Sabtu, 26 Jun 2010

Hukum karma buat Perancis


Djibril Cisse tidak mempunyai kudrat untuk membantu skuad Perancis.


BUAT baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat, mungkin itu yang menimpa kepada skuad Piala Dunia 2010 Perancis selepas mereka gagal menempah tempat ke pusingan kedua tatkala mereka layak ke kejohanan ini dengan penuh kontroversi tujuh bulan lalu.
Jika anda masih ingat ketika Perancis berjaya menempah tempat ke Afrika Selatan satu insiden yang menggemparkan dunia telah berlaku tatkala kedudukan agregat terikat 1-1, Thierry Henry menampan bola dengan tangan bagi membolehkan William Gallas menjaringkan gol kemenangan.
Pengadil tidak membatalkan jaringan tersebut dan Perancis mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2010, yang merana ialah Ireland kerana mereka gagal dalam keadaan yang tidak sepatutnya berlaku.
Selasa lalu Perancis beraksi dalam perlawanan terakhir Kumpulan A menentang tuan rumah Afrika Selatan, selain tekanan masih belum mencatat kemenangan beberapa peristiwa di luar dugaan berlaku dalam skuad tersebut.
Akhirnya langkah skuad Les Blues itu terhenti, mereka tewas 1-2 kepada Afrika Selatan, sekali gus mengulangi peristiwa Piala Dunia 2002 apabila terpaksa pulang awal selepas aksi buruk walaupun mereka adalah penyandang juara 1998.
Bagaimanapun di sebalik kegagalan Perancis masih ada lagi pasukan yang gembira dengan keputusan tersebut iaitu media dan rakyat Ireland.
Ireland berpesta, selepas Perancis tersingkir dari Piala Dunia dengan akhbar negara itu menggambarkan ia adalah ‘satu keadilan’ yang nyata selepas insiden bola terkena tangan Henry, yang menghalang Ireland ke Afrika Selatan.
‘Keadilan yang setimpal’, lapor akhbar Examiner, selepas Afrika Selatan mencatat kemenangan 2-1 ke atas Perancis.
Akhbar Ireland melaporkan, insiden bola terkena tangan Thierry atau ‘Le Hand of Dieu, Henry tujuh bulan lalu, yang membantu Perancis mara, tidak akan lupa dari ingatan mereka yang menyaksikan perlawanan playoff di Ireland.
Akhbar Irish Times menyatakan, ‘mimpi buruk Perancis Piala Dunia diakhiri penyingkiran yang memalukan’.
Tambah akhbar tersebut, Perancis hadir ke Afrika Selatan sebagai ‘penjahat yang popular’.
“Selamat jalan’ kata akhbar Irish Independent, ‘maafkan kami kerana bermegah-megah tetapi pasukan Perancis sudah pulang”
“Ini hukum karma, ini sumpahan gipsi, Perancis menipu untuk ke Afrika Selatan dan pulang penuh penghinaan,” kata akhbar Independent.

sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...