Ahad, 13 Jun 2010

Wanita, Piala Dunia dan iklan


ISTERI dan teman wanita pemain pasukan Perancis turut sama berada di stadium memberikan sokongan kepada pasangan masing-masing.


''JIKA England menang Piala Dunia, mereka akan jadi negara pertama memenanginya dengan pengurus asing, pertama memenangi Piala Dunia di Afrika, negara Eropah pertama berbuat demikian di luar benua mereka sendiri!" Seandainya anda menyangka itu petikan dalam majalah bola sepak, anda tidak salah tetapi kurang tepat. Ia saya petik daripada seorang rakan. Beliau tidak perlu tahu menyepak bola pun untuk menyatakan data tersebut. Beliau secara ringkasnya, adalah seorang wanita.
Dalam kebanyakan kes, unsur cauvinis lelaki akan terserlah dalam dunia bola sepak. Seandainya ada kalangan rakan wanita yang berminat hendak turut serta dalam perbualan bola sepak, mereka dianggap hanya meminati personaliti tertentu. Wanita juga dirumuskan tidak tahu mengenai bola sepak tulen seperti taktik serangan, penalti yang tidak menjadi atau terjahan kad merah yang sekadar kad kuning. Maka wanita selalu tidak dianggap serius dalam membicarakan bola sepak.
Dan bila sebut personaliti tertentu, ia merujuk kepada selebriti bola sepak terkenal seperti David Beckham dan paling terkini, Christiano Ronaldo dan Fernando Torres. Tatkala peminat lelaki memuja mereka ini atas ketajaman sepakan yang menghasilkan gol, peminat wanita diperlekeh sebagai sekadar memuja selebriti berkenaan semata-mata. Mungkin disebabkan penampilan kacak, bergaya atau bentuk fizikal badan yang menggoda perasaan. Kalaulah peminat wanita itu tahu betapa masamnya bau pemain berkenaan selepas tamat permainan, mungkin ketaksuban tidak melimpah-ruah.
Namun, sejak kebelakangan ini, ramai wanita mampu membuktikan mereka juga memiliki pengetahuan yang sama tahap dengan peminat lelaki.
Cuba tanya siapa nama penjaga gol pasukan Uruguay atau mengapa Sepanyol jadi pasukan pilihan utama untuk memenangi Piala Dunia 2010 atau kenapa Theo Walcott tidak dipilih menyertai skuad England, rakan wanita anda pasti boleh menjawabnya.
Dalam erti kata lain, peminat wanita juga mengikuti perkembangan dunia bola sepak, mungkin kerap menonton perlawanan Liga Perdana Inggeris dan ada yang mengisytiharkan kesetiaan terhadap kelab-kelab tertentu. Malah ada yang berbulan lebih awal membeli dan menayangkan baju negara yang disokongnya di pejabat!
Trend
Juga bukan satu pemandangan yang janggal melihat wanita menjadi sebahagian penonton perlawanan bola sepak di restoran atau kelab yang menayangkan perlawanan pada skrin-skrin besar yang kini menjadi trend.
Cuba lihat perutusan yang tersiar dalam facebook. Anda tentu setuju bahawa bilangan yang bercerita mengenai pasukan pilihan mereka dalam Piala Dunia ini sama ramai dengan rakan-rakan wanita anda.
Cerita seorang rakan lama memang mencuit hati. Beliau melahirkan anak beberapa jam selepas perlawanan akhir antara Perancis dan Brazil pada 1998. Semasa di dewan bedah, beliau menanya doktor, pasukan mana yang menang? Doktor jawab Perancis. Hampa. Dia menyokong Brazil ketika itu. ''Tambah sakit hati, kawan-kawan yang datang melawat cadangkan anak bongsu saya dinamakan Zidane, ada ke patut?," tulisnya dalam facebook. Kali ini, khabarnya beliau menyokong Fernando Torres dan rakan-rakan dari Sepanyol.
Semakin meningkatnya minat kaum wanita terhadap sukan nombor satu dunia ini, mendorong pemusatan fokus pengiklan diperluaskan kepada mereka juga dan tidak semata-mata kepada kaum lelaki. Kalau tidak, mana ada peminat lelaki akan peduli pada iklan yang menggunakan beruang biru sebagai watak utamanya. Atau wanita menjadi pemain gantian dalam permainan futsal yang rupa-rupanya iklan syampu.
Dalam konteks iklan, sama seperti temasya Sukan Olimpik, pertandingan akhir Piala Dunia yang bermula Jumaat lalu, adalah lubuk emas bagi para pengiklan. Bukan sahaja pengeluar barangan sukan berasak-asak mengeluarkan barangan sempena Piala Dunia tetapi juga meluas kepada pengeluar televisyen dan stesen televisyen satelit berbayar yang sibuk menjual pakej baru Definisi Tinggi (HD) walaupun yang ada HD tidak sampai 10 saluran. Tidak mengapa. Demi hendak menonton Piala Dunia dari pelbagai sudut kamera di seluruh stadium, daftar sajalah.
