Sabtu, 13 Jun 2009

buku dah bertemu ruas

Raja Petra lesap tapi tinggalkan fitnah

Penulis blog, Raja Petra Raja Kamaruddin buat hal lagi. Dalam Polis Diraja Malaysia dan polis interpol sibuk menjejaki di mana dia menghilangkan diri, pengasas laman web Malaysia Today itu sempat menyiarkan klip video kononnya polis bertindak ganas ke atas seorang tahanan.

Sekarang terbukti bahawa klip video itu adalah palsu. Tetapi imej pasukan polis kita sudah tercemar.

Kalau baca komen-komen pengunjung Malaysia Today, mereka amat mempercayai apa yang didedahkan di dalam klip video itu. Bermacam-macam sumpah seranah dilemparkan terhadap pasukan polis.

Daripada satu sudut, Raja Petra nampak hebat dan berjaya membohongi peminat-peminat lamannya itu. Dia telah membangkitkan rasa marah orang ramai terhadap polis, walaupun video itu tidak benar.

Dengan tajuk klip video "Polis pukul perogol", ramai yang sudah ditipu 'hidup-hidup' oleh Raja Petra. Tanpa usul periksa kebenaran cerita dan sumber, orang buruan itu terus menyiarkan video kisah lebih daripada lima lelaki berpakaian putih dan berjaket hitam didakwa polis telah memukul dan menendang seorang lelaki yang disyaki perogol.

Alasan Raja Petra menyiarkan klip video itu kerana bosan dengan tuduhan melulu terhadap polis. Jadi dia berasa yakin klip video itu bukti keganasan polis.

Tetapi hakikatnya perbuatan dalam video itu tidak membabitkan polis kita. Seorang pengendali blog obefiend.blogspot.com telah mendedahkan hakikat yang sebenar. Menurut remaja itu, dia mendapat klip video itu di dalam You Tube. Pada 5 Jun lalu melalui e-mel, dia membohongi pihak Malaysia Today kononnya video miliknya itu gambar tentang kekejaman polis semasa penyiasatan. Tanpa usul periksa kesahihan video tersebut, mereka telah menyiarkan pada 6 Jun lalu.

Walaupun pengunjung lama web Malaysia Today telah ditipu tetapi remaja penipu itu juga telah mendedahkan perangai Raja Petra dan pasukan Malaysia Today sebagai kumpulan penipu dan penyebar fitnah.

Jelas ini satu lagi pembohongan daripada Raja Petra selepas beberapa siri penipuan yang ditulisnya di dalam Malaysia Today. Bertambahlah dokumentari dalam arkib penipuan Raja Petra.

Biasanya Raja Petra menulis bukan sebab suka-suka. Dia ada motif tertentu. Dia ada mesej tersirat yang mahu disebar kepada pembaca.

Selain daripada pemimpin UMNO dan anggota Kabinet, pasukan polis turut tercatat dalam senarai orang yang paling dibenci oleh Raja Petra.

Bukan suatu yang pelik, apabila dia menerima cerita buruk mengenai pemimpin Barisan Nasional, lebih-lebih lagi kes penyelewengan atau skandal, sepantas kilat dia akan menulis dan menyiarkan di dalam Malaysia Today.

Soal betul atau salah cerita yang disiarkannya, belakang kira. Baginya mungkin masyarakat sekarang tak suka baca cerita benar, tetapi cerita sensasi.

Atas minat pembaca sebegini, membuka peluang Raja Petra mengajak orang ramai menghentam polis.

Raja Petra dalam tulisannya mendakwa beginilah cara polis Malaysia mendapatkan pengakuan melalui soal siasat tahanan yang tidak mengaku bersalah.

Mungkin motif siaran klip video itu ada kaitan dengan kes pengakuan bersalah anaknya, Raja Azman Raja Petra di Mahkamah Majistret Shah Alam atas empat pertuduhan mencuri dan memiliki motosikal curi serta melakukan pecah rumah.

Terpulang kepada rasa hati pembaca terhadap tulisan Raja Petra. Dia pandai mereka-reka cerita karut untuk mengajak pembaca mempercayai tulisannya. Dia pintar memesongkan pembaca daripada fakta sebenar. Cerita sensasinya biasanya menggambarkan apa yang berlaku ada kaitan dengan konspirasi politik.

Apa pun, pengendali laman web itu sudah banyak membuat fitnah. Fitnah adalah tergolong perbuatan dosa besar.

Pelbagai fitnah dibuat oleh Raja Petra terhadap orang politik, ahli akademik, hakim, pegawai polis dan orang yang tidak disukainya.

Ada kala, dia tersalah pilih orang untuk dijadikan bahan kutukannya. Sebab itu dia diperintah membayar saman bernilai berjuta ringgit apabila pihak dikutuk berjaya dalam kes saman di mahkamah.

Betul kata pepatah lama, "berani buat, berani tanggung." Kini beberapa kes saman di mahkamah sedang menunggu kehadirannya.

Dua waran tangkap telah dikenakan terhadap Raja Petra selepas dia gagal menghadirkan diri di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 23 April dan 26 Mei lalu.

Mulai hari ini, hati-hati membaca Malaysia Today. Ke mana lesapnya Raja Petra?

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...