Sabtu, 7 November 2009

Tidak wajar kaitkan taklik dengan lompat parti

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, berkata adalah tidak wajar mengaitkan lafaz cerai taklik dengan melompat parti.

Beliau berkata, hal berkaitan penceraian bukan perkara mainan kerana ia boleh membawa kemudaratan kepada keluarga yang tidak berdosa dan boleh dianggap satu penganiayaan serta zalim.

"Saya nasihatkan pihak yang mengeluarkan kenyataan seumpama itu untuk ambil perhatian, dibimbangi perkara berkenaan akan jadi satu bahan permainan oleh masyarakat pula nanti," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar hari ini bahawa wakil rakyat Pas dikatakan telah melafaz taklik menceraikan isteri masing-masing dengan talak tiga jika mereka melompat parti sebagai tanda kesetiaan terhadap parti.

Jamil Khir berkata, menurut Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke-71, cadangan memasukkan lafaz taklik sekiranya suami ingin berpoligami tidak perlu dilaksanakan.

Katanya, berdasarkan perkara itu sudah tentu penggunaan taklik tidak sesuai dalam urusan berkaitan lompat atau keluar parti.

"Ia adalah alasan paling longggar, tidak relevan atau munasabah," katanya.

sumber: Berita Harian

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...