Ahad, 25 Julai 2010

Cerita Guan Eng

Sokongan ramai pengundi Melayu kepada pakatan pembangkang di Pulau Pinang yang diperolehi daripada pengaruh Pas terutamanya pada pilihan raya umum lalu, ternyata tidak diterjemahkan sewajarnya oleh DAP.
Malah Ketua Menteri, Lim Guan Eng sedikit demi sedikit mengkhianati suara pengundi terutama Melayu dan India. Banyak gerai penjaja Melayu dirobohkan. Penempatan Melayu juga menjadi sasaran. Kampung Buah Pala yang merupakan penempatan popular kaum India turut lenyap.

Perarakan Maulidur Rasul untuk umat Islam pernah dibatalkan. Sekatan terhadap media juga semakin ketara di Pulau Pinang termasuk ke atas akhbar terbitan Kumpulan Utusan. Kebebasan media dan keterbukaan yang dijanjikan semasa kempen pilihan raya umum, hanya palsu. Bukan setakat itu, Utusan Malaysia dilabelkan sebagai penjahat oleh Guan Eng hanya kerana tidak membawa aspirasi DAP (yang cenderung untuk merungkai Perlembagaan negara). Rasanya belum pernah ada mana-mana pemimpin di dunia melabelkan akhbar sebagai penjahat kecuali beliau. Bagi ramai pengamal media di negeri itu, Guan Eng tidak boleh dikritik. Beliau mudah melatah dan bertindak balas.

Awang juga masih ingat bagaimana Setiausaha Agung DAP itu pernah mendakwa Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock mati dibunuh sedangkan siasatan dan inkues hanya baru bermula. Kenyataan tersebut berbaur hasutan dan bercanggah dengan prinsip undang-undang.
Terbaru, beliau menghina dan memperlekehkan penjawat awam iaitu Pegawai Kemajuan Negeri (SDO) Nik Ali Mat Yunus secara terbuka berhubung isu curi pasir.

Nik Ali turut mendakwa beliau dilemparkan kata-kata kesat oleh Guan Eng kerana kononnya tidak menyediakan tempat duduk kepada beliau pada satu majlis rasmi di Bukit Bendera pada Oktober 2009. Bagaimanapun berdasarkan gambar yang disiarkan oleh media kelmarin, jelas menunjukkan Guan Eng duduk di kerusi kenamaan pada majlis tersebut. Banyak pihak terkejut dengan sikap Guan Eng termasuk Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Huan Cheng Guan. ‘‘Sebagai ketua kerajaan, Guan Eng sepatutnya malu dengan tindak-tanduknya,” kata beliau.

Awang hairan mengapa beliau perlu mengambil pendekatan konfrantasi terhadap pegawai awam. Persoalan yang berlegar apakah Guan Eng bersikap rasis dan mungkinkah beliau akan mengambil tindakan yang sama jika pegawai awam itu adalah seorang Cina?

Itu belum lagi menyentuh isu cubaan untuk merobohkan bangunan tambahan sekolah TUDM. Mujurlah majlis daerah bertimbang rasa bagi membolehkan perbincangan diadakan.

Banyak lagi kritikan terhadap beliau. Misalnya orang ramai masih bercakap isu sistem tender terbuka yang dijanjikan telus tetapi ternyata tidak. Ada pendedahan oleh seorang pemimpin pembangkang sebelum ini bahawa Guan Eng sendiri mempengerusikan lembaga tender. Beliau juga pernah mencetuskan bantahan ramai apabila mahu mengadakan pilihan raya bagi Majlis Pihak Berkuasa Tempatan, yang kita tahu apa motifnya.
Lalu Awang teringat komen seorang tokoh, lagi banyak media arus perdana mendedahkan kelemahan kerajaan Pulau Pinang, ia akan menguntungkan politik Guan Eng. Analisis beliau, lagi Guan Eng ditekan lagi kuat sokongan kaum Cina kepada beliau.

Awang tidak mahu bercongak tentang politik. Yang tidak betul mesti disanggah. Jika ada yang baik sebagaimana gaya kepimpinan Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak, ia wajar dihargai tanpa mengira sama ada ia pimpinan pembangkang. Pertimbangan Awang adalah rakyat. Ada juga yang berpendapat, biarkan sahaja Guan Eng bermaharajalela kerana lagi banyak kesilapannya, lagi menguntungkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang. Sekali lagi pertimbangan Awang adalah rakyat, yang tidak seharusnya menjadi korban. Rakyat bukan bahan eksperimen politik.

