Selasa, 8 September 2009

Pakatan pembangkang makin keliru

ISU demonstrasi di Seksyen 23 Shah Alam tidak patut dinilai sebagai tindakan yang berniat mencemarkan kesucian Ramadan atau perlakuan menghina agama kaum lain.

Ia sebaliknya perlu dilihat sebagai simbolik protes, manifestasi kemarahan teramat sangat oleh sebilangan besar penduduk Islam di Seksyen 23 itu dalam isu pembinaan kuil di situ.

Apa tidaknya. Memorandum, surat demi surat dan bantahan lisan secara “berbudi bahasa” telah pun dikemukakan tetapi langsung tidak diambil endah. Kalau hal ini dibincang lebih awal dan dikaji dengan teliti, ia tentu tidak sampai jadi begini.

Berdasarkan kenyataan penunjuk perasaan penduduk Seksyen 23, “insiden kepala lembu” itu bukanlah dirancang secara khusus. Ia adalah simbolik perumpamaan pemimpin seperti “lembu dicucuk hidung” dan “bodoh macam lembu”.

Itulah yang terjadi apabila perhatian yang diminta oleh rakyat tidak diperolehi. Jadi apa lagi pilihan sesetengah mereka? Malangnya, ada di kalangan pemimpin kita sendiri yang menempelak demonstrasi berkenaan tanpa memahami isunya.

Pembangkang seperti biasa menggunakan taktik kotor dengan membangkitkan sentimen kebencian bukan Melayu dengan dengan menuduh kerajaan pimpinan UMNO sebagai perkauman.

Yang cuba mereka sembunyikan ialah suara protes di bangunan SUK Selangor tempoh hari lahir dari akar umbi masyarakat Islam. Ia terdiri bukan hanya kalangan “orang UMNO” tetapi juga kebanyakan penyokong PKR dan Pas.

Kumpulan itu merasakan jeritan hati mereka telah tidak lagi dipedulikan!

Ia terbukti bila kerajaan negeri terpaksa menangguhkan semula keputusan pemindahan kuil tersebut. Tepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri !

Nilai Semula Keperluan Untuk Bersatu

Dalam komentar yang diambil daripada http://www.khalidsamad.com berhubung isu ini, ada komen yang meminta kita melihat insiden itu sebagai satu desakan murni perpaduan antara Pas-PKR-UMNO.

Ada betulnya juga. Kalau kita nak tunggu isu seperti ini datang lagi, tunggulah sampai gerhana matahari pun belum tentu akan muncul.

Ternyatalah insiden ini mesti juga dilihat sebagai simbolik perpaduan orang Islam dalam Pas-PKR-UMNO melalui Jawatankuasa Bertindak Penduduk Seksyen 23 yang menunjukkan perjuangan mereka adalah suci atas dasar suara majoriti rakyat Selangor.

Mereka ini bergabung atas dasar Melayu dan Islam tanpa menghiraukan perbezaan falsafah politik. Lantaran, keegoan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang merasakan kerajaan perpaduan tidak diperlukan terbukti telah ditolak di bahagian Parlimen yang dikuasai oleh Pas sendiri.

Melalui isu ini, wakil rakyatnya, Khalid Samad telah terbukti gagal melaksanakan tanggungjawab untuk mengutamakan sensitiviti majoriti rakyat di Seksyen 23. Sekali gus, terbuktilah juga kelemahan kerajaan pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim untuk mengawal keadaan.

Kerajaan Persekutuan pula bagaikan sudahpun menang dalam isu kepala lembu yang diarak ke SUK Selangor.

Penyokong-penyokong Hindraf dan PKR yang anti-ISA tiba-tiba ‘terhegeh-hegeh’ meminta kerajaan Pusat mengenakan tindakan ISA ke atas penunjuk perasaan tempoh hari. Maka terbuktilah ISA masih diperlukan!

GAGAL URUS, PAKATAN SEMAKIN GOYAH!

Kemelut ini akhirnya memaksa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah campur tangan. Bila sampai ke tahap di mana Sultan sendiri menegur, maka terbuktilah kegagalan kerajaan pakatan pembangkang Selangor dalam mengurus negeri dan menangani isu membabitkan sensitiviti rakyat!

Tindakan pakatan pembangkang yang sentiasa cuba mencari populariti murahan di kalangan orang bukan Melayu dengan melaung-laungkan kebebasan tidak terbatas akhirnya terbukti membawa padah.

Rasa hormat dalam masyarakat berbilang kaum yang selama ini dibina oleh kerajaan BN menjadi celaru. Gara-gara itu, azam 1Malaysia terpaksa dirangka oleh kerajaan Persekutuan bagi ‘mengubat’ semula keharmonian tersebut.

Sehinggakan dalam satu dialog baru-baru ini, seorang India bertindak melampaui batas dan seakan-akan mempertikai hak agama rasmi negara.

Jumlah surau dan masjid yang banyak dipersoalkan malahan isu azan lima kali sehari pun berani diperkatakan!

Mungkin inilah bibit-bibit kejatuhan kerajaan pakatan pembangkang di Selangor. Kalau di Perak, ia mengambil masa hampir satu tahun setengah untuk berakhir, Selangor lebih bernasib baik. Ia masih bertahan – sekurang-kurangnya sehingga kini.

Syukurlah, melalui isu-isu yang sudah ditentukan oleh-Nya ini, kita – umat Melayu dan umat Islam – sedar dan kembali bersatu.


FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan
Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris)

Sumber: Utusan Malaysia

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya amat bersetuju dgn pandangan Feriz. Beliau amat disanjungi peringkat akar umbi kerana memahami kedudukan Melayu dan Islam dengan mendalam. Saya dan rakan mengalu-alukan penglibatan beliau dalam dunia kepimpinan negara masa hadapan.

MBM Selangor + Negeri Sembilan + Johor + Penang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...