Isnin, 29 Jun 2009

Otai Bersuara

UMNO, Pas perlu bincang - Pak Lah

KEPALA BATAS 28 Jun - Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menasihatkan UMNO dan Pas supaya mencari jalan menyelesaikan isu kepentingan orang Melayu melalui perbincangan bukannya berdebat secara terbuka.

Menurutnya, UMNO dan Pas perlu memilih pendekatan secara muafakat atas semangat persaudaraan sesama Islam bagi menyelesaikan pelbagai isu yang menimbulkan kebimbangan di kalangan orang Melayu kebelakangan ini.

"Saya rasa tidak perlu pendekatan itu (berdebat) kerana lebih baik kedua-duanya (UMNO dan Pas) duduk berbincang masalah yang ada dan mewujudkan persefahaman.

"Kita perlu selesaikan perkara-perkara yang menimbulkan percanggahan dan pendirian termasuk yang membabitkan soal agama," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung MCA Bahagian Kepala Batas di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berdebat secara terbuka berhubung kemelut yang melanda kedua-dua parti terbesar orang Melayu itu.

Abdullah berkata, UMNO dan Pas memainkan peranan cukup besar untuk mewujudkan persefahaman di kalangan orang Melayu lebih-lebih lagi dalam perkara yang menyentuh kepentingan agama.

"Sudah ada kecenderungan orang Melayu boleh bertelagah soal agama, (justeru) UMNO dan Pas perlu mewujudkan persefahaman agar orang Melayu tidak berbalah mengenai isu sebegini," jelasnya.

Katanya, kesepakatan UMNO dan Pas dalam membincangkan isu-isu secara bersama mampu menyediakan asas yang kukuh untuk mewujudkan perpaduan dan semangat kekitaan di kalangan orang Melayu.

Abdullah menambah, walaupun perpaduan menjadi keutamaan dalam asas perbincangan antara UMNO dan Pas, ia tidak bermakna kedua-dua parti itu tidak boleh berbeza pandangan dalam isu-isu tertentu.

"Perpaduan tidak bermakna kita tidak boleh berbeza pandangan, tetapi bila ia menyentuh soal agama dan bangsa maka kita perlu bersama-sama selesaikan," ujarnya.

Mengenai cadangan kerajaan perpaduan antara UMNO dan Pas, beliau berkata, langkah permulaan perlu dibuat bagi membincangkan isu-isu penting membabitkan orang Melayu.

Ditanya mengenai tindakan Nik Abdul Aziz yang menyamakan UMNO sebagai pergerakan komunis dan ajaran sesat, beliau berkata:

"Dia (Nik Abdul Aziz) terlajak cakap kot, tidak baik buat tuduhan seumpama itu."

Ahad, 28 Jun 2009

Daulah Islamiyyah: Dulu dan sekarang

Bicara Agama
Utusan Malaysia Online

Kebangkitan rakyat Iran membantah keputusan pilihan raya mereka menjadi berita hangat di seluruh dunia. Anggapan bahawa pilihan raya mereka tidak telus dan adanya unsur penipuan dikongsi jutaan rakyat negara tersebut. Ini merupakan kebangkitan yang terbesar sejak revolusi negara clergy tersebut. Sudah pasti ada asas tertentu kepercayaan rakyat terhakis terhadap keputusan pilihan raya mereka, atau ada isu lain yang mendesak mereka bangkit, sama ada isu ekonomi, kezaliman, penindasan dan seumpamanya.

Saya bukan ingin mengulas tentang pergolakan politik negara Syiah Imamiyyah tersebut. Namun adalah penting untuk kita tahu bahawa kebangkitan revolusi Iran 1979 mempunyai peranan yang penting mempengaruhi perjuangan gerakan Islam di seluruh dunia dalam memperjuangkan apa yang diistilahkan sebagai Daulah Islamiyyah' (Islamic State). Kejayaan Iran membentuk negara yang dikuasai kelompok mullah atau ulama membakar semangat Islam ramai pejuang daulah Islamiyyah. Banyak pihak kagum dan menyanjung tinggi Ayatollah Khomeini dan pemikiran revolusinya. Sehinggalah isu-isu berkaitan Syiah timbul dengan jelas dan para penyanjung Khomeini seperti tokoh al-Ikhwan al-Muslimin Sa'id Hawwa mula menarik diri disebabkan perbezaan kefahaman aliran Sunnah dan Syi'ah. Beliau menulis buku al-Khumainiyyah: Syuzuz fi al-'Aqaid wa syuzuz fi al-Mawaqif (Khomeinisme: Pelik Dalam Akidah dan Pendirian). Ini kerana atas semangat revolusi tersebut, buku-buku Khomeini seperti Hukumah Islamiyyah, Kasyf al-Asrar dan lain-lain mula dibaca oleh para pencinta Islamic State dan mereka mula mendapati perkara-perkara yang amat sukar untuk diterima seperti menyandarkan zindiq dan kekufuran kepada Saiyyidina 'Umar bin al-Khattab r.a. Apapun Iran telah melakukan usaha yang hebat dalam menempatkan pemikiran politik agama dalam dunia ini.

Apa pun, Iran dengan aliran Syiah Imamiyyah ada keistimewaan yang tersendiri. Mazhab Syiah adalah mazhab politik. Ia tercetus hasil dari pertelingkahan politik lalu dibentuk menjadi mazhab akidah dengan dimasukkan dogma dan elemen akidah. Ayat-ayat al-Quran dan nas-nas Nabi SAW ditafsirkan menurut asas kepercayaan politik tertentu. Tokok-tambah nas-nas Nabi SAW begitu lama dan banyak sehingga menyebabkan mazhab itu stabil sebagai sebuah aliran politik agama. Hal ini tidak jauh dari apa yang berlaku kepada sesetengah gerakan atau parti politik agama dalam dunia ini. Pertelingkahan yang bermula dengan isu-isu politik dibentuk menjadi isu-isu akidah sehingga ke peringkat mengkafir dan menyesatkan antara satu sama lain. Namun Syiah Imamiyyah jauh lebih stabil disebabkan usia dan pengalamannya yang panjang. Begitu banyak hadis-hadis yang telah diwujudkan sepanjang tempoh kempen politik mereka yang berlarutan sejak hampir empat belas kurun lamanya. Hadis-hadis 'keluaran baru' politik memenuhi mazhab mereka. Ini seperti kononnya Nabi saw bersabda: "Sesiapa yang suka hidup seperti hidupku, mati seperti matiku, tinggal di syurga 'adn yang ditanam oleh tuhanku maka hendaklah dia mengangkat 'Ali selepasku. Juga mengangkat penggantinya. Hendaklah dia mengikut para imam selepasku, kerana sesungguhnya mereka adalah kaum keluargaku, diciptakan daripada asal-usulku, direzekikan kefahaman dan ilmuku. Celakalah golongan umatku yang membantah kelebihan mereka dan memutuskan hubungan denganku. Semoga Allah tidak memberikan mereka syafaatku". Pada nilaian ulama hadis aliran Ahli Sunnah hadis ini palsu, sanadnya (rangkaian rawinya) gelap, kesemua para perawinya tidak dikenali dengan pasti kecuali seorang iaitu Ibn Abi Rawwad. Nama-nama para perawi lain tidak pernah disebut oleh para ulama al-Jarh wa al-Ta'dil. Apapun hadis ini disanjung oleh Syiah kerana ia penting dalam kempen politik yang dibawa oleh aliran tersebut.

Pembentukan

Berbalik kepada isu pembentukan negara agama, Syiah nampaknya jauh lebih berpengalaman disebabkan itulah perjuangannya sejak awal kewujudannya. Perjuangan merebut kerajaan dari tangan pemerintah-pemerintah muslim yang pernah ada sepanjang sejarah untuk membentuk negara yang tersendiri pada aliran dan pegangannya. Adapun aliran muktabar ahli sunnah, mereka lebih cenderung menyerahkan urusan politik kepada sesiapa sahaja di kalangan umat Islam, dengan mereka mensyaratkan agar tidak menyanggahi al-Quran dan al-Sunnah, berlaku keadilan dan memerintah atas asas kemaslahatan rakyat. Sesiapa sahaja yang sanggup melakukan demikian dipuji dan disokong oleh para ulama Ahli Sunnah yang ikhlas, jika tidak amar makruf nahi munkar akan dijalankan. Bukan kecenderungan mereka mempolitikkan agama atau terlibat dengan politik agama. Inilah yang kita lihat dihayati oleh al-Imam Abu Hanifah, al-Imam Malik, al-Imam al-Syafi'I, al-Imam Ahmad, al-Imam Ibn Taimiyyah dan lain-lain. Ya, mereka merupakan pengkritik yang tegas dan berani, namun mereka tidak pernah menyeru untuk diberikan 'kerusi' kepada mereka. Berdasarkan kepada tulisan dan kenyataan mereka, ternyata mereka ingin mengelakkan penumpahan darah sesama kaum muslimin. Ya, politik itu penting namun bukanlah segala-galanya dalam kehidupan muslim. Juga politik bukan seperti ibadah khusus yang tetap dan tidak boleh diubah. Politik itu begitu anjal (fleksibel) terdedah kepada keadaan dan perubahan atas asas maslahah rakyat.

Apabila jatuh Khalifah di Turki dan Kuasa-Kuasa Barat menjajah Dunia Islam, kesedaran umat Islam tentang tanggungjawab jihad membebaskan tanah air Islam berkembang. Selepas penjajah dihalau keluar, umat Islam memerintah negara sendiri. Kali ini tiada lagi negara khalifah seperti yang ditulis dalam buku-buku fekah lama. Apa yang wujud adalah nation state atau negara bangsa yang mempunyai kedaulatan tersendiri. Dalam proses menstabilkan negara masing-masing inilah munculnya istilah daulah islamiyyah (islamic state atau negara Islam). Ini adalah reaksi kepada penjajahan dan selepas penjajahan di dunia Islam. Padahal istilah ini tidak dikenali sebelum ini. Dahulu yang ada dalam fikah sarjana silam (sebelum penjajahan) hanyalah istilah Dar al-Islam iaitu Wilayah Islam. Ini merujuk kepada wilayah yang dikuasai oleh umat Islam dan zahir syiar Islam. Sementara Dar al-Harb atau disebut juga Dar al-Kufr merujuk kepada wilayah yang dikuasai oleh bukan muslim dan bermusuhan dengan Dar al-Islam. Dalam erti kata lain nilaian terhadap sesebuah wilayah atau negara itu berdasarkan penguasaan umat Islam ke atas wilayah tersebut, dan wujudnya syiar Islam. Adapun soal sejauh manakah komitmen seseorang pemerintah itu, ia diuruskan oleh umat Islam di bawah tanggung jawab menasihati pemerintah juga Amar Makruf dan Nahi Munkar. Namun apabila istilah Daulah Islamiyyah muncul, maka lahir segelintir kelompok umat Islam yang mengkafirkan negara sendiri, bahkan mengkafirkan sesama muslim. Mereka seakan menjadikan Dar Islam yang diistilah oleh Sarjana Fekah silam sebagai Dar al-Kufr atau Dar al-Harb yang wajib diperangi hanya disebabkan beberapa isu. Adaptasi ini sebenarnya lebih mirip kepada apa yang dilakukan oleh Khawarij dalam sejarah awal krisis antara umat Islam (sila lihat: Fazlur Rahman, Revival And Reform in Islam 33-43, England: Oneworld Publications).

Bagi kelompok ekstremis ini, untuk mencari definasi yang tersendiri bagi Daulah Islamiyyah agak sukar. Jika mereka memakai penafsiran silam yang memberi maksud wilayah yang dikuasai oleh umat Islam, mereka terpaksa mengiktiraf negara-negara umat Islam sekarang adalah Daulah Islamiyyah. Sudah pasti mereka enggan. Jika mereka memakai takrif lain yang dibuat oleh sesetengah sarjana silam iaitu negara yang zahir padanya syiar Islam seperti azan dan solat dan amalan-amalan Islam yang lain, sudah pasti mereka juga terpaksa mengiktiraf kebanyakan negara umat Islam hari ini sebagai Daulah Islamiyyah. Jika mereka menyatakan negara yang sempurna perlaksanaan Islamnya, sudah pasti tidak ditemui dalam sejarah umat Islam melainkan beberapa khalifah sahaja. Akhirnya, mereka menetapkan negara Islam adalah negara yang melaksanakan hudud. Dengan kemunculan Iran, mereka menetapkan satu hal yang lain, negara yang dikuasai oleh golongan mullah. Hari ini, disebabkan perkembangan globalisasi dan politik setempat, sebahagian gerakan politik Islam sudah enggan lagi berbicara tentang hudud dan hasrat untuk menegakkan hudud. Bahkan, pandangan bahawa golongan mullah (clergy) mestilah menjadi pemerintah mulai lemah. Iran sendiri sudah goyah akibat rakyat yang tidak lagi hanya mahu melihat pakaian dan slogan agama semata, tetapi mereka inginkan kemaslahatan dan hak mereka dipelihara. Hari ini sebahagian gerakan politik mungkin terpaksa memberikan takrif baru untuk 'daulat islamiyyah' atau negara Islam!

Dr. Mohd Asri ZainUl Abidin ialah bekas Mufti Perlis.

Kenapa perlu mencela ulama?

-ZULKIFEE BAKAR
Utusan Malaysia Online

KRISIS politik yang berlaku di negara ini turut menjebakkan para ulama di dalam konflik. Apa yang malangnya, jika mereka membuat kenyataan bertentangan dengan kehendak sesuatu puak, maka mereka akan dikecam.

