Isnin, 16 Mei 2011

Nilai subsidi dijangka meningkat kepada RM20.58 bilion tahun ini

PUTRAJAYA: Kerajaan menjangka nilai subsidi pada tahun ini meningkat kepada RM20.58 bilion berbanding RM10.32 bilion pada tahun lalu berikutan kenaikan harga minyak dunia pada hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM18 bilion adalah nilai subsidi bagi produk petroleum sahaja, iaitu RON 95, diesel dan gas masak LPG.
"Walaupun begitu, dari semasa ke semasa, di mana yang difikir wajar untuk dibantu, maka sektor berkenaan akan dibantu terutama daripada segi bahan keperluan pengguna seperti gas masak LPG kerana ia digunakan secara meluas.
"Tetapi kita tidak boleh mengekalkan kadar subsidi. Ada peringkat tertentu yang difikir wajar, kadar itu akan dikurangkan.

"Maknanya secara keseluruhannya, walaupun subsidi perlu, tetapi hanya untuk sektor yang utama sahaja dan dasar dikuatkuasakan untuk mengurangkan subsidi secara berperingkat mengikut sektor tertentu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Bekalan dan Harga Yang Pertama, di sini hari ini. - BERNAMA

Bukti baru dan jawapan


DUA laporan oleh tiga pakar psikiatri termasuk seorang warganegara Britain yang dikemukakan sebagai bahan bukti pada 10 Mei lalu mengakhiri prosiding Suruhanjaya Untuk Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock yang bersidang sejak 14 Februari.
Prosiding bertempat di Mahkamah Tinggi Sivil Baharu (NcVc), Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selama 50 hari itu ternyata berjaya meraih lebih banyak maklumat dan bukti baru bagi menghuraikan misteri yang menyelubungi kematian Setiausaha Politik Exco Selangor itu.
Ia bukan semata-mata berdasarkan keterangan saksi-saksi tetapi juga hasil siasatan oleh penyiasat persendirian, bekas polis Britain yang dilantik khas oleh suruhanjaya, Michael Leslie Squires.
Antaranya, isi kandungan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan komputer riba serta akses Internet oleh pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terlibat secara langsung atau tidak dalam operasi siasatan penyelewengan peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor.
Begitu juga maklumat-maklumat berhubung siasatan oleh SPRM yang sebelum ini langsung tidak dibenarkan disentuh dalam prosiding inkues telah dibongkar habis-habisan berikutan prinsip suruhanjaya yang mengambil kira kemungkinan setiap satunya relevan dengan kematian Beng Hock.
Tidak ketinggalan kehadiran saksi-saksi yang tidak pernah dipanggil memberi keterangan di Mahkamah Koroner Shah Alam antara Julai 2009 dan Januari lalu seperti tunang Beng Hock, Soh Cher Wei, kontraktor yang turut disiasat oleh SPRM pada malam yang sama, Lee Wye Wing dan banyak lagi.
Misteri persoalan nota 'selamat tinggal' juga berakhir apabila pemeriksa dokumen dari Jabatan Kimia Malaysia, Wong Kong Yong mengesahkan ia sepadan dengan contoh tulisan dan tandatangan Beng Hock yang diambil dari pejabat ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.
Menjawab persoalan tentang dakwaan berlakunya penyelewengan peruntukan ADUN, Pegawai Siasatan Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM, Ahmad Shafik Abdul Rahman @ Alwee mengesahkan hasil siasatannya mendapati tiada sebarang bukti yang mengaitkan ketua Beng Hock, Hian Wah dalam kes tuntutan palsu.
Bagaimanapun, beliau dalam masa sama mendedahkan bahawa wujud elemen penipuan berhubung penggunaan lesen kontraktor bumiputera kelas F untuk membolot projek-projek kecil dengan menuding jari ke arah Hian Wah, Beng Hock dan Wye Wing sebagai suspek.
Malangnya, siasatan lanjut terhadap kesalahan-kesalahan tersebut tidak dapat dilakukan berikutan kematian Beng Hock telah menimbulkan kontroversi serta keadaan yang tidak sesuai selepas kejadian tersebut.
Fakta itu disokong oleh keterangan Wye Wing sendiri yang mengaku mempergunakan kontraktor bumiputera untuk mendapatkan projek-projek kecil di bawah peruntukan ADUN serta menyalurkan sebahagian wang tuntutan kepada parti politik DAP.
Keterangan kontraktor tidak terhenti di situ apabila beliau turut mengesahkan bahawa tiada sebarang bunyi atau tanda yang menunjukkan Beng Hock telah didera secara fizikal mahupun mental sepanjang beliau berada di pejabat SPRM Selangor.
