Rabu, 29 Julai 2009

Sedihnyer.... aduhai

Musim terakhir BMW sertai Formula Satu

29/07/2009 5:42pm

BERLIN 29 Julai - Pembuat kereta Jerman, BMW hari ini mengumumkan untuk tidak lagi menyertai perlumbaan Formula Satu sebaik sahaja musim ini berakhir.

"Kumpulan BMW tidak akan meneruskan perlumbaan Formula Satu selepas berakhir musim 2009," kata pasukan itu dalam satu kenyataan.

Keputusan itu adalah hasil "strategik baru hala tuju perniagaan kami," kata pengerusi dan CEO BMW Norbert Reithofer.

"Ia sebagai langkah bagi kami menumpukan kepada pembangunan teknologi pemanduan yang baru dan projek-projek berkaitan ketahanan," kata kenyataan itu.

"BMW akan meneruskan aktiviti sukan permotoran yang lain."

Para pemandu BMW Nick Heidfeld dan Robert Kubica hanya memperoleh lapan mata di kalangan mereka musim ini dana meletakkan pasukan itu di tempat tercorot dalam kategori pengeluar.

Isnin, 27 Julai 2009

GP Hungary

Akhirnya Hamilton menang

BUDAPEST, Hungary - Pelumba McLaren, Lewis Hamilton mengecapi kembali nikmat sebagai juara apabila meraih kemenangan pertamanya musim ini pada Grand Prix Hungary, semalam.

Juara dunia dan bertahan itu menamatkan kemarau 11 perlumbaan tanpa kemenangan dan menaiki podium menerusi pemanduan cukup meyakinkan.

Tanpa pelumba Ferrari, Felipe Massa yang sering menjadi musuh ketatnya, Hamilton turut bernasib baik apabila dibantu insiden tayar depan kereta pelumba petak depan, Fernando Alonso yang tercabut di awal saingan.

Berbanding Massa yang retak tulang tengkorak selepas terlibat dalam kemalangan pada sesi kelayakan kelmarin, Alonso tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi terpaksa melupakan terus saingan.

Kali terakhir Hamilton muncul juara ialah pada GP China tahun lalu.

Berada di tempat kedua adalah rakan sepasukan Massa, Kimi Raikkonen manakala pelumba Red Bull, Mark Webber ketiga.

Kejayaan Webber menaiki podium itu membolehkannya kini berada di tempat kedua keseluruhan di belakang Jenson Button yang masih kekal sebagai pendahulu walaupun menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh, semalam.

Ia turut dibantu masalah enjin yang dihadapi rakan sepasukan Webber, Sebastien Vettel yang sebelum ini berada di belakang Button dalam kedudukan pelumba keseluruhan.

Mengulas kejayaannya, Hamilton berkata, dia sedih dengan nasib yang menimpa Massa walaupun gembira dengan kemenangan itu.

"Kami memang baik dan tanpanya, keadaan tidak sama ketika kami sama-sama bersaing. Saya harap dia cepat sembuh," kata Hamilton.

Button (70 mata) yang mewakil pasukan Brawn GP kini mendahului Webber (51.5) dengan 18.5 mata diikuti Vettel (47). - AP

Jumaat, 24 Julai 2009

Ingatan terutama kepada diri sendiri

Juruteknik ceroboh komputer pelanggan


SEBUAH kamera tersembunyi merakamkan imej seorang juruteknik cuba mendapatkan maklumat akaun bank yang menjadi pemilik komputer yang dihantar untuk dibaiki di sebuah kedai komputer di London.


LONDON - Pekerja-pekerja syarikat membaiki komputer didapati membuka sejumlah fail peribadi malah ada yang cuba menggodam akaun bank pelanggan, lapor sebuah akhbar

Dalam satu siasatan, wartawan televisyen Sky News menghantar sebuah komputer riba ke enam buah syarikat bagi membaiki komputer di sekitar London,

Komputer riba itu turut dipasang perisian yang mampu merekodkan aktiviti juruteknik yang membaikinya selain dilengkapi kamera tersembunyi.

Kejadian paling serius melibatkan syarikat Laptop Revival di Hammersmith.

Jurutera di syarikat tersebut, mendakwa komputer riba itu memerlukan papan induk yang berharga £130 (RM758).

Beberapa juruteknik lain cuba memasuki akaun bank Internet milik pelanggan dan mencuri sejumlah kata laluan.

Seorang lagi juruteknik cuba membuka fail dalam cakera keras termasuk gambar-gambar peribadi sebelum menyimpan satu salinan dalam cakera mudah alih.

Seorang juruteknik PC World di Brentford pula memberitahu wartawan penyiasat bahawa komputer itu memerlukan papan induk baru yang berharga £230 (RM1,340).

Namun apabila ia diambil, hanya cip memori yang tidak rosak telah diganti.

terdapat sebuah kedai yang benar-benar jujur iaitu syarikat Pix 4 di Shepherd's Bush.

Syarikat itu memasukkan cip yang longgar dan ia dilakukan dengan percuma.

"Ini isu besar mengenai kepercayaan. Jika anda mahir dalam komputer maka anda tidak akan menyerahkannya untuk dibaiki. Mereka tahu semua itu," kata jurucakap Institut Piawaian Perdagangan, Richard Webb. - Agensi

- sumber Kosmo

Amalan bercanggah syariat

Timbul kemusykilan yang membawa kepada keraguan, adakah majlis menyalakan lilin bagi memperingati kematian Teoh Beng Hock di Ipoh, Jumaat minggu lalu yang turut disertai oleh Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai suatu upacara rasmi amalan bukan Islam atau sekadar amalan taaruf (perhubungan kemasyarakatan sahaja).

Apa pun dari sisi akidah Islam, sesungguhnya amalan memohon 'keampunan' bagi pihak bukan Islam itu jelas dilarang keras seperti mana firman Allah yang bermaksud: Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang yang beriman bersamanya untuk memohon keampunan bagi orang musyrik sekalipun kaum kerabat sendiri. (at-Taubah: 113)

Begitu juga amalan dalam upacara ibadat atau pemakaian alat rasmi agama lain seperti salib dan tali pinggang paderi, semuanya dilarang kepada umat Islam daripada memakai dan menirunya dengan rela hati dan berlapang dada.

Amalan upacara tersebut boleh dilakukan dengan bebas hanya dalam kalangan dan di kawasan mereka sahaja serta dilarang diamalkan oleh orang Islam terutama di negara yang agama rasminya ialah Islam seperti Malaysia.

Oleh demikian, dikira haram (salah) bagi umat Islam yang tahu dan sedar untuk mengikuti upacara tersebut, melainkan kerana terpaksa atau tanpa disedari.

Dalam hal ini, Allah berfirman yang bermaksud: Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab Allah) melainkan mereka yang dipaksa (melakukan kerja-kerja kekufuran tersebut), sedangkan hatinya masih tetap dengan iman, tetapi sesiapa yang lapang hatinya dengan kekufuran itu, maka atasnya kemurkaan Allah dan untuk mereka azab seksa yang amat besar.

(al-Nahl:106)

Berdasarkan andaian inilah boleh difahami mengenai penghormatan yang diberi oleh Rasulullah SAW kepada jenazah seorang Yahudi yang diusung lalu di hadapan baginda, lalu baginda bangun memberi penghormatan kepadanya.

Para sahabat bertanya, adakah penghormatan tersebut harus diberikan juga kepada jenazah orang Yahudi. Lalu baginda bersabda, "Bukankah dia juga manusia (hamba Allah)." Jadi kita harus menghormati dan menyayangi setiap kejadian Allah (hamba- Nya) semata-mata, bukan kerana fahaman atau anutan agamanya.

Umat Islam yang diakui sebaik-baik umat sepatutnya dapat menjadi contoh ikutan dan teladan yang baik terutama daripada kalangan mereka yang dilantik sebagai pemimpin untuk dicontohi oleh masyarakat.

Mereka harus menjaga diri masing-masing dan jangan sekali-kali terlibat dengan amalan yang boleh meragukan dan mengelirukan orang ramai. Sehubungan ini, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Tinggallah apa yang meragukan kamu kepada apa yang tidak meragukan."

Untuk peringatan umat Islam, Rasulullah SAW pernah mengingatkan kita agar tidak hanyut dan menjadi 'pak turut' seperti mana sabda baginda yang bermaksud: "Jangan kamu jadi pak turut yang bersikap "aku bersama-sama orang ramai; kalau mereka baik, baiklah aku, kalau mereka tidak baik, aku juga tidak baik," malahan hendaklah kamu cekalkan hati kamu kalau orang ramai baik, "aku akan mengikut jejak mereka, "kalau mereka tidak baik, aku akan menjauhi kejahatan mereka." (Riwayat Tirmizi)

Biasanya kejadian tersebut dilakukan untuk mencari sokongan dan populariti. Bagaimanapun, kita harus sedar bahawa Rasulullah SAW pernah mengingatkan melalui hadis baginda yang bermaksud: Sesiapa yang menyebabkan kemurkaan Allah kerana hendak mengambil hati manusia nescaya dimurkai Allah ke atasnya dan menjadikan orang yang hendak diambil hatinya, menjadi marah kepadanya dan sesiapa yang menyebabkan keredaan Allah kerana menyebabkan kemarahan manusia kepadanya nescaya dia diredai Allah dan menjadikan hati orang yang marah kepadanya itu tadi bertukar menjadi sayang dan menyukainya. (Riwayat Tabrani)

Ada pun amalan upacara kemasyarakatan untuk merapatkan perhubungan dan mengeratkan perpaduan antara manusia sejagat, maka ia digalakkan. Ini berdasarkan firman-Nya bermaksud: Wahai manusia! Kami jadikan kamu daripada lelaki dan wanita dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak untuk kamu saling kenal-mengenal, sesungguhnya yang paling mulia daripada kamu ialah yang orang paling bertakwa daripada kalangan kamu. (al-Hujuraat: 13)

Dalam hubungan kerjasama dan kemasyarakatan dengan bukan Islam, tidak ada larangan agama mengenainya, malahan ia digalakkan berdasarkan firman-Nya yang bermaksud: Allah tidak melarang kamu terhadap orang kafir yang tidak memerangi kamu dalam agama dan tidak mengusir kamu dari kampung halaman kamu untuk kamu berbuat baik kepada mereka dan berlaku adil kepada mereka. Sesungguhnya Allah kasih akan orang yang berlaku adil (saksama). (al-Mumtahanah: 8)

Apa yang dilarang itu hanyalah menyerah kesetiaan dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada mereka yang memerangi dan memusuhi umat Islam sebagai mana yang dijelaskan Allah dalam firman-Nya bermaksud: Sesungguhnya Allah melarang kamu terhadap bukan Islam yang memerangi kamu dalam agama dan telah mengusirkan kamu dari negara kamu, dan bekerjasama mengusir kamu untuk memberi kesetiaan dan kuasa kepada mereka. (al-Mumtahanah: 9)

Sesungguhnya, kita kadang kala meremehkan perilaku meragukan yang muncul daripada dalam diri kita demi mengejar sesuatu yang sama ada disedari atau tidak sebagai sesuatu yang sementara dan tidak kurang pula bersifat fatamorgana.

Demi memenuhi bisikan naluri, kita tergamak melakukan sesuatu yang 'membimbangkan' masyarakat, khususnya di kalangan orang Islam. Dan lebih parah jika kita sanggup 'membelakangkan' agama, semata-mata mengejar sesuatu yang entah apa-apa.

PENULIS ialah Pengurus Penyelidikan,
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

- sumber Utusan Malaysia

Kata Nizar pula

Nizar nafi hadiri upacara nyala lilin

IPOH 23 Julai - Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menafikan beliau menghadiri upacara menyalakan lilin bagi memperingati Teoh Beng Hock di sini pada Jumaat lalu dan mendakwa Utusan Malaysia menyiarkan laporan yang salah.

Sebaliknya, bekas Menteri Besar Perak itu menegaskan, beliau hanya menghadiri sidang akhbar mengenai majlis menyalakan lilin anjuran DAP.

Ekoran itu, katanya, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib memberikan komen atas laporan berita yang salah.

''Dia (Harun) baca Utusan Malaysia yang lapor tidak betul, jadi dia komen atas laporan yang salah. Dengar betul-betul, saya tidak kata dia buat komen yang salah tetapi buat komen atas laporan yang salah.

''Saya tidak hadir upacara pemasangan lilin itu tetapi saya cuma hadir sidang akhbar mengenai pemasangan lilin itu dan gambar yang disiarkan adalah semasa sidang akhbar tersebut di pejabat DAP," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohammad Nizar mengulas kenyataan Harun bahawa beliau tidak sepatutnya hadir pada majlis tersebut kerana sifatnya yang meragukan seperti laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini.

Selain kenyataan Harun, Utusan Malaysia turut menyiarkan gambar Mohammad Nizar berdiri di sebelah Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham sambil memegang lilin.

Malah kata Harun, Pas sendiri telah membuat garis panduan bahawa majlis-majlis yang meragukan tidak harus dihadiri para pemimpin serta ahli parti itu.

Pada masa sama, Harussani pula menyifatkan tindakan memegang lilin oleh masyarakat Islam sebagai tanda memprotes dan mengingati orang mati adalah haram di sisi agama kerana ia menyerupai ajaran Kristian.

Mengulas lanjut, Mohammad Nizar yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, beliau tidak menyalahkan Harun, Zambry mahupun Harussani kerana membuat komen terhadapnya itu.

