Khamis, 24 Jun 2010

Kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza turut dirasai Malaysia

Oleh SM Mohamed Idris

Boikot, menarik balik pelaburan dan sekatan perkhidmatan antara tindakan mampu paksa rejim Zionis henti pencerobohan

PEMBUNUHAN, rampasan dan penculikan penumpang kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza yang turut disertai oleh sukarelawan Malaysia, menjadi satu peringatan kepada semua rakyat Malaysia bahawa Israel melakukannya dengan bebas daripada hukuman, mengingkari undang-undang antarabangsa dan menghina pendapat awam dunia.
Semua kapal itu cuba untuk menghantar bantuan ke Gaza yang dikepung oleh Israel sejak 2006. Kepungan yang bertentangan dengan undang-undang ini menafikan penduduk Palestin kemudahan asas bagi keperluan harian mereka yang secara tidak langsung menjadikan mereka hidup dalam kebuluran.

Makanan, ubatan, air, simen, malah pensel dan sabun tidak dibenarkan masuk ke Gaza oleh pihak berkuasa Israel. Hakikatnya Israel sudah berjaya dalam memusnahkan ekonomi Palestin, menjadikan 80 peratus daripada penduduknya bergantung kepada bantuan makanan dan 90 peratus hidup dalam kemiskinan. Lebih separuh daripada isi rumah makan hanya sekali sehari, lebih 60 peratus kanak-kanak menghidap anemia dan kekurangan zat makanan, meracuni tanah dan airnya serta menyebabkan beribu-ribu penduduk kehilangan tempat tinggal sejak serangan tentera pada 2008 hingga 2009. Penduduk Palestin terperangkap di Gaza dan beratus-ratus orang lagi mati kerana mereka tidak dibenarkan keluar untuk mendapatkan rawatan perubatan yang dapat menyelamatkan nyawa.

Kita jangan lupa peranan Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) dalam tragedi ini apabila mereka mengenakan sekatan ekonomi yang menyokong kepungan Israel untuk menghukum penduduk Gaza kerana memilih Hamas pada Januari 2006 pada pilihan raya yang bebas dan adil.

Kepungan yang tidak berperikemanusiaan ini diperkukuhkan lagi apabila AS mendalangi rampasan kuasa yang gagal terhadap kerajaan yang diketuai Hamas di Gaza pada 2007. Dengan kerjasama rapat Mesir, Israel berjaya menukarkan Gaza kepada penjara terbuka untuk 1.5 juta penghuninya. Mesir kini menguatkan lagi penjara itu dengan menutup terowong bawah tanah yang digunakan untuk membawa makanan dan kemudahan lain ke Gaza.

Kita perlu jelas bahawa masalah Palestin bukanlah hanya krisis kemanusiaan. Isu utama ialah kependudukan tentera Israel secara haram dan rampasan ke atas penduduk Palestin. Kini hampir empat juta rakyat Palestin hidup di bawah kependudukan yang paling kejam dan lama dalam sejarah moden.

Di bawah kependudukan ini, rakyat Palestin mengalami keganasan, pembunuhan, dan kekejaman di tangan tentera Israel pada setiap hari. Lebih 40 tahun Israel mengepung seluruh penduduk di sebalik halangan dan pusat pemeriksaan, merampas tanah dan air mereka, memusnahkan rumah, perniagaan dan tanaman mereka, memindahkan penduduk, membunuh orang awam dengan sewenang-wenangnya melalui serangan bersenjata untuk membunuh mereka yang disyaki militan, menjalankan penculikan, membunuh, menyeksa dan menghukum secara kolektif.

Pembunuhan dan jenazah golongan muda dan bayi yang terbunuh oleh serangan bom dan peluru senjata Israel menjadi satu pemandangan biasa setiap hari.

Kanak-kanak dibunuh di pusat pemeriksaan, di jalan raya, dalam perjalanan ke sekolah dan di rumah mereka. Perangkaan ini kurang menarik berbanding pengeboman bunuh diri. Itulah ketidakadilan, penghinaan, penderitaan dan keganasan yang terpaksa dihadapi oleh rakyat Palestin di tangan tentera Israel.

Malangnya kita tidak dapat membaca kekejaman dan pencabulan hak asasi manusia ini dalam media Barat kerana laporan mereka yang berat sebelah.