Apa pula rumusan terhadap kepimpinan Guan Eng setakat ini? Awang menyertai sentimen orang ramai dan pelbagai pihak bahawa beliau seorang diktator dan makin angkuh. Sikap rasisnya pula menebal. Juga kian jelas ialah kegelojohan beliau untuk menjadikan Pulau Pinang bagaikan pemerintahan republik dan seolah-olah negeri itu beliau yang punya. Sebenarnya Guan Eng belum cukup masak untuk diangkat menjadi Ketua Menteri. Ramai tahu, beliau naik cepat dalam pendakian politik kerana statusnya sebagai anak pemimpin utama DAP, Lim Kit Siang. Ada beberapa lagi pemimpin muda DAP yang berbakat dan berkebolehan tetapi semuanya terpinggir kerana Kit Siang mahukan anaknya menjadi pengganti beliau. Anak bapaklah katakan. Kronisme memang hebat dalam DAP berbanding parti lain. Awang ingin mencadangkan penubuhan sebuah panel penasihat bagi membantu Guan Eng agar tidak terus menjadi liabiliti kepada pakatan pembangkang. Orang yang paling sesuai mengetuai panel itu ialah Kit Siang sendiri. Tolonglah ajar anak anda.

sumber: Utusan Malaysia

Jenaka tahunan yang tidak pernah selesai

Masih ingatkah lagi kisah "jenaka" Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di bawah Kementerian Belia dan Sukan dalam laporan Ketua Audit Negara tahun 2006 apabila satu set pemutar skru dibeli dengan harga RM224.94 berbanding harga di pasaran hanya RM40? Begitu juga dengan pembelian kamera digital dengan harga RM8,254.29 seunit berbanding harga sebenar RM2,990.

Ini antara yang menggunakan wang rakyat tetapi ironinya rakyat tidak tahu apa kesudahannya kisah "jenaka" ini dan kenapa jadi begitu. Rakyat berhak tahu kerana mereka yang membayar cukai kepada kerajaan dan setiap sen yang digunakan mestilah mempunyai alasan yang munasabah.

Setiap tahun Ketua Audit Negara akan membentangkan laporan untuk tahun sebelumnya. Sesetengah laporan memang akan mengejutkan sesiapa saja apa lagi mereka yang tahu harga sebenar dan harga yang dibayar oleh kerajaan kepada pembekal peralatan kepada kerajaan. Persoalannya adakah Laporan Ketua Audit Negara pada setiap tahun dianggap sebagai formaliti saja dan tidak ada tindakan susulan apabila ada harga "yang tidak masuk akal" terpaksa ditanggung oleh kerajaan? Ketua Audit Negara telah menjalankan tugas dengan cemerlang dan tegas apabila mendedahkan harga yang "tidak masuk akal" tetapi apakah tindakan kepada mereka yang terlibat?

Semua rakyat memerhati walaupun tidak semua bersuara. Perkara ini tidak boleh diambil remeh apabila kerajaan dilihat tidak cekap menguruskan wang rakyat kerana berlaku pembaziran yang melampau di sesetengah agensi atau jabatan kerajaan. Sebuah badan petugas difahamkan telah ditubuhkan untuk menyiasat penyelewengan dalam Laporan Ketua Audit Negara tetapi rakyat tidak diberitahu hasil siasatan tersebut.

Dalam sidang Dewan Negara Isnin lalu, Senator Ezam Mohd Nor telah menyentuh mengenai Laporan Ketua Audit Negara tahun 2008 semasa membahaskan Rancangan Malaysia Ke 10 (RMK-10). Menurut Ezam, laporan itu sangat baik kerana berjaya mengetengahkan beberapa perkara yang berlaku di luar aturan sekali gus mencetuskan kepada siasatan mengenai penipuan dan rasuah. Beliau bagaimanapun mempersoalkan apakah tindakan yang dikenakan kepada pihak yang melakukan penyelewengan tersebut? Siapakah mereka?

Apakah ini turut melibatkan pemimpin politik?

Saranan Ezam supaya ditubuhkan sebuah badan bebas untuk menyiasat dan membuat tindakan susulan hasil daripada Laporan Ketua Audit Negara adalah suatu yang dinanti-nantikan selama ini. Bukan itu saja malah badan bebas tersebut mesti bertanggungjawab melaporkan hasil siasatan kepada Parlimen. Sudah sampai masanya kerajaan memanfaatkan laporan Ketua Audit Negara dengan memandang serius kepada beberapa "perkara luar biasa" yang ada dalam laporan yang didedahkan kepada rakyat setiap tahun. Tujuan mengaudit adalah untuk membendung supaya tidak berlaku penyelewengan di jabatan dan agensi kerajaan.
Positif

Kerajaan harus memandang positif saranan Ezam untuk berlaku adil kepada pegawai dan ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan yang menjalankan tugas dengan penuh amanah. Malah Laporan Ketua Audit Negara pun tidak mengatakan semua ketua jabatan dan agensi kerajaan mengambil sikap sambil lewa tentang pembelanjaan. Tetapi apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab atau tidak amanah menggunakan wang rakyat tidak dikenakan sebarang tindakan, ini satu penghinaan kepada mereka yang amanah dan berkira-kira untuk membazirkan duit rakyat. Untuk melahirkan penjawat awam dan ketua yang amanah, kerajaan mesti bertegas membanteras segala macam penyelewengan apabila wujud "harga yang tidak masuk akal".