Begitu juga keterangan Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Wah yang bukan sahaja melihat Beng Hock dalam keadaan sihat dan selamat pada awal pagi 16 Julai 2009, tetapi kelihatan mundar-mandir sambil menundukkan kepala sebagaimana keterangan pegawai-pegawai SPRM.
Ia disokong oleh bukti forensik apabila empat pakar patologi forensik yang terlibat dengan bedah siasat pertama dan kedua, Dr. Khairul Azman Ibrahim, Dr. Shahidan Md. Noor, Dr. Peter Vanezis dari Britain dan Dr. Prashant Naresh Samberkar sependapat bahawa ia berpunca daripada kecederaan berganda akibat jatuh dari tempat tinggi.
Mereka sekali gus menolak pendapat pakar patologi forensik dari Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand bahawa kecederaan pada leher dan dagu Beng Hock akibat dicekik serta dipukul dengan senjata tumpul.
Malah, Prashant yang merupakan warganegara India dan bertugas di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) serta terlibat dalam kajian jatuh dari tempat tinggi sejak 10 tahun lalu bertegas bahawa lelaki itu berada dalam keadaan mencangkung di tingkap sebelum terjun dari tingkat 14.
Menyentuh tentang keadaan minda Beng Hock sebelum dia ditemui mati, dua pakar psikiatri, Dr. Ba'diah Yahya dan Dr. Norhayati Ali berpendapat bahawa kemungkinan untuk Beng Hock membunuh diri dengan terjun dari tingkat 14, Plaza Masalam pada 16 Julai 2009 lebih kuat berbanding faktor-faktor lain.
Sementara seorang lagi pakar psikiatri forensik, Profesor Paul E. Mullen dari Universiti Monash dan dilantik oleh Majlis Peguam Malaysia pula berpendapat, berlaku gangguan kepada kestabilan psikologi serta ketakutan yang mendorong Beng Hock jika dia dikatakan membunuh diri kerana lelaki itu seorang yang berisiko rendah untuk berbuat demikian.
Meskipun terdapat perbezaan, pengerusi suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen menganggap kedua-dua laporan itu saling melengkapi antara satu sama lain serta mampu membantu pihaknya membuat rumusan.
Mengimbas prosiding yang berlangsung selama hampir tiga bulan itu, tidak dinafikan SPRM seolah-olah menjadi pihak yang dibicarakan berikutan penemuan mayat Beng Hock berhampiran premis SPRM Selangor selain dia berada di bawah jagaan agensi tersebut sebelum kejadian.
Berikutan itu, pegawai-pegawai SPRM bukan sahaja diasak oleh peguam-peguam yang mewakili Majlis Peguam Malaysia, malah anggota-anggota suruhanjaya turut mengambil peranan yang aktif untuk bertanya soalan-soalan, lebih-lebih lagi jika jawapan yang diberi tidak konsisten atau dianggap tidak logik.
Meskipun prosiding suruhanjaya tidak disertai keluarga Beng Hock dan peguam yang mewakili mereka, Gobind Singh Deo, wakil-wakil daripada Majlis Peguam Malaysia telah mengambil alih peranan itu dengan baik dengan memainkan peranan yang sama.
Ketelusan suruhanjaya kali ini juga direalisasikan melalui siaran langsung yang dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang tidak hanya boleh ditonton di luar mahkamah, tetapi juga dimuatkan di dalam laman web dan boleh ditonton di seluruh dunia.
Malah setiap yang berlaku di dalam prosiding termasuk kemarahan anggota suruhanjaya mahupun peguam terhadap saksi-saksi boleh dibaca melalui twitter SPRM yang disiarkan tanpa sebarang tapisan.
Biar apa pun kesimpulan yang bermain di fikiran masing-masing, suruhanjaya adalah pihak yang paling layak untuk membuat keputusan dan kesimpulan yang bakal dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 24 Jun ini.
Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14, Plaza Masalam, Shah Alam dekat sini.
Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Januari lalu untuk menyiasat punca kematian Beng Hock serta prosedur soal siasat SPRM selepas Mahkamah Koroner Shah Alam yang mengendalikan inkues membuat keputusan terbuka.
Selain Cheng Yuen, panel suruhanjaya itu dianggotai oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk T.S. Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr. Bhupinder Singh dan Pakar Psikiatri Forensik yang juga Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Profesor Dr. Mohamed Hatta Shaharom.

