Isnin, 1 Jun 2009

Beza perjuangan di Gaza dan Kilinochchi

Oleh AZMI HASSAN

AHLI Parlimen Klang, Charles Santiago pada satu forum anjuran Majlis Peguam menuduh Malaysia mengamalkan sikap pilih kasih dalam isu Palestin dan Tamil di Sri Lanka. Pandangan tersebut timbul ekoran kenyataan Menteri Luar, Datuk Anifah Aman bahawa Malaysia tidak mencampuri urusan dalaman negara lain ketika diminta mengulas mengenai isu Sri Lanka.

"Jika pendirian Malaysia tidak mencampuri masalah dalaman negara lain, maka Malaysia juga tidak boleh mengeluarkan kenyataan mengenai isu Myanmar dan Palestin. Malaysia mengamalkan pilih kasih dengan memberi layanan berbeza ke atas masyarakat Tamil di Sri Lanka dan rakyat Palestin," tegas Santiago.

Tuduhan itu sangat serius dan berat kerana konflik di Sri Lanka melibatkan nyawa orang awam yang tidak berdosa, tidak kira daripada golongan Sinhala atau Tamil. Santiago juga perlu ingat selain itu, ramai juga rakyat Sri Lanka yang beragama Islam turut menjadi korban.

Tetapi apabila beliau cuba mengaitkan isu etnik Tamil di Sri Lanka dengan perjuangan rakyat Palestin, maka perbandingan itu jelas begitu dangkal dan mempunyai agenda tidak jujur.

Dangkal kerana cuba menuduh Malaysia menyokong Palestin kerana agama Islam tetapi menutup mata ke atas Sri Lanka kerana tiada kaitan dengan Islam.

Sememangnya tuduhan Santiago tersebut langsung tidak berasas kerana rakyat Thai yang beragama Islam di Pattani, Narathiwat dan Yala juga menghadapi masalah serupa seperti etnik Tamil di Sri Lanka. Pendirian Malaysia mengenai masalah selatan Thai adalah begitu jelas dan sama dengan pendirian ke atas konflik Sri Lanka.

Begitu juga dengan masalah rakyat Islam Filipina di selatan Mindanao. Ia tidak jauh beza seperti yang dialami oleh etnik Tamil di Sri Lanka. Pendirian Malaysia juga konsisten mengenai isu selatan Mindanao.

Perlu diingat kekuatan ketenteraan antara dua pihak yang bertelagah di Sri Lanka adalah sama. Kekejaman sama ada oleh tentera kerajaan Sri Lanka (SLA) atau gerila Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) tidak banyak beza.

Kedua-dua pihak secara terang mencabuli hak asasi manusia. Dalam konflik tersebut sukar untuk ditentukan secara sahih pihak mana yang lebih kejam.

Tetapi jika hendak dibandingkan kekuatan tentera rejim Israel (IDF) dengan pejuang Hamas, ia sangat berbeza. Tidak adil membandingkan kekuatan IDF dengan Hamas. Apabila kekuatan tidak seimbang, maka sudah pasti kekejaman akan dilakukan oleh pihak yang kuat.

Pencerobohan IDF ke atas rakyat Palestin di Genting Gaza pada Disember lepas jelas mempamerkan kekejaman pihak yang lebih kuat terhadap mereka yang lemah. Dalam hal ini masyarakat tidak sangsi bahawa rejim Israel telah berlaku kejam terhadap rakyat Palestin.

Apabila Malaysia mengatakan konflik di Sri Lanka adalah isu dalaman negara itu, ia adalah tepat. Konflik di sana tidak melibatkan negara lain secara langsung. Ia berbeza dengan isu Palestin.

Konflik itu bukan sahaja menjadikan Asia Barat tidak stabil, malah seluruh dunia merasai kesan daripadanya.

Perlu juga diberi perhatian bahawa Israel dipercayai mempunyai senjata nuklear dan akibat daripada doktrin pertahanan, negara lain seperti Iran juga mempunyai cita-cita untuk menyaingi kekuatan rejim Yahudi.

Oleh itu, isu Palestin perlu diberi keutamaan bukan kerana Israel adalah sekutu kuat Amerika Syarikat atau rakyat Palestin itu beragama Islam, tetapi kerana ia berkait rapat dengan isu kestabilan dunia.

Perlu juga diingat bahawa sebelum operasi besar-besaran oleh tentera kerajaan Sri Lanka, etnik Tamil negara itu tidak berada dalam keadaan yang begitu mengaibkan seperti apa yang dialami oleh rakyat Palestin di Gaza. Wilayah itu dianggap sebagai "penjara terbuka paling besar di dunia".

Etnik Tamil di bawah LTTE pula bebas bergerak dan wilayah utara di Sri Lanka itu pada dasarnya tidak bergantung kepada bantuan luar.

Ia berbeza dengan rakyat Palestin yang sebahagian besarnya bergantung kepada bantuan luar. Infrastruktur sama ada di Gaza atau Tebing Barat adalah jauh lebih daif daripada apa yang dimiliki oleh etnik Tamil di utara Sri Lanka.

Pendek kata bandar Kilinochchi yang dianggap ibu kota etnik Tamil Sri Lanka adalah jauh lebih berdikari berbanding dengan Gaza City atau pun Ramallah.

Jadi, pendirian Malaysia adalah selari dengan pendirian masyarakat antarabangsa. Dalam persidangan Majlis Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu baru-baru ini, masyarakat antarabangsa telah memberi sokongan kepada Sri Lanka. Mereka berikrar untuk bersama-sama Colombo membantu mangsa konflik tersebut.

Resolusi yang dicapai pada akhir persidangan tersebut antara lain memuji kaedah Sri Lanka menangani konflik tersebut. Sepanjang konflik antara Colombo dan LTTE itu, PBB tidak mengeluarkan walau satu pun resolusi.

Tetapi secara analoginya rejim Israel adalah negara yang paling lazim mengingkari resolusi PBB walaupun begitu banyak resolusi dikeluarkan terhadapnya.

Sekali lagi ditegaskan bahawa usaha untuk meraih simpati terhadap etnik Tamil di Sri Lanka dengan membandingkannya dengan perjuangan rakyat Palestin bukan sahaja dangkal malah tidak logik dan sarat dengan agenda tersembunyi.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...