Antara yang mengejutkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008 ialah kerajaan terpaksa menanggung sebahagian besar daripada kerugian berjumlah RM1.14 bilion dalam Projek Landasan Berkembar antara Rawang dan Ipoh, mengesan adanya pembekal alatan kepada Badan Berkanun Persekutuan pada harga yang "tidak masuk akal" bagi tahun 2008. Selain itu Laporan Audit Negara juga menemui bukti pembelian petrol dengan harga RM300 seliter oleh pihak tertentu di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan projek pembinaan Hospital Pekan, Pahang yang melibatkan kos berjumlah RM96.45 juta tidak memuaskan sementara kemudahan yang disediakan tidak boleh dimanfaatkan oleh orang awam.

Ini hanya sebahagian kecil daripada sekian banyak perkara yang luar biasa ditemui dalam Laporan Ketua Audit Negara sejak dulu hingga sekarang. Banyak juga yang tidak diperkatakan. Tetapi hingar bingarnya hanya seketika saja dan semuanya berjalan seperti biasa apabila tidak ada laporan tentang tindakan kepada mereka yang melakukan penyelewengan, tidak cekap dan segala macam sikap buruk yang tidak harus ada kepada penjawat awam. Maka tidak hairanlah kalau ada yang membuat tanggapan bahawa Laporan Ketua Audit Negara tidak lebih sebagai formaliti yang tidak perlu dipandang serius.

Sekiranya semua pihak yang terlibat dengan penyelewengan seperti dalam Laporan Ketua Audit Negara dikenakan tindakan, rakyat perlu diberitahu bentuk tindakan yang dikenakan. Semua ini untuk mengelak tanggapan bahawa tindakan itu hanya sebagai syarat saja tetapi tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. Maka saranan supaya diwujudkan sebuah badan siasatan bebas dan dilaporkan ke Parlimen adalah jalan keluar untuk menyakinkan rakyat bahawa kerajaan memandang berat kepada penyelewengan duit rakyat.

Sebelum ini selepas Ketua Audit Negara membentangkan laporannya, sebuah jawatankuasa ditubuhkan untuk menyiasat rasuah dan penyelewengan dalam laporan 2008. Dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, dianggotai oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Ketua Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Tetapi sehingga kini rakyat belum diberitahu hasil siasatan jawatankuasa tersebut terhadap penyelewengan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008. Adakah jawatankuasa ini juga hanya formaliti?

