Ahad, 13 Jun 2010

Subsidi masih diperlukan golongan sasar

2010/06/13

Makmal rasionalisasi elok kajian terperinci dasar dilaksana mampu beri kesejahteraan rakyat

KERAJAAN nampaknya cenderung secara bersungguh-sungguh sama ada untuk menarik atau menstruktur semula kemudahan subsidi yang sudah dilaksanakan sejak puluhan tahun sebelum ini. Banyak justifikasi yang diberi bagi menghalalkan tindakan berkenaan. Malah, sudah diwujudkan satu makmal khusus bagi menilai kemudahan itu yang dikenali sebagai Makmal Rasionalisasi Subsidi.

Tujuan makmal berkenaan diwujudkan adalah bagi mengkaji mekanisme terbaik mengenai pelaksanaan penyaluran subsidi, merangkumi bahan petroleum, makanan dan infrastruktur lain. Hasil kajian itu akan digunakan oleh kerajaan dalam menentukan dasar pemberian subsidi negara pada masa depan.

Makmal berkenaan diletak di bawah Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) di Jabatan Perdana Menteri yang diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.

Bagaimanapun, perlu diingatkan, membuat analisis, kita perlu membezakan antara subsidi, hadiah, bantuan dan ihsan seperti ia diagihkan kerana persekitaran ekonomi, sosio dan politik negara ini adalah sama sekali berbeza dengan negara maju. Malah tradisi ini sudah menjadi tunjang kepada pentadbiran Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama.

Pentadbiran era 1Malaysia juga sudah memulakan slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Persoalan pokok di sini adakah usaha menstruktur, mengurang atau menarik subsidi itu benar-benar menepati slogan berkenaan. Itu adalah perspektif politik sebelum kupasan kepada fasa selanjutnya mengenai impak ekonomi dan kemampuan rakyat menyerap akibat daripada tindakan berkenaan.

Kita juga jangan lupa di negara maju subsidi masih dipraktikkan. Malah lebih buruk lagi kerana subsidi di sana adalah pada perkara yang tidak produktif dan hanya berbentuk kebajikan. Ini sama sekali berbeza dengan apa dipraktikkan Malaysia yang nampaknya sudah jauh ke depan daripada mereka.

Di negara kita hampir semua jenis subsidi adalah terhadap perkara yang produktif. Sebagai contoh subsidi dalam bidang pelajaran adalah bagi meningkatkan kualiti pendidikan, tahap kemahiran rakyat supaya mampu bersaing pada peringkat lokal dan global tanpa mengira latar belakang keluarga, keturunan dan agama. Ia memberikan peluang bersaing secara sama rata kepada setiap warga negaranya.
Subsidi dalam sektor agro bagi meningkatkan produktiviti supaya negara dapat bersaing bagi mengekalkan bekalan serta kualiti komoditinya dan mengurangkan kebergantungan keperluan asas makanan agar tidak terlalu mengharapkan kepada bahan diimport.

Subsidi lain dalam sektor pembuatan, bahan pengeluaran dan petroleum adalah bertujuan mengawal harga barangan keperluan supaya mampu dibeli rakyat dan tidak meningkatkan kadar inflasi supaya mampu memberikan kesejahteraan kepada rakyat seluruhnya.

Walaupun jumlah subsidi negara kini sudah meningkat kepada 15.3 peratus lebih tinggi daripada jumlah perbelanjaan kerajaan berbanding pada tahun sebelumnya, jumlah itu mampu membantu golongan sasarannya, malah pada masa sama berupaya membantu menjana ekonomi negara.

Masalah utama dihadapi ketika ini ialah proses pengagihan subsidi itu sendiri tidak menggunakan mekanisme yang berstruktur sehingga memungkinkan berlaku kebocoran atau ketidakcekapan. Ia dibuktikan dengan jelas oleh media yang sering melaporkan pelbagai tangkapan berlaku sama ada terhadap penyeludup, penyalahgunaan permit, malah spekulator yang menyimpan stok untuk tujuan dijual sama ada dengan harga yang lebih tinggi atau menunggu harga dinaikkan.

