Ahad, 30 Oktober 2011

Bola dan kejutan

sumber: Utusan Malaysia

Ada kejutan berkaitan sukan bola sepak yang menarik perhatian ramai peminat sukan negara ini.
Hujung minggu lalu, kekalahan 1-6 Manchester United (Man U) kepada Manchester City dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menjadi perbualan ramai.

Man U yang dianggap kelab bola sepak terhebat dan mempunyai ramai penyokong di seluruh dunia termasuk Malaysia, bukan sahaja dikejutkan.

Malah pasukan itu dimalukan di gelanggang sendiri, Old Trafford, mencatatkan keputusan terburuk dalam tempoh 54 tahun.

Rata-rata peminat Man U sugul dan ada yang bagaikan tidak percaya. Tetapi bola bulat. Itulah yang selalu dikatakan betapa kejutan boleh menimpa ke atas pasukan yang lebih kuat dan favourite.


Awang bukanlah peminat Man U tetapi percaya pasukan itu mampu bangkit kerana mempunyai tradisi keunggulannya tersendiri. Kekalahan di tangan Manchester City bukan cerminan kepada keseluruhan prestasi Man U termasuk dalam EPL. Itu hanya satu perlawanan yang sekadar gagal meraih tiga mata. Tentang sejarah gemilang dan ego Man U terutama di Old Trafford yang telah dirobek oleh Manchester City, itu persoalan lain.

Belum reda peminat EPL memperkatakan tentang perlawanan Man U dan Manchester City, satu lagi kejutan berlaku.

Orang ramai terutama penyokong pasukan Terengganu dan Negeri Sembilan membantah keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menaikkan 70 peratus harga tiket bagi final Piala Malaysia.

Tindakan FAM menaikkan harga tiket daripada RM30 kepada RM50 (bagi semua tempat duduk) mengejutkan. Banyak pihak turut melahirkan kekecewaan dan kemarahan. Secara tiba-tiba imej FAM merudum. Bahkan ada yang sampai melakukan penggodaman ke atas lawan web FAM. Awang tidak setuju terhadap sebarang tindak balas berlebihan ke atas FAM, itu bukan caranya bagi menyelesaikan permasalahan. Namun FAM wajar mengambil iktibar daripada reaksi orang ramai dan pelbagai pihak. Sebarang kenaikan harga tiket perlu diteliti semasak-masaknya apatah lagi dalam keadaan sekarang. Bagi rakyat biasa, kenaikan mendadak sebanyak 70 peratus adalah tinggi. Alasan kenaikan juga tidak kukuh. Jika mahu menampung sebarang pertambahan kos, laksanakan kenaikan pada tahun depan. Buatlah pengumuman lebih awal misalnya ketika kempen Piala Malaysia bermula dan bukan seminggu sebelumnya.

Dalam pada itu, Awang ingin menyampaikan penghargaan kepada Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Shabery Chik dan bekas Naib Presiden FAM, Khairy Jamaluddin yang mahu kenaikan harga tiket itu dikaji semula. Namun usaha mereka dan banyak pihak lagi, gagal mengubah pendirian FAM. Awang boleh faham apabila tiket sudah dijual, sukar untuk mengubah keputusan. Untuk mengheret Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah dalam isu tersebut pada saat-saat akhir juga tidak adil kepada baginda. Baginda tidak terlibat dalam soal operasi dan mesyuarat peringkat jawatankuasa tiket. Isu tersebut boleh dibereskan dari awal lagi jika para pegawai kanan FAM menanganinya dengan bijaksana.

Awang sedih kerana ketika kerajaan berusaha keras membendung kenaikan kos kehidupan yang boleh membebankan orang ramai, FAM tidak membawa semangat dan aspirasi itu.

Adalah diharap pada masa akan kerajaan akan segera campur tangan jika tercetus situasi sedemikian. Selain kesan langsung bantahan dan kemarahan terhadap FAM, kerajaan turut terkena sedikit tempiasnya. Ia tidak akan berlaku begitu jika FAM lebih sensitif.

BISIK-BISIK MINGGUAN AWANG SELAMAT

Yingluck antara banjir dan politik



Banjir besar yang melanda Thailand membantutkan YingLuck memulihkan ekonomi dan politik.



Perdana Menteri Thailand, Yingluck Sinawatra kini berada di antara dua cabaran. Pertama, banjir luar biasa yang melanda beberapa bahagian negara itu termasuk kota metropolitan Bangkok. Keduanya, gelombang politik yang terus mengancam kedudukannya apabila dikaitkan bekas Perdana Menteri dalam buangan, Thaksin Sinawatra. Banjir besar menjadi penghalang utama untuk Yingluck menunaikan janji memulihkan kemelut ekonomi Thailand kepada rakyat.

Krisis banjir menjadi penanda aras kemampuan Yingluck, wanita berusia 44 tahun yang menduduki kerusi Perdana Menteri Ogos lalu. Dua bulan selepas detik gembira membawa parti “baju merah” memenangi pilihan raya, Yingluck diuji dengan bencana banjir. Dia tidak sempat “berbulan madu” apabila banjir mengubah banyak perkara termasuk pelan pemulihan ekonomi dan politiknya. Banjir menuntut tindakan segera, sistematik dan kelicinan penyelarasan antara agensi kerajaan. Dalam mendepani permainan politik di sebalik bencana alam, kekuatan Yingluck sebagai komandan akan diuji. Pada masa yang sama Yingluck didesak menunaikan janji politiknya untuk menaikkan kadar gaji terendah, menyiapkan landasan keretapi laju, memberi komputer tablet percuma kepada pelajar sekolah rendah dan menambahbaikan program kebajikan dan kesihatan kepada rakyat.

Penyelewengan

Harapan rakyat kepada Yingluck terlalu tinggi. Mereka bukan sahaja menanti dasar-dasar popular yang tidak menjejaskan ekonomi malah ketelusan. Yingluck tidak seharusnya menjadi Thaksin yang penuh dengan penyelewengan, skandal, kepentingan peribadi dan sekatan kepada kebebasan media.

Tetapi banjir memaksa Yingluck menangguhkan dasar-dasar bersifat popular kepada rakyat terutama penyokongnya dari parti Thai Rak Thai (TRT). Menangani bencana menuntut tumpuan, terpaksa turun padang dan pada masa yang sama menjadi penyelaras yang bijak antara agensi kerajaan. Ini meletakkan Yingluck dalam tekanan antara langkah-langkah pemulihan ekonomi, merangka strategi untuk menangani pembangkang dari parti “baju kuning”, People Alliance for Democracy (PAD) kerana terpaksa memberi tumpuan kepada banjir.

Yingluck sukar mengikis bayangan abangnya, Thaksin sama ada segi kewangan atau strategi dalam kerjaya politiknya. Ini kerana TRT mendapat dana daripada Thaksin yang pernah memiliki syarikat telekomunikasi Shin Corp kemudiannya menjualnya kepada Temasek (Singapura). Kekayaan Thaksin yang luar biasa menjadi faktor kemenangan Yingluck dan TRT pada pilihan raya lalu.

Banjir besar bukanlah fenomena biasa terutama di utara Bangkok yang menjadi jelapang padi Thailand. Wilayah ini juga menempatkan kawasan perindustrian yang dibangunkan oleh syarikat multinasional lebih sedekad lalu sekaligus penyumbang kepada ekonomi Thailand. Sebelum ini banjir besar melanda Bangkok berlaku pada 1942, 1983 dan terbaru sebelum ini pada 1995. Tetapi kali ini yang terbesar akibat limpahan dari sungai Chao Phraya yang menjejaskan kawasan pertanian lebih luas di sekitarnya. Bermula akhir Julai lalu hingga tiga bulan berikutnya, bencana ini mengorbankan 307 nyawa, menjejaskan kehidupan 2.3 juta orang dan mengakibatkan kerosakan harta benda dianggarkan AS$5.1 bilion.

Limpahan sungai Chao Phraya menenggelamkan kawasan enam juta hektar termasuk 300,000 hektar kawasan pertanian dalam 58 wilayah bermula Chiang Mai hingga ke utara dan sebahagian Bangkok. Bencana banjir terburuk dalam sejarah Thailand ini dianggap hamparan permaidani merah dan ucapan “selamat datang” kepada Yingluck.

Persediaan

Tetapi dia kurang pengalaman dan persediaan. Buktinya pelan tindakan kecemasan kerajaan sangat lemah dan tidak ada penyelarasan yang cekap untuk melicinkan tugas. Arahan yang dikeluarkan oleh beberapa agensi kerajaan bertentangan antara satu dengan lain. Malah keutamaan yang diberikan oleh Gabenor Bangkok, Sukhumbhand Paribatra bertentangan dengan Yingluck. Persoalannya apakah ini disebabkan kelemahan Yingluck sebagai komandan atau wujud permainan politik pembangkang di sebalik bencana untuk mengikis keyakinan rakyat?

Dalam keadaan sekarang Yingluck tidak boleh meminggirkan tumpuannya terhadap banjir. Pada masa yang sama rakyat menuntut disegerakan pelan pemulihan ekonomi akibat krisis yang melanda Asia pada 1997. Penyokong-penyokongnya sebahagian besar terdiri daripada kaum pekerja dan petani dari bahagian tengah Thailand hingga kota metropolitan Bangkok. Malah banyak pekerja asing yang berkerja di wilayah ini menyokong Yingluck. Ini berbeza dengan parti PAD yang mendapat sokongan besar daripada kalangan bangsawan dan elitis.

Krisis ekonomi 1997 memberikan kesan yang sangat besar kepada rakyat apabila kerajaan Demokrat gagal menangani dengan bijak. Malah membuat kesilapan besar mengikut nasihat Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia. Ini memberi peluang kepada TRT pimpinan Thaksin tampil dengan kerangka pemulihan ekonomi yang menyelamatkan negara dari neokolonialisme ekonomi Barat. Hasilnya TRT berjaya mencatat sejarah dalam politik Thailand menguasai dua pilihan raya berturut-turut pada 2001 dan 2005.
Tetapi TRT diterajui Yingluck masih belum teruji, apa lagi mendepani dua ujian sekaligus. Saki baki PAD dalam kerajaan menjadi penghalang kepada perlaksanaan pelan pemulihan ekonomi. Malah kegagalan menangani krisis banjir juga dilihat sebagai satu tindak balas politik pembangkang yang terdiri daripada kalangan pro istana dan kelas pertengahan. Rakyat akan melihat pendekatan menangani krisis banjir sebagai satu penanda aras kemampuan Yingluck.

Maka timbul persoalan adakah banjir besar ini akan turut menghanyutkan Yingluck sebelum sempat menyelesaikan penggal pertamanya? Perlu diingat, kebangkitan rakyat yang berdarah antara “baju merah” dan “baju kuning” hingga melumpuhkan Bangkok sama hebatnya dengan banjir kali ini. Kebangkitan ini boleh berlaku pada bila-bila masa apa lagi mereka menumpang semangat kebangkitan di dunia Arab yang semuanya membawa kejayaan.

Ahad, 23 Oktober 2011

Makna kematian Gaddafi



Kegembiraan meraikan kematian Gaddafi belum menjamin keamanan Libya selepas ini.



BAGI mereka yang mengikuti laporan langsung oleh Al-Jazeera dan BBC mengenai kematian Muammar Gaddafi Selasa lalu, tentu dapat mendengar bunyi latar paparan dari Tripoli itu.

Ini kerana laungan yang terdengar itu adalah takbir hari raya berulang- ulang berkumandang menggunakan pembesar suara ketika anak-anak muda Libya bersorak kegembiraan apabila mendapat tahu Gaddafi telah mati.

Bagi orang Malaysia laungan takbir hari raya pada waktu ini adalah suatu yang pelik.
Dalam laporan langsung di BBC, pemberitanya ialah seorang bukan Islam dan apabila ditanya oleh pembaca berita dari London, apakah laungan yang didengar dari masjid itu, dia menjawab, tidak tahu tetapi menurutnya laungan itu berulang-ulang berkumandang sejak diumumkan kematian Gaddafi.

Di Al-Jazeera pula pemberitanya mengatakan bahawa laungan takbir itu adalah sebagai tanda kegembiraan rakyat Libya atas kematian Gaddafi.

Sememangnya dalam sejarah Islam, takbir yang dilaungkan semasa hari raya itu berupa zikir memuji kebesaran Ilahi ekoran kemenangan tentera Islam dalam Perang Badar melawan Musyrikin. Dalam laungan itu dinyatakan kejayaan orang Islam mengalahkan orang kafir.
Adalah jelas rakyat Libya amat marah pada Gaddafi.

