Ahad, 19 Jun 2011

Kambing-kambing betina yang bingung

WAHAI orang-orang yang beriman, renungilah maksud hadis ini. Dari Ibnu Umar RA, dari Nabi Muhammad SAW, sabdanya: Perumpamaan orang munafik, seperti seekor kambing betina yang bingung mengikuti dua ekor kambing jantan. Sekali dia hendak mengikut yang ini, kali yang lain hendak mengikuti yang satu lagi. - SAHIH MUSLIM

Siapakah orang-orang yang bersifat kambing betina yang bingung ini? Jawapannya jelas, tanpa perlu banyak berfikir dan merujuk kepada banyak pihak.

Dulu puak kambing betina ini mengekori dengan penuh taksub kambing-kambing jantan yang berbulu putih lebat di kepala dan berjanggut juga putih. Mengekori dengan penuh taksub. Setiap gerak dan suara yang keluar daripada kambing berserban dan berjanggut ini akan diterima bulat-bulat.

Disuruh makan mereka makan, disuruh duduk mereka duduk, disuruh berdiri mereka berdiri, disuruh mengembik mereka mengembik, disuruh menanduk mereka menanduk, bahkan disuruh apa sahaja mereka akan lakukan.

Tiba-tiba lalu di depan mereka seekor kambing jantan yang berbulu hitam lebat di kepala. Maka kambing-kambing betina melihat suatu kelainan. Suara kambing jantan berkepala hitam itu juga lebih merdu dan enak didengar daripada suara kambing-kambing jantan yang berkepala putih.

Kambing jantan berkepala hitam itu juga kelihatan lebih berketrampilan. Pandai bermadah dan berkata-kata. Pandai juga bercakap seperti kambing-kambing di negara empat musim.

Lalu mereka pun mengekori pula kambing jantan berkepala hitam itu. Bukan sahaja mereka, malah kambing-kambing jantan yang berkepala putih turut mengekori kambing jantan berkepala hitam. Rupa-rupanya kambing-kambing jantan berkepala putih itu tidak mahu ditinggalkan oleh kambing-kambing betina yang mengekori kambing jantan berkepala hitam.

Bukan main seronok si kambing jantan berkepala hitam. Bukan sahaja banyak kambing betina yang sekarang mengekorinya, bahkan kambing-kambing jantan berkepala putih juga berduyun di belakangnya. Disuruh apa sahaja, mereka akan patuh. Malah mereka mengembek lebih kuat daripada kambing jantan berkepala hitam yang sekarang menjadi ketua mereka. Mereka juga sangat garang dan bersedia menanduk sesiapa sahaja atas arahan kambing jantan berkepala hitam.

Memang sudah lama si kambing jantan berkepala hitam ini mengidam untuk menjadi ketua, bukan sahaja ketua kambing, tetapi ketua kepada segala haiwan. Dia percaya kononnya Tuhan telah menjelmakannya di dunia untuk menjadi ketua kepada semua haiwan.

Anugerah

Sekarang semakin banyak kambing yang turut mempercayai kononnya dia adalah anugerah Tuhan untuk memimpin mereka ke padang ragut yang lebih hijau. Keyakinan mereka bertambah apabila melihat seekor singa tua dan beberapa ekor serigala turut mengekori dan berkawan rapat dengan kambing jantan berkepala hitam itu.

Dulu kambing jantan berkepala hitam itu pernah hampir-hampir menjadi ketua haiwan, tetapi perangainya yang buruk telah menyebabkan dia disingkir oleh ketua haiwan pada masa itu.

Oleh kerana dia percaya bahawa jawatan ketua haiwan itu adalah hak mutlaknya,maka dia sungguh marah dan tidak puas hati. Dia berdendam, terus merancang dan merancang bagaimana untuk menduduki kerusi jawatan ketua segala haiwan.

Sudah pelbagai muslihat digunakan, tetapi jawatan ketua haiwan itu masih belum berada dalam genggamannya. Dia tidak mengaku kalah dan akan terus berusaha sedaya upaya dengan apa cara jua sekalipun. Apatah lagi hampir semua kambing sudah seia sekata dengannya sekarang. Mereka sudah berikrar untuk sehidup semati bersamanya.

Disebabkan terlalu taksub dengan si kambing jantan berkepala hitam, mereka terlupa bahawa dalam kumpulan mereka ada singa dan serigala yang zahirnya berbaik-baik dengan mereka. Pada hal, si singa jantan tua dan gerombolan serigala itu hanya menunggu masa sahaja untuk membaham dan meratah kumpulan kambing yang bingung.

Para pembaca budiman. Kita tinggalkan kisah kambing ini. Kita kembali ke realiti kehidupan manusia di bumi Malaysia ini.

Tidak lama lagi, kalau tidak silap pada 9 Julai depan, akan berlangsunglah satu perhimpunan membantah sistem dan cara pelaksanaan pilihan raya di Malaysia.