Itulah yang terjadi sejak kebelakangan ini, apabila ada tokoh-tokoh agama yang dikritik oleh pihak tertentu hanya semata-mata kerana menyatakan kebenaran.

Salah seorang yang menjadi mangsa kecaman ialah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang dilabel macam-macam oleh penyokong-penyokong Pas apabila beliau membuat kenyataan melahirkan kekesalan terhadap kegagalan pembentukan kerajaan perpaduan.

Ia bukanlah kali pertama, beliau menerima nasib berkenaan, malah ketika krisis politik Perak sedang memuncak, Harussani telah dituduh menjadi ejen UMNO, apabila enggan menurut kehendak mereka supaya menghadap Sultan Perak bagi menasihatkan baginda membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Persoalannya wajarkah para alim ulama seperti Harussani diseret sama ke dalam konflik politik yang berlaku? Apakah kerana seseorang ulama itu tidak mahu membuat kenyataan atau tindakan selari dengan kepentingan politik mana-mana pihak, maka beliau harus dikecam?

Adalah jelas, kemelut politik yang terjadi menyebabkan sesetengah pihak terutamanya penyokong parti tertentu sudah tidak tahu menghormati golongan ulama di negara ini. Bagi mereka, ulama-ulama lain tidak berhak bercakap apatah lagi dipatuhi nasihat mereka kecuali jika ia datang daripada ulama dalam parti mereka sahaja. Kalau ulama lain bercakap, kalau pun ia benar mereka sengaja tidak mempedulikannya. Tetapi kalau ulama mereka bercakap, biarpun ia bercanggah dengan Islam, mereka akan menerimanya bulat-bulat.

Mereka gembira kalau di mimbar-mimbar masjid ada khutbah Jumaat yang berbaur politik menghentam pihak kerajaan. Walaupun hakikatnya, mereka ke masjid adalah untuk beribadat dan masjid menjadi tempat menyatukan ummah tetapi mereka berasa puas hati.

Ketaksuban dalam politik telah menyebabkan mereka leka untuk melihat kepentingan perpaduan di kalangan umat Islam. Kalau boleh mereka ingin berpolitik sepanjang masa.

Sebenarnya, mana-mana juga pihak tidak harus mempertikaikan sebarang kenyataan para ulama yang bertujuan menyatukan umat Islam. Para ulama sepatutnya menjadi tempat rujukan, apabila kita tidak mampu menyelesaikan sesuatu permasalahan.

Parah

Begitu jugalah dalam soal perpaduan umat Islam di negara ini yang kini semakin parah berikutan penentangan politik. Golongan ulama seharusnya dijadikan orang tengah bagi membolehkan penyelesaian dicapai demi masa depan umat Islam.

Di dalam masyarakat Islam, peranan ulama adalah luas dan merupakan orang yang bertanggungjawab membawa umat Islam dan negara ke destinasi yang diredai oleh Allah. Atas sebab itulah, golongan berkenaan sudah diperingatkan bahawa mereka mestilah ikhlas, amanah dan berani berhadapan dengan penentangan pendapat.

Justeru apabila Harussani memberikan pandangan beliau dalam soal penyatuan dan perpaduan umat Islam, ia dilakukan demi kebaikan dan bukannya bertujuan politik bagi menyebelahi mana-mana pihak. Oleh itu tidak wajar jika ada kelompok yang cuba menjadi parasit dengan meracuni pemikiran rakyat terutamanya orang Melayu melalui blog-blog, kononnya ulama itu atau mufti ini sudah menjadi penyokong sesebuah parti.

Harussani hanya bersuara demi kebenaran, begitu jugalah dengan beberapa ulama lain. Seharusnya mereka dihargai kerana bersedia hadir di tengah-tengah kekalutan yang berlaku bagi menunjukkan jalan penyelesaian.

Tetapi malangnya, acap kali mereka akan disanggah hanya semata-mata membuat teguran yang berasaskan kepada ajaran Islam. Kepada kelompok yang semakin taksub berpolitik ini, mereka harus sedar bahawa sekuat manapun parti mereka sekarang, ia tidak bermakna mereka boleh memperlecehkan mana-mana pihak yang bertentangan dengan mereka terutamanya ulama.

Sebagai orang Islam mereka seharusnya memahami di mana kedudukan ulama itu. Islam menganjurkan kita berhujah secara sopan dan ilmiah, bukannya melalui serangan balas di pentas-pentas politik.

Perbuatan itu tidak membawa apa-apa faedah kepada umat Islam sebaliknya ia hanya akan menyebabkan mereka berada dalam golongan yang kerugian. Mahu tidak mahu, kita perlu merujuk kepada golongan ulama dan meminta pertolongan mereka.

Atas sebab itulah kita harus mengelakkan diri daripada mencela ulama sesuka hati. Kita berhak memberi pandangan tetapi bukanlah dengan cara menggunakan bahasa yang kasar dan terkeluar daripada peradaban serta tata susila Islam. Kita percaya, golongan ulama di negara ini bersikap terbuka dan bersedia bersemuka dengan sesiapa sahaja. Oleh itu janganlah kerana terlalu melihat segala-galanya melalui sudut politik, maka kita menolak hujah kebenaran yang dilahirkan oleh orang lain.

Umat Islam tidak mendapat apa-apa kalau mereka terus meminggirkan pandangan ulama, justeru jadikanlah golongan itu sebagai sahabat, bukannya musuh.

Kuasa di Hujung Jari

Pakar ceroboh komputer atasi serangan siber

LONDON: Pakar penceroboh komputer direkrut kerajaan untuk mempertahankan Britain daripada kumpulan penjenayah antarabangsa dan pengganas yang merancang serangan siber ke atas negara itu.

Dengan penipuan internet yang menyebabkan kerugian berbilion-bilion pound setahun dan sistem komputer Whitehall berdepan serangan luar negara berulang kali, pihak berkuasa mendapatkan kepakaran penceroboh komputer untuk melindungi rahsia negara.

Bagi tujuan itu, 'pusat operasi keselamatan siber' baru di GCHQ di Cheltenham ditubuhkan untuk memantau cubaan menceroboh ke rangkaian komputer negara.

Menteri Keselamatan Britain, Alan West, mengaku kerajaan mahu memenuhi unit itu dengan petugas lebih muda yang mempunyai bakat itu.

West berjanji GCHQ tidak akan merekrut sebarang 'penjenayah tegar' tetapi mengaku jawatan itu memerlukan kepakaran bekas 'budak nakal.'

West, ketika mengumumkan mengenai maklumat terperinci strategi baru keselamatan negara itu, berkata: "Kita memerlukan orang muda yang memang tahu mengenai selok belok komputer. Jika mereka pernah menjadi budak nakal, mereka memang seronok untuk menghentikan perbuatan budak nakal lain."

Kerajaan percaya ancaman terbesar online datang daripada penceroboh negara asing seperti China dan Russia manakala ancaman kedua terbesar ialah daripada penjenayah terancang.

Pegawai berkata, mereka tidak dimaklumkan mengenai maklumat penting yang dicuri daripada sistem komputer kerajaan, tetapi memberi amaran ada banyak kes syarikat gergasi Britain menjadi mangsa khianat perindustrian.

Syarikat Britain Telecom saja menggagalkan 1,000 cubaan untuk menceroboh komputernya setiap hari. Agensi


Berita Harian Online

Nie nak percaya kat ner nie??

Jacko berhutang atau semakin kaya


PEMINAT Jackson, Niki Yan (kiri) dan Lois Weiss tidak dapat menahan perasaan ketika lalu di hadapan Walk of Fame yang mencatat nama Raja Pop itu di Los Angeles, California, kelmarin. – AFP


LOS ANGELES 27 Jun - Michael Jackson dilaporkan mempunyai hutang berjumlah AS$400 juta (RM1.4 bilion), namun kematiannya mungkin menjana pendapatan yang lebih besar kepada penyanyi itu berbanding semasa beliau masih hidup.

Peguam studio rakaman Hit Factory, yang merakamkan album 'Thriller' penyanyi itu, Jerry Reisman berkata, kematian Jackson meninggalkan persoalan tentang empayar kewangannya yang merangkumi muzik, pegangan saham 50 peratus dalam koleksi lagu-lagu kumpulan Beatles serta kutipan hasil lelongan barangan milik peribadinya.

Katanya, rumah agam Jackson di ladang ternak Neverland dianggarkan bernilai lebih AS$1 bilion (RM3.5 bilion), sementara pegangan saham 50 peratus dalam syarikat Penerbitan Muzik Sony/ATV bernilai kira-kira AS$2 bilion (RM7 bilion). - AP

Utusan Malaysia Online

Temuramah Mingguan dan Mufti Perak

Jangan ikut etika syaitan

SEPERTI diduga, apabila Mufti Perak, TAN SRI HARUSSANI ZAKARIA mengeluarkan kenyataan mengkritik gelagat sesetengah parti politik yang mendakwa parti Islam tetapi sanggup berkelahi dan memutuskan tali persaudaraan sesama Islam, beliau telah menerima kecaman yang hebat.

Pandangan Harussani tidak lagi dilihat sebagai pendapat seorang ulama yang harus dihormati tetapi beliau dikecam dan dituduh sebagai menyokong UMNO. Segalanya berlaku apabila Harussani menyuarakan kekesalan berikutan kegagalan merealisasikan kerajaan perpaduan Pas dan UMNO. Beliau diserang habis-habisan di dalam blog-blog tetapi beliau tidak peduli semua itu.

‘‘Saya bercakap yang hak (benar), dalam Islam mengeratkan silaturahim antara saudara Islam adalah wajib, jadi saya hairan daripada rujukan mana sesetengah pihak itu ambil sehingga sanggup mencela saudara seagama,” katanya dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan MOHD. RADZI MOHD ZIN di pejabatnya di Ipoh, Perak.

Walaupun sekali sekala dalam berhujah, Harussani menyelitkan kata-kata gurauan namun nada beliau sentiasa serius apabila menekankan soal perpaduan Melayu dan umat Islam. Bagi Harussani, masa depan golongan itu dalam semua bidang termasuklah politik akan berhadapan dengan bahaya, jika mereka terus berpecah belah.

Harussani juga kecewa kerana ada sesetengah ahli politik begitu mudah mengeluarkan hujah yang mengelirukan dan mencela sesama Islam. Oleh itu beliau mengingatkan dalam apa pun perkara berkaitan hubungan sesama Islam, jangan sesekali mengikut etika syaitan.


MINGGUAN: Apa pandangan Tan Sri berhubung kegagalan pembentukan kerajaan perpaduan, yang sekali gus menggagalkan usaha untuk menyatukan umat Islam di dalam UMNO dan Pas?

HARUSSANI: Sebagai orang Islam kita berpegang kepada Rukun Iman dan salah satunya ialah percaya kepada Allah, yang bererti kita mengucap dua kalimah syahadah, apabila kita mengucap dua kalimah syahadah kita masuk kumpulan muslim.

Apabila kita sudah masuk dalam kumpulan muslim, Allah sudah 'ikat' kita melalui firman-Nya dalam surat al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud, "Sesungguhnya orang Muslim itu adalah bersaudara kerana ini damaikanlah antara keduanya saudara kamu dan bertakwalah kepada Allah semoga kamu mendapat rahmat-Nya."

Manakala Rasulullah SAW pula pernah bersabda bahawa, orang muslim itu adalah saudara bagi orang muslim yang lain, kemudian Nabi kata, siapa sebenarnya orang muslim itu, orang-orang muslim yang selamat daripada keburukan lidahnya dan keburukan tangannya. Maka itu Rasullullah sendiri dalam membentuk ajaran Islam baginda mempersaudarakan orang Islam.

Maknanya, itulah perjuangan utama kita iaitu mesti mempersaudarakan sesama orang Islam. Ia adalah perbuatan yang sebagaimana dijelaskan oleh Allah menerusi firman-Nya bermaksud: … dan peliharalah hubungan silaturrahim… (an-Nisa': 1).

Oleh itu, kalau kita memecah belah orang Islam itu bukan ajaran Islam, itu ajaran syaitan. Tuhan sudah sebut bahawa syaitan itu bertujuan untuk membangkitkan di antara kamu permusuhan dan pergaduhan. Jadi pada saya, perpaduan itu adalah sesuatu yang cukup mustahak, perkara pokok yang wajib kita usahakan dalam apa bentuk pun. Berdasarkan kepada hujah itu, saya berpendapat, idea kerajaan perpaduan adalah satu idea yang cukup baik dan saya amat bersetuju dengan langkah tersebut.

Kalau kita lihat pada waktu ini, apabila orang Islam berpolitik, mereka berpecah sesama mereka. Ini berbeza dengan kaum lain, orang Cina contohnya, mereka pun berpolitik tetapi walaupun berada dalam parti yang berbeza-beza, mereka bersatu, ertinya mereka berpecah untuk mendapatkan sesuatu sedangkan kita berpecah untuk menghilangkan sesuatu.

Mereka (orang Cina) berpecah supaya banyak suara atau banyak jurusan bagi membolehkan mereka menuntut sesuatu demi kepentingan bangsa mereka, begitu juga dengan kaum India, mereka berpecah supaya mereka mempunyai banyak jalan bagi menyuarakan tuntutan atau pandangan. Tetapi bagaimana dengan orang Melayu? Kita memaki hamun sesama kita dan berpatah arang, berkerat rotan. Ini adalah satu perbuatan yang cukup buruk sekali. Ini bukan daripada etika Islam bahkan ia etika syaitan. Maka itu saya cukup kecewa apabila orang Islam sendiri menolak perpaduan dan lebih mementingkan perpaduan dengan bangsa asing daripada bersama orang Melayu.

