama Kerajaan Malaysia dan konsortium usahawan negara.

Ketua pasukan ialah Tony Fernandes manakala pengarah teknikal ialah Mike Gascoyne yang memiliki pengalaman lebih 20 tahun dalam Formula Satu.

Lotus juga sudah bersetuju dengan perjanjian enjin dengan Cosworthh

Pasukan itu akan pada mulanya ditempatkan di Norfolk, kira-kira 10 batu dari kilang Lotus Cars di Timur England.

Kemudahan reka bentuk, pengeluaran dan pusat teknikal akan dibina di Litar Perlumbaan Antarabangsa Sepang. - Reuters

Laluan tol percuma di Lebuhraya KL-Karak, LPT

KUALA LUMPUR: Pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) akan menikmati laluan tol percuma sempena Aidilfitri pada awal pagi Jumaat dan Khamis depan.

Tawaran itu adalah bagi perjalanan mulai jam 12 tengah malam hingga 5 pagi pada dua hari berkenaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Operasi MTD, Datuk Azmil Khalid, berkata kemudahan itu diberikan untuk menggalakan pegguna merancang perjalanan bagi mengelak kesesakan.

1Malaysia F1 Team sertai Formula Satu tahun depan

PUTRAJAYA: Malaysia akan membuat penampilan sulung dalam Kejohanan Formula Satu FIA menerusi pasukan sendiri, 1Malaysia F1 Team mulai tahun depan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Ketika mengumumkan perkara itu di sini petang tadi, Perdana Menteri berkata pasukan berkenaan akan terdiri daripada rakyat Malaysia termasuk yang mengendalikan 'pit stop'.

Katanya, dua pemandu pasukan Malaysia itu dijangka diperkenalkan pada 31 Oktober ini selepas tapisan daripada enam calon.

"Ini akan pasukan Malaysia dalam erti kata yang sebenarnya, maknanya kereta ini akan direkabentuk, dibuat dan diuji di Litar Antarabangsa Sepang dan adalah kereta buatan Malaysia," katanya pada sidang media di sini.

Najib berkata, pasukan berkenaan akan dibiayai menerusi gabungan sektor awam dan swasta yang mana pembabitan kerajaan adalah menerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Proton Holdings Berhad.

Katanya, pasukan itu turut mendapat kerjasama tiga tokoh korporat iaitu Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Datuk Seri Tony Fernandes; Timbalannya, Datuk Kamarudin Meranum, dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasimudin.

Najib berkata, pasukan F1 Malaysia itu akan menggunakan teknologi Proton dan Lotus dengan bantuan teknikal kepakaran permotoran daripada Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Teknologi Petronas dan pengeluar produk komposit, Composite Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) dengan bantuan SIC dan Persatuan Permotoran Malaysia (AAM).

Ditanya mengenai kos yang akan dikeluarkan oleh kerajaan dalam projek itu, Najib berkata: "Ia dilakukan melalui Proton, saya tak tahu kalau mereka (syarikat) hendak berikan angka." Menjawab soalan, Perdana Menteri berkata usaha itu bukan satu pembaziran kerana ia membabitkan sektor swasta dan akan memberi pendedahan yang besar kepada Malaysia khususnya jenama Proton dan Lotus.

"Maknanya kalau kita hendak eksport Proton dan guna enjin Lotus, kita perlu menentukan jenama kita lebih mantap dan dikenali serta diterima di peringkat antarabangsa.

"Ada elemen pemasaran yang kuat di sebalik (projek) ini kerana ia bukan dilihat sebagai satu kegiatan sukan semata-mata tetapi ada unsur pemasaran dan untuk Malaysia seluruhnya," katanya.

Malah, katanya, usaha berkenaan juga akan turut membawa faedah kepada pengukuhan jenama Air Asia dan Naza di peringkat antarabangsa.

Ditanya sama ada pasukan itu sempat membuat persediaan menjelang kejohanan tahun depan, Najib berkata beliau yakin dengan daya saing pasukan itu.

"Tentunya kita tidak boleh berharap ia (kejayaan) berlaku serta merta, ia bersifat progresif tetapi saya harap suatu hari nanti kita boleh mendengar lagu kebangsaan negara dimainkan (ketika menang), itu impian kita," katanya.

FIA telah menerima kemasukan Malaysia dalam perlumbaan bertaraf dunia itu mulai tahun depan dan seterusnya selama 10 tahun mengikut kontrak.

Malaysia terbabit dalam perlumbaan F1 sejak 1999 menerusi pembukaan SIC yang berjaya memasuki kalendar perlumbaan F1 dunia menerusi Grand Prix Petronas (Petronas GP) yang mana tahun depan adalah siri ke-11.

Ahad, 13 September 2009

Antara sindiran dan bantuan

PADA 2 September Jakarta dan Jawa Barat dilanda gempa yang kuat iaitu 7.3 skala richter yang menyebabkan ribuan rumah, bangunan pejabat dan pusat membeli-belah rosak.

Setakat ini juga lebih 70 nyawa terkorban, manakala lebih 20 orang lagi masih tertimbus akibat tanah runtuh berikutan kejadian gempa tersebut.

