Ahad, 17 Januari 2010

Perang sengit teknologi


PAMERAN barangan elektonik terbesar di dunia ini berjaya menarik lebih 120,000 pengunjung tahun ini.


TEKNOLOGI memudahkan kehidupan. Dalam dunia serba moden sememang teknologi amat penting untuk memudahkan urusan harian. Tanpa teknologi dunia menjadi kucar-kacir, lantaran antara manusia dan teknologi sememangnya tidak dapat dipisahkan.

Dalam memperkatakan tentang teknologi, semestinya kemunculan gajet-gajet terbaru yang saling bersilih ganti di pasaran paling mendapat perhatian. Ada saja produk terbaru yang dikeluarkan untuk menarik perhatian pengguna. Bagi mereka yang menggemari gajet-gajet sebegini pastinya Pertunjukan Elektronik Pengguna atau Consumer Electronic Show (CES) amat dinanti-nantikan. Acara yang diadakan setiap tahun ini sememangnya menjadi tumpuan pengeluar telefon bimbit, komputer dan pelbagai lagi. Ia juga menjadi penanda aras kepada ‘apa yang terkini di pasaran’.

Pameran anjuran Persatuan Pengguna Elektronik yang mewakili lebih 2,000 ahli itu bertujuan mempromosikan pembangunan industri teknologi pengguna di seluruh dunia.

Dalam pertunjukan terbaru pada 7 hingga 10 Januari lepas di Las Vegas, para peminat barangan canggih teruja dengan lambakan gajet-gajet terkini.

Bagi peminat telefon bimbit pastinya smartphone yang pelbagai bentuk dan rupa menjadi pilihan sehingga ‘kelabu mata’ untuk memilihnya. Selain itu pelbagai teknologi terbaru berkaitan komputer riba, telefon bimbit, e-reader dan tablet juga mampu memenuhi selera di kalangan pengguna.

Mereka yang gemar membaca tidak perlu lagi beratur di kedai-kedai buku untuk mendapatkan keluaran terbaru kerana e-reader mampu menjadi pengganti. e-reader berfungsi sebagai teknologi terbaru yang memudahkan orang ramai membaca buku, majalah, dan surat khabar secara elektronik tanpa perlu membeli di kedai. e-reader bukanlah baru di pasaran tetapi kecanggihannya ditingkatkan dari hari ke hari.

Persaingan sengit antara pengeluar produk juga tidak boleh dielakkan untuk menarik perhatian pengguna mengggunakan produk mereka.

Sebab itu syarikat yang sebelum ini hanya terlibat dalam perniagaan berkaitan komputer turut mengeluarkan telefon bimbit seperti iPhone oleh Apple. Google pula dilaporkan akan turut mengeluarkan smartphone sendiri untuk meluaskan penguasaan pasaran.

Telefon bimbit yang dilengkapi kemudahan Internet semakin mendapat perhatian ramai dan perkembangan ini tidak boleh dielakkan lagi.

Namun persoalannya bukankah lambakan pelbagai teknologi akhirnya hanya mengelirukan pengguna? Walaupun kita sering didedahkan dengan produk-produk terbaru di pasaran namun kesemuanya mempunyai fungsi yang hampir sama. Telefon bimbit “smartphone” misalnya sudah boleh berfungsi sebagai komputer lengkap dengan kemudahan Internet.

Merugikan

Biarpun lambakan peralatan canggih menarik perhatian pengguna namun perlu diakui ia juga boleh menimbulkan kekeliruan sehingga boleh merugikan si pembeli. Contohnya, jika ulat buku membeli smartphone tetapi enam bulan kemudian muncul produk terbaru smartphone yang dilengkapi e-reader, tentulah ada rasa rugi di situ.

Begitu juga bagi produk seperti ‘tablet’. Kebanyakan kita mungkin bertanya apa yang dimaksudkan dengan perkataan ini. Malah para peserta industri yang menyertai CES juga tidak bersependapat tentang maksud sebenar ‘tablet’.

Ada yang mengkategorikan tablet sebagai komputer yang mempunyai skrin sesentuh sensitif. Ada juga yang memberikan maksud komputer yang boleh ditulis menggunakan pen khas. Namun mereka berpandangan ‘tablet’ mesti berfungsi sebagai separuh telefon dan separuh komputer bimbit. Ramai yang bersetuju ‘tablet’ merujuk kepada komputer mahupun telefon bimbit yang hanya menggunakan skrin sesentuh. Bagi mereka teknologi yang masih menggunakan papan kekunci adalah ketinggalan zaman.