Kita jangan lupa kedudukan Melayu dalam negara ini, hanya berapa peratus sahaja. Mungkin kalau kita bandingkan dari segi pecahan Islam dan bukan Islam, mungkin 50-50. Ia bermakna kalau kita berpecah suara kita menjadi minoriti, jadi bila kita hendak berjaya?

Dalam masa 18 tahun kebelakangan ini, ekonomi orang Melayu tidak bergerak, kaum Cina meningkat kepada 42 peratus, India (35 peratus), orang Melayu sudah 18 tahun tidak meningkat. Dalam 18 tahun itu juga, orang India yang sebelum ini berada di bawah orang Melayu kini naik mengatasi orang Melayu, kaum Cina yang sudah tinggi, kini melonjak, orang Melayu ketinggalan di belakang. Oleh itu, kalau kita berpecah lagi, keadaan umat Islam akan menjadi bertambah buruk. Allah sudah menyatakan perkara ini dalam al-Quran melalui firman-Nya yang mengingatkan kita bahawa jangan kamu berpecah, kamu akan gagal dalam hidup ini. Akan hilang wibawa kamu dalam masyarakat. Itu Tuhan sudah sebut terang-terang, kenapa kita memilih jalan perpecahan, ini yang saya paling kecewa.

Tetapi Pas tidak mahu bekerjasama dengan UMNO kerana mendakwa pernah ditipu suatu ketika dahulu, apakah ini wajar?

HARUSSANI: Tak kan kerana perkara itu, ia tidak boleh dimaafkan? Kalau itu satu pengalaman tidak bolehkah kita baikinya supaya tidak berulang? Kita sudah ada perjanjian bagi memastikan perkara itu tidak berlaku lagi. Anak kita pun kadang-kadang buat salah dengan kita tetapi kenapa kita boleh makan bersama semula dan boleh beri nasihat? Allah pun menyeru memohon keampunan kepada-Nya dan menyuruh kita bermaaf-maafan.

Jadi tak kanlah hanya kerana satu peristiwa itu, kita hendak menjadikan sandaran, apakah kita hendak hancur? Ini yang menjadi masalah. Atau kita hendak pakai juga pepatah, biar papa asal bergaya? Maknanya kita jadi hero tetapi kita kalah, kita kecundang, apa gunanya semua itu.

Saya tidak peduli, apa pun orang nak tuduh bila saya bercakap macam ini. Di Kuala Lumpur, orang-orang muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) kata Mufti Perak sudah masuk UMNO, saya tidak pernah masuk mana-mana parti , UMNO pun tak suka saya.

Kalau UMNO tidak betul, UMNO saya 'bantai', kalau raja tak betul, raja saya 'hentam' saya nak kisah apa. Malah suatu masa dulu, Suharto ketika minum bersama saya, bila dia cakap tak betul dari segi hukum berkaitan faedah (bunga) bank, saya tegur. Pada hal seluruh ulama Indonesia sentiasa menyokong apa sahaja yang beliau kata, tetapi saya tidak.

Masalahnya apabila seseorang bertaraf Mursyidul Am dalam Pas bercakap, orang lebih mempercayai kata-katanya biarpun dia mengecam sesama Islam.

HARUSSANI: Kita pun tidak menafikan perangai pemimpin UMNO dahulu, sombong dan berlagak, tetapi sekarang sudah ada kesedaran berhubung kesilapan yang dilakukan. Tetapi kalau kita masih dengan hujah masing-masing, itulah masalahnya. Kita sudah tengok kaum India yang merupakan kelompok kecil sudah mempunyai suara yang cukup kuat tetapi kita semakin lemah kerana berpecah.

Bagaimanakah kita hendak satukan orang Melayu, kalau penyokong parti masing-masing terus mengamalkan politik sempit?

HARUSSANI: Kita lupakan soal politik, kita balik kepada agama kita, balik kepada Tuhan kerana Islam menyuruh kita bersatu kerana kita bersaudara sesama Islam, haram memutuskan silaturahim. Kembalilah kepada ajaran Islam jangan terlalu banyak politiking.

Kita berpolitik dengan tujuan mentadbir negara sahaja, bukan untuk berkelahi sesama kita, tetapi malangnya apa yang berlaku sekarang apabila orang Melayu kita masuk politik mereka menjadi taksub. Apabila bersikap demikian maknanya orang lain tak betul dia sahaja yang betul.

Contohnya, krisis politik di Perak, apabila pakatan pembangkang membawa kes itu ke mahkamah, pada mulanya mereka menang, mereka seronok. Kemudian apabila UMNO membuat rayuan dan menang, mereka (pakatan pembangkang) kata ini tidak boleh, ini tidak betul. Persoalannya apakah (keputusan) yang dahulu betul? Tak kan dulu seorang hakim dan sekarang tiga hakim, tiga yang buat salah. Kemudian buat rayuan kepada Mahkamah Agung, lima hakim yang bersidang membuat keputusan yang sama, jadi tak kan kita tidak mahu terima, tak kanlah hakim-hakim itu berat sebelah.

Oleh itu, saya tidak boleh terima tindakan pembangkang tetapi bila saya cakap macam ini mereka kata saya anti Pas, bila keluar kenyataan saya dukacita kerana kerajaan perpaduan gagal, mereka kata patutlah dapat (dianugerah) Tan Sri, sedangkan saya tak tahu fasal 'Tan Sri'. Sebelum ini saya berada di Mekah, balik sahaja ada surat suruh terima, bukan UMNO yang beri tetapi Yang di-Pertuan Agong.

Ada pihak mengkritik meminta Tan Sri jangan campur urusan politik, apa komen Tan Sri?

HARUSSANI: Saya cuba melihat perjalanan politik mereka dan saya lihat ia tidak betul dari segi syarak, itu yang saya tegur. Begitu juga bila UMNO bersikap tidak adil atau sombong, saya akan tegur. Dalam soal Pas, saya pun tahu sikit-sikit fasal hukum Islam, oleh itu apabila apabila saya melihat tindakan mereka menyeleweng daripada hukum syarak, itu saya tegurlah. Tak kanlah kerana itu pun nak suruh saya masuk UMNO.

Memang saya tidak tahu politik, kalau nak suruh cakap fasal politik, saya tak tahu, suruh cakap fasal ekonomi, saya bukan ahli ekonomi. Sebab itulah kebanyakan ustaz-ustaz yang menjadi ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), apabila orang bahas ekonomi, dia tidak boleh bercakap. Golongan ustaz-ustaz ini hanya tahu soal dakwah, tidak tahu fasal politik. Kita perlu faham politik ini harus tahu semuanya.

Sebab itu saya tidak mahu terlibat dalam politik, kalau mahu dah lama saya boleh berbuat demikian. Saya fikir kalau saya jadi ahli Parlimen atau ADUN, jika orang bercakap perkara saya tak tahu, buat apa. Kita tengok dalam Parlimen, apabila bercakap soal agama Islam ia lebih banyak menyentuh soal zakat, wakaf dan urusan pejabat agama, itu sahajakah? Sedangkan banyak lagi perkara yang boleh dibangkitkan, begitu juga ahli UMNO, kalau soal Islam tanya fasal berapa kutipan zakat, sepatutnya tak perlu tanya, itu kita punya.

Adakah dalam soal perpecahan umat Islam ini, para alim ulama harus campur tangan?

HARUSSANI: Selamanya kita sudah memainkan peranan, tiap kali bersyarah saya akan membangkitkan soal perpaduan, soal silaturahim, saya bangkit soal etika permasyarakatan, jangan lupa hukum bermasyarakat kerana kalau kita lupa dan buat silap sikit kita boleh menjadi fasiq, tapi siapa yang peduli?

Ketika memberikan tazkirah sempena lawatan Timbalan Perdana Menteri, semalam (Khamis) saya bercakap sedikit sahaja mengenai sembahyang. Saya tidak kupas berapa rakaat sembahyang, saya tekankan soal firman Allah bahawa sembahyang itu mencegah kamu daripada perbuatan keji dan mungkar. Bila kita sembahyang, pejamkan mata dan cuba lakukan pembetulan dalam diri, apakah kita mempunyai sifat-sifat seperti ego, takbur, sombong, marah, mengumpat orang dengki atau khianat kepada orang lain. Kalau ada sifat itu masa sembahyang kena buang, kalau ada sifat itu ketika sembahyang, maka sembahyang kita tidak terpakai, ini Allah tegaskan dalam Firman-Nya yang bermaksud; Celaka bagi orang yang sembahyang tetapi lari daripada hikmah sembahyang itu sendiri. (al-Maa'uun: 4-5)

Itu semua harus dihapuskan, bila sembahyang lahirlah dia sebagai insan Rabbani. Bila kita tidak ada sifat-sifat tak baik itu, kalau dia menjadi pemimpin ia akan menjadi pemimpin yang adil, pemimpin yang bertimbang rasa, bertanggungjawab dan jujur. Kalau dia seorang bapa dia seorang bapa yang bertanggungjawab, kalau suami dia akan berikan hak kepada isteri dengan sebaik-baiknya, kalau dia isteri dia akan menjaga suami dan anaknya.

Adakah kuasa yang menjadi penyebab atau faktor yang tersirat di sebalik yang tersurat menjadi punca keengganan menjayakan kerajaan perpaduan ini?

HARUSSANI: Jika kuasa menjadi matlamat sampai bila-bila pun perpaduan umat Islam tidak akan dapat dicapai dan pelaksanaan kerajaan perpaduan tidak mampu dilakukan. Sepatutnya, kuasa politik yang kita ada itu digunakan untuk mencapai perpaduan, keadilan dan persaudaraan.

Sebab itulah orang Arab tidak boleh menang melawan Israel. Begitu juga apabila setiap negara mengatakan ia lebih kuat daripada yang lain. Contohnya, Libya dan Mesir, sudah beberapa kali mereka berpecah akibat perbezaan politik. Ia berlaku kerana masing-masing merasakan mereka lebih berkuasa, ini masalahnya.

Kalau kuasa itu menjadi matlamat, maka kita tidak akan berjaya tetapi kalau matlamat kita adalah untuk melahirkan kedamaian, persaudaraan dan keadilan itu maka ia akan berjaya.

Dalam soal ini, kedua-dua parti terlibat, UMNO pun kalau mereka melihat kepada kuasa sahaja, ia tak kan ke mana, saya bukan nak kata kepada Pas sahaja.

Kalau persengketaan ini berterusan apa yang berlaku kepada orang Islam?

HARUSSANI: Jika ini dibiarkan berterusan, orang Islam akan hancur. Bila berpecah, kita akan jadi lemah dan hilang wibawa termasuk kuasa politik. Jika ini berlaku, hancurlah kita, ini yang saya lihat.

Ada bertanya kenapa saya berani bercakap, Saya hanya bercakap yang hak (benar), apa hendak jadi, jadilah. Politik tidak lagi dilihat sebagai alat tetapi bagi mendapatkan matlamat iaitu kuasa, kalau itu tujuannya habislah orang Melayu dan Islam.

Apa yang paling merisaukan ialah keyakinan orang kepada individu bertaraf ulama, akibatnya apa sahaja dia cakap orang akan percaya, biarpun ia boleh memberi kesan yang buruk kepada perpaduan umat Islam, apa komen Tan Sri?

HARUSSANI: Rasulullah pernah mengingatkan takutlah kamu kepada penyelewengan ulama kerana dia mempunyai pengaruh. Tetapi kita sama-sama Islam dan berilmu kita boleh timbang sendiri, jangan kita taksub tak tentu fasal, lepas itu kita gelar orang macam-macam, dari segi syarak itu haram.

Firman Allah: Wahai orang yang beriman, janganlah satu kaum mencela kaum yang lain, boleh jadi mereka yang dicela itu lebih baik daripada yang mencela dan janganlah para wanita mencela wanita yang lain, boleh jadi wanita-wanita itu lebih baik daripada wanita-wanita yang mencela dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri, dan janganlah kamu saling memanggil dengan gelaran-gelaran yang buruk-buruk… (al-Hurujat: 11).

Tetapi apa yang kita lihat ada panggil orang komunis, ayah pin, ini apa? Tambahan pula yang dengar itu pula orang tak tahu. Contohnya seorang doktor bila dia bagi ubat orang percaya, tok bomoh cerita fasal penyakit barah orang terus percaya sebab dia tok bomoh. Pada hal dia pun tak tahu apa-apa.

Islam menerima perbezaan pendapat. Malah al-Quran dalam surah an-Nisa' ayat 59 menjelaskan bagaimana menghadapi perbezaan pendapat. Soalnya, mengapa terdapat parti-parti politik yang terlibat tidak mahu mentaatinya?

HARUSSANI: Dalam ayat itu Allah berfirman yang maksud-Nya, Wahai orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan ulil amri, kemudian jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian.

Sepatutnya, sebagai saudara seagama, kita patuh kepada arahan Allah. Kita juga wajib patuh kepada pemerintah selagi mana tidak diarahkan membuat maksiat. Kalau tidak taat, maka kita durhaka. Sekali pun jika pemimpin itu zalim.

Rasulullah SAW bersabda: Bantulah saudaramu baik yang berbuat zalim atau yang dizalimi. Baginda ditanya, Kalau yang dizalim kami boleh menolong tetapi bagaimana dengan yang menzalimi wahai Rasulullah? Baginda menjawab, kamu pegang kedua tangannya atau kamu cegahnya daripada melakukan kezaliman, itulah cara kita menolongnya.