Khabarnya perhimpunan itu dikepalai oleh seorang wanita bukan Islam. Yang ramai mahu menyertainya ialah lelaki-lelaki Islam, termasuk mereka yang berserban dan berkopiah putih. Mereka ini diperdaya dengan andaian kononnya mereka akan memperoleh kuasa memerintah negara jika pilihan raya umum benar-benar 'bersih.'

Antara mereka yang percaya ialah puak yang telah lama memegang kuasa memerintah negeri Kelantan. Tidakkah mereka terfikir, bolehkah puak mereka memerintah Kelantan begitu lama jika pilihan raya di negara ini sangat kotor dan mudah diputarbelit.

Kalangan yang menentang puak yang mahu berhimpun dan berarak ini juga berhujah, jika pilihan raya negara ini boleh diputarbelitkan, kenapa pembangkang boleh menang di lima negeri dalam pilihan raya umum 2008?
Kemudian diadakan beberapa pilihan raya kecil yang juga silih berganti dimenangi oleh pembangkang. Hanya pada kebelakangan ini arus pengundian tidak memihak kepada mereka kerana rakyat mulai sedar tentang siapa yang benar. Namun dalam pilihan raya negeri Sarawak 2011, pembangkang masih berjaya menambah kerusi.

Sebenarnya kumpulan ini hanya mahu mengambil kesempatan untuk mengapi-apikan rakyat Malaysia supaya turun ke jalan raya seperti yang berlaku di Mesir, Yemen, Libya dan Syria. Padahal keadaan di Malaysia amat berbeza daripada negara-negara itu sama ada dari segi pengagihan pendapatan dan kebebasan yang dirungutkan.

Sebenarnya puak yang mahu berhimpun itu sudah hilang kepercayaan terhadap sistem demokrasi berpilihan raya kerana mereka tahu bahawa peluang mereka untuk menang dan memerintah negara tidak akan tercapai melalui kotak undi.

Soal keamanan tidak penting lagi bagi mereka. Yang penting hanyalah merampas kuasa dan memartabatkan ketua mereka menjadi Perdana Menteri Malaysia dengan apa jua cara sekalipun. Musuh-musuh Islam dari kalangan manusia dan syaitan-syaitan juga sedang bekerja untuk membantu mereka. Wahai pihak berkuasa, jangan sesekali tunduk kepada tekanan mereka.

Wahai orang-orang beriman. Berwaspadalah dan jangan biarkan mereka beraja di hati dan di mata. Marilah kita menadah tangan kepada Illahi.

Ya Allah Yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana. Kepada-Mu kami berserah diri terhadap musuh-musuh-Mu yang juga musuh-musuh kami. Bantulah kami dalam menghadapi kegawatan ini. Selamatkanlah negara kami daripada segala angkara manusia durjana dan syaitan-syaitan yang mahu menyesatkan umat manusia daripada jalan yang benar. Perkenankanlah permintaan kami.

sumber: Utusan Malaysia

PAS patut tukar nama jadi PKS

Oleh Mior Kamarul Shahid
mkamarul@bharian.com.my
2011/06/12


AKHIRNYA, PAS terpaksa menolak sendiri matlamat perjuangannya untuk menubuhkan sebuah negara Islam.

Hala tuju baru parti itu ditegaskan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang dalam ucapan dasarnya pada muktamar tahunan parti itu, baru-baru ini. Kini, sudah tercatat dalam dokumen sejarah Malaysia bahawa Muktamar Tahunan PAS ke-57, menerima matlamat baru parti.

Sama ada perwakilan setuju atau tidak dengan matlamat baru itu akan diketahui kemudian sama ada melalui protes senyap daripada dalam parti atau secara terbuka pada pilihan raya umum nanti. Penerimaan perwakilan ketika berada di dalam atau di luar dewan, adalah berbeza.

Dalam dewan semua setuju kerana mahu mahu menjaga ‘air muka’ presiden, tetapi di luar dewan mereka mengatakan inilah akibatnya pimpinan yang tidak mempunyai daya intelek yang tinggi. Jika dulu mereka menyertai PAS kerana begitu yakin parti itu bergerak atas landasan untuk menegakkan negara Islam, kali ini mereka terperanjat besar kerana diberitahu bahawa negara Islam tidak ada dalam al-Quran.

Ini bermakna hujah-hujah pemimpin PAS mengenai negara Islam dan tuduhan mereka kepada UMNO selama ini adalah khayalan dan rekaan sendiri.

Jika dulu mereka mengatakan landasan UMNO adalah berteraskan semangat nasionalisme manakala PAS pula Islam, ia sudah tidak boleh diterima-pakai lagi. Fatwa yang mereka cipta sebelum ini juga adalah mengelirukan, semata-mata untuk menjadi keuntungan politik.