sumber: Utusan Malaysia

Keindahan tanah air dalam lagu


LAGU Tanah Pusaka ciptaan Ahmad Merican dan lirik oleh Dol Ramli menggambarkan kecintaan kepada tanah air ini. Tanah Pusaka menjadi nyanyian sebahagian besar daripada kita sewaktu zaman kanak-kanak.
Lagu ini seperti tidak ada penghujung usianya. Sehingga kini Tanah Pusaka bukan saja enak didengar tetapi sesuai dinyanyi oleh siapa saja. Ia membuatkan kita mensyukuri menjadi warga tanah air ini.
Ini hanya sebuah daripada sekian banyak lagu yang melukiskan keindahan negara, manusia dan budayanya. Ia menceritakan tentang keindahan alam tanah air. Daripada keindahan lahir kebanggaan dan kecintaan menjadi penghuni yang beradab dan berbudaya mulia.

Lagu 31 Ogos ciptaan dan nyanyian Ahmad CB sebuah lagu patriotik. Tetapi lagu seperti Sungai Pahang atau Tanjung Puteri juga lagu patriotik.

Barangkali usaha meletakkan lagu patriotik di tengah gelanggang sosial anak- anak muda lebih meninggalkan kesan daripada berhimpun dan melaungkan slogan patriotik.
Tanpa mengetepikan lagu-lagu pop semasa, lagu yang membawa semangat patriotik wajar diberi laluan. Tujuannya supaya tumbuh penghayatan yang mendalam terhadap negara. Penghayatan akan membawa rakyat mengenali tanah air sendiri.

Sebenarnya tidak ada sebab lagu bertema patriotik tidak boleh dipopularkan. Kalau lagu-lagu rakyat dan lagu tradisional boleh berada dalam arus perdana muzik tempatan, lagu patriotik juga ada peluang yang sama.
Cuma belum ada pihak yang bersungguh-sungguh mempopularkan lagu seperti Tanah Pusaka atau Putera Puteri. Lagu Dikir Puteri nyanyian Noraniza adalah membawa semangat lagu rakyat. Tetapi lagu ini menjadi popular disebabkan ruang yang luas diberikan oleh media terutama elektronik.
Kalau sebelum ini lagu rakyat agak terpinggir, laluan yang diberikan kepada Dikir Puteri membawa banyak lagu tradisional lain ke dalam arus perdana.

Ini satu perubahan yang baik dalam dunia muzik tempatan. Hal yang sama juga wajar dilakukan pada lagu-lagu yang bertema patriotik supaya lagu itu menjadi nyanyian hidup generasi masa kini.
Di Indonesia, lagu Bengawan Solo ciptaan Gesang atau Lambaian Bunga ciptaan Ismail Marzuki adalah lagu patriotik. Lagu-lagu ini tidak menjurus kepada perjuangan tetapi mengungkapkan keindahan alam di Indonesia.