Apakah pengguna akan terus dibebankan dengan produk teknologi yang pelbagai jika hakikatnya industri itu sendiri berkeupayaan menghasilkan satu produk yang dilengkapi semua kemudahan tersebut.

Anggaplah semua teknologi penting. Contohnya smartphone penting untuk memudahkan pengguna melayari Internet selain bermain pelbagai jenis permainan yang boleh diperoleh dengan mudah. e-readers pengganti buku, netbook, komputer bimbit yang semakin mengecil saiznya. Tidak lama lagi akan muncul pula smartbook, iaitu komputer kecil yang turut dilengkapi kemudahan telefon bimbit.

Bagi pengeluar, kegagalan sesuatu produk dihasilkan bukan sahaja bermakna kerugian besar malah menunjukkan teknologi yang dicipta tidak diterima. Misalnya, satu ketika dahulu, Microsoft pernah diramal menjadi antara pemain utama smartphone selain Apple dan Nokia. Tetapi telefon bimbit palm keluaran Microsoft gagal di pasaran. Sehingga kini tiada lagi pihak yang berani meramalkan kejayaan sesuatu produk kerana gergasi seperti Microsoft sendiri kecundang dalam perniagaan ini.

Namun apa yang pasti perkembangan teknologi sangat pantas. Sejak lebih tiga dekad komputer peribadi diperkenalkan, teknologi itu semakin berkembang sehingga membolehkan smartphone dan smartbook kelak mengambil alih peranannya.

Yang memungkinkan semua teknologi ini bersatu di bawah satu produk adalah dengan munculnya penggunaan Internet tanpa wayar yang lebih murah. Ia membolehkan komputer menjadi lebih kecil malah dalam bentuk telefon bimbit, meminggirkan semua kriteria lapuk yang pernah digunapakai sebelum ini.

Pengguna juga mungkin beranggapan ia adalah nikmat besar yang diperoleh hasil perkembangan teknologi. Apatah lagi dengan pengenalan setiap teknologi baru bermaksud harga barangan yang dihasilkan sebelum ini akan lebih murah.

Biar pun ia mungkin berita baik kepada pengguna, namun hakikatnya pengguna akan berterusan membelanjakan duit mereka untuk mendapat peralatan sebegini tanpa jemu. Tanpa disedari pengguna sebenarnya hanya tertipu dengan kaedah pemasaran industri tersebut. Yang untung adalah industri manakala pengguna sebenarnya terus-terusan menanggung kerugian.

Mungkin kita terlepas pandang tapi selain manusia, bumi juga tidak terlepas dari kerugian yang disebabkan manusia itu sendiri melalui industri yang dikuasainya. Setelah pengguna dilambakkan dengan pelbagai produk terkini, bumi juga dilambakkan dengan gajet-gajet yang tidak lagi digunakan yang akhirnya merosakkan alam sekitar.

Hakikatnya manusia itu sendiri yang mencipta kerugiannya.

Kesilapan perhitungan AS di Afghanistan

TIADA nada optimis dalam pelbagai laporan media Barat mengenai perang di Afghanistan. Ini mungkin kerana peperangan itu telah berlarutan hingga lapan tahun, iaitu hampir sama tempohnya dengan Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua.

Hal ini ternyata dari laporan seperti dalam International Herald Tribune dengan ayat pertama The War in Afghanistan is not going well. Seperti dalam sebuah akhbar Australia The outside World has never won a war in Afghanistan and never will.

Seperti adanya juga dalam laporan jurnal The National Interest dengan ayat pertama In Afghanistan: War in the Wrong direction. Pengerusi Kehormat majalah itu ialah Henry Kissinger bekas Setiausaha Negara Amerika yang ulung.

Lalu dicatat antara lainnya dalam laporan demi laporan itu hal-hal berikut:

l Tentera British dua kali tewas di Afghanistan pada tahun 1839-1842 dan 1878-1880. Para pejuang bersenjata membunuh satu pasukan tentera yang cuba lari dari Kabul pada tahun 1842. Hanya seorang saja selamat dari 16,000 anggota pasukan British.

l Kira-kira 100,000 askar Soviet Union pemerintahan komunis masa dulu telah membunuh hampir satu juta orang Afghanistan, tetapi akhirnya tewas sama sekali kepada pejuang-pejuang Afghanistan. Kira-kira 20,000 askar Soviet mati dan 100,000 lagi cedera. Kekalahan mereka antara sebab leburnya pemerintahan komunis di Soviet Union. Pencerobohan Soviet bermula pada tahun 1979. Pengunduran tentera mereka berlaku mula 20 Julai 1987.

