Isnin, 19 Julai 2010

Perisik jelita dalam kisah ala James Bond

SETIAP kali muncul berita filem terbaru James Bond akan ditayangkan, dua perkara utama menjadi perhatian peminat fanatiknya. Pertama, adakah pelakon baru akan ditampilkan sebagai tonggak perisik MI6 yang tidak pernah gagal dalam menjalankan misi perisikan untuk negaranya.
Kedua, siapa bakal heroin yang mengambil tempat gadis Bond yang seringkali meninggalkan kesan dan magisnya tersendiri.
Kebiasaannya watak gadis Bond dilakonkan sama ada sebagai wanita terdesak yang perlu diselamatkan, ejen perisikan lain yang berpaling tadah mahupun wanita manipulatif yang berkepentingan.
Pernah juga watak gadis Bond melebihi seorang namun mereka hanya sekadar pelengkap atau boleh dikatakan "penyedap" kepada Bond setelah penat bergasak.
Walaupun filem terkini Bond lebih menjurus kepada aksi-aksi mencemaskan yang lebih hidup dan terampil, bukan lagi stereotaip seperti zaman Roger Moore dan Sean Connery, namun karakter sebagai gadis Bond tidak pernah berubah.
Mungkin untuk menyerlahkan peranan wanita, diletakkan watak M yang dilakonkan oleh Judi Dench sebagai boss kepada Bond.
Namun ciri-ciri wanita kepada watak James Bond yang kini dilakonkan oleh Daniel Craig kekal menonjolkan wanita cantik yang sanggup mendedahkan sebahagian tubuhnya untuk tatapan umum selain babak panas antara mereka.
Mungkin ada yang berpandangan itu sebagai sebahagian dari "ekspresi seni" seperti mana ada pelakon tempatan yang sanggup berbogel untuk filem lakonan mereka.
Hakikatnya mereka dieksploitasi sebagai simbol seks bagi melariskan jualan filem Bond yang sering dinanti oleh para peminatnya.
Walau apa pun reaksinya, baru-baru ini dunia dikejutkan dengan penghantaran pulang sepuluh ejen rahsia Rusia dari Amerika Syarikat (AS) termasuklah wanita bernama Anna Chapman yang mencetuskan sensasi awal bulan ini.
Penghantaran itu sebagai pertukaran dengan empat pengintip Barat yang ditahan oleh Moscow, setelah kedua-dua negara memeterai perjanjian pertukaran pengintip paling sensasi sejak kemuncak Perang Dingin.
Suspek pengintip dalam tahanan AS mengaku bersalah di sebuah mahkamah persekutuan New York atas tuduhan bertindak sebagai ejen rahsia bagi Moscow dan diarah supaya diusir serta-merta dari AS dan tidak dibenarkan kembali buat selama-lamanya.
Kes tersebut yang dilihat mampu merosakkan hubungan yang semakin baik antara White House dengan Kremlin mencapai kesudahan dramatik apabila ejen-ejen itu dibawa menaiki penerbangan ke Moscow, hanya beberapa jam selepas dihadapkan ke mahkamah.
Sebagai pertukaran, Rusia bersetuju untuk membebaskan empat orang yang dipenjarakan kerana didapati bersalah mengintip. Walaupun mendapat publisiti meluas, kumpulan pengintip itu dipercayai tidak beroperasi secara profesional dan tidak membawa kesan besar dalam tempoh sedekad sejak diwujudkan.
Anna Chapman atau nama sebenarnya Anna Kushchenko bukanlah menimbulkan kontroversi melalui kerja-kerja perisikannya tetapi dia mencetuskan sensasi menerusi gambar-gambar seksinya di Internet dan laman sosial facebook.
Malah dikatakan penghantaran balik Kushchenko dilakukan atas tipu muslihat perisikan Rusia yang melihat dia semakin terpesong dari matlamat asal kerana terpengaruh dengan kebebasan yang tidak ada di negara asalnya.
Perisikan
Dunia pernah melahirkan ejen-ejen perisikan wanita hebat seperti mana peranan wanita dari Britain, Melita Norwood yang bertindak menjadi ejen kepada Rusia ketika Perang Dingin atau Stephanie Julianna von Hohenlohe yang berasal dari keturunan aristokrat Jerman yang menjadi mata dan telinga kepada Adolf Hitler dalam Perang Dunia Kedua.
Namun pastinya wanita paling terkenal sebagai perisik adalah penari kelahiran Belanda yang lebih dikenali sebagai "Matahari" dan dikenali di Eropah serta menjadi wanita simpanan kepada ramai golongan elit sebelum ditangkap dan dijatuhkan hukuman bunuh kerana disyaki menjadi ejen untuk dua negara iaitu Jerman dan Perancis.