Amarah mereka ini menjadi tanda tanya bagi umat Islam di luar Libya. Ini kerana semasa hidupnya, Gaddafi dipandang tinggi oleh umat Islam.

Bermula dengan rampasan kuasa ke atas Raja Idris pada tahun 1969, Gaddafi muncul sebagai seorang pemimpin Islam yang berjuang membela hak kebangsaan Arab, iaitu termasuk Palestin, kepentingan rakyat, sebab itulah gagasan Buku Hijaunya menampilkan kaedah kesaksamaan pengagihan harta negara dan tidak kurang penting ialah usaha pembebasan rakyat terjajah di seluruh dunia, dari Ireland Utara di barat hinggalah rakyat Moro di timur.

Orang Islam Malaysia sendiri menghormatinya. Berapa ramai anak-anak Melayu yang bernama Gaddafi kerana bapa masing-masing mengkaguminya.

Penulis ingat pada tahun 1972, apabila sebagai kanak-kanak, kawan-kawan sekolah agama bersorak apabila dari radio dilaporkan bahawa Gaddafi menghantar tentera ke Mesir untuk menyertai Perang Ramadan yang menyaksikan pertama kali tentera Israel terpaksa berundur dari SInai.

Ketika Yasser Arafat dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) diusir dari Beirut atas tekanan Barat, maka ke Libyalah tempat mereka mencari perlindungan. Tripoli menggantikan Beirut sebagai pangkalan PLO.
Maka sepanjang pemerintahannya, kehadiran Libya di Malaysia dirasakan. Kerajaan Gaddafi menubuhkan Pusat Kebudayaan Arab Libya di Kuala Lumpur yang peranannya setanding dengan agensi-agensi penerangan kuasa besar lainnya seperti Lincoln Cultural Center (Amerika Syarikat) , British Council, Goethe Institut (Jerman) dan Alliance Francaise (Perancis).

Libya menjadi wakil negara dunia ketiga yang bersuara mencabar pihak Barat. Gaddafi membantu Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) untuk memiliki bangunannya sendiri serta meningkatkan usaha minoriti Islam di Asia Pasifik. Sokongannya kepada Pertubuhan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) adalah jelas.

Sebelum kemunculan Iran sebagai pusat politik yang menjadi perhatian umat Islam, Libya di bawah Gaddafi yang merintis persidangan-persidangan antarabangsa untuk pertubuhan-pertubuhan Islam di seluruh dunia.

Akhir

Namun dari tahun ke tahun hingga di akhir pemerintahannya, terdengarlah betapa kuasa yang dimilikinya bertukar kepada bentuk kuku besi. Layanannya kepada pihak penentang dilaporkan kejam. Turut menjadi mangsanya ialah dari kalangan aktivis Islam.

Tetapi apa yang hendak dihairankan tentang perkara ini di dunia Arab. Mesir, Syria, Sudan, Yaman, Iraq, Tunisia, Algeria dan negara-negara Arab lain juga melayan pembangkang mereka secara keras dan kejam.
Tidak ada satupun negara Arab yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dengan mengadakan pilihan raya umum seperti mana amalan piawai dunia.

Hanya pada tahun ini apabila berlaku kebangkitan rakyat dunia Arab, bermula dari Tunisia, bersambung ke Mesir dan melarat ke Libya, maka kekejaman Gaddafi semakin kuat dilaporkan.

Tidak seperti Hosni Mubarak di Mesir, Gaddafi enggan berundur sebaliknya menjerumuskan negaranya ke dalam perang saudara.

Maka dalam tempoh beberapa bulan dilaporkan pembunuhan dahsyat dilakukan oleh pihak penyokong Gaddafi.

Ternyata seperti di negara-negara Arab yang lain, sebahagian besar rakyat Libya membenci Gaddafi.
Hakikat bahawa kuasa-kuasa Barat telah memasuki Libya dan membantu penentang-penentang Gaddafi secara aktif adalah suatu yang tidak menghairankan.

Dari dulu, Gaddafi merupakan musuh Barat dan apabila rakyatnya sendiri bangkit, tentulah AS dan Eropah dengan senang hati campur tangan. Libya amat strategik dengan kekayaan minyaknya yang tidak dapat ditolak oleh negara-negara Barat.

Melalui sistem demokrasi, bukan saja mereka dapat menunjukkan pembelaan kepada rakyat Libya tetapi pada waktu yang sama, Barat mengharapkan penguasaan ekonomi dan sumber negara itu.

Bendera merah, hitam dan hijau yang dikibarkan oleh para penentang Gaddafi, dan kini menguasai Libya adalah panji-panji lama ketika negara itu di bawah pemerintahan Raja Idris. Pada masa itu Libya dikuasai oleh Barat.

Adakah dengan berakhirnya Gaddafi ini, Libya kembali dikuasai Barat? Adakah demokrasi mesti membawa kepada keadaan begitu?

Kalau begitu, sudah tentu ia merupakan suatu yang malang bagi rakyat Libya. Demokrasi diharapkan menjadi sistem yang dapat memberikan kebebasan dan kehidupan bermutu serta bermaruah kepada rakyat.
Tetapi jika demokrasi menjadi sistem yang boleh dimanipulasi oleh Washington dan Tel Aviv, maka ia adalah malang bagi rakyat Libya, dan dunia Arab umumnya.
Sekali lalu, nasib Gaddafi adalah seperti Saddam yang juga dibenci oleh rakyatnya.
Tetapi sekurang-kurangnya terdapat dua perbezaan iaitu pertama, saddam tidak dibunuh oleh tentera AS, tetapi ditangkap dan kemudian dibicarakan.
Sementara Gaddafi yang merayu supaya nyaeanya diselamatkan telah dibunuh oleh pihak penentangnya, yang terdiri daripada rakyat Arab Libya juga.
Kedua, kejatuhan Saddam adalah ekoran daripada penaklukan tentera Barat ke atas Iraq. Tetapi di Libya, ia dilakukan oleh rakyatnya sendiri, Namun, senjata dan bantuan lain disalurkan oleh pihak barat.
Ternyata perbezaannya kecil saja.
Dunia terutama orang Islam mengharapkan supaya Libya dan Iraq memandang ke depan dan tinggalkan dendam masa lalu. Tumpuan wajar kepada membangunkan negara untuk kesenangan hidup rakyat.
Malangnya keadaan itu masih sukar di Iraq. Di Libya pula, bimbang keamanan tidak dapat diwujudkan kerana pembunuhan Gaddafi merupakan permulaan yang tidak baik bagi kerajaan baru Libya.
Sekurang-kurangnya ketika Afghanistan tumbang, Mujahidin tidak membunuh presiden komunis terakhir Babrak Karmal. Dia dipenjarakan.
Keadaan Afghanistan menjadi buruk apabila Taliban mengalahkan Mujahidin dan terus menggantung Babrak Karmal tanpa proses perbicaraan. Akhirnya negara itu sehingga ke hari ini tidak berjaya mengecapi perdamaian. Perang Saudara dengan penglibatan kuasa luar terus-meneruskan menyebabkan rakyat mereka menderita berpanjangan.
Pembunuhan Gaddafi tentu menimbulkan rasa ngeri di kalangan negara-negara Arab lain yang berhadapan dengan kebangkitan rakyatnya khususnya Yaman dan Syria.
Kuasa sememangnya indah, tetapi apabila ia melangkaui tempoh yang sewajarnya, pemilik kuasa pula akan menjadi mangsa.
Siapa menabur angin, mereka akan menuai badai.
Lebih-lebih lagi pada negara yang telah tertumpah darah rakyatnya. Itulah seperti yang berlaku di Libya. Apabila rakyat Libya terkorban kerana Gaddafi, maka lebih keras balasan yang akan diterimanya.
Keadaan ini telah pun berlaku di Syria. Presiden Bashar Al-Assad akan mengalami keadaan yang sama dengan Gaddafi jika dia tidak menangani perubahan politik dengan mengutamakan kepentingan rakyat.
Begitu juga dengan Presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh. Kedua-dua negara ini adalah strategik bagi AS. Syria kerana ia berdepan dengan Israel. Sementara Yaman dilihat sebagai pangkalan Al-Qaeda.
Dunia Arab menanti perubahan.

Ahad, 16 Oktober 2011

Sedia hadapi krisis kewangan



PARA aktivis memprotes secara aman di hadapan pusat kewangan terkemuka dunia Wall Street, di New York sebagai bantahan terhadap krisis kewangan dunia yang semakin meruncing. – Reuters



PADA Rabu lalu seramai 100 orang yang berpengaruh dari seluruh Eropah telah menulis surat terbuka kepada ketua-ketua 17 negara kesatuan Eropah. Dalam surat kepada ketua-ketua negara berkenaan, ada menyebut bahawa mereka tidak boleh lagi ambil mudah atau sekadar “menyepak tin kosong di tepi jalan”.
Dengan lain perkataan ketua-ketua negara Eropah mesti melakukan sesuatu ke atas masalah hutang yang mereka hadapi termasuk masalah sistem perbankan atau malapetaka akan mendatangi mereka semua.

Pasaran kewangan dan pasaran saham seluruh dunia terus menanti dengan penuh rasa kebimbangan ke atas tindakan seterusnya yang akan diambil oleh pemimpin-pemimpin negara Kesatuan Eropah ini. Langkah yang mereka ambil akan menentukan sama ada pasaran akan kembali stabil atau terus menjunam.

Sejarah krisis kewangan dunia

Kepada sebahagian besar daripada kita sudah tentu masih dapat mengingati bagaimana negara kita terjebak didalam krisis kewangan yang berlaku pada tahun 1997/98 yang dipanggil krisis kewangan Asia. Krisis ini bermula apabila mata wang baht Thailand telah dinilai semula dan ini telah mengakibatkan mata wang negara kita juga terjejas teruk. Pada kemuncak krisis yang berlaku nilai mata wang kita berbanding dolar Amerika hampir mencecah ke paras RM5 pada setiap dolar Amerika. Sistem kewangan kita menjadi tidak menentu dan banyak perniagaan yang gulung tikar terutama yang meminjam dalam dolar Amerika. Hutang mereka sekelip mata menjadi tinggi. Malahan ramai dari kita yang kehilangan pekerjaan ketika itu dan mengalami kerugian besar dipasaran saham.

Sekali lagi krisis kewangan telah melanda dunia pada tahun 2008 yang kali ini bermula di Amerika. Ini adalah disebabkan sistem perbankan mereka telah memberikan pinjaman mudah kepada pembeli-pembeli rumah walaupun mereka sebenarnya tidak mampu untuk membayar balik pinjaman tersebut. Krisis ini juga dikenali sebagai krisis sub-prima.

Kedudukan pasaran saham dunia

Pasaran saham diseluruh dunia telah terjejas sejak beberapa bulan kebelakangan ini disebabkan oleh ketidaktentuan tentang kestabilan sistem kewangan di negara-negara Eropah. Secara purata bursa-bursa utama diseluruh dunia telah mengalami kemerosotan yang agak banyak. Tidak ada negara yang terlepas dari tempias krisis kewangan di Eropah ini termasuk di Malaysia.

Saban hari pasaran akan sentiasa berada dalam keadaan yang tidak menentu. Berita tentang masalah kewangan di Eropah terus mendominasi sentimen pasaran. Berita-berita yang positif silih berganti dengan berita negatif sehinggakan ramai penganalisis saham sudah tidak berani membuat unjuran tentang prospek pasaran.

Kesan krisis terkini ke atas ekonomi Malaysia

Dalam sidang akhbarnya baru-baru ini, Datuk Charon Wardini Mokhzani, Pengarah Eksekutif CIMB Investment Bank berkata, walaupun terdapat ketidaktentuan arah tuju dan sentimen yang negatif dipasaran saham, ekonomi dan suasana perniagaan di rantau Asia adalah baik dan memberangsangkan.

Beliau berkata ketidaktentuan pasaran adalah disebabkan ketidakpastian bagaimana krisis kewangan di Eropah ini akan diatasi dengan sebaik-baiknya.

Tambah beliau, Malaysia, Asia Tenggara dan seluruh Asia tidak mempunyai sebarang masalah kewangan yang boleh menggugat kestabilan ekonomi di rantau ini.

