Sabtu, 26 November 2011

Bukti keampuhan automotif Jepun




RAKYAT Jepun tidak pernah gagal untuk bangkit. Contoh paling klasik adalah bagaimana negara itu mampu menjadi salah sebuah kuasa ekonomi dunia, biarpun Hisroshima dan Nagasaki hampir lumat dibedil bom atom Amerika Syarikat (AS) pada Perang Dunia Kedua pada tahun 1945.

Jepun juga tidak pernah sunyi daripada berdepan bencana alam. Berada dalam lingkungan Lingkaran Api Pasifik, negara matahari terbit itu sering digegar oleh gempa bumi berskala tinggi. Kemuncaknya, 11 Mac lalu bahagian timur negara berkenaan dilanda gempa bumi dan tsunami.

Impaknya meliputi segala aspek. Loji nuklear Fukushima Daiichi musnah dibadai tsunami, sekali gus mencetus krisis nuklear dan tenaga. Selaku rumah kepada banyak syarikat pengeluar kenderaan utama dunia, bencana itu nyata mengganggu rantaian bekalan alat ganti. Akibatnya, jumlah pengilangan automobil Jepun menjunam.
Bagi wartawan pemotoran seperti saya, antara persoalan yang timbul adakah Jepun akan membatalkan acara pemotoran pentingnya iaitu Tokyo Motor Show 2011 (TMS). TMS yang merupakan acara dwitahunan biasanya dilangsungkan pada bulan Oktober.

Selepas beberapa ketika berada dalam ketidaktentuan, akhirnya penganjur acara tersebut, Japan Automobile Manufacturers Association (JAMA) mengesahkan bahawa TMS 2011 akan berlangsung bermula 2 hingga 11 Disember depan.

Kereta tua ditukar dengan permit import



SEORANG lelaki berdiri dekat kereta Volkswagen semasa dia mahu mendapat permit import kereta baharu di sebuah pejabat lesen kenderaan di Yangon pada 29 September lalu.



YANGON- Para pemilik kereta yang berusia 30 hingga lebih 40 tahun di Myanmar yang mempunyai nombor pendaftaran sah boleh menukar kenderaan mereka untuk memperoleh permit untuk mengimport model baharu.
Namun, model yang diimport itu adalah kenderaan yang dikeluarkan tidak awal dari tahun 1995.
Myanmar yang mempunyai 60 juta penduduk melakukan perubahan dalam peraturan mengimport kereta bagi membolehkan jalan-jalan raya tidak dipenuhi dengan kenderaan tua. - Reuters

sumber: Kosmo

## nak kereta baru juga.. hehehe

Selasa, 22 November 2011

Masa bersama Presiden UMNO

sumber: Utusan Malaysia


Pandangan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam wawancara Mingguan Malaysia semalam menarik untuk UMNO melaksanakan muhasabah dan menilai apakah yang telah parti terbesar orang Melayu dan bumiputera itu lakukan untuk memenangi hati dan memahami denyut nadi rakyat.


Terkaan Tun Dr. Mahathir mengatakan bahawa ramai ketua bahagian UMNO yang tidak dipilih menjadi calon akan melakukan sabotaj adalah sekadar peringatan yang diberikan oleh pemimpin agung itu.
Kedudukan sekarang memang agak kritikal kepada UMNO dalam menghadapi pilihan raya umum yang bakal diadakan pada bila-bila masa.

Semua ahli UMNO sekarang perlu merapatkan barisan termasuk Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO serta parti-parti dalam komponen Barisan Nasional (BN).
Pada masa sekarang semua masalah dan rungutan rakyat harus diselesaikan dengan cekap serta berkesan. Buatlah apa saja supaya pengundi senang dengan UMNO dan BN. Pengundi di Malaysia paling pantang jika janji tidak ditunaikan.

Orang UMNO kenalah ambil peduli, ambil tahu apa yang berlaku di kawasan masing-masing. Adakan aktiviti bersama masyarakat dalam membanteras jenayah, membasmi kemiskinan tegar, membantu sewaktu bencana banjir, membantu orang kurang upaya, ibu tunggal, warga emas dan berkempen rumah ke rumah.
Tidak terkata pemimpin keluarga yang miskin apabila rumah yang bocor digantikan atapnya, lantai yang reput ditukar baru dan anak yang ramai dibantu belanja persekolahannya. Inilah contoh tradisi membela rakyat yang mesti sentiasa diperhebatkan oleh UMNO.

