Selasa, 8 September 2009

Janji manis Pakatan Rakyat makan diri

Minda Pengarang: Berita Harian

MASALAH mengurus kerajaan dihadapi Pakatan Rakyat (PR) di Selangor dan Pulau Pinang mendedah betapa mengkritik adalah kerja mudah. Mengkritik sesedap rasa dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan rakyat, adalah perkara berbeza.

Jika sebelum ini mereka bercakap mengikut sesuka hati, mendakwa apa saja yang dilakukan Barisan Nasional (BN) tidak betul, kini tindakan mereka pula dipertikaikan. Lebih parah, mereka dipersoalkan oleh rakyat yang memberi mandat kepada mereka untuk memerintah. PR baru sedar cabaran dan tanggungjawab mentadbir tidak semudah yang mereka laungkan ketika menjadi pembangkang. Untuk berjanji bukan sukar kerana ia tidak memerlukan sebarang kos. Tetapi, untuk melaksanakan janji khasnya berhubung soal pembangunan fizikal, ia memerlukan kos yang besar. Sekali pun ada wang, rakyat tetap mempersoalkan kewarasan sesuatu projek itu. Mereka mahu melihat kerajaan berbelanja dengan berhemah. Kepentingan semua pihak perlu dijaga mengatasi segala-galanya.

Hari ini PR perlu menerima hakikat bahawa kewibawaan pentadbiran mereka sudah goyah. Dasar mereka dipertikaikan dan janji melimpah ruah mereka ketika kempen pilihan raya 2008 dituntut. Tanyalah kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim atau Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang tentu lebih arif mengenainya. Benar, kerja merobohkan rumah di Kampung Buah Pala sudah bermula dan isu pemindahan kuil di Shah Alam ditangguhkan, tetapi dua krisis itu masih jauh dari penghujungnya. Selepas ini, pasti banyak lagi pihak akan membuat pelbagai tuntutan tidak masuk akal bila tanah mereka mahu diambil manakala ramai lagi sedia berarak setiap kali isu rumah ibadat diperdebatkan. Jika isu yang timbul membabitkan kaum pula, ia bila-bila masa saja boleh mencetus masalah lebih besar.

Ketika PR berhempas pulas menyelesaikan isu yang mendepani mereka dan terpaksa menelan realiti pahit betapa sukarnya menjadi kerajaan, rakyat pula semakin boleh menilai antara kaca dengan permata. Jika sebelum ini ramai leka dengan janji manis reformasi yang dilaungkan, kini mereka terjaga dari dibuai mimpi indah dan kembali ke dunia realiti. Jaminan kesejahteraan dan masa depan rakyat bukan terletak pada retorik politik atau janji. Ia berpaksi kepada tindakan dan kemampuan membuat keputusan bijak. Janji perubahan yang didendangkan Pakatan Rakyat sebelum ini semakin beralih menjadi angan-angan di mata rakyat. Itulah sebabnya penduduk Seksyen 23 hilang sabar dan mengejek Abdul Khalid serta Exconya di Shah Alam. Itulah juga sebabnya penduduk Kampung Buah Pala mahu menyerbu bangunan Komtar di Pulau Pinang kerana mereka merasakan Lim tidak menepati janji.

Masyarakat hari ini bijak menilai dan mereka sanggup 'berkasar' jika bosan rintihan mereka tidak diendahkan oleh pihak yang sebelum ini enak berjanji membela nasib mereka.

Sumber: Berita Harian

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...