Di Amerika baru-baru ini akhbar Honolulu Advertiser menyiarkan komentar dengan pertanyaan pada ayat pertama What’s wrong with the war in Afghanistan? Antara sebab: Rakyat Amerika tidak menyokong peperangan itu. Negara-negara rakan sekutu di Eropah tidak menyokong penuh.

Jurnal The National Interest mencatat bilangan askar-askar Eropah yang menyertai peperangan di Afghanistan kini: Sepanyol 1,000 orang, Jerman 4,000, Itali 2,800 orang, Poland 2,000 orang, Belanda 1,800 orang, Kanada 2,800 orang dan Britain 9,000 orang.

Seperti dilaporkan sebelum ini enam orang askar Itali maut dalam satu peristiwa. Perdana Menteri Itali, Berlusconi lalu menyatakan niat untuk mengundurkan tenteranya dari Afghanistan.

Laporan dalam majalah Amerika itu ditulis oleh Ahmed Rashid, seorang wartawan Pakistan yang telah menulis sebuah buku berjudul America dan malapetaka di Pakistan, Afghanistan dan Asia Tengah (Penguin 2009).

kepimpinan

Lantas disebut mengenai panglima tentera Amerika yang baru di Afghanistan, General Stanley McChrystal meminta kerajaannya menghantar kira-kira 30,000 lagi tentera ke Afghanistan. Bilangan yang ada sebelum ini dianggap tidak memadai.

Perang di Afghanistan bermula semasa kepimpinan Presiden George Bush untuk memerangi pihak Taliban dan golongan al-Qaeda. Berlaku sejak lapan tahun lalu ialah pelbagai kesilapan, salah perhitungan dan kecuaian, sedemikian menurut Rashid.

Menimbulkan pelbagai masalah adalah pendirian enam jiran Afghanistan yang dekat dan jauh, termasuk Pakistan, Iran, India, Russia dan Arab Saudi.

Selama lapan tahun perang di Afghanistan Presiden Bush hanya dua kali mengadakan lawatan. Di samping itu ialah kecenderungan beberapa pemimpin negara Barat menegur Presiden Hamid Karzai walaupun ia memenangi pilihan raya kali kedua. Antara yang nyaring kritiknya ialah Perdana Menteri British, Gordon Brown.

Bertindak sebagai pelaksana dasar-dasar baru di Afghanistan ialah Richard Holbrooke, bekas pegawai kanan Jabatan Negara Amerika.

Kerap dilaporkan pelbagai kegiatan tentera Amerika. Tidak sedemikian mengenai bala tentera negara-negara Eropah. Juga aktif ialah pesawat-pesawat udara tentera NATO yang mengebom di daerah-daerah pedalaman. Timbul kritik manakala yang maut ialah orang-orang awam, bukan pejuang-pejuang Taliban.

Baru-baru ini Setiausaha Agung NATO, Anders Rasmussen mengadakan kunjungan ke Moscow dan meminta Rusia membantu dengan menghantar helikopter-helikopter ke Afghanistan. Walhal semasa Soviet Union dulu menyerang Afghanistan, negara-negara Barat, terutama Amerika memberi bantuan alat-alat tentera kepada pejuang-pejuang Afghanistan.

Menjadi tanda tanya ialah sikap Rasmussen, dulu Perdana Menteri Denmark. Dalam masa pentadbirannya seorang kartunis akhbar Jyllands-Posten telah melukis kartun-kartun yang menghina Nabi Muhammad hingga mencetus demonstrasi-demonstrasi di beberapa negara Islam dan bantahan pelbagai kerajaan.

Seperti dilaporkan pihak Rusia tidak pula melayan Rasmussen supaya menghantar helikopter-helikopter ke Afghanistan untuk membantu NATO. Bagi mereka pengalaman masa lampau menjadi pengajaran. Maka berulang pertanyaan: Berapa tahun lagi perang Afghanistan?

sumber: Utusan Malaysia Online

Salah cuma miliki satu DVD, VCD cetak rompak

BUTTERWORTH: Jika sebelum ini memiliki tiga atau lebih cakera video digital (DVD) atau cakera padat video (VCD) cetak rompak boleh dikenakan tindakan, namun selepas pindaan Akta Hak Cipta tidak lama lagi, mereka yang memiliki satu saja barangan itu boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Menurutnya, mengikut Akta Hak Cipta sedia ada, menjualnya salah tetapi membeli satu DVD atau VCD cetak rombak tidak menjadi kesalahan dan melalui pindaan itu kedua-duanya akan bersalah.


“Sepatutnya kalau jual salah beli pun salah, tetapi mengikut peruntukan sedia ada, hanya mereka yang memiliki lebih daripada tiga DVD atau VCD boleh ditahan dan itu yang kita mahu pinda.


