Khamis, 17 Jun 2010

Kyrgysztan mangsa pertembungan AS-Rusia


RUSIA ketika ini seboleh mungkin cuba untuk mengelak daripada dikaitkan dengan rusuhan di Kyrgyzstan yang sudah pun mengorbankan lebih 100 nyawa dan mencederakan 1,000 orang yang lain. Kerana terlalu bimbang dengan tanggapan campur tangan mereka, Rusia hanya menghantar pasukan perubatan ke wilayah pergunungan di Asia Tengah tersebut.
Kyrgyzstan ketika ini sedang bermandi darah sejak meletusnya kekacauan terbaru seminggu lalu. Malah, pemimpim interim Kyrgyzstan, Roza Otunbaye-va juga berkali-kali memohon bantuan ketenteraan Rusia selepas tidak lagi mampu mengawal keadaan.
Rusuhan sudah pun merebak ke bandar kedua terbesar di negara itu, Osh yang diletakkan dalam keadaan darurat. Rusia perlu berhati-hati dalam menangani konflik di Kyrgyzstan kali ini kerana tidak mahu dilihat mengatur kerajaan Kyrgyzstan dari Moscow.
Apatah lagi penggulingan bekas Presiden negara itu, Kurmambek Bakiyez pada April lalu juga sangat jelas memperlihatkan keterlibatan Rusia. Jika keadaan itu dibiarkan berterusan, ia akan membuka peluang kepada Amerika Syarikat (AS) untuk turut campur tangan ketika negara itu sudah pun mempunyai pengaruh yang besar di Kyrgyzstan.
Sedikit gambaran itu menjelaskan realiti sebenar di Kyrgyzstan yang mana rusuhan yang sedang membunuh antara etnik Uzbek dan Kyrgyz ketika ini bukanlah untuk negara mereka. Sebaliknya untuk kepentingan kuasa-kuasa besar terutamanya AS dan Rusia.
Kerana itu tidak keterlaluan untuk disimpulkan bahawa kebimbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) terhadap rusuhan etnik di Kyrgyzstan sebenarnya adalah keprihatinan yang sia-sia.
Rakyat negara itu akan terus didedahkan dengan sentimen yang hanya akan menguntungkan sama ada AS atau Rusia. Selain Kyrgyzstan, beberapa negara Asia Tengah sebelum ini juga menerima nasib yang serupa.
Revolusi Rose di Georgia pada November 2003 dan Revolusi Oren di Ukraine pada Disember 2004, adalah revolusi yang cuba menggulingkan pemerintahan pro Rusia oleh ejen-ejen Barat. Kyrgyzstan mula terjebak dalam muslihat ini menerusi Revolusi Tulip pada Mac 2005 yang menggulingkan Presiden, Askar Akayev.
Revolusi itu berlarutan sehingga kini kerana AS dan Rusia saling bersaing mengimbangi pengaruh mereka di negara-negara ini. Situasi menjadi lebih berat bagi Kyrgyzstan kerana negara ini merupakan transit utama kepada AS dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dalam usaha menakluk Afghanistan.
Ironinya, negara itu berada di wilayah kekuasaan Rusia. Lebih malang, Kyrgyzstan yang sangat dekat dengan perbatasan Cina turut berada dalam perhatian kuasa baru dunia itu yang tidak senang dengan sejumlah besar anggota tentera asing terutamanya AS.
Memang dari sudut sejarahnya, pertembungan blok Timur dan Barat sudah tidak lagi wujud selepas runtuhnya Kesatuan Soviet pada 1990. Namun itu tidak bermakna dua blok kuasa besar ini iaitu AS dan Rusia memperlahankan perlumbaan kekuasaan mereka terutamanya dari sudut ketenteraan dan persenjataan.
AS sangat menyedari untuk meruntuhkan pengaruh Rusia yang lebih 70 tahun berkuasa di blok Timur bukanlah sesuatu yang mudah. Meskipun negara-negara Asia Tengah dikatakan bebas daripada pengaruh Rusia, namun ia bukanlah sepenuhnya.
Negara-negara seperti Uzbekistan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Kazakhstan dan Turkmenistan masih memperlihatkan sokongan kepada Rusia. Acap kali, negara-negara ini dilaporkan menjalani latihan perang dan meningkatkan perjanjian ketenteraan dari pelbagai sudut.