Pandangan terhadap ekonomi Asia adalah ia akan terus mengalami kemajuan disebabkan oleh perdagangan yang rancak di antara negara-negara Asia itu sendiri. Kerjasama perdagangan ini dilihat sebagai jalan terbaik untuk terus memakmurkan ekonomi rantau ini dimana jumlah penduduk yang tinggi di Asia dengan pendapatan per kapita yang terus meningkat akan menjadikan pengguna mempunyai kuasa beli yang tinggi.
Begitu juga apa yang sedang berlaku di Malaysia dimana usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi akan terus membolehkan rakyat hidup dalam suasana yang lebih baik dan harmoni.

Langkah-langkah yang sedang diambil oleh kerajaan dilihat berada pada landasan yang betul untuk membolehkan seluruh rakyat mengecapi faedah yang terbaik untuk meningkatkan mutu hidup semua golongan. Dengan kuasa membeli yang lebih tinggi diharap negara kita tidak perlu terlalu bergantung kepada eksport ke negara-negara lain termasuk Eropah dan Amerika yang menjadi rakan niaga terbesar kita buat masa ini.

Rangsangan ekonomi dalaman dijangka akan dapat terus meningkatkan rantaian perniagaan yang berdaya saing terutama di dalam negara dan juga dengan negara-negara jiran serantau sebagai rakan niaga baru. Dengan ini kebergantungan kita terhadap pasaran Eropah dan Amerika akan dapat dikurangkan dan sebarang kemerosotan ekonomi yang mereka alami tidak akan terlalu menjejaskan ekonomi negara kita.

Unjuran KDNK negara

Malaysia menyasarkan unjuran KDNK negara pada kadar antara 5 hingga 5.5 peratus untuk tahun 2011 dan 5 hingga 6 peratus untuk tahun 2012. Namun kadar ini dilihat agak tinggi oleh penganalisis ekonomi. Ini adalah disebabkan Malaysia masih agak bergantung kepada eksport luaran. Kegagalan rantau Eropah mengatasi masalah kewangan mereka mungkin akan mengheret Malaysia kepada kegagalan mencapai angka tersebut. Begitu juga kekuatan ekonomi Amerika sangat-sangat diperlukan oleh Malaysia yang masih banyak bergantung kepada pasaran ini.

Kemerosotan ekonomi China juga dilihat sebagai ancaman kepada unjuran yang kita lakukan. Kepada sebahagian dari penganalisa ekonomi mereka lebih melihat unjuran sebanyak 4 peratus untuk tahun 2011 dan 2011 adalah lebih realistik disebabkan oleh faktor-faktor yang disebut tadi. MIER sendiri mensasarkan unjuran KDNK negara pada kadar 4.6 peratus untuk tahun 2011.

Di landasan yang betul

Dasar-dasar yang sedang diambil oleh kerajaan untuk memakmurkan ekonomi negara dilihat sebagai langkah bijak didalam menangani isu kebergantungan negara kepada eksport luaran dan kemungkinan kemelesetan ekonomi di Eropah dan Amerika.

Walaupun sebarang tindakan yang diambil memerlukan jangkamasa yang panjang untuk dilihat keberkesanannya, tetapi kita telah mengambil tindakan proaktif kearah itu. Pelan Transformasi Ekonomi dan Bajet 2012 yang baru diumumkan oleh Perdana Menteri dilihat dapat meningkatkan permintaan dalam negara. Pendapatan boleh pakai rakyat yang meningkat diharap dapat membantu mereka berbelanja dan merancakkan ekonomi negara.

Struktur sistem percukaian negara mungkin boleh diperbaiki lagi untuk membolehkan negara meningkatkan sumber pendapatan untuk menjalankan projek-projek yang boleh meningkatkan mutu kehidupan rakyat secara berterusan. Kerajaan dilihat sebagai perlu meningkatkan pendapatan negara dari sumber yang lebih menyeluruh dan lebih adil.

Harapan masa depan

Malaysia sebagai sebuah negara yang ingin mencapai taraf negara maju pada tahun 2020 perlu terus berusaha untuk memantapkan ekonomi dalaman dan terus mencari pasaran-pasaran baru untuk terus berdaya saing di dalam menghadapi cabaran ekonomi dunia yang tidak menentu.

Putaran krisis kewangan dunia mungkin akan terus berlaku di masa hadapan dan diharap Malaysia bersiap sedia dengan kekuatan ekonomi dalamannya.

Jumaat, 14 Oktober 2011

Isu hak asasi helah Zionis catur dunia

Oleh Imlan Adabi
imlanadabi@bharian.com.my
2011/10/14

sumber: Berita Harian

BANYAK yang menimbulkan isu Yahudi tanpa memahami keadaan sebenar. Lebih malang, apabila dipolitikkan kononnya sesuatu pihak dianggap ‘sahabat’ Yahudi dan pihak lain pula pejuang Islam.

Ada pihak yang kononnya menentang kezaliman Yahudi, tetapi mempunyai kenalan akrab sebagai penasihat ekonomi dan siasah mereka. Mereka menggunakan wang daripada sumber misteri untuk kegiatan hak asasi.

Sama ada ahli politik, persatuan sosial, mahupun pemimpin pelajar, isu Yahudi pernah menghangatkan suasana. Gerakan pelajar pada 1974 dikaitkan perjuangan menentang kapitalis pro-Yahudi yang didakwa melemahkan pemikiran generasi muda.

Keadaan memuncak apabila Ayatollah Khomeini berjaya menjatuhkan Shah Iran pada 1979.

Ada di kalangan kita yang mendewakan rejim Syiah pejuang sejati kerana menghalang kebangkitan kuasa tunggal Amerika Syarikat pasca Perang Dingin.

Ketika itu ada ahli politik sanggup menuduh pihak lain sebagai ejen ‘asing’ tanpa membezakan makna sebenar Yahudi dan Zionis. Isu kafir mengkafir dan ‘amanat’ seorang ulama yang menuduh pihak lain tidak Islamik kedengaran.

Yahudi berasal perkataan ‘ibri’, ‘abra’, ‘ibrani’ yang bermaksud potong jalan/berpindah. Mereka keturunan Sam (Semitik) bin Nuh. Bermula dengan Nabi Ibrahim yang dianggap bapa kepada nabi lain termasuk Nabi Ismail, Nabi Ishak, Nabi Isa dan Nabi Yaakub.
Bukan semua Bani Israel berfahaman Yahudi kerana ada yang beragama Islam dan Kristian.

Munculnya warga Hungary berbangsa Yahudi, Theoder Herzl’s menimbulkan kemelut sehingga kini. Dia menyarankan bangsa Israel berkumpul dan membentuk Israel raya.

Dari sini lahirnya gerakan Zionis yang dipelopori Moses Hess untuk mengukuhkan negara Israel di Asia Barat.

Hari ini polemik Yahudi dan helah mereka mencatur dunia sudah begitu banyak diperkatakan.

Di sebalik sikap jelek yang merobekkan sejarah bangsa Arab dan Islam, Yahudi mempunyai kualiti sebagai kaum yang tekun, pintar dan kreatif. Kerajinan dan kepintaran mereka perlu dikaji, sementara kejahatan dan kerakusan dihindari.

Tiga saintis Zionis baru diumumkan menerima Hadiah Nobel Perubatan 2011 iaitu Bruce Beutler, Jules Hoffmann dan Ralph Steinman kerana kepakaran bidang saraf dan organ. Kehadiran mereka tentu melengkap senarai Yahudi yang menjadi pencetus dunia baru.

Majalah Time menyenaraikan Albert Einstein sebagai saintis Manusia Abad Ini. Sigmund Freud yang memperkenalkan teori id, ego dan super-ego juga Yahudi.

Begitu juga Karl Marx, Paul Samuelson dan Milton Friedman.

Sejarah perubatan membariskan jasa mereka. Benjamin Rubin memperkenalkan jarum suntikan pelalian, Johas Salk (vaksin polio), Gertrude Elion (ubat leukemia) dan Baruch Blumberg (vaksin Hepatitis B)

Dalam tempoh 106 tahun, hampir 200 Yahudi menang Hadiah Nobel berbanding tiga dimenangi umat Islam.

Bangsa Yahudi berjumlah 14 juta, sedangkan umat Islam 1.4 bilion. Bayangkan jurang pemikiran mereka dengan kita!

Amerika Syarikat sebagai kuasa utama dunia kerap dinaungi ahli siasah Yahudi. Henry Kissinger, Harold Brown, Robert Rubin, Madeleine Albright dan penasihat Bekas Naib Presiden Al Gore (1993-2001), Michael Chertoff juga Yahudi.

Bekas Presiden George W Bush juga dikaitkan keturunan Yahudi. Tidak hairanlah dia melancarkan kempen memerangi keganasan di Iraq dan Afghanistan semata-mata untuk menjaga kepentingan Zionis di seluruh dunia.

Ketika kita bercakap isu hak asasi dan makna kebebasan, jangan terperangkap helah untuk menghalalkan cara!

Ahad, 9 Oktober 2011

Menyambut khabar gembira

Oleh Mior Kamarul Shahid
2011/10/09

sumber: Berita Harian

TERLALU banyak topik yang hendak dibincang dalam Bajet 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Parlimen, kelmarin.

Jika bertemu kakitangan awam, mereka berbincang mengenai struktur dan kenaikan gaji 7 hingga 13 peratus, umur persaraan dan bonus. Walaupun ada yang sudah membuat ramalan, mereka tidak menyangka ia menjadi realiti, hinggakan tempoh persaraan mereka juga dinaikkan kepada 60 tahun.
Bertemu pula dengan pesara kerajaan, mereka bercakap soal bayaran bantuan khas RM500, kenaikan pencen dua peratus dan bayaran khas RM3,000 kepada bekas anggota, dua dan balu polis khas dan polis tambahan. Bagi mereka yang terbabit, ia ibarat bulan jatuh ke riba kerana selama ini mungkin mereka tidak pernah terfikir soal itu.

Mendengar peneroka FELDA berbincang sesama sendiri, mereka ghairah bercakap soal durian runtuh yang akan mereka peroleh berikutan cadangan penyenaraian FELDA Global Ventures Holdings. Meskipun mekanisme penyenaraian FELDA di Bursa Malaysia masih samar-samar, yang pasti peneroka akan mendapat untung dari segi saham sedangkan tanah yang mereka usahakan sekarang sedikit pun tidak terjejas. Apabila ia disenaraikan nanti, ia akan meningkatkan nilai baru FELDA.

Dengan ibu bapa pula, terlalu banyak perkara yang menggembirakan untuk dikongsi bersama. Sebahagian besar pengumuman dalam bajet itu secara langsung dan tidak langsung memberi kesan kepada ibu bapa ke arah meringankan beban mereka. Ini termasuk pengumuman yuran sekolah percuma, bantuan RM100 kepada semua pelajar Tahun 1 hingga Tingkatan 5 dan baucar buku RM200 kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).

Selama ini, ibu bapa sering dihantui dengan perbelanjaan runcit seperti ini yang menyebabkan mereka berasa cemuh. Bayangkan jika ada empat atau lima anak yang bersekolah, ia adalah satu perbelanjaan besar. Sekarang, kos yang mereka bayar selama ini, bukan lagi menjadi tanggungan mereka.

Disebabkan terlalu banyak kumpulan yang mendapat faedah daripada Bajet 2012 ini, sukar untuk memperincikan satu persatu. Wanita, belia, penduduk bandar dan luar bandar, pemandu teksi dan petani malah mereka yang sakit sekali pun tidak terkecuali mendapat faedah daripada bajet kali ini. Bagi mereka, pengumuman Najib yang juga Menteri Kewangan itu adalah khabar gembira yang mereka nanti-nantikan.
Bagi pekerja sektor swasta, mereka juga mendapat habuan. Dalam bajet dibentang itu, golongan ini menikmati caruman majikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk gaji bulanan di bawah RM5,000 yang dinaikkan kepada 13 peratus. Untuk jangka panjang, ia amat penting bagi masa depan mereka. Bagi penjawat swasta ini, walaupun mereka mempunyai alasan untuk iri hati dengan keistimewaan yang diberikan kepada penjawat awam, sebenarnya mereka mendapat tempiasnya.

Keistimewaan dinikmati penjawat awam ini akan membuka mata majikan mereka untuk memikirkan cara terbaik bagi memastikan pekerja tidak lari menyertai perkhidmatan awam. Ini bermakna mereka juga terpaksa memikirkan habuan yang lebih baik kepada pekerja mereka dan sebagai timbal balas mengharapkan pekerja meningkatkan produktiviti. Kesan positifnya, pekerja akan memberi perkhidmatan terbaik berikutan saingan yang sihat, pada masa sama, menyumbang kepada cita-cita menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.