Kita juga memiliki lagu yang serupa. Sepanjang Jalan Ke Pulau Pinang ciptaan Zubir Ali daripada puisi Zurinah Hassan misalnya memaparkan keindahan tanah air. Nyanyikan keindahan tanah air semoga cinta dan setia makin membara.

sumber: Utusan Malaysia

Kos berubat lebih mahal daripada sekilo gula, sekotak rokok


SELAMAT Hari Guru cikgu! Khabarnya ada berita istimewa hari ini. Tetapi sebelum ini, harga gula naik lagi, RM2.30 sekilogram. Kenaikan ini tentunya disambut gembira oleh ‘pelabur politik’ yang sentiasa mencari modal untuk menghentam kerajaan.
Mereka peduli apa dengan alasan yang diberi. Bagi mereka, alasan itu hanya ‘gula-gula’ menyedapkan hati. Mereka sinis dengan alasan bahawa harga di Malaysia masih rendah berbanding Indonesia RM3.80 sekilogram, Singapura RM3.61, Thailand RM2.31 dan Filipina RM4.50. Mereka tidak peduli bahawa kerajaan masih menanggung subsidi RM283.4 juta setahun walaupun kenaikan itu menjimatkan RM116.6 juta.
Subsidi ini pula dinikmati oleh semua orang tak kira fahaman politik. Begitu juga dengan berjuta pendatang asing sama ada secara izin atau tanpa izin - dari ASEAN, Asia atau Afrika turut menikmati subsidi ini.
Tidak dinafikan semakin ‘tua’ dunia ini semakin tinggi kos kehidupan. Jarang sekali harga barang turun. Kebelakangan ini hujan pun dah jarang turun. Disangka panas hingga ke petang rupanya hingga ke tengah malam. Ditambah pula dengan suhu panas politik ciptaan manusia yang rakuskan kuasa dan kedudukan sehingga sanggup melakukan apa sahaja asalkan matlamat dan cita-cita mereka tercapai.
Kembali kepada harga gula. Awal tahun lalu, penulis pernah menulis mengenai Bicara harga kembar si manis dan si racun pembawa diabetes. Ia mengenai kenaikan harga gula dan rokok.
Awal tahun lalu, harga sekotak rokok 20 batang ialah RM6.40 manakala harga gula naik 20 sen menjadi RM1.65 sekilogram. Itu harga pada Januari 2010. Kini sekotak rokok 20 batang mencecah RM10 hingga RM10.70.
Seperti yang pernah diselak sebelum ini, rokok dan gula adalah kembar yang menyumbang kepada pelbagai penyakit kronik. Mungkin ada yang marah-marah jika kita diminta bersyukur dengan kenaikan harga ini kerana ada hikmahnya.
Pelbagai cara sudah dilakukan khususnya oleh Kementerian Kesihatan untuk mendidik rakyat supaya menjauhi tabiat merokok dan mengurangkan penggunaan gula. Kempen yang dianjurkan termasuk mempamerkan iklan Tak Nak yang merujuk kepada katakan tidak kepada rokok. Mungkin orang lebih gemar melihat iklan Hapuskan ISA daripada menghayati kata-kata yang dipamerkan oleh Kementerian Kesihatan. Kadangkala manusia lebih suka kepada keuntungan jangka pendek daripada jangka panjang. Bagi mereka, yang utama ialah mengurangkan harga gula sementara soal kos kesihatan di tempat kedua. Mereka lupa bahawa kos mengubat penyakit akibat gula dan rokok lebih tinggi daripada harga sekilogram gula atau sekotak rokok.
Ramai yang sedar pelbagai bahan kimia dan toksik yang ada pada rokok bertukar menjadi ‘racun’. Kajian menunjukkan, dalam rokok ada gas beracun pada ekzos kereta, racun rumpai, peluntur cat, pembersih lantai, racun semut putih, gas beracun, minyak pemetik api, minyak roket, racun gegat, sebatian organik yang mudah terbakar, bahan bateri kereta, racun serangga dan macam-macam lagi.
