Isnin, 13 April 2009

Sejarah hitam Thailand

Daripada ZULKEFLI HAMZAH
-yang membuat liputan Sidang Kemuncak ASEAN ke-14 di Pattaya, Thailand
Utusan Malaysia 13 April 2009

PUAK "waa taa khayip" atau "cakap tak serupa bikin" ialah gambaran yang boleh disimpulkan terhadap apa yang berlaku di Pattaya kelmarin sehingga Sidang Kemuncak ASEAN Ke-14 dan sidang kemuncak berkaitan terpaksa dibatalkan.
Baik kerajaan Abhisit Vejjajiva mahupun kumpulan penyokong bekas Perdana Menteri, Thaksin Sinawatra yang memimpin gerakan jalanan untuk menggulingkan pemerintah sejak seminggu lalu, sebenarnya bertanggungjawab terhadap sejarah hitam yang dicatatkan pada sidang kemuncak kali ini.
Penganjuran pertemuan para pemimpin ASEAN, gagasan serantau berusia 42 tahun ini akan dikenang sebagai titik hitam. Tuan rumah telah gagal. Gagal dalam melaksanakan tanggungjawabnya untuk menganjurkan sidang kemuncak tahunan sebagaimana jaminan yang beberapa kali mereka tegaskan sebelum ini.
Ketua-ketua kerajaan termasuk dari rakan dialog (China, Jepun, Korea, New Zealand, Australia dan India) diletakkan dalam keadaan berisiko dan keliru.
Masalah dalaman dengan sasaran penunjuk perasaan untuk memburu Abhisit "hingga ke lubang cacing" telah mempertaruhkan keselamatan ketua-ketua kerajaan negara sahabat.
Ia termasuklah Datuk Seri Najib Tun Razak yang pertama kali menghadiri sidang kemuncak ini selepas dilantik Perdana Menteri 3 April lalu.
Delegasi asing umpama tebusan bagi memalu dan memperlekehkan kredibiliti kerajaan Abhisit dalam mentadbir negara sekali gus sebagai tuan rumah sidang kemuncak yang mengumpulkan 10 ketua kerajaan negara anggota.
Sehari sebelum itu, mereka memporak-perandakan Bangkok sehingga kerajaan mengisytiharkan cuti umum.
Walau apa pun alasannya, tentu sekali ini satu sabotaj kepada negara sendiri. Abhisit yang sejak semalam bertekad untuk mengambil tindakan tegas, menyifatkan kumpulan baju merah sebagai 'musuh rakyat'.
Beliau berjanji untuk menangkap penunjuk perasaan di Pattaya dan Bangkok. Pattaya semalam diumumkan darurat sebelum ditarik balik enam jam kemudian.
Semalam juga Bangkok diumumkan darurat bagi memberi laluan untuk kerajaan menangkap 'musuh rakyat' yang bercadang meneruskan demonstrasi besar-besaran.
Namun ketegasan itu sudah terlambat. Kerosakan telah pun dibuat. Sikap Abhisit ini tentu sekali boleh digambarkan sebagai ketidakmampuan kerajaannya yang empat bulan lalu dibentuk hasil tunjuk perasaan gelombang 'baju kuning'. Kerajaannya lemah sekali gus membawa kepada ketidaktentuan di Thailand.
Jaminan sidang kemuncak berjalan lancar hanya jaminan kosong. Ribuan penunjuk perasaan yang menyerbu masuk Dewan Pameran dan Konvensyen Pattaya (PEACH) dan Royal Cliff Beach Hotel dengan alasan mencari Abhisit telah menimbulkan rasa panik di kalangan delegasi.
Tidak terlihat langkah pencegahan sejak ribuan baju merah berkumpul di pintu masuk PEACH dan hotel penginapan Jumaat lalu. Sekatan-sekatan jalan oleh pasukan keselamatan gagal menghalang rempuhan 'gelombang merah'.
Kemuncaknya pada Sabtu lalu dengan kehadiran tambahan ketumbukan baju merah. Kehadiran puluhan anggota 'baju biru', rujukan kepada pasukan separa tentera Thaksin, menyemarakkan ketegangan.
Kubu baju merah semakin berani sebelum bertindak secara anarkis memecahkan cermin, menggeledah bilik-bilik mesyuarat di PEACH dan berlegar-legar di lobi hotel.
Hanya lobi Grand Cliff Beach Hotel and Spa yang menempatkan ketua-ketua kerajaan gagal dirempuh. Itupun setelah rundingan segera dilakukan dan tuntutan perusuh supaya sidang kemuncak dibatalkan dipenuhi.
Deruan helikopter dan laungan hon serta bunyi-bunyian lain oleh perusuh menambah suasana panik para delegasi asing.
Namun uniknya, penunjuk perasaan langsung tidak mengganggu orang awam. Malah setiap kali melintasi orang awam mereka tunduk meminta maaf.