''Bukan salah Zambry, Mufti Perak, Dewan Ulama Pas dan bukan salah sesiapa pun yang membuat komen kerana Utusan Malaysia buat laporan fitnah.

''Saya cuma kasihan kepada mereka kerana membuat komen atas laporan berita yang tidak betul," katanya.

Mohammad Nizar berkata, pemberita yang melaporkan berita salah itu membuat fitnah besar dan beliau akan menuntutnya semasa di akhirat.

- sumber Utusan Malaysia

Komen Nik Aziz

Nik Aziz pertahan Nizar

KOTA BHARU 23 Julai - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan tindakan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyertai majlis menyalakan lilin bagi memperingati kematian Teoh Beng Hock walaupun Dewan Ulama Pas menyifatkannya sebagai meragukan.

Beliau yang menyifatkan isu itu sengaja diperbesar-besarkan menyerahkannya kepada Nizar jika ia berhubung kait dengan niat ketika menghadiri majlis tersebut.

''Dewan Ulama menyatakan meragukan, ia tidak serupa dengan haram kerana 'ragu' lain, 'haram' lain, kalau ditanya adalah bergantung dengan niat, biarkanlah (serah kepada Nizar).

''Saya sendiri kalau orang agama Hindu atau Cina jemput, saya tanya, ini agama atau adat resam, kalau agama saya tidak boleh pergi tetapi kalau adat resam saya boleh buat," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan 2009 di pekarangan Stadium Sultan Mohammad ke-IV di sini hari ini.

Dewan Ulama Pas menyifatkan majlis menyalakan lilin bagi memperingati kematian Beng Hock Jumaat lalu yang turut disertai oleh Mohammad Nizar sebagai meragukan.

Sehubungan itu ketuanya, Datuk Harun Taib berkata, Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak tersebut sepatutnya tidak hadir pada majlis berkenaan kerana sifatnya yang meragukan itu.

Nik Abdul Aziz menambah, berhubung majlis nyalaan lilin, beliau hairan apabila masalah itu diperbesarkan kerana telah ramai masyarakat pada hari ini meraikan majlis sambutan hari jadi dengan menyalakan lilin.

''Tiap-tiap tahun anak kita yang sekarang ini telah merebak, tahun pertama sebatang lilin dia hembus, tahun kedua, dua batang lilin dan seterusnya yang digunakan sebagai simbolik untuk sukatan umur.

''Sebelum ini sibuk mengatakan Cina dalam DAP baca al-Quran, sibuk kata haram. Saya jawab, Nabi Muhammad SAW tulis surat kepada raja-raja Mesir dan Iran guna ayat al-Quran dan bagaimana Nabi tulis surat kepada raja kafir begitu, tiba-tiba kita kata tidak boleh orang Cina baca ayat al-Quran, jadi semua ni benda-benda pelik," katanya.

Soal majlis nyalaan lilin itu dikatakan mempunyai hubung kait dengan kaum Majusi yang memuja api, beliau berkata, perkara tersebut diulas secara berlebihan.

''Kalau begitu kita naik motokar sekarang pun tidak boleh kerana itu dikaitkan dengan Inggeris, teruk benarlah tu. Sebab kalau hendak dikira, songkok yang Melayu banyak pakai ni, kalau pergi ke Bombay dan Madras, ramai Hindu yang pakai songkok dan asalnya dari sana.

''Jadi teruk jugalah kita, teruk kalau kita tidak mengikuti politik kerana dunia sekarang ini, pakaian dan makanannya saling kait mengait seluruh dunia dan kita juga guna Internet itu bukan orang Islam yang cipta tetapi orang Eropah," ujarnya.

Ditanya berhubung parti itu yang dikatakan telah mula menjalankan kempen sebagai persediaan kemungkinan menghadapi pilihan raya kecil di Galas, ekoran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Che Hashim Sulaima, 45, dilaporkan uzur, Nik Abdul Aziz berkata ia cuma 'perkara biasa'.

''ADUN tersebut memang sedang sakit dan pagi tadi telah berangkat ke China untuk mendapatkan rawatan dan kalau dikaitkan dengan kempen Pas di sana, Pas kalau tidak ceramah, nak buat kerja apa lagi," ujar beliau

Sementara itu ketika ditanya pandangannya berhubung tindakan seorang model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, bersetuju dan meminta hukuman enam sebatan yang dijatuhkan kepada oleh Mahkamah Tinggi syariah Kuantan, Pahang selepas mengaku bersalah meminum arak dipercepatkan beliau berkata, masyarakat sudah dapat menerima hukum hudud.

''Kami (Pas) telah siap hudud berapa tahun lalu, bila ada kesedaran, manusia semua hendakkan sebat, hendakkan kerat tangan sebab apa sahaja hukuman di dunia tak kena dengan Islam, di akhirat kena pula.

''Daripada kita kena bakar di akhirat lebih baik selesai atas muka dunia, ini puncanya timbul hudud. Tetapi sebab mantan Perdana Menteri melarang kami, kalau buat hudud juga ada jadi rusuhan," ujarnya

Khamis, 23 Julai 2009

Perhimpunan lilin apa tujuan sekalipun syirik - Pensyarah

KUALA LUMPUR 22 Julai - Pemimpin-pemimpin parti politik beragama Islam diingatkan supaya tidak menggadai kesucian agama serta akidah semata-mata mahu menarik sokongan masyarakat bukan Muslim.

Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan, Prof. Datuk Dr. Mohammad Yusoff Hussain berkata, tindakan mereka antaranya menyertai perhimpunan lilin bagi tujuan memperingati kematian, jelas merupakan salah satu upacara dalam agama Kristian.

Beliau berkata, pemimpin terbabit harus sedar bahawa penyertaan mereka dalam urusan agama lain boleh mencacatkan akidah dan jika itu yang berlaku, mereka wajib bertaubat.

"Saya bercakap bukan sebab Pas atau UMNO tetapi saya bercakap atas dasar hukum serta ketetapan dalam Islam. Sama ada mereka orang Pas atau UMNO jika mereka terlibat di dalam perhimpunan lilin, kesannya amat buruk.

"Saya bersetuju perbuatan ini boleh mencacatkan akidah atau dengan kata lain hukumnya syirik. Dalam perkara ini saya ingin membuat satu persoalan, adakah kita terlalu mengharapkan manfaat dunia yang bersifat sementara hingga sanggup menggadai agama sendiri,'' katanya di sini semalam.

Beliau mengulas trend menyalakan lilin oleh pihak tertentu bagi memperingati atau membantah satu-satu isu dan kebiasaannya ia dianjurkan oleh parti-parti politik.

Terbaru, Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Dr. Mohammad Nizar Jamaluddin menyertai majlis menyalakan lilin bagi memperingati kematian Setiausaha Politik kepada Exco Selangor, Teoh Beng Hock di Ipoh, Jumaat lepas.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir ketika mengulas isu tersebut meminta ulama dalam Pas mengeluarkan satu fatwa berhubung perbuatan yang dilakukan oleh Mohammad Nizar.

Dalam perkembangan sama Mohammad Yusoff yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan berkata, Islam tidak pernah melarang umatnya menziarah kematian yang melibatkan orang bukan Islam tetapi mereka tidak dibenarkan sama sekali terbabit dalam sebarang upacara berbentuk keagamaan.

"Kita perlu tahu membezakan antara urusan agama dan urusan masyarakat. Menziarah kematian orang bukan Islam adalah urusan masyarakat dan ia merupakan sesuatu yang amat digalakkan.

"Manakala perhimpunan lilin bagi tujuan memperingati kematian adalah urusan agama dan umat Islam dilarang keras daripada terlibat dengan upacara seperti itu,'' katanya lagi.

Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Paduka Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid pula menegaskan, umat Islam yang menyertai perhimpunan lilin bagi apa tujuan sekalipun telah melakukan syirik.

Beliau berkata, hukumnya jelas memandangkan perbuatan tersebut merupakan salah satu amalan dalam agama Kristian.

"Golongan pemimpin atau rakyat beragama Islam harus sedar bahawa tindakan mereka menyertai upacara seperti itu adalah sia-sia dan boleh mendatangkan mudarat terhadap pegangan iktikad seseorang.

"Saya bercakap dalam konteks hukum kerana akidah merupakan tunjang kepada keimanan dan keislaman seseorang. Apabila akidah rosak, iman dan Islam juga akan menjadi rosak,'' katanya.

Mahmood Zuhdi memberitahu, keadaan tersebut berpunca daripada amalan politik melampau yang sanggup mengetepikan soal agama serta prinsip-prinsip keimanan.

Sambil menyifatkan budaya itu sebagai politik rakus, beliau berkata, ia telah membuatkan syariat Islam yang sepatutnya menjadi panduan telah dilanggar begitu sahaja.

"Malang sekali dalam negara kita sekarang politik telah mempengaruhi semua aktiviti. Kita tumpukan soal politik hingga lupa kepada nilai-nilai keagamaan, lupa kepada batas-batas yang telah ditetapkan dalam agama,'' katanya.

-sumber Utusan Malaysia

UiTM Perak dan H1N1

UiTM Seri Iskandar tutup seminggu

IPOH 22 Julai - Kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar dekat sini ditutup selama seminggu selepas 280 pelajarnya disyaki menghidap penyakit selesema babi atau influenza A, H1N1.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, kampus berkenaan yang menempatkan seramai kira-kira 10,000 pelajar dan kakitangan wajar ditutup bagi mengelakkan virus berkenaan terus merebak.

''Pada mulanya, seramai 55 pelajar disyaki menghidap penyakit tersebut pada semalam tetapi kes itu telah meningkat dengan mendadak kepada 280 orang pada hari ini.

''Jadi kita tidak pilihan selain daripada menutup keseluruhan kampus tersebut dan semua yang terlibat dengan penyakit itu dikehendaki menjalani kuarantin di rumah," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hang Soon berkata, pihak Jabatan Kesihatan negeri telah mengambil sepuluh contoh daripada 280 pelajar terbabit dan keputusan mengenainya akan diketahui dalam tempoh terdekat.

Menurut beliau, kampus tersebut hanya akan dibuka semula pada 31 Julai selepas pihak Jabatan Kesihatan melakukan kerja-kerja pembersihan dan mencegah penyakit tersebut.

Katanya, pihak Kementerian Kesihatan juga sedang membuat siasatan lanjut kerana kes berkenaan dikatakan mempunyai kaitan dengan Kampus UiTM Lendu, Melaka dan Kampus UiTM Permatang Pauh, Pulau Pinang.

''Punca mengenai kes disyaki selesema babi itu masih disiasat dan kita akan tahu apa kaitan ketiga-tiga kampus UiTM tersebut menghadapi masalah yang sama.

''Walaupun kes ini didapati meningkat secara mendadak tetapi ia masih ditahap terkawal dan orang ramai tidak perlu bimbang, langkah yang kita ambil ini adalah untuk memastikan selesema babi tidak merebak," ujar beliau.

Dalam pada itu, Hang Soon berkata, penduduk di sekitar UiTM Seri Iskandar dinasihatkan mengambil langkah-langkah pencegahan seperti tidak pergi ke kawasan yang sesak dengan orang ramai serta menjaga kebersihan diri.

''Kalau ada yang terkena demam, batuk dan sesak nafas yang kuat mereka mesti segera mendapatkan rawatan segera di hospital berhampiran," katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, pelajar dan kakitangan universiti mula meninggalkan Kampus UiTM Seri Iskandar kira-kira pukul 3 petang.

Pada masa sama, pihak Jabatan Kesihatan juga dilihat mengedarkan topeng muka kepada pelajar dan kakitangan universiti tersebut bagi membendung penularan selesema babi.


Bukan hidap H1N1 tapi ILI

SERI ISKANDAR 22 Julai - Seramai 55 penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar di sini yang dikuarantin sejak semalam dilaporkan tidak menghidap selesema babi tetapi sejenis penyakit serupa Influenza (ILI).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, mereka dikuarantin sebelum ini bagi mengelak influenza ILI itu daripada merebak kepada 12,000 penuntut lain selain kepada kakitangan dan pensyarah di kampus berkenaan.

"Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri dan kakitangannya melawat kampus itu pagi ini untuk membuat siasatan dan menentukan prosedur bagi mengelak ianya merebak. Ia bukan Influenza A (H1N1)," katanya sini hari ini. - Bernama

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, pihaknya akan menghantar laporan mengenai kejadian itu kepada Kementerian Kesihatan untuk rekod. - BERNAMA

Rabu, 22 Julai 2009

Bas sedia batu-bata untuk kecemasan

BEIJING: Sebuah syarikat pengangkutan awam di China mengambil keputusan menyediakan kemudahan batu-bata dalam semua bas miliknya untuk digunakan bagi memecahkan tingkap ketika berlaku kecemasan.

Seorang jurucakap syarikat Harbin Public Transport, berkata batu-bata itu yang dicat kuning juga ditulis perkataan ‘Untuk Kecemasan,’ diletakkan di bawah tempat duduk pemandu dan penumpang bahagian tepi.

“Batu-bata itu mudah dikesan penumpang dan digunakan untuk memecahkan tingkap jika sesuatu berlaku,” katanya. - Agensi

KOMEN

Jangan salah guna sudah... hahaha... kang nayer jer ader kepala bocor kener tibai ngan bata tuh... hahaha..... tak dapat nak bayang.

Gerhana paling lama

PEMINAT astronomi pastinya gembira menyaksikan fenomena luar biasa gerhana mata hari yang berlaku hari ini.