Jika ada pun pihak yang mempersoalkan Bajet 2012, mereka tidak lain tidak bukan daripada pembangkang. Bagi pembangkang, mereka terpaksa berbuat demikian dan tidak berpuas hati dengan apa juga yang diusahakan kerajaan atas sifat mereka sebagai pembangkang. Jika mereka menyokong usaha kerajaan, mereka sudah tidak lagi relevan sebagai pembangkang. Oleh itu, perkara baik pun terpaksa mereka bangkang.

Daripada akhbar semalam, Berita Harian memaparkan tajuk berita Bajet Rakyat kerana banyak peruntukan disediakan untuk kesejahteraan rakyat, manakala New Straits Times dengan tajuk Welfare of the people (Kebajikan rakyat), kerana ia banyak menyediakan dana untuk meringankan beban rakyat. Jika pembangkang mengatakan mereka mahu menubuhkan sebuah negara berkebajikan, mereka sebenarnya bercakap kosong.

Utusan Malaysia pula memaparkan tajuk berita Bajet Sejahtera kerana melihat akhirnya peruntukan bajet itu mampu mensejahterakan rakyat, manakala The Star dengan Cheers all round (semua gembira). Memang betul, ramai yang tersenyum mendengar siaran langsung pembentangan Bajet 2012 kerana ia banyak memberi khabar gembira. Begitu juga dengan Harian Metro dengan tajuk Kongsi Rezeki, Kosmo dengan Terima Kasih Datuk Seri Najib dan sebagainya. Daripada keseluruhan pembentangan Bajet 2012 kelmarin, tidak siapa boleh menafikan bahawa ia adalah bajet yang realistik. Mungkin pemimpin dan akhbar yang dikuasai pembangkang tidak bersetuju dengannya kerana mereka bukan daripada kumpulan yang realistik.

Apa pun, perlu diingat bahawa bajet yang dibentangkan setiap tahun oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) bukan bertujuan semata-mata untuk memberi segala-galanya tuntutan dan permintaan rakyat. Bajet adalah cara mana kerajaan mengurus pendapatan dengan cara paling efektif.

Bagi bajet tahun depan, ia mengenai cara mana kerajaan membelanjakan sejumlah RM232.8 bilion untuk memberi kesejahteraan kepada seramai mungkin rakyat dan memakmurkan negara. Peruntukan ini pula bukan datangnya dari langit, tetapi menerusi hasil dan pendapatan yang diperoleh kerajaan seperti daripada cukai dan bukan cukai, cukai pendapatan, duit eksport, duit import dan sebagainya.

Untuk mengurus dengan baik, kerajaan tidak boleh membelanjakan wang itu melebihi daripada peruntukan yang disediakan untuk perbelanjaan pengurusan dan pembangunan. Kerajaan tidak boleh berbelanja lebih daripada peruntukan yang sudah ditetapkan.

Samalah juga dengan keadaannya sebuah keluarga, jika berbelanja melebihi pendapatan, mereka terpaksa berhutang. Dengan menyediakan kemudahan menyeluruh dalam Bajet 2012, menunjukkan kerajaan tetap berhemat dari segi perbelanjaan

Hakikat kehidupan sebenar ialah bermalas-malasan

SUDAH tiga minggu ruangan Kucing Jantan tidak tersiar. Memang dasar Mat Comot seekor kucing malas. Itulah tuduhan yang dilemparkan oleh seorang pembaca kepada Mat Comot melalui sepucuk e-surat.
Sementara seorang lagi pembaca yang lebih mesra pula bertanya, adakah Kucing-kucing Jantan ini tidak sihat sampai tidak ada ruangan ini. Ada seorang pembaca lain pula bertanya, adakah Kucing-kucing Jantan pergi menunaikan haji? Mereka ingat Kucing Jantan ini alim-alim kucing.

Sebenarnya, Kucing-kucing Jantan ini sihat semuanya. Bro Tompok, Si Belang dan Mat Comot sihat belaka. Tidaklah ada antara kami ini yang pergi menunaikan haji tahun ini.
Malas? Hmmm... susah hendak kata.

Tetapi hakikatnya ialah ruangan dalam akhbar Mingguan Malaysia ini memang tidak cukup untuk menempatkan semua tu lisan yang ingin disiarkan.
Ruangan tetap seperti Untung Sabut kadangkala terpaksa tidak menjadi tetap kerana ada tulisan terpaksa disiarkan dahulu dan mengorbankan yang lain. Termasuklah ruangan Kucing Jantan ini.
Walaupun ia tetap, ia menjadi tidak tetap kerana tentulah Kucing Jantan terpaksa mengalah kepada manusia.
Apalah yang ada pada Kucing Jantan, hanya cerita-cerita ringan mengenai orang perempuan dan lelaki serta hubungan antara kedua-duanya.

Jadi mestilah diutamakan manusia. Seperti mana dalam rumah. Tentulah manusia lebih diutamakan daripada kucing.
Yakah? Manusia tuan atau kucing yang jadi tuan.

Tengoklah kucing-kucing di sekeliling anda, terutama yang dipelihara. Makanan mereka disediakan. Tempat tinggal amat selesa. Apa yang mereka perlu lakukan?
Jilat bulu sendiri. Bermain-main jika masih anak kucing. Amalan paling biasa ialah tidur.
Hidup macam mereka raja. Manusia seperti khadam untuk kucing. Mereka cuma bermalas-malasan.
Mungkinkah kehidupan sebenar adalah bermalas-malasan. Inilah falsafah kucing.
Tidak mungkinkah manusia juga mereka berkeinginan untuk hidup seperti kucing, bermalas-malasan sepanjang hayat.

Tetapi tidakkah itu impian semua manusia? Bermalas-malasan. Hanya orang yang bernasib baik, yang kaya, atau berkuasa dapat bermalas-malasan. Yang lain kenalah bertungkus-lumus untuk hidup.
Manusia, itu pun hanya sebahagiannya yang dapat menikmati bermalas-malasan pada hari Ahad. Itu pun belum tentu.

Ada saja pekerjaan yang perlu dilaku kan. urusan hal keluarga dan masyarakat. Seperti menghadiri undangan majlis perkahwinan.
Atau berjalan-jalan di pusat membeli- belah.
Inilah yang kadangkala orang perempuan tidak faham. Setelah penat seminggu, sang suami hendaklah duduk di rumah bermalas-malasan. Tetapi si isteri pula yang tidak izinkan.

Seperti kucing juga. Dilihat dari zahir nya, manusia adalah tuan sementara kucing adalah hanya haiwan peliharaan, ber khidmat untuk kepentingan pemiliknya.
Tetapi apabila dilihat dari sudut lain pula, yang jadi tuan ialah kucing. Manusia yang berkhidmat untuknya. Kucing yang menjadi pemilik.

Begitu juga dalam hubungan lelak dengan perempuan. Secara zahirnya lelaki yang menjadi ketua dan pemimpin. Isteri dan anak-anaknya adalah miliknya.
Tetapi daripada sudut lain pula, si isteri yang memiliki suami. Menjadi tuan dan penentu perjalanan kehidupan seseorang lelaki.

Inilah yang menyebabkan sukarnya seseorang lelaki hendak bermalas-malasan dan menikmati hidup.
Bermalas-malasan maknanya ialah buat apa saja yang dirasakan enak dilakukan. Kalau rasa hendak bangun, bangunlah. Kalau hendak duduk di depan televisyen, duduklah.
Kalau rasa hendak baring, maka baringlah. Tetapi itulah nikmat yang sering diganggu oleh para isteri.
Disuruhnya kita panjat tangga dan cuci kipas anginlah. Disuruhnya kita vakum karpetlah. Malaslah hendak buat perkara- perkara itu.

Bukanlah tidak bertanggungjawab. Hari Sabtu buatlah apa yang tergendala. Betulkan paip. Baiki pintu atau buang sampah. Jadi bila semua dibaiki, hari Ahad bolehlah rehat.
Bagi mereka yang masih bujang, nikmatlah kehidupan Ahad tanpa sebarang gangguan. Berlengkar sepanjang hari Ahad dan tidak ada siapa yang akan ganggu

Oh kucing. Kamu memang bertuah. Boleh bermalas-malasan, bukan saja pada hari Ahad. Juga hari Isnin, Selasa, Rabu, Khamis, Jumaat dan Sabtu.

Imbangi kebajikan, ekonomi

sumber: Utusan Malaysia

BELANJAWAN 2012 jelas menampakkan kesungguhan kerajaan untuk mengimbangi kebajikan rakyat dan kelestarian ekonomi negara. Walaupun ramai yang mengharapkan atau pun masih ada yang menganggap belanjawan tersebut adalah belanjawan pilihanraya, tanggapan itu sama sekali meleset.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah membentangkan satu belanjawan yang jelas mengimbangi keperluan untuk membantu meringankan beban kehidupan masyarakat dalam menangani masalah kenaikan kos kehidupan samada di bandar mahupun di desa.

Dalam masa yang sama pihak kerajaan masih berjaya mengurangkan defisit belanjawan daripada 5.4 peratus KDNK pada tahun 2011 kepada 4.7 peratus KDNK bagi tahun 2012. Pengurangan defisit belanjawan mencerminkan kejituan hasrat kerajaan untuk menyediakan belanjawan yang berhemah.

Walaupun ramai pihak mungkin mengatakan bahawa Belanjawan 2012 ada unsur-unsur populis, namun begitu apa yang jelas adalah pihak kerajaan telah mengekalkan disiplin fiskal bagi mengurangkan defisit belanjawan dari masa ke semasa. Ini jelas mencerminkan kebijaksanaan pihak kerajaan mengimbang keperluan semasa dan masa depan ekonomi negara.

Belanjawan kali ini memberikan tumpuan kepada lima tunjang utama iaitu:
# Meligat pelaburan;
# mengungguli modal insan;
# mencerna kreativiti dan mencetus inovasi;
# program transformasi luar bandar dan memperkejap perkhidmatan awam;
# meredakan inflasi dan mengimarah kehidupan rakyat.

Kalau dibandingkan dengan Belanjawan 2011, jelas sekali Belanjawan 2012 adalah menyambung usaha yang telah dimulakan pada tahun 2011. Perbezaan yang ketara bagi Belanjawan 2012 adalah penekanan khusus kepada transformasi luar bandar.

Program transformasi luar bandar adalah satu inisiatif yang penting bagi mengoptimumkan potensi luar bandar sebagai penjana pertumbuhan ekonomi baru. Sehingga kini kebanyakan aktiviti ekonomi berpusat di Lembah Klang ataupun di Pulau Pinang dan Johor. Melalui program RTC, beberapa pusat transformasi luar bandar yang bertindak sebagai pusat integrasi logistik, pemprosesan dan pengedaran hasil pertanian dan berbagai aktiviti sokongan seperti perbankan dan insurans, latihan dan kemahiran, klinik dan ruang niaga, akan dibuka.

Untuk menggalakkan usahawan untuk berniaga di luar bandar, dana sejumlah RM100 juta akan disalurkan kepada golongan professional yang ingin menawarkan perkhidmatan guaman, perakaunan dan klinik di pekan pekan kecil seluruh negara. Peruntukan ini dapat membantu pembentukan RTC di seluruh negara. Tanpa kehadiran perkhidmatan professional di RTC, peniaga, penternak dan usahawan tani masih lagi perlu melanggan perkhidmatan tersebut di Bandar yang berdekatan.

Disamping meneruskan agenda kerajaan untuk membangunkan infrastruktur asas di luar bandar seperti menyediakan jalan, bekalan air dan elektrik, apa yang menarik bagi Belanjawan 2012 adalah usaha untuk membawa perkhidmatan perbankan ke luar bandar. Ianya akan dibangunkan oleh sebuah syarikat GLC - BSN, di mana agen akan dilantik di kawasan luar bandar untuk menyediakan perkhidmatannya.
Turut menerima perhatian adalah pengusaha bas di luar bandar. Bagi membantu pengusaha bas berhenti henti, bas mini dan bas sekolah boleh memohon pinjaman mudah dengan kadar faedah empat peratus untuk membeli atau membaikpulih bas.