"Minta maaf. Kita lakukan ini demi rakyat dan demokrasi Thailand. Kerajaan Abhisit tidak sah, dia bukan Perdana Menteri kami," kata Thong, pemuda berusia 30 tahun dari Chiangmai, kira-kira 900 kilometer dari Pattaya.
Thong sebagaimana kebanyakan rakan baju merah yang lain, bekerja sebagai buruh. Sebahagian penunjuk perasaan hanya memakai selipar dan daripada raut wajah, jelas mereka orang kebanyakan. Mereka adalah rakyat golongan marhaen.
Tunjuk perasaan ini juga cukup terancang. Bersikap sopan dan boleh bertukar menjadi ganas apabila ada provokasi sehingga pasukan keselamatan pun lari lintang pukang.
Sebaik sahaja cermin pintu masuk PEACH dipecahkan, ada kumpulan baju merah membersihkan serpihan kaca. Sampah sarap yang tercicir dikutip. Terlihat sangat berdisiplin dan segera membuang senjata seperti kayu dan besi sebaik diarahkan oleh ketua mereka.
Mungkin ini etika tunjuk perasaan yang sudah terbentuk di negara Gajah Puitih ini. Tetapi wajarkah mereka mengganggu acara yang sebenarnya dihoskan oleh rakyat Thailand sendiri?
Pasukan tentera dan polis pula hanya hadir tidak lebih sebagai pemerhati. Sebahagian mereka ikut bertepuk dan melambai tangan ke arah baju merah. Mereka hanya membuat kubu badan dan tersenyum memberi ruang apabila dirempuh.
Sikap berlembut pasukan itu menimbulkan tanda tanya tentang kesetiaan terhadap kerajaan Abhisit. Mengikut maklumat, pasukan tentera saling bercanggah sama ada menyokong kerajaan Abhisit atau tidak. Mereka bercakap akan menjamin keselamatan, tetapi memberikan isyarat yang lain.
Barangkali mereka bimbang akan didakwa mencabul hak asasi. Ramai pegawai keselamatan dan pemimpin kini sedang menghadapi dakwaan itu. Jangan cuba meremehkan badan bukan kerajaan berkaitan hak asasi yang sangat berpengaruh di negara ini.
Kegagalan sidang kemuncak ini merupakan kemenangan awal kepada kubu Thaksin. Ia akan menjadi pencetus semangat kepada mereka untuk mencapai matlamat utama - peletakan jawatan Abhisit dan pembubaran Parlimen.
Kepada ASEAN, penangguhan sidang kemuncak ini tambah memperlahankan rentaknya untuk mendepani krisis kewangan dan ekonomi global serta menjadikan rantau ini satu komuniti pada 2015.
Benar Abhisit telah melakukan langkah diplomatik yang betul dengan meminta maaf dan menemui sendiri ketua-ketua kerajaan di Lapangan Terbang U-Tapao. Tetapi pembatalan sidang kemuncak itu telah mencalar imej Thailand. Tidak mungkin ada negara lain yang boleh membenarkan insiden sebegitu rupa daripada berlaku.
Sepatutnya, sidang kemuncak dari 10 hingga 12 April itu dimanfaatkan untuk mengambil langkah-langkah konkrit bagi merangsang semula ekonomi serantau. Proses ini tentu sekali secara langsung dapat membantu jutaan penduduk Asia Tenggara menghadapi zaman kesukaran sekarang.
Reaksi segera akhbar-akhbar utama di sini ialah mengecam kegagalan Abhisit mengawal keadaan. Keangkuhan penunjuk perasaan turut dipertikaikan. Thai kini berdepan dengan risiko tumbangnya sebuah lagi kerajaan.
Kesan segera ialah kepada rakyat sendiri. Tindakan Thaksin yang menamakan gerakannya sebagai Revolusi Rakyat dan Peperangan Rakyat tidak menggambarkan apa yang dilakukannya di Bangkok dan Pattaya. Abhisit pula menamakan gerakan baju merah itu sebagai musuh rakyat.
Jadi, siapa sebenarnya yang mewakili rakyat? Dalam situasi ini, jelas rakyatlah yang menjadi mangsa. Kehidupan harian terjejas, pelancong menghindarkan diri dan banyak lagi kesan buruk yang bakal ditanggung.
Apa yang berlaku di Thailand ini boleh menjadi pengajaran berguna. Demokrasi acuan Barat yang ditiru secara membuta tuli sekali lagi terbukti gagal membawa kemakmuran kepada rakyat.

Komen :

Alhamdullillah kita mengamalkan demokrasi dengan acuan kita sendiri

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...