Khamis, 17 September 2009

Promoter F1 1Malaysia tingkat pelaburan RM172 juta

KUALA LUMPUR 16 Sept. - Promoter pasukan F1 1Malaysia akan membuat pelaburan awal sebanyak 10 juta pound (RM57.62 juta) sebelum dipertingkatkan kepada 30 juta pound (RM172.86 juta) dalam persediaannya menghadapi perlumbaan Formula Satu pada tahun depan.

Salah seorang promoter pasukan itu, Datuk Kamarudin Meranun berkata, pelaburan tersebut membabitkan deposit untuk enjin yang akan siap pada Januari depan sebelum diuji sebulan selepas itu.

''Selain pelaburan digunakan untuk mendapatkan enjin, ia juga digunakan untuk rekaan badan kereta dan menjalankan ujian termasuk segala kos operasi,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan pasukan F1 1Malaysia yang merupakan usaha sama kerajaan dan swasta negara ini bagi menyertai perlumbaan F1 mulai tahun depan.

Selain Kamarudin, tokoh korporat Datuk Seri Tony Fernandes dan SM Nasarudin SM Nasimuddin turut terlibat dalam inisiatif tersebut.

Menurut Kamarudin, sebagai pemegang saham awal pasukan itu, pihaknya mengalu-alukan individu atau syarikat milik kerajaan atau swasta tempatan yang ingin menyertai pasukan tersebut.

''Dengan sokongan dan galakan Perdana Menteri serta pihak Proton, Lotus, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Persatuan Permotoran Malaysia (MAMS) dan lain-lain, kami berbangga mengenainya (F1 1Malaysia) dan ketika ini terdapat peluang yang amat luas dalam F1.

''Kami merupakan promoter awal dan ideanya adalah menjalinkan perkongsian pintar antara sektor swasta dan syarikat milik kerajaan,'' ujarnya sambil memberitahu ia merupakan pelaburan individu dan bukannya AirAsia Bhd.

Kamarudin merupakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia manakala Fernandes pula adalah Ketua Pegawai Eksekutif syarikat penerbangan tambang murah itu.

Ditanya mengenai pelaburan beliau dalam pasukan itu, Kamarudin berkata, sebagai pemilik pasukan, beliau melihat daripada aspek komersial seperti perkongsian liputan media, penajaan, penjualan barangan dan lain-lain lagi.

Tambah beliau, penyertaan swasta dalam pasukan F1 1Malaysia akan menyokong dan melengkap pelaburan yang dilakukan oleh kerajaan dalam industri automotif dan yang berkaitan dengannya pada masa lalu dan akan datang.

Katanya, Malaysia yang mempunyai kemudahan seperti Litar Antarabangsa Sepang selain mempunyai kereta nasional perlu mempunyai pelaburan sokongan dalam usaha memajukannya lagi dan dengan penyertaan dalam F1 akan dijadikan sebagai media pemasaran yang berkesan bagi negara dan Proton serta Lotus.

''Pelaburan yang dilakukan kerajaan sebelum ini adalah membina perkakasan (hardware), dan pembabitan kami pula merupakan platform bagi memajukannya lagi selain membina perisian (software) sokongan.

''Saya menaruh keyakinan terhadap perkara ini. Di AirAsia kami sentiasa berdepan berbagai cabaran tetapi dengan minat dan azam yang kuat berserta disiplin yang tinggi, insya-Allah kita dapat mengatasi cabaran yang datang.

Menurut beliau, selain itu, pembentukan pasukan tersebut juga akan menyediakan platform pembangunan insan seperti pemandu, jurutera dan universiti tempatan untuk meningkatkan kepakaran masing-masing dalam bidang yang diceburi.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...