Selepas kejadian gempa itu penulis diberitahu oleh Penasihat Pendidikan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Dr. Junaidi Abu Bakar terdapat sekumpulan pelajar perubatan Malaysia di Jakarta dan Bandung dengan kerjasama Kelab UMNO Luar Negara mahu menyampaikan bantuan kepada mangsa bencana tersebut.

Bagi melihat sendiri persiapan yang dibuat oleh kumpulan pelajar berkenaan penulis turut mengikut mereka membeli barang-barang yang mahu disumbangkan iaitu selimut dan makanan.

Seawal pukul 9 pagi kumpulan berkenaan telah ke Pasar Tanah Abang di Jakarta bagi membeli selimut untuk diberikan kepada mangsa gempa yang kini tinggal sementara di khemah-khemah.

Menyindir

Ketika kumpulan pelajar Malaysia itu memilih selimut yang sesuai, penulis terdengar seorang pekerja di pasar berkenaan menyindir pelajar berkenaan dengan berkata, ‘‘Manohara membeli- belah,” kata seorang lelaki sambil menghirup kopi yang baru dibelinya tanpa rasa segan silu atau menghormati umat Islam lain yang berpuasa di bulan Ramadan.

Kata sindiran itu merujuk kepada kes rakyat Indonesia, Manohara yang dikatakan didera oleh suaminya yang merupakan putera sultan di Malaysia. Berikutan kes itu Manohara kini menjadi pelakon utama drama bersiri yang berjudul ‘Manohara’.

Selepas itu lelaki yang sama mengunggap kata-kata sindiran lagi, ‘‘Malaysia yang curi tarian Pendet.” Sebagai merujuk tuduhan kerajaan Indonesia terhadap Malaysia menggunakan tarian berasal dari Bali untuk promosi pelancongan.

Walaupun kesilapan itu dilakukan oleh syarikat swasta yang tidak mempunyai kaitan dengan Malaysia, tetapi mereka lebih memilih untuk berdusta dan mendengar kata-kata pendusta.

Tunjuk perasaan

Oleh kerana kata pendusta rakyat Indonesia mulai beremosi mengadakan tunjuk perasaan dan membakar bendera Malaysia.

Bagaimanapun kata sindiran itu tidak diperdulikan oleh kumpulan pelajar Malaysia yang sudah cukup masak dengan ‘tabiat’ rakyat Indonesia.

Lelaki berkenaan bagaimanapun tidak berpuas hati setelah kata-kata sindirannya tidak dipedulikan dan dia mencuit bahu penulis, tetapi penulis juga tidak melayannya.

Akhirnya demi meluahkan rasa tidak puas hatinya lelaki itu bertanyakan penulis, ‘‘Bapak, selimut ini mahu dijual semula di Malaysia ya pak?” soalnya.

Namun alangkah terkejut dan malu lelaki berkenaan apabila penulis memberitahu selimut itu akan diberi kepada mangsa gempa di Bandung Selatan dan dia terus terdiam.

Mungkin dia tidak menyangka bahawa walaupun pelbagai tuduhan dilemparkan kepada Malaysia, rakyat Malaysia tetap bersimpati dengan rakyat negara berkenaan apabila ditimpa bencana.

Terfikir juga penulis tenaga, masa serta wang yang digunakan oleh pemuda dan pemudi Indonesia untuk mengadakan demonstrasi anti Malaysia lebih baik digunakan bagi membantu rakyat sendiri yang menderita ditimpa bencana.

Selepas mengharungi perjalanan hampir lima jam akhir kumpulan 35 pelajar perubatan itu tiba di lokasi gempa iaitu Pangalengan sebuah kampung yang terletak di kawan pergunungan.

Pengalengan merupakan kawasan penanaman sayur terbesar di Bandung dan majoriti penduduknya adalah petani.

Kumpulan berkenaan tiba tepat waktu untuk berbuka puasa dan cuaca di kawasan berkenaan memang cukup sejuk. Sebagai perbandingan lebih dingin daripada Cameron Highland atau Bukit Fraser, mahupun Genting Highland.

Oleh kerana cuaca yang sudah gelap, hanya majlis berbuka puasa yang disertai 500 mangsa gempa sahaja dapat diadakan. Pada keesokan harinya barulah pakaian, selimut, minuman dan makanan untuk bantuan mangsa gempa.

Seorang pemimpin masyarakat kawasan berkenaan yang dikenali sebagai Zainal ketika ditemubual oleh penulis benar-benar terharu dengan bantuan yang diberikan dan rasa simpati yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia.

Memang tidak penulis sangka sumbangan yang tidak seberapa itu rupa-rupanya cukup berharga bagi mereka yang sedang dilanda musibah. Mata Zainal mulai merah dan air mata mengalir tanpa dapat dibendung kerana tidak dapat menahan rasa terharunya.

Mungkin pepatah Melayu, ‘Hidup ibarat putaran roda, kadangkala kita di atas, kadangkala kita di bawah, kadangkala kita memberi dan kadangkala kita meminta’ adalah gambaran yang paling tepat menceritakan pengalaman yang dilalui penulis dan kumpulan pelajar berkenaan.