Namun lain pula halnya dengan Kushchenko yang kerja-kerja perisikannya masih belum begitu menonjol tetapi popularitinya lebih dikenali kerana keseksian dan kecantikan yang ditonjolkan dalam laman sosial facebook, Youtube dan sebagainya.
Melihat kepada adegan hidup Kushchenko adalah sangat berbeza dengan filem-filem James Bond yang sarat dengan adegan cemas, dramatik dan tembak-menembak.
Bersesuaian dengan zaman, Kushchenko menggunakan sepenuhnya kecanggihan teknologi dengan mendedahkan gambar-gambar seksinya di Internet untuk cuba menggoda dan mempengaruhi pegawai kerajaan dan ahli perniagaan AS bagi menyerahkan rahsia kerajaan yang dimiliki.
Kushchenko yang dilahirkan Volgograd, Rusia pada 23 Februari 1982 pernah berkahwin dengan seorang warga Britain, Alex Chapman pada 2001 ketika bekerja di sana. Bagaimanapun pasangan ini bercerai pada 2005 berikutan isterinya mula menjarakkan diri setelah bergaul dengan sekumpulan orang Rusia yang sangat berahsia serta berpengaruh.
Setelah bercerai Kushchenko kembali seketika ke Rusia namun kedua mereka masih tetap berhubung. Bekas suaminya itu kemudian memberitahu pihak berkuasa, Kushchenko berpindah ke AS dan bertemu dengan beberapa ahli perniagaan negara itu bagi memulakan perniagaan hartanah pada 2006.
Perniagaannya itu mula menunjukkan peningkatan mendadak pada tahun lepas malah dia mampu menggaji 50 orang pekerja. Dalam laman sosial facebook, dia menyatakan dirinya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PropertyFinder Ltd. sebuah firma hartanah yang berpusat di Manhattan.
Menurut perisikan AS, tugas Kushchenko lebih kepada mendapatkan mereka yang dirasakan berpotensi untuk dilatih sebagai perisik senyap kepada Rusia. Dia hanya perlu memerhati, membuat hubungan dan menghantar nama mereka yang sesuai untuk dilatih sebagai ejen
Namun sejak kebelakangan ini misi yang sepatutnya dilakukan oleh Kushchenko terbantut kerana dia dikatakan mula terpengaruh dengan kehidupan di AS yang lebih terbuka dan menyeronokkan berbanding di Rusia.
Kushchenko dikatakan lebih banyak menghabiskan masa di kelab-kelab malam dan berparti di kelab eksklusif kerana terpengaruh dengan gaya hidup bebas di AS.
Melihat kepada keadaan ini pihak berkuasa di Rusia menghantar pegawai mereka bertemu dengan Kushchenko untuk memberi kata dua. Namun dia dengan selamba berkata "apa yang anda boleh lakukan, mahu membuat laporan polis,".
Pepatah Melayu ada menyatakan terlajak perahu boleh ditarik terlajak cakap padah akibatnya. Melihat kepada kesombongan Kushchenko, pihak KGB mula memasang perangkap dan akhirnya pada 27 Jun lepas dia bersama sembilan yang lain ditahan atas tuduhan menjadi ejen rahsia Rusia.
Namun penangkapan Kushchenko telah menjadikan dirinya sensasi terbaru di laman sosial, Internet dan Youtube. Gambar-gambar seksinya mendapat perhatian bukan sahaja di AS malah di seluruh dunia.
Begitulah penangan teknologi yang mampu menaik dan menjatuhkan sesiapa sahaja dengan sekelip mata. Mungkin kisah Kushchenko ini tidak seperti yang digambarkan melalui watak-watak gadis Bond.
Lihat sahaja mereka yang pernah menjadi gadis Bond, kebanyakan mereka semakin berjaya di Hollywood seperti Halle Berry yang memegang watak Giacinta "Jinx" Johnson dalam Die Another Day, Kim Basinger dalam Never Say Never Again serta pelakon dari Malaysia, Michelle Yeoh dalam Tomorrow Never Dies.
Episod yang sama juga berlaku kepada Kushchenko yang semakin meniti populariti namun bukan di kaca televisyen tetapi menimbulkan sensasi di ruang maya.
Tanpa melakukan sebarang aksi lasak dan tembak menembak tetapi tetap menonjolkan keseksian dan keistimewaan yang dimiliki seorang wanita, dia membuktikan seorang ejen perisik boleh meniti populariti namun akhirnya terperangkap dalam ilusi yang diciptanya sendiri.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...