Penekanan

Perkhidmatan Awam turut diberikan penekanan didalam Belanjawan 2012, di mana Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam [SSPA] akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia [SSM] di mana struktur gaji penjawat awam akan diperbaiki.

Pihak kerajaan juga turut bersetuju untuk melanjutkan umur persaraan wajib daripada 58 tahun kepada 60 tahun bagi memberi peluang mereka yang masih berkemampuan untuk memberikan sumbangan berdasarkan kemahiran dan pengalaman mereka.

Penjawat awam juga disediakan kemudahan untuk meningkatkan kelulusan akademik melalui program bantuan yuran pengajian. Belanjawan 2012 menyediakan bantuan yuran pengajian sebanyak RM200 juta bagi penjawat awam untuk mengikuti program latihan di peringkat sarjana muda, sarjana dan kedoktoran falsafah.

Dalam usaha kerajaan menangani kesan inflasi yang melanda negara, berbagai langkah telah diambil termasuklah pemberian subsidi untuk berbagai barangan harian. Disamping itu pihak kerajaan telah mengadakan berbagai program untuk membantu pengusaha pertanian dengan skim pembiayaan Dana Pertanian Komersial kepada projek pertanian berinovasi.

Bagi golongan sederhana terutamanya di sekitar Lembah Kelang, keperluan mendapatkan rumah pada harga yang berpatutan amatlah sukar ditangani.

Untuk tujuan tersebut, pihak kerajaan telah menubuhkan Perumahan Rakyat 1Malaysia [PR1MA]. Kerajaan juga telah bersetuju untuk menaikkan had maksimum harga rumah yang layak untuk mengikuti Skim Rumah Pertamaku daripada RM200,000 kepada RM 400,000. Kedua-dua inisiatif ini jelas menunjukkan kesungguhan pihak kerajaan untuk membantu golongan sederhana untuk memiliki rumah pada harga yang berpatutan dan pada kadar kos kewangan yang tidak membebankan.

Keprihatinan pihak kerajaan untuk meringgankan beban perbelanjaan harian di kalangan masyarakat berpendapatan rendah dapat dilihat melalui usaha memberi bantuan sebanyak RM500 kepada isi rumah [household] yang berpendapatan kurang dari RM3,000 sebulan. Bantuan ini bakal memberi manfaat kepada lebih dari pada separuh daripada bilangan isi rumah di Malaysia.

Disamping itu, bantuan sebanyak RM100 turut disalurkan kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dan menengah di seluruh negara.

Bagi pelajar di institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta, matrikulasi dan tingkatan enam pula, mereka layak untuk menerima baucar buku bernilai RM200.

Berbagai andaian telah dibuat tentang Belanjawan 2012 ini. Ada yang ingin melihat cukai pendapatan dikurangkan bagi korporat dan persendirian malahan ada yang ingin melihat cukai bagi sesetengah barangan seperti rokok dan arak dinaikkan bagi mengurangkan beban kewangan negara. Sudah tentu pihak kerajaan mempunyai sebab musabab mengapa isu isu tersebut tidak disentuh didalam Belanjawan 2012.

Progresif 

Pihak kerajaan kebelakangan ini telah mengambil langkah yang lebih progresif dalam mengurus keadaan ekonomi dan tidak segan untuk mengambil langkah yang berani untuk menangani keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu dan juga pasaran harga komoditi utama dunia.

Oleh itu sebarang kenaikan harga barangan atau cukai keatas barangan tersebut tidak lagi perlu disertakan didalam pembentangan belanjawan negara.

Telahan saya adalah pihak kerajaan ingin menentukan supaya Belanjawan 2012 dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat dan di mana jua mereka berada. Banyak golongan yang tidak diberikan perhatian didalam peruntukan kerajaan telah mula mendapat pembelaan. Sebagai contoh, golongan belia yang merupakan generasi muda yang bakal mewarisi perjuangan ke arah negara maju telah diberikan peruntukan sebanyak RM320 juta bagi menjalankan berbagai aktiviti termasuk latihan kemahiran, program kepimpinan dan keusahawanan di peringkat daerah dan negeri.

Rintihan para pemandu teksi juga telah diambil kira oleh pihak kerajaan bagi Belanjawan 2012 kerana pemilik teksi bajet persendirian akan dikecualikan 100 peratus duti eksais dan jualan ke atas pembelian teksi baru buatan tempatan, pemansuhan cukai jalan dan pemberian subsidi kadar faedah dua peratus ke atas pinjaman pembelian teksi baru buatan tempatan.

Begitu juga dengan nasib para nelayan, yang kebanyakan memiliki rumah yang daif dan kurang selesa. Tabung Khas Perumahan Nelayan dengan peruntukkan RM300 juta akan membantu untuk membaik pulih rumah mereka dan dilengkapi dengan infrastruktur asas.

Belanjawan 2012 menitikberatkan taburan nikmat kekayaan negara kepada semua pihak memandangkan keadaan ekonomi semasa yang mencabar bagi kebanyakan keluarga di bandar dan luar bandar. Pemansuhan bayaran sekolah rendah menengah yang bakal melibatkan peruntukan kerajaan sebanyak RM150 juta juga menjurus kepada memberikan bantuan secara terus kepada semua isi rumah di serata pelosok negara.

Belanjawan 2012 adalah bertepatan dengan tema yang dipilih yakni, Bajet Membela Rakyat, Mensejahtera Negara amatlah jelas perhatian yang diberikan supaya pembelaan diberikan kepada semua lapisan masyarakat samada di bandar mahupun desa, di Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak, Orang Asli mahupun bekas wirawan dan wirawati negara, golongan belia mahupun golongan warga emas, pengusaha teksi mahupun nelayan, polis, tentera mahupun guru. Semuanya akan menerima sumbangan dari belanjawan.

Oleh itu adalah menjadi tanggung jawab mereka yang menerima manfaat dari Belanjawan 2012 yang merangkumi semua rakyat Malaysia untuk bersama sama membantu kerajaan melaksanakan berbagai program di bawah lembayung Dasar Transformasi Nasional menuju destinasi - negara maju pada tahun 2020.

IZHAM YUSOFF ialah Pengarah Urusan Percetakan Nasional Malaysia Berhad.

Untuk rakyat golongan rendah

PEMBENTANGAN Bajet 2012 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lalu menerima reaksi positif rakyat terutama kakitangan kerajaan dan golongan berpendapatan rendah. Tentunya pengumuman pendidikan sekolah rendah dan menengah percuma - antara yang paling mendapat perhatian dalam Bajet tersebut. Sambil menyifatkan pengumuman Perdana Menteri itu sebagai amat komprehensif dan mencakupi keperluan mengukuhkan ekonomi negara terutama dalam keadaan ekonomi global agak tidak menentu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah menyentuh tentang apa sebenarnya yang ingin dilaksanakan kerajaan. Beliau yakin setiap langkah yang dibentangkan telah mengambil kira pelbagai faktor termasuk keupayaan kerajaan melaksanakannya. Enggan mengulas panjang perihal bajet pembangkang, Husni memberitahu, kesemua itu hanya bayangan yang tidak mempunyai asas langsung. 

Kepada wartawan Mingguan Malaysia, NORAINI ABD. RAZAK dan HAFIZAHRIL HAMID, Husni mengulas tentang Bajet 2012.
MINGGUAN MALAYSIA: Sejauh mana Bajet kali ini mampu untuk menempuh badai kegawatan ekonomi yang semakin serius di Eropah dan Amerika Syarikat?

DATUK SERI AHMAD HUSNI HANADZLAH: Dalam penyediaan Bajet 2012, kerajaan telah mengambil kira ketidaktentuan ekonomi global akibat daripada krisis hutang di Eropah dan kelembapan ekonomi di Amerika Syarikat, di mana situasi ini boleh memberi kesan ke atas negara-negara pengeksport termasuk Malaysia. Penyediaan Bajet kali ini turut mengambil kira kesan kenaikan harga dan kos sara hidup rakyat.
Bajet 2012 ini menempa sejarah sebagai Bajet yang menyeluruh, berasaskan konsep 1Malaysia “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Ia bersifat “inclusive”, di mana setiap rakyat mendapat manfaat. Di samping itu, kerajaan mengadakan langkah-langkah yang mampu mewujudkan persekitaran kondusif bagi mempastikan pihak swasta dapat menjalankan aktiviti ekonomi, dan seterusnya mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negara.

Bajet ini adalah “mildly expansionary” mengikut kemampuan fiskal Kerajaan.


Sejauh mana Datuk Seri melihat Bajet kali ini sebagai Belanjawan pilihan raya?

AHMAD HUSNI HANADZLAH: Semenjak Perdana Menteri memegang tampuk kepimpinan negara, beliau telah mentakrifkan kepimpinan beliau berasaskan “1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Bajet ini mencerminkan keazaman beliau melaksanakan prinsip tersebut dengan memberi fokus kepada keperluan rakyat dan memastikan pertumbuhan ekonomi terus kukuh.

Bajet 2012 ini mengutamakan rakyat (people centric). Yang penting, semua lapisan rakyat teRutama golongan berpendapat rendah, wanita, warga emas, pelajar serta mahasiswa, pemandu teksi, nelayan, pesara dan penjawat awam, akan mendapat manfaat daripada langkah Bajet 2012 ini.

Bagaimana Datuk Seri membandingkan Bajet ini dengan Bajet Bayangan yang diumumkan pembangkang?
AHMAD HUSNI HANADZLAH: Tak perlu kita berhujah panjang mengenai bajet bayangan pembangkang, kerana jelas ia hanyalah bayangan dan tidak memberi apa-apa erti kepada rakyat. Saya hanya mahu menyentuh mengenai satu perkara mengenai bajet bayangan ini, yakni, syor pengurangan peruntukan Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebanyak RM10 bilion. Sebagaimana kita maklum, JPM mengandungi lebih 40 agensi-agensi seperti Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), Jabatan Perpaduan, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Jabatan Perangkaan dan terdapat 29,763 kakitangan di bawah JPM dan agensi-agensi tersebut.

Keseluruhan perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan Jabatan Perdana Menteri adalah sebanyak RM13.5 bilion, iaitu RM5.7 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM7.8 bilion untuk perbelanjaan pembangunan. Tindakan memotong peruntukan JPM itu akan mengakibatkan lebih dari 40 agensi di bawah JPM tidak berfungsi, apalagi untuk membayar gaji 29,763 kakitangan tersebut. Bayangkan apa akan terjadi jika agensi-agensi seperti Jakim, Jabatan Perpaduan, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Jabatan Perangkaan tidak berfungsi. Apa akan jadi kepada negara? Sesungguhnya, bajet bayangan ini ada banyak percanggahan.


Mengenai inisiatif kerajaan membantu menangani kesulitan golongan berpendapatan rendah, bagaimana Datuk Seri melihat perkara ini?

AHMAD HUSNI HANADZLAH: Kerajaan telah membuat kajian dan mendapati kos makanan telah meningkat secara ketara sejak tiga tahun lalu. Walaupun ini merupakan fenomena global, namun Kerajaan amat sedar akan kesulitan rakyat. Maka dengan itu, kita telah menyediakan berbagai insentif bagi membantu meringankan kesulitan golongan berpendapatan rendah. Antara yang utama ialah memberi insentif tunai berjumlah RM500 kepada isi rumah yang berpendapatan RM3,000 ke bawah. Kerajaan turut memberi bantuan persekolahan sebanyak RM100 kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah serta pemberian baucar buku berjumlah RM200 kepada penuntut Institusi pengajian tinggi. Yuran sekolah rendah dan menengah juga telah di mansuhkan.

Sebagai seorang wakil rakyat, saya bertemu dengan orang ramai. Saya tahu bagaimana terdapatnya keluarga-keluarga berpendapatan kurang dari RM3,000 sebulan. Katakanlah sesebuah keluarga ini mempunyai empat orang anak, dua di sekolah menengah dan dua lagi di IPTA. Dengan adanya insentif tunai, bantuan persekolahan dan baucar buku ini, keluarga tersebut akan mendapat bantuan berjumlah RM1,100. Saya berharap sumbangan ini dapat sedikit-sebanyak meringankan perbelanjaan keluarga tersebut.
Kerajaan juga akan mengekalkan pemberian subsidi keatas barangan asas yang kini berjumlah RM33.2 bilion, termasuk subsidi petroleum.

