Sabtu, 18 April 2009

Berita Pilihanraya penanti

Trend baru sebab adakan pilihan raya kecil

Oleh ZULKIFLI
JALILpengarang@utusan.com.my
- sumber Utusan Malaysia Online

PENGERUSI Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof (gambar) mengeluh panjang semalam. Bukan kerana penat atau bosan mengendalikan siri pilihan raya kecil yang sejak SPR diterajuinya 31 Disember lalu, sudah empat pilihan kecil diuruskan dan menyusul kelima, Dewan Undangan Negeri Penanti, Pulau Pinang.
Tetapi kepada Abdul Aziz, 59, kekosongan sesuatu kerusi memerlukan SPR mengembalikan semula suara demokrasi itu kepada rakyat untuk membuat pilihan. Cuma, kebelakangan ini beliau nampak seolah-olah terjadinya sesuatu pilihan raya kecil itu tidak ubah semacam 'satu trend' yang digemari pihak tertentu.
"Kalau sudah terpaksa kerana penyandangnya meninggal dunia tidak mengapalah, tapi kekosongan itu berpunca daripada masalah dalaman parti itu sendiri. Kadang kala hanya berkisar siasatan ke atas wakil rakyat, itu belum tahu kena dakwa atau tidak.
"Kalau AG (Peguam Negara) kata tidak cukup bukti, maka lepaslah dia, dan kalau kena dakwa sekalipun, kita tidak tahu dia bersalah atau tidak... mungkin tak salah. Itu persoalan kekosongannya," kata beliau kepada Utusan Malaysia semalam.
Abdul Aziz bukan bermaksud mahu 'menyibuk' tetapi menegaskan itu adalah suara hati rakyat dan isi hatinya termasuk semua ahli suruhanjaya badan itu.
"Undang-undang tetap perundangan tetapi sebagai rakyat, kita kena fikir kos yang tinggi untuk mengendalikan sesuatu pilihan raya yang tidak disebabkan faktor keperluan - meninggal dunia," katanya sambil memberitahu untuk kos pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu tempoh hari sahaja, SPR membelanjakan RM450,000 manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM), RM16 juta.
Untuk Parlimen Bukit Gantang pula, kos pengendalian SPR adalah RM700,000 sementara DUN Bukit Selambau dan Batang Air masing-masing RM500,000. Kos yang telah diperuntukkan kepada PDRM untuk langkah-langkah keselamatan di ketiga-tiga pilihan raya kecil itu dijangka meningkat lebih RM30 juta.
"Inilah kos ditanggung yang sepatutnya dibelanjakan untuk rakyat terutama dalam krisis ekonomi sekarang. Itu belum lagi risiko yang terpaksa dihadapi seperti kekecohan oleh penyokong parti-parti bertanding.
Kerana itu, Abdul Aziz berkata, untuk persediaan menghadapi pilihan raya kecil DUN Penanti, SPR sedang memikirkan sesuatu.
Antara yang dipertimbang untuk dilaksanakan ialah mentiadakan pondok panas (untuk pengundi memeriksa nama dan saluran mengundi) pada hari pengundian serta menguatkuasakan larangan kempen selepas pukul 12 tengah malam sebelum pengundian keesokannya.
"Masalahnya, pada pagi hari pengundian itulah yang paling getir cabaran yang dihadapi SPR dan polis. Para penyokong bukan di situ sahaja malah datang merata dari seluruh negara mencecah hingga 50,000 orang sekadar mahu menunjukkan 'kekuatan,' pengundi pula jadi takut dan susah untuk keluar, jalan sesak dan budaya samseng bermaharajalela," ujarnya.
Mengambil kira pengalaman pahit SPR di Permatang Pauh tahun lalu, keserabutan sama dibayangkan Abdul Aziz bakal berulang di DUN Penanti yang berada dalam kawasan Parlimen itu.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...