Ahad, 13 September 2009

Antara sindiran dan bantuan

PADA 2 September Jakarta dan Jawa Barat dilanda gempa yang kuat iaitu 7.3 skala richter yang menyebabkan ribuan rumah, bangunan pejabat dan pusat membeli-belah rosak.

Setakat ini juga lebih 70 nyawa terkorban, manakala lebih 20 orang lagi masih tertimbus akibat tanah runtuh berikutan kejadian gempa tersebut.

Selepas kejadian gempa itu penulis diberitahu oleh Penasihat Pendidikan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Dr. Junaidi Abu Bakar terdapat sekumpulan pelajar perubatan Malaysia di Jakarta dan Bandung dengan kerjasama Kelab UMNO Luar Negara mahu menyampaikan bantuan kepada mangsa bencana tersebut.

Bagi melihat sendiri persiapan yang dibuat oleh kumpulan pelajar berkenaan penulis turut mengikut mereka membeli barang-barang yang mahu disumbangkan iaitu selimut dan makanan.

Seawal pukul 9 pagi kumpulan berkenaan telah ke Pasar Tanah Abang di Jakarta bagi membeli selimut untuk diberikan kepada mangsa gempa yang kini tinggal sementara di khemah-khemah.

Menyindir

Ketika kumpulan pelajar Malaysia itu memilih selimut yang sesuai, penulis terdengar seorang pekerja di pasar berkenaan menyindir pelajar berkenaan dengan berkata, ‘‘Manohara membeli- belah,” kata seorang lelaki sambil menghirup kopi yang baru dibelinya tanpa rasa segan silu atau menghormati umat Islam lain yang berpuasa di bulan Ramadan.

Kata sindiran itu merujuk kepada kes rakyat Indonesia, Manohara yang dikatakan didera oleh suaminya yang merupakan putera sultan di Malaysia. Berikutan kes itu Manohara kini menjadi pelakon utama drama bersiri yang berjudul ‘Manohara’.

Selepas itu lelaki yang sama mengunggap kata-kata sindiran lagi, ‘‘Malaysia yang curi tarian Pendet.” Sebagai merujuk tuduhan kerajaan Indonesia terhadap Malaysia menggunakan tarian berasal dari Bali untuk promosi pelancongan.

Walaupun kesilapan itu dilakukan oleh syarikat swasta yang tidak mempunyai kaitan dengan Malaysia, tetapi mereka lebih memilih untuk berdusta dan mendengar kata-kata pendusta.

Tunjuk perasaan

Oleh kerana kata pendusta rakyat Indonesia mulai beremosi mengadakan tunjuk perasaan dan membakar bendera Malaysia.

Bagaimanapun kata sindiran itu tidak diperdulikan oleh kumpulan pelajar Malaysia yang sudah cukup masak dengan ‘tabiat’ rakyat Indonesia.

Lelaki berkenaan bagaimanapun tidak berpuas hati setelah kata-kata sindirannya tidak dipedulikan dan dia mencuit bahu penulis, tetapi penulis juga tidak melayannya.

Akhirnya demi meluahkan rasa tidak puas hatinya lelaki itu bertanyakan penulis, ‘‘Bapak, selimut ini mahu dijual semula di Malaysia ya pak?” soalnya.

Namun alangkah terkejut dan malu lelaki berkenaan apabila penulis memberitahu selimut itu akan diberi kepada mangsa gempa di Bandung Selatan dan dia terus terdiam.

Mungkin dia tidak menyangka bahawa walaupun pelbagai tuduhan dilemparkan kepada Malaysia, rakyat Malaysia tetap bersimpati dengan rakyat negara berkenaan apabila ditimpa bencana.

Terfikir juga penulis tenaga, masa serta wang yang digunakan oleh pemuda dan pemudi Indonesia untuk mengadakan demonstrasi anti Malaysia lebih baik digunakan bagi membantu rakyat sendiri yang menderita ditimpa bencana.

Selepas mengharungi perjalanan hampir lima jam akhir kumpulan 35 pelajar perubatan itu tiba di lokasi gempa iaitu Pangalengan sebuah kampung yang terletak di kawan pergunungan.

Pengalengan merupakan kawasan penanaman sayur terbesar di Bandung dan majoriti penduduknya adalah petani.

Kumpulan berkenaan tiba tepat waktu untuk berbuka puasa dan cuaca di kawasan berkenaan memang cukup sejuk. Sebagai perbandingan lebih dingin daripada Cameron Highland atau Bukit Fraser, mahupun Genting Highland.

Oleh kerana cuaca yang sudah gelap, hanya majlis berbuka puasa yang disertai 500 mangsa gempa sahaja dapat diadakan. Pada keesokan harinya barulah pakaian, selimut, minuman dan makanan untuk bantuan mangsa gempa.

Seorang pemimpin masyarakat kawasan berkenaan yang dikenali sebagai Zainal ketika ditemubual oleh penulis benar-benar terharu dengan bantuan yang diberikan dan rasa simpati yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia.

Memang tidak penulis sangka sumbangan yang tidak seberapa itu rupa-rupanya cukup berharga bagi mereka yang sedang dilanda musibah. Mata Zainal mulai merah dan air mata mengalir tanpa dapat dibendung kerana tidak dapat menahan rasa terharunya.

Mungkin pepatah Melayu, ‘Hidup ibarat putaran roda, kadangkala kita di atas, kadangkala kita di bawah, kadangkala kita memberi dan kadangkala kita meminta’ adalah gambaran yang paling tepat menceritakan pengalaman yang dilalui penulis dan kumpulan pelajar berkenaan.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...