sumber: Utusan Malaysia

Isnin, 19 Julai 2010

Mengenang nasib ribuan wanita malang


ADA peristiwa tidak boleh dilupakan. Seperti pembunuhan beramai-ramai 8,000 orang Islam, termasuk kanak-kanak lelaki oleh laskar Serbia 15 tahun lalu. Peristiwa itu berlaku di Srebenica setelah laskar Serbia menguasai sebilangan kecil tentera pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Mereka mulanya menghantar sebilangan wanita dan anak-anak perempuan ke tempat lain, dan kemudian membunuh kesemua lelaki termasuk kanak-kanak.
Upacara memperingati tragedi itu diadakan beberapa hari lalu kerana ketua laskar Serbia, General Ratko Mladic masih bebas dan dilindungi oleh para pengikut yang setia. Walhal tokoh yang menjadi ketuanya, Radovan Karadzic telah pun ditawan dan sedang dibicarakan oleh Mahkamah Jenayah Perang Antarabangsa.
Kerajaan Serbia pada 31 Mac lalu melafaz ampun maaf atas apa yang berlaku pada tahun 1995. Ini berkait dengan permohonannya untuk menjadi ahli Kesatuan Eropah, dan pemberitahuan bahawa mereka mesti menawan Jeneral Mladic dahulu untuk dibicarakan.
Terdedah kini bahawa pihak berkuasa Serbia telah memperolehi 18 buah diarinya yang mencatat pelbagai kejadian. Sebuah akhbar Amerika melaporkan mengenai General Mladic bertemu dengan pihak-pihak lain dan membincangkan langkah-langkah untuk membahagikan Bosnia dan mengusir orang Islam dari pelbagai wilayah.
Lalu dilaporkan kenyataan ketua golongan Croatia, Jadrauku Piric: "Kita perlu sepakat untuk melakukan dua tiga perkara kerana orang Islam adalah musuh kita. Pertamanya, kita mesti menewaskan mereka."
Berikutan pertemuan lain, Jeneral Mladic mencatatkan kenyataan seorang jeneral puak Croatia yang kini sedang dibicarakan atas tuduhan jenayah perang: "Kalau kita bunuh 50,000 lagi orang Islam, kita tidak akan mencapai apa-apa. Bilangan mereka akan pulih semula."
Seterusnya dilaporkan, pegawai-pegawai Serbia, dari presiden ke bawah terus berjanji untuk menangkap Jeneral Mladic, tetapi ramai di kalangan kerajaan diketahui menentang langkah tersebut. Jeneral Mladic sendiri telah memberitahu dia tidak akan ditawan hidup-hidup.
Dalam keadaan ketua dan rakan seperjuangannya Radovan Karadzic dibicarakan oleh mahkamah jenayah perang, dia membela diri sendiri tanpa peguam.
Telah pun dibicarakan ialah Presiden Siberia sebelum ini, Slobodan Milosevic yang kemudian meninggal dunia kerana sakit jantung.
pelarian
Berikut adalah laporan bertarikh 13 Julai 1995 dari Bosnia mengenai apa yang berlaku. ''Para pelarian menyerahkan segalanya kepada Allah kerana PBB telah mengenepikan mereka. Selama empat tahun lamanya perkampungan mereka dibedil dan akibatnya mereka kebuluran. Akhirnya mereka terpaksa meninggalkan rumah masing-masing dan segala harta yang dimiliki.
Menurut Gerakan Wanita di Srebenica kira-kira 2,000 wanita dan anak-anak perempuan tidak diketahui betapa nasib mereka. Lebih 8,000 lelaki telah dibunuh. Semua pihak mengetahui apa yang berlaku."
Akhirnya setelah sekian lama bersengketa dan berperang ketiga pihak yang bersangkutan - Serbia, Croatia, Bosnia - dipaksa oleh Amerika supaya berdamai. Rundingan diadakan di Dayton, Ohio dan perjanjian tercapai tetapi tidak dilaksanakan sepenuhnya.
Terus menjadi tanda-tanya betapa nasib beribu-ribu wanita setelah lebih 8,000 lelaki dibunuh iaitu suami, ayah, nenek lelaki, abang, adik dan juga anak-anak lelaki. Kerana itu peristiwa sedih diperingati setiap tahun adanya