Sepatutnya hubungan sesama Muslim itu penuh dengan kasih sayang bukannya menyemai sikap benci membenci atau keras. Ingatlah firman Allah yang maksud-Nya: Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan baginda adalah keras terhadap orang-orang kafir tetapi berkasih sayang sesama mereka (Muslim)…(al-Fath; 29)

Rasulullah SAW bersabda, "Seorang Muslim itu adalah saudara kepada seorang Muslim yang lain, ia tidak menzaliminya dan tidak menyerahkannya kepada musuh… janganlah kamu saling berhasad dengki, janganlah saling bermusuhan dan janganlah kamu saling menipu… jadilah kamu semua hamba-hamba Allah yang bersaudara."

Kesimpulannya, bagaimana kita hendak selesaikan kemelut ini?

HARUSSANI: Kalau ulama perlu ambil peranan untuk selesaikannya, kita harus kembali ke pangkal jalan. Asas utama yang perlu adalah perpaduan, silaturahim dan hormat-menghormati. Perseteruan, pecah belah dan persengketaan adalah ajaran syaitan. Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya syaitan itu hendak menimbulkan permusuhan di antara kamu… (al-Maidah: 9).

Utusan Malaysia Online

Jumaat, 26 Jun 2009

Untung salah.. rugi pon salah

Persepsi silap keuntungan Petronas

KEJAYAAN yang diraih Petronas bukan datang dengan sekelip mata. Begitu juga keupayaannya menjadi antara syarikat terkemuka dunia dengan namanya terpampang megah dalam senarai Fortune Global 500.

Tidak banyak syarikat di dunia yang mampu mencipta sejarah sepertinya, apatah lagi syarikat tempatan sendiri. Pencapaian ini adalah hasil kesungguhan kesemua 35,000 kakitangan seluruh dunia termasuk 20,000 di Malaysia dan bukan kerana kehebatan penerajunya Tan Sri Mohd. Hassan Marican semata-mata.

Tidak menghairankan jika Mohd. Hassan yang merupakan Presiden dan Ketua Eksekutifnya paling kecewa terhadap kenyataan sesetengah pihak yang mahukan gaji kakitangannya dikurangkan berikutan keuntungan syarikat minyak itu jatuh buat kali pertama sejak 2002.

Bagi mereka yang dangkal ilmu dan pendek fikiran sememangnya amat mudah untuk membuat tuduhan seumpama itu, sedangkan tidak ramai yang mengetahui bahawa gaji kakitangan Petronas tidak setinggi mana.

Bayaran gaji yang dibawa pulang oleh kakitangan hanya lebih tinggi sedikit berbanding dengan kakitangan awam dan sekadar menyamai apa yang ditawarkan Bank Negara Malaysia. Kakitangan Petronas sendiri pernah kebingungan apabila kesemua mereka dikatakan menikmati petrol percuma. Malah Mohd. Hassan pernah terkejut dan ketawa apabila dikatakan memiliki jet peribadi.

Di sebalik kehebatan Petronas, ia mempunyai masalah tersendiri terutamanya modal insan. Jadi tidak hairan setiap kali bertemu media, Hassan sentiasa melahirkan kebimbangan tentang kebanjiran keluar tenaga mahir Petronas menyertai syarikat minyak lain kerana gaji dan imbuhan yang lebih besar.

Berapa ramai yang bersedia bekerja keras di tengah-tengah lautan dan bawah panas terik padang pasir, jauh dari negara sendiri kerana kepentingan negara tetapi bayaran yang diterima tidak berbaloi.

Kehilangan pekerja berpengalaman dan berkemahiran merupakan satu kerugian kepada negara dalam usahanya membangunkan lagi Petronas yang banyak menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara.

Benarkah, pembayaran gaji yang didakwa terlalu tinggi kepada kakitangan menjadi penyumbang kerugian Petronas apabila kos tenaga kerjanya hanya mewakili tiga peratus manakala perbelanjaan pengeluaran dan operasi mewakili angka yang terbesar sebanyak 71 peratus. Jumlah perbelanjaan yang bakal dibelanjakan syarikat minyak negara itu tidak akan berkurangan kerana untuk mengorek minyak dari perut bumi bukan lagi semudah sebelumnya.

Petronas kini perlu menerokai laut dalam dan juga jauh lebih dalam (ultra deep) berbanding sebelumnya sehingga mencecah 4,000 meter yang memerlukan teknologi baru dan melibatkan kos yang tinggi sedangkan hasilnya belum pasti daya majunya.

Segalanya tidak mudah kerana industri minyak dunia kini berdepan dengan kos yang tinggi dan harga minyak yang rendah. Penyediaan infrastrukturnya seperti loji penapisan bukan siap semalaman tetapi sekurang-kurangnya lima tahun akan datang.

Menyedari hakikat sumber dalam negara juga akan berakhir Petronas dengan pengurusannya yang bijak bertindak menerokai telaga minyak dan gas di luar negara untuk membawa kekayaan ke dalam negara.

Bayangkan tidakkah hebat sebuah syarikat di sebuah negara kecil seperti Malaysia yang kini rizab minyak tidak sebanyak mana, berjaya kekal menjadi penyumbang terbesar tunggal kepada hasil negara sedangkan dahulu ditubuhkan hanya mempunyai modal sebanyak RM10 juta.

Kenapa tidak dilihat tentang keupayaan negara lain seperti Venezuela, Mexico dan juga jiran terdekat Indonesia yang mempunyai rizab minyak jauh lebih besar dalam perut bumi tetapi gagal untuk membangunkan negaranya.

Tidak salah untuk sesiapa sahaja melontarkan pendapat kerana setiap orang berhak berbuat demikian tetapi biarlah mempunyai kebenaran. Seperti mana kata orang, ''berat mata memandang lebih berat bahu yang memikul.''

- sumber Utusan Malaysia

Lagi Berita Tentang Jacko dari Utusan Plak

Rumah lama Michael Jackson jadi tumpuan peminat

GARY, Indiana 26 Jun – Peminat-peminat Michael Jackson membentuk satu bulatan sambil berdoa di hadapan rumah yang pernah didiami penyanyi itu ketika zaman kanak-kanaknya, di sini.

Beratus-ratus peminat membanjiri dan memenuhi jalan-jalan utama selepas mengetahui berhubung kematian ‘Raja Pop’ itu.

Anak-anak patung dan bunga ros diletakkan di anjung rumah yang pernah didiami oleh Jackson ketika beliau membesar yang kini tidak lagi didiami.

Jiran-jiran mula berkumpul sambil membawa lilin dan nota takziah untuk penyanyi itu. - AP

________________________

Michael Jackson ambil preskripsi dadah

LOS ANGELES 26 Jun – Raja Pop dunia, Michael Jackson dikatakan telah mengambil preskripsi dadah untuk membolehkannya bertahan dalam konsert yang bakal diadakan di London bulan depan.

Menurut seorang jurucakap peguam ahli keluarga penyanyi itu, Brian Oxman, Michael Jackson berjuang menghadapi penyakit yang dihadapi dengan memakan preskripsi ubat tersebut sepanjang kerjayanya.

Dia mengambil dadah tersebut selepas mengalami kecederaan ketika menjalani latihan untuk konsert yang bakal diadakan itu.

Pegawai Koroner Los Angeles, Leftenan Fred Corral memberitahu CNN bahawa Jackson, 50, disahkan meninggal dunia selepas jantungnya gagal berfungsi. - AFP

___________________

Bedah siasat Michael Jackson hari ini

LOS ANGELES 26 Jun - Proses bedah siasat ke atas mayat Michael Jackson akan dilakukan hari ini bagi mengetahui punca kematian Raja Pop itu.

Jackson, 50, disahkan meninggal dunia pada pukul 2.26 petang waktu tempatan (2.26 pagi Jumaat waktu Malaysia) selepas dikejarkan ke sebuah hospital di sini akibat kegagalan fungsi jantung.

Menurut adiknya, Jermaine, Jackson tidak sedarkan diri ketika berada di rumah dan pakar perubatan peribadinya telah cuba menyedarkan penyanyi tersebut, namun gagal.

Bintang itu kemudian dibawa ke hospital oleh pasukan paramedik, di mana sekumpulan doktor bertungkus lumus menyelamatkannya dalam masa lebih satu jam sebelum mengesahkan kematiannya. - Reuters

____________________

Kematian Michael Jackson mengejutkan - Lisa Presley

LOS ANGELES 26 Jun - Bekas isteri Michael Jackson, Lisa Marie Presley yang juga anak kepada ikon rock Elvis Presley menyifatkan kematian Raja Pop itu sebagai satu insiden mengejutkan dan menyedihkan.

``Saya sangat sedih dan keliru dengan perasaan saya yang bercampur baur sekarang.

``Hati saya hancur bila mengenangkan anak-anak Jackson yang sungguh bermakna buat dirinya dan keluarganya. Kematian beliau adalah satu kehilangan besar kepada semua lapisan masyarakat,’’ katanya yang pernah berkahwin dengan Jackson pada pertengahan tahun 1990-an. - Reuters


- sumber Utusan Malaysia

Lagi Berita Tentang Jacko

Berita kematian Jacko bermula dari laman web

NEW YORK: Era digital nyata media masa kini apabila maklumat pantas dan terkini mengenai berita kematian raja pop, Michael Jackson disebarkan oleh media baru internet, bukannya pengacara stesen tv seperti sebelum ini.

Malah, berita awal daripada portal berita online dan laman agak bercelaru apabila kematiannya menimbulkan tanda tanya - Adakah Michael masih hidup? Atau, benarkah dia dalam koma?

Berita itu tersebar seperti api yang marak oleh laman web berita seluruh dunia, rangkaian laman sosial serta Twitter.

Laman web selebriti, TMZ.com dikatakan yang pertama memaparkan berita kematian Michael jam 5.20 petang waktu tempatan (2120 GMT).

Berita yang dipaparkan TMZ itu dianggap paling awal dan mengejutkan banyak laman web lain sebelum ditambah dengan lebih banyak maklumat dan kesahihan selepas itu.

“Semuanya bermula dengan satu tip berita,” kata Harvey Levin, pengarang urusan TMZ.

“Kami tidak akan menyiarkannya jika ia bukannya berita sahih," katanya.

Beberpaa minit kemudian, kematian Michael disahkan oleh Los Angeles Times dan The Associated Press (AP) dan terus dipaparkan dalam siaran berita malam rangkaian media berkenaan. - AFP

_______________

Twitter dihujani peminat Jacko

HONG KONG: Media internet dibanjiri jutaan peminat Michael Jackson dengan blog mikro, Twitter apabila dilayari ratusan pembaca dalam setiap minit bagi mengucapkan takziah kepada raja pop itu.

Malah, laman web Michael, www.michaeljackson.com, memaparkan hanya satu muka penuh berwarna merah sebagai tanpa kesedihan dan takziah daripada syarikat rakamannya.

Laman web rasmi dan tidak rasmi peminat Michael dari India dan Jerman pula memaparkan satu muka surat khas bagi memuatkan ucapan takziah peminat Jacko dari seluruh dunia menerusi emel.

Pengguna laman sosial, Facebook dengan pantas mencipta satu muka surat baru sebagai penghormatan kepada Michael dikenali “Michael Jackson RIP” dan lebih 28,000 memasukinya sebaik dipaparkan dalam beberapa jam.

Berita kematian penyanyi itu mengatasi populariti isu pemilihan Presiden Iran dalam Twitter. - AFP

- sumber Berita Harian

Berita kematian Michael Jackson mengejutkan dunia

LOS ANGELES: Michael Jackson, anak kecil yang bertukar menjadi Raja Pop dunia, mencipta tarian musikal yang digilai anak muda, meninggal dunia hari ini ketika berusia 50 tahun.

Namun, sejak meniti akhir hayatnya, bintangnya yang bersinar itu lebih ditutupi dengan gaya hidupnya yang unik serta kontroversi pembabitannya dalam skandal seks dengan kanak-kanak.

Sebaik berita kematiannya dilaporkan pagi ini, laman web terus menjadi buruan peminatnya di seluruh dunia bagi melayari kisahnya sehingga menimbulkan kesesakan.

Michael atau dikenali dengan Jacko, disahakan meinggal dunia jam 2.26 pagi waktu tempatan selepas tiba di Hospital Los Angeles, menurut koroner daerah, Fred Corral.

Bagaimanapun, katanya punca kematiannya belum disahkan lagi tetapi dikaitkan dengan kegagalan jantungnya.

Sebelum ini, media Amerika Syarikat melaporkan bahawa Micheal kini sedang sakit dan dirawat di rumahnya.

Namun sebaik paramedik tiba di rumahnya, malam tadi, beliau dikatakan sudah tidak bernafas sebelum dikejarkan ke hospital.

Dikenali sebagai Raja Pop dengan kemunculan album hit, "Thriller" dan "Billie Jean," Michael dikenali dengan mencipta gaya menari unik menggunakan sarung tangan putih sehingga digilai dan diikuti jutaan peminatnya di seluruh dunia.

Beliau bertanggungjawab mengtranformasikan nyanyian dan tarian ke dalam musik video sehingga jualan albumnya mencecah 750 juta unit dengan menggondol 13 Anugerah Grammy.

Beliau sehingga kini menjadi salah seorang penghibur paling berjaya sepanjang hayat.

Namun, reputasi Michael tercalar selepas dikaitkan dengan minatnya berkawan dan bermesra dengan kanak-kanak sehingga diheret ke mahkamah pada 2005, selain penampilan dirinya yang dikaitkan dengan pembedahan plastik.

Beliau dijadual membuat penampilan semula bulan depan bermula di London.

