Sabtu, 26 Jun 2010

Uruguay, Korea ada misi penting


korea selatan diletakkan harapan tinggi untuk mengulangi sejarah Piala Dunia 2002 mara sehingga separuh akhir di negara sendiri. Mampukah mereka mara sejauh itu di Afrika Selatan?


KOREA Selatan mungkin telah berjaya menjaga maruah bola sepak Asia di Piala Dunia apabila melayakkan diri ke pusingan kedua selepas memerah keringat pada perlawanan terakhir diikat oleh Nigeria 2-2.
Melepasi cabaran kumpulan yang dianggap sukar kerana turut dianggotai bekas juara Piala Dunia dua kali, Argentina, jaguh Afrika, Nigeria dan bekas juara Eropah, Greece, kejayaan ke pusingan kalah mati buat pertama kali di luar negara boleh dianggap satu detik bersejarah.
Bagaimanapun, perjuangan buat pasukan Korea belum berakhir kerana mereka masih berpeluang mara ke peringkat suku akhir apabila bertemu wakil Amerika Selatan, Uruguay, hari ini.
“Saya tahu para pemain saya masih belum berpuas hati sekadar melayakkan diri ke pusingan kedua dan kami akan bekerja keras untuk layak ke separuh akhir.
“Objektif pertama sudah tercapai, sekarang terpulang kepada pemain saya untuk cuba melangkah jauh, ’’ kata jurulatih Korea, Huh Jung-Moo.
Di atas kertas, mungkin ramai menganggap wira-wira Taeguk ini tidak berpeluang mengatasi Uruguay jika dilihat barisan pemain ternama seperti Diego Forlan dan Luis Suarez.
Jangan cepat membuat andaian kerana skuad Korea kali ini adalah yang terbaik pernah dihasilkan oleh Korea Selatan sepanjang sejarah penyertaan mereka di Piala Dunia.
Diketuai oleh bintang Manchester United, Park Ji-Sung dan pemain terbaik Bolton musim lalu, Lee Chung Yong sambil dibantu pemain berpengalaman seperti Lee Young-Pyo serta Lee Jung-Soo, Korea boleh mengulangi sejarah tahun 2002.
Namun, kekalahan Korea 1-4 kepada satu lagi wakil Amerika Selatan, Argentina di peringkat Kumpulan B, wajar direnungi oleh Jung-Moo.
Ini kerana corak permainan terbuka yang diamalkan oleh mereka jelas tidak sesuai ketika berdepan dengan skuad dari Amerika Latin yang diketahui mempunyai gaya permainan serangan yang menarik.
Jika Korea berhasrat mahu memadam kecemerlangan Uruguay, mereka perlu menyekat rangkaian serangan Suarez-Forlan yang semakin cemerlang sepanjang kejohanan Piala Dunia kali ini.
Mungkin taktikal secara sedikit bertahan dan menggunakan senjata serang balas melalui larian pantas Ji-Sung dan bahagian tengah mampu membantu Korea mendapatkan gol.
Akan tetapi, masalah utama Korea ialah mereka seakan-akan tiada keupayaan menjaringkan gol melalui gerakan di atas padang. Jika diimbau, gol Korea pada perlawanan dengan Greece berpunca dari situasi sepakan percuma dan kesilapan pertahanan.
Sementara ketika bertemu Argentina, ia juga berpunca daripada kecuaian Martin Demichelis manakala gol semasa bertemu Nigeria, kedua-duanya bermula dari sepakan percuma.
Manakala Park Chu-Young yang diletakkan sebagai penyerang tunggal Korea agak tumpul di hadapan pintu gol kerana kerap melepaskan banyak peluang seperti mana ketika berdepan Greece.
Jung-Moo juga perlu berasa khuatir kerana pertahanan Uruguay masih belum melepaskan sebarang gol di kejohanan kali ini dan ia mungkin antara berita buruk buat Korea Selatan.

sumber: Utusan 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...