Pembukaan Kedai Rakyat 1Malaysia dengan tawaran harga barangan serendah 40 peratus serta penggalakkan jualan terus dari kilang dan ladang adalah antara langkah yang telah dan akan terus diambil oleh Kerajaan. Kita berharap, inisiatif-inisiatif seperti ini sedikit-sebanyak mampu meringankan kos sara hidup rakyat.

Apa ukuran sebenar yang diguna pakai kerajaan dalam menangani kesan kegawatan ekonomi akibat kelembapan AS dan krisis hutang kerajaan negara-negara Eropah?

AHMAD HUSNI HANADZLAH: Bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan mampan, Kerajaan akan terus menyediakan persekitaran kondusif bagi merancakkan lagi aktiviti ekonomi domestik, terutamanya pelaburan swasta dan awam serta penggunaan swasta.

Peningkatan pelaburan akan terus disokong oleh Pelaburan Langsung Asing (FDI), pelaksanaan projek-projek di bawah Plan Transformasi Ekonomi serta Rolling Plan Kedua. Sebagaimana yang kita tahu, Pelaburan Langsung Asing telah meningkat kepada RM21.2 bilion pada enam bulan pertama tahun 2011, berbanding RM12.1 bilion bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Jika krisis ekonomi di Amerika Syarikat dan Eropah berlarutan, kesan kepada eksport memang akan dirasakan, namun kesan tersebut akan dapat dikurangkan kerana Malaysia telah sekian lama turut memberi tumpuan kepada pasaran-pasaran lain seperti pasaran ASEAN yang kini memiliki lebih 500 juta penduduk serta pasaran Asia yang lain.

Selain itu, kita turut menjangkakan pelaksanaan liberalisasi 17 lagi subsektor perkhidmatan akan meningkatkan lagi nilai kompetitif negara, dan mampu menarik pelaburan yang lebih tinggi. Ini secara langsung akan menjana lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

Dalam masa yang sama, Kerajaan akan turut menumpu kepada pelaksanaan projek berimpak tinggi yang akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, di samping melaksanakan “mildly expansionary budget”.

Setiap kali berlaku kenaikan gaji pasti diikuti dengan kenaikan harga barang. Apakah perkara ini tidak boleh dibendung?
AHMAD HUSNI HANADZLAH: Kerajaan akan sentiasa memantau pergerakan dan perkembangan harga terkini bagi membendung kenaikan harga barangan keperluan supaya ia tidak menjejaskan kehidupan harian rakyat. Kerajaan telah turut menjalankan inisiatif untuk memperkukuhkan rantaian pembekalan (supply chain) bagi mempastikan bekalan makanan dan keperluan rakyat mencukupi, dengan harga yang berpatutan. Ini termasuk usaha FAMA yang memasarkan produk pertanian terus ke pasar tani melalui ladang kontrak.
Usaha-usaha lain ialah seperti pembukaan Kedai Rakyat 1Malaysia yang menawarkan harga barangan 40 peratus lebih murah, menjalankan aktiviti penguatkuasaan, pemantauan dan melaporkan harga barangan makanan setiap hari. Menggubal Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan sebagai usaha untuk mengekang syarikat atau individu menjual barangan pada harga lebih tinggi daripada pasaran secara melampau, serta mewujudkan portal interaktif ‘1Malaysia Pengguna Bijak’ untuk memberi kesedaran dan maklumat kepada pengguna.

Kebiasaannya Kerajaan mempunyai dasar atau perancangan yang baik namun agak mengecewakan dari segi pelaksanaan. Apakah langkah untuk mengelak perkara ini daripada berterusan?

AHMAD HUSNI HANADZLAH: Pelaksanaan projek-projek Kerajaan sekarang di pantau dengan secara teliti. Kerajaan telah pun merangka Program Transformasi Kerajaan yang melibatkan pengenalan kepada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). NKRA ini dipertanggungjawabkan ke atas setiap Menteri dan Kementerian yang terlibat melalui penetapan Indeks Prestasi Utama (KPI). Setiap Menteri dan Kementerian terlibat akan dipantau prestasinya dengan teliti dan dilaporkan setiap bulan. Kita mahu memastikan semua dasar dan perancangan yang di gubal dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Jika kita lihat pada suku pertama 2011, peratusan perbelanjaan mengikut aliran tunai untuk projek-projek awam adalah 24.0 peratus. Dengan adanya rangka pemantauan tersebut, peratusan ini mencapai 49.0 peratus pada suku kedua.
Dengan pengukuran KPI ini juga, rakyat dapat menilai tahap pelaksanaan program-program yang telah dirangka oleh kerajaan.

Bagaimana Datuk Seri melihat saranan Tun Dr. Mahathir supaya Malaysia segera mencari pasaran baru yang lebih terjamin seperti Turki dan rantau Asia lain?

AHMAD HUSNI HANADZLAH: Kerajaan sememangnya sentiasa menerokai pasaran baru supaya para pengeksport negara ini tidak terlalu bergantung kepada sesuatu pasaran. Kita perlu mempelbagaikan pasaran. Hasil dari usaha Kerajaan beberapa tahun kebelakangan ini, tumpuan pasaran eksport negara telah pun beralih daripada Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) ke Asia.


Eksport kita ke AS dan Eropah sekarang hanya merupakan 20.2 peratus dari jumlah eksport kita pada tahun lepas, di bandingkan sebanyak 39.2 peratus pada 2005 manakala eksport ke China dan negara-negara lain meningkat dari 42.6 ke 54.3 peratus. Perdagangan kita dengan new emerging economies di Asia Tenggara seperti Indonesia dan Vietnam dan negara-negara Komanwel Negara-Negara Bebas (CIS) juga amatlah menggalakkan. Adalah jelas usaha Kerajaan memupuk pasaran-pasaran baru selain dari Amerika Syarikat dan Eropah telah membawa hasil.

Kita juga boleh memperoleh pasaran baru dengan para pengeksport memperkenalkan barangan dan perkhidmatan baru, yakni produk-produk bernilai-tambah tinggi. Inilah antara tunjang utama usaha Kerajaan mentransformasikan ekonomi untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Kerajaan telah pun menubuhkan AIM (Agensi Inovasi Malaysia) untuk mengkomersialkan produk-produk yang berteraskan inovasi untuk pasaran dunia yang semakin kompetitif. Kita mahu negara ini mengeluarkan produk-produk bernilai tinggi yang mampu berdaya-saing secara global, membuka pasaran baru untuk pengeksport-pengeksport kita. Setakat ini AIM sedang mengenal pasti di kalangan seribu projek penyelidikan untuk di komersialkan. Saya yakin produk-produk ini akan membawa impak yang tinggi kepada pasaran eksport negara di masa hadapan.

Kerajaan mahu ekosistem industri-industri pembuatan domestik diperkukuhkan; di mana kluster-kluster penyelidikan, pembuatan dan pemasaran & penjenamaan, malah seluruh rangkaian nilai industri pembuatan domestik di pertingkatkan bagi mencapai nilai pasaran eksport yang lebih tinggi.

sumber: Utusan Malaysia

Selasa, 4 Oktober 2011

Hudud: Pas memerangkap UMNO/BN


ISU hudud Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan dan tentangan Karpal Singh daripada DAP adalah sandiwara politik yang cuba mengalihkan isu Mat Sabu yang banyak menjejas pengaruh pakatan pembangkang di mata awam.

Dalam masa sama, mereka ingin memerangkap UMNO/BN supaya terjebak di Parlimen Oktober ini sekiranya terdapat usul tergempar mengenai pindaan Perlembagaan yang membolehkan hudud dilaksanakan.
Dan yang lebih utama membuat justifikasi bahawa pengenalan Negara Berkebajikan adalah suatu muslihat melunakkan perjuangan negara Islam oleh ulama Pas dan menampilkan pengaruh kumpulan Edorgan atau Anwarinas dan Anwar Ibrahim tentang perlunya Pas terikat kepada dasar Buku Jingga. Dasar Buku Jingga tidak menyebut mengenai negara Islam apa lagi pelaksanaan hudud.

Oleh itu Pas mempunyai hujah sewaktu kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti bukanlah Pas tidak mahu hudud tetapi dihalang oleh Perlembagaan Persekutuan dan tidak disokong oleh UMNO/BN. Pas akan menyatakan dengan lantang nanti bahawa UMNO menolak hudud. Tapi kalau dibawa ke Parlimen pun mahukah DAP menyokongnya?

Mana mungkin hudud menjadi agenda Pas kerana dalam muafakat yang lebih besar di kalangan kepimpinan pakatan pembangkang, Dasar Buku Jingga tidak memasukkan perjuangan hudud baik di Kelantan dan negeri-negeri yang dikatakan bakal dikuasai oleh Pas dan pakatan pembangkang nanti. Intipati perjuangan Buku Jingga secara jelas tidak memperjuangkan Negara Islam apalagi hudud.

Isu ini secara jelas dipolitikkan oleh Pas untuk memenangi pengaruh paling tidak di Kelantan. Biasanya isu syurga-neraka, jahiliah-kafir dan hudud adalah senjata yang ampuh dalam politik akar umbi di Kelantan. Ternyata sekian lama ia amat berkesan untuk menambat hati orang Kelantan. UMNO yang dilihat sebagai kafir, taghut, jahiliah menjadi isu yang tidak pernah hilang dalam politik Kelantan.

Dengan Negara Kebajikan dan dasar Buku Jingga orang boleh persoalkan tentang Negara Islam dan hukuman hudud. Ia tidak tercatat langsung dalam dasar itu. Dengan menimbulkan isu hudud cara Pas di Kelantan sekarang dan ditolak oleh Parlimen dan UMNO/BN ia diharap menjadi modal utama kempen nantinya.

Mengapa dikatakan isu hudud ala Pas itu dipolitikkan. Umum mengetahui bahawa ulama dalam Pas mahukan hudud. Kenyataan Nik Aziz, Ketua Dewan Ulama, Harun Taib, Ketua Pemuda Nasrudin Hasan, Tuan Ibrahim Tuan Man adalah menyokong hudud sepenuhnya.

Dalam masa sama, Naib Presiden Pas Salehuddin Ayub, mengambil pendekatan lunak. Apakah ini suara daripada kumpulan Anwarinas yang tidak sekata dengan suara ulama. Ini membolehkan Anwar Ibrahim dalam kemelut yang berbangkit meyakinkan Karpal Singh dan DAP bahawa jika isu hudud dibawa ke Parlimen sekalipun, ia tidak akan diterima dan hasrat Karpal Singh untuk melihat hudud tidak dilaksanakan akan terjadi. Ini yang menyebabkan Karpal Singh tidak membantah dalam mesyuarat tersebut.

Abdul Hadi Awang suatu ketika dulu juara Negara Islam dan hudud nampaknya semacam tidak lagi menjadi jurucakap ulama yang mahukan negara Islam dan menerima Dasar Buku Jingga yang tidak memasukkan perjuangan negara Islam sebaliknya dalam Muktamar yang lalu mengemukakan konsep Negara Berkebajikan dan membuat hujah bahawa konsep Negara Islam tidak ada dalam al-Quran.

Ada orang mengatakan bahawa pengaruh ulama hanya tinggal 30 peratus dalam Pas. Kehadiran Hassan Ali menjadikannya serba tidak kena dan ketidakhadiran Ustaz Nasaruddin Mohd. Isa dalam mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pas menimbulkan persoalan.

Yang jelas pengaruh Anwarinas semakin kuat. Dan apakah pengaruh ulama dalam Pas bakal terpinggir. Kalau begitu slogan "Membangun Bersama Ulama'" dan "Kami sokong Hudud "dalam perjuangan Pas bakal hilang kerana suara ulama yang inginkan Negara Islam dan hudud bakal tenggelam.

Kerajaan istiqamah dalam memperkasakan peraturan syariah dalam sistem perundangan syariah di Malaysia. Walaupun fokusnya banyak kepada Undang-undang Keluarga Islam dan muamalah/ekonomi tetapi ia suatu permulaan yang baik untuk memperkenalkan institusi berasaskan syariah dalam sistem perundangan, kewangan dan ekonomi negara.

Pengenalan sukuk (bon Islam) di tahap dunia, industri halal secara besar-besaran, memperkukuhkan bahagian syariah dan sistem latihan kewangan di Bank Negara adalah antara contoh bahawa usaha mengembalikan sistem ke arah yang berdasarkan syariah sedang berlaku. Bank Rakyat umpamanya adalah contoh bank Islam yang berkembang dan disertai ramai kalangan bukan Islam kerana keuntungan dan kestabilannya.

