Jumaat, 10 Julai 2009

Projek Koridor Utara (NCER)

Enam lagi projek di Koridor Utara - PM

PUTRAJAYA 9 Julai - Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) hari ini meluluskan enam lagi projek bagi sektor pertanian, pembuatan dan pelancongan untuk dibangunkan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (WEKU).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pembangunan itu membabitkan beberapa projek perintis antaranya Pusat Latihan Amali Agro Entrepreneur di Kampung Kura, Kedah dan Projek SawahKU Maju.

"Pusat latihan itu bertujuan memperkenalkan pertanian secara komersial manakala projek SawahKu Maju adalah percubaan meratakan tanah bendang supaya boleh mencecah tahap pengeluaran lebih tinggi iaitu antara lapan hingga 10 tan sehektar.

"Setakat ini, projek tersebut berjalan mengikut jadual dan bagi projek perintis kita cuba dahulu sebelum melaksanakannya dalam skala yang lebih besar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat ketiga NCIA di pejabatnya di sini hari ini.

Keseluruhan projek NCIA di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bernilai RM750 juta.

Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Turut hadir ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md.Isa Sabu dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Perdana Menteri berkata, NCIA juga meluluskan projek sektor pembuatan iaitu pembinaan Pusat Kecemerlangan untuk meningkatkan kelayakan siswazah kejuruteraan bagi menampung pelabur dalam sektor elektronik di Zon Industri Bebas, Pulau Pinang.

Dalam pada itu, katanya, antara projek yang menarik dalam sektor pelancongan adalah cadangan mewujudkan perkhidmatan teksi air antara Pulau Pinang dan Seberang Perai iaitu kemungkinan dari Nibong Tebal.

"Teksi air ini menjadi kemudahan kepada mereka yang bekerja di pulau termasuk di Batu Feringgi dan Tanjung Bungah yang agak jauh dari Seberang Perai.

"Bagaimanapun, kita akan kaji dari segi bagaimana ia boleh dilaksanakan," katanya.

Selain itu, beliau menyatakan, NCIA juga bersetuju membuat kajian lebih lanjut tentang pembangunan Hutan Tropika Belum-Temengor.

Tambahnya, Taiping yang merupakan bandar warisan dan peninggalan sejarah akan dibangunkan secara strategik.

''Satu peruntukan khas telah diluluskan bagi memajukan Safari Park di Taiping," katanya.

Kata Najib, NCIA juga mengambil maklum tentang projek perintis Edu Citi-Tel yang menyediakan kemudahan asrama berintegrasi di Taiping bagi murid-murid tahun lima dan enam melibatkan anak-anak dari keluarga berpendapatan rendah.

"Projek ini agak menarik iaitu 99 orang pelajar di bawah program ini telah menunjukkan kemampuan dalam bidang pembelajaran dan kepimpinan di sekolah masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata, bagi bidang infrastruktur pula, beberapa projek sedang dijalankan antaranya menaik taraf jalan ladang membabitkan kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sepanjang 351 kilometer dengan kos RM84 juta.

"Ia akan disiapkan secara berperingkat mulai Mei lalu sehingga April 2010.

"NCIA juga membantu membangunkan infrastruktur Taman Teknologi Pauh di Perlis seluas 30.3 hektar bagi mempelbagaikan sumber pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan di negeri itu," katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...