Quincy Jones, yang pernah membantunya dalam penghasilan album "Thriller" dan "Off the Wall" memberitahu stesen MSNBC: "Saya benar-benar terkejut dan hiba dengan kehilangannya. Ia sesuatu yang trajis dan berita yang tidak disangka-sangka." - Reuters



SUASANA hiba dan tangisan ratusan peminat mengiringi kematian raja pop, Michael Jackson di pekarangan hospital UCLA di Los Angeles untuk melihat sendiri apa yang berlaku terhadap penyanyi kesayangannya itu, sebaik berita kematiannya dilaporkan pagi ini. - Foto AFP

- sumber Berita Harian

Khamis, 25 Jun 2009

Jaga maklumat anda

- Tarikh lahir
- Jantina
- Anggota Keluarga
- Tempat Lahir
- Pandangan politik dan agama

adalah antara maklumat peribadi yang harus anda rahsia daripada di dedahkan di internet. Demikian menurut laporan akhbar Berita Harian 24 Jun 2008

Pengguna dinasihatkan tidak letak maklumat peribadi dalam internet

SINGAPURA: Syarikat kawalan dan keselamatan IT, Sophos, hari ini memberi amaran kepada pengguna internet supaya tidak memasukkan maklumat peribadi mereka di internet kerana ia boleh digunakan pihak lain untuk penipuan identiti.

Amaran Sophos itu dibuat selepas laman web rangkaian sosial popular Facebook didapati mempunyai kelemahan yang membolehkan penggodam mengakses maklumat sensitif profil mengenai mana-mana laman yang mempunyai lebih 200 juta pengguna itu.

Dalam satu kenyataan, Sophos berkata, data seperti tarikh lahir, tempat lahir, jantina, anggota keluarga, status hubungan dan pandangan politik serta agama boleh diguna untuk melakukan penipuan identiti.

Pencipta blog, FBHive.com, mendapati hanya melalui godaman yang mudah boleh menunjukkan semua yang disenarai dalam panel "Maklumat Asas" ahli Facebook, walaupun maklumat itu disembunyikan oleh pengguna dengan mewujudkan keselamatan laman web.

Menggunakan kelemahan keselamatan, FBHive boleh mengakses maklumat peribadi mengenai Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg; Pengasas Digg, Kevin Rose dan bloger terkenal, Cory Doctorow, kata Sophos.

Bagaimanapun, ia berkata, kekurangan itu kini diperbaiki oleh Facebook, tetapi tidak diketahui sama ada penggodam sudah menggunakan maklumat yang didedah oleh kelemahan keselamatan itu untuk tujuan jenayah.

Syarikat IT menasihatkan adalah lebih baik pengguna internet untuk tidak meletakkan maklumat peribadi mereka dalam internet. - Bernama

Rabu, 24 Jun 2009

Satelit Malaysia terokai angkasa


PELANCARAN MEASAT-3a dari Baikonur Cosmodrome di Kazakhstan kelmarin melengkapkan usaha pembangunan satelit dan industri ICT Malaysia. - BERNAMA

Utusan Malaysian Online

TEPAT pukul 5.50 pagi Isnin waktu Malaysia, roket Zenit-3SLB dengan kargo yang penting kepada pembangunan masa depan industri teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) Malaysia selamat dilancarkan ke angkasa lepas.

Kenderaan pelancar yang laju membelah ruang angkasa di pusat pelancaran satelit Baikonur Cosmodrome itu membawa bersama satelit kelima negara dan keempat milik Measat Satellite System Sdn. Bhd. - MEASAT3-a.

Satelit komunikasi Measat itu dan antara tercanggih daripada segi teknologi, menyertai MEASAT-1, MEASAT-2 dan MEASAT-3 yang terlebih dahulu dilancarkan ke orbit sebelum ini.

MEASAT-3a yang mempunyai jangka hayat selama 15 tahun dibina oleh Orbital Sciences Corporation of Dulles yang berpangkalan di Virginia, Amerika Syarikat.

Satelit seberat 2.417 tan itu akan bertindak sebagai pelengkap kemampuan MEASAT-3 yang mempunyai 48 transponder dengan capaian liputan kepada lebih 100 negara yang mewakili lebih 70 peratus penduduk dunia.

MEASAT-3a direka bentuk dengan 12 transponder C-band berkuasa tinggi dan 12 transponder Ku-Band berkuasa tinggi untuk menyokong peningkatan perniagaan terus ke rumah (DTH), penyiaran dan telekomunikasi Measat.

Dengan liputan Ku-Band di Malaysia dan Indonesia serta pancaran C-Band yang meliputi lebih 110 negara mewakili 70 peratus penduduk dunia, satelit berkenaan akan menyokong pertumbuhan syarikat dalam bidang perniagaan penyiaran dan telekomunikasi.

Justeru pelancaran MEASAT-3a Isnin lalu pastinya akan meningkatkan lagi keupayaan sistem satelit Malaysia untuk menyokong keperluan telekomunikasi dan media. Ini kerana keupayaan satelit yang terdapat di slot orbit utama 91.5 Longitud Timur itu akan ditambah kira-kira 50 peratus.

Pelancaran MEASAT-3a dilakukan mengikut jadual pada pukul 3.50 pagi (5.50 pagi waktu Malaysia) dalam cuaca yang cukup sempurna.

Sebaik saja kenderaan pelancar Zenit-3SLB meluncur ke angkasa, anggota delegasi Malaysia yang disertai Menteri Penerangan, Komunikasi, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, bersorak gembira.

Walaupun berada dalam kedudukan empat kilometer dari lokasi roket itu dilancarkan di ruang terbuka, rombongan Malaysia dapat melihat dengan jelas kerana faktor cuaca yang baik ketika pelancarannya.

Dan seperti dijangka, perjalanan roket sejauh hampir 36,000 kilometer dari bumi itu mengambil masa enam jam dan 25 minit sebelum ia memasuki orbit pada pukul 12.15 tengah hari (2.15 petang waktu Malaysia).

"Segala-galanya mengikut jadual dan Measat berbangga misi ini akhirnya berjaya," kata Paul Brown-Kenyon, Ketua Pegawai Operasinya ketika menerima ucapan tahniah daripada rombongan Malaysia.

Pelancaran satelit terbaru milik Measat Satellite System Sdn. Bhd. ke dalam lokasi orbitnya telah menjadikan ia apparatus penting bagi pertumbuhan ICT Malaysia pada masa depan.

Sudah tentu syarikat telekomunikasi dan media penyiaran akan memperoleh manfaat besar daripada pelancaran satelit ini yang meningkatkan keupayaan tambahan satelit milik Measat yang dilancarkan sebelum ini.

Satelit yang berkuasa tinggi dan berteknologi lebih canggih sebenarnya menjadi infrastruktur penting rancangan besar pelbagai syarikat berkaitan untuk melebarkan perkhidmatan masing-masing.

Sesungguhnya kejayaan pelancaran MEASAT-3a ke orbit bukan sahaja bermakna kepada sektor industri tetapi juga kepada kerajaan dan rakyat Malaysia.

Seperti kata Rais yang turut menyaksikan pelancaran tersebut, adanya satelit yang berkemampuan tinggi itu akan menyokong inisiatif kerajaan untuk meningkatkan pembangunan ICT Malaysia ke tahap yang lebih dikagumi.

Malah katanya, dengan peranan berterusan, Measat telah berjaya menjadi antara daya penggerak utama kepada kemajuan Malaysia dalam pembangunan ICT sehingga dikagumi kebanyakan negara membangun lain.

"Satelit terbaru ini juga melonjakkan nama negara setaraf dengan negara-negara maju selain manfaat besar untuk sektor komunikasi negara pada masa depan," katanya.

Pertumbuhan ini sebenarnya bermula pada 1996 dengan pelancaran MEASAT-1 dan MEASAT-2, yang banyak mempengaruhi transformasi senario ICT negara.

Pada awal 80-an, siaran televisyen di negara ini hanya terhad kepada saluran milik kerajaan. Namun hari ini rakyat Malaysia sudah boleh menonton siaran menerusi banyak saluran televisyen dari seluruh dunia.

Ini hanya dapat dilakukan selepas pelancaran teknologi DTH digital di Malaysia, membolehkan kita mendahului beberapa syarikat media paling inovatif di dunia.

Penggunaan satelit MEASAT oleh Astro untuk penyiaran DTH digital pada 1996 membolehkan pengguna menerima saluransaluran televisyen terus dari satelit melalui antena ceper kecil yang diletakkan di rumah mereka.

Dengan penggunaan satelit MEASAT dan keupayaan untuk memberikan liputan 100 peratus ke seluruh negara, kawasan-kawasan terpencil yang dahulunya tidak boleh dihubungi kini dapat dihubungkan ke seluruh Malaysia.

Sementara bagi syarikat Measat sendiri, pelancaran MEASAT-3a akan membawa satu lagi lonjakan besar kepada mereka hingga mampu menjadikan syarikat itu sebagai pemain utama di rantau ini.

Brown-Kenyon dalam sidang akhbar dengan media Malaysia memaklumkan mereka menjangka perolehan yang lebih tinggi iaitu sebanyak AS$100 juta (RM350 juta) setahun dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang berbanding AS$60 juta (RM210 juta) tahun lepas.

Menurut beliau, syarikat itu juga sudah memiliki perolehan dalam tangan sebanyak AS$600 juta (RM2.1 bilion) hasil daripada kontrak yang membabitkan tiga tahun, lima tahun dan 15 tahun.

Justeru soal bagaimana mahu membuat keuntungan bukan lagi menjadi persoalan utama bagi syarikat yang berpangkalan di Malaysia itu.

Cuma ia memerlukan sedikit masa iaitu kira-kira setahun atau selewat-lewatnya 18 bulan sebelum ia boleh memberikan pendapatan kepada syarikat.

Ternyata kebergantungan dunia masa kini kepada satelit amat tinggi berikutan perkembangan pantas dalam bidang komunikasi.

Ini boleh dilihat apabila MEASAT-3 yang dilancarkan penghujung tahun 2006 telah mempunyai kapasiti hampir penuh daripada segi pengambilan.

Sementara Astro sudah menempah separuh daripada transponder pada MEASAT-3a yang bermakna penambahan perkhidmatan baru, saluran baru serta kandungan yang dipertingkatkan.

Pelancaran MEASAT-3a ini ternyata membanggakan rakyat Malaysia keseluruhannya kerana kemampuan Measat yang rata-ratanya ditunjangi oleh anak tempatan termasuk di bahagian kejuruteraannya.

Ia bukan suatu tugas mudah. Justeru pelancaran satelit komunikasi ini yang juga kelima dari Malaysia adalah satu lagi detik bersejarah dalam perkembangan teknologi dan sains negara.

Dan yang paling bertuah pastinya lima pelajar cemerlang yang dibawa khas oleh Measat bagi menyaksikan pelancaran satelit ini.

Bagi Ahmad Ruiz Mohd. Asri (Kuala Lumpur) K. Chandra Sekhar (Johor Bahru); Cliff Asher R. Ongil (Beaufort), Lina Na'ilah Abdul Talip (Kajang) dan Edmund Lau (Kuching) ini adalah peluang sekali dalam seumur hidup.

Projek Video V1.5

salam

korang yang kenal saya musti tau maner nak cr... projek nie dah berjalan n korang leh dapatkan video yang dah siap di sub kan.

Semua citer di download guna torrentz dan kebanyakan di release oleh aXXo, FxW n lain-lain

Citer yang di siap
  1. Alien.Raiders[2008]DvDrip-aXXo
  2. Bangkok.Dangerous[2008]DvDrip-aXXo
  3. Doomsday[2008][Unrated.Edition]DvDrip-aXXo
  4. Eagle.Eye[2008]DvDrip-aXXo
  5. Ghost.Town[2008]DvDrip-aXXo
  6. Just.Like.Heaven[2005]DvDrip.AC3[Eng]-aXXo
  7. Loaded[2008]DvDrip-aXXo
  8. Night.At.The.Museum[2006]DvDrip[Eng]-aXXo
  9. Punisher-War.Zone[2008]DvDrip-aXXo
  10. The.Bank.Job[2008]DvDrip[Eng]-aXXo
  11. Thick As Thieves[2009]DvDrip[Eng]Crime
  12. Transsiberian[2008]DvDrip-aXXo
  13. The.Bourne.Identity[2002]DvDrip-aXXo
  14. The.Bourne.Supremacy[2004]DvDrip-aXXo
  15. The.Bourne.Ultimatum[2007]DvDrip-aXXo

Citer yang masih di peringkat projek
  • The.Fall[2006]DvDrip-aXXo
  • Splinter[2006]DvDrip[Eng]-aXXo
  • iron man
  • Crank[2006]DvDrip[Eng]-aXXo

Selasa, 23 Jun 2009

Projek mengedit Video V1.5

salam

Pernah tak korang download movie via torrentz pastu bila tengok tak brapa syok sebab tak da subtitles... sebelum nie wa... download subtitle n tengok jer kat pc... tak pon beli jer cd pirate.... compom ader subtitles

TAPI
baru-baru nie ader jumpa web bgus... ajar cam ner nak dub subtile msk dlm movie.... syok... pa lg... abih semua movie di dubbingkan ngan sub pastu convert supaya bleh tgk kat dlm dvd .. n pastu burn ke DVD --> EnJoY!!!

apa² ajer laa

Schumacher adalah The Stig

LONDON 22 Jun – Setelah bertahun-tahun merahsiakan identitinya, bekas juara dunia Formula One, Michael Schumacher telah mendedahkan dirinya sebagai The Stig, nama pemandu profesional kereta ujian daripada program permotoran Top Gear terbitan BBC.

Setiap episod Top Gear yang telah dijual kepada saluran televisyen seluruh dunia melihat The Stig meluncur di seluruh litar lumba memandu kereta-kereta berkuasa tinggi dengan memakai sut putih dan wajahnya ditutup dengan topi keledar.