sumber: Utusana Malaysia

Habis manis sepah dibuang

Sejak akhir-akhir ini laman blog saya terus mendapat hits yang tinggi dari dalam dan luar negara. Setiap minggu, komen-komen yang diberikan melebihi 200. Ada yang tidak faham bahasa Melayu pun cuba untuk memahaminya, supaya mereka turut dapat memberikan komen dan maklum balas. Saya ucapkan terima kasih. Seperti biasa, kumpulan ultra kiasu terus menerus menyerang untuk melemahkan semangat saya agar berhenti menulis.
Paling menarik perhatian adalah pandangan yang mahukan saya menjadi jambatan, penghubung antara orang Cina dengan Islam. Bukannya merosakkan hubungan tersebut, dengan tulisan-tulisan saya didakwa merosakkan imej Islam dan dakwah, sehingga Islam dipandang rendah oleh rakan sebangsa.
Agak malang juga mereka yang memberi komen hanya melihat saya sebagainya seorang 'mualaf' semata-mata, bukan kepakaran bidang yang saya miliki iaitu politik dan kerajaan. Saya sarankan mereka yang ingin membaca pandangan saya sebagai 'mualaf' dan dakwah, supaya membeli dan membaca majalah Al-Islam setiap bulan. Di situ pembaca akan melihat bagaimana saya bertindak sebagai jambatan (bridge) antara Islam-bukan Islam.
Tetapi tidak dalam kolum Mingguan Malaysia. Kolum ini lebih menonjolkan kepakaran silang budaya politik dan peradaban yang saya miliki dan kaji selama ini. Justeru, kita perlu bezakan antara individu 'mualaf' dengan bidang kepakaran, adalah dua perkara yang berbeza. Bidang kepakaran adalah tempat untuk mengasah bakat dan ilmu yang telah ditimba sebelum ini, seperti mana kita menulis jurnal akademik, perlu berasaskan kajian dan fakta.
Bila saya menyentuh dan menyindir serba sedikit bangsa saya, itu bukan bermakna saya menghina dan merendah-rendah mereka, seolah-olah lupa asal-usul. Saya sedar siapa saya dan saya bangga dengan kurniaan itu. Sememangnya saya tidak boleh menjadi Melayu. Malah, saya berbangga peradaban bangsa saya, kerana bangsa saya tidak pernah menjajah bangsa lain, walaupun mereka boleh berbuat demikian dengan kekuatan yang ada. Buktinya hubungan China - 'kerajaan' Melayu Melaka ribuan tahun dahulu.
Inilah perkara yang saya selalu hujahkan. Berbeza dengan penjajah Inggeris, di mana ada kesempatan, di situlah mereka menjajah dan mencari peluang, berpegang kepada prinsip 3G, Gospel, Gold and Glory.
Bangsa saya tidak sedemikian sifatnya. Saya tidak mahu bangsa saya meniru kebongkakan penjajah. Biarlah kita mengikut resmi padi, makin berisi, makin merunduk. Hubungan harmonis zaman dahulu kala mesti kekalkan tanpa mengguris hati dan perasaan orang lain. Tidak ada pergaduhan dan penjajahan, yang ada hanya interaksi perdagangan sehingga berlaku asimilasi, akulturasi, akomodasi dan integrasi. Melalui proses itu, hubungan dan kefahaman mereka menjadi semakin mantap antara satu sama lain. Lihatlah perwatakan baba nyonya, berbeza sekali dengan ultra kiasu.
Inilah perkara yang mesti diwujudkan kembali, bukan menghidupkan kembali prinsip 3G penjajah yang bongkak itu. Saya tidak kata, 3G itu salah, tetapi biarlah berpada-pada. Apa yang kita mahu di bumi bertuah ini. Agama (gospel) telah pun kita dapat dan bebas diamalkan tanpa gangguan, hatta bilangan rumah penyembahannya melebihi berkali ganda daripada rumah ibadat Islam. Pun begitu masih tidak bersyukur lagi sehingga ada yang cuba berdakwah dan memurtadkan umat Islam yang ternyata bercanggah dengan Perlembagaan. Perkara inilah yang menimbulkan sensitiviti umat Islam.
Kekayaan
Begitu juga dengan kekayaan (gold). Walaupun, tidak semua yang kaya, hakikatnya bukan Islam menguasai lebih banyak melebihi dari umat Islam. Maka, sudah sampai masanya kita membantu mereka yang masih belum berjaya, bukannya membawa kekayaan itu ke seberang laut. Ketika susah dahulu, orang menolong kita, sudah sampai masanya kini kita membalas balik jasanya itu.
Kekayaan yang dimiliki ini bukan hanya dapat dilihat pada wang ringgit, tetapi kekayaan warisan pusaka nenek moyang terus dikekalkan seadanya tanpa diganggu-gugat. Masihkah kita tidak berpuas hati? Apakah belum mencukupi?
Tidakkah kita perlu berpada-pada? Supaya ada umat Islam tidak terasa didominasi kerana mereka mengambil pendekatan tidak mendominasi.
Hal yang sama juga kita dapat lihat kepada kemegahan (glory). Hari ini, ke manapun bangsa saya pergi, mereka terus berjaya kerana mereka begitu kuat berusaha. Saya amat memuji sifat ini. Inilah sifat Islam yang sepatutnya ada pada umat Islam. Tetapi jangan sampai kelihatan seperti Belanda minta tanah? Tidak pernah merasa cukup. Itu yang menjadikan orang lain terasa hati, seolah-olah dipinggirkan di bumi sendiri.