Cara orang Melayu dulu-dulu beraya

SEBELUM kedatangan sebarang agama ke Alam Melayu, penduduk di rantau ini seperti juga di lain-lain tempat di Asia Tenggara menganut kepercayaan alam roh, maknanya semua benda dipercayai ada roh, pokok, binatang dan lain-lain.

Maka roh paling utama ialah pada padi. Tanpa beras, orang Melayu akan mati.

Justeru perayaan paling besar tentunya ketika menyambut hari menuai padi. Seperti mana hari perayaan pribumi Sarawak, Sabah dan Orang Asli, maka begitu jugalah apa yang dilakukan oleh orang Melayu dan semua kaum di Nusantara.

Dipanggil sambutan ini sebagai Hari Raya kerana ia merujuk kepada kebesaran sesuatu perayaan. Ia merupakan hari meraikan atau merayakan kejayaan penanaman padi. Tetapi cara hidup orang Melayu kemudian berubah apabila mereka bukan saja menjadi masyarakat petani tetapi juga menjadi bangsa berdagang. Mereka mampu membina kapal-kapal besar untuk berlayar. Menjadi bangsa maritim bermula dengan keupayaan orang Melayu mewujudkan kerajaan di pesisiran pantai dan kuala sungai. Mereka membina pelabuhan bagi menarik kunjungan kapal-kapal dagang dari China, India, Parsi dan Arab.

Di sinilah munculnya kerajaan Sri Wijaya. Daripada kunjungan kapal-kapal ini, maka agama Hindu pun bertapak di alam Melayu. Sebagai bangsa maritim, orang Melayu sudah tidak lagi menyambut hari menuai sebagai hari kebesarannya yang utama. Dengan beragama Hindu, orang Melayu turut menyambut hari Perayaan Cahaya mengatasi Kegelapan. Dalam sambutan Diwali atau Deepavali, lampu-lampu dipasang di keliling rumah. Suatu amalan Hari Raya yang kini sudah menjadi sebahagian daripada budaya Melayu.

Merantau

Orang Melayu kuat merantau. mereka berlayar di sekitar kepulauan Melayu. Walaupun terdiri daripada banyak kerajaan, tetapi Nusantara adalah Dunia Melayu.

Maka setiap Hari Raya, mereka akan balik ke kampung halaman seboleh mungkin untuk menemui ibu, bapa dan sanak saudara. Amalan balik kampung menjadi suatu kemestian semasa Hari Raya kini terus diamalkan oleh orang Melayu.

Tetapi menarik untuk mengetahui bagaimanakah orang Melayu menyambut Hari Raya Aidilfitri ketika mula memeluk agama Islam.

Cuba bayangkan bagaimana orang Melayu zaman kesultanan Melaka menyambut Hari Raya. Lebih-lebih lagi pada tahun pertama mereka memeluk Islam. Tentu sukar bagi istana Melaka, apatah lagi rakyatnya berpuasa.

Bagaimanakah pihak istana membuat keputusan untuk menjadikan Hari Raya Aidilfitri sebagai Hari Raya bagi orang Melayu? Mengapa mereka memilih Hari Raya Puasa dan bukannya Hari Raya Haji?

Dalam ibadat, dikatakan orang Melayu lebih menekankan tentang puasa berbanding ibadat lain. Pendakwah berjaya meyakinkan keseluruhan masyarakat Melayu supaya berpuasa, bertarawih dan mengharapkan Lailatul Qadar. Maka Hari Raya menjadi begitu bermakna bagi orang Melayu dengan dikaitkan dengan kejayaan beribadat puasa.

Pada Hari Raya pula, ulama Melayu dahulu membuat keputusan untuk mengambil takbir raya yang bernada syahdu. Ini kerana di lain-lain tempat, takbir mereka bernada semangat juang. Ini kerana takbir itu berasal daripada laungan semasa Perang Badar, yang kemudian diabadikan dalam sambutan meraikan kemenangan perang itu.

Tetapi bagi orang Melayu di Nusantara, nada takbir adalah berbentuk sayu dan sedih mengenangkan sanak saudara yang sudah tiada atau pergi tidak kembali. Ini kerana bagi masyarakat Melayu, balik kampung waktu Hari Raya adalah penting. Jika tidak dapat balik, maka si ibu atau bapa akan teringatkan anaknya terutama semasa takbir yang bernada sedih dan sayu.

Selasa, 8 September 2009

Tuding orang lain tutup kelemahan diri

Oleh Wan Jailani Razak

Isu pemindahan kuil ragut keharmonian kaum di Selangor

KETIKA majlis dialog dibuka untuk soalan, beberapa penduduk berulang kali menegaskan, mereka bukan mewakili parti Umno, Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP atau mana-mana parti lain, cuma mewakili diri sendiri yang hanya mahu ketenteraman mendiami perumahan di Seksyen 23, Shah Alam, tidak diganggu.

Antara mereka, seorang wanita dengan nada sebak merintih agar kuil tidak dipindahkan ke kawasan perumahan mereka kerana beliau membuat keputusan membeli rumah di situ selepas berkenan dengan lokasi dan prasarana sedia ada.