Fenomena sekali dalam tempoh beratus-ratus tahun ini bagaimanapun hanya dinikmati oleh sebahagian penduduk dunia sahaja. Gerhana berkenaan hanya melintasi rantau India dan China sahaja.

Ia berbeza dengan gerhana matahari biasa seperti yang berlaku pada 26 Januari lalu. Ketika itu ia dapat dilihat oleh rakyat negara ini walaupun ia lebih jelas di selatan Sarawak yang terasa jalur gerhana tersebut.

Bagaimanapun sebahagian besar kawasan negara ini berada dalam keadaan gelap pada sebelah petang. Lebih 80 peratus permukaan matahari tidak dapat dilihat di Semenanjung sementara di Sabah dan Sarawak, kegelapan adalah 95 peratus.

Gerhana jenis ini digelar gerhana tahunan. Ia berlaku dalam jarak waktu yang pendek, seperti selang satu atau dua tahun, akan muncul gerhana jenis ini.

Apa yang akan berlaku pada pertengahan pagi ini ialah terjadinya gerhana yang agak lama berbanding dengan yang berlaku pada setiap tahun. Gerhana matahari bermakna situasi bulan berada di antara bumi dan matahari. Ketika itu bumi tidak dapat menerima sinarannya kerana saat itu bulan menghalang sinaran matahari sampai ke bumi. Gerhana akan berlaku apabila bayang matahari kelihatan selama 6 minit 39 saat mengikut kiraan ahli astronomi.

Gerhana matahari akan kelihatan saat fajar menyingsing di Teluk Khambhat, utara Mumbai, India. Kemudian bayangan gerhana akan bergerak ke arah timur menyeberangi kawasan India, Nepal, Myanmar, Bangladesh, Bhutan, dan China sebelum berakhir di Samudra Pasifik.

Gerhana ini juga akan melintasi beberapa pulau di wilayah selatan Jepun dan terlihat terakhir kali dari Pulau Nikumaroro yang terletak di Pasifik Selatan. Salah satu daerah yang paling baik untuk menyaksikan peristiwa ini adalah seluruh kota Shanghai dan pulau-pulau di bahagian selatan Jepun yang akan tertutup oleh kegelapan pada siang hari.

Sebelum ini gerhana total matahari pernah terjadi pada bulan Ogos 2008 tetapi tempohnya adalah selama 2 minit dan 27 saat.

Satu lagi peristiwa gerhana penuh di Malaysia akan berlaku pada 20 April 2042 dan hanya Sarawak dan tidak Malaysia Barat akan dapat melihatnya. Kemudian kita kena tunggu 40 tahun lagi selepas tahun 2042 untuk melihat gerhana penuh persisnya pada 24 Ogos 2082.

Itu sebabnya orang mengatakan hanya sekali dalam hayat hidup seseorang itu boleh melihat fenomema gerhana matahari total. Tetapi bagi gerhana total yang begitu lama seperti yang terjadi hari ini, akan berulang semula dalam tempoh beratus tahun lagi sebelum terjadi lintasan bulan antara bumi dan matahari.

Ramai peminat mencari tempat khas bagi menyaksikan fenomena alam semesta unik ini. Bagi para ilmuwan pula mereka akan mengesan data daripada gerhana matahari ini sebagai acuan untuk membantu menjelaskan apa-apa saja struktur dari matahari dan mengapa timbul ledakan di permukaannya. Para ahli astronomi berharap gerhana dapat menyingkap sejumlah petunjuk tentang matahari.

Sayang, kali ini gerhana matahari penuh dan lama ini tidak dapat dilihat sepenuhnya di Malaysia kerana sebahagian saja piringan matahari yang tertutup dek bayangan bulan.

Cuma 45 peratus akan diliputi pada pertengahan pagi. Jutaan rakyat India, China dan Hawaii akan bernasib baik menikmati jalur gerhana sepenuhnya yang berlaku pada abad ke-21 ini.

- sumber Utusan Malaysia


GERHANA matahari dilihat di barat daya China pada jam 9.16 pagi, hari ini. Rakyat Asia berpeluang menyaksikan gerhana matahari terpanjang pada abad ke-21. - Foto AP/Reuters

- sumber Berita Harian

Beng Hock dan Notebooknya

Selangor Oh Selangor 2: Apa ada dalam notebook Beng Hock?

Kisah Teoh Beng Hock, 30, amat tragik. Ia jarang-jarang berlaku dalam politik tanah air.

Semuanya terjadi pertengahan minggu lalu semasa SPRM memulakan satu siasatan mengejut. Mereka memanggil beberapa orang pemimpin Selangor bagi membantu siasatan berhubung soal tuntutan peruntukan kerajaan.

Beberapa hari sebelum itu, senario politik Selangor telah pun mula berkocak. Ia ekoran kisah Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong yang membuat satu pendedahan. Melalui blognya http:\\weechookeong.wordpress.com beliau mendakwa mengenai 'orang yang ada kaitan dengan aktiviti underworld' di Selangor. Ia adalah mengenai kegiatan kongsi gelap yang dikatakan disokong oleh pihak tertentu.

Namun isu kongsi gelap itu terhenti seketika apabila pada hari Khamis, negara tersentak dengan tragedi berdarah yang berlaku ke atas Beng Hock, Setiausaha Politik Exco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah.

Sehari sebelum itu akhbar The Star menyiarkan gambar Beng Hock bersama-sama dengan bosnya, Hian Wah bertemu dengan seorang pegawai penyiasat SPRM di SUK Selangor.

Beng Hock ditemui mati selepas selesai membantu SPRM menyiasat mengenai kes penggunaan peruntukan kerajaan itu. Beliau berada di pejabat suruhanjaya itu dari pukul 6 petang hingga 3.50 pagi.

Sepanjang tempoh siasatan itu, Beng Hock bekas wartawan Sin Chew Daily itu dikatakan telah memberi komitmen dan kerjasama sepenuhnya. Banyak dokumen yang perlu disemak satu persatu. Beliau turut dikatakan membantu menyusun dokumen-dokumen di atas meja. Malah beliau berjanji akan membawa lagi dokumen untuk diteliti di pejabat SPRM itu. Tapi semua itu tidak sempat, beliau kemudiannya ditemui mati.

Difahamkan Beng Hock, yang merupakan seorang pemuda yang bercakap lembut dan kaki buku mulai gelisah apabila komputer ribanya mula dibuka. Ia dikatakan berlaku sekitar pukul 1 pagi. Tidak pasti apa ada dalam komputer itu yang menyebabkan beliau terlalu gelisah. Tapi yang jelas bahan-bahan dalam komputer itu amat penting untuk siasatan.

Pihak forensik polis kini dipercayai telah mengambil komputer riba itu daripada SPRM untuk siasatan lanjut.

Apa sekalipun, isi kandungan dokumen-dokumen yang ada dalam komputer riba itu akan diteliti. Mungkin juga ada maklumat-maklumat penting yang boleh membongkar satu demi satu lagi cerita.

Kita tidak tahu apa ada dalam komputer itu, tapi lazimnya sesuatu siasatan polis atau pihak berkuasa lain akan menjurus kepada pelbagai elemen kejutan 'cari benda lain akan terjumpa benda lain'.

Kita juga tidak pasti mengapa pihak di luar sana ada yang 'melompat-lompat' mengenai isu ini. Kadangkala perbuatan mereka itu kelihatan amat pelik. Apakah mungkin mereka juga turut resah gelisah mengenai siasatan itu? Kita tunggu dan lihat perkembangan seterusnya.

Perlukah suruhanjaya siasatan ditubuhkan?

Walaupun banyak pihak - terutama pembangkang mendesak satu suruhanjaya diraja ditubuhkan bagi menyiasat kes Teoh ini, tapi banyak juga pihak yang tidak begitu yakin dengan hasilnya kelak.

Mereka tidak mahu ia menjadi satu gelanggang yang hilang arah dan tiada fokus. Mereka juga tidak mahu ia kelak akan menjadi gelanggang untuk pihak-pihak tertentu mengaut faedah politik, melebihi matlamat asal penubuhannya.

Suruhanjaya membabitkan isu ketuk-ketampi seorang wanita yang disebut sebagai warga China, misalnya dikatakan telah hilang arah dan tersasar sehingga akhirnya mengaibkan Kerajaan Malaysia. Tidak semena-mena, kerajaan terpaksa menghantar seorang wakil bertaraf menteri untuk memohon maaf kepada Republik Rakyat China. Walhal ia akhirnya hanya membabitkan seorang wanita Melayu. Ia juga dikatakan telah mengaibkan pihak polis sendiri melalui sebuah penubuhan suruhanjaya aduan.

Begitu juga dengan suruhanjaya membabitkan isu V. K. Lingam - ia dikatakan gagal dikawal sehinggakan prosiding suruhanjaya itu menjadi seperti sebuah open trial di mahkamah biasa.

Janganlah ulang kesilapan-kesilapan itu. Jika mahu ditubuhkan sekali pun suruhanjaya itu, ia haruslah dilaksanakan dengan teliti dan teratur.

Kita tidak mahu kerajaan terjerat dengan desakan demi desakan yang kelak akan merugikannya, dan hasilnya tidak kelihatan. Sebaliknya pihak yang mendesak pula akan mendapat keuntungan politik hasil pancingan mereka.

Dalam keadaan sekarang, biarlah pihak polis yang meneruskan siasatan itu secara telus dan berhemah. Disebabkan ia sudah menjadi satu kes berkepentingan umum sudah tentu setiap aspek siasatan akan diikuti secara teliti oleh semua pihak. Oleh itu kita berharap siasatan dapat dijalankan secara profesional.

Namun, yang menariknya isu Beng Hock ini, ia sebenarnya telah membantu meredakan kemelut politik beberapa pihak tertentu di luar sana. Ia berlaku semasa isu underworld tengah panas, isu Kampung Buah Pala tengah panas dan isu banglo mewah Ketua Menteri di sebuah negeri, tengah panas.

- sumber Utuasan Malaysia

Selasa, 21 Julai 2009

Nizar dan lilinnya - fikir-fikirkan

Ulama Pas patut keluar fatwa

IPOH 20 Julai - Ulama dalam Pas patut mengeluarkan satu fatwa berhubung tindakan Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyertai majlis menyalakan lilin bagi memperingati kematian setiausaha politik kepada Exco Selangor, Teoh Beng Hock di Ipoh, Jumaat lepas.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, sebagai parti yang mempunyai ramai ulama besar yang arif tentang hukum agama, maka adalah wajar untuk golongan ulama Pas memberi penjelasan mengenai tindakan bekas Menteri Besar Perak itu menyertai majlis sedemikian.

Katanya, ulama Pas seperti Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat atau Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang pastinya mempunyai penjelasan terhadap tindakan Mohammad Nizar itu.

''Saya bukan ulama nak komen tentang tindakan Nizar. Biar orang agama komen tentang ini. Biar tok guru komen. Dia banyak tok Guru (Nik Abdul Aziz dan Abdul Hadi). Dia (Mohammad Nizar) pun tok guru juga. Dia pandai baca Quran, bagi ceramah, bagi khutbah di masjid.

''Dia lagi tahu apa yang dia buat,'' katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Perjanjian antara Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan The Red Solar (M) Sdn. Bhd. dan TCT Inc. (TCTI) di sini, hari ini.

Menteri Besar mengulas tindakan Mohammad Nizar menyertai majlis menyalakan lilin anjuran DAP Perak semasa memperingati kematian Beng Hock di Ipoh, Jumaat lepas dan gambar majlis itu tersiar dalam akhbar The New Straits Times pada Sabtu lepas.

Zambry berkata, beliau bersimpati dengan kematian Beng Hock dan telah pun menyatakan pendiriannya di dalam laman blognya www.zambry.com. -BERNAMA


Nizar sepatutnya tidak hadir nyalakan lilin – Dewan Ulama Pas

KUALA LUMPUR 22 Julai – Dewan Ulama Pas menyifatkan majlis menyalakan lilin bagi memperingati kematian Teoh Beng Hock di Ipoh, Jumaat lalu yang turut disertai oleh Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai meragukan.

Sehubungan itu Ketuanya, Datuk Harun Taib berkata, Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak itu sepatutnya tidak hadir pada majlis tersebut kerana sifatnya yang meragukan itu.

Menurutnya, Rasulullah sendiri amat menitikberatkan perkara berkenaan seperti sabdanya yang bermaksud tinggalkan perkara yang engkau ragu dan ambillah perkara yang engkau tidak ragu.

“Hadis ini menyuruh kita meninggalkan perkara-perkara yang meragukan iaitu sesuatu yang hukumnya tidak jelas sama ada halal atau haram. Seperti majlis ini adakah ini upacara agama atau sebaliknya?

“Sebenarnya Pas telah pun membuat satu garis panduan bahawa majlis-majlis yang meragukan tidak harus dihadiri oleh pemimpin-pemimpin serta ahli-ahli kita,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Mohammad Nizar menyertai majlis menyalakan lilin anjuran DAP Perak semasa memperingati kematian Beng Hock di Ipoh, Jumaat lepas dan gambar majlis itu disiar oleh New Straits Times pada Sabtu lepas.

Bagaimanapun Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Husam Musa dalam laporan akhbar hari ini mempertahankan tindakan Mohammad Nizar dengan menyatakan ia tidak menyalahi ajaran Islam.

Dalam pada itu, Harun berkata, beliau tidak pasti sama ada Mohammad Nizar sedar atau tidak mengenai garis panduan berkenaan.

“Ini bukan satu fatwa tetapi inilah ketetapan atau garis panduan yang telah kita putuskan selama ini.

