Ahad, 5 April 2009

BMW gagal sambar petak terbaik

SEPANG - Hasrat pelumba BMW Sauber, Robert Kubica untuk mengulangi pencapaian musim lalu untuk menaiki podium di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semakin sukar apabila sekadar menempatkan diri di petak kelapan dalam sesi kelayakan di sini semalam.
Tahun lalu Kubica melakar kejutan dengan memenangi tempat kedua di belakang pemandu Ferrari, Kimi Raikkonen, namun catatan 1 minit 36.106 saat yang dilakukannya semalam memberi khabar kurang gembira buat pasukan BMW Sauber dan peminat tempatan.
Sementara itu seorang lagi pelumba BMW Sauber, Nick Heidfeld juga gagal menyerlah selepas memperoleh petak ke-11 dengan catatan 1:34.769s.
Kubica berkata, dia berpuas hati dengan pencapaian yang dilakukannya hari ini walaupun gagal berada di petak lima terbaik untuk perlumbaan hari ini.
"Walaupun kami tidak melakukan banyak perubahan selepas sesi latihan semalam (kelmarin) tetapi keadaan kereta berada di bawah tahap sebenar, di mana ia kurang stabil dan sukar untuk dikawal," katanya dalam kenyataan media semalam.
Pelumba yang berasal dari Poland itu berkata, dia sudah melakukan setakat mana yang termampu ketika di selekoh tetapi laluan lurus yang begitu banyak di Sepang memberi sedikit kelebihan kepada mereka yang menggunakan Sistem Pemulihan Tenaga Kinetik (KERS).
"Saya akan memulakan perlumbaan di kedudukan yang kurang baik esok (hari ini), tambahan, ramai yang menggunakan KERS di belakang saya jadi ia akan membuatkan perlumbaan ini lebih menarik," katanya.
Manakala, Heidfeld pula tidak berpuas hati dengan keputusan kelayakan semalam dan menyatakan keadaan yang sesak ketika sesi tersebut menyukarkannya untuk mencatat masa terbaik.
"Ada dua kereta di depan saya dan satu kereta di belakang, saya tidak mempunyai ruang untuk meluncur dengan lebih laju tetapi selepas kami membuat perbandingan, penggunaan KERS begitu membantu saya terutama di sektor pertama di masa saya sentiasa menjadi pemandu paling pantas," katanya.
Di Melbourne minggu lalu Kubica menduduki tempat ke-14 manakala Heidfeld pula berada di tempat ke-10.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...