Selasa, 21 Julai 2009

Nizar dan lilinnya - fikir-fikirkan

Ulama Pas patut keluar fatwa

IPOH 20 Julai - Ulama dalam Pas patut mengeluarkan satu fatwa berhubung tindakan Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyertai majlis menyalakan lilin bagi memperingati kematian setiausaha politik kepada Exco Selangor, Teoh Beng Hock di Ipoh, Jumaat lepas.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, sebagai parti yang mempunyai ramai ulama besar yang arif tentang hukum agama, maka adalah wajar untuk golongan ulama Pas memberi penjelasan mengenai tindakan bekas Menteri Besar Perak itu menyertai majlis sedemikian.

Katanya, ulama Pas seperti Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat atau Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang pastinya mempunyai penjelasan terhadap tindakan Mohammad Nizar itu.

''Saya bukan ulama nak komen tentang tindakan Nizar. Biar orang agama komen tentang ini. Biar tok guru komen. Dia banyak tok Guru (Nik Abdul Aziz dan Abdul Hadi). Dia (Mohammad Nizar) pun tok guru juga. Dia pandai baca Quran, bagi ceramah, bagi khutbah di masjid.

''Dia lagi tahu apa yang dia buat,'' katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Perjanjian antara Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan The Red Solar (M) Sdn. Bhd. dan TCT Inc. (TCTI) di sini, hari ini.

Menteri Besar mengulas tindakan Mohammad Nizar menyertai majlis menyalakan lilin anjuran DAP Perak semasa memperingati kematian Beng Hock di Ipoh, Jumaat lepas dan gambar majlis itu tersiar dalam akhbar The New Straits Times pada Sabtu lepas.

Zambry berkata, beliau bersimpati dengan kematian Beng Hock dan telah pun menyatakan pendiriannya di dalam laman blognya www.zambry.com. -BERNAMA


Nizar sepatutnya tidak hadir nyalakan lilin – Dewan Ulama Pas

KUALA LUMPUR 22 Julai – Dewan Ulama Pas menyifatkan majlis menyalakan lilin bagi memperingati kematian Teoh Beng Hock di Ipoh, Jumaat lalu yang turut disertai oleh Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai meragukan.

Sehubungan itu Ketuanya, Datuk Harun Taib berkata, Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak itu sepatutnya tidak hadir pada majlis tersebut kerana sifatnya yang meragukan itu.

Menurutnya, Rasulullah sendiri amat menitikberatkan perkara berkenaan seperti sabdanya yang bermaksud tinggalkan perkara yang engkau ragu dan ambillah perkara yang engkau tidak ragu.

“Hadis ini menyuruh kita meninggalkan perkara-perkara yang meragukan iaitu sesuatu yang hukumnya tidak jelas sama ada halal atau haram. Seperti majlis ini adakah ini upacara agama atau sebaliknya?

“Sebenarnya Pas telah pun membuat satu garis panduan bahawa majlis-majlis yang meragukan tidak harus dihadiri oleh pemimpin-pemimpin serta ahli-ahli kita,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Mohammad Nizar menyertai majlis menyalakan lilin anjuran DAP Perak semasa memperingati kematian Beng Hock di Ipoh, Jumaat lepas dan gambar majlis itu disiar oleh New Straits Times pada Sabtu lepas.

Bagaimanapun Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Husam Musa dalam laporan akhbar hari ini mempertahankan tindakan Mohammad Nizar dengan menyatakan ia tidak menyalahi ajaran Islam.

Dalam pada itu, Harun berkata, beliau tidak pasti sama ada Mohammad Nizar sedar atau tidak mengenai garis panduan berkenaan.

“Ini bukan satu fatwa tetapi inilah ketetapan atau garis panduan yang telah kita putuskan selama ini.

- sumber Utusan Malaysia


Nik Aziz enggan keluar fatwa


Mohammad Nizar Jamaluddin (tiga dari kiri) bersama Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dan Setiausahanya, Nga Kor Ming (kanan) memegang lilin ketika bertafakur pada majlis memperingati kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock di Ipoh, Perak, baru-baru ini.


KOTA BHARU 22 Julai - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat enggan menjawab cabaran daripada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir supaya mengeluarkan fatwa berhubung tindakan Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyertai majlis menyalakan lilin di Ipoh, Jumaat lalu.

Alasan yang diberikan Nik Abdul Aziz yang dianggap sebagai 'ulama besar' dalam Pas itu ialah kenyataan itu dikeluarkan oleh orang politik dan tidak ada kena mengena dengan fatwa Islam.

"Zambry ini orang politik bukan orang kaji Islam, apa kena mengena dengan fatwa agama, fatwa demokrasi pun (beliau) tak pakai, itu pandangan saya.

"Dia orang politik, saya jawab cara politiklah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Zambry yang meminta ulama dalam Pas mengeluarkan satu fatwa berhubung tindakan Mohammad Nizar menyertai majlis menyalakan lilin bagi memperingati kematian Setiausaha Politik kepada Exco Selangor, Teoh Beng Hock di Ipoh, Jumaat lepas.

Sebagai parti yang mempunyai ramai ulama besar yang arif tentang hukum agama, maka adalah wajar untuk golongan ulama Pas memberi penjelasan mengenai tindakan bekas Menteri Besar Perak itu menyertai majlis sedemikian.

Zambry yakin ulama Pas seperti Nik Abdul Aziz atau Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang pastinya mempunyai penjelasan terhadap tindakan Mohammad Nizar itu.

Semalam, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Husam Musa mempertahankan tindakan Mohammad Nizar kerana ia tidak menyalahi tindakan ajaran Islam kerana ia sekadar tanda bantahan terhadap kejadian yang menimpa Beng Hock.

Sebelum ini, Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuh pernah mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan memegang lilin seperti itu adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

Sementara itu, pemberita yang tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut mengulangi soalan berkenaan yang meminta Nik Abdul Aziz memberikan pandangannya mengikut hukum Islam tentang tindakan Mohammad Nizar tetapi Menteri Besar Kelantan itu menyatakan hanya itu jawapannya.

"Zambry yang bertanya.... usah akan fatwa Islam, fatwa demokrasi pun (beliau) tak pakai, siapa yang halau Menteri Besar dan rampas Dewan, tiap-tiap wakil rakyat yang masuk Dewan (Undangan Negeri) melalui mengundi dan bukan melalui sogok," katanya.

Wakil media yang masih tidak berpuas hati sekali lagi membangkitkan soalan yang sama sambil cuba memberikan penerangan yang lebih lengkap, Nik Aziz hanya menjawab: "Biar dulu, itu jawapan saya," katanya.

- sumber Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...