Jika dulu PAS bergerak menghala ke arah timur, maka mulai 3 Jun 2011, parti itu berpusing kiblat ke arah barat pula. Untuk memudahkan cerita, perkataan Islam dalam parti itu sudah tidak relevan atau secocok lagi dengan PAS. PAS atau Parti Islam SeMalaysia perlu ditukar nama kepada PKS atau Parti Kebajikan SeMalaysia.
Landasan baru parti itu ialah untuk memperjuangkan sebuah negara berkebajikan. PAS menjatuhkan penarafan perjuangannya daripada membina sebuah negara Islam ke negara kelas lebih rendah. Jika pengikut PAS selama ini mempertahankan parti itu kerana perjuangannya terhadap Islam, mungkin mereka menjadi layu kerana matlamat parti sudah tersasar. Mereka tahu kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah lama membuat kebajikan.

Untuk menjadi negara kebajikan, negara itu mesti terlebih dulu menjadi kaya. Kalau negara miskin, ramai rakyatnya miskin dan negara miskin tidak boleh membantu rakyat miskin.

Semua orang faham, apa yang dilakukan PAS semata-mata untuk memenuhi desakan rakan-rakan dalam pakatan pembangkang - DAP dan PKR. Ramai yang sudah memberi pandangan mengenai perubahan haluan PAS ini, terutama daripada perspektif politik.

Kenyataan Hadi ini perlu juga dilihat daripada perspektif kewartawanan kerana perkara yang dikatakannya itu mendapat tempat di ruang media, menjadi berita utama dan dianggap ‘berita besar’. Sebenarnya, dari segi ‘makna berita’, apa yang dicakapkan oleh Hadi itu adalah perkara yang kompleks, khasnya dalam masyarakat yang tidak dapat lari daripada lingkaran teori orientasi dan elemen sosial.

Kajian mengenai berita sama dengan melihat hologram berhubung perubahan imej PAS. Ramai faham PAS terpaksa berubah kerana matlamat perjuangan mereka selama ini tidak pernah berganjak dari tempat asalnya.

Terpulanglah kepada ahli PAS atau mereka yang selama ini bersimpati dengan parti itu sama ada masih mahu mendekatkan diri atau keluar dari parti itu.

Membincangkan isu pendirian PAS, memaksa seseorang mengaitkannya dengan politik, sosial, ekonomi dan budaya.

Sebelum melaksanakan negara berkebajikan sepatutnya PAS faham bahawa negara berkebajikan adalah konsep kerajaan yang mana negara memainkan peranan utama melindungi dan meningkatkan kesejahteraan ekonomi dan sosial rakyat.

Negara seperti ini berpegang kepada prinsip persamaan peluang, keadilan sosial, pembahagian kekayaan sama rata dan tanggungjawab awam untuk membantu golongan yang tidak berdaya. Penganggur juga diberi elaun.

Sebenarnya, kebajikan yang dilakukan oleh kerajaan hari ini lebih besar daripada negara-negara berkebajikan di dunia hari ini.

Ini termasuk menyediakan kemudahan pelajaran, kesihatan, pengangkutan, pembangunan bandar dan luar bandar selain keperluan asas lain untuk rakyat. Malah, ia mempunyai sebuah kementerian yang antara lain untuk membantu badan-badan kebajikan dan rakyat.

Badan korporat, badan bukan kerajaan dan sebagainya turut membantu dengan pelbagai program bagi meringankan beban rakyat. Jika ada tragedi yang menyebabkan kerugian nyawa dan harta benda, rakyat yang lebih senang akan sama-sama membantu. Ini sudah lama dilakukan, bukan saja untuk rakyat negara ini, malah rakyat negara asing juga. Apa yang PAS lakukan untuk membantu rakyat dunia yang memerlukan?

Hari ini kerajaan BN berusaha untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi. Lebih tinggi pendapatan rakyat, lebih tinggilah sumbangan mereka kepada rakyat yang memerlukan.

Sepatutnya PAS boleh mulakan negeri berkebajikan di Kelantan dan Kedah sebagai model negeri kebajikan. PAS juga boleh memaksa Selangor dan Pulau Pinang ikut langkah mereka, kalau mereka bersetuju.

Untuk menjadi negeri berkebajikan, pendapatan negeri mesti tinggi. Kalau tidak, bagaimana hendak membantu rakyat. Apa hasil Kerajaan Negeri Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang? Mungkin Selangor mempunyai sedikit kelebihan tetapi jika pelabur berpendapat menanam modal di Selangor akan memaksa mereka membuat sumbangan besar untuk soal kebajikan semata-mata, mereka pun akan lari.