AS tidak boleh melihat perkembangan itu dengan hanya berdiam diri dan perlu melakukan sesuatu untuk mengimbangi pengaruh Rusia di wilayah-wilayah berkenaan. Selepas menunggu lebih 10 tahun, AS berpeluang memasuki blok Timur dengan menjadikan serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC), New York pada 11 September 2001 sebagai alasan.
Sebuah wilayah kecil di utara Kyrgyzstan, Manas dijadikan pangkalan utama AS dan NATO untuk memburu kumpulan Taliban yang bersembunyi di Afghanistan. Saban tahun, pangkalan ini menjadi transit kepada lebih 420,000 orang tentera AS, NATO dan sekutu mereka ke Afghanistan.
Manas juga menjadi laluan keluar masuk kepada lebih 5,000 tan kargo muatan peralatan perang. Natijahnya, Afghanistan akhirnya jatuh ke tangan AS dan ditadbir oleh kerajaan boneka Washington sehingga kini.
Selain Kyrgyzstan, AS juga berjaya mendirikan pangkalan tentera kecil lain di negara bekas Kesatuan Soviet seperti Tajikistan dan Uzbekistan bagi kepentingan perang di Asia Selatan. Secara tidak langsung AS kini sudah mula bertapak dan berpengaruh di kawasan yang menjadi kubu kuat kepada Rusia.
Rusia pula tidak mempunyai halangan daripada pembukaan pangkalan tentera itu kerana ia memberi kelebihan dari sudut membantu negara itu mengekang ancaman pejuang Islam. Sejak beberapa dekad, Rusia berdepan dengan ancaman kumpulan pemisah Islam yang dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan kumpulan serupa yang bertapak di Afghanistan.
Namun itu bukanlah bermaksud Rusia tidak memantau perkembangan AS di pangkalan tentera Manas. Sebarang keputusan membabitkan pangkalan itu banyak direncanakan oleh Moscow. Ini sedikit sebanyak menjawab persoalan mengapa rampasan kuasa yang menggulingkan Bakiyez direstui oleh Rusia.
Sedangkan Bakiyez sebelum ini adalah pemimpin yang dipercayai oleh Rusia malah merupakan salah seorang daripada ejen risikan yang dilatih oleh Rusia sendiri. Bakiyez dikatakan menjalin hubungan yang terlalu rapat dengan AS sehingga melangkaui perhatian Rusia sendiri.
Beberapa persetujuan termasuk dalam bentuk ketenteraan dicapai dengan AS tanpa pengetahuan Rusia memaksa rampasan kuasa diatur dengan menjadikan perbezaan etnik di kalangan penduduk Kyrgyzstan sebagai alasan.
AS ternyata tidak gembira dengan tindakan Rusia itu namun negara berkenaan tidak mempunyai banyak pilihan jika mahu memastikan pangkalan Manas dikekalkan. Begitu pun, AS tetap mencari jalan bagi memastikan pemimpin boneka mereka menjadi pemimpin.
Salah satunya ialah dengan menyalurkan wang kepada kumpulan-kumpulan penentang kerajaan. Sepanjang setahun lalu sahaja, AS menerusi beberapa badan berbeza menyalurkan sejumlah RM37 juta kepada Kyrgyzstan kononnya untuk membantu proses demokrasi. Bakiyez sendiri adalah contoh mudah bagaimana AS menggunakan wang untuk mempertahankan kepentingan mereka di Kyrgyzstan.
Bakiyez dikatakan bersetuju mengekalkan pangkalan Manas selepas AS sanggup menaikkan nilai sewa daripada RM54.4 juta kepada RM201.6 juta. Sedangkan sebelumnya, Bakiyez adalah individu yang paling lantang untuk menutup pangkalan tersebut.
Memang benar perbezaan etnik sedikit sebanyak memberi cabaran kepada Kyrgyzstan. Dengan bilangan etnik Uzbek dan dan Kyrgyz yang hampir seimbang, serta kehadiran beberapa suku kaum lainnya, sedikit perbezaan dalam dasar-dasar kerajaan boleh mencetuskan ketidakstabilan dalam negara.
Namun, itu tidak bermakna etnik Uzbek dan Kyrgyz tidak boleh hidup bersama-sama dan berpegang kepada satu keyakinan yang serupa. Kerana itu bukan menghairankan negara-negara kecil di Asia Tengah ini akan terus menjadi penimbal kekuasaan antara blok Barat dan Timur. Persoalannya, negara mana selepas ini?

sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...