“Kita tidak mahu ada sikap berat sebelah dalam aktiviti yang melanggar undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Kesedaran Kepenggunaan, di sebuah pusat beli belah di Seberang Jaya, di sini, semalam.


Dalam pindaan itu, Ismail berkata, pemilik premis yang membenarkan penjualan barang larangan itu akan dikenakan tindakan sewajarnya, namun pihaknya masih meneliti hukuman sesuai untuk kesalahan terbabit.

Menurutnya, pindaan akta itu dijangka dibentangkan pada sesi persidangan Dewan Rakyat, Mac depan.

Ahad, 3 Januari 2010

Sudirman tercabar di UKM

Oleh Zainuddin Maidin

JIKA tidak kerana campur tangan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir mungkin konsert Malam Anak Desa Bersama Sudirman yang diadakan di kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 5 Januari 1985 dibatalkan terus kerana tentangan keras daripada Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM).

Pembatalan itu terpaksa dibuat apabila bantahan sampai kepada peringkat mengancam dan sesuatu yang buruk akan berlaku jika diteruskan. Risalah-risalah disebarkan menyifatkan penganjur dan penyokong penyokong konsert itu sebagai taghut dan kafir. Selain beberapa persatuan mahasiswa, Presiden Persatuan Kakitangan Akademik UKM (PKAUKM), Profesor Dr. Shahril Mohd Zain bertindak sendirian menyokong bantahan itu, menyebabkan beliau dikecam oleh beberapa orang pegawai dan pentadbiran kanan UKM.

Bersama-sama dengan PMUKM dalam bantahan ini ialah Persatuan Mahasiswa Fakulti Islam, Persatuan Kakitangan Akademik UKM, Persatuan Anak Kelantan, Jaksa Komsis, Persatuan Mahasiswa Sains dan Dekan Fakulti Pengajian Islam, Haji Idris Omar. Ini merupakan suatu episod hitam yang mencemarkan UKM yang pada peringkat awal perkembangannya untuk menjadi sebuah universiti berkualiti dan bertaraf nasional. Beberapa pihak menyifatkan UKM sebagai Universiti Kolot Melayu.

Sebelum peristiwa ini PMUKM mendalangi beberapa usaha dengan menghalang kegiatan kesenian dan kebudayaan di universiti itu. Bagaimanapun ini tidak sahaja berlaku di UKM tetapi juga merupakan fenomena di Universiti Malaya dan juga di UiTM di mana beberapa orang ustaz dan pengikut mereka mengecam pendidikan seni dan hiburan di institut itu.

Tenaga pengajar UiTM dan juga UKM yang progresif sering naik dan turun tangga pejabat Utusan Melayu untuk memaklumkan masalah gangguan, ugutan dan penghinaan yang sering diterima daripada golongan pelampau agama yang berfikiran sempit. Berikutan tekanan yang dihadapi, Persatuan Mahasiswa Fakulti Ekonomi UKM yang menganjurkan malam bersama Sudirman itu untuk mengutip derma bagi Pemadam dan tabung kegiatan mereka membatalkan pertunjukan itu setelah berunding dengan pihak berkuasa UKM untuk mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini.

Risalah disebarkan selepas sembahyang pada suatu Jumaat mengecam penganjur sebagai berotak jahiliah , berperangai kafir walaupun lidah beriman. Pembeli tiket dan penyokong pertunjukan itu dianggap sebagai orang yang mengkhianati kesucian Islam.

Utusan Malaysia adalah satu-satunya akhbar pada masa itu yang paling di hadapan dalam mendedahkan tindakan mahasiswa tersebut, mengecamnya dan memberikan sokongan kepada pihak penganjur.

Seorang tutor Jabatan Geografi UKM Abd Rahim Md. Nor telah menulis panjang dalam Utusan Malaysia 23 Januari 1985 marahkan Awang Selamat yang menyifatkan bantahan itu memberikan imej UKM sebagai universiti yang mundur ke belakang, tidak terbuka dan tidak bersifat nasional dan universal dan tidak menampakkan imejnya sebagai sebuah universiti. Tetapi lebih kepada imej pondok yang banyak terdapat di kampung-kampung terutama di Kelantan. Abd. Rahim antara lain berkata, "Ditinjau dari sudut mana pun atau oleh mana-mana pihak yang sempurna imannya, pertunjukan sesebuah konsert yang dalamnya terdapat orang atau orang orang yang memperagakan diri, suara, gaya, emosi, gerak-geri dan pakaiannya, apalagi bila mencampur adukkan kaum wanita dan lelaki yang bukan muhrim di atas sebuah pentas dan menjadi tontonan orang ramai, hukumnya adalah haram. Ini bukan sahaja kebenaran Islam tetapi hakikat agama suci itu", katanya.