Tidakkah itu memberi gambaran bahawa maqasid syariah dalam ilmu, pendidikan, pentadbiran, muamalah, ekonomi dan sosial sedang berjalan sekian lama di Malaysia. Penubuhan Universiti Islam Malaysia (DiRaja) yang bakal berlangsung, Kolej Universiti Al Quran Malaysia yang sedang di teroka bakal mengukuhkan lagi UIAM, USIM dan lain-lain institusi pengajian tinggi Islam berstatus negeri.

Penghantaran pelajar-pelajar berpotensi ke seluruh dunia (termasuk anak-anak pembangkang) dan menyediakan tempat belajarnya dalam negara adalah dilakukan oleh kerajaan dan dianjurkan oleh Islam.
Membangunkan masyarakat baru di Felda dan Felcra, membangun Dasar Pertanian Negara dan Nelayan, membantu kelompok miskin dengan bantuan dan perumahan, membantu usahawan yang berpotensi dan memperkukuhkan latihan keusahawanan untuk generasi muda adalah dasar-dasar yang tidak bercanggah dengan Islam.

Banyak lagi kalau ingin disebut di sini yang menjadi pendekatan kerajaan dan UMNO yang sebahagian besarnya dimanfaatkan oleh ahli-ahli dan anak-anak ahli pembangkang. Apakah mereka rasa bersyukur dengan apa yang mereka terima dan membantu mengukuhkan lagi dasar-dasar Islam yang sedia terdapat.
Apa maksud Negara Islam Pas dan sekarang pula Negara Berkebajikannya. Apakah yang disebutkan sebahagiannya yang dilakukan oleh UMNO dan kerajaan tidak Islamik dan memberi fokus kepada kebajikan rakyat. Tidaklah salah gerakan Pas cuba mengukuh asas-asas rohaniah tetapi tuntutan sebenar yang harus Pas lakukan ialah membangun model alternatif untuk membangun sistem yang Islamik.

Apakah di Kelantan sejak puluhan tahun Pas memerintah masalah sosial sudah dapat diatasi. Apakah masalah air bersih sudah dapat dibekalkan. Apakah kegiatan-kegiatan ekonomi yang Islami sudah berkembang dan menjadi model yang boleh dicontohi dan diikuti oleh negeri-negeri lain di Malaysia.

Apakah Kelantan mempunyai program induk menyekat penghijrahan ramai warganya ke Lembah Klang dan tempat-tempat lain sedangkan orang Kelantan mempunyai potensi berniaga dan boleh digerakkan ke arah produktiviti yang tinggi. Apakah kadar kemiskinan dan pengangguran di Kelantan sudah dapat di atasi.

Apakah sudah ada dasar budaya, seni dan sukan yang Islami di Kelantan. Inilah antara isu-isu pokok sebagai prasyarat untuk mewujudkan negara Islam apalagi pelaksanaan hudud yang menjadi perintah Allah. Perlu ada iklim pembangunan dan perubahan yang kondusif supaya apabila dilaksanakan hudud ia menjadi pengukuh kepada sebuah sistem yang Islami.

sumber: Utusan Malaysia

Siapa selepas Zine El Abidine, Mubarak dan Gaddafi?


SELEPAS kejatuhan Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali diikuti Presiden Mesir, Hosni Mubarak dan pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dalam pemberontakan rakyat, giliran siapakah selepas ini?

Asia Barat atau dunia Arab kini berhadapan dengan kebangkitan rakyat yang mahukan perubahan dan pembaharuan politik setelah mendapat inspirasi daripada kebangkitan rakyat di Tunisia yang tercetus ekoran kematian remaja, seorang peniaga jalanan, Mohammed Bouazizi yang membakar dirinya pada 17 Disember lalu sebagai membantah kekasaran polis.

Insiden itu akhirnya mendorong rakyat Tunisia bangkit memberontak sehingga membawa kejatuhan Presiden Ben Ali yang memerintah Tunisia selama 23 tahun.

Pada masa sama, negara-negara Arab lain pula mengikuti perkembangan di rantau itu dengan penuh cemas setelah satu persatu pemimpin Arab berpengaruh seperti Mubarak dan Gaddafi tumbang akibat pemberontakan rakyat di negara mereka.

Sementara beberapa negara Arab lain mengambil langkah segera melaksanakan pembaharuan seperti di Maghribi yang bertindak meminda Perlembagaan dan Arab Saudi yang memberi kelonggaran kepada kaum wanita di negara itu.

Langkah itu dilaksanakan kerana bimbang kebangkitan rakyat di rantau itu akan merebak ke negara mereka pula.

Apakah perkembangan di dunia Arab sekarang benar-benar satu kebangkitan rakyat yang sudah lama dahagakan perubahan dan kebebasan?

Apakah teori domino yang pernah dilemparkan di Asia Tenggara kini beralih ke Asia Barat.
Teori domino pernah diaplikasi kepada rantau Asia Tenggara suatu masa dahulu ketika pengaruh komunis begitu ketara terutama dengan kejatuhan Kemboja dan Vietnam ke tangan komunis pada sekitar 1970-an.

Namun, teori domino itu kemudian ternyata tidak menjadi kenyataan dan kekal tinggal sebagai teori. Ia tidak lebih menjadi dongeng Amerika Syarikat (AS) untuk campur tangan dalam hal ehwal di Asia Tenggara dan bertapak di rantau ini.

Atau apakah senario yang sedang berlaku di rantau Asia Barat terutama di dunia Arab sekarang adalah sebahagian daripada mainan AS dan Barat bagi memperluaskan pengaruh mereka di rantau itu dan menjadikannya sebagai alasan untuk campur tangan dalam hal ehwal di rantau Arab.

Walau apa pun kemungkinannya, revolusi rakyat di Tunisia, Mesir dan Libya dilihat seolah-olah tidak ada hentinya apabila ia kini terus merebak ke Syria dan Yemen.

Setakat ini, nampaknya Presiden Basher al-Assad dari Syria dan Presiden Ali Abdullah Saleh dari Yemen dilihat begitu terdesak

sumber: Utusan Malaysia

Rakyat 'simpan' pengalaman dengan 'sesumpah politik'


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin tampil dengan komennya tentang gelagat penuh muslihat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bila bercakap tentang Anwar, sememangnya semua pihak mengakui ia tidak akan habis.
Acap kali Ketua Pembangkang itu bercakap lain kepada orang Melayu, cakap lain pula kepada orang Cina dan begitu juga apabila berinteraksi dengan kaum India.

Jika di depan orang Melayu, dialah 'paling Melayu' dan habis disilatnya bangsa lain. Di depan orang Cina pula, dialah 'Fong Sai Yuk' Malaysia yang berjuang demi bangsa Cina di Malaysia dan habis dikungfunya bangsa lain, terutamanya Melayu. Apabila tiba di depan bangsa India pula, dialah 'hero Tamil' paling hebat yang memperjuangkan bangsa India di Malaysia dan habis disilambamnya bangsa lain.

Tak habis di situ saja. Apabila ke Sabah dan Sarawak, Anwar meneruskan 'tarian talam bermuka-mukanya.' Banyak pengalaman yang 'disimpan' oleh orang Melayu, Cina dan India tentang tembelang Anwar.
Tidak perlulah pergi jauh. Semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak April lalu yang dibuat liputan oleh para petugas media termasuk penulis, gelagat Anwar seperti mana didedahkan Perdana Menteri begitu ketara helahnya.

Di sebuah restoran Cina yang dikelilingi beberapa kedai makan dan kopitiam di bandar Bintulu awal April lalu, Penasihat PKR itu seperti mana biasa dalam ceramahnya akan 'menyeronokkan pendengarnya' dengan seloka 'mengula-gulakan' hadirin. Tambah mengujakan lagi apabila katanya:

"Tuan-tuan, jika pembangkang dapat menguasai Putrajaya dalam masa 24 jam (pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti)...dalam masa 24 jam...dalam masa 24 jam (dengan aksi tangan dan menunduk di atas pentas) kita akan turunkan harga minyak," katanya.

Dalam bercakap isu kematian mendiang Teoh Beng Hock pula, kata Anwar, kononnya dia telah pergi menziarahi upacara pengkebumian mendiang tetapi 'orang UMNO ini tuduh saya rapat dengan orang Buddhist'.

Memang mana-mana orang pun apabila mendengar kenyataan ini pasti akan 'menyirap darah' mereka tetapi sesiapa pun yang mengenali hati budi orang Melayu, tidak akan percaya orang UMNO akan mendakwa sedemikian rupa. Manusia meskipun berlainan agama dan adat resamnya, perasaannya sama sahaja apabila mengulas tentang kematian - pasti berkongsi kesedihan. Tetapi malangnya Anwar terus 'membakar, membakar dan membakar perasaan orang Cina'.

Begitu juga apabila 'membakar' perasaan hadirin di Bintulu, Anwar bercakap lagi isu kematian seorang pegawai kastam. Dia mengutuk-gutuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai salah guna kuasa. Tetapi langsung tidak menyebut soal kewibawaan agensi itu yang membanteras penyalahgunaan dan penyelewengan di kalangan segelintir pegawai kastam sehingga berjaya menyelamatkan berbilion-bilion wang negara.

Itulah sebabnya Perdana Menteri kelmarin sekali lagi terpaksa mengingatkan rakyat termasuk komuniti Cina supaya berhati-hati dengan 'sesumpah politik' sebegini.

Masih ingatkah lagi dengan rancangan hendak menukar kerajaan yang sah pada 16 September 2008?
Pada satu majlis di Jakarta menjelang 16 September tahun berkenaan, Anwar dengan bangganya mencanangkan tarikh berkenaan untuk 'merehatkan' Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Saya tetap pada target saya, 16 September menjadi waktu untuk mengistirehatkan Badawi. Untuk itu, saya rileks sebentar sehari lompat ke Jakarta, berdiskusi dan bertemu dengan sahabat-sahabat saya di Indonesia," kata Anwar yang dipetik oleh wartawan akhbar republik itu. Namun semua maklum itu hanya impian dan pembohongannya sehingga hari ini.

Suatu ketika sebuah blog terkemuka Amerika, The New Ledger telah melondehkan lagi tembelang Anwar di luar negara. Artikel blog pronegara Uncle Sam itu telah menyokong kenyataan bahawa sememangnya
"Anwar adalah sesumpah".

The New Ledger mendedahkan betapa Anwar sebelum ini yang dalam 'pelarian' ke AS telah mewujudkan hubungan baik dengan tokoh-tokoh 'American Jews' (Yahudi Amerika) seperti Paul Wolfowitz dan Al Gore. Anwar benar-benar 'manis mulut' ketika itu. Begitulah akrabnya Anwar dan Yahudi. Tapi itu adalah ketika Anwar di luar negara. Apabila dia kembali ke Malaysia, sikapnya berubah menjadi sebaliknya.

Mungkin dia tahu bahawa budaya rakyat Malaysia yang tidak suka pada Israel (Yahudi). Maka Anwar terpaksalah bertukar 'wajah' seakan-akan anti-Yahudi dan Amerika. Ketidakpuasan hati mereka terhadap Anwar itu diterjemahkan oleh The New Ledger sebelum ini.

Ketika Anwar aktif bersama ABIM dahulu, dia dijangka menyertai Pas. Malah Anwar merupakan anak angkat kepada Allahyarham Yusof Rawa, seorang tokoh Pas yang terkenal.

Namun, apabila masuk UMNO atas undangan Tun Dr. Mahathir Mohamad, dia dikatakan 'memujuk' rakan-rakannya dalam ABIM dan Pas dengan mengatakan bahawa kemasukannya ke dalam UMNO adalah untuk 'memutihkan' UMNO.

Pada UMNO pula, Anwar menyatakan bahawa dia memasuki UMNO adalah kerana percaya pada perjuangan UMNO yang memartabatkan Islam, Melayu dan Malaysia.

Gelagat 'sesumpah' Anwar pernah diingatkan oleh bekas Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik ketika berucap di Jalan Padang Tembak, Air Itam, Pulau Pinang pada 2008.

"Anwar ini macam sesumpah, boleh tukar warna di depan sesiapa juga. Nanti, bila kita bangkit daripada tidur, negara sudah jadi hancur...dia tidak hairan (itu semua), hanya untuk capai dia punya objektif," kata Keng Yaik.

Bercakap tentang Anwar dan muslihatnya, ia memang tidak akan habis, apa lagi ketika ura-ura kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-13 dalam tempoh terdekat ini.