- sumber Utusan Malaysia


Nik Aziz enggan keluar fatwa


Mohammad Nizar Jamaluddin (tiga dari kiri) bersama Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dan Setiausahanya, Nga Kor Ming (kanan) memegang lilin ketika bertafakur pada majlis memperingati kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock di Ipoh, Perak, baru-baru ini.


KOTA BHARU 22 Julai - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat enggan menjawab cabaran daripada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir supaya mengeluarkan fatwa berhubung tindakan Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyertai majlis menyalakan lilin di Ipoh, Jumaat lalu.

Alasan yang diberikan Nik Abdul Aziz yang dianggap sebagai 'ulama besar' dalam Pas itu ialah kenyataan itu dikeluarkan oleh orang politik dan tidak ada kena mengena dengan fatwa Islam.

"Zambry ini orang politik bukan orang kaji Islam, apa kena mengena dengan fatwa agama, fatwa demokrasi pun (beliau) tak pakai, itu pandangan saya.

"Dia orang politik, saya jawab cara politiklah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Zambry yang meminta ulama dalam Pas mengeluarkan satu fatwa berhubung tindakan Mohammad Nizar menyertai majlis menyalakan lilin bagi memperingati kematian Setiausaha Politik kepada Exco Selangor, Teoh Beng Hock di Ipoh, Jumaat lepas.

Sebagai parti yang mempunyai ramai ulama besar yang arif tentang hukum agama, maka adalah wajar untuk golongan ulama Pas memberi penjelasan mengenai tindakan bekas Menteri Besar Perak itu menyertai majlis sedemikian.

Zambry yakin ulama Pas seperti Nik Abdul Aziz atau Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang pastinya mempunyai penjelasan terhadap tindakan Mohammad Nizar itu.

Semalam, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Husam Musa mempertahankan tindakan Mohammad Nizar kerana ia tidak menyalahi tindakan ajaran Islam kerana ia sekadar tanda bantahan terhadap kejadian yang menimpa Beng Hock.

Sebelum ini, Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuh pernah mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan memegang lilin seperti itu adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

Sementara itu, pemberita yang tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut mengulangi soalan berkenaan yang meminta Nik Abdul Aziz memberikan pandangannya mengikut hukum Islam tentang tindakan Mohammad Nizar tetapi Menteri Besar Kelantan itu menyatakan hanya itu jawapannya.

"Zambry yang bertanya.... usah akan fatwa Islam, fatwa demokrasi pun (beliau) tak pakai, siapa yang halau Menteri Besar dan rampas Dewan, tiap-tiap wakil rakyat yang masuk Dewan (Undangan Negeri) melalui mengundi dan bukan melalui sogok," katanya.

Wakil media yang masih tidak berpuas hati sekali lagi membangkitkan soalan yang sama sambil cuba memberikan penerangan yang lebih lengkap, Nik Aziz hanya menjawab: "Biar dulu, itu jawapan saya," katanya.

- sumber Utusan Malaysia

Gambaran tentang malaikat

GAMBARAN fizikal mengenai Malaikat Jibrail? Dikatakan malaikat itu mempunyai enam ratus sayap, yang luas dan lebar sayapnya itu mampu menjangkau dari kedudukan masyrik sehingga ke maghrib (Barat ke Timur) dan mengenakan busana kebesaran rona putih laksana mutiara yang dilarutkan dengan rupa yang elok dan menawan. Apabila bercakap mengenai kekuatan, Malaikat Jibrail mempunyai kekuatan yang sangat luar biasa dahsyat dan penuh mukjizat!

Maklumat gambaran itu diambil dari laman Wikipedia sebagai cuba memenuhi permintaan pembaca ruangan ini yang mahukan Malaikat Jibrail, yang tugasnya menyampaikan wahyu kepada nabi-nabi, dapat diberi gambaran dengan lebih jelas.

Namun begitu tanpa ada dukungan daripada mana-mana nas atau dalil, gambaran seperti yang diceritakan itu tentunya jauh daripada kesahihan.

Begitupun dalam sebuah hadis ada disebutkan sedikit mengenai gambaran fizikal malaikat itu, iaitu malaikat Jibrail. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Aku pernah berpeluang bertemu dengan salah seorang malaikat yang membawakan risalah wahyu untukku. Dan aku dapati jarak antara cuping telinga dan bahunya sahaja adalah bersamaan dengan jarak perjalanan yang sejauh 700 tahun lamanya". (riwayat Abu Daud)

Maka, terpulang bagaimana kesemua gambaran fizikal ini dapat kita terima. Apa yang pasti malaikat berbeza ciptaannya dan ciptaannya pasti penuh dengan kehebatan yang sukar digambarkan oleh kata-kata mahupun lakaran lukisan.

Bagi sesetengah kita, gambaran fizikal mengenai malaikat ini penting untuk dikaji dan diketahui. Ini apabila tiada ilmu mengenai itu, maka kita terutama di kalangan anak-anak mungkin mudah terpengaruh dengan pelbagai gambaran mengenai rupa bentuk malaikat, mengikut sesetengah pandangan, walaupun kita tahu semua itu adalah tidak benar.

Ini termasuk yang terpengaruh akibat membaca kisah-kisah penglipurlara misalnya, malaikat digambarkan sebagai kuasa baik (kerana adanya kuasa-kuasa jahat), mempunyai imej seperti hologram dan pelbagai gambaran ilusi yang lain. Malah ada yang dapat 'menerima' apabila malaikat digambarkan sebagai bayi yang comel, gebu dan sihat serta bersayap dan juga lelaki atau perempuan muda berjubah putih dan terdapat lingkaran putih (Halo) di atas kepala dan juga bersayap di belakang mereka.

Namun sebagai umat Islam mempercayai mengenai kewujudan para malaikat adalah menjadi satu kemestian. Ini sebagaimana yang terkandung dalam Rukun Iman yang lima walaupun kita tidak dapat melihatnya.

Namun kita tahu malaikat itu wujud sebagaimana ada tugas-tugas mereka menanti masa dan waktu sahaja untuk dilaksanakan hatta sehingga pada Hari Kiamat sekalipun.

Begitupun mempercayai secara kosong sahaja mampu menjejaskan keimanan seseorang itu kelak. Ini kerana dipercayai kepercayaan yang ada, tidak lebih hanya di peringkat asas sahaja iaitu sebagaimana yang diajar semasa kecil atau pendidikan di peringkat rendah dalam ruang lingkup yang sempit atau tidak meluas.

Oleh itu, kepercayaan berlandaskan ilmu atau daripada ilmu yang sentiasa digali pasti dapat meningkatkan lagi makam keimanan setiap individu Muslim itu.

Persoalan tentang malaikat

Ini kerana yang penting, kita mampu menjawab pelbagai persoalan mengenai malaikat. Ini termasuklah apabila dalam agama-agama lain, penganutnya juga percaya agama mereka turut dikuatkan dengan unsur malaikat.

Jadi bagaimana anda dapat menjawab persoalan mengenai malaikat dari perbezaan sudut agama yang berbeza dan seterusnya mengangkat kedudukan malaikat dalam Islam itu melebihi daripada segala-gala kepercayaan kepada unsur yang sama ini.

Perkataan Malaikat merupakan perkataan Arab (yang dibaca: malaa-ikah) iaitu jamak daripada perkataan asalnya iaitu Malak bererti kekuatan.

Maka dari aspek lughah itu dapatlah kita kaitkan bahawa barisan para malaikat merupakan kekuatan-kekuatan yang sangat patuh kepada perintah dan suruhan Allah.

Adakah kekuatan itu berpunca daripada unsur penciptaan malaikat itu sendiri? Wallahu 'alam, Allah jua lebih tahu termasuk jumlah sebenar malaikat yang dikatakan beratus ribu bilangannya diciptakan oleh Allah.

Namun, yang jelas kesemua barisan malaikat ini diciptakan oleh Allah dari cahaya (nur). Ini sebagaimana hadis Rasulullah yang menyebut; Malaikat telah diciptakan daripada cahaya. (riwayat Muslim).

Begitupun, jangan sama sekali kita mengambil kesimpulan bahawa malaikat itu adalah sejenis makhluk halus pula. Iaitu sebaris dengan makhluk-makhluk halus ciptaan Allah yang lain termasuk syaitan, jin dan sebagainya.

Malaikat bukan sejenis makhluk halus kerana tidak sahaja kerana kemuliaan kejadiannya tetapi yang penting malaikat merupakan satu-satunya makhluk yang tugasnya hanya menyembah Allah, taat kepada segala tugas dan perintah-Nya dan mereka tidak pernah berdosa (tidak ada malaikat baik atau malaikat yang jahat - yang sering kali dikatakan malaikat jahat itu adalah iblis). Lalu bandingkan mereka dengan makhluk halus yang lain, adakah wajar bagi malaikat mempunyai kedudukan yang sama seperti syaitan, jin, hantu dan sebagainya itu?

"Ingatlah segala yang ada di langit dan di bumi adalah milik kepunyaan Allah jua. Malaikat-malaikat yang ada di sisi-Nya tidak membesarkan diri untuk beribadat kepada Allah dan tidak pula mereka merasa penat dan letih. Mereka selalu bertasbih siang dan malam dengan tidak berhenti-henti." (al-Anbiya': 19-20)

Tetapi bolehkah kita katakan malaikat itu sebagai makhluk ghaib? Hanya, jika kita maksudkan malaikat itu ghaib kerana kita tidak dapat melihat, mendengar, meraba dan menciumnya (bau) dengan lain perkataan, kita tidak dapat menghampiri malaikat itu melalui pancaindera yang lima.

Ciptaan Allah

Tetapi apabila memahami bahawa malaikat itu ciptaan Allah yang begitu hebat, dalam jumlah yang tidak diketahui itu, dengan pelbagai tugas dan keupayaan mereka yang tersendiri tidak bermakna ada kelemahan di sisi tuhan sehingga menyebabkan adanya pembantu seperti yang dilakukan oleh para malaikat.

Allah sebenarnya tidak perlukan apa pun ciptaan termasuk malaikat ini tetapi dengan mempunyai pengetahuan dan kepercayaan terhadap apa juga yang menjadi ciptaan tuhan tidakkah itu semua bagi menggambarkan kekuasaan Dia Yang Maha Agung? Untuk menciptakan apa sahaja yang disukaiNya. Malah dengan kehebatan ciptaan-ciptaannya itu adalah menjadi satu bukti yang jelas kepada kebesaran dan keagungan Maha Kuasa itu.

Walaupun disebutkan manusia tidak dapat melihat malaikat namun ada hakikat yang jelas yang kita tidak mampu untuk menafikannya, malaikat pernah ditemui oleh para nabi.

Ini termasuk Nabi Muhammad iaitu dalam bentuk manusia lelaki walaupun kita tahu bahawa malaikat itu tidak mempunyai jantina tertentu sama ada lelaki atau perempuan.

Namun jangan lupa juga malaikat boleh menjelmakan dirinya di hadapan manusia itu sendiri. Ini sebagaimana yang dialami oleh ibu Nabi Isa a.s, Siti Maryam bagi memberitahu bahawa beliau bakal mengandung atau hamil seorang anak lelaki suci (bakal menjadi nabi).

"Maka dia (Siti Maryam) membuat tabir untuk melindungi dirinya daripada mereka. Lalu Kami menghantarkan kepadanya roh Kami (Malaikat Jibrail) yang dijelmakan sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya. (Maryam: 17).

Malaikat yang dimaksudkan menerusi ayat itu merupakan malaikat Jibrail itu sendiri, iaitu antara 10 malaikat yang wajib diketahui dan dipercayai oleh umat Islam.

Bercerita lanjut mengenai malaikat Jibrail ini, malaikat ini ada disebut sebanyak dua kali dalam al-Quran, iaitu dalam surah al-Baqarah (ayat 97-98) dan surah at-Tahrim (ayat 4).

Sesiapa memusuhi Allah (dengan mengingkari segala petunjuk dan perintah-Nya) malaikat-malaikat-Nya dan rasul-rasul-Nya khususnya malaikat Jibrail dan Mikail maka sesungguhnya Allah adalah musuh bagi orang yang kafir. (al-Baqarah: 98)

Sebagaimana yang dikisahkan sebelum ini pertemuan Nabi Muhammad dengan malaikat itu di Gua Hira' bagi bermulanya lembaran baru untuk baginda memulakan penyebaran dan dakwah Islamiah kepada penduduk Arab yang telah sekian lama tersesat dan perlu dikembalikan ke pangkal jalan.

Namun bagi Nabi Muhammad dan isterinya, Siti Khadijah masih dalam keraguan benarkah yang 'menyapa' baginda di Gua Hira itu benar-benar malaikat Jibrail? Benarkah melalui Jibrail itu ada perintah yang mesti diterima oleh baginda?

"Demi Maha Kudus Dia, Demi Maha Kudus Dia. Itulah Namus Besar yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Musa. Alangkah baiknya kalau aku masih muda, alangkah baiknya jika aku masih hidup ketika kaummu mengusirmu.

"Kalaulah aku masih ada hari engkau mengalaminya, pasti akanku tolong engkau dengan bersungguh-sungguh,"

Kata-kata itu adalah dari bapa saudara Siti Khadijah, Warakah bin Naufal sebagai seorang penganut agama Nasrani yang sangat mengetahui mengenai isi kandungan Kitab Injil.

Kata-katanya itu sebagai mengesahkan mengenai kehadiran malaikat Jibrail dan kebenaran 'berita' yang dibawa oleh Namus itu.