Israel terus mengembangkan penempatan haram di wilayah yang diduduki yang melanggar undang-undang antarabangsa. Ia membina tembok pemisah di dalam tanah Palestin yang jelas melanggar undang-undang dan sesuatu yang tidak bermoral menurut Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Keganasan sistematik terhadap penduduk dan tanah mereka jelas satu strategi untuk menafikan rakyat Palestin terhadap tanah mereka dan menghapuskan budaya, geografi, identiti, masyarakat dan sejarah kewujudan mereka.

Pencerobohan Israel selama tiga minggu ke atas Gaza pada 27 Disember 2008 hingga 20 Januari 2009 membunuh lebih 1,400 penduduk Palestin, yang mana lebih 80 peratus daripadanya orang awam. Kira-kira 6,400 rumah musnah dan kira-kira 75 peratus bangunan musnah sehingga hari ini akibat kepungan yang berterusan.

Sepanjang pembunuhan ini tiada satu pun kuasa Barat yang mengutuk kekejaman itu. Presiden AS, Barack Obama yang baru dilantik tidak dapat melakukan apa-apa kerana ia adalah rencana bekas Presiden George W Bush.

Kemusnahan ke atas Gaza dicapai dengan penggunaan teknologi ketenteraan AS iaitu pesawat F-16, helikopter Apache, fosforus putih, depleted uranium, bom berangkai dan senjata baru seperti ‘dense inert material explosives’ (DIME) yang menyebabkan kecederaan yang tidak pernah dirawat oleh doktor sebelum ini.
Senjata ini disediakan AS yang kebanyakannya sebagai geran ketenteraan. Pada hakikatnya Gaza digunakan sebagai makmal untuk menguji keberkesanan pembunuhan dengan senjata baru ini.

Pada September 2009, Misi Mencari Fakta diketuai oleh Hakim Richard Goldstone mendapati beberapa bukti menunjukkan pencabulan serius oleh Israel terhadap hak asasi manusia antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan di Gaza dan Israel sudah melakukan jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan.

AS mengutuk Laporan Goldstone dan menganggapnya ‘cacat’ dan ‘tidak seimbang’. Sekutu Eropah juga gagal untuk mengesahkannya. Pentadbiran Obama juga menyekat sebarang pertimbangan Majlis Keselamatan berhubung laporan itu bagi memastikan Israel dilindungi daripada siasatan terhadap jenayah perang.

Dalam episod terbaru, yang mana Israel membunuh sekurang-kurangnya 10 orang awam, sokongan AS yang berterusan kepada Israel yang jelas mencabuli undang-undang antarabangsa sekali lagi dapat dilihat. Majlis Keselamatan PBB gagal untuk mengemukakan resolusi terhadap Israel, malah AS hanya mengeluarkan ‘kenyataan presiden’ yang mengkritik dengan lemah seperti yang dianggap oleh Menteri Luar Turki sebagai ‘perompak dan lanun’ dan ‘pembunuhan yang dilakukan oleh sebuah negara’.

Amat jelas, sikap double-standard yang diamalkan oleh kuasa Barat menunjukkan kepada kita bahawa undang-undang antarabangsa tidak tertakluk kepada mereka dan rakan-rakan. Oleh sebab itu, Israel terus menikmati perlindungan AS dan sekutu Eropah dan tidak tertakluk kepada sekatan atau resolusi Majlis Keselamatan.

Bagaimanapun, ada berita baik untuk semua. Warga dunia kini dapat melihat dasar hipokrit dan pengecut kerajaan mereka terhadap Palestin dan kegagalan PBB dalam mendukung undang-undang antarabangsa berhubung Israel.

Tidak lagi sekadar sokongan kemanusiaan, kini pergerakan perpaduan global semakin berkembang untuk memulakan kempen boikot terhadap Israel. Rakyat biasa dan pengguna menggesa supaya tindakan diambil terhadap Israel seperti dilakukan terhadap rejim aparteid Afrika Selatan dengan ‘boikot, menarik pelaburan dan sekatan’ (BDS).

BDS yang dimulakan oleh pertubuhan awam Palestin pada 2005 untuk mengakhiri sikap Israel yang bebas daripada hukuman dan mendukung hak asasi manusia sejagat kini mendapat sokongan komuniti dunia membabitkan kesatuan sekerja, ahli akademik, pihak gereja, individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sudah banyak kejayaan terhadap pemulauan pengguna seperti penolakan produk makanan di Eropah. Di Britain, Sainsbury dan Tesco menerima tekanan untuk mengenal pasti produk ‘petempatan’ yang mana penjualannya melanggar klausa hak asasi manusia dalam perjanjian perdagangan EU dengan Israel.

