Sabtu, 7 November 2009

Institusi Diraja miliki keunikan tersendiri lantik Sultan

Oleh Jami’ah Shukri
jamia@bharian.com.my

MALAYSIA, satu-satunya negara di dunia ini yang mempunyai sembilan Raja atau Sultan. Sistem Pemerintahan Raja Berdaulat itu juga dianggap sebagai lambang kesatuan, keharmonian dan keselamatan kepada seluruh rakyat. Walaupun institusi beraja di negara ini sudah wujud sejak berabad lalu, iaitu sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka, kewujudannya terus relevan sehingga sekarang dan sentimen orang Melayu terhadap Raja juga begitu kuat.

Selagi ada salasilah dan legasi Raja, alat kebesaran dan peraturan istiadat Diraja, perasaan hormat orang Melayu tetap berada pada tahap tertinggi. Raja, khususnya Yang di-Pertuan Agong menjadi rujukan terpenting apabila berlaku sebarang permasalahan rumit terutama membabitkan rakyat.

Justeru, tidak mustahil kerap kita lihat apabila rakyat tidak berpuas hati mengenai sesuatu perkara, rakyat akan berarak ke Istana. Umpamanya, isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dulu, ada kumpulan yang berarak ke Istana Negara untuk meminta Yang di-Pertuan Agong masuk campur kerana mempunyai pengaruh kuat.

Kerana pengaruh kuat dan lambang Raja itu tinggi pada mata masyarakat, maka rakyat pasti sentiasa ingin tahu mengenai perkembangan institusi berkenaan termasuk dari segi bagaimana pelantikan dibuat dan konflik antara kerabat terhadap perlantikan mereka.

Isu perebutan takhta oleh waris Sultan juga sebenarnya sudah wujud sejak zaman berzaman iaitu sebelum Tanah Melayu dijajah British. Perebutan takhta antara Raja Abdullah dan Raja Ismail di Perak, pergaduhan antara Datuk Bandar dan Datuk Kelana di Negeri Sembilan, peperangan antara Raja Mahdi dan Raja Abdullah di Selangor dan pertelingkahan antara pembesar dan Sultan Ahmad di Pahang antara yang dapat disaksikan.

Namun, dalam tradisi Melayu, sejak Kesultanan Melayu Melaka, elemen penting dalam pelantikan Raja adalah dikuasai oleh pembesar dengan ada anggota dewan dan Majlis yang memilih serta menentukan siapa Raja yang bakal memerintah negeri.

Pensyarah Jabatan Sejarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM), Dr Ahmad Kamal Ariffin Mohd Rus, menjelaskan sebelum kedatangan British, isu pertelagahan atau konflik bagi pengganti takhta sebagai tampuk pemerintahan negeri kerap berlaku antara pewaris Sultan sehingga mengheret kepada perang saudara.

Lazimnya, puak yang bersengketa itu adalah membabitkan antara adik dan abang atau anak saudara yang tidak berpuas hati dengan pelantikan masing-masing.

“Pada zaman tradisional itu, isu pengganti Raja diselesaikan dengan peperangan apabila wujud rasa tidak puas hati. Pembesar berpecah dua dan anak Raja juga mempunyai anggota tentera sendiri yang mencetuskan peperangan antara sesama mereka bagi merebut takhta,” katanya.

Namun, selepas kedatangan British, penjajah itu yang berkuasa melantik siapa pengganti Raja sekali gus tidak lagi berlaku perang saudara.

Di Perak, contohnya, pada 1871, konflik membabitkan Sultan Abdullah dan Sultan Ismail dengan penyokongnya. Bermula ketika kemangkatan Sultan Ali, yang memerlukan Raja baru menggantikannya.

Mengikut adat penggantian di Perak, Raja Abdullah yang ketika itu adalah Raja Muda, tetapi ketika jenazah dimakamkan, Raja Abdullah dijemput untuk hadir ke upacara pemakamam, tetapi Raja Abdullah tidak hadir.