Seorang penduduk lelaki Melayu pula menceritakan bagaimana semangat kejiranan bersama penduduk beragama Hindu begitu utuh sehinggakan kematian ikan tilapia yang dipelihara dalam akuarium rumahnya pun diketahui rakannya itu.

Bagaimanapun, keharmonian hidup berjiran dengan penduduk berbeza agama, katanya, seolah-olah diragut berikutan isu berkaitan pemindahan kuil ke perumahan itu timbul sejak tiga bulan lalu.

Beberapa penduduk lain yang hadir pada sesi dialog di Dewan Bankuet, Wisma MBSA, Sabtu lalu pula bangkit melepaskan geram kepada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang didakwa mereka sebelum ini lambat memberikan reaksi positif untuk berbincang.

Bagaimanapun, sesi penjelasan sama ada oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad atau Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Tiga, Rodziah Ismail di'boo' penduduk yang tidak puas hati dengan cara isu itu ditangani.

Penduduk sering menyampuk dan mempertikaikan penjelasan yang diberikan dengan menjerit `penipu', `bodoh', `kami mahu keputusan ya atau tidak' dan 'penderhaka'. Ia bermula apabila penduduk enggan membenarkan Khalid Samad berucap kerana didakwa tidak mempunyai jawapan bagi masalah mereka.

Ketegangan sampai ke kemuncak apabila seorang penduduk setempat yang beragama Hindu, tampil memberikan cadangan, hampir dibaling dengan kerusi.

Daripada insiden ini, Abdul Khalid dan rakan-rakannya yang ghairah memenuhi tuntutan untuk menjadi kerajaan popular mungkin tidak sedar ada asas tertentu dalam realiti masyarakat berbilang kaum di negara ini yang tidak boleh dibuat main.

Menteri Besar Selangor mungkin beranggapan keputusan pindahkan saja kuil Hindu dari Seksyen 19 ke Seksyen 23 begitu mudah dibuat dalam 'semangat pakatan pembangkang'.

Akibatnya beliau sendiri terpaksa berdepan sumpah seranah dilontarkan penduduk yang datang dalam keadaan marah yang meluap-luap dengan membahasakan 'aku dan engkau' ketika meluahkan perasaan yang terpendam.

Akhirnya pada sidang media tergempar di kediaman rasminya di Seksyen 7, Shah Alam, kira-kira sejam selepas dialog berakhir jam 12.20 tengah hari, Abdul Khalid bersetuju untuk membekukan sementara cadangan memindahkan kuil dari Seksyen 19 ke Seksyen 23, sehingga satu lokasi lain lebih sesuai ditemui.

Apatah lagi penjelasan Khalid Samad yang menyatakan bahawa perkara mengenai pemindahan kuil itu baru di peringkat cadangan, ditolak mentah-mentah penduduk dengan jeritan 'penipu' selepas mereka mendapati semak samun di tapak cadangan mula diterangkan.

Kerajaan Pakatan Rakyat harus bertanggungjawab terhadap keputusan awal yang mereka buat dalam isu pemindahan kuil ke Seksyen 23. Menuduh kerajaan sebelum ini sebagai punca masalah ini boleh dianggap sebagai helah untuk menutup kelemahan sendiri.

Cuba menjelaskan perkara sebenar, sehari sebelum dialog, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo bersama bekas Adun Batu Tiga yang juga bekas Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Salamon Selamat dan bekas Adun Kota Anggerik, Datuk Ahmad Nawawi Md Zin membawa wartawan ke Seksyen 18, untuk melawat tapak rumah ibadat bukan Islam yang disediakan kerajaan negeri dengan kos RM600,000.

Dr Mohamad Khir berkata, ketika itu kebanyakan pemilik kuil bersetuju untuk berpindah ke tapak berkenaan dan tapak di Seksyen 22.

"Jika tidak silap saya infrastruktur di Seksyen 18 siap pada akhir 2007. Perbincangan untuk proses pemindahan berjalan selepas itu tetapi keputusan pilihan raya umum lalu yang menyaksikan pertukaran kerajaan menyebabkan polisi berubah.

"Tidak semena-mena kerajaan pakatan mengizinkan kuil dibina di tapak Seksyen 23 tanpa terlebih dulu mengambil kira pandangan penduduk berhampiran," katanya.

Ini bermakna kerajaan negeri sendiri yang mencipta isu di Seksyen 23. Jadi, mereka sepatutnya menyelesaikan masalah yang dicipta sendiri, bukan sebaliknya, menyalahkan kerajaan lalu sebagai tidak berusaha menyelesaikan.

Justeru, tuduhan bahawa kerajaan negeri sebelum ini tidak prihatin dengan keperluan penganut bukan Islam boleh dianggap berniat jahat kerana tapak untuk menempatkan rumah ibadat bukan Islam sudah disediakan di Seksyen 18 yang letaknya hanya kira-kira tiga hingga lima kilometer dari Seksyen 23.

Kerajaan negeri ketika itu yakin tapak berkenaan adalah yang terbaik. Malah lokasinya yang jauh dari kawasan perumahan membolehkan aktiviti keagamaan dilakukan 24 jam tanpa sebarang gangguan atau rungutan penduduk.