Pelabur yang menanam modal di sesebuah negara mempunyai model perniagaan, misi dan visi sendiri. Mereka serius untuk berniaga

BERSIH bermotif kotor

Oleh Mior Kamarul Shahid
mkamarul@bharian.com.my
2011/06/19


RAMAI rakyat Malaysia resah berikutan tindakan pihak tertentu, didalangi pembangkang mahu mengadakan perhimpunan haram – Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) di beberapa negeri 9 Julai ini. Nampaknya, Presiden BERSIH, Datuk S Ambiaga masih tidak berganjak untuk menganjurkan perhimpunan BERSIH 2.0 walaupun mengharapkan ia berjalan lancar.

Siapakah dia yang boleh memberi jaminan berhubung soal keselamatan negara. Jika BERSIH mahu memperjuangkan agenda masyarakat madani, mereka terlebih dulu perlu melihat diri sendiri. Tindakan yang mereka mahu lakukan itu juga adalah pemikiran lama yang tidak bertamadun. Mereka mempunyai motif yang kotor.

Pihak berkuasa keselamatan khasnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terbabit dalam perhimpunan haram itu. Ini menunjukkan penganjur bukan saja tidak takut kepada arahan polis, tetapi tidak langsung bimbang melakukan perbuatan yang melanggar undang-undang. Paling penting mereka tidak langsung mengambil kira risiko yang akan dihadapi oleh sesiapa juga yang terbabit dalam perhimpunan itu. Dalam masyarakat bertamadun, kalau seseorang mengambil barang yang tidak mendapat keizinan pemiliknya, itu mencuri namanya dan melakukan kesalahan jenayah. Begitu juga mengadakan perhimpunan yang tidak mendapat kebenaran juga bermakna melakukan kesalahan.

BERSIH mahu meneruskan perhimpunan itu kerana mereka nampak keuntungan politik yang akan diraih nanti. Tambahan pula, mereka juga mahu menggerakkan momentum pilihan raya yang dijadualkan tidak lama lagi. Untuk menghalalkan perhimpunan itu, pihak berkuasa perlu memberikan permit kepada mereka tetapi alasan PDRM pula ialah menghalalkan perhimpunan itu boleh menimbulkan masalah keselamatan – mana lebih penting? Logik akal, BERSIH tidak akan mendapat permit perhimpunan itu atas alasan keselamatan dan ketenteraman awam.

Keadaan ini akan memaksa perhimpunan itu diadakan secara haram. Jika diadakan juga, PDRM terpaksa bertindak dengan alasan mereka sudah pun mengeluarkan amaran tetapi tidak dipatuhi. Cuma, PDRM perlu konsisten bagi melarang mana-mana juga pertubuhan mahu menganjurkan perhimpunan yang boleh menimbulkan masalah keselamatan. Walaupun ada negara yang membenarkan perhimpunan, mereka juga mempunyai syarat.

Dalam kebanyakan perhimpunan atau demonstrasi politik yang pernah diadakan di negara ini, sebahagian besar yang mengambil bahagian ialah orang Melayu dan India. Daripada cara berpakaian dan perangai, mereka jelas mewakili parti politik atau badan yang ada kaitan dengan parti politik. Untuk lebih tepat, mereka mewakili parti pembangkang. Mereka akan turut serta asalkan perhimpunan itu diadakan untuk menentang kerajaan. Contohnya, jika dulu mereka sanggup berhimpun kononnya untuk menegakkan perjuangan sebuah negara Islam, hari ini orang yang sama sanggup berhimpun untuk mempertahankan pemimpin mereka yang mengatakan negara Islam tidak ada dalam al-Quran.

Realitinya, tidak ramai orang Cina mahu terbabit dalam demonstrasi di negara ini melainkan jika ia membabitkan kepentingan mereka secara langsung. Golongan ini, meskipun menyokong pembangkang, tidak akan membodohkan diri sendiri dan membuang masa. Pada mereka, biarlah orang Melayu dan India yang berdemonstrasi asalkan penyokong DAP mendapat faedahnya. Sebelum ini pun, PAS memberi banyak keistimewaan kepada DAP termasuk sanggup menukar perjuangannya semata-mata kerana mahu menjaga hati DAP.
Bagi kaum Cina yang berniaga atau yang tidak peduli mengenai politik, mereka bimbang perhimpunan haram itu boleh menjejaskan perniagaan mereka, khasnya jika ia diadakan di tempat mereka. Pada hari demonstrasi haram, orang ramai tidak akan keluar bagi mengelakkan mereka terperangkap dalam kumpulan yang berarak atau dalam kesesakan lalu lintas. Peniaga terpaksa menutup kedai kerana bimbang, demonstrasi bertukar menjadi huru hara. Itulah sebabnya banyak pihak membantah perhimpunan haram itu. Perhimpunan kali ini jelas membuktikan pembangkang tidak yakin mereka mendapat sokongan rakyat sekiranya pilihan raya diadakan.