Pembatalan konsert itu kerana ugutan, "Kalau diteruskan juga, tunggulah jawapannya pada 5 Januari" akhirnya mendedahkan sikap silent majority di kalangan kakitangan akademik dan mahasiswa universiti itu.Sepuluh buah persatuan yang bergabung di bawah Persatuan Mahasiswa mengisytiharkan mereka tidak bersama dengan PMUKM sebaliknya menyampaikan memorandum membantah pembatalan pertunjukan itu kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Musa Hitam di samping menuntut kerajaan menyiasat anasir luar yang berada di belakang penentangan konsert berkenaan.

Mereka menyatakan tindakan PMUKM itu tidak mewakili segenap persatuan secara menyeluruh. Beberapa pensyarah pula mengecam Persatuan Kakitangan Akademik UKM yang menyokong pembatalan konsert itu kerana perbuatan tersebut melanggar piagam universiti yang melarang para pensyarah menyebelahi mana-mana pihak mahasiswa.

Memorandum membantah pembatalan pertunjukan itu dihantar kepada Timbalan Perdana Menteri menerusi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar UKM) Prof. Madya Dr. Abdul Halim Othman dengan salinannya kepada Menteri Pelajaran Datuk Abdullah Ahmad Badawi. Pembatalan konsert itu mengecewakan ribuan orang yang membeli tiket terutama sekali kalangan mahasiswa dan keluarga ahli-ahli akademik.

Kampus

Orang ramai di luar kampus turut mengecam bantahan terhadap pertunjukan itu sebagai perbuatan " kolot dan liar" yang mencemarkan keseluruhan mahasiswa dan kakitangan UKM. Reaksi marah ini tidaklah mengejutkan kerana pada masa itu Sudirman sedang berada di puncak populariti di kalangan masyarakat berbilang kaum dari peringkat kanak kanak, belia dan orang dewasa dan juga orang tua.

Reaksi Sudirman sendiri ialah "sedih kerana mengecewakan ramai yang telah membeli tiket". Komposer terkenal Ahmad Nawab merasa kesal "kerana dikaitkan bantahan itu dengan Islam sedangkan Islam agama yang paling progresif," katanya.

Presiden Persatuan Penyanyi Tanah air (Papita) Ahmad Daud yang juga seorang penyanyi berkata "Menyanyi memang satu profesion, suara merdu yang ada pada seseorang penyanyi itu adalah kurniaan Tuhan".

Kontroversi ini diberikan publisiti meluas oleh akhbar Utusan Melayu dan Utusan Malaysia dan ia menarik perhatian Dr. Mahahtir yang mendorongnya memanggil saya dan juga Ketua Pengarang akhbar Berita Harian ke kediamannya yang turut disertai oleh Musa dan Abdullah.

Dr. Mahathir merasa sedih kerana mahasiswa kita yang sepatutnya mempunyai sikap terbuka dan berani untuk membuat penyesuaian dengan persekitaran dan membina ketahanan diri dalam masyarakat yang pelbagai budaya telah menampakkan diri mereka sebagai golongan yang percaya kepada pengasingan diri sebagai kekuatan.

Beliau bersetuju dengan tindakan pihak penganjur membatalkan pertunjukan Sudirman itu sebagai langkah penangguhan sementara . Tetapi beliau mengarahkan Menteri Pelajaran memastikan pertunjukan itu diadakan semula pada masa sesuai.

Berikutan dengan itu Konsert Malam Anak Desa Bersama Sudirman diadakan pada 2 Mac 1985 di Dewan Tun Abdul Razak UKM dengan mendapat sambutan yang di luar jangkaan berikutan kehadiran lebih 3,000 terutama kalangan mahasiswa dan kakitangan akademik serta keluarga mereka. Konsert itu berlangsung dalam kawalan ketat kerana ada ugutan disebarkan bahawa bala akan turun pada pukul 9.47 malam. Bagaimanapun pada detik itu seluruh penonton sedang berada dalam keadaan terpukau mendengarkan Sudirman membawakan lagu Anak Dagang.

Penonton yang mulanya berada dalam debaran sebelum pertunjukan dimulakan kerana "Selendang Merah" akan datang menghukum orang-orang kafir bertukar menjadi tenang dan ceria sebaik sahaja lampu dinyalakan dan Sudirman memulakan persembahan.

