Rabu, 29 Februari 2012

Tiada rakaman Badrulamin dipukul kumpulan samseng


INILAH lobi hotel terkenal di Pantai Balok, Kuantan, tempat Dr. Badrulamin didakwa berkhalwat dengan isteri orang.



KUANTAN - Persoalan mengapa Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Badrulamin Bahron enggan membuat laporan polis walaupun mendakwa 20 orang membelasahnya ketika ditangkap khalwat di sebuah hotel di Pantai Balok di sini kelmarin terjawab apabila siasatan pihak hotel itu mendapati dakwaan dia dipukul tidak benar.

Perkara itu disahkan sendiri oleh pengurus keselamatan hotel tersebut yang berkata, rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) hotel itu mendapati tidak ada kelibat sekumpulan lelaki seramai 20 orang memasuki hotel itu antara pukul 2 hingga 3 pagi Sabtu lalu.

Beliau turut menegaskan, tiada seorang pun pekerja hotel yang ternampak begitu ramai lelaki bagaikan samseng memasuki hotel dan seterusnya menuju ke bilik penginapan Dr. Badrulamin sebagaimana didakwa.
Menurutnya, hotel tersebut mempunyai CCTV di setiap laluan di tangga dan lif, bukannya di laluan menuju ke bilik penginapan.

"Namun, rakaman CCTV yang kami lihat kembali mendapati tidak ada rakaman yang membuktikan ada orang masuk beramai-ramai ke hotel kami pada waktu tersebut.

"Kenyataan bahawa hotel ini boleh dimasuki kumpulan samseng sewenang-wenangnya untuk membelasah pelanggan adalah sangat mencemarkan imej hotel ini,'' katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ahad, 12 Februari 2012

Ya’ atau ‘tidak’ tanya orang PAS

sumber: Berita Harian
Oleh Mior Kamarul Shahid
mkamarul@bharian.com.my
2012/02/05


KONFLIK politik di kalangan parti pembangkang di Malaysia sangat ketara. PAS dan DAP tidak sehala manakala PKR pula menghadapi pelbagai cabaran politik. Sebenarnya percanggahan ideologi, idealisme dan pandangan politik ketiga-tiga parti itu sering disebut oleh ahli politik, khasnya di pentas politik. Selama ini apa yang berlaku dalam parti pembangkang dianalisis atau dilihat dengan mata kasar saja tanpa penelitian.

Persoalannya, tidak adakah mana-mana badan yang terbabit dalam urusan penyelidikan mampu memberi jawapan tepat terhadap konflik dan percanggahan idea yang wujud dalam parti pembangkang. Daripada sikap pemimpin parti itu, mereka sedaya upaya cuba menunjukkan kepada ahli parti, seolah-olah bersatu. Dalam banyak isu, mereka kononnya berdiri sama tinggi dan seia sekata. Di belakang pintu mesyuarat mereka berbalah, tetapi dengan media mereka berpeluk sakan. Ahli mereka melihat tanpa mengetahui apa sebenarnya berlaku.

Hakikatnya, ia adalah sandiwara politik yang penuh dengan kepalsuan. Ramai yang berkata PAS, DAP dan PKR ‘tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain’. Walaupun kenyataan ini menjadi pengetahuan umum, ia tetap dianggap sekadar hujah politik. ‘Tidur sebantal, mimpi lain-lain’ bukanlah dapatan daripada kajian saintifik yang dijalankan oleh mana-mana badan penyelidikan politik dan bukan politik. Ia tidak lebih daripada peribahasa untuk menunjukkan konflik dalam parti pembangkang. Konflik biasanya akan berakhir dengan perpecahan.

Jika konflik membabitkan dua negara, ia boleh mencetuskan peperangan. Tanpa kajian, apa juga hujah politik dianggap oleh masyarakat khasnya pengkaji dan golongan intelek, sebagai kenyataan yang tidak bersandar (sweeping statement). Kenyataan tidak bersandar seperti ini sering didengar diucap dari pentas ke pentas politik dan dari mulut ke mulut saja. Kajian menunjukkan hujah politik semata-mata tidak boleh sepenuh mempengaruhi pemikiran rakyat. Makna ‘tidur sebantal, mimpi lain-lain’ itu juga sering dan mudah ditafsir secara berbeza-beza.

Orang PAS mungkin menganggap kenyataan itu dibuat oleh orang tertentu untuk tujuan tertentu. Rasanya, setakat ini tidak ada satu kajian pun dijalankan untuk mengetahui apa sebenarnya yang tersirat dalam fikiran ahli PAS, DAP atau PKR mengenai pakatan ketiga-tiga parti itu. Jangan ambil kira kenyataan pemimpin parti berkenaan mengenai pembangkang kerana mereka sudah terlajak dan terpaksa bersandiwara untuk mengejar mimpi masing-masing.

Mereka tahu kerjasama itu membuang masa tetapi terpaksa diteruskan kerana terpaksa. Sebenarnya, isu penerimaan dan sokongan ahli terhadap pakatan tiga parti pembangkang ini adalah satu daripada ratusan tajuk kajian yang boleh dijalankan terhadap parti pembangkang. Mustahil kajian seperti ini tidak boleh dijalankan secara objektif oleh institusi atau badan penyelidikan bebas.

Jika pembangkang berasakan ada halangan atas sebab politik, PAS, DAP dan PKR sepatutnya menjalankan kajian sendiri mengenai cita rasa ahli-ahli mereka. PAS tidak perlu berselindung dan menipu jika benar-benar mahu memperjuang kebenaran dan negara Islam. Buatlah kajian secara jujur adakah ahli-ahli parti itu merestui kerjasama parti itu dengan DAP. Hanya dengan jawapan ‘ya’ atau ‘tidak’ PAS boleh mendapat jawapan sama ada untuk menerus atau memberhentikan hubungan dengan DAP. Soalan susulan, apakah ahli PAS yakin DAP menyokong perjuangan menegakkan negara Islam di Malaysia. Jawab ‘ya’ atau ‘tidak’. Juga jawab ‘ya’ atau ‘tidak’ apakah ahli PAS percaya DAP bersetuju melaksanakan hukum hudud di negara ini.
Beratus-ratus soalan boleh ditanya kepada ahli PAS untuk mengetahui apakah sebenarnya yang mereka fikirkan. Tanyakan juga soalan sama kepada mereka mengenai sikap dan pemimpin PKR. Untuk lebih adil, mereka boleh tanyakan juga pandangan ahli mengenai sentimen mereka terhadap UMNO. Buruk sangatkah UMNO di mata ahli parti berbanding parti yang mereka bekerjasama sekarang. UMNO dilihat buruk atau dihodohkan oleh pemimpin parti itu tetapi jika kajian lapangan dijalankan tidak semestinya pendapat pemimpin parti itu selari dengan pandangan ahli-ahli mereka. Begitu juga, sokongan pucuk pimpinan PAS kepada pembangkang tidak semestinya direstui oleh ahli parti.

DAP juga boleh membuat kajian sendiri terhadap ahli parti mereka. Tanyakan soalan tertutup ‘ya’ atau ‘tidak’ sama ada menyokong penubuhan negara Islam dan hukum hudud oleh PAS. Untuk ketiga-tiga parti pembangkang, mereka boleh senaraikan nama pemimpin pembangkang yang mereka lebih yakin dan kurang yakin dari segi moral atau daya kepemimpinan mereka. Kita boleh membuat pelbagai andaian berasaskan hipotesis kajian tetapi jawapan daripada ahli pasti berbeza seandainya kajian dijalankan secara berasingan oleh parti berkenaan atau pun serentak.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...