Selasa, 21 Julai 2009

Konspirasi dunia.... kesan kepada islam 2

Serangan bom cubaan buruk imej Islam

DAKWAAN Ressa seperti dalam artikel semalam agak sukar untuk dirasionalkan. Tetapi itulah antara ciri-ciri PAKG. Ia dilaksanakan di Iraq atas beberapa alasan yang penuh pembohongan dan berdolak-dalik.

Iraq diserang kerana disyaki mempunyai senjata pemusnah (WMD). Tetapi ketua penyiasat senjata AS, David Kay pernah memberitahu Kongres pada awal Oktober 2003, siasatan mendapati Iraq tiada WMD.

Pasukan Pemeriksa Senjata PBB yang berada di Iraq dari 1991 sehingga 1998 telah memusnahkan 817 dari 819 peluru berpandu jarak sederhana, 14 pelancar peluru berpandu, 88,000 peluru yang berisi bahan kimia, lebih 600 tan agen senjata kimia dan 4,000 tan kimia yang menjadi asas persenjataan.

Namun Iraq tetap diserang. Presiden Saddam Hussein dihukum gantung sampai mati. Osama bin Laden masih belum diberkas tetapi usaha memburunya menjadikan Afghanistan "padang jarak padang tekukur".

Maka berasaskan seluruh huraian di atas, adakah benar AS diserang oleh pengganas Islam pada 11 September 2001? Jika benar, mengapakah tragedi 9/11 yang mencetuskan PAKG sentiasa dipertikaikan hingga ke hari ini? Majoriti pihak yang mempertikaikan pula adalah rakyat AS.

Pelbagai kajian, analisis, jurnal, laman web, portal berita, blog dan buku pula mengkritik serta mempertikaikan kredibiliti laporan rasmi tragedi 9/11 yang diterbitkan oleh Suruhanjaya 9/11 pada 22 Julai 2004.

Terdapat desakan antarabangsa supaya Presiden Barack Obama menubuhkan badan penyiasat bebas untuk memastikan tragedi 9/11 bukannya kerja orang dalam.

Menurut www.opednews.com, 20 ahli politik AS, Kanada, Jerman, Itali dan Jepun telah mengemukakan petisyen yang mendesak Obama mengizinkan satu siasatan bebas bagi memastikan apa yang sebenar-benarnya terjadi pada 11 September 2001.

Ini kerana penemuan oleh Suruhanjaya 9/11 sebelum ini amat berbeza dengan apa yang dikaji oleh banyak penyelidik, termasuk bekas-bekas pegawai CIA, pegawai FBI, arkitek, jurutera dan pelbagai pihak lain.

Adakah PAKG satu peperangan yang sengaja dilakukan untuk menyebabkan penderitaan dan kematian kepada umat Islam, serta untuk menyebabkan kemusnahan kepada negara Islam dan dunia Islam?

Ini semua terjadi kerana hanya 44 minit selepas tragedi 9/11, Bush mengeluarkan satu kenyataan bahawa mereka yang terlibat dalam serangan itu ialah pengganas Islam.

Tetapi, jika tragedi 9/11 selaku pencetus kepada PAKG masih dipertikaikan, adakah salah jika tindakan AS menyasarkan PAKG kepada dunia Islam, negara Islam dan wilayah Islam juga mesti dihalusi untuk memastikan ia bukan satu agenda besar bagi memenuhi matlamat geopolitik, ekonomi dan ketenteraan AS di abad ke-21?

Kesimpulannya, PAKG adalah perang yang dilancarkan oleh pendukung paradigma realisme dan juga kelompok neo-konservatif yang mempengaruhi Bush untuk menggunakan kekuatan ekonomi dan ketenteraannya bagi mengeksport liberalisme, demokrasi dan hak asasi manusia mengikut acuan AS.

Berdasarkan ciri-ciri paradigma realisme yang dihuraikan di atas, komuniti intelektual Islam di Asia Tenggara perlu mencari jawapan mengapakah PAKG dilancarkan di rantau ini dan mengapakah Indonesia dijadikan medan siri ledakan bom sejak 2002.

Pada waktu yang sama, mengapakah AS kini mempunyai tenteranya yang berpangkalan di selatan Filipina atas alasan menumpaskan kumpulan Abu Sayyaf? Kumpulan itu adalah satu daripada tujuh pasukan tempur mujahidin di Afghanistan yang pernah dilatih dalam bidang terorisme oleh pihak CIA?

Perincian terhadap seluruh permasalahan di atas pasti akan memberikan jawapan mengapakah Indonesia dijadikan medan ledakan bom sejak 2002.

Mengapakah AS menempatkan tenteranya di selatan Filipina? Mengapakah Abu Sayyaf diburu? Mengapakah konflik etnik berdarah berlaku di selatan Thailand mulai 2002?

Dan mengapakah PAKG di Asia Tenggara digandingkan dengan propaganda mengenai terorisme maritim di Selat Melaka? Adakah "faktor China" mendasari seluruh persoalan ini?

DATUK RUHANIE AHMAD adalah Naib Presiden Perkasa yang kini melanjutkan pengajian sarjana dalam jurusan Analisis Strategi dan Keselamatan di Universiti Kebangsaan Malaysia.

- sumber Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...