Pendekatan berkenaan akan memastikan kemenangan UMNO dan BN dalam pilihan raya umum akan datang.
Satu perkara yang amat penting apabila seseorang menyertai UMNO ialah bertanya kepada diri sendiri apakah yang boleh diberi kepada UMNO dan bukannya apa yang dapat diperoleh daripada UMNO.
Tetapi segelintir yang masuk parti ini untuk menjadikan UMNO sebagai batu loncatan bagi meraih projek dan jawatan tinggi supaya dapat kumpul kekayaan.

Sebab itu ramai yang cuba bertanding merebut jawatan dalam parti kerana percaya mereka boleh mendapat 'keuntungan besar' dari segi pengaruh politik dan ekonomi. Nilai-nilai pemimpin UMNO begini bukan sahaja merosakkan parti tetapi juga boleh menghancurkan masa depan dan nilai-nilai bangsa Melayu sendiri.
Jangan terlampau fikir hendak menjadi calon, maka ke hulu ke hilir bawa profil peribadi. Semua pemimpin UMNO sama ada dipilih atau tidak sebagai calon pilihan raya umum kena sama-sama berjuang mengangkat maruah agama, bangsa dan negara dengan hati yang ikhlas.

Sebagai pemimpin, mereka perlu tunjukkan teladan yang baik sekiranya mahu melihat UMNO menang pada pilihan raya umum, buanglah sifat-sifat yang buruk - sabotaj calon, tutup bilik gerakan, dan perkara-perkara yang menjejaskan parti.

Ahli-ahli UMNO juga kena meletakkan nilai kesetiaan kepada parti sebagai perkara paling utama bagi mengukuhkan perpaduan dan kedudukan parti dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Ingatlah jangan terlampau leka. Walaupun pakatan pembangkang menghadapi kemerosotan pengaruh sekarang, UMNO tidak boleh bergantung di atas kelemahan DAP, PKR dan Pas sebaliknya perlu bekerja keras dan membina kekuatan sendiri untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

Pengalaman lalu telah membuktikan kemerosotan sokongan kepada UMNO bukan kerana parti lawan kuat tetapi kerana masalah dalaman parti. Masalah dalaman sekiranya gagal dibendung, tidak mustahil beberapa kerusi UMNO akan tewas dalam pilihan raya umum akan datang. Sebagai mana ditegur oleh Tun Dr. Mahathir, banyak orang Melayu menjauhkan diri daripada UMNO kerana ramai pemimpin parti di bahagian dan sayap-sayap UMNO tidak melaksanakan tugas seperti yang diharapkan oleh rakyat dan pucuk pimpinan UMNO sendiri.

Mereka dilihat berbalah sesama sendiri. Jika UMNO dilihat sebagai sebuah parti yang tidak dapat mengukuhkan perpaduan dan persefahaman, maka pasti rakyat akan hilang keyakinan dan ini sudah tentu mendatangkan kesan sewaktu pilihan raya kelak.

Oleh itu jika UMNO dapat menghapuskan persengketaan atau masalah dalaman maka parti itu akan kuat. Jadi ahli-ahli UMNO sekarang perlu memastikan UMNO kuat untuk menang pilihan raya dan BN terus berkuasa di tanah air ini.

Pada mata rakyat khususnya orang Melayu yang semakin sensitif sekarang, UMNO perlu dilihat kukuh, mantap dan meyakinkan sama ada luaran mahupun dalaman.

Menurut penganalisis politik, Prof. Dr. Mohd. Zainul Fithri Othman, kini adalah masa untuk bersama-sama dengan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Presiden parti itu telah melakukan pelbagai transformasi politik, transformasi psikologi dan transformasi metodologi dalam memperkasakan rakyat. Sama ada rakyat merasanya atau menjiwainya itu terpulang kepada rakyat.