Perkara yang selalu saya bangkitkan untuk diperhatikan dan dipertimbangkan bersama. Keadaan yang ada di negara kita tidak pernah berlaku di tempat lain. Bukankah ini syurga kepada kita? Buatlah kajian dan perbandingan untung nasib kita dengan negara lain. Kenapa setiap kali perlu dipertikaikan? Kita tidak pernah puas. Jangan bertindak seperti Yahudi di Palestin. Disebabkan hak-hak umat Islam yang telah tergadai dan dinodai di bumi sendiri, kita lihat pertikaian Palestin-Yahudi tidak ada penghujungnya sehinggalah hak umat Islam dipulangkan di bumi sendiri. Keadaan ini sudah hampir sama di sini.
Inilah peringatan demi peringatan yang selalu saya titipkan supaya kita sedar diri. Saya menjadi sebegini, sebab saya amat memahami mereka. Sejak dari kecil saya membesar bersama mereka. Kerana kesempitan hidup mereka terpaksa menggadaikan harta kesayangan mereka. Akhirnya kita juga yang menjadi kaya. Mereka juga yang miskin.
Saya yakin saya lebih memahami mereka daripada ultra kiasu, sehingga saya dituduh tidak memahami bangsa sendiri. Tidak mengapalah kalau begitu. Saya tidak kisah sama ada saya diterima atau tidak, oleh bangsa saya, kerana saya masih boleh hidup tanpa bangsa. Tetapi saya tidak boleh hidup tanpa Islam.
Dahulu umat Islam diam, hari ini mereka kembali bangkit. Mereka tidak mahu kekayaan negara ini terus dikaut orang lain. Mereka mahu ia dikongsi secara bersama kerana inilah bumi yang mereka ada, warisan nenek moyang.
Perkongsian ini mesti dilakukan sekiranya kita ingin melihat masa depan yang lebih gemilang tanpa prasangka. Jika tidak, masalah tidak akan selesai dan kita tidak akan menang. Hari ini kelihatan kita tidak mahu berkongsi, tetapi terus menentang. Kita mahu menjadi eksklusif bukan inklusif. Tidakkah inklusif lebih baik daripada eksklusif?
Artikel saya minggu lepas dicabar dengan mendedahkan perbuatan seks kalangan orang Islam dan umat Islam yang menjadi hamba seks di Bangladesh. Saya diminta oleh puak ultra kiasu ini supaya pergi ke Bangladesh membebaskan hamba seks kalangan umat Islam. Berulang kali saya telah sebut, saya tidak mahu membuka pekung di dada, sebab saya kenal dan tahu cara hidup rakan sebangsa.
Ultra kiasu tidak perlu membawa statistik hamba seks kalangan umat Islam di Bangladesh. Hamba seks di negara kita sendiri yang begitu banyak berleluasa termasuk pemerdagangan manusia bagi tujuan seks dan mengaut kekayaan, perlu dijaga dahulu. Siapakah yang melakukannya? Kita tidak kisah perbuatan tersebut haram atau tidak, yang penting boleh buat duit dan menjadi kaya raya.
Kita mengambil sikap tidak kisah isu ini. Berapa ramai wanita bukan Islam yang menjadi korban hasil nafsu buas lelaki. Hidup bersekedudukan tanpa kahwin. Saya berani mengatakan bahawa dari kalangan anak muda dan anak gadis mereka, hampir 100 peratus daripada mereka telah melakukan seks bebas sebelum berkahwin secara sah. Itupun bernasib baik jika mereka berkahwin. Jika tidak, orang lain turut menjadi mangsa kerana mendapat teman yang telah ditebuk tupai. Saya masih percaya mereka yang memberi komen dalam blog saya turut melakukan perkara yang sama. Mereka tidak kisah mendapat teman hidup yang telah ditebuk tupai, kerana selepas itu, mereka boleh menyimpan berpuluh-puluh mistress kerana bagi mereka tidak berdosa, asalkan niat baik.
Jangan
Dengan sebab itu, jangan kita keterlaluan menghina orang Melayu yang terlibat dalam gejala sosial dan seks bebas. Berpada-padalah. Kita paparkan seks bebas yang berlaku di kalangan orang Melayu. Pada saya, itu bukanlah perkara pelik sebab ramai lagi umat Islam yang tidak melakukan seks bebas berbanding kita.
Semua bukti ini dalam genggaman saya. Statistik umat Islam yang terlibat dan didedahkan dalam media bagi saya ada baiknya, sebab umat Islam amat sensitif dengan perbuatan haram ini dan mahu mencari jalan penyelesaian.
Sedangkan bukan Islam merasakan ia tidak penting. Tetapi, bila anak luar nikah tidak dapat dibinkan bapanya, kita menyalah kerajaan dan Jabatan Pendaftaran Negara. Namun, bila kerajaan bertolak ansur dengan memenuhi tuntutan dan desakan itu, kita gigit dan kutuk kerajaan habis-habisan, bukannya mahu berterima kasih. Adakah tindakan ini wajar?
Jika bilangan anak luar nikah yang menjadi tanda aras, saya fikir bilangannya anak luar nikah umat Islam tidaklah membimbangkan sangat. Berbanding dengan 'anak luar nikah' bukan Islam yang digugurkan sejak awal atau menggunakan alat pencegah hamil. Jika dibiarkan seperti mana yang dilakukan oleh anak gadis Islam, paling ramai anak luar nikah adalah orang bukan Islam.
Itupun nasib baik jika mereka bertanggungjawab. Ada yang terus ditinggalkan, habis manis sepah dibuang. Justeru, janganlah menuding jari seolah-olah orang Islam sahaja yang ketagih dan suka seks. Puak ultra kiasu boleh ambil gambar remaja melakukan perbuatan sumbang tersebut dan link ke blog saya. Saya hanya tersenyum dan ketawa kecil.