Stig yang sebenar telah dikeluarkan daripada perlumbaan itu selepas pelumba Britain, Perry McCarthy mendedahkan identitinya melalui buku autobiografinya pada tahun 2002.

Dalam satu siaran episod semalam, Stig yang terbaru telah menanggalkan topi keledarnya berwarna putih, dan menerima sorakan riuh daripada penonton studio, dan mendedahkan dirinya sebagai Schumacher, pemandu paling berjaya di kejohanan lumba kereta Formula One dengan memenangi kejohanan dunia sebanyak tujuh kali. – Reuters

Sabtu, 20 Jun 2009

Apa dah jadi??

Lapan pasukan tinggalkan F1




SILVERSTONE - Ferrari mengetuai tujuh lagi pasukan lain yang mengumumkan keputusan mereka untuk meninggalkan perlumbaan kereta Formula Satu (F1).

Tindakan drastik itu dibuat selepas Persatuan Pasukan-Pasukan F1 (FOTA) gagal mencapai kata sepakat dengan penganjur F1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) berkenaan cadangan bajet maksimum.

Ekoran itu, Ferrari serta pasukan Brawn GP, McLaren Renault, Toyota, BMW Sauber, Red Bull dan Toro Rosso dilaporkan sudah sedia melancarkan siri perlumbaan baru mulai tahun depan.

Sebelum ini, FOTA dan FIA telah beberapa kali mengadakan rundingan bagi menyelesaikan segala perkara berhubung peraturan pada tahun 2010.

Ia termasuklah cadangan bajet maksi- mum £40 juta (RM211) yang diperkenal- kan FIA musim depan.

Di bawah cadangan had bajet maksi- mum tersebut, setiap pasukan memiliki kebebasan dari segi teknikal berbanding mereka yang memilih untuk menggunakan peruntukan tidak terhad.

FOTA dalam bantahan mereka meletakkan syarat agar cadangan itu diubah, namun FIA enggan menerimanya dan mengatakan bahawa sukan F1 tidak akan 'hidup' dalam ekonomi sukar tanpa membuat sekatan, iaitu memperkenalkan bajet maksimum.

Begitupun, FOTA yang bermesyuarat di Silverstone kelmarin menjelang perlumbaan Grand Prix (GP) Britain esok mengumumkan bahawa mereka akan meninggalkan F1.

"Kami tidak mahu bertolak-ansur dengan segala cadangan yang diberikan FIA dan menolak daripada berada dalam senarai pasukan bagi kejuaraan tahun 2010," jelas kenyataan FOTA.

"Oleh kerana pasukan-pasukan ini tidak mempunyai pilihan lain, maka mereka bersedia untuk memperkenalkan satu kejuaraan baru yang mencerminkan nilai-nilai sebenar semua pesertanya."

Sementara itu, FIA dalam kenyataan balas menjelaskan bahawa mereka tidak akan menangguhkan tarikh akhir penyertaan bagi pasukan-pasukan musim 2010 yang berakhir semalam.

"FIA sangat kecewa tetapi tidak terkejut dengan kegagalan FOTA untuk berkompromi bagi mencari jalan terbaik bagi sukan ini," jelas kenyataan FIA. - AP

- sumber KOSMO

Matlamat menghalalkan cara

Laporan Amerika berat sebelah

Memang agak mengejutkan apabila Amerika Syarikat (AS) dalam Laporan Penyeludupan Manusia 2009 yang dikeluarkan beberapa hari lepas meletakkan Malaysia sebagai negara yang gagal memenuhi piawaian minimum bagi membanteras kegiatan penyeludupan manusia. Di samping itu Malaysia juga didakwa tidak mengambil usaha sewajarnya untuk mengatasi masalah tersebut.

Tahap 3 yang diberikan kepada Malaysia meletakkan negara sama taraf dengan Chad, Eritrea, Niger, Mauritania, Swaziland, dan Zimbabwe dalam hal penyeludupan manusia. Perlu diingatkan tahap ini adalah status yang paling buruk sekali. Secara keseluruhannya terdapat 17 negara yang dikelaskan Tahap 3 dalam kajian yang dilakukan terhadap 173 buah negara.

Paling menghairankan ialah baru dua minggu lepas Malaysia mendapat pujian daripada Presiden Barack Obama semasa beliau membuat ucapan bersejarah di Kaherah mengenai hubungan AS dengan negara Islam. Antara lain Obama menyifatkan Malaysia sebagai negara Islam yang maju tetapi masih mampu mengekalkan nilai-nilai murni.

Agak begitu janggal kerana Laporan Penyeludupan yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara AS amat bertentangan dengan persepsi White House terhadap Malaysia.

Mustahil bagi sebuah negara Islam yang maju dan bersifat murni mempunyai pemimpin yang tidak mengendahkan kegiatan penyeludupan manusia untuk pelacuran, kerahan tenaga kerja dan askar kanak-kanak.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mengulas laporan tersebut mengatakan akan menghantar pegawai kementeriannya ke Kedutaan AS untuk mendapatkan gambaran tepat bagaimana Malaysia boleh disenaraikan pada tahap yang paling buruk. "Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan berjumpa Kedutaan AS di Kuala Lumpur untuk mengenal pasti apa tuduhan dan dakwaan sehingga Malaysia disenarai hitam," kata Hishammuddin.

Pada tahun 2008 Malaysia berada pada Tahap 2 (Pemerhatian) dan mengharapkan ditingkatkan pada Tahap 2 sepenuhnya memandangkan beberapa langkah pembaikan telah dilaksanakan untuk mengurangkan kes penyeludupan manusia. Malangnya Malaysia disenarai hitamkan pada Tahap 3 sementara negara lain seperti Qatar, Oman, Algeria dan Moldova dikeluarkan daripada Tahap 3 dan diberi status Tahap 2.

Memang benar Malaysia pernah dikelaskan pada Tahap 3 pada tahun 2001 dan 2007 tetapi kebiasaannya Tahap 2 adalah status lazim yang dimiliki oleh negara. Sebab itu seperti yang ditekankan oleh Hishammuddin agak menarik untuk mengetahui apakah asas yang digunakan untuk meletakkan Malaysia pada kedudukan yang buruk.

Terdapat beberapa isu yang memberi persepsi bahawa Malaysia tidak bersungguh menangani masalah penyeludupan manusia. Perlu ditekankan laporan tersebut tidak mempunyai masalah terhadap langkah yang telah diusahakan oleh Malaysia untuk mencegah kegiatan penyeludupan manusia khasnya aktiviti pelacuran.

Isu yang cuba ditonjolkan ialah mengenai tindak-tanduk majikan yang menahan pasport dan gaji pekerja mereka yang memberi kesimpulan berlakunya kerahan tenaga kerja secara paksa. Mungkin sebab itulah beberapa hari lepas Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam telah mengingatkan adalah menjadi satu kesalahan jika majikan menahan pasport pekerja mereka jika ia perlu digunakan untuk tujuan rasmi.

Tetapi sebenarnya asas utama yang digunakan oleh Jabatan Negara AS sehingga melakarkan pandangan buruk terhadap Kuala Lumpur ialah hasil Laporan Senat Kongres AS mengenai nasib pelarian rakyat Myanmar di Malaysia.

Laporan tersebut yang dibuat melalui Jawatankuasa Hubungan Luar Senat AS yang diketuai oleh Richard Lugar dikeluarkan pada 3 April lepas menggambarkan bagaimana pelarian dari Myanmar ini diugut dan dijadikan bahan perdagangan untuk tujuan pelacuran dan kerahan tenaga percuma.

Lebih memburukkan lagi laporan tersebut membuat tuduhan bukan sahaja aktiviti penyeludupan manusia pelarian Myanmar ini dilakukan secara terancang oleh sindiket, tetapi ia juga disokong oleh badan penguat kuasa Malaysia seperti Jabatan Imigresen.

Sebaik-baik sahaja laporan Senat tersebut dikeluarkan, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan telah menubuhkan satu pasukan penyiasat yang terdiri daripada pegawai-pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen antara lain untuk mengkaji tuduhan yang dilemparkan.

Oleh kerana tuduhan tersebut menyatakan aktiviti penyeludupan berlaku di sempadan Malaysia-Thailand, Kuala Lumpur telah bekerjasama dengan Bangkok untuk memastikan aktiviti tersebut dikekang. Tambah Musa ketika mengumumkan penubuhan pasukan penyiasat, "Kerajaan Malaysia serius dalam membanteras penyeludupan manusia. Kita kini bekerjasama rapat dengan rakan-rakan sejawatan Thai dalam penyiasatan itu,".

Adalah mustahil bagi pegawai penguat kuasa Malaysia bersekongkol dengan sindiket penyeludupan manusia tanpa disedari oleh peringkat atasan kerana organisasi penguatkuasaan negara ini bukanlah dipenuhi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab atau penerima rasuah.

Tanpa disangsi, Kuala Lumpur cukup komited dengan usaha untuk menghapuskan aktiviti penyeludupan manusia tidak kira dari negara mana mereka berasal. Pada 28 Februari 2008 umpamanya akta Anti Penyeludupan Manusia 2007 (Akta) 670 telah dikuatkuasakan. Apa yang menarik ialah penggubalan akta tersebut mengambil kira protokol Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi menyekat, mencegah dan menghukum pelaku penyeludupan manusia terutama wanita dan kanak-kanak.

Cuma mungkin Jabatan Negara AS yang tidak berpuas hati dengan hasil siasatan kerana mereka mempersoalkan mengapa tiada tangkapan dibuat terhadap pegawai yang terlibat sehingga menuduh Malaysia sebagai negara yang tidak serius menangani masalah penyeludupan manusia.

Seperti yang ditekankan oleh mantan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Syed Hamid Albar bahawa tuduhan laporan Senat tersebut tiada asasnya dan sebab itu bagaimana mungkin untuk menghukum pegawai yang terlibat.

Kesangsian juga timbul terhadap kejujuran laporan Senat kerana ia melibatkan Myanmar. Seperti yang diketahui, Washington akan mengunakan apa jua ruang untuk menekan junta Myanmar dan juga ASEAN supaya negara tersebut mengotakan janji untuk memulihkan proses demokrasi.

Timbul juga syak wasangka kerana laporan Senat tersebut diolah setelah siasatan dilakukan beberapa hari sahaja di Malaysia dan juga di sempadan Malaysia-Thailand.

Memang benar perbincangan ada dilakukan dengan PDRM tetapi kebanyakan intipati laporan tersebut adalah berasaskan daripada temu ramah dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga pelarian Myanmar.

Jabatan Negara AS sepatutnya tidak boleh hanya bergantung kepada satu sumber maklumat sahaja kerana ini sudah tentu tidak adil bagi rakyat Malaysia. Gunakanlah pendekatan Presiden Obama yang menilai satu-satu isu dengan lebih jujur tanpa mempunyai agenda tersirat.

PENULIS ialah Geo-Strategis Universiti Teknologi Malaysia

sedarkah anda

Propaganda akhbar Cina


SEMANGAT permuafakatan antara kaum tidak wajar diperjudikan atas desakan dan tuntutan yang jelas memperjuangkan kepentingan segelintir pihak semata-mata.


SEPANJANG minggu lalu (8-13 Jun), tiga isu utama menjadi perhatian akhbar-akhbar perdana berbahasa Cina.

Isu tersebut ialah mengenai survival sekolah Cina, tinjauan pendapat sama ada MCA wajar keluar daripada Barisan Nasional (BN) dan isu cadangan kerajaan perpaduan antara UMNO dan Pas.

Malangnya, isu yang dibincangkan menerusi ruangan editorial dan pendapat itu tidak dilihat dari sudut yang seimbang. Sebaliknya lebih menjurus kepada kepentingan kumpulan tertentu dan disorot dalam ruang yang sempit.

Dalam isu mengenai sekolah Cina misalnya, dasar pendidikan negara dipersalahkan kerana didakwa tidak berlaku adil. Kerajaan juga dikatakan menolak permohonan peruntukan pembiayaan sekolah menengah swasta Cina selain tidak mengiktiraf sijil peperiksaan gabungan sekolah menengah Cina.

Turut dikesalkan ialah kegagalan kerajaan meluluskan permohonan kekurangan guru di sekolah Cina serta keengganan mengiktiraf sijil-sijil kelulusan universiti dari negara China. Isu ini dibangkitkan semula rentetan pertemuan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan tujuh pertubuhan Cina, baru-baru ini yang disimpulkan tidak memberi hasil positif.

Kegagalan dasar kerajaan itu dibandingkan pula dengan kerajaan pembangkang yang memerintah di beberapa buah negeri. Kononnya kerajaan pembangkang memberi bantuan kepada sekolah Cina dan masyarakat Cina percaya akta pendidikan akan berjaya diubah jika mereka menyokong pembangkang.

Sebelum mengulas lebih lanjut mengenai polemik sekolah Cina ini, suka untuk diingatkan bahawa hanya Malaysia sahaja yang membenarkan sekolah Cina didirikan dalam masyarakat yang menjadi majoriti ialah Melayu/ Bumiputera.

Bertitik-tolak daripada hakikat yang satu itu, seharusnya masyarakat Cina di negara ini berasa cukup bersyukur dan sangat bertuah. Tidak perlu melihat jauh, cukup sekadar membandingkan dengan negara-negara jiran. Sekolah aliran Cina tidak dibenarkan meskipun komuniti Cina di sana lebih ramai.