Isu ini sekurang-kurangnya menjadi satu pengajaran kepada warga Shah Alam yang pernah mengundi calon Pakatan Rakyat yang dilihat begitu tegas untuk menguruskan negeri dengan adil dan telus.

Penduduk Melayu dan Islam di Seksyen 23 ditekan tetapi siapa mahu membela sehingga mereka terpaksa mengadakan demonstrasi pada 28 Ogos lalu untuk mendapatkan perhatian. Mereka tidak lagi mengharap simpati dua pemimpin setempat yang dihebohkan sebagai pembela rakyat, termasuk seorang daripada mereka dari sebuah parti yang konon bertunjangkan Islam.

Justeru, tidak salah bagi kerajaan negeri berpatah balik kepada keputusan sebelum ini supaya rumah ibadat bukan Islam ditempatkan di Seksyen 18 atau Seksyen 22. Kerajaan Pakatan Rakyat tidak perlu berasa termalu dengan keputusan itu meskipun dikatakan gagal memenuhi janji yang dibuat kepada rakyat untuk memenangi Pilihan Raya Umum pada Mac tahun lalu.

Lagi pun, selepas setahun setengah memerintah Selangor, banyak janji yang disenaraikan dalam manifesto pilihan raya belum ditunaikan Pakatan Rakyat. Apalah sangat dengan satu janji yang tidak dikotakan itu demi kehendak majoriti penduduk Islam di Seksyen 23.

Penulis ialah Ketua Biro Berita Harian, Selangor

Sumber: Berita Harian

Janji manis Pakatan Rakyat makan diri

Minda Pengarang: Berita Harian

MASALAH mengurus kerajaan dihadapi Pakatan Rakyat (PR) di Selangor dan Pulau Pinang mendedah betapa mengkritik adalah kerja mudah. Mengkritik sesedap rasa dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan rakyat, adalah perkara berbeza.

Jika sebelum ini mereka bercakap mengikut sesuka hati, mendakwa apa saja yang dilakukan Barisan Nasional (BN) tidak betul, kini tindakan mereka pula dipertikaikan. Lebih parah, mereka dipersoalkan oleh rakyat yang memberi mandat kepada mereka untuk memerintah. PR baru sedar cabaran dan tanggungjawab mentadbir tidak semudah yang mereka laungkan ketika menjadi pembangkang. Untuk berjanji bukan sukar kerana ia tidak memerlukan sebarang kos. Tetapi, untuk melaksanakan janji khasnya berhubung soal pembangunan fizikal, ia memerlukan kos yang besar. Sekali pun ada wang, rakyat tetap mempersoalkan kewarasan sesuatu projek itu. Mereka mahu melihat kerajaan berbelanja dengan berhemah. Kepentingan semua pihak perlu dijaga mengatasi segala-galanya.

Hari ini PR perlu menerima hakikat bahawa kewibawaan pentadbiran mereka sudah goyah. Dasar mereka dipertikaikan dan janji melimpah ruah mereka ketika kempen pilihan raya 2008 dituntut. Tanyalah kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim atau Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang tentu lebih arif mengenainya. Benar, kerja merobohkan rumah di Kampung Buah Pala sudah bermula dan isu pemindahan kuil di Shah Alam ditangguhkan, tetapi dua krisis itu masih jauh dari penghujungnya. Selepas ini, pasti banyak lagi pihak akan membuat pelbagai tuntutan tidak masuk akal bila tanah mereka mahu diambil manakala ramai lagi sedia berarak setiap kali isu rumah ibadat diperdebatkan. Jika isu yang timbul membabitkan kaum pula, ia bila-bila masa saja boleh mencetus masalah lebih besar.

Ketika PR berhempas pulas menyelesaikan isu yang mendepani mereka dan terpaksa menelan realiti pahit betapa sukarnya menjadi kerajaan, rakyat pula semakin boleh menilai antara kaca dengan permata. Jika sebelum ini ramai leka dengan janji manis reformasi yang dilaungkan, kini mereka terjaga dari dibuai mimpi indah dan kembali ke dunia realiti. Jaminan kesejahteraan dan masa depan rakyat bukan terletak pada retorik politik atau janji. Ia berpaksi kepada tindakan dan kemampuan membuat keputusan bijak. Janji perubahan yang didendangkan Pakatan Rakyat sebelum ini semakin beralih menjadi angan-angan di mata rakyat. Itulah sebabnya penduduk Seksyen 23 hilang sabar dan mengejek Abdul Khalid serta Exconya di Shah Alam. Itulah juga sebabnya penduduk Kampung Buah Pala mahu menyerbu bangunan Komtar di Pulau Pinang kerana mereka merasakan Lim tidak menepati janji.

Masyarakat hari ini bijak menilai dan mereka sanggup 'berkasar' jika bosan rintihan mereka tidak diendahkan oleh pihak yang sebelum ini enak berjanji membela nasib mereka.

Sumber: Berita Harian

Tiket tonton bayi berenang laris dijual

BEIJING: Seorang bayi perempuan menjadi perenang profesional di China yang mana tiket bagi persembahan kemunculannya sudah habis dijual.