Oleh itu, mereka mengambil pendekatan mengadakan perhimpunan dan mendesak yang bukan-bukan. Mereka belajar daripada tindakan penduduk di sesetengah negara yang mengadakan perhimpunan semata-mata untuk menjatuhkan pemimpin. Mereka tidak boleh samakan keadaan di Malaysia dengan beberapa negara lain yang berbeza dari segi sistem, budaya dan undang-undang. Agak pelik pembangkang masih menganggap pilihan raya di Malaysia tidak bersih sedangkan mereka menang di lima negeri pada pilihan raya 2008 – Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Namun, Perak kembali kepada Barisan Nasional (BN).
Pembangkang juga menguasai kerusi Parlimen Wilayah Persekutuan. Pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak baru-baru ini, bilangan kerusi pembangkang bertambah dan kawasan majoriti Cina dikuasai DAP. Apakah pilihan raya itu tidak telus dan adil?

Sebenarnya dalam kebanyakan tuduhan pembangkang ke atas BN, tidak ada bukti nyata. Apa yang mereka lakukan semata-mata untuk membentuk persepsi masyarakat seolah-olah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berat sebelah dan tidak adil. BN juga sebenarnya mempunyai banyak kes yang membabitkan pembangkang tetapi tidak mengetengahkannya kerana menganggapnya perkara remeh-temeh.

Disebabkan pembangkang tidak ada kuasa, apa saja tuduhan dilemparkan ke atas mereka dianggap sebagai penganiayaan tetapi jika mereka melemparkan tuduhan ke atas kerajaan BN, ia adalah untuk menegakkan kebenaran. Kerajaan terpaksa bertindak selepas mengkaji banyak perkiraan dan implikasi kerana tidak mahu dianggap zalim.

Pembangkang mengambil kesempatan atas kelembutan dan dilema kerajaan ini. Sebaliknya, jika kerajaan membiarkan perhimpunan itu, rakyat juga akan marah kerana membenarkan perhimpunan itu diadakan tanpa sebarang tindakan. Tindakan kerajaan menghalang perhimpunan itu adalah semata-mata sebagai langkah pencegahan bagi mengelak sesuatu yang buruk berlaku.

sumber: Berita Harian

Masih Ku Ingat: Ancaman PAS bakar wartawan amat menakutkan

Oleh Razak Rashid Ghows
bhnews@bharian.com.my
2011/06/19


SAYA masih lagi ingat peristiwa 26 Mei 1990 ketika sekumpulan pemimpin dan ahli PAS mengancam untuk membakar wartawan yang membuat liputan Muktamar Tahunan Ke-36 parti itu di markasnya di Taman Melewar, Gombak.

Kejadian berlaku berikutan usul yang diluluskan pada sebelah pagi untuk membakar surat khabar New Straits Times, Berita Harian, Utusan Melayu dan Utusan Malaysia. Upacara pembakaran diketuai Ketua Dewan Ulama PAS, Nik Aziz Nik Mat yang belum lagi bergelar Datuk ketika itu bersama Naib Ketua Dewan Pemuda, Muhammad Sabu yang kini Timbalan Presiden PAS.

Ketika pembakaran akhbar terbitan kedua-dua syarikat terbabit, sekumpulan ahli PAS mengeluarkan kata-kata keji dan mengugut enam wartawan, termasuk penulis yang membuat liputan muktamar berkenaan.

Walaupun beberapa ahli PAS mengeji dan memaki hamun wartawan, Presiden PAS ketika itu, Allahyarham (Datuk) Fadzil Noor cuba meredakan keadaan dengan mengeluarkan kenyataan bahawa wartawan yang hadir tidak harus dipersalahkan.

Sebagai wartawan, sudah tentu kami tidak membantah hak PAS untuk memulau dan seterusnya membakar akhbar berkenaan sebagai protes kononnya berita PAS yang tersiar diputarbelitkan.
Namun sebagai manusia, kami marah dengan sikap tidak bertamadun dan tidak bertanggungjawab sesetengah ahli PAS terhadap kami walaupun bukan semua.

Keadaan cemas berlaku selepas Nik Aziz membacakan doa supaya dihancurkan akhbar serta harta benda kedua-dua syarikat akhbar terbabit.
Ketika doa dibacakan, seorang ahli PAS menjerit ke arah wartawan, disusuli tindakan seorang ahli sayap Pemuda PAS mengeluarkan kata-kata tidak manis didengar, lebih-lebih lagi apabila ada seorang wartawan wanita dalam kalangan kami.

Pada waktu sama, terdengar jeritan supaya perwakilan dan pemerhati pada muktamar itu mencari wartawan dengan berkata: “Mana wartawan semua, biar kita bakar mereka sekali.”

Apabila sedar kami berada di sekeliling mereka, kami dituduh dengan kata-kata ‘penyebar fitnah’ dan kemudian diugut untuk dibakar sekali.

Selesai surat khabar dibakar, ketika kami hendak meninggalkan kawasan markas, sekumpulan ahli PAS seolah-olah sedang mengepung kami dan mengekori dari belakang sambil menunjukkan perasaan marah. Kami pun berundur dan seorang daripada kami bersembunyi dalam longkang di luar markas itu.

