Ahad, 9 Oktober 2011

Menyambut khabar gembira

Oleh Mior Kamarul Shahid
2011/10/09

sumber: Berita Harian

TERLALU banyak topik yang hendak dibincang dalam Bajet 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Parlimen, kelmarin.

Jika bertemu kakitangan awam, mereka berbincang mengenai struktur dan kenaikan gaji 7 hingga 13 peratus, umur persaraan dan bonus. Walaupun ada yang sudah membuat ramalan, mereka tidak menyangka ia menjadi realiti, hinggakan tempoh persaraan mereka juga dinaikkan kepada 60 tahun.
Bertemu pula dengan pesara kerajaan, mereka bercakap soal bayaran bantuan khas RM500, kenaikan pencen dua peratus dan bayaran khas RM3,000 kepada bekas anggota, dua dan balu polis khas dan polis tambahan. Bagi mereka yang terbabit, ia ibarat bulan jatuh ke riba kerana selama ini mungkin mereka tidak pernah terfikir soal itu.

Mendengar peneroka FELDA berbincang sesama sendiri, mereka ghairah bercakap soal durian runtuh yang akan mereka peroleh berikutan cadangan penyenaraian FELDA Global Ventures Holdings. Meskipun mekanisme penyenaraian FELDA di Bursa Malaysia masih samar-samar, yang pasti peneroka akan mendapat untung dari segi saham sedangkan tanah yang mereka usahakan sekarang sedikit pun tidak terjejas. Apabila ia disenaraikan nanti, ia akan meningkatkan nilai baru FELDA.

Dengan ibu bapa pula, terlalu banyak perkara yang menggembirakan untuk dikongsi bersama. Sebahagian besar pengumuman dalam bajet itu secara langsung dan tidak langsung memberi kesan kepada ibu bapa ke arah meringankan beban mereka. Ini termasuk pengumuman yuran sekolah percuma, bantuan RM100 kepada semua pelajar Tahun 1 hingga Tingkatan 5 dan baucar buku RM200 kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).

Selama ini, ibu bapa sering dihantui dengan perbelanjaan runcit seperti ini yang menyebabkan mereka berasa cemuh. Bayangkan jika ada empat atau lima anak yang bersekolah, ia adalah satu perbelanjaan besar. Sekarang, kos yang mereka bayar selama ini, bukan lagi menjadi tanggungan mereka.

Disebabkan terlalu banyak kumpulan yang mendapat faedah daripada Bajet 2012 ini, sukar untuk memperincikan satu persatu. Wanita, belia, penduduk bandar dan luar bandar, pemandu teksi dan petani malah mereka yang sakit sekali pun tidak terkecuali mendapat faedah daripada bajet kali ini. Bagi mereka, pengumuman Najib yang juga Menteri Kewangan itu adalah khabar gembira yang mereka nanti-nantikan.
Bagi pekerja sektor swasta, mereka juga mendapat habuan. Dalam bajet dibentang itu, golongan ini menikmati caruman majikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk gaji bulanan di bawah RM5,000 yang dinaikkan kepada 13 peratus. Untuk jangka panjang, ia amat penting bagi masa depan mereka. Bagi penjawat swasta ini, walaupun mereka mempunyai alasan untuk iri hati dengan keistimewaan yang diberikan kepada penjawat awam, sebenarnya mereka mendapat tempiasnya.

Keistimewaan dinikmati penjawat awam ini akan membuka mata majikan mereka untuk memikirkan cara terbaik bagi memastikan pekerja tidak lari menyertai perkhidmatan awam. Ini bermakna mereka juga terpaksa memikirkan habuan yang lebih baik kepada pekerja mereka dan sebagai timbal balas mengharapkan pekerja meningkatkan produktiviti. Kesan positifnya, pekerja akan memberi perkhidmatan terbaik berikutan saingan yang sihat, pada masa sama, menyumbang kepada cita-cita menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.

Jika ada pun pihak yang mempersoalkan Bajet 2012, mereka tidak lain tidak bukan daripada pembangkang. Bagi pembangkang, mereka terpaksa berbuat demikian dan tidak berpuas hati dengan apa juga yang diusahakan kerajaan atas sifat mereka sebagai pembangkang. Jika mereka menyokong usaha kerajaan, mereka sudah tidak lagi relevan sebagai pembangkang. Oleh itu, perkara baik pun terpaksa mereka bangkang.

Daripada akhbar semalam, Berita Harian memaparkan tajuk berita Bajet Rakyat kerana banyak peruntukan disediakan untuk kesejahteraan rakyat, manakala New Straits Times dengan tajuk Welfare of the people (Kebajikan rakyat), kerana ia banyak menyediakan dana untuk meringankan beban rakyat. Jika pembangkang mengatakan mereka mahu menubuhkan sebuah negara berkebajikan, mereka sebenarnya bercakap kosong.

Utusan Malaysia pula memaparkan tajuk berita Bajet Sejahtera kerana melihat akhirnya peruntukan bajet itu mampu mensejahterakan rakyat, manakala The Star dengan Cheers all round (semua gembira). Memang betul, ramai yang tersenyum mendengar siaran langsung pembentangan Bajet 2012 kerana ia banyak memberi khabar gembira. Begitu juga dengan Harian Metro dengan tajuk Kongsi Rezeki, Kosmo dengan Terima Kasih Datuk Seri Najib dan sebagainya. Daripada keseluruhan pembentangan Bajet 2012 kelmarin, tidak siapa boleh menafikan bahawa ia adalah bajet yang realistik. Mungkin pemimpin dan akhbar yang dikuasai pembangkang tidak bersetuju dengannya kerana mereka bukan daripada kumpulan yang realistik.

Apa pun, perlu diingat bahawa bajet yang dibentangkan setiap tahun oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) bukan bertujuan semata-mata untuk memberi segala-galanya tuntutan dan permintaan rakyat. Bajet adalah cara mana kerajaan mengurus pendapatan dengan cara paling efektif.

Bagi bajet tahun depan, ia mengenai cara mana kerajaan membelanjakan sejumlah RM232.8 bilion untuk memberi kesejahteraan kepada seramai mungkin rakyat dan memakmurkan negara. Peruntukan ini pula bukan datangnya dari langit, tetapi menerusi hasil dan pendapatan yang diperoleh kerajaan seperti daripada cukai dan bukan cukai, cukai pendapatan, duit eksport, duit import dan sebagainya.

Untuk mengurus dengan baik, kerajaan tidak boleh membelanjakan wang itu melebihi daripada peruntukan yang disediakan untuk perbelanjaan pengurusan dan pembangunan. Kerajaan tidak boleh berbelanja lebih daripada peruntukan yang sudah ditetapkan.

Samalah juga dengan keadaannya sebuah keluarga, jika berbelanja melebihi pendapatan, mereka terpaksa berhutang. Dengan menyediakan kemudahan menyeluruh dalam Bajet 2012, menunjukkan kerajaan tetap berhemat dari segi perbelanjaan

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...