Komen yang menarik daripada seorang penonton selepas pertunjukan itu ialah " Saya tidak rasa menjadi kafir setelah menonton sebaliknya hati saya terguris dengan mesej-mesej yang disampaikan oleh Sudirman menerusi lagu-lagunya."

Sudirman membuktikan kepada penonton bahawa beliau adalah seorang penyanyi yang menjiwai inspirasi nasional. Beliau menyelimutkan tubuhnya dengan bendera Malaysia dan menyanyikan lagu- lagu yang berunsur kecintaan pada tanah air dan kemanusiaan.

Antara lagu yang disampaikan ialah Anak Desa, Tanah Ini Tanahku, Tegakan Bendera Kita, 31 Ogos., Balik Kampung, Ayah Dan Ibu, Warisan dan lain-lain yang menggambarkan dirinya bukan sebarang seniman tetapi seorang seniman patriotik.

Wartawan New Straits Times Sahibullah menulis dalam NST 4 Mac 1985 mengenai kejayaan hebat konsert itu dengan kata- kata "Tidak perlu ada ketakutan sama sekali jika seseorang itu percaya pada tuhan." Thus as you can see, there was nothing to fear at all if one puts one's trust in God.

Suatu lagi percubaan untuk mengagalkan konsert Sudirman pada 17 Ogos 1985 oleh Persatuan Islam Universiti Malaya tidak berjaya kerana ketegasan Naib Canselor Universiti Malaya profesor Diraja Ungku Aziz.

Ungku Aziz berkata, "Pihak universiti tidak boleh membatalkan konsert ini semata-mata kerana ada pihak yang tidak menyenanginya atau beranggapan ia bercanggah dengan ajaran Islam. Kerajaan sendiri tidak mengharamkan lagu dan persembahan penyanyi Sudirman" (Utusan Malaysia 6 Ogos 1985.

Perubahan dinamik sosiopolitik tanah air dengan penggabungan puak-puak politik pelampau agama dan perkauman yang berkompromi atas core values masing-masing juga menjadikan kegiatan Islam di universiti universiti lebih moderate dan rasional sekarang ini. Tindakan demonstrasi membantah pertunjukan Sudirman seperti yang berlaku pada tahun 1985 dan juga demonstrasi bantahan terhadap majlis hiburan di Istana Kelantan dan juga di UiTM Terengganu yang dilakukan anasir pelampau Islam tidak lama dahulu, tidak mungkin akan berlaku lagi kerana ia menjadi tamparan kepada idola mereka di luar kampus dan akan menyebabkan mereka kelihatan berada di luar kesedaran baru politik puak pelampau yang menghalalkan cara untuk mencapai matlamat.

sumber: Utusan Malaysia

Kiasi lebih baik daripada ultra kiasu

Saya berterima kasih kepada sebuah laman web Malaysian Insider kerana sudi mengulas dan menyiarkan artikel saya dalam laman mereka. Kasihan mereka, artikel dan komen yang baik-baik yang menyokong saya, ditapis dan tidak disiarkan, manakala yang buruk dan negatif diperbesarkan. Mereka sengaja melakukan demikian supaya saya dihentam dan dikritik, termasuk kalangan orang Melayu sendiri yang saya fikir tidak ramai, supaya saya menyerah kalah atau mematikan watak (character assassination). Itulah hakikat yang saya kena terima. Sekutu-sekutu ultra kiasu begitu ramai, menjadi musuh dalam selimut bertindak pepat di luar rencong di dalam. Seperti biasa mereka turut mengaitkan saya sebagai penulis upahan dan tali barut UMNO.

Kepada mereka yang ultra kiasu, kenapa seperti cacing kepanasan? Ramai penulis Melayu yang menulis dan mengutuk Melayu dan Islam, tetapi orang Melayu Islam ini relaks sahaja. Tidak mudah melatah, tidak maki hamun sampai satu keturunan. Inilah sifat yang amat saya puji. Malangnya, bila saya sentuh sedikit sahaja tentang segelintir bangsa saya yang bersifat ultra kiasu, Malaysia semacam sudah tidak ada isu lain, seluruh golongan ultra kiasu bersatu hati bangun mengutuk, menghina dan mencerca saya satu keturunan. Inilah bezanya antara orang Melayu Islam dengan bangsa saya.

Saya fikir sifat orang Melayu yang terlalu bertolak-ansur ini disebabkan oleh mereka beragama Islam. Inilah juga merupakan salah satu faktor yang menyebabkan saya memeluk Islam dengan izin Allah. Jika ditakdirkan Melayu tidak Islam, saya akan biarkan mereka terjun dengan labu-labunya. Agama menyatukan kita semua tidak kira bangsa, tanpa menafikan hak bukan Islam. Namun, saya masih bimbang, adakah terlalu bertolak ansur selama-lamanya boleh diamalkan sehingga kaduk naik junjung?