Bagi kami, kejadian itu amat menakutkan dan tidak sepatutnya berlaku. Kami hanya wartawan biasa yang ditugaskan membuat liputan, sama ada PAS suka atau tidak dengan laporan akhbar arus perdana, ia adalah isu berlainan.

Penulis berharap kejadian ini hanya tinggal kenangan dan tidak diulang lagi oleh mana-mana parti politik, tidak kira parti yang menyokong kerajaan mahupun pembangkang.

Tekanan menghadapi suasana politik yang semakin meruncing tidak seharusnya dilepaskan pada wartawan. Mungkin ini antara risiko atau cabaran yang terpaksa dihadapi wartawan ketika menjalankan tugas.

sumber: Berita Harian

Isnin, 13 Jun 2011

Masjid Selangor 'diperkudakan'


SELEPAS Pulau Pinang, masjid-masjid di Selangor pula menjadi 'mangsanya'. Kecoh Jumaat lepas apabila dikatakan seluruh masjid di Selangor telah diarahkan untuk membaca teks khutbah bertajuk 'Jenayah Qazaf adalah berdosa besar'.

Dalam hal ini, pihak berkuasa khususnya Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) harus menyiasat siapakah yang telah membuat khutbah tentang isu qazaf seperti mana yang didakwa. Sewajarnya satu tindakan menyeluruh perlu dilakukan. Ini demi mengelakkan khutbah Jumaat menjadi medan membela individu yang sedang dituduh kesalahan liwat dan telah terjebak dalam skandal video seks.

Walaupun khutbah tersebut ditulis dan diolah secara umum tetapi jika dibaca, sudah tentu semua faham maksud khutbah adalah untuk membersihkan nama orang yang terlibat dengan skandal video seks - iaitu orang kuat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Selayang, Datuk Sohaimi Shahadan yang turut menyedari 'keanehan' kandungan khutbah berkenaan memberitahu Utusan Malaysia, khutbah itu turut mengecam tindakan pihak yang menyebarkan fitnah tanpa mempunyai sebarang bukti kukuh.
Kandungan khutbah, kata beliau, menyifatkan tindakan umat Islam yang membuat kenyataan berbentuk fitnah bercanggah dengan syariat Islam.

"Pergerakan Pemuda UMNO sangat tidak senang hati dengan tindakan menjadikan mimbar sebagai medan menyebarkan propaganda kerana boleh menimbulkan salah faham di kalangan mereka yang bersembahyang di masjid.

"Wajarkah hanya kerana hendak memperjuangkan nasib seorang individu, khutbah Jumaat dijadikan alat? Pada zaman sains dan teknologi hari ini, video boleh dijadikan sebagai bahan bukti. Tidak timbul isu mahu mengaibkan individu tetapi rakyat perlu menilai moral individu yang dikaitkan dalam video seks tersebut," kata Sohaimi yang juga Exco Pemuda UMNO Pusat.

Menurut beliau, antara isi khutbah yang berkaitan yang sempat dipetiknya ialah: "Termasuk dalam kategori ini, mereka yang mendedahkan maklumat secara terbuka, dalam pelbagai bentuk dengan maksud menuduh melakukan zina juga telah melakukan jenayah qazaf. Malah mereka yang mempercayai fitnah tersebut dan menyebarkannya sudah pasti mendapat dosa dan boleh dikenakan hukuman kerana gagal membuktikannya mengikut ketetapan syarak."

"Fitnah boleh menjatuhkan maruah si tertuduh apabila disiar oleh media massa, media cetak mahupun media elektronik termasuk telefon bimbit. Lebih memburukkan keadaan, apabila si pemfitnah enggan menerima kebenaran dan tidak mahu mengakui kesilapan atau mempunyai perasaan dendam serta hasad dengki terhadap orang yang dituduh.

"Orang yang memfitnah sama ada sedar atau tidak telah melaksanakan sumpahan iblis dan syaitan yang memang ingin merosakkan iman dan akidah umat Islam sehingga hari kiamat."

"Adakalanya fitnah itu diulas, diperbesar dengan memetik kenyataan oleh pihak-pihak tertentu ke arah menggambarkan bahawa si tertuduh memang bersalah. Inilah budaya buruk sangka dan hasad dengki oleh mereka yang tidak berakhlak dengan akhlak Islam. Setiap individu yang bersama melakukan perbuatan terkutuk ini, atau mempercayai atau sama-sama menyebarkan akan menerima pembalasan dari Allah SWT."
"Bagi tujuan mendidik dan mengawal umat Islam daripada melakukan jenayah qazaf, yang mempunyai kaitan langsung dengan nilai, maruah dan keharmonian masyarakat, maka hendaklah diperjelas peraturan, larangan dan kesan jenayah qazaf, serta hukuman yang boleh dikenakan menurut peraturan syarak.