Begitu juga dengan pelbagai penyakit yang disebabkan rokok. Semua orang tahu mengenainya tetapi tidak ramai yang peduli. Lihatlah sejauh mana kesannya amaran imej ngeri pada kotak rokok.
Selak di bawah tajuk Hijrah demi undang-undang dan nyawa manusia pada 29 Disember 2008 menyentuh mengenai pengenalan imej ngeri penyakit pada kotak rokok. Turut disentuh sikap tidak ambil berat terhadap peraturan dan undang-undang serta penguatkuasaan berkaitan larangan merokok.
Pada 22 Jun 2009, penulis menulis Apabila perokok ketegar, undang-undang jadi ‘hiasan’. Larangan merokok wujud di sana sini tetapi adakah perokok peduli?
Apabila pemimpin yang menjadi idola bercakap mengenai rokok, mungkin ramai yang tidak ambil pusing. Contohnya kuliah Jumaat oleh Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Mana satu yang menarik perhatian sama ada kenyataan berkaitan perokok atau pelaku video seks?
Kata Nik Abdul Aziz seperti dilaporkan oleh sebuah akhbar: Orang yang terbabit dalam komplot video berkenaan akan teruk nanti, selagi tak jilat kaki Anwar atas dunia ni, tak boleh masuk syurga dan ini sudah sah (tak masuk syurga). Hanya Allah saja yang dapat mengampunkan dosa mereka.
(Nota: Diharapkan kenyataan ini tidak terpakai kepada kes video seks sahaja tetapi kes lain yang pernah mendapat perhatian orang Pas. Begitu juga dengan tuduhan terhadap pemimpin BN termasuk Dr. Mahathir Mohamad pada masa lalu).
Perokok tentunya tidak tertarik dengan kenyataan Nik Abdul Aziz mengenai umat Islam yang cuba menonjolkan keislaman melalui jubah dan ketayap tetapi menghisap rokok adalah lebih hina daripada lembu.
Contohnya, lembu yang berak di tengah jalan tidak boleh diambil tindakan undang- undang kerana tidak mempunyai otak dan fikiran. Tetapi manusia yang mempunyai otak sanggup melakukan perbuatan yang menyalahi agama dan kesihatan, apatah lagi dalam keadaan berpakaian melambangkan Islam (kopiah atau berjubah). Maka mereka yang melakukan perbuatan (merokok) itu dianggap lebih hina daripada lembu.
Setakat ini, undang-undang berkaitan larangan merokok sekadar hiasan. Lebih mendukacitakan, papan kenyataan berkaitan larangan merokok pun dirosakkan.
Kata orang mencegah lebih baik daripada mengubati. Sama seperti kesan merokok, gula juga membawa pelbagai penyakit. Ada yang kata lebih 60 dan ada yang percaya lebih 136 jenis penyakit.
Semua orang sedar penyakit angkara gula tetapi sekali lagi lebih ramai yang lupa penyakit ketika memesan teh tarik atau minuman bergula yang lain. Biar berapa harganya, teh tarik terus jadi pilihan.
Ketika ini lebih ramai yang ‘bising’ mendengar harga gula naik kerana mereka bimbang minuman dan makanan juga melambung harganya.
Justeru eloklah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan lebih tegas.
Diharapkan, menteri berkenaan, Ismail Sabri Yaakob bertegas dengan kenyataannya bahawa peniaga yang didapati menaikkan harga minuman dan makanan berikutan kenaikan harga gula akan berhadapan hukuman keras termasuk penjara seperti diperuntukkan di bawah Akta Kawalan dan Anti Pencatutan 2010.
Akhirnya, bagi orang Islam, renungilah firman Allah SWT ini yang bermaksud: Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan (Surah al-Baqarah 2:195).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...