Sabtu, 20 Jun 2009

Matlamat menghalalkan cara

Laporan Amerika berat sebelah

Memang agak mengejutkan apabila Amerika Syarikat (AS) dalam Laporan Penyeludupan Manusia 2009 yang dikeluarkan beberapa hari lepas meletakkan Malaysia sebagai negara yang gagal memenuhi piawaian minimum bagi membanteras kegiatan penyeludupan manusia. Di samping itu Malaysia juga didakwa tidak mengambil usaha sewajarnya untuk mengatasi masalah tersebut.

Tahap 3 yang diberikan kepada Malaysia meletakkan negara sama taraf dengan Chad, Eritrea, Niger, Mauritania, Swaziland, dan Zimbabwe dalam hal penyeludupan manusia. Perlu diingatkan tahap ini adalah status yang paling buruk sekali. Secara keseluruhannya terdapat 17 negara yang dikelaskan Tahap 3 dalam kajian yang dilakukan terhadap 173 buah negara.

Paling menghairankan ialah baru dua minggu lepas Malaysia mendapat pujian daripada Presiden Barack Obama semasa beliau membuat ucapan bersejarah di Kaherah mengenai hubungan AS dengan negara Islam. Antara lain Obama menyifatkan Malaysia sebagai negara Islam yang maju tetapi masih mampu mengekalkan nilai-nilai murni.

Agak begitu janggal kerana Laporan Penyeludupan yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara AS amat bertentangan dengan persepsi White House terhadap Malaysia.

Mustahil bagi sebuah negara Islam yang maju dan bersifat murni mempunyai pemimpin yang tidak mengendahkan kegiatan penyeludupan manusia untuk pelacuran, kerahan tenaga kerja dan askar kanak-kanak.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mengulas laporan tersebut mengatakan akan menghantar pegawai kementeriannya ke Kedutaan AS untuk mendapatkan gambaran tepat bagaimana Malaysia boleh disenaraikan pada tahap yang paling buruk. "Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan berjumpa Kedutaan AS di Kuala Lumpur untuk mengenal pasti apa tuduhan dan dakwaan sehingga Malaysia disenarai hitam," kata Hishammuddin.

Pada tahun 2008 Malaysia berada pada Tahap 2 (Pemerhatian) dan mengharapkan ditingkatkan pada Tahap 2 sepenuhnya memandangkan beberapa langkah pembaikan telah dilaksanakan untuk mengurangkan kes penyeludupan manusia. Malangnya Malaysia disenarai hitamkan pada Tahap 3 sementara negara lain seperti Qatar, Oman, Algeria dan Moldova dikeluarkan daripada Tahap 3 dan diberi status Tahap 2.

Memang benar Malaysia pernah dikelaskan pada Tahap 3 pada tahun 2001 dan 2007 tetapi kebiasaannya Tahap 2 adalah status lazim yang dimiliki oleh negara. Sebab itu seperti yang ditekankan oleh Hishammuddin agak menarik untuk mengetahui apakah asas yang digunakan untuk meletakkan Malaysia pada kedudukan yang buruk.

Terdapat beberapa isu yang memberi persepsi bahawa Malaysia tidak bersungguh menangani masalah penyeludupan manusia. Perlu ditekankan laporan tersebut tidak mempunyai masalah terhadap langkah yang telah diusahakan oleh Malaysia untuk mencegah kegiatan penyeludupan manusia khasnya aktiviti pelacuran.

Isu yang cuba ditonjolkan ialah mengenai tindak-tanduk majikan yang menahan pasport dan gaji pekerja mereka yang memberi kesimpulan berlakunya kerahan tenaga kerja secara paksa. Mungkin sebab itulah beberapa hari lepas Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam telah mengingatkan adalah menjadi satu kesalahan jika majikan menahan pasport pekerja mereka jika ia perlu digunakan untuk tujuan rasmi.

Tetapi sebenarnya asas utama yang digunakan oleh Jabatan Negara AS sehingga melakarkan pandangan buruk terhadap Kuala Lumpur ialah hasil Laporan Senat Kongres AS mengenai nasib pelarian rakyat Myanmar di Malaysia.