Kempen terhadap produk kecantikan Ahava buatan petempatan haram Tebing Barat memaksa syarikat itu menggugurkan duta selebriti Kristin Davis, bintang dalam Sex in the City. Produk Ahava kini diboikot di Eropah.

Kempen BDS lain ialah menyasarkan Caterpillar yang mana jentera beratnya digunakan tentera Israel untuk memusnahkan rumah rakyat Palestin.

Di Ireland, bantahan terhadap Veolia (dikenali di UK kerana menjalankan kereta api Connex dan kontrak sanitasi) kepada Dewan Bandar Raya Dublin meminta supaya majlis bandar raya itu tidak memperbaharui atau menandatangani sebarang kontrak dengan syarikat itu. Di Australia, Veolia kehilangan bidaannya untuk loji penyahmasinan bernilai berbilion dolar. Kontrak Veolia untuk mengendalikan sistem metro di Stockholm juga tidak diperbaharui. Veolia adalah syarikat Perancis yang merancang untuk membina sistem kereta api di Baitulmaqdis dan membina secara haram kawasan pembuangan sampah Tovlan di Tebing Barat.

Menarik pelaburan daripada syarikat yang melakukan perniagaan di Israel dan syarikat Israel sudah pun berlaku. Gereja Presbyterian AS mengundi untuk ‘proses memilih menarik balik pelaburan dalam perbadanan multinasional yang menjalankan perniagaan dengan Israel’. Pelajar Berkeley, Universiti California meluluskan usul dalam senat universiti menggesa ditarik pelaburan daripada syarikat yang membekalkan Israel dengan bahan yang digunakan oleh tenteranya.

Norway mengeluarkan syarikat Elbit Systems Ltd dari Israel yang membina tembok pemisah di wilayah yang diduduki daripada portfolio dana pencen global negara itu. Elbit Systems membina sistem elektronik bagi pengawasan, perisikan dan komunikasi. Gereja England juga memutuskan untuk menarik pelaburan £2.2 juta daripada Caterpillar. Kempen BDS memberikan momentum sejak 22 hari Israel melakukan pembunuhan di Gaza.

Seminggu selepas pembunuhan Israel di Gaza, South African Transport dan Allied Workers Union enggan untuk memunggah muatan dari kapal Israel di Durban.

The Scottish Trade Union Congress turut mengikut langkah South African Trade Union Federation COSATU dan Irish Congress of Trade Union untuk melaksanakan BDS terhadap Israel. The British Trade Union Congress mewakili lebih 6.5 juta pekerja juga turut melakukan boikot.

Pergerakan BDS turut menggesa artis supaya jangan ke Israel. Santana membatalkan jelajahnya dan U2 juga turut memutuskan sama. Kumpulan rock AS, Pixies turut membatalkan konsert di Tel Aviv baru-baru ini akibat desakan daripada hasil kempen di dalam Israel.

Jenayah perang Israel yang didedahkan di Gaza bermakna pemimpin politik dan tentera Israel kini terpaksa memeriksa dengan peguam dan ejen pelancongan mereka sebelum membuat perjalanan ke negara yang mempunyai undang-undang ‘universal jurisdiction’. Pada Disember 2009, majistret London mengeluarkan waran tangkap terhadap Tzipi Livni, bekas Menteri Luar Israel kerana jenayah perang di Gaza. Pada September, ‘imuniti diplomatik’ menyelamatkan Ehud Barak, Menteri Pertahanan Israel ketika pencerobohan Gaza daripada ditahan oleh Scotland Yard.

Kempen terhadap mereka yang bertanggungjawab terhadap jenayah perang di Gaza untuk dibawa ke muka pengadilan adalah bahagian penting daripada kempen keadilan untuk Palestin.

Kini Malaysia menyaksikan dan mengalami sendiri keganasan Israel, apa yang diperlukan ialah menguatkan perpaduan kita dengan rakyat Palestin dan menyokong kempen BDS. Dengan turut menyertai penentangan tanpa keganasan global, kita turut menyuarakan kekejaman kuasa Barat dalam dasar penghapusan etnik Israel di Palestin. BDS hanya satu-satunya harapan untuk memaksa Israel mengakhiri pendudukan mereka.

Penulis ialah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang

sumber: Berita Harian

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...