"Martabatkanlah undang-undang Islam yang memberikan pengiktirafan dan hak kepada Mahkamah Syariah mengendalikan kes-kes jenayah syariah yang melibatkan orang Islam. Dengan ini kita boleh melaksanakan sistem perundangan yang adil, diredai dan patuh kepada hukum syarak."

Tegas Sohaimi, apa pun yang jelas, kejadian semasa khutbah Jumaat itu telah secara terbuka melanggar titah perintah Sultan Selangor yang telah melarang sebarang bentuk ceramah politik di dalam masjid seperti mana yang dititahkan baginda sewaktu pilihan raya kecil di Hulu Selangor pada April 2010.

Sohaimi menarik perhatian mengenai kerisauan Pemuda UMNO akan 'penyakit' mempergunakan agama Islam sebagai alat politik yang semakin merebak ke negeri-negeri yang dikuasai pakatan pembangkang.
Institusi masjid di Kelantan sememangnya sudah lama dipergunakan oleh Pas untuk melebarkan pengaruhnya sejurus mengambil alih tampuk pentadbiran negeri daripada BN. Kini, Pulau Pinang pula sudah nampak menjurus ke arah itu dengan cuba 'mencipta' pilihan raya masjid.

"Ketika mata pada masa ini tertumpu ke Pulau Pinang, sebenarnya Selangor juga tidak terlepas daripada menjadikan masjid sebagai alat politik. Sebaik sahaja kerajaan pakatan pembangkang mengambil alih kerajaan negeri, institusi masjid kini 'dinodai' pembangkang.

"Jika tiada campur tangan ataupun titah daripada Sultan Selangor, Sultan Sarifuddin Idris Shah, sudah lama masjid di negeri itu dijadikan pentas untuk menyebarkan pengaruh politik pakatan. Namun, tindakan Sultan yang tidak mahu institusi masjid dirosakkan demi kepentingan politik wajar dipuji," kata Sohaimi.

Di Selangor ketika ini terdapat kira-kira 301 masjid dan hampir 2,000 buah surau. Masjid-masjid meliputi 24 buah di kawasan Gombak (24), Hulu Langat (38), Hulu Selangor (22), Kelang (31), Kuala Langat (29), Kuala Selangor (24), Petaling Jaya (53), Sabak Bernam (13), Sepang (19), Sungai Besar (27) dan Tanjung Karang dan Kuala Selangor (21).

"Kalau institusi ini terus dicemari dengan politik sempit, apa akan jadi kepada umat Islam. Tiada umat Islam di negara ini menolak Islam sebaliknya tidak mahu kesucian Islam dipersendakan oleh segelintir ahli politik yang bertopengkan Islam tetapi pada masa sama menggunakannya demi kepentingan perjuangan politik sempit," kata Sohaimi.

Masjid harus menjadi tempat untuk mengembangkan ajaran Islam. Bukannya menjadi medan untuk membela seseorang individu ataupun pihak tertentu.

sumber: Utusan Malaysia

Jumaat, 10 Jun 2011

Laba Petronas RM90b

PETROLIAM Nasional Berhad (Petronas) meneruskan kecemerlangan prestasi membanggakan apabila mencatatkan perolehan RM241.2 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2011, meningkat 14.4 peratus berbanding RM210.8 bilion tahun sebelumnya.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shamsul Azhar Abbas berkata, keuntungan sebelum cukai turut melonjak 34.5 peratus kepada RM90.5 bilion berbanding RM67.3 bilion tahun lalu.

Beliau berkata, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) pula sebanyak RM107.9 bilion meningkat 29.5 peratus berbanding RM83.3 bilion pada tahun kewangan 2009/2010.
“Margin Ebitda melonjak kepada 44.7 peratus walaupun kos meningkat dan kesan negatif yang terhasil daripada pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika.

“Prestasi lebih tinggi bagi semua perniagaan teras kami banyak didorong harga minyak lebih tinggi dan permintaan memberangsangkan,” katanya pada sidang media mengumumkan prestasi kewangan Petronas di Kuala Lumpur, semalam.

Sehubungan itu, Petronas turut mengumumkan pemberian dividen RM30 bilion kepada kerajaan yang bersamaan dengan 69 peratus keuntungan kasar berjumlah RM97.8 bilion yang dicatatkan syarikat.

“Kami mengkaji untuk menetapkan jumlah dividen yang akan dibayar kepada kerajaan pada kadar 30 peratus daripada keuntungan bersih mulai tahun kewangan 2013. Petronas sudahpun berbincang dengan kerajaan dan mencapai persefahaman mengenai perkara ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Shamsul Azhar berkata, syarikat minyak nasional itu memperuntukkan RM300 bilion bagi perbelanjaan modal (Capex) untuk tempoh lima tahun ke arah pengembangan hiliran Petronas.
“Capex bagi lima tahun akan datang lebih tinggi daripada RM250 bilion yang diunjurkan sebelum ini kerana syarikat mengambil kira rancangan penggabungan dan pembelian serta Pembangunan Bersepadu Kilang Penapisan dan Petrokimia (Rapid) membabitkan kos RM60 bilion (AS$20 bilion),” katanya.