Xiao Xingwa, dari Qinghuangdao, wilayah Hebei sudah berenang sejak berusia empat bulan dan diajar serta dilatih datuk dan neneknya.

Bayi berusia 21 bulan itu akan mengadakan persembahan umum pertamanya di pusat percutian Dongshan Sea Rabu depan.

Wang, datuknya, berkata: “Xingwa sangat sukakan air dan boleh melakukan banyak aksi. Dia juga berasa selesa dalam air sehingga kadang kala tertidur dalam kolam renang.” - Agensi

sumber: Berita Harian

Pakatan pembangkang makin keliru

ISU demonstrasi di Seksyen 23 Shah Alam tidak patut dinilai sebagai tindakan yang berniat mencemarkan kesucian Ramadan atau perlakuan menghina agama kaum lain.

Ia sebaliknya perlu dilihat sebagai simbolik protes, manifestasi kemarahan teramat sangat oleh sebilangan besar penduduk Islam di Seksyen 23 itu dalam isu pembinaan kuil di situ.

Apa tidaknya. Memorandum, surat demi surat dan bantahan lisan secara “berbudi bahasa” telah pun dikemukakan tetapi langsung tidak diambil endah. Kalau hal ini dibincang lebih awal dan dikaji dengan teliti, ia tentu tidak sampai jadi begini.

Berdasarkan kenyataan penunjuk perasaan penduduk Seksyen 23, “insiden kepala lembu” itu bukanlah dirancang secara khusus. Ia adalah simbolik perumpamaan pemimpin seperti “lembu dicucuk hidung” dan “bodoh macam lembu”.

Itulah yang terjadi apabila perhatian yang diminta oleh rakyat tidak diperolehi. Jadi apa lagi pilihan sesetengah mereka? Malangnya, ada di kalangan pemimpin kita sendiri yang menempelak demonstrasi berkenaan tanpa memahami isunya.

Pembangkang seperti biasa menggunakan taktik kotor dengan membangkitkan sentimen kebencian bukan Melayu dengan dengan menuduh kerajaan pimpinan UMNO sebagai perkauman.

Yang cuba mereka sembunyikan ialah suara protes di bangunan SUK Selangor tempoh hari lahir dari akar umbi masyarakat Islam. Ia terdiri bukan hanya kalangan “orang UMNO” tetapi juga kebanyakan penyokong PKR dan Pas.

Kumpulan itu merasakan jeritan hati mereka telah tidak lagi dipedulikan!

Ia terbukti bila kerajaan negeri terpaksa menangguhkan semula keputusan pemindahan kuil tersebut. Tepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri !

Nilai Semula Keperluan Untuk Bersatu

Dalam komentar yang diambil daripada http://www.khalidsamad.com berhubung isu ini, ada komen yang meminta kita melihat insiden itu sebagai satu desakan murni perpaduan antara Pas-PKR-UMNO.

Ada betulnya juga. Kalau kita nak tunggu isu seperti ini datang lagi, tunggulah sampai gerhana matahari pun belum tentu akan muncul.

Ternyatalah insiden ini mesti juga dilihat sebagai simbolik perpaduan orang Islam dalam Pas-PKR-UMNO melalui Jawatankuasa Bertindak Penduduk Seksyen 23 yang menunjukkan perjuangan mereka adalah suci atas dasar suara majoriti rakyat Selangor.

Mereka ini bergabung atas dasar Melayu dan Islam tanpa menghiraukan perbezaan falsafah politik. Lantaran, keegoan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang merasakan kerajaan perpaduan tidak diperlukan terbukti telah ditolak di bahagian Parlimen yang dikuasai oleh Pas sendiri.

Melalui isu ini, wakil rakyatnya, Khalid Samad telah terbukti gagal melaksanakan tanggungjawab untuk mengutamakan sensitiviti majoriti rakyat di Seksyen 23. Sekali gus, terbuktilah juga kelemahan kerajaan pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim untuk mengawal keadaan.

Kerajaan Persekutuan pula bagaikan sudahpun menang dalam isu kepala lembu yang diarak ke SUK Selangor.

Penyokong-penyokong Hindraf dan PKR yang anti-ISA tiba-tiba ‘terhegeh-hegeh’ meminta kerajaan Pusat mengenakan tindakan ISA ke atas penunjuk perasaan tempoh hari. Maka terbuktilah ISA masih diperlukan!

GAGAL URUS, PAKATAN SEMAKIN GOYAH!

Kemelut ini akhirnya memaksa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah campur tangan. Bila sampai ke tahap di mana Sultan sendiri menegur, maka terbuktilah kegagalan kerajaan pakatan pembangkang Selangor dalam mengurus negeri dan menangani isu membabitkan sensitiviti rakyat!

Tindakan pakatan pembangkang yang sentiasa cuba mencari populariti murahan di kalangan orang bukan Melayu dengan melaung-laungkan kebebasan tidak terbatas akhirnya terbukti membawa padah.

Rasa hormat dalam masyarakat berbilang kaum yang selama ini dibina oleh kerajaan BN menjadi celaru. Gara-gara itu, azam 1Malaysia terpaksa dirangka oleh kerajaan Persekutuan bagi ‘mengubat’ semula keharmonian tersebut.

