Khamis, 24 September 2009

Feudal wujud dalam budaya politik

Oleh NOOR SULASTRY YURNI AHMAD

PERBINCANGAN tentang budaya politik Melayu di Malaysia banyak melibatkan kajian-kajian oleh para sarjana tempatan mahupun Barat.

Kajian-kajian itu bukan sahaja membincangkan peranan oleh institusi pemerintah malah turut melihat aspek-aspek luaran yang menyumbang kepada struktur budaya politik Melayu kini.

Persoalan tentang hegemoni dalam budaya politik Melayu sudah mula menjadi topik perbincangan hangat selepas melalui transformasi budaya politik bermula dengan institusi Kesultanan Melayu hingga kepada usaha untuk mencapai masyarakat yang lebih sivil.

Secara amnya, masyarakat sivil diertikan sebagai suatu set kesatuan sosial yang autonomi atau bebas daripada pengaruh pemerintah (the state) dan tidak bermatlamatkan politik.

Masyarakat sivil juga dilihat sebagai sebuah kesatuan yang bertindak sebagai pemerhati (watch dog) terhadap pemerintah dan dasar yang dilaksanakan.

Kini konsep masyarakat sivil muncul sebagai satu isu perbincangan sosial dan dinilai sebagai salah satu pertikaian ilmiah terpenting sejak tiga dekad lalu.

Penilaian semula terhadap idea pemikiran konsep masyarakat sivil sebenarnya berakar umbi daripada dua tradisi pemikiran sosial dominan.

Pertama, tradisi fahaman pluralis yang dipelopori oleh Adam Ferguson (1723-1816), Adam Smith (1723-1790) dan Francis Hutcheson (1694-1746) yang berfahaman Scottish Moralist pada abad ke-18.

Ia kemudiannya dikembangkan oleh Alexis de Tocqueville (1805) di Amerika Syarikat melalui karyanya Democracy in America (1840).

Namun, perbincangan hegemoni ini sudah dianggap tidak relevan lagi dibincangkan selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada 8 Mac 2008.

Transformasi budaya politik Malaysia sudah mengalami anjakan baru dengan kebangkitan parti-parti politik bukan lagi berasaskan perkauman.

Bagaimanapun perbincangan tentang kesetiaan, keakuran dan sifat submisif pada masa kini bukan sahaja telah membezakan situasi budaya politik yang diamalkan tetapi persekitaran etnik juga telah mengalami perubahan amat ketara.

Ternyata sejarah politik pemerintahan negara memperlihatkan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada sebuah populasi besar dan tergolong daripada golongan bukan bumiputera yang meletakkan kepercayaan kepada UMNO untuk mentadbir negara dengan dibantu oleh parti-parti komponen Barisan Nasional lain.

Kehadiran orang bukan Melayu adalah satu faktor yang bertanggungjawab menyumbang kepada pembentukan hubungan quid pro quo antara perlindungan dan taat setia.

Dalam masyarakat Melayu tradisional, konsep taat setia sering digunakan sepenuhnya demi menjaga kepentingan raja.

Pada ketika itu, kepentingan individu tidak diluahkan sepenuhnya bagi menjaga kepentingan golongan pemerintah.

Konsep taat setia ini lebih merujuk kepada kepentingan seluruh golongan kelas masyarakat. Kesetiaan yang tidak berbelah bagi itu bukannya untuk diri orang Melayu semata-mata tetapi berkaitan dengan matlamat yang lebih besar sehingga mencakupi keistimewaan golongan pemerintah.

Walaupun unsur-unsur feudal dalam budaya politik Melayu masih sukar untuk dihapuskan, sifat taat setia, akur, submisif yang ditunjukkan oleh rakyat sebagai balasan berterima kasih.

Budaya ini merupakan sebahagian daripada sikap politik dalam budaya kepimpinan UMNO.

Pada masa sama, nilai hubungan feudal atau antara yang memerintah dan yang diperintah masih mengandungi ciri-ciri yang terhasil daripada suatu hubungan yang baru terbentuk.

Budaya politik Melayu era neofeudal telah mengalami proses konstruksi budaya politik dari aspek bentuk dan amalannya jika dilihat dari segi hubungan antara penaung dan yang dinaung.

Bukan sahaja budaya ini telah dikonstruksikan dan telah berakar umbi dalam jiwa masyarakat Melayu, tetapi ia perlu dibina semula (reconstruct) bagi mewujudkan suatu budaya politik baru dan bersesuaian atau relevan dengan amalan negara Demokrasi Berparlimen di negara ini.

Mentaliti yang telah dibentuk sejak zaman lampau seolah-olah satu 'budaya' yang terkawal atas dasar nilai taat setia, akur, submisif yang terlalu tinggi.

Sebagai contoh, pemimpin politik Melayu tidak seharusnya dicabar seperti jawatan presiden dalam UMNO.

Inilah manifestasi dalam masyarakat neofeudalisme Melayu yang telah dikonstruksi dalamannya.

Perbincangan tentang konsep neofeudalisme ini banyak menjelaskan tentang penerusan amalan bercirikan feudal dalam sistem Demokrasi Berparlimen kini.

Namun, skop perbincangan ini tidak hanya terbatas kepada nilai ciri-ciri feudal yang diamalkan sahaja, malah turut mencakupi faktor agama dan peranan adat istiadat Melayu itu sendiri.

Sekiranya perbincangan ini hanya terhad kepada unsur-unsur feudal, ia lebih cenderung menunjukkan bahawa hegemoni memang terbentuk dalam budaya politik feudal mahupun neofeudal Melayu.

Bagaimanapun, perbincangan ini akan memperlihatkan bahawa nilai taat setia yang sangat tinggi di kalangan masyarakat Melayu yang ditonjolkan sejak terbentuknya perjanjian atau wa'adat yang dimeterai antara Demang Lebar Daun dan Seri Teri Buana tidak bercirikan seperti hegemoni Gramsci.

Senario ini merupakan nilai kepatuhan yang semulajadi dan istimewa sehingga terbentuk sebuah hubungan yang sangat "asli" antara kedua-dua golongan tersebut.

Namun, ternyata elemen-elemen feudal dalam era kini masih lagi diaplikasi dalam sistem pemerintahan demokrasi Malaysia yang menitikberatkan kepatuhan, kesetiaan dan sokongan rakyat terhadap kepimpinan negara.

PENULIS ialah Pensyarah di Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya (UM)


sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...