"Namun sebagai ahli UMNO, tidak kisah apa jua jawatan dipegang, semuanya mesti berada di belakang Presiden UMNO untuk menjaminkan kemenangan yang besar pada pilihan raya yang mendatang ini," kata Mohd. Zainul Fithri, Naib Presiden Industri dan Perhubungan Organisasi, Management & Science University (MSU).
Untuk menunjukkan kebersamaan itu, kata beliau, maka gerakan hendaklah diatur dengan terperinci. Suara-suara sumbang dalam kalangan ahli UMNO sendiri hendaklah dihentikan sama ada di dalam blog mahupun di Facebook yang berleluasa kini.

"Presiden telah berhempas pulas memberikan kesedaran dan jaminan kepada rakyat bahawa UMNO akan tetap membela rakyat bukan hanya Melayu tetapi semua rakyat di negara ini.
"Keikhlasan beliau dalam Bajet 2012 ini terbukti bahawa Presiden UMNO ikhlas dalam perjuangannya memartabatkan rakyat. Namun, pada ahli yang lain, yang memegang jawatan kecil sehingga pucuk pimpinan pusat hendaklah membantu Presiden parti," kata beliau.

Pengarah Institut Kepimpinan dan Keusahawanan MSU ini juga berpendapat, Najib tidak boleh melakukan bersendirian. Sekarang beliau dilihat bergerak bersama Timbalan Presiden UMNO, Tan sri Muhyiddin Yassin, namun yang lain hanya menunggu dan melihat sahaja.

Mohd. Zainul Fithri berkata, pemimpin UMNO semua peringkat harus memberi sokongan dan dokongan kepada Presiden dan Timbalan Presiden. Berikanlah kepercayaan sepenuhnya kepada setiap tindakan yang mahu diambil oleh Najib dan Muhyiddin.

"Pengkukuhan kepada kepercayaan dan keyakinan ini perlu supaya Presiden UMNO boleh melakukan transformasi politik dengan tenang. Hentikanlah tabiat ugut-mengugut terhadap pucuk pimpinan kerana ini hanya akan menghancurkan bangsa Melayu dan rakyat yang dibela amnya. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh," katanya.

Mohd. Zainul Fithri menegaskan, UMNO harus bersatu, berani dan akan menjadi kuat jika paksi perjuangannya benar dan jelas.

Jumaat, 18 November 2011

9 jawapan NFC

Oleh Ziauddin Sharuddin dan Nazura Ngah
bhnews@bharian.com.my
2011/11/18

sumber: Berita Harian

pix_gal0
Pembelian kondominium One Menerung bawa keuntungan RM3.12 juta setahun

GEMAS: Semua sembilan tuduhan berkaitan projek Pusat Fidlot Nasional (PFN) yang dilemparkan pelbagai pihak termasuk pembangkang dijawab Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, semalam.


Dalam taklimat diikuti sidang akhbar hampir dua jam di Ladang NFC di sini, Dr Mohamad Salleh, menjawab satu demi satu tuduhan itu terutama yang dibuat oleh Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.


Semua tuduhan termasuk mengaitkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil, dibacakan peguam NFC, Datuk Seri Dr Muhammad Shafee Abdullah dan dijawab Mohamad Salleh.

Tuduhan pertama - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, didakwa tidak bercakap benar apabila menyatakan NFC hanya memperoleh dana RM181 juta.

Mengulas perkara ini, Mohamad Salleh berkata, pengeluaran dana itu mempunyai dua tahap dan kedua-dua pemimpin itu berkata benar bahawa NFC hanya mendapat RM181 juta pada 2009.

Katanya, jumlah RM250 juta dimasukkan dalam Akaun Pinjaman Khas (SLA), tetapi proses pengeluaran baki dana memerlukan pengesahan dan perakuan daripada beberapa pihak sebelum NFC memperoleh keseluruhan pinjaman.

Selasa, 15 November 2011

Bandingan palsu pembangkang


PETALING JAYA 14 Nov. - Perbandingan harga yang dilakukan ahli-ahli Parlimen pembangkang terhadap produk Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) adalah palsu dan bertujuan mengaburi mata rakyat semata-mata.
Sambil membidas tindakan tersebut, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd. (Mydin), Datuk Ameer Ali Mydin berkata, dari segi kualiti, sepatutnya mereka membandingkan produk KR1M dengan produk Carrefour Brand bukannya Carrefour Big Saver.