Sehinggakan dalam satu dialog baru-baru ini, seorang India bertindak melampaui batas dan seakan-akan mempertikai hak agama rasmi negara.

Jumlah surau dan masjid yang banyak dipersoalkan malahan isu azan lima kali sehari pun berani diperkatakan!

Mungkin inilah bibit-bibit kejatuhan kerajaan pakatan pembangkang di Selangor. Kalau di Perak, ia mengambil masa hampir satu tahun setengah untuk berakhir, Selangor lebih bernasib baik. Ia masih bertahan – sekurang-kurangnya sehingga kini.

Syukurlah, melalui isu-isu yang sudah ditentukan oleh-Nya ini, kita – umat Melayu dan umat Islam – sedar dan kembali bersatu.


FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan
Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris)

Sumber: Utusan Malaysia

Wayang pembangkang di Perak

RABU lalu, bandar raya Ipoh kecoh lagi. Dan sekali lagi kekecohan itu ditimbulkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak daripada pakatan pembangkang.

Puncanya hanya kerana mereka mahu mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka sendiri. Pada hal mahkamah telah memutuskan bahawa Barisan Nasional (BN) yang berhak memerintah negeri itu.

Maka untuk mendapat perhatian dan publisiti, ADUN pembangkang di negeri itu terpaksa "main wayang" dengan memanggil satu 'sidang DUN'.

Tetapi daripada apa yang berlaku pada hari itu, termasuk insiden ADUN pembangkang terbabit bertengkar dengan polis semuanya seperti telah dirancang. Skripnya seolah-olah telah diatur sejak awal lagi.

Skrip wayang itu bermula dengan bekas speaker, S. Sivakumar memanggil sidang DUN haram itu. Kemudian para ADUN terbabit hadir pada hari yang ditetapkan dan berarak ke Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Di situ mereka dihalang oleh polis maka tercetuslah ketegangan antara pemimpin dan penyokong mereka dengan pihak polis.

Setelah puas berdrama di jalan raya mereka menuju ke hotel di mana segala-galanya sudah disusun dan disediakan untuk mereka bermesyuarat.

Skripnya jelas. Hotel sudah tentu ditempah dari awal. Susun aturnya ala sidang DUN itu juga tentunya telah diarahkan dari awal.

Tetapi untuk menunjukkan bahawa hasrat mereka itu dihalang, ADUN-ADUN pembangkang itu perlu juga berarak di jalan. Apabila berarak sudah tentu polis akan bertindak. Dengan itu mereka akan mendapat publisiti yang diinginkan.

Setelah sekian lama agak tenggelam, hari Rabu lalu mereka kembali mendapat publisiti di media.

Dengan cara itu juga mereka dapat menunjukkan kononnya polis bertindak kasar. Malah polis didakwa telah menghalang mereka melaksanakan 'proses demokrasi'.

Sedangkan mahkamah jelas memutuskan bahawa BN lebih berhak mentadbir Perak. Nampaknya, undang-undang dan apa yang diputuskan oleh mahkamah tidak penting pada kumpulan ini.

Pada mereka, yang paling penting ialah mencapai cita-cita peribadi dan mendapatkan publisiti murahan walau dengan apa cara sekalipun.

Tindakan ADUN Setiawan, Ngeh Koo Ham yang bertegang leher dengan polis juga seolah-olah telah dirancang.

Kenapa perlu bertekak dengan polis kalau tempat bermesyuarat di hotel yang berhawa dingin telah siap ditempah? Untuk apa semua itu kalau bukan untuk publisiti murahan?

Untuk membolehkan mereka bermesyuarat di hotel itu sudah tentu ia perlu ditempah dari awal. Kalau sudah tempah dewan di hotel kenapa perlu lagi untuk berarak di jalan raya hingga mencetuskan ketegangan dengan pihak polis?

Tidakkah itu disengajakan? Tidakkah itu kekecohan yang dirancang dan disengajakan supaya mereka boleh mendakwa pihak polis kejam?

Inilah demokrasi yang didokong oleh kumpulan terbabit.

Sebagai wakil rakyat yang dipilih melalui pilihan raya yang sah, mereka sepatutnya menumpukan kepada usaha-usaha untuk membantu dan memajukan rakyat.

Inilah masanya untuk mereka membuktikan kepada penduduk yang diwakili bahawa mereka jauh lebih baik daripada wakil rakyat BN sebelum ini.

Inilah juga masa untuk mereka membuktikan segala kata dan janji ketika kempen bahawa rakyat akan mendapat "pemimpin yang lebih baik".

Tetapi dengan wayang demi wayang dan lakonan demi lakonan, bilakah masanya mereka akan berbakti kepada rakyat?

Kedudukan kumpulan yang berhak memerintah negeri sudah jelas. Kini BN yang lebih berhak. Selain pakatan pembangkang kehilangan majoriti ekoran dua ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertindak keluar parti itu, mahkamah juga membuat keputusan yang tidak memihak kepada mereka.

Sebagai pemimpin-pemimpin dan kumpulan yang selalu melaung-laungkan konsep demokrasi, sepatutnya hormatilah keputusan itu.

