Isnin, 29 Jun 2009

Otai Bersuara

UMNO, Pas perlu bincang - Pak Lah

KEPALA BATAS 28 Jun - Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menasihatkan UMNO dan Pas supaya mencari jalan menyelesaikan isu kepentingan orang Melayu melalui perbincangan bukannya berdebat secara terbuka.

Menurutnya, UMNO dan Pas perlu memilih pendekatan secara muafakat atas semangat persaudaraan sesama Islam bagi menyelesaikan pelbagai isu yang menimbulkan kebimbangan di kalangan orang Melayu kebelakangan ini.

"Saya rasa tidak perlu pendekatan itu (berdebat) kerana lebih baik kedua-duanya (UMNO dan Pas) duduk berbincang masalah yang ada dan mewujudkan persefahaman.

"Kita perlu selesaikan perkara-perkara yang menimbulkan percanggahan dan pendirian termasuk yang membabitkan soal agama," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung MCA Bahagian Kepala Batas di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berdebat secara terbuka berhubung kemelut yang melanda kedua-dua parti terbesar orang Melayu itu.

Abdullah berkata, UMNO dan Pas memainkan peranan cukup besar untuk mewujudkan persefahaman di kalangan orang Melayu lebih-lebih lagi dalam perkara yang menyentuh kepentingan agama.

"Sudah ada kecenderungan orang Melayu boleh bertelagah soal agama, (justeru) UMNO dan Pas perlu mewujudkan persefahaman agar orang Melayu tidak berbalah mengenai isu sebegini," jelasnya.

Katanya, kesepakatan UMNO dan Pas dalam membincangkan isu-isu secara bersama mampu menyediakan asas yang kukuh untuk mewujudkan perpaduan dan semangat kekitaan di kalangan orang Melayu.

Abdullah menambah, walaupun perpaduan menjadi keutamaan dalam asas perbincangan antara UMNO dan Pas, ia tidak bermakna kedua-dua parti itu tidak boleh berbeza pandangan dalam isu-isu tertentu.

"Perpaduan tidak bermakna kita tidak boleh berbeza pandangan, tetapi bila ia menyentuh soal agama dan bangsa maka kita perlu bersama-sama selesaikan," ujarnya.

Mengenai cadangan kerajaan perpaduan antara UMNO dan Pas, beliau berkata, langkah permulaan perlu dibuat bagi membincangkan isu-isu penting membabitkan orang Melayu.

Ditanya mengenai tindakan Nik Abdul Aziz yang menyamakan UMNO sebagai pergerakan komunis dan ajaran sesat, beliau berkata:

"Dia (Nik Abdul Aziz) terlajak cakap kot, tidak baik buat tuduhan seumpama itu."

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...