Katanya, harga produk Carrefour yang dibandingkan pembangkang dengan produk KR1M turut bercanggah dengan harga sebenar produk tersebut di pasaran.

Isnin, 14 November 2011

Hutang negara-negara kaya





PERDANA MENTERI Itali, Silvio Berlusconi merupakan seorang lelaki yang hebat. Dia berjaya menepis beberapa skandal seks dan perbicaraan rasuah melibatkan dirinya.

Malah, jutawan media berusia 75 tahun itu boleh berbangga kerana mampu memerintah Itali selama 17 tahun.
Namun, pemilik kelab bola sepak AC Milan itu akhirnya terpaksa akur dengan tekanan ekonomi yang memaksanya berundur.

Sebenarnya, Itali merupakan antara gergasi ekonomi dunia. Siapa yang tidak mengenali jenama kereta mewah Ferrari, Maserati, Lamborghini dan Pagani.

Ia juga merupakan pengeluar motosikal berkuasa tinggi Aprilia, Ducati dan Piaggio. Deruman enjin kenderaan mewah itu sahaja sudah membuatkan ramai orang terpukau, belum lagi memilikinya.

Tetapi kini Itali sedang sakit. Hutang hutang luar negara itu mencecah AS$2.6 trilion (RM8.1 trillion).
Ini membuatkan Kesatuan Eropah (EU) menuntut reformasi ekonomi bagi menghalang Itali daripada terjerumus lebih jauh ke dalam kancah hutang Eropah.

Berlusconi sendiri mengesahkan dia tidak akan bertanding dan akan meletakkan jawatan setelah kehilangan majoriti di Parlimen ekoran anggota partinya belot.
Greece


KEHILANGAN pekerjaan telah menimbulkan kemarahan rakyat Greece.



Itali adalah negara Eropah terbaharu yang terpaksa menanggung beban hutang selepas Greece, Ireland dan Portugal menghadapi masalah yang sama tahun ini.

Menurut Pesuruhjaya Tinggi Republik Cyprus ke Malaysia, Nafsika Krousti, situasi di Eropah kini sememangnya sukar dengan sesetengah negara berhadapan krisis hutang yang teruk.

“Greece mempunyai hutang sebanyak 160 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar berbanding 60 peratus bagi Cyprus. Greece juga mempunyai defisit 11 peratus, kadar pengangguran 15 peratus dan pertubuhan ekonomi yang negatif,” katanya mengenai negara jirannya itu.

Keadaan itu memaksa Perdana Menteri Greece, George Papandreou meletak jawatan berikutan kemelut ekonomi negaranya yang tiada kesudahan.

Sebelum ini, pemerintah Greece telah menjual beberapa buah pulau di negara itu untuk membayar balik hutang negara. Turut dijual ialah tanah milik negara di Pulau Mykonos, destinasi pelancongan paling popular di Greece.

Hakikatnya, negara-negara kaya merupakan penghutang terbesar di dunia.
Sehingga penghujung tahun 2010, Amerika Syarikat (AS) menduduki tangga pertama negara paling banyak hutang iaitu AS$13.9 trilion diikuti Kesatuan Eropah (AS$13.7 trilion), Britain (AS$8.9 trilion), Jerman (AS$4.7 trilion), Perancis (AS$4.6 trilion dan Jepun (AS$2.4 trilion).

Beban hutang kerajaan yang kini perlu ditanggung oleh pekerja di negara kaya meningkat dua kali ganda di antara tahun 2007 dan 2015.
Perkara tersebut menyebabkan berlaku pengecutan terhadap kesejahteraan rakyat khususnya sistem kesihatan mereka.

Masalah hutang sudah lama dideritai oleh negara-negara mundur seperti Sub-Sahara Afrika yang melibatkan 42 buah negara.
Menurut Noreena Hertz, penulis buku The Debt Threat: How Debt is Destroying the World, setiap hari rakyat di benua yang terkenal dengan kemiskinan itu membayar AS$30 juta hutang sedangkan pada masa yang sama 26 juta rakyatnya dijangkiti HIV dan Aids.