Tengoklah cara ultra kiasu ini berfikir, bila ada sahaja penulisan yang menyebelahi Melayu Islam maka saya dikaitkan dengan UMNO. Apakah selama UMNO memimpin negara ini kehidupan ultra kiasu menderita dan ditindas? Apakah kekayaan yang dimiliki bukan Melayu melebihi 70 peratus adalah hasil usaha sendiri, bukan disebabkan oleh sistem hidup bernegara yang diterajui oleh orang Islam yang menjadi orang bukan Islam dapat hidup senang lenang? Baik sangatkah mereka yang memerintah Selangor dan Pulau Pinang? Saya lihat sama sahaja. Kalau di Majlis Perbandaran, lihatlah wajah-wajah dan betapa rakusnya mereka merebut projek perbandaran. Dahulu, kata UMNO kroni, bila mereka memerintah adakah ia bukan kroni?

Saya tidak mengatakan bahawa UMNO itu semua betul. UMNO juga mesti berubah dari aspek peribadi akhlak pemimpin dan pengurusan bernegara, jika ingin terus relevan bagi mendapatkan keyakinan rakyat. Jangan sampai kumpulan ultra kiasu berjaya memerintah. Bila ultra kiasu dapat peluang memerintah nanti, kita akan menyesal seumur hidup. Ingatlah, puak ultra kiasu ini amat licik orangnya. Sengaja membutakan hati dan mata.

Saya diminta kemukakan fakta ketika menulis. Apakah yang saya lontarkan itu bukan fakta? Lagipun saya bukan menulis jurnal.Tidak perlulah mengajar saya siapakah dia John Locke dan Thomas Hobbes bila bercakap tentang kontrak sosial. Baca juga pendapat Rousseau untuk memahami makna kontrak sosial yang sebenar. Janganlah petik kata-kata yang tidak menyebelahi diri untuk diaplikasikan agar kita nampak pandai, tetapi sebenarnya tidak.

Diperalatkan

Saya tidak begitu berminat untuk memetik kata-kata sarjana barat ini walaupun saya banyak membaca buku mereka. Saya lebih tertarik dengan pendapat orang Islam, sebab pendapat orang Islam berpandukan kepada Quran dan hadis. Tidak mudah untuk diperalatkan. Jangan biarkan diri kita jahil. Malaysian Insider dan ultra kiasu amat suka orang-orang jahil ini supaya akhirnya mereka boleh menjadi pengikut Santa Claus.

Janganlah mudah berkata di hati mereka ada 'bulan'. Jika memang di hatinya ada bulan, sudah lama mereka turut mengharamkan arak, zina, nombor ekor dan sebagainya. Tetapi mereka ini licik, menyamar untuk mengikuti jejak Umar Abdul Aziz untuk mencairkan jiwa raga kita.

Mereka begitu teruja dengan formula yang saya kemukakan iaitu berasaskan peratusan kaum (agama), 60 peratus Islam, 40 peratus bukan Melayu (22 peratus Buddha-Taoisme-Konfucius, 9 peratus Kristian, 6 peratus Hindu, 3 peratus lain-lain) dan kaitan dengan perayaan dan aktiviti keagamaan. Saya telah sebut, atas dasar toleransi maka formula ini tidak pernah dilaksanakan. Persoalannya, adakah hak mereka dinafikan selama ini sebagaimana yang digembar-gemburkan laman web ultra kiasu tersebut? Jika laman web tersebut boleh menulis apa yang mereka suka, apakah saya tidak boleh? Apakah berita-berita mereka tidak perkauman? Jangan terlalu jahat dengan menuduh orang lain penjahat?

Jika tidak setuju dengan formula saya, bagilah formula ultra kiasu. Tetapi asasnya mestilah Perlembagaan, bukannya Malaysian Malaysia. Kalau Malaysian Malaysialah formulanya, eloklah berbincang dengan Lee Kuan Yew untuk berhijrah ke sana. Bukalah laman web baru di sana, dan cuba kutuk kerajaan Singapura, saya fikir sudah lama laman web tersebut dibuang jauh-jauh, apatah lagi untuk membuka sekolah sendiri.

