Ahad, 1 November 2009

Perokok didiskriminasi?

WAJARKAH sekotak rokok 20 batang dijual pada harga RM30? Bagi kalangan perokok, mereka pasti marah dan tidak bersetuju. Tetapi itulah harga yang dicadangkan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang mahukan rokok dijadikan produk mahal dan dijual pada harga di luar kemampuan ramai.

Menurut CAP, harga minimum sekotak rokok 20 batang pada RM6.20 sen yang dijangka ditetapkan tahun depan, terlalu rendah berbanding banyak negara lain.

Semua orang boleh faham mengapa CAP mengemukakan cadangan sedemikian, antaranya bagi membendung gejala merokok yang sememangnya memudaratkan kesihatan.

Awang sendiri bimbang dengan gejala itu. Jumlah perokok bertambah terutama di kalangan orang muda dan remaja. Lebih mengganggu fikiran apabila melihat ramai gadis terutama Melayu merokok.

Awang bukanlah perokok tetapi Awang tidak setuju harga rokok dinaikkan berlipat ganda kerana itu bukanlah penyelesaian. Sebaliknya, ia dikhuatiri boleh mencetuskan pelbagai masalah seperti penyeludupan, penghasilan rokok tiruan dan gejala sosial lain.

Apa sahaja langkah yang mahu diambil janganlah sampai dilihat mendiskriminasi perokok, yang juga merupakan golongan pembayar cukai. Pendekatan yang lebih wajar ialah memperhebatkan kesedaran di kalangan rakyat agar tidak terjebak dengan gejala merokok. Ini tidak bermakna Awang setuju dengan kempen menelan belanja besar seperti Tak Nak, yang diketahui kurang berkesan. Dalam pada itu, golongan berpengaruh seperti ulama, menteri, panglima tentera, ketua polis, politikus, CEO syarikat besar sehinggalah guru sekolah dan ustaz yang masih ramai merupakan perokok perlu dijadikan sasaran utama gerakan kesedaran itu.

Lalu Awang teringat pertanyaan beberapa rakan kenapa Awang tidak merokok. Alasan utama bukanlah kerana kesihatan, pembaziran atau aspek kebersihan. Awang cuma mahu membina keyakinan tanpa rokok - kerja boleh lancar, idea tetap mengalir, perasaan boleh tenteram dan gaya hidup tidak terjejas. Sudah tentu kehidupan lagi ceria tanpa asap rokok. Mengapa dibiarkan rokok membataskan keyakinan diri?

sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...