Pasca Perang Dunia Kedua, kerajaan di negara-negara maju, bank-bank swasta serta badan kewangan antarabangsa seperti Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) memberikan pinjaman hutang kepada Negara-Negara Dunia Ketiga untuk membiayai projek infrastruktur mega seperti lebuh raya dan pelabuhan.

Malangnya, kegagalan untuk membayar balik pinjaman telah menjerat negara-negara peminjam. Krisis yang sama kini dihadapi oleh negara maju khususnya di Eropah.
Pakar ekonomi, Profesor Eswar Prasad dari Universiti Cornell, AS berkata negara kaya yang banyak hutang hakikatnya memberi sumbangan yang kecil dalam membantu pertumbuhan ekonomi global.
Menurut beliau, negara kaya seperti Jepun akan menyaksikan hutang kerajaan bagi setiap penduduk meningkat daripada AS$31,700 pada tahun 2007 kepada AS$68,500 pada tahun 2015.
Jepun

Dengan beban hutang yang bertambah secara automatik ia mempengaruhi pertumbuhan dan kestabilan sesebuah negara. Ia turut menjadi ancaman kepada ekonomi global, ujar Prasad.
Pengarah Urusan IMF, Christine Lagarde berpendapat jika krisis ekonomi Eropah bertambah buruk, negara Asia akan menerima tempiasnya.

Hakikatnya kini, kuasa ekonomi Asia, Jepun mengalami kadar hutang negara lebih 200 peratus daripada KDNK. Semua ini didorong oleh pertumbuhan ekonomi yang perlahan sejak beberapa tahun yang lalu.
Pensyarah Kanan Pengurusan Strategik, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Haim Hilman Abdullah, berkata kemerosotan ekonomi dan pertambahan hutang di negara Eropah adalah disebabkan oleh kegagalan menguruskan polisi dan sistem kewangan dengan baik.
Kerajaan Greece, kata beliau, tidak berjaya melaksanakan penggubalan dasar ekonomi yang baik untuk rakyatnya.

“Kejatuhan ekonomi sesebuah negara akan turut mengheret masalah politik dan sosial.


WALAUPUN tinggal di negara kaya, penduduk Eropah kini lebih berhati-hati dalam perbelanjaan mereka.



“Tidak hairanlah jika negara yang muflis dan dibelenggu hutang ini menjadi huru-hara kerana rakyat tidak menerima manfaatnya.
Beliau bagaimanapun tidak begitu bimbang dengan masalah ekonomi yang dihadapi Greece kerana Malaysia tidak terikat dari segi perdagangan dengan negara Eropah itu.

“Tetapi kita perlu bersedia kerana ia juga mampu memberi kesan kepada negara Eropah lain.
“Apabila negara yang mempunyai hubungan dagang dengan kita seperti Jerman, Britain dan Perancis terkesan, kita juga akan menerima tempiasnya,” katanya.

Iran berada di ambang perang?


PEMIMPIN tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei ketika mengadakan kunjungan ke Kolej Ketenteraan Iran baru-baru ini yang mengeluarkan kenyataan akan bertindak balas terhadap mana-mana serangan.


SEKIAN lama menafikan mengenai pembangunan nuklearnya, republik Islam ini terus 'diserang' bertubi-tubi oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang secara terang-terangan tidak berpuas hati dengan penafian itu.
Terus dituduh membangunkan senjata nuklear, alasan pertuduhan itu bagaikan pengulangan 'skrip drama' seperti yang telah dilakukan oleh dua kuasa 'jahat' itu terhadap Iraq, suatu ketika dahulu.

Dilabel, didakwa dan dikatakan membangunkan senjata pemusnah besar-besaran (WMD) dalam bentuk senjata kimia, biologi dan nuklear, Iraq yang ketika itu ditadbir Saddam Hussein menerima 'hukuman' AS atas segala tuduhan berkenaan.

Dibantu oleh negara sekutunya, AS bagaimanapun tidak menemui apa jua bentuk WMD di Iraq seperti yang diheboh-hebohkan sebelum ini. Apa yang pasti, kehadiran AS dan sekutunya di bumi Iraq beberapa tahun lalu sehingga kini telah menghancurkan kerukunan bangsa Iraq.