Namus Besar (an-Namus'l-akbar) itu tidak diberikan pengertian tertentu oleh Haekal. Namun beliau menyebut mengikut Orientalis, Montgomery Watt, Namus diambil dari perkataan Yunani, iaitu "Nomos" bererti undang-undang atau kitab Suci yang diwahyukan. Namun bukan dimaksudkan sebagai al-Quran.

Percaya Tak???

1.3 bilion orang tua pada 2040

p>WASHINGTON: Penyelidik Amerika Syarikat meramalkan kadar populasi penduduk tua dunia akan bertambah dengan pantas hingga bilangan golongan itu buat pertama kalinya mengatasi kanak-kanak.

Penduduk tua juga akan meningkatkan kos pencen dan penjagaan kesihatan, memaksa peningkatan dalam perbelanjaan umum yang boleh memperlahankan pertumbuhan ekonomi negara kaya dan miskin.

Bilangan orang berusia 65 tahun dan ke atas mencecah 506 juta orang pada pertengahan 2008, kata Biro Bancian Amerika.


Angka berkenaan dianggarkan meningkat dua kali ganda kepada 1.3 bilion menjelang 2040, meliputi 14 peratus daripada seluruh penduduk dunia.

"Orang berusia 65 tahun ke atas akan mengatasi kanak-kanak di bawah usia lima tahun buat pertama kalinya dalam sejarah," kata laporan Kevin Kinsella dan Wan He dari biro berkenaan.

"Penuaan menjejaskan setiap negara di dunia," kata Richard Suzman dari Institut Penuaan Kebangsaan yang membuat laporan itu.

"Negara membangun dan maju mempunyai perbezaan tersendiri tetapi faktor penuaan global mengubah keadaan sosial dan ekonomi dunia dan memberi cabaran tersendiri."

Laporan itu mendapati, mereka berusia 80 dan ke atas lebih cepat meningkat bilangannya di kebanyakan negara. Secara global, penduduk tua ini meningkat sehingga 233 peratus antara 2008 dan 2040. - Reuters

- sumber Berita Harian

Syarikat hasilkan kanta lekap untuk haiwan

BERLIN: Sebuah syarikat di Jerman berkata, ia berjaya menghasilkan kanta lekap untuk pelbagai jenis haiwan termasuk singa, zirafah, harimau dan beruang yang menghadapi masalah penglihatan termasuk rabun dan katarak.

Ketua bahagian perkhidmatan haiwan S&V, Technology Ingeborg Fromberg berkata, kanta lekap itu dihasilkan menggunakan akrilik mengikut keperluan haiwan.

“Antara haiwan yang menerima kanta lekap ialah seekor anjing laut rabun di Sea World San Diego, kangaru buta di Australia dan singa di zoo Romania yang buta,” katanya. - Agensi

- sumber: Berita Harian

Hentikan tohmahan, serah siasatan kepada polis

MAYAT Teoh Beng Hock, pembantu khas seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor, yang dijumpai mati di Plaza Massalam, Khamis lalu, selamat disemadikan semalam. Tetapi isu berhubung kematiannya menjadi semakin hangat.

Pelbagai tohmahan dilemparkan oleh pembangkang khususnya terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana insiden kematian mengejut Beng Hock berlaku sejurus selepas dia disoal siasat oleh SPRM berhubung penyalahgunaan dana peruntukan wakil rakyat.

Seperti biasa, pembangkang mengambil kesempatan terhadap isu ini dengan mengadakan beberapa siri perhimpunan yang dikatakan untuk menuntut keadilan terhadap kematian Beng Hock.

Persoalannya bentuk keadilan bagaimana yang dituntut oleh pembangkang? Sedangkan dalam masa yang sama, mereka juga tidak berlaku adil kepada SPRM kerana menghukum suruhanjaya itu sebelum siasatan menyeluruh dibuat bagi mencari punca sebenar kematian.

Sepatutnya, pihak pembangkang menunggu hasil siasatan dan tidak tergesa-gesa membuat tuduhan demi tuduhan yang adakalanya berbaur perkauman dan boleh mengguris perasaan pihak-pihak tertentu.

Lagipun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa polis akan menyiasat kes tersebut secara menyeluruh dan profesional. Begitu juga timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan tidak ada apa yang hendak disembunyikan berhubung isu tersebut.

Sebarang andaian atau spekulasi berhubung kes itu hanya akan mengelirukan masyarakat. Tuding-menuding kepada pihak-pihak tertentu juga tidak akan membantu menyelesaikan isu ini.

Seperti yang dikatakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, pembangkang tidak seharusnya cuba mewujudkan perselisihan faham dan sensitiviti kaum. Sebaliknya serahkan kepada pihak polis menyelesaikan kes ini.

Kecekapan polis negara ini menyelesaikan kes-kes kontroversi seperti ini memang tidak boleh dipertikaikan. Tetapi semua pihak harus memberi kerjasama dan tidak hanya tahu menuding jari.

Jika pembangkang masih tidak berpuas hati dengan siasatan polis, kerajaan mungkin boleh menubuhkan suruhanjaya bagi melakukan penyiasatan menyeluruh berhubung kejadian tersebut.

Tetapi jika pembangkang sudah menjatuhkan hukuman sebelum siasatan selesai, ia tidak akan membantu menyelesaikan isu tersebut, sebaliknya hanya mengeruhkan lagi keadaan dan mungkin mengganggu siasatan.

Bagaimanapun, ketika keluarga mendiang Beng Hock bersedih dengan kematiannya, pihak pembangkang terus mempolitikkan isu tersebut, di sebalik jaminan kerajaan untuk bersikap telus.

Beberapa pihak melihat kecaman dan tuduhan melulu pembangkang terhadap SPRM itu sebagai satu usaha untuk mengalihkan perhatian kepada isu sebenar iaitu dakwaan penyalahgunaan dana peruntukan wakil rakyat di Selangor.

Jika pembangkang boleh berbuat demikian terhadap SPRM, rakyat yang berfikiran matang juga sebenarnya boleh membuat pelbagai andaian dan tafsiran terhadap tindakan pembangkang tersebut.

Oleh itu, pembangkang tidak sepatutnya membiarkan rakyat curiga dan menganggap mereka ada agenda tertentu di sebalik isu tersebut. Bertenang dan serahkan kepada pihak berkuasa menanganinya.

- sumber - Utusan Malaysia

Konspirasi dunia.... kesan kepada islam 2

Serangan bom cubaan buruk imej Islam

DAKWAAN Ressa seperti dalam artikel semalam agak sukar untuk dirasionalkan. Tetapi itulah antara ciri-ciri PAKG. Ia dilaksanakan di Iraq atas beberapa alasan yang penuh pembohongan dan berdolak-dalik.

Iraq diserang kerana disyaki mempunyai senjata pemusnah (WMD). Tetapi ketua penyiasat senjata AS, David Kay pernah memberitahu Kongres pada awal Oktober 2003, siasatan mendapati Iraq tiada WMD.

Pasukan Pemeriksa Senjata PBB yang berada di Iraq dari 1991 sehingga 1998 telah memusnahkan 817 dari 819 peluru berpandu jarak sederhana, 14 pelancar peluru berpandu, 88,000 peluru yang berisi bahan kimia, lebih 600 tan agen senjata kimia dan 4,000 tan kimia yang menjadi asas persenjataan.

Namun Iraq tetap diserang. Presiden Saddam Hussein dihukum gantung sampai mati. Osama bin Laden masih belum diberkas tetapi usaha memburunya menjadikan Afghanistan "padang jarak padang tekukur".

Maka berasaskan seluruh huraian di atas, adakah benar AS diserang oleh pengganas Islam pada 11 September 2001? Jika benar, mengapakah tragedi 9/11 yang mencetuskan PAKG sentiasa dipertikaikan hingga ke hari ini? Majoriti pihak yang mempertikaikan pula adalah rakyat AS.

Pelbagai kajian, analisis, jurnal, laman web, portal berita, blog dan buku pula mengkritik serta mempertikaikan kredibiliti laporan rasmi tragedi 9/11 yang diterbitkan oleh Suruhanjaya 9/11 pada 22 Julai 2004.

Terdapat desakan antarabangsa supaya Presiden Barack Obama menubuhkan badan penyiasat bebas untuk memastikan tragedi 9/11 bukannya kerja orang dalam.

Menurut www.opednews.com, 20 ahli politik AS, Kanada, Jerman, Itali dan Jepun telah mengemukakan petisyen yang mendesak Obama mengizinkan satu siasatan bebas bagi memastikan apa yang sebenar-benarnya terjadi pada 11 September 2001.

Ini kerana penemuan oleh Suruhanjaya 9/11 sebelum ini amat berbeza dengan apa yang dikaji oleh banyak penyelidik, termasuk bekas-bekas pegawai CIA, pegawai FBI, arkitek, jurutera dan pelbagai pihak lain.

Adakah PAKG satu peperangan yang sengaja dilakukan untuk menyebabkan penderitaan dan kematian kepada umat Islam, serta untuk menyebabkan kemusnahan kepada negara Islam dan dunia Islam?

Ini semua terjadi kerana hanya 44 minit selepas tragedi 9/11, Bush mengeluarkan satu kenyataan bahawa mereka yang terlibat dalam serangan itu ialah pengganas Islam.

Tetapi, jika tragedi 9/11 selaku pencetus kepada PAKG masih dipertikaikan, adakah salah jika tindakan AS menyasarkan PAKG kepada dunia Islam, negara Islam dan wilayah Islam juga mesti dihalusi untuk memastikan ia bukan satu agenda besar bagi memenuhi matlamat geopolitik, ekonomi dan ketenteraan AS di abad ke-21?

Kesimpulannya, PAKG adalah perang yang dilancarkan oleh pendukung paradigma realisme dan juga kelompok neo-konservatif yang mempengaruhi Bush untuk menggunakan kekuatan ekonomi dan ketenteraannya bagi mengeksport liberalisme, demokrasi dan hak asasi manusia mengikut acuan AS.

Berdasarkan ciri-ciri paradigma realisme yang dihuraikan di atas, komuniti intelektual Islam di Asia Tenggara perlu mencari jawapan mengapakah PAKG dilancarkan di rantau ini dan mengapakah Indonesia dijadikan medan siri ledakan bom sejak 2002.

Pada waktu yang sama, mengapakah AS kini mempunyai tenteranya yang berpangkalan di selatan Filipina atas alasan menumpaskan kumpulan Abu Sayyaf? Kumpulan itu adalah satu daripada tujuh pasukan tempur mujahidin di Afghanistan yang pernah dilatih dalam bidang terorisme oleh pihak CIA?

Perincian terhadap seluruh permasalahan di atas pasti akan memberikan jawapan mengapakah Indonesia dijadikan medan ledakan bom sejak 2002.

Mengapakah AS menempatkan tenteranya di selatan Filipina? Mengapakah Abu Sayyaf diburu? Mengapakah konflik etnik berdarah berlaku di selatan Thailand mulai 2002?

Dan mengapakah PAKG di Asia Tenggara digandingkan dengan propaganda mengenai terorisme maritim di Selat Melaka? Adakah "faktor China" mendasari seluruh persoalan ini?

DATUK RUHANIE AHMAD adalah Naib Presiden Perkasa yang kini melanjutkan pengajian sarjana dalam jurusan Analisis Strategi dan Keselamatan di Universiti Kebangsaan Malaysia.

- sumber Utusan Malaysia

Isnin, 20 Julai 2009

Konspirasi dunia.... kesan kepada islam

Kenapa Indonesia jadi sasaran pengganas

PERANG Anti Terorisme Global (PAKG) adalah perang yang dilancarkan oleh pendukung paradigma realisme dan puak neo-konservatif. Ini menyebabkan matlamat PAKG sentiasa dicurigai kerana penuh dengan elemen pembohongan dan berdolak-dalik.

Pendukung paradigma realisme bertindak atas pendekatan “matlamat menghalalkan cara”. Tanpa menitikberatkan aspek-aspek moral, menghormati undang-undang antarabangsa atau prihatin terhadap kesaksamaan umat manusia.

Mereka bertindak demikian kerana paradigma realisme yakin bahawa peperangan adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan untuk menyelesaikan konflik.

Paradigma realisme juga percaya bahawa dunia ini wujud dalam kerangka anarki di mana tidak wujud kerajaan yang lebih berautoriti daripada sesebuah negara yang berdaulat.

Kelompok realis juga hanya mementingkan diri sendiri, tidak mempercayai orang lain dan diizinkan untuk membunuh serta menyebabkan kemusnahan jika tindakan yang dilakukan adalah untuk memelihara kelangsungan, kepentingan dan keselamatan negaranya.

Tindakan-tindakan yang tidak berprinsip di dalam paradigma realisme hanya diizinkan jika demi kepentingan dan kelangsungan negara. Tetapi bagaimanakah jika soal kepentingan negara itu sengaja disalahgunakan untuk mencapai agenda yang tidak menepati kepentingan tersebut?

Kumpulan neo-konservatif pula adalah pendukung falsafah politik yang berusaha untuk menggunakan kuasa ekonomi dan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) bagi mengembangkan liberalisme, demokrasi dan hak-hak asasi manusia ke seluruh dunia.

Kumpulan ini berperanan penting dalam pembentukan dasar luar AS di era pentadbiran Presiden George W. Bush yang memperkenalkan Doktrin Bush menerusi PAKG.