Teringat saya kepada buku terbaharu karangan SP Huntington bertajuk Who are we . Beliau mengatakan Amerika sejak awal lagi mengambil pendekatan mengasimilasikan semua bangsa yang datang berhijrah demi untuk mencapai perpaduan. Berdasarkan pendapat Huntington ini, tidak timbul soal Amerika itu lebih terbuka sebagaimana yang didakwa oleh kumpulan ultra kiasu ini. Jangan buat gimik. Tok Guru tidak perlu pinda Perlembagaan negeri Kelantan untuk melantik bukan Melayu Islam menjadi menteri besar. Ini kerana bukan Melayu di sana amat sedikit bilangan. Jagalah dan tarbiyyahlah dulu saudara-saudara baru yang masih merempat di sana, itu lebih banyak manfaat daripada membuat tindakan politik terburu-buru. Saya yakin secara senang hati orang Melayu dapat menerima bukan Melayu Islam menjadi pemimpin jika mereka bukan bersifat ultra kiasu, tetapi mempunyai keperibadian Islam yang tinggi dan memahami kaum majoriti.

Saya tidak pernah menafikan hak orang bukan Islam selaku minoriti di negara ini. Jika nafikan, bermakna, saya nafikan juga keturunan saya. Cuma biarlah berpada-pada, hargai toleransi yang telah ditunjukkan. Jangan asyik berkokok, ekor bergelumang tahi. Orang Melayu terlalu bertoleransi, sehingga hak mereka semakin terhakis pun mereka tidak banyak bising. Itu sebabnya saya perlu sedarkan mereka. Saya bimbang bila Melayu hancur, agama Islam yang suci akan turut hancur. Saya tidak pertikaikan hak mereka, tetapi jangan sampai menenggelamkan hak majoriti Islam.

Saya menulis bukan untuk mengambil hati sesiapa atau pun mahu menjadi popular. Kalau sekadar untuk popular, saya sudah popular sejak dahulu lagi. Cuma saya terpaksa tulis sebab kaduk telah naik junjung. Saya bimbang segelintir ultra kiasu ini akan merosakkan semua bukan Melayu yang kurang ultra kiasu. Mereka yang kurang kiasu patut dihargai dan dilindungi berbanding dengan ultra kiasu. Ultra kiasu perlu ingat, apapun yang berlaku hari ini, orang Melayu hanya rugi untuk jangka pendek. Dalam jangka masa panjang, saya tidak fikir mereka akan rugi. Bilangan orang Melayu semakin ramai berdasarkan kepada trend kelahiran, begitu juga dengan mereka yang menyertai pasukan keselamatan seperti tentera dan polis. Apa pun berlaku nanti, pasukan keselamatanlah yang akan mengambil tanggungjawab negara ini. Jika ini berlaku, siapakah yang rugi? Sudah tentu bukan Melayu yang kurang kiasu akan rugi. Kumpulan ultra kiasu sudah tentu akan cabut lari.

Kadangkala menitis air mata mengenangkan masa depan Islam dan umat Islam. Bukan kerana kiasi (takut mati), tetapi memikirkan apakah anak cucu cicit kita akan mewarisi perjuangan kita untuk mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara? Atau mungkihkah mereka akan menjadi cair dengan strategi licik golongan ultra kiasu ini? Jika inilah yang berlaku, amat malang bagi Malaysia, sebuah negara bermula dengan Tanah Melayu. Cukuplah dengan apa yang telah berlaku. Jangan ulangi kesilapan yang sama. Jika kita silap lagi, saya amat bimbang kita tidak dapat berpatah balik. Ingatlah, kadangkala Allah beri kita peluang, kadang kala tidak. Islam sukar untuk bangkit selagi umat Islam tidak ubah pemikirannya.

Lihatlah bagaimana cara Rasulullah melayan mereka sebelum Islam dengan selepas memasuki Islam. Ingatlah ayat Quran ini tanpa menafikan hak orang bukan Islam. "Hai orang yang beriman, siapa saja di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang mencintai-Nya, dan mereka pun cinta pada-Nya, mereka bersifat lemah lembut terhadap kaum muslimin, dan tegas keras terhadap orang kafir, selalu berjuang untuk menegakkan agama Allah dan tidak menghiraukan celaan orang yang mencela. Itulah kurniaan Allah yang diberikan kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas pemberian-Nya dan Maha Mengetahui" [Al maidah, ayat 54]

Ayat ini menyuruh kita berlembut dengan orang Islam. Ia juga menyuruh kita bertegas dan bersikap keras terhadap bukan Islam yang ultra kiasu. Bukannya kita boleh pukul rata dengan sikap berlembut kita terhadap orang bukan Islam. Kajilah sama ada mereka ultra, sederhana atau kurang kiasu. Apatah lagi jika mereka banyak melakukan kerosakan di muka bumi ini seperti kafir harbi. Perlukah kita berkompromi dengan mereka?

sumber: Utusan Malaysia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...