Buktinya, ramai anak Cina dari negara jiran mengikuti sekolah aliran Cina di negara ini. Jika fakta itu tidak memadai, semak pula peruntukan yang disediakan oleh kerajaan dalam membantu sekolah kebangsaan Cina di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Secara keseluruhannya di bawah RMK-9, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM174.34 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) bagi kategori sekolah kerajaan bantuan penuh. Jumlah itu tidak termasuk peruntukan lain yang diberikan bagi tujuan menambah baik keadaan sekolah Cina.

Justeru, di mana kebenaran dakwaan sekolah Cina dipinggirkan oleh kerajaan? Negara sebenarnya tidak memerlukan pembangkang untuk memperjuangkan kebajikan sekolah-sekolah Cina. Sebaliknya dasar pendidikan negara selama ini sudah cukup dan secara konsisten telah membantu perkembangan sekolah-sekolah aliran tersebut.

Memandangkan tuduhan yang dibuat bermotifkan politik, maka isu ini akan sentiasa dibangkitkan dalam konteks menafikan peranan kerajaan. Kerana itu juga, barangkali sudah tiba masanya untuk kerajaan mengambil langkah drastik menghentikan tohmahan yang tidak berasas ini.

Antara yang difikirkan sesuai ialah memperluaskan konsep Sekolah Wawasan yang mengintegrasikan tiga aliran sekolah dalam satu kawasan. Sementelah ramai pastinya bersetuju, sebarang tindakan untuk memperkembangkan sekolah berasaskan kaum hanya akan mewujudkan pelbagai sistem dalam pendidikan. Ia bukanlah sesuatu yang baik kepada negara.

Perkara yang sama turut ditekankan oleh pensyarah di Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Mohamad Md. Yusof.

Menurut beliau, konsep Sekolah Wawasan wajar diperkasakan selagi kita mahu sistem pendidikan berteraskan dasar pendidikan kebangsaan dimartabatkan. Katanya, kepelbagaian sistem pendidikan pelbagai aliran tidak wajar diagungkan tanpa melihat implikasinya terhadap integrasi nasional dan perpaduan kaum.

Justeru, sewajarnya sistem pendidikan dilaksanakan berteraskan dasar pendidikan kebangsaan dengan meletakkan sekolah jenis kebangsaan di bawah Sekolah Wawasan. "Jika tidak, soal perpaduan kaum akan menjadi hambatan besar akibat sistem aliran pendidikan yang tidak menyemai semangat Satu Malaysia. Bahkan ia boleh membawa isu persepsi yang berbeza dan tidak selaras dengan Wawasan 2020," katanya.

Dalam melihat cadangan kerajaan perpaduan antara UMNO dan Pas pula, satu artikel lain di dalam sebuah akhbar berbahasa Cina melahirkan kebimbangan ia akan mendorong kepada kuasa kebangsaan orang Melayu.

Juga kebangkitan kuasa Islam di negara ini. Artikel itu memetik jurucakap MCA pusat Lee Wei Kiat, yang antara lain menyebut parti komponen itu membantah kerjasama tersebut. Ini kerana ia dibimbangi akan menyisihkan orang bukan Melayu.

Ada yang lebih keras mencadangkan MCA keluar sahaja daripada BN memandangkan parti itu langsung tidak dirujuk dalam cadangan kerajaan perpaduan itu. Dari sudut mana sekali pun, kerjasama UMNO-Pas tidak sewajarnya dilihat sebagai ancaman kepada mana-mana kaum.

Apa yang ingin dicapai menerusi kerjasama itu ialah kesepakatan dalam mencari penyelesaian mengenai kemelut membabitkan orang Melayu. Isu-isu seperti permasalahan agama, pengukuhan ekonomi Bumiputera, kebejatan sosial dan banyak lagi lebih mudah ditumpukan oleh pemimpin Melayu di bawah satu payung kesepakatan.

Idea kerjasama itu juga bertujuan merapatkan orang Melayu merentasi perbezaan ideologi politik seterusnya duduk dalam satu ruang kompromi. Kaum lain perlu sedar, seandainya perpaduan antara Melayu rapuh, ia juga akan memberi kesan kepada kestabilan negara.

Ini kerana masyarakat Melayu merupakan kaum majoriti seterusnya menjadi tulang belakang kepada perpaduan negara.

Dalam erti kata yang lain, perpaduan yang utuh di kalangan Melayu juga menguntungkan kaum-kaum lain. Lalu mengapa mesti berasa curiga? Menarik untuk disentuh dalam isu yang dibangkitkan oleh akhbar Cina sepanjang minggu lalu juga ialah mengenai jejak pendapat yang dimuatkan dalam blog Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Tinjauan pendapat itu antara lain menanyakan, "Adakah Perlu MCA Keluar BN?"

Keseluruhan kandungan artikel itu menjurus kepada kecenderungan supaya MCA keluar daripada BN. Antara kewajaran yang diberikan ialah melihat kepada riak perhubungan UMNO-MCA yang dikatakan tidak sepadan sehingga menyebabkan pemimpin MCA sukar untuk berkompromi.

Sikap tidak berubah UMNO terhadap MCA juga menimbulkan makin banyak bahaya kepada parti itu. MCA juga dikatakan tidak memainkan peranan sebagai parti senior dalam kerajaan BN meskipun diiktiraf sebagai parti komponen kanan. Kemuncak cadangan supaya MCA keluar daripada BN ialah sebagai tanda bantahan terhadap idea kerjasama UMNO-Pas yang didakwa tidak mengambil kira persetujuan parti komponen berkenaan.

Tidak banyak yang boleh diperkatakan mengenai isu ini melainkan rasa malu terhadap MCA yang masih sanggup berkira-kira dengan kedudukan mereka dalam BN selepas prestasi buruk pada pilihan raya lalu.

UMNO sendiri tidak pernah menghukum MCA di sebalik kegagalan parti itu menarik pengundi Cina. Malah masih bersedia membuka pintu untuk MCA terus menjadi sayap utama dalam BN. Jika difikirkan, parti komponen lain yang selayaknya mempersoalkan kedudukan MCA dalam BN yang secara jelas ditolak oleh masyarakat Cina.

Tetapi mengenangkan sejarah kerjasama dan sumbangan MCA sepanjang berada dalam barisan kerajaan, maka perkara itu dipendam atas semangat setia kawan. Justeru, mengapa harus MCA menghukum diri sendiri? Nah, sekarang undian menunjukkan lebih separuh (75 peratus) pelayar blog itu merasakan MCA wajar keluar daripada BN. Lalu apa tindakan MCA seterusnya? Bertindak keluar parti, atau bagaimana?

Biar apa pun tujuan di sebalik tinjauan pendapat itu, ia langsung tidak membantu memperkasakan kembali BN yang dalam keadaan sakit ketika ini.

Alangkah baiknya jika MCA membuat tinjauan pendapat bagaimana parti itu dapat mengembalikan semula kepercayaan masyarakat Cina. Namun, pensyarah di Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Malaya (UM), Dr. Noor Sulastry Yurni Ahmad melihat isu itu dari sudut berbeza.

Menurut beliau, parti komponen lain tidak seharusnya cepat melatah dengan tinjauan pendapat berkenaan. Sebaliknya mereka perlu bersemuka dan berbincang untuk mengatasi segala masalah yang timbul bagi mencari jalan keluar daripada kemelut tersebut.

Propaganda sebegitu ujar Noor Sulastry, adalah sesuatu yang lumrah dalam BN dan sudah kedengaran sewaktu dalam Pakatan lagi. Keterujaan parti komponen lain menanggapi isu itu dari sudut negatif hanya memberi kelebihan kepada pembangkang.

UMNO sebagai rakan baik dan abang besar kepada parti komponen di dalam BN seharusnya memberi semangat untuk MCA bangkit daripada kegagalan lalu.

''Ini juga adalah peluang untuk menjelaskan kepada orang Cina bahawa MCA berusaha untuk memperbaiki kedudukan mereka dan bukan seperti lembu yang dicucuk hidungnya," jelas beliau.

Selasa, 16 Jun 2009

Ingat sebelum kena!!!!

Penjawat awam dilarang guna capaian terus internet

Berita Harian Online

KUALA LUMPUR:, 16 Jun (Bernama) -- Penjawat awam dilarang menggunakan kemudahan modem untuk membuat capaian terus ke internet kerana ia melanggar Garis Panduan Mengenai Tatacara Penggunaan Internet dan Mel Elektronik di agensi-agensi kerajaan, kata Datuk Seri Najib Razak.

"Garis panduan itu yang dikeluarkan pada 2003, adalah sebagai panduan kepada penjawat awam dalam penggunaan Internet," kata Perdana Menteri dalam jawapan bertulis kepada soalan Teresa Kok (DAP-Seputeh) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Najib berkata, aktiviti lain yang melanggar tatacara pengguna internet di pejabat kerajaan termasuk menyedia, memuat naik, memuat turun dan menyimpan gambar, lagu atau teks yang bercorak penentangan yang boleh membawa keadaan huru-hara dan menakutkan pengguna Internet yang lain.

Katanya, penjawat awam juga dilarang menyalahgunakan kemudahan perbincangan awam secara dalam talian seperti newsgroup dan bulletin board, menggunakan kemudahan "chatting" melalui internet, menggunakan kemudahan internet untuk tujuan peribadi dan menjalankan aktiviti komersil dan politik.

Najib berkata, kerajaan juga sudah menyekat beberapa laman web dan blog yang berunsur lucah serta berunsur hasutan manakala beberapa laman web dan blog yang sedang dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetapi masih belum dikenakan tindakan larangan melayari.

Beliau berkata, sehingga kini sembilan orang sudah dikenakan tindakan iaitu lapan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan satu oleh PDRM.

Penyalahgunaan Kuasa Media

Media Barat kecewa Ahmadinejad menang

KEMENANGAN besar Mahmoud Ahmadinejad yang dilantik semula sebagai Presiden Iran nampaknya tidak disukai Barat. Malah banyak fitnah disebarkan oleh media Barat berhubung dengan perjalanan pilihan raya yang didakwa sebagai tidak bersih dan penuh dengan penipuan.

Tujuan media Barat ialah menabur fitnah dan keraguan di kalangan masyarakat antarabangsa mengenai ketulusan pilihan raya tersebut. Sebagai contohnya, Bill Schneider, penganalisis politik kanan CNN dalam liputannya menyoal kesahihan kerajaan Iran!

Walaupun mungkin terdapat beberapa penipuan semasa proses pilihan raya, tetapi media Barat tidak berhak mempertikaikan kesahihan keseluruhan kerajaan Iran. Bagaimanakah jika kita pula mempertikaikan keseluruhan kabinet dan kerajaan Amerika Syarikat (AS) pimpinan Presiden Barack Obama!

Nampaknya kempen Kesatuan Eropah dan AS yang menabur fitnah ke atas kemenangan Hamas dalam pilihan raya Palestin akan menjalar ke Iran pula.

Sebagaimana mereka tidak menerima hakikat kemenangan Hamas dan kekalahan Fatah, mereka tidak dapat menerima kenyataan kemenangan Ahmadinejad dalam suatu proses pengundian demokrasi.

Laporan-laporan cetek yang sekadar memaparkan demonstrasi, kebakaran sampah dan tayar di jalan-jalan raya Teheran oleh penyokong reformasi yang kecewa di atas kekalahan calon mereka tidak mewakili keseluruhan pengundian rakyat Iran.

Media AS dan Barat telah membesar-besarkan peristiwa tersebut dan tindakan polis ke atas perusuh. Laporan lintas langsung wartawan BBC, John Simpson membesarkan kejadian dengan menyebut, adakah apa yang beliau lihat sekarang merupakan awal kepada revolusi menentang rejim memerintah - daripada perusuh sekitar 3,000 orang itu.

Terdapat laporan bahawa 100 orang ditahan termasuk 10 orang pemimpin dua kumpulan yang mendukungi Mir Hussein Mousavi. Pada satu ketika dilaporkan Mousavi telah ditahan tetapi dinafikan isterinya.

Para pengawai pilihan raya mengisytiharkan Ahmadinejad meraih 62.6 peratus undi hampir dua kali ganda daripada Mousavi yang mendapat 33.75 peratus undi.

Perkataan reformis atau pembaharuan yang diletakkan kepada Mousavi oleh media Barat, seorang calon yang mencabar Ahmadinejad tidak bererti beliau akan pro-Barat atau menjadi boneka Barat.

Ini juga tidak bermakna Mousavi akan menghentikan program nuklear Iran dan tunduk kepada AS dan Israel dalam semua dasar jika menang jawatan presiden. Apakah maksud reformis kepada media Barat dan kepada rakyat Iran.

Reformasi kepada warga Iran atau kepada Mousavi sendiri bermakna membaiki ekonomi Iran dan bukan berada di bawah telunjuk Barat.

Mungkin para penyokong Iran bertindak di luar batasan adalah kerana kekalahan teruk calon mereka bahkan Mousavi telah meminta penyokong bertenang tetapi corak pemaparan media Barat seolah-olah menunjukkan Mousavi adalah calon boneka Barat.

Media Barat juga tidak melaporkan cara hidup sederhana presiden Ahmadinejad yang serius menangani rasuah semasa menjadi Datuk Bandar Teheran dahulu.

Kekecewaan media Barat terutamanya AS dapat dilihat apabila AS enggan menerima kemenangan besar Ahmadinejad dalam pilihan raya Presiden Iran dan menyatakan yang ia akan menyiasat dakwaan berlakunya penipuan undi.

Sebarang harapan pentadbiran Presiden Obama untuk memperoleh keputusan serupa dengan pilihan raya Lebanon baru-baru ini yang dimenangi pakatan sederhana yang mendapat sokongan Barat, nampaknya tidak menjadi kenyataan.