Apa yang mereka dapat daripada mesyuarat yang diadakan hari itu? Bolehkan keputusan atau usul yang kononnya dibangkit dan dibentangkan pada mesyuarat itu dilaksanakan? Jika tidak boleh, tidakkah itu namanya buang masa? Atau boleh dikatakan lakonan untuk mendapat perhatian dan tumpuan?

Sebelum ini mesyuarat yang diadakan di bawah pokok juga tidak memberikan apa-apa manfaat kepada rakyat.

Hanya ADUN terbabit sahaja yang mendapat liputan meluas pihak media termasuk media antarabangsa.

Rakyat pula hanya mampu melihat dari jauh. Terpinga-pinga dengan apa yang terjadi. Nasib mereka tidak juga berubah.

Wakil rakyat telah berubah daripada BN kepada pembangkang dengan harapan akan ada perubahan. Tetapi nasib mereka tetap sama.

Sudahlah hasil mesyuarat sekadar masuk angin keluar asap. Masalah yang berkaitan dengan rakyat tidak satu pun dibangkitkan.

Sama ada ketika mesyuarat di bawah pokok mahupun yang di hotel itu. Isu yang dibangkitkan semuanya hanya berkenaan dengan hal untuk mengekalkan status quo ADUN-ADUN terbabit.

Dalam lain perkataan, semuanya untuk kepentingan peribadi dan untuk mengisi tembolok sendiri. Sampai ke tahap sanggup berlakon dan bersandiwara.

Seperti kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin: "Mahkamah sudah buat keputusan, desak macam mana pun tak jalan... ikut prinsip Perlembagaan, mahkamah dah tetapkan Menteri Besar dan kerajaan sah jadi apa lagi nak desak?"

Tentu ADUN pembangkang yang semuanya bijak-bijak itu faham akan keputusan mahkamah tersebut. Tetapi mungkin ada kumpulan rakyat yang tidak faham.

Mereka seperti mahu menggunakan wayang ini untuk mengabui dan mempengaruhi rakyat supaya membenci BN.

Mungkin ada juga yang terhibur apabila melihat gelagat ADUN-ADUN terbabit. Setelah berpeluh-peluh dan kering air liur bertegang leher dengan pihak polis mereka dengan mudah bergerak ke hotel tersebut.

Jelas dan nyata tempat telah tersedia untuk mereka. Semuanya sudah disusun cantik termasuk gelas berisi air tersedia di atas meja.

Setelah menyaksikan gelagat dan lakonan itu, terpulang kepada rakyat untuk menilai wakil rakyat mereka.

Dari situ boleh dinilai bentuk pemimpin yang macam mana yang dimahukan. Tepuk dada tanya selesa.

Dulu orang selalu berkata, terlajak perahu boleh diundur. Tetapi orang zaman ini yang tersalah memangkah terpaksa tunggu lima tahun lagi untuk merubah.

PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Sumber : Utusan Malaysia Online

Kajian undang-undang siber siap - PM

PUTRAJAYA 7 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kajian ke atas peruntukan undang-undang siber sedia ada telah siap dan ia akan membantu kerajaan menangani aktiviti tidak bermoral dan salah di sisi undang-undang dalam Internet.

Menurut Perdana Menteri, kajian tersebut menumpukan kepada langkah-langkah untuk mengatasi kelemahan yang dikesan sekali gus memperkukuhkan undang-undang sedia ada.

"Adalah diharapkan kajian yang baru siap ini akan membantu kerajaan meningkatkan peruntukan dan polisi undang-undang bagi menangani aktiviti-aktiviti haram dan tidak bermoral dalam persekitaran siber," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Teknologi Maklumat Kebangsaan (NITC) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Maximus Ongkili serta Ketua Pegawai Eksekutif Multimedia Development Corporation Sdn. Bhd. (MDeC), Datuk Badlisham Ghazali.

Najib memberitahu, kewujudan Internet menyebabkan ancaman siber menjadi satu isu yang memerlukan perhatian amat serius.

Bagaimanapun, beliau menambah, usaha untuk mengatasi permasalahan itu tidak semudah disangka berikutan pelbagai cabaran yang dikenal pasti.

"Antaranya ketanpanamaan, kuasa rentas sempadan dan pengumpulan bukti bagi kes-kes salah laku yang melibatkan keselamatan siber ini," ujarnya.

Selain itu, katanya, masyarakat juga perlu diberi kesedaran dan pendedahan berkenaan bahaya ancaman siber terhadap kepentingan awam dan kedaulatan negara.

Isnin, 7 September 2009

Kerajaan jamin tiada tapisan kandungan internet: PM

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mempertahankan akta yang menjamin tiada tapisan terhadap kandungan internet namun kebebasan bersuara bukan hak mutlak dan perlu dilaksanakan dengan bertanggungjawab, kata Datuk Seri Najib Razak, hari ini.

Perdana Menteri berkata, ia menjadi kesalahan sama ada perkara yang tidak bermoral dan bertentangan dengan undang-undang itu dipaparkan sama ada dalam talian (internet) atau sebaliknya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Teknologi Maklumat Kebangsaan di Jabatan Perdana Menteri, di sini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...