Agenda tersirat DAP untuk tawan Perak

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim
2011/06/09


BAGAIKAN jentera lumba yang memecut laju ke garisan penamat, begitu juga parti politik di negara ini, baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang, bertungkus-lumus memacu jentera masing-masing menghampiri ‘garisan’ Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang bahangnya semakin terasa.

Bercakap soal pilihan raya, antara topik yang menjadi perhatian ketika ini ialah berkisar kepada kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bahawa Jawatankuasa Eksekutif Pusat parti itu bersetuju supaya empat negeri yang dikuasai pakatan DAP-Parti Keadilan Rakyat (PKR)- PAS iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing jika PRU ke-13 diadakan tahun ini.
Alasan kepada hasrat itu ada kaitan langsung dengan Perak. Guan Eng memaklumkan keputusan itu antara lain bagi memastikan jentera pilihan raya pakatan pembangkang bersedia sepenuhnya menghadapi Barisan Nasional (BN) selain menumpukan perhatian menawan kembali Perak.

Seperkara lagi yang menarik perhatian merujuk hasrat DAP untuk turut meletakkan calon Melayu mewakili parti itu pada PRU nanti. Apapun, maksud tersurat terhadap apa yang mahu dilakukan DAP sudah dinyatakan pemimpinnya. Namun, apa pula maksud tersirat parti itu? Adakah maksud tersirat itu lain pula makna dan tujuannya?

Bagi penulis, jika diamati hasrat DAP itu menampakkan sikap tamak pemimpin parti itu yang begitu berazam mahu merampas kembali Perak, tanpa menghiraukan kesan terpaksa ditanggung rakan kerjasama khususnya Kelantan yang diperintah PAS.

Justeru, bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, terus menolak cadangan Ketua Menteri Pulau Pinang itu kerana ia boleh membahayakan kedudukan Kelantan yang ditadbir PAS jika negeri itu tidak membubarkan DUN serentak dengan pembubaran Parlimen.

Tidak sukar untuk memahami mengapa DAP begitu teruja mahu memerintah semula Perak. Senario politik di Perak selepas PRU lalu hingga kini mungkin dapat menjelaskan maksud tersirat DAP. Umum tahu jika Perak jatuh ke tangan pembangkang, ia sebenarnya milik mutlak DAP manakala pemimpin PAS dan PKR negeri hanya menjadi ‘pak turut’. Senario ini sudah berlaku ketika 11 bulan pakatan pembangkang memerintah kerana DAP mempunyai bilangan kerusi DUN yang jauh lebih banyak berbanding PKR dan PAS.
Umum juga tahu dendam pakatan pembangkang khususnya DAP terhadap BN begitu menebal selepas kuasa memerintah Kerajaan Perak yang mereka pegang selepas PRU ke-12 kembali ke genggaman BN apabila tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu seorang dari DAP dan dua PKR mengumumkan keluar parti dan menjadi ADUN Bebas yang menyokong BN pada awal 2009. Pada masa sama seorang ADUN BN yang menyertai PKR juga kembali semula ke pangkuan UMNO.

Senario itu menyebabkan bilangan kerusi DUN antara BN dan pakatan pembangkang sama banyak iaitu 28 kerusi. Namun BN mempunyai kelebihan berikutan sokongan tiga ADUN Bebas. Setahun kemudian, Pakatan pembangkang kurang satu lagi kerusi DUN apabila seorang ADUN DAP mengikut jejak langkah tiga rakannya keluar parti.

Umum juga tahu, walaupun jawatan Menteri Besar Perak ketika pakatan pembangkang mentadbir negeri itu dipegang ADUN dari PAS iaitu Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, banyak kenyataan sebelum ini menjurus ADUN Pasir Panjang itu hanya boneka DAP kerana banyak keputusan berhubung dasar negeri dikatakan ditentukan dua Ahli Exco dari DAP.

Justeru, apabila timbul perkhabaran mengatakan DAP bercadang meletak calon berketurunan Melayu bertanding pada PRU ke-13, dalam konteks Perak, ada pihak mengaitkan ia satu cubaan DAP mengisi jawatan Menteri Besar dari kalangan ADUN parti itu, walaupun mereka berjanji akan terus melantik Mohammad Nizar ke jawatan itu jika dapat menawan kembali Perak.

Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak memperuntukkan jawatan tertinggi dalam kerajaan negeri itu disandang oleh seorang Melayu beragama Islam dan ada klausa yang menyatakan Sultan Perak boleh menggunakan budi bicara baginda dalam melaksanakan syarat itu.

sumber : Berita Harian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...