Serangan demi serangan terutama berupa pengebom berani mati dan 'bom kereta' masih berterusan di Iraq. Manusia sebangsa masih bertelagah dan dibenam dengan perasaan dendam antara satu salam lain.
Itulah helah AS dan Barat. Kini, helah yang sama digunakan untuk menghancurkan Iran, republik Islam yang dihuni lebih 77 juta orang dan kaya dengan petroleum, gas asli serta sumber asli lain.

Menerusi Israel, rejim Zionis itu baru-baru ini secara terbuka membayangkan untuk menyerang Iran dan menggunakan laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) sebagai 'alat' menghalalkan peperangan ke atas negara blok Timur itu.

Menambahkan lagi 'perisa' dalam menggambarkan keburukan Iran, republik itu juga dituduh bersubahat dalam komplot membunuh Duta Arab Saudi ke Washington, Adel al-Jubeir.

Tuduhan jahat itu jelas bertujuan melaga-lagakan dunia Islam antara Arab Saudi dan Iran tatkala negara-negara Islam lain khususnya Libya sudah tidak lagi bertaring dalam melawan kuasa-kuasa besar.
Namun, Iran yang pasti berjuang sendirian jika diserang, dilihat kental dalam menghadapi sebarang kemungkinan. Lantang mengkritik AS dan Israel, Presidennya, Mahmoud Ahmadinejad tampil 'bersuara' tentang kekuatan Iran.

''Sudah tentu kami (Iran) memiliki keupayaan ketenteraan yang berbeza berbanding negara-negara di rantau ini. Iran akan sentiasa meningkatkan keupayaan itu bagi menandingi Israel dan negara-negara Barat khususnya AS.
''Atas sebab itu, AS kini semakin gentar dengan keupayaan Iran," tegasnya yang sudah berkali menafikan wujudnya pembangunan nuklear untuk persenjataan di bumi Iran.

Dalam laporan terkini IAEA baru-baru ini, agensi nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu percaya Iran telah menjalankan aktiviti untuk mencipta bom atom dan mungkin masih melakukan penyelidikan secara rahsia.

IAEA turut menyenaraikan beberapa aktiviti berkaitan pembangunan senjata nuklear seperti ujian bahan letupan kekuatan tinggi dan pembangunan alat peledak bom atom.

Sementara itu, bagi pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei turut memberi amaran keras kepada AS dan Israel bahawa Iran akan mengambil tindakan tegas jika kedaulatan negaranya itu diserang.
''Jika para pegawai AS melakukan penipuan, mereka seharusnya tahu bahawa apa jua tindakan yang dikenakan sama ada secara politik atau keselamatan, segalanya akan menerima tindakan tegas daripada Iran," katanya.

Kepada Ahmadinejad pula, mengenai hubungan Iran dan Arab Saudi yang cuba 'diperbodohkan' oleh AS, beliau punyai jawapannya. Bertegas itu hanyalah satu hasutan, jelasnya beliau, AS sebenarnya bimbang dengan 'persaudaraan' Iran dengan Arab Saudi.

Bagi beliau, untuk menghentikan penguasaan AS, Iran dan Arab Saudi seharusnya memperkukuhkan persaudaraan.

''Persaudaraan ini sudah wujud lama dan tidak akan terputus. Komplot membunuh Duta Arab Saudi hanyalah rekaan semata-mata. Budaya keganasan hanyalah milik kamu (AS)," katanya.

Demikian pendirian Iran yang jelas memberi mesej sudah sampai masanya dunia Islam bersatu menentang kuasa jahat yang kini mahu mengalihkan isu dalaman mereka seperti masalah ekonomi dan kejatuhan mata wang.

Demonstrasi jalanan Occupy Wall Street di AS dan banyak negara-negara maju sekutunya sudah cukup menggambarkan kepincangan ekonomi, sosial, pentadbiran dan ketidakadilan yang sebelum ini kononnya dikatakan hebat dan menguasai struktur ekonomi antarabangsa.