Pada Piala Dunia 2006 di Jerman, pemain negara tersebut iaitu Miroslav Klose memenangi Anugerah Kasut Emas setelah muncul sebagai penjaring terbanyak dengan lima gol.
Kali ini, sekurang-kurangnya empat superstar iaitu Fernando Torres, Lionel Messi, Cristiano Ronaldo dan Wayne Rooney akan cuba memenangi 'kasut' paling mahal di dunia itu.
Tetapi hakikatnya, kasut sebenar yang paling mahal adalah but yang mereka pakai semasa bertarung di atas padang.
Mereka ditaja oleh dua syarikat pengeluar but utama dunia iaitu Nike dari Amerika Syarikat dan adidas dari Jerman. Mereka berempat mewakili pasukan yang dianggap 'pasukan pilihan' yang menjadi taruhan kedua-dua pengeluar but berkenaan. Torres, Ronaldo dan Rooney ditaja oleh Nike manakala Messi oleh adidas. Bayangkan jika di perlawanan akhir Sepanyol bertemu England, Nike sebenarnya yang memenangi Piala Dunia.
Dengan pasaran global bagi kasut sukan dianggarkan bernilai AS$12 bilion (RM39.6 bilion), Nike dan adidas bakal mempamerkan produk-produk mereka pada Piala Dunia ini yang dianggar bakal ditonton sekurang-kurangnya oleh 20 bilion penonton selama sebulan.
Menurut satu laporan, adidas sebagai satu daripada penaja rasmi Piala Dunia FIFA ini, mengunjurkan jualan sehingga AS$1.8 bilion (RM5.94 bilion) tahun ini.
Memiliki Messi sebagai 'duta' adalah satu kelebihan adidas. Dinobatkan sebagai pemain terbaik FIFA tahun ini, beliau telah membantu Barcelona mencapai kejayaan luar biasa dan akan memakai but terbaru adidas iaitu F50i, yang dijual pada harga AS$180 (RM594 atau mungkin lebih mahal bergantung kepada cukai negara itu).
Tertumpu
Di pihak Nike pula, ia memiliki Ronaldo, kapten pasukan Portugal dan Rooney, penyerang harapan England. Teras kepada kempen pengiklanan Nike bagaimanapun, tertumpu kepada iklan televisyen berjudul Write The Future, arahan Alenjandro Gonzalez Inarritu, yang pernah mengarah filem terkenal seperti Babel dan 21 Gramms.
Ditayangkan di 32 negara, iklan selama tiga minit itu turut memaparkan watak animasi Homer Simpson dan telah menarik lebih lima juta 'penonton' dalam saluran YouTube dalam tempoh empat hari saja, menurut Nike.
Nike mencatatkan jualan produk bola sepak globalnya kira-kira AS$11 bilion (RM33 bilion) tahun lalu. Ia membantu Nike menjana perolehan sebanyak AS$18 bilion (RM59.4 bilion) pada 2009, kira-kira AS$5 bilion (RM16.5 bilion) lebih lagi berbanding adidas.
Dari segi baju jersi pula, Nike akan membekalkan jersi untuk pasukan Brazil, Belanda dan Portugal manakala England setia dengan syarikat Britain iaitu Umbro dan adidas pula menaja Jerman, Sepanyol, Argentina, Perancis dan Afrika Selatan serta Puma untuk Itali.
Dari aspek ini, mereka berdepan dengan masalah baju jersi cetak rompak. Di Malaysia, baju seumpamanya mudah diperolehi di pasar-pasar malam pada harga RM60 sepasang. Hendak murah lagi, anda boleh melawat sempadan utara Semenanjung yang menawarkan harga sekitar RM28 hingga RM35 sahaja. Tatkala sudah ada kesedaran mengenai masalah cetak rompak dalam industri elektronik, gejala serupa dalam industri fabrik nampaknya belum ada apa-apa tindakan.
Hebatnya temasya Piala Dunia ini, FIFA sebagai badan pentadbir utama dunia bola sepak di planet Bumi ini dijangka meraih pulangan sebanyak AS$3.2 bilion (RM10.56 bilion), terutamanya menerusi hak penyiaran televisyen dan urus niaga penajaan.
Piala Dunia 2010 ini akan menetapkan penanda aras bagi acara sukan global ke banyak paras baru, lapor Sports Market Insight yang membuat unjuran. ''Bukan sahaja ia akan menjadi acara yang benar-benar bertaraf global diadakan di Afrika, ia juga dijangka memecahkan banyak rekod sebelum ini dari segi perolehan hak penyiaran, liputan media, kualiti penyiaran dan hasil penajaan''.
Anda bagaimana? Sudah memiliki jersi pasukan anda? Saya memiliki baju dengan nama di belakang bahu: Fernando Torres dan Steven Gerrard. Ketahuilah bahawa sokongan saya ini tiada kena mengena dengan isu ketampanan mereka atau kasut yang mereka pakai.

sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...