Perbuatan berkenaan amat tidak bermoral sehingga inisiatif kerajaan dalam membantu warganya tidak mencapai golongan sasaran. Oleh kerana itu, banyak pemimpin negara termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi turut menyarankan sama ada subsidi ini ditarik, dikurangkan atau distruktur semula.

Malah, ada yang memberikan idea yang lebih ekstrem supaya semua subsidi berkenaan dimansuhkan terus dan kononnya kerajaan dapat menjimatkan berbilion wang untuk digunakan bagi aktiviti lain yang mendatangkan lebih manfaat kepada rakyat.

Idea berkenaan turut diberi perhatian serius oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang meneliti keperluan subsidi petroleum. Bagaimanapun, pada 4 Mac lalu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bercadang membatalkan pelaksanaan penstrukturan subsidi petroleum selepas menerima pandangan dan maklum balas daripada pelbagai pihak.

Pelbagai pendapat diberikan ketika ini sama ada mempunyai justifikasi tidak tepat dan tidak kurang pula yang hanya menggunakan emosi dan teori. Tanpa menggunakan sumber yang mempunyai kredibiliti serta hanya bersandarkan teori dangkal serta sokongan statistik yang dipungut secara rambang sudah tentu keputusan besar yang bakal diambil oleh kerajaan akan mengundang risiko tinggi, malah mungkin bakal mengundang malapetaka jika tidak diuruskan dengan berhemah.

Sumber analisis yang dijadikan kajian untuk makmal yang ditubuhkan itu juga sepatutnya perlu melalui satu proses yang teliti kerana kalau dapatan yang dirumus tidak memberikan keputusan tepat ia akan menghasilkan tindakan yang tidak tepat juga.

Kajian berbentuk ilmiah menggunakan angka tunjuk yang silap juga sudah tentu memberikan gambaran yang khilaf yang mana akhirnya niat baik kerajaan akan dimanipulasikan pihak tidak bertanggungjawab. Tentu kita tidak mahu melihat impak yang dahsyat berlaku dalam tempoh terdekat ini.

Paling malang, pengumpulan maklumat dan tindak balas diperoleh daripada kumpulan sasar yang salah dan penyertaan orang salah dalam kumpulan berkenaan juga melahirkan keputusan yang salah. Oleh itu, kita mendapat kesimpulan yang pramatang hingga ke tahap menyamakan ekonomi negara akan menjadi seperti Greece yang akan bankrap dalam tempoh sembilan tahun dari sekarang sekiranya dasar subsidi yang ada diteruskan.

Kumpulan pengguna, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang produktif, pemikir politik yang polemik nampaknya tidak diberikan wadah dalam menyatakan pendapat mereka. Malah budaya intelektual seakan-akan hanya bertumpu kepada sekumpulan ahli fikir dan teknokrat tukang angguk yang rapat hubungan dengan ahli politik dan pentadbir semata-mata.

Ini bukan perkembangan baik dalam mencanai wacana yang begitu besar impaknya, malah menjadi penentu kesinambungan kerajaan yang ada sekarang. Percayalah, legasi lebih 50 tahun ini mungkin sudah tiba pada penghujungnya meskipun banyak retorik dijual sebagai bumbu penyedap mata dan halwa telinga.

Sekiranya kepercayaan rakyat terhadap kemampuan pemimpin dan parti pemerintah menjaga kebajikan mereka terhakis sedikit saja lagi dengan permainan menarik subsidi yang terlebih jual itu, maka tentu kekhuatiran sejarawan dan budayawan negara ini bakal menjadi kenyataan.

Apakah nilai beberapa bilion itu terlalu besar untuk dikongsikan dengan seluruh rakyat jelata tanpa mengira kasta, bangsa dan agama jika dibandingkan dengan pelaksanaan projek mega bermotifkan ekonomi yang tentunya menelan belanja berkali ganda dengan angka berkenaan?

Pemikir ekonomi tidak perlu terlalu taksub kepada angka tunjuk konvensional semata-mata. Ini kerana pendapatan perkapita sebenarnya bukan sesuatu yang boleh dibandingkan dengan kuasa beli pengguna yang semakin merudum.

Penulis adalah Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia

sumber: Berita Harian 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...