Berterusan sehingga kini, demonstrasi ekonomi yang asalnya bermula di Sepanyol dan dikenali sebagai Indignants kemudiannya merebak ke pelosok Kesatuan Eropah serta negara jolokan 'Raja Polis Dunia', AS.
Tidak kurang hebatnya di Israel, baru-baru ini, Persekutuan Kesatuan Sekerja Israel mengumumkan mogok sebagai protes terhadap keadaan 100,000 hingga 150,000 pekerja yang diupah secara bulanan atau jam seperti pekerja sosial, guru, jururawat dan pencuci, yang tidak mendapat sebarang faedah sosial.
Itulah hakikat yang dihadapi mereka meski sedaya upaya cuba disorok kepada pengetahuan masyarakat antarabangsa.

Berbalik kepada kemungkinan perang di Iran, AS dan Israel sejak sekian lama sudah menjadikan Iran sebagai sasaran untuk dimusnahkan lantaran suara republik Islam itu lantang di pentas antarabangsa mengutuk sekutu dunia tersebut yang lagaknya seperti penentu segala-galanya di muka bumi ini.

Buatlah, ungkaplah atau nyatakanlah apa jua kenyataan menafikan penglibatannya dalam pembangunan senjata nuklear, AS dan Israel sudah menjadi 'pekak, bisu dan buta' dalam membuat pertimbangan sewajarnya.

Apa yang dimahukan, hanyalah peperangan terhadap Iran, republik Islam yang secara hakikatnya digeruni mereka.

Tanam apa yang dimakan, makan apa yang ditanam


Menanam padi bukan sekadar untuk dimakan tetapi sebagai sumber ekonomi.


BANJIR di Thailand tetapi orang kita juga tumpang susah. Di negeri-negeri utara, misalnya di Alor Setar, pengguna amat terasa dengan kenaikan harga sayur-sayuran. Begitu juga dengan harga ikan dan ayam.
Semuanya ini disebabkan kita masih bergantung kepada sumber makanan dari luar khususnya dari negara jiran. Bayangkan jika negara-negara yang menjadi tempat kita bergantung import makanan selama ini menghadapi bencana serentak - banjir, ribut, gempa bumi, kemarau panjang atau terlibat dalam kancah peperangan. Pastinya keadaan lebih buruk dan rakyat pula tidak dapat menerima kenaikan harga itu malahan mungkin menyalahkan kerajaan walaupun mereka sedar punca sebenar yang menyebabkan kenaikan tersebut. Begitulah jadinya jika bekalan yang kita hasilkan di dalam negara untuk disuapkan ke dalam setiap mulut rakyat kita sebanyak 28.6 juta dan 2.3 juta pendatang asing tidak mencukupi. Suasana ini tentu lebih terasa di kawasan bandar.

Di kampung, keadaan ini boleh dikurangkan jika tanah yang ada dimanfaatkan dengan tanaman dan ternakan. Namun berapa banyak tanah yang terbiar serta tidak diusahakan? Berapa banyak pula tanah pertanian bertukar menjadi tapak rumah, kilang atau bangunan? Maknanya tanah pertanian semakin berkurangan. Maka sesuatu harus dilakukan untuk memanfaatkan tanah yang ada dengan menghasilkan makanan. Sekurang-kurangnya tanam untuk makan.

Justeru, cadangan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk melancarkan program “Laman Agro” bulan depan amat dialu-alukan. Program ini bagi menggalakkan masyarakat terutama di bandar supaya terlibat dalam kegiatan pertanian walaupun dengan kawasan tanah yang terhad untuk bercucuk tanam.
Menurut menterinya, Noh Omar, kementerian mahu orang ramai terlibat sama dalam aktiviti pertanian dengan menggalakkan mereka ‘tanam apa yang dimakan, makan apa yang ditanam’ bagi mengurangkan pergantungan kepada bekalan import.

Mereka boleh menggunakan kaedah pertanian seperti hidroponik yang pernah popular satu ketika dulu bagi mengatasi masalah bekalan sayuran. Langkah ini kena pada masanya. Masyarakat kita perlu digalakkan semula untuk bercucuk tanam kerana dunia dijangka mengalami krisis makanan pada tahun 2050.