Laporan tersebut yang dibuat melalui Jawatankuasa Hubungan Luar Senat AS yang diketuai oleh Richard Lugar dikeluarkan pada 3 April lepas menggambarkan bagaimana pelarian dari Myanmar ini diugut dan dijadikan bahan perdagangan untuk tujuan pelacuran dan kerahan tenaga percuma.

Lebih memburukkan lagi laporan tersebut membuat tuduhan bukan sahaja aktiviti penyeludupan manusia pelarian Myanmar ini dilakukan secara terancang oleh sindiket, tetapi ia juga disokong oleh badan penguat kuasa Malaysia seperti Jabatan Imigresen.

Sebaik-baik sahaja laporan Senat tersebut dikeluarkan, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan telah menubuhkan satu pasukan penyiasat yang terdiri daripada pegawai-pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen antara lain untuk mengkaji tuduhan yang dilemparkan.

Oleh kerana tuduhan tersebut menyatakan aktiviti penyeludupan berlaku di sempadan Malaysia-Thailand, Kuala Lumpur telah bekerjasama dengan Bangkok untuk memastikan aktiviti tersebut dikekang. Tambah Musa ketika mengumumkan penubuhan pasukan penyiasat, "Kerajaan Malaysia serius dalam membanteras penyeludupan manusia. Kita kini bekerjasama rapat dengan rakan-rakan sejawatan Thai dalam penyiasatan itu,".

Adalah mustahil bagi pegawai penguat kuasa Malaysia bersekongkol dengan sindiket penyeludupan manusia tanpa disedari oleh peringkat atasan kerana organisasi penguatkuasaan negara ini bukanlah dipenuhi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab atau penerima rasuah.

Tanpa disangsi, Kuala Lumpur cukup komited dengan usaha untuk menghapuskan aktiviti penyeludupan manusia tidak kira dari negara mana mereka berasal. Pada 28 Februari 2008 umpamanya akta Anti Penyeludupan Manusia 2007 (Akta) 670 telah dikuatkuasakan. Apa yang menarik ialah penggubalan akta tersebut mengambil kira protokol Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi menyekat, mencegah dan menghukum pelaku penyeludupan manusia terutama wanita dan kanak-kanak.

Cuma mungkin Jabatan Negara AS yang tidak berpuas hati dengan hasil siasatan kerana mereka mempersoalkan mengapa tiada tangkapan dibuat terhadap pegawai yang terlibat sehingga menuduh Malaysia sebagai negara yang tidak serius menangani masalah penyeludupan manusia.

Seperti yang ditekankan oleh mantan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Syed Hamid Albar bahawa tuduhan laporan Senat tersebut tiada asasnya dan sebab itu bagaimana mungkin untuk menghukum pegawai yang terlibat.

Kesangsian juga timbul terhadap kejujuran laporan Senat kerana ia melibatkan Myanmar. Seperti yang diketahui, Washington akan mengunakan apa jua ruang untuk menekan junta Myanmar dan juga ASEAN supaya negara tersebut mengotakan janji untuk memulihkan proses demokrasi.

Timbul juga syak wasangka kerana laporan Senat tersebut diolah setelah siasatan dilakukan beberapa hari sahaja di Malaysia dan juga di sempadan Malaysia-Thailand.

Memang benar perbincangan ada dilakukan dengan PDRM tetapi kebanyakan intipati laporan tersebut adalah berasaskan daripada temu ramah dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga pelarian Myanmar.

Jabatan Negara AS sepatutnya tidak boleh hanya bergantung kepada satu sumber maklumat sahaja kerana ini sudah tentu tidak adil bagi rakyat Malaysia. Gunakanlah pendekatan Presiden Obama yang menilai satu-satu isu dengan lebih jujur tanpa mempunyai agenda tersirat.

PENULIS ialah Geo-Strategis Universiti Teknologi Malaysia

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...