Bagaimanapun, mengikut adat Kesultanan Melayu, sebelum jenazah dimakamkan, perisytiharan pengganti perlu dibuat. Selepas sebulan tidak hadir, Pembesar termasuk Orang Besar Berempat, Ngah Ibrahim, kemudian berbincang dan bersetuju melantik Raja Bendahara, ketika itu Raja Ismail sebagai pengganti.

Berdasarkan kepada situasi itu, dapat dilihat wujud perlanggaran terhadap perlantikan itu, tetapi ia dilakukan kerana ada sebab tertentu.

Bagaimanapun, selepas 1948, situasi berubah apabila setiap negeri diarah menggubal dan mewujudkan Undang-Undang Tubuh. Di Johor sudah ada Undang-Undang Tubuh sejak 1895 lagi manakala Terengganu pada 1911 (kemudian diubah suai saja).

Ahmad Kamal Ariffin berkata, selepas Undang-undang Tubuh diwujudkan, tiada lagi pertelagahan kerana sudah ditentukan tarikh dan panduannya.

Dalam Undang-undang Tubuh itu, semua negeri mesti ada dewan masing-masing yang akan melantik siapa Raja. Jika di Perak dipanggil Dewan Negara; di Kelantan dan Terengganu (Jemaah Pangkuan Negeri), Selangor dan Johor (Dewan Diraja), Negeri Sembilan (Undang Luak).

Dalam Undang-undang Tubuh itu, boleh dikatakan semua negeri mesti ada Dewan Diraja. Dewan itu yang menentukan penentu siapa Raja, walaupun Raja yang memerintah itu ada pengaruh besar untuk beritahu dewan siapa yang patut dilantik.

Bagaimanapun, Dewan Diraja (di kalangan pembesar) mesti bermesyuarat terlebih dulu untuk mendapat persetujuan semua.

Mengikut tradisi pembesar adalah penentu. Tidak semestinya seseorang anak Sultan menjadi pewaris Sultan.

Sebagai contoh, di Negeri Sembilan, mereka ada Undang Luak (empat luak yang menentukan), iaitu Undang Luak Johol, Undang Luak Rembau, Undang Luak Seri Menanti dan Undang Luak Sungai Ujong.

“Undang-undang di Negeri Sembilan tidak pernah menyatakan Tengku Mahkota mesti menjadi Sultan, sebaliknya Undang Luak yang menentukan. Siapa yang memikat akan dipilih termasuk mengutamakan pelbagai kriteria yang patut ada sebagai Raja,” katanya.

Ahmad Kamal Ariffin menambah dalam tradisi Melayu, orang yang menjadi Sultan mesti ada syarat, iaitu mempunyai calon yang sesuai, pembesar, ada alat kebesaran yang menjadi lambang penentuan dalam pelantikan Sultan.

Alat kebesaran itu ketika ingin menabalkan Sultan, dia mempunyai alat kebesaran seperti gong dan keris sebagai lambang Raja yang sah dengan setiap negeri ada alat kebesaran masing-masing.

“Yang menjadikan seseorang itu Raja bukan dirinya, tetapi adalah institusinya. Institusi itu adalah adat, alat kebesaran dan pembesar. Pola pelakuan yang menjadikan beliau Raja. Ia tidak semesti anak Raja yang memerintah ketika itu, sebaliknya boleh jadi anak saudaranya, selagi ia kerabat Diraja,” katanya.

Dari segi konsep perlembagaan, rakyat tidak berhak mempertikai siapa yang bakal menjadi Raja dengan memberikan sepenuhnya Undang-Undang Tubuh untuk penentu siapa pengganti Raja.

Sesungguhnya institusi Diraja mempunyai keunikan tersendiri dengan Perak dan Negeri Sembilan dianggap paling unik dari segi penentu pelantikan Raja.

sumber: Berita Harian

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...