Lantaran itu, komuniti dunia perlu berani bertindak untuk membedah matlamat sebenar PAKG serta mendedahkan elemen-elemen realisme yang tersirat di sebaliknya. Cendekiawan Islam harus mempelopori usaha ini.

Bedah dan dedahkan, benarkah tragedi 9/11 yang mencetuskan PAKG adalah angkara pengganas Islam? Benarkah PAKG sebenar-benarnya bermatlamat untuk melenyapkan terorisme Islam? Dan, tidak mungkinkah “faktor China” merupakan matlamat utama dan objektif sebenar peperangan itu?

Persoalan ini wajar dianalisis kerana peperangan preventif adalah antara peperangan yang berkait rapat dengan mekanisme keseimbangan kuasa.

Oleh itu, sebagai permulaannya, komuniti intelektual Islam di Asia Tenggara wajar mengkaji apakah motif sebenar di sebalik siri ledakan bom yang melanda Indonesia sejak AS mengisytiharkan rantau ini sebagai koridor kedua PAKG mulai Januari 2002.

Koridor pertama PAKG adalah di Afghanistan, Asia Tengah, mulai Oktober 2001. Koridor ketiganya adalah di Iraq, Asia Barat, mulai Mac 2003. PAKG di Afghanistan dan Iraq dilakukan secara terbuka. PAKG di Asia Tenggara dilaksanakan menerusi strategi Konflik Intensiti Rendah (KIR).

Persoalan ini perlu diperincikan bukan untuk membela pengganas dan keganasan. Tetapi, kerana seperti dihuraikan di atas, AS melancarkan PAKG berasaskan paradigma realisme atau doktrin Machiavillian di mana “matlamat menghalalkan cara”.

AS melancarkan PAKG untuk menjamin survival, kepentingan dan keselamatannya daripada ancaman ‘pengganas Islam’ antarabangsa. Tetapi, benarkah survival, kepentingan dan keselamatan AS diancam oleh pengganas Islam antarabangsa? Bagaimana jika perceived threats ini hanya rekaan semata-mata?

Setelah bukti-bukti yang mengatakan AS diserang oleh pengganas Islam pada 11 September 2001 dikaji secara kritikal, ternyata bukti-bukti itu adalah rekaan. Tragedi 9/11 yang mencetuskan PAKG bukannya angkara Al-Qaeda.

Kedua-dua pendedahan oleh seorang professor dari AS itu sehingga kini tidak dinafikan oleh mana-mana pihak di Amerika sendiri.

Oleh itu, siri ledakan bom di Indonesia wajar dikaji untuk memastikan mengapakah sejak akhir 2002, Indonesia sentiasa menjadi lokasi ledakan bom yang kononnya angkara Jemaah Islamiah. Apa pula mesej ledakan bom terbaru yang terjadi setelah Presiden Susilo Bambang Yudhoyono memenangi pilihan raya baru-baru ini?

Siri ledakan bom di Indonesia yang pertama disasarkan kepada pusat pelancongan di Bali, pada 12 Oktober 2002. Siri kedua membabitkan sebuah hotel antarabangsa di di Jakarta, pada pada 5 Ogos 2003. Siri ketiga melibatkan anjung Kedutaan Australia, juga di Jakarta, pada 9 September 2004. Siri keempat berlaku lagi di Bali pada 1 Oktober 2005. Siri terbaru, sekali lagi membabitkan sebuah hotel antarabangsa di Jakarta, pada 17 Julai 2009.

Tetapi, walaupun ledakan bom yang dulu dan yang terbaru adalah tindakan yang terkutuk, pastikanlah siapa dalangnya. JI atau pengganas upahan? Militan Islam atau pihak-pihak yang mahu memfitnahkan sekelompok umat Islam sebagai pengganas antarabangsa?

Maria Ressa (2003) menyatakan, siri ledakan bom itu sebenarnya dirancang untuk dilakukan oleh sekutu Al-Qaeda di Singapura, bukannya di Indonesia. Tetapi, rancangan itu dikesan dan dipatahkan oleh pihak berkuasa republik tersebut.

Singapura mematahkannya berdasarkan lima pita rakaman yang ditemui oleh tentera AS di bawah timbunan sampah di sebuah rumah yang dibom di Kandhahar, Afghanistan pada Oktober 2001. Seluruh pita rakaman itu pula dikatakan sama seperti yang dirampas daripada sebuah rumah di Singapura (Ressa 2003:153).

DATUK RUHANIE AHMAD adalah Naib Presiden Perkasa yang kini melanjutkan pengajian sarjana dalam jurusan Analisis Strategi dan Keselamatan di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Antara malang berbau dan malang tidak berbau

Pemimpin pembangkang ambil kesempatan salahkan kerajaan atas kematian Setiausaha Politik Exco Selangor

Oleh Manja Ismail


MALANG tidak berbau - demikian nasib Teoh Beng Hock, 30, yang mayatnya ditemui pada jam 1.30 tengah hari Khamis lalu di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, bangunan menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Tingkat 14 di mana Setiausaha Politik Ahli Exco Selangor itu disoal siasat kira-kira 10 jam sebelum kemalangan itu disedari. Kejadian malang itu bukan saja mengejutkan anggota keluarganya, apa lagi beliau dijadualkan memeterai perkahwinannya sehari selepas itu, malah menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak bagaimana ia berlaku.

Insiden itu turut membawa malang kepada SPRM kerana ia berlaku selepas Teoh disoal siasat lebih lapan jam oleh pegawainya dan mangsa pula dipercayai terjatuh dari tingkat yang menempatkan pejabat suruhanjaya itu. Sebagai sebuah agensi penguat kuasa yang tindakannya sentiasa menimbulkan spekulasi terutama di kalangan parti politik, insiden membabitkan pegawai kepada seorang pemimpin politik pembangkang itu menambahkan lagi malang SPRM. Kejadian itu juga sedikit sebanyak 'mencemari' pentadbiran Datuk Seri Naib Tun Razak, yang baru seminggu mencatat beberapa pencapaian dalam tempoh 100 hari beliau menjadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun, lebih malang lagi dan sememangnya dijangka ialah apabila parti politik khususnya DAP terus menuding jari kepada kerajaan serta menjadikan insiden ini sebagai isu politik dan perkauman. Belum pun pihak berkuasa selesai menjalankan siasatan, pemimpin pembangkang mengadakan perhimpunan di Shah Alam dan Pulau Pinang menuntut penjelasan sehingga menimbulkan kekecohan serta memaksa polis menahan beberapa orang untuk menenangkan keadaan. Walaupun di pihak kerajaan sama ada Perdana Menteri, Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberi jaminan punca insiden ini akan disiasat hingga ke akar umbi, DAP dan sekutunya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mungkin menunjukkan rasa puas hati atau berdiam diri. Sebabnya mudah, insiden malang yang menimpa Teoh dan keluarga adalah peluang terbaik pembangkang untuk mengalih perhatian rakyat daripada pelbagai masalah dalaman yang menimpa Pakatan Rakyat sekarang.

Pakatan Rakyat belum lagi pulih dengan kekecewaannya atas kemenangan tipis Pas dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai Selasa lalu yang mengundang pelbagai reaksi di kalangan pemimpin mereka. Sementara banyak pihak menyifatkan keputusan itu sebagai isyarat wujudnya angin perubahan di kalangan rakyat, khususnya penduduk di Manek Urai terhadap BN, pembangkang seperti biasa mencari pelbagai alasan kecuali diri mereka sendiri. Hanya Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengakui dasar kepemimpinan Najib yang mengutamakan rakyat antara sebab peningkatan sokongan kepada BN sehingga mengikis majoriti Pas di Manek Urai.

Malah, Guan Eng turut mengakui pelbagai masalah dalaman parti gabungan Pakatan Rakyat khususnya Pas dan PKR turut menyumbang kepada perkembangan itu, yang dikatakan kurang disenangi oleh pemimpin kedua-dua parti itu. Tanpa Guan Eng membuat pengakuan itu pun, umum sudah mengetahui mengenai keretakan dalam perkahwinan 'mutaah' pembangkang itu, bermula di Perak, Pulau Pinang, Kedah dan terbaru di Selangor, yang dilihat sebagai ujian sebenar sejauh mana kukuhnya jalinan DAP dan PKR.

Desakan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali supaya kerajaan Selangor mengadakan rombakan terhadap barisan Exco negeri itu dan dakwaan Ahli Parlimen Wangsa Maju daripada PKR, Wee Choo Keong wujudnya pembabitan seorang Exco kerajaan negeri dalam aktiviti 'gelap' di Selangor, mengundang reaksi yang agak keras di kalangan beberapa Exco Selangor daripada DAP. Kepada orang luar pula, kenyataan berupa kritikan terbuka daripada dua tokoh PKR terhadap kerajaan negeri pimpinan PKR dan sekutu daripada DAP pada waktu hampir serentak, bukanlah suatu kebetulan. Laporan mengenai beberapa Exco Selangor disiasat oleh SPRM selepas itu menambahkan lagi kekalutan dalam kerajaan campuran di negeri itu.

Justeru, timbul pelbagai spekulasi bukan saja terhadap masa depan hubungan PKR-DAP di Selangor, malah kedudukan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri. Pemimpin de facto Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan dijadual mempengerusikan satu mesyuarat Khamis atau Jumaat lalu bagi merungkai masalah itu tetapi insiden malang yang menimpa Teoh menyebabkan isu berkenaan tenggelam.

Kerana itu, tidak hairanlah apabila parti pembangkang akan terus menjadikan insiden malang yang menimpa Teoh sebagai agenda baru perjuangan mereka buat sementara waktu. Semalam misalnya, mereka mengadakan perhimpunan di Kelana Jaya dan beberapa majlis seumpamanya diatur, semuanya bertujuan mengalih pandangan rakyat daripada masalah dalaman khususnya antara PKR dan DAP serta menyalahkan kerajaan atau kejadian itu.

Sementara kita turut bersedih dan bersimpati atas kejadian malang tak berbau yang menimpa Teoh serta keluarganya, kita juga bimbang dengan kesan tindakan pembangkang menjadikannya sebagai isu politik dan perkauman, kepada perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Memang malang bagi negara jika rakyat terpedaya dengan dakyah seumpama itu sehingga mengetepikan apa jua hasil siasatan oleh suruhanjaya khas yang bakal ditubuhkan. Namun malang seperti itu berbau dan jika dapat dihidu kesannya, pasti ada cara untuk mengelaknya daripada berlaku.

- sumber Berita Harian

Pro-Kontra - Melabur di EPL

Pro & Kontra: Jutawan Malaysia mula beralih kepada industri bola sepak

Oleh Raja Ahmad Zainuddin

Kelab elit Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United, Chelsea dan Arsenal sering berkunjung ke Malaysia dalam perlawanan memanaskan badan.

Barangkali selepas ini, tempat mereka akan diambil alih oleh kelab lain pula, Newcastle United juga beraksi dalam Liga Kejuaraan, aksi satu tahap di bawah EPL.

Andaian ini berdasarkan berita jutawan Malaysia akan membeli kelab itu tidak lama lagi, yang dilaporkan media British mengenai satu konsortium negara yang diterajui beberapa ahli perniagaan ternama yang mengemukakan tawaran 80 juta pound (RM456 juta) untuk membeli Newscastle atau 'The Magpies' daripada pemiliknya, Mike Ashley.

Sehingga kini, Newcastle yang akan bermain dalam Liga Kejuaraan pada musim akan datang, belum membuat keputusan sama ada menjualnya kepada kumpulan usahawan dari Malaysia atau Singapura, Amerika Syarikat dan Asia Barat yang juga menyatakan minat mereka.

Jika benar ada rundingan dan pembelian, ia membuktikan jutawan Malaysia kini beralih kepada industri bola sepak yang bukan sahaja membabitkan kelab, pemain dan jurulatih, tetapi perniagaan akan melebar kepada hak penyiaran, peralatan dan pakaian serta juga perpindahan.

Peluang ini juga mungkin boleh membantu pemain Malaysia memulakan era baru, melangkah ke Eropah seperti yang dilakukan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra ketika menjadi pemilik Manchester City.

Akhbar Mirror dalam laman webnya, memetik kenyataan Ashley yang mengakui dikunjungi prospek pembeli - iaitu sekumpulan ahli perniagaan dari Malaysia dalam satu pertemuan rahsia.

Bulan lalu, ahli Lembaga Pengarah Newcastle mengumumkan kelab itu akan dijual dengan harga 100 juta pound (RM555.7 juta). Tetapi, jika tidak kerana kegagalan kelab itu kekal di Liga Perdana, tawaran kelab itu mungkin lebih tinggi daripada 100 juta pound.

Ashley yang membeli Newcastle dengan harga 135 juta pound (RM752 juta) pada 2006 dikatakan tidak sabar lagi untuk menjual kelab itu yang hingga kini masih belum memiliki pengurus, sebulan sebelum cabaran kejuaraan bermula.

Beliau yang juga seorang ahli perniagaan yang membina kekayaan menerusi rangkaian kedai barangan sukan, mula menyuarakan hasrat untuk menjual kelab itu selepas tersingkir daripada saingan EPL musim lalu.

Identiti ahli perniagaan dari Malaysia itu tidak didedahkan, namun kehadiran mereka dikesan oleh kakitangan dan pemain kelab ketika keempat-empat mereka dibawa melawat stadium dan gelanggang latihan.

Walaupun ada pihak tertentu di Malaysia menafikan terbabit dengan kumpulan yang akan membeli kelab itu, setidak-tidaknya ia membawa kepada kedudukan di mana usahawan Malaysia tidak ketinggalan sangat dalam perniagaan seperti ini.

