Rabu, 11 November 2009

Krisis identiti kepemimpinan, pendirian terus hantui Pas

Oleh Achmad Dzariean Mohd Nadzri
achmad@uum.edu.my

ISU baiah dalam politik Pas dan penolakan pemberian wang ihsan adalah di antara polemik yang sedang melanda parti itu ketika ini. Sedar atau tidak, Pas kini sedang mengalami krisis identiti kepemimpinan dan kepercayaan yang agak serius rentetan peristiwa kontroversi yang melanda pakatan pembangkang di negara ini.

Fakta yang didedahkan Dr Abu Hasan Hasbullah dalam seminar politik anjuran Pas benar-benar memberi tekanan terhadap kepemimpinan Pas dalam mencari jalan supaya dapat menarik kembali minat rakyat untuk menyokongnya agar momentum kemenangan dan keselesaan seperti diterjemahkan rakyat pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 dapat dikekalkan.

Realitinya, Pas kini terpaksa berdepan situasi tidak menentu dan menghakis kredibiliti parti itu kerana daripada kajian Dr Abu Hasan, sebahagian besar responden yang terdiri daripada generasi muda, mula hilang kepercayaan terhadap Pas dan menolak kepemimpinan Datuk Seri Hadi Awang.

Responden juga turut berpandangan negatif terhadap kepemimpinan Pas dan tidak kurang juga bilangan responden yang hilang sokongan terhadap parti ini. Hipotesisnya mudah. Pas kini semakin terhakis kredibiliti dan merosot sokongannya daripada segenap lapisan masyarakat di negara ini.

Adakah faktor kemerosotan ini hanya disebabkan oleh faktor mesyuarat agung luar biasa (EGM) khas yang dicadangkan oleh Mursyidul Amnya, Datuk Nik Aziz Nik Mat atau adakah rakyat sudah mula jelak dengan tingkah laku pimpinan Pas dan peranannya yang bercelaru dalam pakatan pembangkang?

Hakikatnya, rakyat kini sudah mula menyedari bahawa pemimpin Pas hanya tahu membuat gimik dalam politik tetapi mengetepikan soal pembangunan dan kebajikan rakyat. Penilaian responden ini sudah semestinya berpandukan kepada cerminan atau peranan yang dimainkan Pas selepas pasca pilihan raya umum yang lalu.

Pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 ini menyaksikan lima negeri jatuh ke tangan pembangkang dan tiga daripadanya iaitu Kelantan, Kedah dan Perak dipimpin oleh Pas. Kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakili Pas di Kelantan dan Kedah agak dominan tetapi sebaliknya berlaku di Perak, apabila kedudukan mereka hanyalah picisan dan pelantikan ketua eksekutifnya hanyalah disebabkan oleh peruntukan perundangan serta budi bicara Sultan, bukan berdasarkan kemenangan majoriti Pas.

'Turning point' kejatuhan kredibiliti Pas bermula sejurus selepas BN berjaya membentuk majoriti mudah dalam DUN Perak yang akhirnya menyaksikan kejatuhan kerajaan pakatan pembangkang di Perak.

Tindakan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, yang murka dengan titah Sultan Perak yang meminta beliau mengosongkan kerusi Menteri Besar Perak membawa cerminan negatif kepada pimpinan Pas yang tidak peka serta sensitif terhadap isu ketaatan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Watak jahat Pas kemudian diserlahkan lagi dengan peristiwa perhimpunan penyokongnya di Kuala Kangsar yang menghalang rombongan Raja Muda daripada menghadiri Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar dan jelas tidak menghormati institusi beraja dan sistem perundangan di negara ini.

Krisis kredibiliti Pas tidak berakhir di sini. Di Kedah umpamanya, kedudukan Pas yang dominan dalam agihan kerusi dalam DUN Kedah tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya. Pas seolah-olah tidak menghargai semangat setia kawan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di wilayah jelapang padi itu apabila dengan sewenang-wenangnya memberi arahan kepada pihak berkuasa tempatan untuk merobohkan rumah pemotongan babi di kawasan yang diwakili DAP.

Sebagai protes kepada tindakan Pas, DAP mengugut untuk keluar gabungan pakatan pembangkang di negeri itu tetapi kemudian menarik balik keputusan itu.

Tindakan Nik Aziz yang melabelkan ahli dan Umno tidak akan masuk syurga kerana memperjuangkan idea sekular dalam pemerintahan negara turut memberikan kesan negatif terhadap kredibiliti politik Pas dalam negara secara amnya dan di Kelantan khususnya.

Kejatuhan majoriti undi kepada Pas yang hanya tinggal kepada 65 undi di Manek Urai dalam pilihan raya kecil lalu dan kekalahan Pas dengan majoriti besar yang diperoleh calon BN di Bagan Pinang dalam satu lagi pilihan raya kecil, membuktikan kredibiliti Pas kini semakin kritikal dan boleh dilihat sebagai liabiliti dalam pakatan pembangkang.

Rentetan daripada kronologi peristiwa inilah yang akhirnya mendorong Nik Aziz untuk memanggil EGM khas bertujuan menyingkir pimpinan Pas yang dianggap bermasalah akibat daripada tindakan pemimpin berkenaan yang menyokong idea terhadap kerajaan perpaduan dengan Umno.

Pas dilihat terbahagi dua iaitu kumpulan yang pro-Hadi yang membawa agenda perpaduan dengan Umno dan kumpulan yang pro-Nik Aziz, akibat daripada pelbagai rentetan isu yang melanda.

Pas kini masih lagi tidak menyedari bahawa imej dan kredibiliti mereka sebagai sebuah parti yang berteraskan ajaran Islam semakin lama semakin ditolak rakyat.

Pendirian Pas yang seolah-olah seperti 'lalang' dalam pakatan pembangkang akibat ketaksuban yang jumud dalam berpolitik dan terikut-ikut dengan telunjuk DAP dan PKR sebenarnya memberikan palitan negatif terhadap perjuangan Pas dalam politik arus perdananya.

Pas di dalam pakatan pembangkang seolah-olah menjadi 'penumpang' dan kini tidak lagi berani untuk memperjuangkan negara Islam dalam manifestonya. Perlu diakui bahawa asas sebuah perjuangan politik adalah mudah. Perjuangan haruslah mempunyai pendirian tetap dan jitu di samping mempunyai sasaran yang ingin dicapai.

Kenyataan Hadi dalam satu resolusinya selepas seminar memperkasakan politik, baru-baru ini, iaitu Pas tetap mengamalkan keterbukaan hubungannya dengan semua pihak asalkan membawa kemenangan kepada Islam seolah-olah membuktikan bahawa Pas kini tidak lagi mempunyai pendirian tetap dalam perjuangan politiknya.

Kedudukan Pas dalam Pakatan Rakyat kini hanyalah memenuhi korum dan perjuangannya kini tidak lagi berpaksikan kepada perjuangan menegakkan syiar Islam, sebaliknya perjuangan Pas kini akan ditentukan oleh 'rakan-rakannya' dalam pakatan pembangkang.

Senario inilah yang sedang dinilai dan diperhatikan oleh rakyat dan rakyat sudah boleh membuat penilaian adakah pakatan pembangkang yang wujud ketika ini adalah gabungan pakatan yang memberikan kesejahteraan rakyat atau adakah gabungan pakatan ini hanya golongan yang suka kepada gimik politik, pandai berjanji dan berkata-kata.

Penulis ialah tutor di Bahagian Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM)

sumber: Berita Harian

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...