Selasa, 21 Julai 2009

Hentikan tohmahan, serah siasatan kepada polis

MAYAT Teoh Beng Hock, pembantu khas seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor, yang dijumpai mati di Plaza Massalam, Khamis lalu, selamat disemadikan semalam. Tetapi isu berhubung kematiannya menjadi semakin hangat.

Pelbagai tohmahan dilemparkan oleh pembangkang khususnya terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana insiden kematian mengejut Beng Hock berlaku sejurus selepas dia disoal siasat oleh SPRM berhubung penyalahgunaan dana peruntukan wakil rakyat.

Seperti biasa, pembangkang mengambil kesempatan terhadap isu ini dengan mengadakan beberapa siri perhimpunan yang dikatakan untuk menuntut keadilan terhadap kematian Beng Hock.

Persoalannya bentuk keadilan bagaimana yang dituntut oleh pembangkang? Sedangkan dalam masa yang sama, mereka juga tidak berlaku adil kepada SPRM kerana menghukum suruhanjaya itu sebelum siasatan menyeluruh dibuat bagi mencari punca sebenar kematian.

Sepatutnya, pihak pembangkang menunggu hasil siasatan dan tidak tergesa-gesa membuat tuduhan demi tuduhan yang adakalanya berbaur perkauman dan boleh mengguris perasaan pihak-pihak tertentu.

Lagipun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa polis akan menyiasat kes tersebut secara menyeluruh dan profesional. Begitu juga timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan tidak ada apa yang hendak disembunyikan berhubung isu tersebut.

Sebarang andaian atau spekulasi berhubung kes itu hanya akan mengelirukan masyarakat. Tuding-menuding kepada pihak-pihak tertentu juga tidak akan membantu menyelesaikan isu ini.

Seperti yang dikatakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, pembangkang tidak seharusnya cuba mewujudkan perselisihan faham dan sensitiviti kaum. Sebaliknya serahkan kepada pihak polis menyelesaikan kes ini.

Kecekapan polis negara ini menyelesaikan kes-kes kontroversi seperti ini memang tidak boleh dipertikaikan. Tetapi semua pihak harus memberi kerjasama dan tidak hanya tahu menuding jari.

Jika pembangkang masih tidak berpuas hati dengan siasatan polis, kerajaan mungkin boleh menubuhkan suruhanjaya bagi melakukan penyiasatan menyeluruh berhubung kejadian tersebut.

Tetapi jika pembangkang sudah menjatuhkan hukuman sebelum siasatan selesai, ia tidak akan membantu menyelesaikan isu tersebut, sebaliknya hanya mengeruhkan lagi keadaan dan mungkin mengganggu siasatan.

Bagaimanapun, ketika keluarga mendiang Beng Hock bersedih dengan kematiannya, pihak pembangkang terus mempolitikkan isu tersebut, di sebalik jaminan kerajaan untuk bersikap telus.

Beberapa pihak melihat kecaman dan tuduhan melulu pembangkang terhadap SPRM itu sebagai satu usaha untuk mengalihkan perhatian kepada isu sebenar iaitu dakwaan penyalahgunaan dana peruntukan wakil rakyat di Selangor.

Jika pembangkang boleh berbuat demikian terhadap SPRM, rakyat yang berfikiran matang juga sebenarnya boleh membuat pelbagai andaian dan tafsiran terhadap tindakan pembangkang tersebut.

Oleh itu, pembangkang tidak sepatutnya membiarkan rakyat curiga dan menganggap mereka ada agenda tertentu di sebalik isu tersebut. Bertenang dan serahkan kepada pihak berkuasa menanganinya.

- sumber - Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...