sumber: Utusan Malaysia

Perisik jelita dalam kisah ala James Bond

SETIAP kali muncul berita filem terbaru James Bond akan ditayangkan, dua perkara utama menjadi perhatian peminat fanatiknya. Pertama, adakah pelakon baru akan ditampilkan sebagai tonggak perisik MI6 yang tidak pernah gagal dalam menjalankan misi perisikan untuk negaranya.
Kedua, siapa bakal heroin yang mengambil tempat gadis Bond yang seringkali meninggalkan kesan dan magisnya tersendiri.
Kebiasaannya watak gadis Bond dilakonkan sama ada sebagai wanita terdesak yang perlu diselamatkan, ejen perisikan lain yang berpaling tadah mahupun wanita manipulatif yang berkepentingan.
Pernah juga watak gadis Bond melebihi seorang namun mereka hanya sekadar pelengkap atau boleh dikatakan "penyedap" kepada Bond setelah penat bergasak.
Walaupun filem terkini Bond lebih menjurus kepada aksi-aksi mencemaskan yang lebih hidup dan terampil, bukan lagi stereotaip seperti zaman Roger Moore dan Sean Connery, namun karakter sebagai gadis Bond tidak pernah berubah.
Mungkin untuk menyerlahkan peranan wanita, diletakkan watak M yang dilakonkan oleh Judi Dench sebagai boss kepada Bond.
Namun ciri-ciri wanita kepada watak James Bond yang kini dilakonkan oleh Daniel Craig kekal menonjolkan wanita cantik yang sanggup mendedahkan sebahagian tubuhnya untuk tatapan umum selain babak panas antara mereka.
Mungkin ada yang berpandangan itu sebagai sebahagian dari "ekspresi seni" seperti mana ada pelakon tempatan yang sanggup berbogel untuk filem lakonan mereka.
Hakikatnya mereka dieksploitasi sebagai simbol seks bagi melariskan jualan filem Bond yang sering dinanti oleh para peminatnya.
Walau apa pun reaksinya, baru-baru ini dunia dikejutkan dengan penghantaran pulang sepuluh ejen rahsia Rusia dari Amerika Syarikat (AS) termasuklah wanita bernama Anna Chapman yang mencetuskan sensasi awal bulan ini.
Penghantaran itu sebagai pertukaran dengan empat pengintip Barat yang ditahan oleh Moscow, setelah kedua-dua negara memeterai perjanjian pertukaran pengintip paling sensasi sejak kemuncak Perang Dingin.
Suspek pengintip dalam tahanan AS mengaku bersalah di sebuah mahkamah persekutuan New York atas tuduhan bertindak sebagai ejen rahsia bagi Moscow dan diarah supaya diusir serta-merta dari AS dan tidak dibenarkan kembali buat selama-lamanya.
Kes tersebut yang dilihat mampu merosakkan hubungan yang semakin baik antara White House dengan Kremlin mencapai kesudahan dramatik apabila ejen-ejen itu dibawa menaiki penerbangan ke Moscow, hanya beberapa jam selepas dihadapkan ke mahkamah.
Sebagai pertukaran, Rusia bersetuju untuk membebaskan empat orang yang dipenjarakan kerana didapati bersalah mengintip. Walaupun mendapat publisiti meluas, kumpulan pengintip itu dipercayai tidak beroperasi secara profesional dan tidak membawa kesan besar dalam tempoh sedekad sejak diwujudkan.
Anna Chapman atau nama sebenarnya Anna Kushchenko bukanlah menimbulkan kontroversi melalui kerja-kerja perisikannya tetapi dia mencetuskan sensasi menerusi gambar-gambar seksinya di Internet dan laman sosial facebook.
Malah dikatakan penghantaran balik Kushchenko dilakukan atas tipu muslihat perisikan Rusia yang melihat dia semakin terpesong dari matlamat asal kerana terpengaruh dengan kebebasan yang tidak ada di negara asalnya.
Perisikan
Dunia pernah melahirkan ejen-ejen perisikan wanita hebat seperti mana peranan wanita dari Britain, Melita Norwood yang bertindak menjadi ejen kepada Rusia ketika Perang Dingin atau Stephanie Julianna von Hohenlohe yang berasal dari keturunan aristokrat Jerman yang menjadi mata dan telinga kepada Adolf Hitler dalam Perang Dunia Kedua.
Namun pastinya wanita paling terkenal sebagai perisik adalah penari kelahiran Belanda yang lebih dikenali sebagai "Matahari" dan dikenali di Eropah serta menjadi wanita simpanan kepada ramai golongan elit sebelum ditangkap dan dijatuhkan hukuman bunuh kerana disyaki menjadi ejen untuk dua negara iaitu Jerman dan Perancis.