"Kita sedang memantau situasi di Iran, namun kami, seperti mana semua pihak di seluruh dunia, sedang menunggu dan melihat keputusan rakyat Iran," kata Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton pada satu sidang akhbar bersama Menteri Luar Kanada, Lawrence Cannon.

Beberapa minit kemudian, White House mengeluarkan kenyataan dua baris ayat yang memuji 'perbincangan sihat dan minat yang tercetus daripada pilihan raya ini, terutamanya di kalangan golongan muda Iran', namun menyatakan kebimbangan mengenai 'beberapa perkara yang tidak kena'.

Ahmadinejad berkata, pemilihannya semula sebagai Presiden Iran adalah 'tulus dan bebas' dan tidak boleh dipertikaikan.

Ahmadinejad mengeluarkan kenyataan itu pada sidang akhbar pertamanya sejak kerajaan mengumumkan beliau dipilih semula menjadi Presiden untuk penggal yang kedua.

Beliau turut menuduh media luar melancarkan 'perang psikologi' menentang negaranya.

Penulis ialah pensyarah Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia.

Sabtu, 13 Jun 2009

Yer ker nie

Jumpa tengkorak di Marikh




GAMBAR dalam bulatan menunjukkan objek mirip tengkorak manusia yang ditemui di Planet Marikh.SYDNEY - Seorang pemerhati objek terbang yang tidak dikenali (UFO), Michael Middleton menjadi terkenal selepas dia mendakwa terdapat tengkorak dalam gambar planet Marikh yang dirakamkan oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) milik Amerika Syarikat (AS), lapor sebuah akhbar semalam.

Middleton menemui objek yang menakutkan itu dalam sekeping gambar yang dirakamkan oleh kapal angkasa kawalan jauh iaitu Spirit Space Robot milik NASA dan disiarkan di laman web agensi berkenaan baru-baru ini.

Penemuan itu berlaku selepas satu objek yang didakwa sebagai tengkorak makhluk asing dijumpai di permukaan Marikh baru-baru ini.

Warga Australia tersebut mendakwa tengkorak berwarna putih seperti tulang manusia itu kelihatan terserlah berbanding latar belakang permukaan planet itu. - Agensi


Komen : Macam dah di Photoshop kan jer... hehehehe

buku dah bertemu ruas

Raja Petra lesap tapi tinggalkan fitnah

Penulis blog, Raja Petra Raja Kamaruddin buat hal lagi. Dalam Polis Diraja Malaysia dan polis interpol sibuk menjejaki di mana dia menghilangkan diri, pengasas laman web Malaysia Today itu sempat menyiarkan klip video kononnya polis bertindak ganas ke atas seorang tahanan.

Sekarang terbukti bahawa klip video itu adalah palsu. Tetapi imej pasukan polis kita sudah tercemar.

Kalau baca komen-komen pengunjung Malaysia Today, mereka amat mempercayai apa yang didedahkan di dalam klip video itu. Bermacam-macam sumpah seranah dilemparkan terhadap pasukan polis.

Daripada satu sudut, Raja Petra nampak hebat dan berjaya membohongi peminat-peminat lamannya itu. Dia telah membangkitkan rasa marah orang ramai terhadap polis, walaupun video itu tidak benar.

Dengan tajuk klip video "Polis pukul perogol", ramai yang sudah ditipu 'hidup-hidup' oleh Raja Petra. Tanpa usul periksa kebenaran cerita dan sumber, orang buruan itu terus menyiarkan video kisah lebih daripada lima lelaki berpakaian putih dan berjaket hitam didakwa polis telah memukul dan menendang seorang lelaki yang disyaki perogol.

Alasan Raja Petra menyiarkan klip video itu kerana bosan dengan tuduhan melulu terhadap polis. Jadi dia berasa yakin klip video itu bukti keganasan polis.

Tetapi hakikatnya perbuatan dalam video itu tidak membabitkan polis kita. Seorang pengendali blog obefiend.blogspot.com telah mendedahkan hakikat yang sebenar. Menurut remaja itu, dia mendapat klip video itu di dalam You Tube. Pada 5 Jun lalu melalui e-mel, dia membohongi pihak Malaysia Today kononnya video miliknya itu gambar tentang kekejaman polis semasa penyiasatan. Tanpa usul periksa kesahihan video tersebut, mereka telah menyiarkan pada 6 Jun lalu.

Walaupun pengunjung lama web Malaysia Today telah ditipu tetapi remaja penipu itu juga telah mendedahkan perangai Raja Petra dan pasukan Malaysia Today sebagai kumpulan penipu dan penyebar fitnah.

Jelas ini satu lagi pembohongan daripada Raja Petra selepas beberapa siri penipuan yang ditulisnya di dalam Malaysia Today. Bertambahlah dokumentari dalam arkib penipuan Raja Petra.

Biasanya Raja Petra menulis bukan sebab suka-suka. Dia ada motif tertentu. Dia ada mesej tersirat yang mahu disebar kepada pembaca.

Selain daripada pemimpin UMNO dan anggota Kabinet, pasukan polis turut tercatat dalam senarai orang yang paling dibenci oleh Raja Petra.

Bukan suatu yang pelik, apabila dia menerima cerita buruk mengenai pemimpin Barisan Nasional, lebih-lebih lagi kes penyelewengan atau skandal, sepantas kilat dia akan menulis dan menyiarkan di dalam Malaysia Today.

Soal betul atau salah cerita yang disiarkannya, belakang kira. Baginya mungkin masyarakat sekarang tak suka baca cerita benar, tetapi cerita sensasi.

Atas minat pembaca sebegini, membuka peluang Raja Petra mengajak orang ramai menghentam polis.

Raja Petra dalam tulisannya mendakwa beginilah cara polis Malaysia mendapatkan pengakuan melalui soal siasat tahanan yang tidak mengaku bersalah.

Mungkin motif siaran klip video itu ada kaitan dengan kes pengakuan bersalah anaknya, Raja Azman Raja Petra di Mahkamah Majistret Shah Alam atas empat pertuduhan mencuri dan memiliki motosikal curi serta melakukan pecah rumah.

Terpulang kepada rasa hati pembaca terhadap tulisan Raja Petra. Dia pandai mereka-reka cerita karut untuk mengajak pembaca mempercayai tulisannya. Dia pintar memesongkan pembaca daripada fakta sebenar. Cerita sensasinya biasanya menggambarkan apa yang berlaku ada kaitan dengan konspirasi politik.

Apa pun, pengendali laman web itu sudah banyak membuat fitnah. Fitnah adalah tergolong perbuatan dosa besar.

Pelbagai fitnah dibuat oleh Raja Petra terhadap orang politik, ahli akademik, hakim, pegawai polis dan orang yang tidak disukainya.

Ada kala, dia tersalah pilih orang untuk dijadikan bahan kutukannya. Sebab itu dia diperintah membayar saman bernilai berjuta ringgit apabila pihak dikutuk berjaya dalam kes saman di mahkamah.

Betul kata pepatah lama, "berani buat, berani tanggung." Kini beberapa kes saman di mahkamah sedang menunggu kehadirannya.

Dua waran tangkap telah dikenakan terhadap Raja Petra selepas dia gagal menghadirkan diri di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 23 April dan 26 Mei lalu.

Mulai hari ini, hati-hati membaca Malaysia Today. Ke mana lesapnya Raja Petra?

Jumaat, 12 Jun 2009

Memahami kesan pemanasan global, perubahan iklim

Oleh Rozali Ismail

Sumber : Berita Harian

Hari Alam Sekitar Sedunia juga adalah hari di mana kita semua berfikir sejenak antaranya mengenai isu kemiskinan, pertambahan penduduk, pembangunan ekonomi, pencemaran serta perancangan untuk masa depan. Semua isu ini bukan hanya berkait antara satu sama lain, tetapi juga adalah komponen utama pembentukan konsep pembangunan lestari dan mapan yang mana menjadi objektif sejagat dewasa ini.

Justeru, sambutan ini juga sebagai tanda terima kasih kita kepada anugerah alam yang memberi tempat untuk hidupan semua. Hari ini juga seharusnya memupuk kita memberi tumpuan dan tenaga secara bersama dalam memulihara alam sekitar supaya dunia ini sentiasa bersih dan hijau.

PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan Hari Alam Sekitar Sedunia sebagai ‘hari untuk semua’ dan pelbagai aktiviti diadakan di serata dunia meliputi perarakan, pertunjukan, konsert hingga kepada penanaman pokok, kitar semula dan gotong-royong membersih kawasan semuanya untuk memupuk kesedaran dan fokus kepada isu alam sekitar.
Walaupun sudah agak lama Hari Alam Sekitar Sedunia ini diraikan, iaitu sejak 1972 masih banyak perlu dilakukan. Di seluruh dunia, pelepasan karbon hasil daripada pembakaran bahan api meningkat dengan pantas dan saintis merumuskan bahawa dunia mengalami kenaikan paras air laut, kecairan glasier serta ribut, kemarau dan banjir yang ekstrem ekoran pemanasan global.

Gesaan supaya tahap pelepasan karbon global diturunkan sebanyak 50 peratus daripada paras pada 1990 menjelang 2050. Namun banyak negara percaya ianya harus dikurangkan lebih lagi, iaitu 80 peratus bagi tempoh sama untuk kestabilan tahap CO2 dalam udara bagi pengurangan pemanasan global.

Kita mungkin melakukan yang terbaik dalam memperbaiki dan memulihara alam sekitar yang rapuh ini, tetapi masih belum berjaya dalam mengekang pemusnahan alam sekitar, begitu juga mencari jalan ke arah pembangunan lestari dan mapan.

Tema ‘Dunia Memerlukan Kita - Bersatu Mengawal Perubahan Iklim’ atau dalam bahasa Inggerisnya ‘Your Planet Needs You - Unite to Combat Climate Change’ memang bertepatan sekali, menyarankan bahawa peningkatan suhu purata dunia menyebabkan kesan ketara ke atas bekalan air, ekosistem, makanan, susur pantai dan kesihatan sejagat.

Kita seharusnya memperkuatkan komitmen untuk menangani isu alam sekitar seperti memberi kuasa kepada warga semua menjadi ejen pengawasan pembangunan, mempromosi kefahaman bahawa masyarakat memainkan peranan utama dalam pemuliharaan alam sekitar serta membentuk satu perkongsian yang memupuk ke arah pengekalan alam sekitar lestari untuk generasi akan datang.

Sesungguhnya amat susah untuk memulihara dan menilai alam sekitar tanpa mengira elemen pemusnahannya. Saban tahun, jumlah pencemaran kilang menyebabkan penurunan kualiti air. Sekurang-kurangnya 70,000 jenis bahan kimia digunakan di seluruh dunia dan di antara 200 hingga 400 jenis bahan toksik mencemari sungai dan terusan di seluruh dunia. Dianggarkan juga 1,000 jenis bahan kimia baru diperkenalkan setiap tahun! Masalah pencemaran air menjadi ketara dengan pembuangan sisa pertanian dan keadaan ini adalah antara punca pencemaran air di kebanyakan negara.

Semua sedia maklum bahawa kekurangan air bersih adalah akibat pencemaran, lebih guna dan pengurusan yang lemah, sekali gus menyebabkan pengurangan kuantiti dan kualiti air sedia ada.

Di Asia, adalah penempatan bagi lebih separuh penduduk dunia, dijangka menghadapi masalah kekurangan air bersih berikutan pembangunan bandar dan pertambahan penduduk. Catatan juga menunjukkan bahawa sumber bekalan air bersih menyusut lebih pantas daripada penambahannya. Seumpamanya penggunaan air sebanyak 3,920 meter padu air setahun memberi tekanan ketara kepada sumber air bersih.

Anggaran pertambahan penduduk seramai 500 juta orang di Asia dalam tempoh 10 tahun akan menyebabkan peningkatan kepada penggunaan air. Ditambah lagi dengan kesan perubahan iklim, pakar bersetuju bahawa pengurangan had pencapaian kepada air bersih boleh menjurus kepada kepincangan pengeluaran makanan, kehilangan nyawa, migrasi sempadan dan peningkatan ketidakstabilan ekonomi serta geopolitikal. Keadaan keselamatan di kawasan ini sudah tentu tergugat berikutan semua masalah ini.

Dari sudut teknologi, kerajaan dan industri air mempunyai peluang yang besar dalam penggunaan teknologi sedia ada serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) ke arah pembangunan lestari. Pencapaian dalam bidang analisis kimia untuk perawatan air sebagai contohnya, sudah mendatangkan hasil untuk perawatan sungai dan tasik di negara maju. Penemuan teknologi baru juga berjaya menghasilkan sumber baru daripada sisa terpakai, seterusnya menyumbang kepada kitaran alam sekitar yang lestari.

Memahami semua masalah dan akibat daripada perubahan iklim mestilah dilihat secara global. Oleh itu, penyelesaian yang ada memerlukan penduduk dunia berganding bahu dalam memastikan aktiviti yang dilakukan lebih mesra alam dan mampu menyediakan persekitaran yang lestari dan mapan untuk generasi akan datang.

Tan Sri Rozali Ismail ialah Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Berhad

bangga tak??

DATUK Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Naim Nasir (empat dari kiri) bersama Pengurus Besar Majlis Tindakan Pelancongan Johor, A Jabar Md Tahir bergambar bersama kereta 'Jealous Ahura - Mazda RX7' yang telah diubahsuai dari segi reka ciptanya oleh anak Johor yang akan diberikan pengiktirafan oleh 'House Of Kolor' sebagai 'The 6th Best Car in The World' di Sydney Australia. Kereta ini akan menyertai pameran Permotoran Antarabangsa Meguir's Motor Ex, Sydney, Australia pada 10-15 Julai 2009. - Foto NSTP
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...