Kelmarin, Perdana Menteri mengulanginya sekali lagi - hanya untuk memastikan rakyat terus berwaspada kerana 'sesumpah' seperti mana sifatnya licik 'menangguk di air keruh'.

sumber: Utusan Malaysia

Ahad, 2 Oktober 2011

Krisis Greece ancam dunia


Rakyat Greece membakar salinan notis cukai kecemasan kerana marah dengan keadaaan ekonomi negara itu yang semakin meruncing.


GREECE terjerumus ke dalam kancah kemelut ekonomi Eropah dan mungkin boleh mengheret dunia ke alam kemelesetan. Bagaimana boleh terjadi sedemikian dan kenapa Kesatuan Eropah (EU) lemah menangani masalah ini? Pilihan yang terbuka kepada Greece tidak banyak dan semuanya ada implikasi serius.
Kalau masalah Greece tidak diselesaikan, ekonomi Eropah boleh merudum dan tentunya Malaysia juga terasa tempiasnya.
Greece terperangkap dalam putaran ganas kemuflisan, daya saing dan kediri rendah serta kemerosotan ekonomi semakin mendalam. Masalah ini berpunca daripada pengurusan ekonomi lemah, rasuah dan perbelanjaan boros sehingga hutang negara mencecah 113 peratus. Defisit perbelanjaan kerajaan pula 13.6 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2009. Hutang negara ini dijangka naik sehingga 200 peratus dari KDNK tidak lama lagi. Kedudukan kewangan sektor awam menjadi genting sehingga pendapatan kerajaan (dari cukai dan hasil sebagainya) tidak cukup untuk membayar gaji kakitangan awam!
Hutang gergasi Greece sebanyak AS$400 billion telah dibiayai oleh bank-bank Perancis, United Kingdom, Amerika Syarikat (AS), Jerman dan bank-bank tempatannya sendiri melalui terbitan (penjualan) bon kerajaan Greece. Selalunya, bon kerajaan amat dipercayai dan dianggap tidak berisiko tinggi kerana kerajaan mempunyai keupayaan kewangan kukuh untuk membayar hutangnya.
Kebimbangan tentang keutuhan bon kerajaan mula muncul apabila Dubai yang dianggap kaya raya tidak dapat membayar hutangnya dan terpaksa minta pertolongan Abu Dhabi. Oleh kerana jumlah hutang terlalu besar dan pendapatan kerajaan kecil akibat pertumbuhan ekonomi rendah berikutan kelemahan ekonomi Eropah, ramai khuatir bahawa Greece akan default dan gagal membayar hutang bonnya. Jika ini berlaku, maka sistem kewangan dunia yang sudah lemah kerana baru sahaja dilanda teruk krisis kewangan global 2008/09, akan runtuh kerana bank-bank mengalami kerugian besar dan masyarakat umum hilang keyakinan yang boleh membawa kepada bank run. Jika bank muflis, kerajaan terpaksa mengambil alih dan dana besar diperlukan untuk memulihkan bank berkenaan.
Jika Greece tidak dapat membayar hutangnya, terdapat kebimbangan bahawa Itali, Portugal, Ireland dan Sepanyol yang juga mempunyai beban hutang besar mungkin akan gagal membayar hutang. Akhirnya, bank-bank utama Eropah yang memegang bon Greece dan negara-negara ini akan jadi muflis dan seterusnya membawa kepada kemusnahan sistem perbankan Eropah dan boleh jadi dunia juga. Oleh itu, Greece mesti diselamatkan bagi kebaikan semua pihak.
Cara EU dan IMF menyelamatkan Greece adalah dengan memberi pinjaman bagi membiayai operasi sektor awam dan untuk membayar hutang kerajaan Greece. Justeru, pada Mei 2010 EU dan IMF bersetuju menyediakan pakej penyelamat sebanyak €110 billion. Walaupun komitmen pinjaman diberi, keyakinan terhadap ekonomi dan sistem kewangan EU terus diragui. Pada Februari 2011 Menteri Kewangan EU telah menubuhkan Tabung Stabiliti Eropah bernilai €400 billion. Pinjaman pertama kepada Greece ternyata tidak cukup. EU terpaksa memberi talian hayat kepada Greece dengan pakej penyelamat kedua sebanyak €109 bilion pada Julai 2011.
Jimat cermat
Pinjaman ini diberi dengan syarat Greece melaksanakan langkah jimat cermat dan meningkatkan pendapatan kerajaan. Gaji dan pencen kakitangan awam dipotong, cukai dinaikkan, cukai baru diperkenalkan dan banyak projek diswastakan. Rakyat Greece menganggap langkah mengikat tali perut ini keterlaluan sehingga menyebabkan kesusahan amat sangat. Pekerja pengangkutan awam, pemandu teksi, kakitangan awam, guru dan pengawal trafik udara bertindak mogok. Ramai merusuh dan menunjukkan kemarahan dengan merosakkan harta awam.
Pinjaman yang diterima dan langkah jimat cermat ini tidak membuahkan sepenuhnya hasil yang dijangkakan. Pihak memberi pinjam iaitu EU dan IMF berpendapat program penjimatan tidak dilaksanakan dengan berkesan dan tidak mengikut jadual. Mereka mendesak wang pinjaman akan hanya diberi jika langkah penjimatan dan peningkatan pendapatan dijalankan dengan tegas dan cepat. Kerajaan Perdana Menteri George Papandreou tentunya sukar mematuhi desakan ini kerana program penjimatan menerima tentangan hebat daripada rakyat.
Akibatnya, ekonomi Greece terus meleset kerana pasaran tidak yakin bahawa ekonomi akan pulih. Bank-bank yang memegang bon kerajaan Greece mahukan bayaran dibuat segera. Rakyat negara yang memberi pinjaman terutamanya Jerman juga menentang kerana tidak mahu kerajaan mereka menggunakan dana awam untuk membantu negara lain walaupun ia ahli EU. Rakyat Jerman marah kerana wang dari titik peluh mereka digunakan untuk menyelamatkan negara lain yang boros berbelanja. Dana pinjaman Jerman untuk Greece perlu diluluskan oleh Parlimen negara itu. Canselor Angela Merkel terpaksa bertungkus lumus memujuk Parlimen Jerman untuk meluluskan usul tersebut.
Suasana di Greece memang muram. KDNK tahun ini dijangka menguncup sebanyak 6.3 peratus dan tahun depan (2012) akan terus menurun sebanyak 5.9 peratus. Kadar pengangguran akan melonjak kepada 17 peratus.
Apakah opsyen yang ada bagi Kerajaan Greece? Jawabnya tidak banyak. Menteri Kewangan Greece Evangelos Venizelos merungut bahawa negaranya telah “diugut dan dihina” serta menjadi “korban” ketidakcekapan EU. Manakala rakyat Greece pula menuduh kerajaan mereka menyerahkan kuasa mentadbir dan maruah negara kepada EU. IMF dan bank-bank mengenakan syarat-syarat yang tidak boleh diterima. Contohnya, sekarang ini rakyat Greece yang berpendapatan hanya RM20,000 setahun atau RM1,700 sebulan terpaksa membayar cukai pendapatan.
Opsyen pertama adalah bagi Greece melaksanakan langkah penjimatan lebih berkesan dan menerima syarat pinjaman tambahan yang perit terutamanya menaikkan cukai. Dengan ini, Greece boleh terus mendapat pinjaman dan boleh membayar hutangnya. Tetapi, opsyen ini boleh menyebabkan ekonomi Greece meleset lebih teruk kerana tidak ada program untuk mengembangkan ekonomi seperti pakej rangsangan melalui perbelanjaan sektor awam. Jika ini berlaku, pemulihan mengambil masa lama. Yang selamat adalah bank-bank memegang bon kerajaan Greece.
Opsyen kedua adalah Greece tidak membayar hutangnya iaitu default dan keluar dari EU. Setengah ahli ekonomi seperti Prof. Nouriel Roubini mencadangkan ini sebagai opsyen terbaik. Jika begitu, Greece dapat menurun kadar mata wangnya yang boleh meningkatkan eksport, menjalankan program rangsangan ekonomi dan meningkatkan daya saing. Apabila ekonomi berkembang, pendapatan kerajaan akan pulih dan hutang dapat dikurangkan.
Jika pilihan ini diambil, keyakinan terhadap ekonomi dan bank EU akan hancur sepenuhnya dan bank yang terdedah kepada hutang di EU akan muflis. Mata wang Euro juga mungkin akan berpecah kerana pasaran tidak mahu lagi memegang Euro. Ekonomi seluruh EU akan meleset, kecuali negara yang kukuh seperti Jerman.
Hutang
Opsyen ketiga ialah pengeluaran bon baru oleh kumpulan institusi kewangan antarabangsa untuk menggantikan bon kerajaan Greece. Opsyen ini telah diambil untuk menyelesaikan masalah hutang Argentina pada tahun 1990-an. Bon baru yang dinamakan “Brady Bond” dikeluarkan oleh Amerika Syarikat untuk menggantikan bon Argentina. “Brady Bond” adalah sempena nama Setiausaha Kewangan AS masa itu. Tetapi opsyen ini tidak boleh dibuat kerana ekonomi Greece lemah dan tidak boleh berkembang untuk membayar bon baru ini.
Penyelesaian masalah hutang Greece bukan hanya terletak di bahu negara itu sahaja. Ia memerlukan penyelesaian serantau (EU) dan masyarakat antarabangsa kerana dana yang diperlukan adalah amat besar. Menurut Pengarah Urusan IMF yang baru, Christine Lagarde, walaupun implementasi pakej penjimatan penting, pemulihan ekonomi hanya boleh dicapai jika hutang dikurangkan. Memang, punca masalah ini adalah keborosan kerajaan Greece tetapi bank-bank juga tidak boleh terlepas tanggungjawabnya. Mereka begitu ghairah memberi pinjaman tanpa meneliti risiko yang terlibat. Oleh itu, bank-bank perlu berkongsi kerugian dan mesti menerima jumlah pembayaran balik pinjaman yang lebih kecil.
Satu pengajaran penting dari pengalaman Greece ialah menyelesaikan hutang melalui pinjaman dari punca luar bukanlah satu penyelesaian kekal. Ekonomi sesebuah negara hanya boleh pulih dan terus maju jika ia ada daya saing dan asas mantap. Tanpa pertumbuhan ekonomi, masalah hutang negara akan datang semula. Dayang saing yang berasaskan produktiviti dan kadar mata wang yang realistik serta fleksibel penting untuk pertumbuhan ekonomi.
EU pula tidak boleh berlengah dan perlu menjalankan langkah pemulihan dengan segera dan tegas. Perbalahan dan ketidaktentuan akan membuatkan pasaran gusar dan hilang keyakinan. Progam baru untuk membantu bagi ahli-ahli EU yang bermasalah perlu diwujudkan dengan segera dan jumlah bantuan yang diperlukan mesti dibuat secara betul berasaskan maklumat tepat. Langkah pantas perlu diambil kerana jika tidak pelabur akan mengalihkan dana mereka keluar kepada pelaburan di tempat lain yang dianggap lebih selamat. EU juga perlu ada sumber secukupnya jika bank-bank mereka memerlukan suntikan dana dan penambahan modal terutamanya bagi kerajaan Itali dan Sepanyol yang kedudukannya tidak begitu mantap.
Krisis di Eropah ini menampakkan satu perubahan baru yang penting. Kali ini AS tidak mampu mengambil peranan sebagai penyelamat kerana ekonominya sendiri bermasalah. Sebaliknya, dunia beralih kepada kuasa baru iaitu Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS) sebagai penyelamat baru. Setakat ini, BRICS masih lihat dan tunggu. Jika mereka menjadi penyelamat, ini merupakan fenomena unik kerana negara sedang membangun membantu negara maju. Yang jelas BRICS semakin berpengaruh di persada dunia. BRICS ada dana yang besar, pertumbuhan ekonomi tinggi, daya saing yang kuat, sumber yang banyak dan pasaran besar. BRICS juga berjaya mengharungi krisis global dengan baik dan ekonomi mereka pulih dengan cepat.
Secara kesimpulan, krisis hutang Greece bukan masalah negara itu sahaja. Dunia akan terjejas secara langsung dan tidak langsung apabila krisis di Greece menular ke negara lain dan kemelesetan merebak ke seluruh dunia.

Datuk Dr. Mahani Zainal Abidin
ialah Ketua Eksekutif
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia
.

sumber: Utusan Malaysia
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...