Namun lain pula halnya dengan Kushchenko yang kerja-kerja perisikannya masih belum begitu menonjol tetapi popularitinya lebih dikenali kerana keseksian dan kecantikan yang ditonjolkan dalam laman sosial facebook, Youtube dan sebagainya.
Melihat kepada adegan hidup Kushchenko adalah sangat berbeza dengan filem-filem James Bond yang sarat dengan adegan cemas, dramatik dan tembak-menembak.
Bersesuaian dengan zaman, Kushchenko menggunakan sepenuhnya kecanggihan teknologi dengan mendedahkan gambar-gambar seksinya di Internet untuk cuba menggoda dan mempengaruhi pegawai kerajaan dan ahli perniagaan AS bagi menyerahkan rahsia kerajaan yang dimiliki.
Kushchenko yang dilahirkan Volgograd, Rusia pada 23 Februari 1982 pernah berkahwin dengan seorang warga Britain, Alex Chapman pada 2001 ketika bekerja di sana. Bagaimanapun pasangan ini bercerai pada 2005 berikutan isterinya mula menjarakkan diri setelah bergaul dengan sekumpulan orang Rusia yang sangat berahsia serta berpengaruh.
Setelah bercerai Kushchenko kembali seketika ke Rusia namun kedua mereka masih tetap berhubung. Bekas suaminya itu kemudian memberitahu pihak berkuasa, Kushchenko berpindah ke AS dan bertemu dengan beberapa ahli perniagaan negara itu bagi memulakan perniagaan hartanah pada 2006.
Perniagaannya itu mula menunjukkan peningkatan mendadak pada tahun lepas malah dia mampu menggaji 50 orang pekerja. Dalam laman sosial facebook, dia menyatakan dirinya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PropertyFinder Ltd. sebuah firma hartanah yang berpusat di Manhattan.
Menurut perisikan AS, tugas Kushchenko lebih kepada mendapatkan mereka yang dirasakan berpotensi untuk dilatih sebagai perisik senyap kepada Rusia. Dia hanya perlu memerhati, membuat hubungan dan menghantar nama mereka yang sesuai untuk dilatih sebagai ejen
Namun sejak kebelakangan ini misi yang sepatutnya dilakukan oleh Kushchenko terbantut kerana dia dikatakan mula terpengaruh dengan kehidupan di AS yang lebih terbuka dan menyeronokkan berbanding di Rusia.
Kushchenko dikatakan lebih banyak menghabiskan masa di kelab-kelab malam dan berparti di kelab eksklusif kerana terpengaruh dengan gaya hidup bebas di AS.
Melihat kepada keadaan ini pihak berkuasa di Rusia menghantar pegawai mereka bertemu dengan Kushchenko untuk memberi kata dua. Namun dia dengan selamba berkata "apa yang anda boleh lakukan, mahu membuat laporan polis,".
Pepatah Melayu ada menyatakan terlajak perahu boleh ditarik terlajak cakap padah akibatnya. Melihat kepada kesombongan Kushchenko, pihak KGB mula memasang perangkap dan akhirnya pada 27 Jun lepas dia bersama sembilan yang lain ditahan atas tuduhan menjadi ejen rahsia Rusia.
Namun penangkapan Kushchenko telah menjadikan dirinya sensasi terbaru di laman sosial, Internet dan Youtube. Gambar-gambar seksinya mendapat perhatian bukan sahaja di AS malah di seluruh dunia.
Begitulah penangan teknologi yang mampu menaik dan menjatuhkan sesiapa sahaja dengan sekelip mata. Mungkin kisah Kushchenko ini tidak seperti yang digambarkan melalui watak-watak gadis Bond.
Lihat sahaja mereka yang pernah menjadi gadis Bond, kebanyakan mereka semakin berjaya di Hollywood seperti Halle Berry yang memegang watak Giacinta "Jinx" Johnson dalam Die Another Day, Kim Basinger dalam Never Say Never Again serta pelakon dari Malaysia, Michelle Yeoh dalam Tomorrow Never Dies.
Episod yang sama juga berlaku kepada Kushchenko yang semakin meniti populariti namun bukan di kaca televisyen tetapi menimbulkan sensasi di ruang maya.
Tanpa melakukan sebarang aksi lasak dan tembak menembak tetapi tetap menonjolkan keseksian dan keistimewaan yang dimiliki seorang wanita, dia membuktikan seorang ejen perisik boleh meniti populariti namun akhirnya terperangkap dalam ilusi yang diciptanya sendiri.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...