Ahad, 5 April 2009

Masalah di Albert Park hantui BMW Sauber lagi

MASALAH di Albert Park, Melbourne minggu lalu, terus menghantui pasukan BMW Sauber di Litar Antarabangsa Sepang petang semalam, dalam usaha mereka untuk menyaingi kehebatan pasukan terutama yang dilengkapi alat diffuser. Pengarah Sukan Permotoran BMW, Mario Theissen, berkata untuk saingan di Sepang, mereka terpaksa menerima hakikat itu tetapi mampu berpuas hati dengan keputusan yang dicapai dua pemandunya, Robert Kubica dan Nick Heidfeld dalam sesi kelayakan semalam. "Disebabkan kedua-dua pemandu ini berdepan dengan penalti yang menyaksikan mereka tercicir daripada grid, Robert dan Nick akan bermula esok (hari ini) di tempat ke keenam dan ke-10.
"Untuk saingan esok (hari ini), besar kemungkinan perlumbaan berlangsung dalam hujan dan mungkin ada kejutan," katanya. Hakikat sama turut disuarakan Ketua Kejuruteraan BMW, Willy Rampf, yang menegaskan pasukan itu sedar keadaan menjadi amat sukar walaupun pada awalnya meramalkan kedua-dua pemandu akan layak ke sesi kelayakan ketiga. "Malang bagi Nick yang gagal melepasi kelayakan terakhir. Disebabkan kesesakan di litar, dia gagal mencatat masa terbaik. Bagaimanapun, Robert kelihatan konsisten," katanya.
Kubica nyata berpuas hati dengan pencapainya semalam apabila mencatat 1 minit 36.125s pada sesi ketiga di sebalik jenteranya yang tidak stabil dan sukar dipandu. "Saya hanya melakukan apa yang terdaya di selekoh tetapi laluan lurus di sini begitu panjang untuk memberikan kelebihan kepada mereka yang menggunakan KERS. Bagaimanapun, agak menarik untuk bermula esok di kedudukan belakang kerana ia mampu memberikan lebih cengkaman." Keadaan berbeza bagi Heidfeld yang kecewa dengan catatan 1:34.769s pada kelayakan kedua kerana yakin mampu melepasi kelayakan ketiga. "Saya kelihatan sudah selamat pada kelayakan kedua apabila berada di tempat ketujuh, tetapi pada pusingan terakhir, laluan menjadi begitu sesak menyebabkan saya gagal memanaskan tayar dengan sempurna. Kali ini saya menggunakan KERS dan ia banyak membantu," katanya.

sumber : Berita Harian (5 April 2009)

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...