Khamis, 2 April 2009

BMW Sauber nyala kebangkitan

Oleh SAYED HESHAM IDRIShesham.idris@yahoo.com

TRONOH - Pelumba BMW Sauber, Nick Heidfeld dan Robert Kubica tetap yakin memulakan misi mencatat keputusan terbaik pada perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, Ahad ini walaupun gagal meraih mata di Melbourne minggu lalu,
Penyertaan kedua-dua pelumba itu pada program 'Melebar Jangkauan dan Demo' bersama para pelajar di kampus Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini, semalam menjadi aktiviti merehatkan minda buat kedua-dua pelumba itu untuk menebus kekecewaan di Melbourne minggu lalu.
Kubica yang berpeluang mencatat mata tetapi terlibat dalam kemalangan di babak akhir perlumbaan manakala Heidfeld menamatkan saingan di luar kedudukan mata di Melbourne tempoh hari, sudah melupakan kekecewaan tersebut apabila ceria menghabiskan masa hampir seharian di kampus UTP dengan mengadakan pelbagai aktiviti bersama pelajar di kampus tersebut.
Kedua-dua pelumba itu yang tiba di kampus UTP pada pukul 10 pagi, memulakan program anjuran bersama pasukan BMW Sauber dan pasukan Petronas Motorsports itu dengan menjadi pengadil untuk peraduan 'Inovasi Mereka Bentuk Kereta F1'.
Ia kemudiannya disusuli demonstrasi memandu go kart bersama para pelumba pasukan Holzer PFX yang akan menyertai perlumbaan sokongan pada Grand Prix Malaysia.
Hadir sama pada program tersebut ialah Pengarah BMW Motorsports, Dr. Theissen dan Penasihat Pasukan Peter Sauber.
Walaupun terpaksa mengharungi sesi demonstrasi pemanduan kereta pasukan Holzer PFX yang akan digunakan pada perlumbaan Formula BMW Asia Pasifik dalam cuaca panas, Heidfeld dan Kubica tetap bersemangat mempamerkan kemahiran memandu masing-masing.
Selain itu, kedua-dua pelumba turut melayan peminat yang mahu mendapatkan tanda tangan mereka pada sesi autograf sebelum menamatkan program pada lewat petang.
Turut mempamerkan kemahiran dalam acara demonstrasi ialah beberapa para pelumba motorsikal pasukan tempatan yang beraksi pada perlumbaan Cub Prix.
Mereka terdiri daripada Ahmad Fuad Baharudin (Petronas Yamaha Raceline) dan Mohd. Zamri Baba (Petronas Yamaha Ah Hong) dan pelumba GP Asia, Azlan Shah Kamaruzaman (Petronas Sprinta Yamaha Malaysia).
Program tersebut dihadiri kira-kira 500 pelajar dari 75 sekolah di seluruh Perak yang bertujuan menyemai minat perlumbaan F1 di kalangan generasi muda.
Sementara itu, pelumba pasukan Holzer PFX yang akan menyertai perlumbaan sokongan pada Grand Prix Malaysia, BMW Asia Pasifik, Calvin Wong dan Muhammad Alif Azri Jefri yakin mampu mencatat keputusan terbaik pada perlumbaan Sabtu dan Ahad ini.
Muhammad Alif, 17, yang baru menamatkan latihan profesional bersama Petronas Formula Xperience berkata, dia sudah bersedia untuk memberikan persembahan terbaik pada perlumbaan pembuka tirai di Sepang.
''Memandangkan ini merupakan perlumbaan pertama saya dalam saingan BMW Asia Pasifik, saya tidak dapat dapat meramalkan sejauh mana kekuatan pelumba lain.
''Cuma aksi di tempat sendiri dan sokongan ahli keluarga akan menaikkan semangat saya untuk mencatat keputusan sebaik mungkin," katanya.
Calvin juga melaungkan ikrar yang sama dan yakin beraksi di depan penonton tempatan memberi kelebihan.

- sumber Utusan Malaysia Online 1 April 09

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...