Pembabitan syarikat Malaysia dalam EPL bukan baru. Proton adalah syarikat pertama Malaysia membabitkan diri dalam bola sepak England menerusi penajaan jersi bekas kelab EPL, Norwich City pada musim 2003-2006.

Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia pula menjadi penaja jersi pengadil EPL, yang mana logo mereka tertera di lengan baju pengadil dan pembantu pengadil dalam lebih 50 perlawanan.

Bagi saya, dalam perniagaan sukan bola sepak, penafian atau kenyataan seperti tidak tahu dan "tidak berminat" adalah perkara biasa, tetapi kemudian ternyata penjualan atau pembelian sama ada terhadap pemain atau aset sesuatu kelab berlaku juga.

Selasa, 14 Julai 2009

Keajaiban kismis

Ramai yang melihat harga kismis agak mahal, sedangkan snek ringan lain yang mungkin sama harga dengan kismis tidak menyediakan khasiat kepada anak-anak.

Apabila ditanya apakah snek makanan ringan untuk kanak-kanak, jawapan yang biasa diterima adalah makanan seperti keropok, ais krim, gula-gula, lolipop, kerepek ubi kentang dan jeruk.

Walaupun sedar pelbagai kesan sampingan yang negatif terkandung dalam makanan ringan tersebut terutama penggunaan monosodium glutamate (MSG), gula dan pengawet yang tinggi, masih ramai ibu bapa tetap mengamalkan diet makanan ini.

Apa kata mulai hari ini, anda cuba ubah persepsi terhadap snek makanan iaitu menggantikannya dengan bahan makanan yang lebih berkhasiat.

Kismis adalah salah satu alternatif bahan makanan yang wajar dijadikan snek makanan kepada anak-anak. Justeru, anda perlu mengubah persepsi bahawa kismis hanya bahan makanan yang dimakan sewaktu menjelang peperiksaan, majlis keramaian tertentu atau dimasukkan ke dalam roti atau kek.

Menurut Pakar Pembangunan Kanak-Kanak di sebuah hospital tempatan, Ruth Liew, ramai yang semakin lupa bahawa, kismis mempunyai kandungan gula daripada buah yang asli. Ia mampu memberi tenaga yang konsisten kepada kanak-kanak.

"Memang gula-gula mampu memberi tenaga yang lebih, tetapi ia akan menyebabkan kanak-kanak menjadi hiper dan menjadi lemah apabila kandungan gula itu mula merosot.

"Berlainan dengan kismis. Dengan kismis, kanak-kanak akan dapat tenaga yang seimbang dan menyihatkan badan.

"Ia juga makanan ringan yang lebih baik daripada gula-gula. Gula-gula boleh meninggalkan kesan kerosakan pada gigi kanak-kanak dan tenaga yang diperoleh juga tidak sekata," jelas Ruth pada satu sesi penerangan tentang kebaikan kismis kepada media di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Katanya, kanak-kanak masa kini tidak lagi gemar dengan makanan yang terlalu pelbagai, sebaliknya mereka lebih gemar makanan yang lebih santai. Oleh kerana itu, ibu bapa perlu menjadikan kismis sebagai snek makanan ringan untuk anak-anak yang masih bersekolah.

Tambah Ruth, untuk menjadikan kismis sebagai snek ringan kepada anak-anak, ibu bapa perlu memainkan peranan.

Bagi kanak-kanak atau golongan remaja yang sudah biasa atau gemar menikmati kismis begitu sahaja, ia bukan satu masalah lagi kepada ibu bapa.

"Bila mereka tengok TV, jangan bagi mereka kuaci atau keropok sebaliknya beri mereka kismis. Bekalkan juga kismis ketika ke sekolah," katanya.

Namun, jika ada yang tidak gemar menikmati kismis dalam bentuk mentah, ia boleh dicampur dalam pelbagai hidangan lain dengan cara mempelbagaikan makanan yang dicampur dengan kismis dalam hidangan waktu pagi, petang dan malam.

"Mereka mungkin tidak akan memilih kismis, tetapi ibu bapa perlu tahu khasiatnya. Terus beri galakan kepada anak-anak dengan mempelbagaikan masakan.

"Anda boleh campur kismis ke dalam bubur, sup, atau sayur-sayuran yang biasa dimakan anak-anak," kata Ruth yang mengakui ia juga boleh diamalkan dalam diet orang dewasa.


ROTI kismis, antara kepelbagaian resipi daripada kismis.


Ruth yang menerima reaksi daripada ibu bapa yang memberi kismis kepada anak-anak juga memberitahu, hasil yang diperoleh amat positif.

"Ada ibu bapa mula mempelbagaikan cara pemakanan dan ada juga yang memberi kismis seperti memakan vitamin setiap hari.

"Malah, ada juga anak-anak yang gembira dengan amalan makanan anggur kering itu," jelas Ruth yang turut mengamalkan memakan kismis sejak kecil lagi.

Dalam Islam, kismis sudah lama disaran untuk pemakanan kanak-kanak kerana ia adalah makanan tambahan yang mampu merangsang minda dalam melahirkan generasi genius.

Menyedari kebaikan kismis dan kemampuannya menjadi snek dalam makanan kanak-kanak, masyarakat Barat turut mula mengambilnya dalam diet mereka.

Penelitian Christine D.Wu dari Universiti Illinois, Chicago, Amerika Syarikat mendapati kismis mengandungi antioksidan yang dapat melawan bakteria penyebab kerosakan gigi dan gusi.

Antara antioksidan itu adalah asid oleanolic, oleanolic aldehyde, betulin, asid betulin dan 5-(hydroxymethyl)-2-furfural.


PENCUCI mulut daripada kismis.


Asid oleanolic mampu menghambat pertumbuhan dua spesies bakteria penghuni mulut iaitu streptoccus mutan, penyebab plak dan kerosakan gigi serta porphyromonas gingivalis, penyebab penyakit periodontal.

Sementara itu, pakar pemakanan dari sebuah hospital swasta, Tan Yen Sing, berkata, kajian juga mendapati kismis yang kaya dengan potassium dan rendah dalam sodium membantu mengurangkan tekanan darah tinggi.

"Malah, khasiat daripada kismis juga boleh mengurangkan risiko strok dan melemahkan perkembangan penyakit-penyakit organ dalam badan.


KISMIS boleh dipelbagaikan penggunaannya untuk memberi tarikan kepada si pemakan.


Selain itu juga, kismis mengandungi fiber dan asid tartaric. Ia juga baik untuk kesihatan tulang dalam badan anda.

Katanya, kismis mempunyai banyak khasiat pemakanan, serat, antioksidan, vitamin dan kalium yang merupakan nutrien penting untuk badan.

"Saya menafikan memakan kismis akan membuatkan anda gemuk. Ia adalah mitos. Ini kerana, manis yang ada pada kismis adalah manis buah-buahan yang asli.

"Ia juga mudah untuk dibawa dan boleh dipelbagaikan dalam masakan seisi keluarga," ujar Tan Yen Sing.

- sumber Kosmo

Ahad, 12 Julai 2009

Amerian n Korea Selatan di serang Hacker

Unit siber tentera Korea Utara disyaki

SEOUL: Tentera Korea Utara menjadi dalang beberapa serangan siber ke atas laman web Korea Selatan dan Amerika Syarikat yang melambatkan atau menghalang capaian hingga menyebabkan kesesakan minggu ini, lapor berita di sini, semalam.

Serangan itu melumpuhkan berpuluh-puluh laman web kerajaan dan perniagaan Amerika dan Korea Selatan kelmarin termasuk beratus-ratus komputer peribadi.

Korea Utara dilihat sebagai suspek utama serangan walaupun negara itu tidak dinamakan dalam senarai Suruhanjaya Komunikasi Selatan (KCC) sebagai tempat serangan dilancarkan

"Makmal No 110 Kementerian Tentera Rakyat Bersenjata Utara iaitu sekumpulan penggodam, diarah untuk memusnahkan rang-kaian komputer Korea Selatan," kata Perkhidmatan Perisikan Nasional Selatan yang dipetik sebagai memberitahu taklimat tertutup Parlimen.

Unit rahsia itu menambah pakar komputer yang mengendalikan peralatan keselamatan utara di dalam dan luar negara termasuk di China bagi melancarkan perang siber sistematik, agensi perisikan dipetik sebagai memberitahu taklimat kepada akhbar harian JoongAng.

Sumber perisikan berkata, pemimpin Kim Jong-Il melancarkan unit peperangan siber beberapa tahun lalu.

Sementara itu, Korea Selatan kini banyak belajar mengenai serangan siber misteri yang menyasarkan negara itu dan sekutunya Amerika, namun kemuncak persoalan ialah siapa yang memulakannya masih belum ditemui.

Suruhanjaya Komunikasi Korea kendalian kerajaan berkata, kelmarin ia mengenal pasti dan menyekat lima Protokol Internet atau IP, alamat di lima negara digunakan bagi mengedarkan virus komputer yang menyebabkan kelumpuhan laman web di dua negara yang bermula di Amerika pada 4 Julai lalu.

Alamat IP, bersamaan alamat jalanan atau nombor telefon dalam web mungkin menjurus kepada komputer yang mengedarkan virus sehingga mencetuskan apa yang digelar penafian perkhidmatan. Dalam serangan seperti itu, lambakan komputer cuba berhubung kepada tapak tunggal pada masa sama, memberatkan pelayan dan menjadikannya gagal dicapai atau tidak stabil.

Alamat itu berada di Austria, Georgia, Jerman, Korea Selatan dan Amerika, kata pegawai suruhanjaya yang enggan dikenali.

Pembuat dasar berkata Korea Utara menjadi suspek kerana ancaman yang dibuatnya dalam media tempatan bulan lalu di mana ia menghebahkan "bersedia penuh hadapi apa-apa bentuk perang berteknologi tinggi."

Negara itu, musuh Seoul selama enam dekad, menarik kritikan berulang pada peringkat antarabangsa sejak beberapa bulan kebelakangan ini berikutan ancaman dan tindakan yang dilihat secara meluas sebagai provokasi oleh masyarakat antarabangsa.

Ia termasuk ujian nuklear Mei lalu dan pelancaran peluru berpandu balistik jarak dekat 4 Julai lalu. AP

- Sumber Berita Harian

Jumaat, 10 Julai 2009

Isu tuntuntan Manoharan

Komen dari Utusan Malaysia

Tuntutan Manoharan amat berbahaya

TUNTUTAN yang dibuat oleh M. Manoharan pada sidang DUN Selangor agar bukan Melayu diberi status bumiputera adalah amat berbahaya sekali. Tuntutan seperti ini akan mengakibatkan pergolakan dan suasana yang tidak selesa di dalam negara yang tercinta ini. Dakwaan beliau bahawa kaum bukan Melayu diasingkan sebagai warga negara tidak dapat diterima sama sekali.

Semua orang sedia maklum bahawa pencapaian kaum bukan Melayu di Malaysia adalah jauh lebih baik berbanding dengan pencapaian bangsa Melayu sendiri. Kita dapat lihat di kawasan utama perniagaan sebahagian besar perniagaan dimiliki oleh kaum bukan Melayu.

Pengumuman kerajaan baru-baru ini berkenaan ekuiti bumiputera yang masih pada kadar 19 peratus untuk lebih 15 tahun lepas membuktikan bahawa bangsa Melayu masih ketinggalan dari segi pemilikan perniagaan.

Beliau juga cuba untuk menjustifikasikan bahawa dengan pemberian taraf bumiputera kepada semua kaum yang lahir selepas 31 Ogos 1957 akan merealisasikan konsep 1Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri.

Pada pendapat saya beliau masih belum memahami sepenuhnya konsep 1Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri. Konsep ini secara jelas menyebut '1Malaysia, Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan', bukannya bumiputera didahulukan.

Apabila disebut 'rakyat' maka semua rakyat Malaysia akan didahulukan tanpa mengira kaum. Oleh itu isu bahawa bukan Melayu dipinggirkan tidak akan timbul sama sekali.

M. Manoharan cuba untuk mencari publisiti murahan tanpa memikirkan akibat terhadap perbuatan beliau. Di dalam situasi di mana negara sedang bergelut dengan ketidaktentuan ekonomi dan wabak penyakit selesema babi, adalah kurang sesuai untuk untuk seseorang yang dipilih oleh rakyat membawa isu yang berbahaya ini ke DUN yang mulia.

Adalah lebih baik YB sekalian menumpukan sepenuh kebijaksanaan untuk membantu Perdana Menteri membawa Malaysia keluar dari kemelut ekonomi dan seterusnya membesarkan lagi 'kek' ekonomi di negara ini agar semua rakyat tanpa mengira kaum dapat sama-sama menikmati 'kek' tersebut.

Publisiti murahan seperti ini tidak akan dapat membantu negara malah akan menyusahkan lagi negara. Tidak perlu perkara yang sudah termaktub didalam Perlembagaan Persekutuan hendak diungkit dan dicabar.

Malaysia sudah merdeka lebih dari 50 tahun. Dalam tempoh tersebut kita telah hidup aman damai bersama masyarakat berbilang bangsa. Setiap kaum mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Marilah kita bersama-sama terus mengekalkan keharmonian ini untuk kita wariskan kepada generasi yang akan datang. Jangan sampai anak dan cucu kita menyalahkan kita di kemudian hari.