Sebelum ini, Pengarah Eksekutif Pusat Alam Sekitar Serantau Yayasan Asia-Eropah, Marta Szigeti Bonifert meramalkan satu letusan demografi akan berlaku menjelang 2050 yang mengakibatkan berlakunya kekurangan bekalan makanan dan air serta terjadinya ekosistem dan memberi kesan buruk terhadap cuaca.
Katanya, menjelang tahun berkenaan, penduduk bumi akan mengalami masalah besar apabila jumlah mereka bertambah dengan pesat (ketika ini 7 bilion) manakala sumber alam pula sudah kehabisan.
‘‘Jika kita terus mengamalkan cara penggunaan yang ada sekarang, maka menjelang 2050, kita memerlukan sebuah lagi bumi’’, katanya.

Malangnya, kita tidak ada bumi lain. Bumi bukan seperti kereta lama yang apabila tidak dapat digunakan lagi boleh dijual sebagai besi buruk dan membeli kereta baru. Bumi hanya satu. Maka bagaimana kita mahu menyelamatkan bumi?
Bagi mengurangkan penggantungan kepada makanan import khususnya beras, adakah kita perlu kurangkan makan?

Menyelak kembali isu ini, suatu masa dulu, Menteri Pertanian, Sanusi Junid pernah menganjurkan kempen kurang makan nasi bagi mengurangkan import beras yang meningkat setiap tahun. Buat seketika langkah itu menimbulkan polemik kerana ada pihak yang memutarbelitkan niat itu.

Kata Sanusi: ‘‘Bukan kurangkan makan nasi untuk lapar, tetapi kurang makan nasi untuk diganti dengan makanan lain. Banyak makanan lain yang boleh dimakan seperti telur, daging ayam, daging lembu, sayur dan buah-buahan’’.

Sanusi juga pernah menimbulkan idea mengenai pertanian bertingkat yang jika tidak silap konsepnya melibatkan tanaman padi, ternakan ayam dan ikan air tawar di satu kawasan bertingkat. Ramai yang memandang sinis cadangan itu kerana masih banyak tanah terbiar di muka bumi ini. Tetapi mungkin pada suatu masa nanti, idea Sanusi itu akan menjadi kenyataan apabila sudah tidak ada lagi tanah untuk pertanian dan ternakan. Bagi menambah pengeluaran padi pula, beliau menyarankan program tanaman berkelompok tanpa perlu menambah keluasan tanah. Dalam erti kata lain mewujudkan estet padi. Kaedah ini akan membantu menjimatkan kos dan menambah hasil padi.

Bagi aktiviti pertanian lain yang melibatkan sayur-sayuran, buah-buahan, ternakan seperti lembu, kambing dan ikan, kita juga perlu mengurangkan import. Kita harus bersedia menghadapi kekurangan bekalan makanan ini. Harus diingat, hampir semua jenis makanan seharian kita masih diimport.

Menurut Sanusi: ‘‘Kita bercucuk tanam secara tanam main-main; tanam untuk makan sendiri; tanam untuk makan sesama sendiri,’’ Malangnya bagi kebanyakan orang, ketiga-tiga kaedah itu tidak mampu dilaksanakan.

Konsep Kebun Masyarakat pula menurut Sanusi menghendaki orang kampung berpakat, rumah ini tanam cili, rumah itu tanam bawang, rumah ini tanam sengkuang, rumah itu tanam keledek, rumah ini tanam bendi, rumah itu tanam petola, rumah ini tanam bayam, rumah itu tanam kacang, di sana tanam timun, kita bahagi-bahagikan tugas, macam kita bahagi-bahagikan kuih antara rumah jiran pada bulan puasa.

Sanusi telah melakukan pelbagai usaha untuk menaikkan imej bidang pertanian. Beliau sudah pun menyebut mengeni agriculture dollar (ringgit pertanian). Beliau juga pernah mengingatkan kakitangannya: “Kementerian kita mestilah dipandang sebagai sebuah syarikat, sudah tiba masanya, kita menjadikan bidang pertanian sebagai sesuatu yang boleh mengubah kehidupan petani. Kita tidak mahu apabila disebut bidang pertanian, orang memandang lekeh, pandang miskin, pandang susah, kotor,’’

Kini pertanian sudah berubah. Pertanian adalah perniagaan. Dan mungkin suatu masa nanti, di samping bisnes, setiap orang terpaksa ‘tanam apa yang dimakan dan makan apa yang ditanam’
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...