ASRUL MUNIFF AZIZAN
Presiden
Pertubuhan Anak Muda Melayu
Malaysia

------------------

Sama rata ala Indonesia, Thailand

PADA pendapat saya, jika orang bukan Melayu mahukan status bumiputera maka sepatutnya hak istimewa mereka juga patut dihapuskan juga. Hapuskan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil dan semua bukan Melayu mesti fasih berbahasa Melayu dan tidak boleh bercakap selain bahasa Melayu dan Inggeris di khalayak ramai dan hanya berbahasa Melayu serta identiti Cina dan India dimansuhkan.

Begitu juga tidak dibenarkan menggunakan nama Cina dan India serta tulisan Cina dan Tamil. Jika hendak sangat hak sama rata, mari kita ikut apa yang diamalkan di Indonesia dan Thailand.

Dengan cara itu perpaduan akan tercapai.

KG. BUKIT PAK KUNING
Kuala Ketil

Projek Koridor Utara (NCER)

Enam lagi projek di Koridor Utara - PM

PUTRAJAYA 9 Julai - Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) hari ini meluluskan enam lagi projek bagi sektor pertanian, pembuatan dan pelancongan untuk dibangunkan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (WEKU).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pembangunan itu membabitkan beberapa projek perintis antaranya Pusat Latihan Amali Agro Entrepreneur di Kampung Kura, Kedah dan Projek SawahKU Maju.

"Pusat latihan itu bertujuan memperkenalkan pertanian secara komersial manakala projek SawahKu Maju adalah percubaan meratakan tanah bendang supaya boleh mencecah tahap pengeluaran lebih tinggi iaitu antara lapan hingga 10 tan sehektar.

"Setakat ini, projek tersebut berjalan mengikut jadual dan bagi projek perintis kita cuba dahulu sebelum melaksanakannya dalam skala yang lebih besar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat ketiga NCIA di pejabatnya di sini hari ini.

Keseluruhan projek NCIA di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bernilai RM750 juta.

Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Turut hadir ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md.Isa Sabu dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Perdana Menteri berkata, NCIA juga meluluskan projek sektor pembuatan iaitu pembinaan Pusat Kecemerlangan untuk meningkatkan kelayakan siswazah kejuruteraan bagi menampung pelabur dalam sektor elektronik di Zon Industri Bebas, Pulau Pinang.

Dalam pada itu, katanya, antara projek yang menarik dalam sektor pelancongan adalah cadangan mewujudkan perkhidmatan teksi air antara Pulau Pinang dan Seberang Perai iaitu kemungkinan dari Nibong Tebal.

"Teksi air ini menjadi kemudahan kepada mereka yang bekerja di pulau termasuk di Batu Feringgi dan Tanjung Bungah yang agak jauh dari Seberang Perai.

"Bagaimanapun, kita akan kaji dari segi bagaimana ia boleh dilaksanakan," katanya.

Selain itu, beliau menyatakan, NCIA juga bersetuju membuat kajian lebih lanjut tentang pembangunan Hutan Tropika Belum-Temengor.

Tambahnya, Taiping yang merupakan bandar warisan dan peninggalan sejarah akan dibangunkan secara strategik.

''Satu peruntukan khas telah diluluskan bagi memajukan Safari Park di Taiping," katanya.

Kata Najib, NCIA juga mengambil maklum tentang projek perintis Edu Citi-Tel yang menyediakan kemudahan asrama berintegrasi di Taiping bagi murid-murid tahun lima dan enam melibatkan anak-anak dari keluarga berpendapatan rendah.

"Projek ini agak menarik iaitu 99 orang pelajar di bawah program ini telah menunjukkan kemampuan dalam bidang pembelajaran dan kepimpinan di sekolah masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata, bagi bidang infrastruktur pula, beberapa projek sedang dijalankan antaranya menaik taraf jalan ladang membabitkan kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sepanjang 351 kilometer dengan kos RM84 juta.

"Ia akan disiapkan secara berperingkat mulai Mei lalu sehingga April 2010.

"NCIA juga membantu membangunkan infrastruktur Taman Teknologi Pauh di Perlis seluas 30.3 hektar bagi mempelbagaikan sumber pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan di negeri itu," katanya.

Khamis, 9 Julai 2009

Kat Kerea Selatan pun kener serang juga

Laman web Seoul lumpuh diserang siber

SEOUL 8 Julai - Laman web agensi-agensi utama kerajaan, bank-bank dan laman Internet di Korea Selatan lumpuh disyaki akibat serangan siber yang ada kaitan dengan serangan serupa di Amerika Syarikat (AS).

Perkhidmatan Perisikan Negara (NIS) Korea Selatan percaya Korea Utara atau anasir pro-Korea Utara mendalangi serangan tersebut, lapor agensi berita Yonhap dengan memetik kenyataan anggota jawatankuasa perisikan di Parlimen.

Laman-laman web kediaman Presiden di Blue House, Kementerian Pertahanan, Dewan Perhimpunan Kebangsaan (Parlimen), Bank Shinhan, Bank Pertukaran Korea dan portal Internet, Naver lumpuh atau mengalami masalah akses sejak lewat semalam, kata jurucakap di Agensi Keselamatan Maklumat Korea (KISA), Ahn Jeong-eun hari ini.

Sejumlah 11 laman web domestik menjadi sasaran dalam serangan yang dipercayai ada kaitan dengan lumpuhnya perkhidmatan laman web beberapa agensi kerajaan di AS, jelas beliau.

Laman-laman web di AS mengalami serangan meluas dan berterusan bermula 4 Julai lalu, lapor Associated Press (AP).

Di AS, laman-laman web Jabatan Perbendaharaan, Perkhidmatan Sulit, Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan dan Jabatan Pengangkutan semuanya lumpuh pada waktu-waktu berbeza pada cuti hujung minggu sehingga awal minggu ini, menurut pegawai di luar dan dalam kerajaan.

Sesetengah laman web itu masih mengalami masalah sehingga malam tadi, manakala beberapa laman web di Korea Selatan masih tidak stabil atau tidak boleh diakses pada pagi ini.

Keadaan itu berlaku disebabkan kebanjiran komputer yang cuba memasuki laman-laman web yang diserang, sehingga server komputer tidak lagi mampu mengendalikan trafik, jelas KISA dalam satu kenyataan.

Ahn berkata, belum ada laporan diterima mengenai kerugian kewangan atau kebocoran maklumat sulit negara akibat serangan siber tersebut yang dipercayai bertujuan hanya untuk melumpuhkan laman-laman web.

Kementerian Pertahanan Korea Selatan mengesahkan tidak ada maklumat ketenteraan yang bocor. - AP

--------------------------------------------

Serangan siber berpunca dari Korea Utara?

SEOUL 10 Julai – Korea Utara yang melancarkan ujian peluru berpandu dan mengancam Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, dikenal pasti sebagai suspek dalam serangan siber ke atas laman-laman web milik kerajaan di AS dan Korea Selatan.

Keupayaan pengkomputeran Korea Utara tidak diketahui namun pakar menyatakan bahawa serangan sedemikian adalah mudah dan murah dilakukan dengan bantuan pihak luar.

Serangan-serangan itu mula melumpuhkan laman web di AS pada cuti hujung minggu sambutan Hari Kemerdekaan pada 4 Julai lalu sementara serangan di Korea Selatan bermula dua hari lalu.

Sebuah syarikat keselamatan komputer Korea Selatan menyatakan, satu lagi gelombang serangan siber dijangka berlaku lewat hari ini. – AFP

- sumber Utusan



1 lagi contoh berkuasanya tangan anda

Laman web Rumah Putih, Pentagon diserang penggodam

WASHINGTON: Berpuluh laman web milik kerajaan Amerika Syarikat, termasuk Rumah Putih dan Pentagon selain di Korea Selatan diserang penggodam siber terancang, menurut pakar keselamatan komputer, semalam.

Ia disahkan oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri Amerika bahawa laman web kerajaan dan swasta negara itu diserang oleh apa yang dinamakan sebagai "distributed denial of service" atau DDoS.

Bagaimanapun, kementerian berkenaan enggan memberikan nama laman web yang terjejas atau menjadi sasaran serangan DDos itu.

Serangan DDos bertujuan melemahkan laman web dengan menghantar limpahan trafik atau pelayar yang terlalu ramai memasuki laman yang disasarkan.

"Ia satu serangan yang besar," kata Johannes Ullrich, ketua pegawai teknologi SANS Internet Storm Center.

Beliau mengesahkan serangan yang mirip penggodam itu bermula sejak seminggu lalu.

"Ia bukannya satu serangan yang terlalu rumit. Ia cuma menghantar satu kemasukan trafik yang besar untuk melumpuhkan laman web sehinga menyukarkan akses.

"Salah satu laman web yang teruk diserang ialah Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan Amerika," katanya.

Ullrich berkata, laman web milik kerajaan yang turut diserang ialah Rumah Putih, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Jabatan Pengangkutan, Jabatan Penerbangan Awam Persekutuan, Agensi Keselamatan Negara, Jabatan Negara, Perkhidmatan Pos Negara dan Jabatan Perbendaharaan Negara.

Laman web Pentagon - defenselink.mil - turut menjadi sasaran serangan itu termasuk laman web tentera Amerika yang berpangkalan di Korea Selatan. - AFP

Google perkenal sistem operasi saingan Windows

SUN VALLEY, Idaho 9 Julai - Google Inc. "menyerang" perniagaan teras Microsoft Corp. dengan merancang untuk mengambil alih kuasa perisian Windows yang kini mendominasi sistem operasi bagi keperluan komputer peribadi.

Google yang kini sudah menawarkan suit e-mel, Web dan lain-lain produk perisian yang menyaingi Microsoft berkata, pihaknya akan melancarkan sistem operasi yang baru dan percuma yang disasarkan untuk komputer bimbit.

Sistem operasi yang dipanggil Google Chrome, perisian baru itu akan dimasukkan ke dalam perisian komputer bimbit untuk pengguna pada separuh kedua tahun depan, kata Google dalam blognya dengan menambah, pihaknya mendapat kerjasama dari beberapa pengeluar. - Reuters

- sumber Utusan Malaysia Online

Selasa, 7 Julai 2009

Kubur Michael Jackson dikonkrit


PEMINAT Jackson berkumpul di tengah Mexico City sebagai penghormatan terakhir kepada penyanyi itu.

Keluarga bimbang ada pihak curi mayat dalam keranda bersadur emas

LOS ANGELES: Keluarga Raja Pop dari Amerika Syarikat, Michael Jackson dilaporkan mahukan keranda penyanyi itu ditutupi konkrit bagi menghalang peminatnya daripada menggali dan mencurinya.

Selain itu, mayat penyanyi itu juga akan dikebumi tanpa otaknya yang ada di pejabat perubatan. Otak Jackson masih diuji untuk mengetahui punca kematiannya tetapi keluarga penyanyi itu tetap meneruskan pengebumiannya.

Jackson akan dikebumikan dalam sebuah keranda jenis 'Promethean' yang dilengkapi dengan lapik baldu biru dan kemasan cermin.

Penyanyi terbabit juga akan dipakaikan kostum pentas sebelum ditempatkan dalam keranda bersadur emas terbabit bersama beberapa barangan semasa hidup beliau termasuk satu sarung tangan putih yang gemar dipakai beliau.

Bagaimanapun, ada laporan media Amerika memetik seorang rakan keluarganya mahukan keranda itu ditutupi konkrit sebaik saja selepas upacara pengebumian yang dijangka dibuat secara rahsia sebelum upacara penghormatan terakhir umum Selasa ini kerana dibimbangi ada peminat fanatik cuba menggali kuburnya.

Berjuta peminat dijangka hadir majlis memperingati Jackson di Neverland. Jackson yang mati pada usia 50 tahun dijangka dikebumikan sementara di sebuah perkuburan.

CETAKAN terbaru kulit CD Jackson dilihat di kilang ArtPress di Hofen, Austria, yang sudah mencetak 1.5 juta risalah Jackson sejak tiga hari lalu ketika permintaan meningkat berikutan kematian penyanyi itu.

Tetapi, tempat persemadian kekal sudah ditetapkan oleh ahli keluarganya di Neverland, barat laut Los Angeles, kediaman penyanyi itu sehingga 2005.

Tempat itu bersebelahan stesen keretapi dalam Neverland. Jackson pernah menaiki kereta api yang dinamakan sempena nama ibunya, Katherine setiap hari untuk ke zoo persendirian di rumahnya itu.

Adalah menyalahi undang-undang California untuk mengebumikan mayat di luar kawasan perkuburan tetapi keluarga penyanyi itu akan mencabar perkara berkenaan.

Bagaimanapun, ia dijangka mengambil masa berbulan-bulan untuk mendapatkan kebenaran undang-undang. Kawasan pengebumian awal dijangka di Forest Lawn Memorial Park yang turut menyaksikan bintang seperti Marvin Gaye dan Bette Davis dikebumikan.

Bagaimanapun, keluarga itu akan memutuskan untuk menetapkan lokasi sebenar kawasan perkuburan sebagai rahsia sebelum membawa keranda penyanyi itu ke Neverland.

Selain bimbangkan risiko adanya pihak yang akan mengorek mayat beliau, ahli keluarga juga bimbang bahawa kubur itu akan diceroboh atau diconteng berikutan perbicaraan beliau pada 2005 lalu membabitkan dakwaan terhadap penderaan kanak-kanak.

Penghormatan terakhir Jackson akan diadakan di Staples Center, Los Angeles di mana berjuta-juta orang cuba memohon untuk mendapatkan sejumlah 17,500 tiket masuk percuma yang ditawarkan online
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...